Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang di Negeri Sembilan kini nampaknya kuat diperkatakan segenap pelusuk sebagai satu aras penanda mengenai keterbukaan warga Malaysia (pengundi) untuk membuat pilihan yang tepat dalam mencorakkan masa depan negara. Jika silap percaturan, ianya akan menyebabkan masa depan negara yang akan lebih malap namun tidaklah boleh kita pertikaikan pilihan yang dibuat oleh para pengundi.
Pengundi adalah raja dan merekalah yang akan menentukan siapa yang akan meneruskan pemerintahan di Malaysia.
Saya berkesempatan mengenali susuk tubuh Isa Samad yang pernah memegang teraju pemerintahan Negeri Sembilan dalam jangkamasa yang agak lama. Memang dari satu segi Isa Samad amat disukai oleh warga Negeri Sembilan. Beliau agak mesra rakyat. Namun disebalik sikap beliau yang mudah dengan rakyat, sikap beliau terhadap isu “tumbuk rusuk” agak menyedihkan. Beliau adalah pengamal polisi “tumbuk rusuh” yang bertaraf mega.
Ini tidaklah bermakna hanya beliau sahaja yang acap kali mengamalkan “tumbuk rusuk” namun hampir 99% pimpinan utama didalam UMNO dan Barisan Nasional mengamalkan polisi yang sama. Setakat ini tidak ada seorang pun didalam pengetahuan saya dari UMNO dan Barisan Nasional yang bersih daripada “tumbuk rusuk” walaupun dikalangan orang yang ada pengetahuan agama yang akan mendalam.
Pada pandangan saya, Isa Samad hampir pasti memenangi PRK N31 Bagan Pinang ini dengan bergaya hasil daripada taburan wang dan projek yang diberikan kepada warga Bagan Pinang dan juga bilangan undi pos (dari ATM dan Polis) yang pastinya 99% menjadi miliknya. Namun sepertimana yang semua sedia maklum, kemenangan Isa Samad amat ditakuti oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Mohammad Hassan). Mohammad Hassan mungkin berjaya menunjukkan sikap baik dan hormat kepada Isa Samad dihadapan media, namun ramai sedia maklum terdapatnya pertelingkahan yang agak serius diantara mereka berdua.
Mohammad Hassan pastinya ingin mengekalkan kuasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan seberapa lama yang boleh, namun jika Isa Samad menang di PRK N31 Bagan Pinang, tentunya beliau akan menuntut kerusi Menteri Besar yang umum tahu sebenarnya adalah milik Isa Samad. Inilah yang menyebabkan pertelingkahan dikalangan dua warga Negeri Sembilan. Malah terdapat puak-puak didalam UMNO/BN Negeri Sembilan yang sekarang ini bertelagah atas sebab dua pemimpin ini.
Apa yang pasti jika Isa Samad menang dalam PRK ini, beliau pastinya tidak mahu diberikan kuota EXCO Kanan oleh Menteri Besar kerana beranggapan ianya secara tidak langsung memalukan beliau.
PAS pula pada dasarnya tidak mampu menang dengan bergaya di PRK N31 Bagan Pinang melainkan mendapat mandat undi total secara maksimum daripada pengundi Cina dan India yang merangkumi lebih dari 30%. Jika PAS dapat mengekalkan undi dari pengundi Melayu sebanyak 25 peratus sahaja dan keseluruhan undi daripada kaum Cina dan India, pastinya PAS akan mendapat undi sebanyak 55% yang mana secara otomatisnya memberikan satu peluang yang agak baik kepada PAS dan seterusnya membolehkan PAS memenangi PRK N31 Bagan Pinang ini dengan undi mudah.
Kaum Cina dan India adalah raja dalam menentukan siapakan yang bakal dinobatkan sebagai ADUN N31 Bagan Pinang pada PRK kali ini. Jika bulat pilihan mereka kepada Pakatan Rakyat, maka pastinya PAS (Komponen Pakatan Rakyat) akan menjadi juara dalam pilihanraya kecil kali ini. Sebagai raja, kaum Cina dan India sekarang ini sedang menuntut hak-hak mereka ditunaikan dan pastinya kaum Cina dan India tidak mahu perasuah sebagai ADUN mereka.
Apa-apa pun keputusannya nanti, harapan saya agak ianya tidak akan menjadi satu jurang perbezaan diantara kaum di Malaysia ini. Rasuah (tumbuk rusuk) tidak wajar dijadikan budaya di Malaysia jika kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berjaya dimasa akan datang.
No comments:
Post a Comment