Perang PAS dan Umno-Barisan Nasional (BN) semakin sengit selepas empat hari berlangsungnya hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Bagan Pinang. Masing-masing dengan identiti dan modalnya yang tersendiri.
Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati gambaran dari sudut fizikal kedua-dua parti adalah seimbang. Tetapi “semakin sengit” yang dimaksudkan ialah aktiviti kempen kedua-dua pihak dalam usaha meyakinkan pengundi.
Kekasaran mula berlaku malam tadi apabila markas besar Pemuda PAS diserang dan beberapa orang cedera termasuk ditetak dengan parang. Ekoran itu Pemuda PAS mengarahkan anggotanya turun ke Bagan Pinang untuk tingkatkan keselamatan.
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dipilih sebagai calon BN terus mengulangi keyakinannya dalam mencapai kemenangan walaupun imejnya sudahpun tercalar selepas digantung keahlian.
Melalui kempennya beliau terus menekankan kepekaannya tentang aspirasi rakyat bukan sahaja di Bagan Pinang bahkan seluruh Negri Sembilan, serta berjanji akan menyelesaikan setiap masalah di samping menjaga kebajikan rakyat jika dipilih dalam PRK nanti.
Isa adalah ketua Umno Bahagian Teluk Kemang pernah digantung keahliannya pada Jun 2005 oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dengan rasuah dalam Pemilihan Agung Umno 2004.
Penggantungan itu sekaligus mendesak beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada Oktober 2005.
Penyokong BN tidak menafikan kewibawaan Isa berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya dalam karier politik sebagai orang veteran yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.Manakala Zulkefli Mohd Omar dari PAS yang mewakili parti Pakatan Rakyat (PR), mendedahkan komitmennya untuk membuat satu perubahan dalam menaikkan taraf hidup rakyat terutama penduduk di kawasan ladang yang sentiasa dicengkam masalah saraan hidup sejak bertahun dulu.
“Termasuk juga golongan nelayan dan para peniaga yang terhimpit dengan masalah alam sekitar, persaingan, peningkatan kos, saraan hidup dan sebagainya,” katanya semasa menyampaikan ceramah dekat sini malam tadi.
Beliau menitik berat perkara tersebut selepas mendengar serta menerima sendiri pelbagai rungutan yang diluahkan oleh masyarakat tersebut sendiri.
Zulkefli adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sejak 2007. Sebelum terlibat dengan dunia politik beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif dalam bidang pengurusan bersama beberapa syarikat ternama dalam negara.
Mengikut track rekod sepanjang penglibatannya dalam arena politik sejarah tidak pernah mencatatkan sebarang rekod buruk yang boleh mencalarkan imejnya di mata rakyat.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, ketika menjawab soalan mengenai tahap keyakinan parti pakatan selepas melalui tiga hari tempoh berkempen tetap mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa PAS tidak melalui jalan sukar untuk menang sekiranya proses PRK itu diadakan mengikut sistem demokrasi sebenar.
PRK Bagan Pinang bakal diadakan pada 11 Oktober nanti menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Zulkefly dan Isa. Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos layak mengundi pada PRK tersebut.
Apapun spekulasi atau ramalan berhubung PRK tersebut, hanya (13,644 pengundi) itulah akan menjadi kuasa penentu samaada Bagan Pinang tetap menjadi milik BN semula atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment