Terdapat pelbagai analisa dan telahan berikutan dengan kejayaan besar Barisan Nasional dan UMNO mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang. Selain daripada kejayaan memperoleh kemenangan di semua peti undi, sokongan pengundi muda, sokongan pengundi Cina dan India, faktor yang paling jelas dalam keputusan itu adalah kerana calonnya.
Meskipun mempunyai rekod yang tercalar, para pengundi masih memilih Tan Seri Isa Samad. Peribadi calon yang amat dikenali dan dekat di hati telah membuatkan beliau terpilih untuk memenangi kerusi itu. Dalam konteks itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, walaupun penuh kontroversi, beliau tetap memenangi kerusinya di Permatang Pauh kerana beliau amat dikenali oleh penduduk tempatan.
Sebenarnya, inilah salah satu trend mengundi yang semakin menyerlah. Rakyat semakin bersedia untuk memilih personaliti dan bukannya parti. Pemikiran ini mula terbentuk dalam fikiran mereka setelah PRU-12. Keputusan pilihanraya itu, tanpa disedari telah membuat rakyat untuk melihat di luar kotak.
Buat kali pertama, BN kurang dua pertiga majoriti, lima negeri (kini empat) dikuasai oleh Pakatan Rakyat, ramai tokoh-tokoh politik telah gugur dan ramai calon-calon yang tidak dikenali langsung telah terpilih mewakili mereka.
Dalam bulan-bulan berikutnya, rakyat telah melihat bagaimana Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri yang dimenangi, drama air liur tumbangnya kerajaan pemerintah, menghadapi kekerapan pilihanraya kecil serta melihat kerenah dan pertelingkahan di antara kesemua parti-parti politik sama ada BN mahupun PR.
Pada waktu yang sama, rakyat mula menyedari bahawa di sebalik semua ketidakpastian ini, kehidupan seharian mereka masih terurus. Lampu masih bernyala, air paip masih mengalir, anak masih boleh bersekolah, saman tetap kena bayar dan kerja masih bergaji. Maknanya, negara masih terurus melalui prasarana kerajaan persekutuan mahupun negeri. Tidak lumpuh seperti yang ditakuti.
Semakin masa berlalu, mereka melihat parti-parti politik masih parah dengan drama dalaman politik masing-masing. Hari ini bertelingkah, esok sudah bersalaman dan berpeluk. Ketua yang dipilih hari ini boleh diturunkan dengan undi tidak percaya. Ada yang membuat mesyuarat agung untuk memilih diri sendiri dan ada juga pemimpin yang diasak hingga terpaksa mengundur diri.
Tidak kira sama ada mereka daripada parti pemerintah mahupun pembangkang, sikap over-politiking sudah menguasai dan menghantui. Pihak manakah yang hendak dipercaya? Seolah-olah, kerajaan yang memerintah sudah tak boleh dipakai, yang hendak memerintah pun tak boleh diharap. Kalau kita rajin menyelusuri celah-celah blog dan laman marhaen yang tidak terkenal, kita akan menemui suara-suara hati yang meluat dengan apa yang berlaku kini.
Mengapa ini terjadi? Mengapa rakyat mula kurang senang dengan apa yang para pemimpin politik mereka lakukan? Ia terjadi kerana kita terlalu bergantung harap dan nasib kepada orang-orang politik. Sama ada mengenai budaya, bahasa, sosial, psikologi, akademik, ekonomi, kejuruteraan malah agama, kita membiarkan orang-orang politik menguasai pentas pendapat untuk mengeluarkan formula-formula yang hanya molek di bibir, tetapi tidak praktikal bila dilaksanakan.
Silap juga pakar-pakar budaya, bahasa, sosial, psikologi, akademik, ekonomi, kejuruteraan dan agama yang begitu ramai kerana membiarkan orang-orang politik bercakap di pentas mereka. Mana mungkin orang politik tahu semua perkara dan menyelesai semua masalah yang kita hadapi? Seharusnya pakar-pakar ini perlu berani dan aktif untuk tampil memberi pandangan bersandarkan kepakaran masing-masing.
Dari sehari ke sehari, selain daripada bercakaran merebut kerusi, orang-orang politik masih banyak bercakap mengenai penyediaan kemudahan asas dan hal-hal keselamatan. Di dalam negara yang sudah lebih 50 tahun merdeka, kalaulah masalah kemudahan asas dan keselamatan masih menjadi lagu yang digulakan, bila lagi hal-hal mengenai nilai-nilai kasih sayang, kekitaan, penghormatan, toleransi dan kendiri hendak diperkatakan?
Teori Maslow yang terkenal menggariskan lima keperluan-keperluan daripada fisiologikal, keselamatan, kekitaan, keyakinan dan kendiri. Di tahap yang rendah adalah keperluan fisiologikal seperti keperluan makanan dan air sementara keperluan keselamatan adalah berkehendak kepada rumah, kesihatan dan pekerjaan.
Selagi kita asyik bercakap mengenai keperluan fisiologikal dan keselamatan, bila pula kita hendak bercakap mengenai tiga lagi hal-hal yang lebih tinggi tahapnya? Apakah kita patut bercakap mengenai pembangunan negara dan bukannya membina tamaddun?
Meskipun perkara asas harus menjadi perhatian, tetapi ia sudah tidak perlu lagi menjadi perkara yang diulang-ulang. Rakyat sudah sedia dan dahaga hendak sama-sama bercakap mengenai hal-hal membina minda, menakluki langit, bumi dan dasar laut, bersaing di peringkat dunia dan memimpin dunia.
Kerana itulah, apabila PRU-13 nanti, trend memilih calon, tidak kira daripada parti mana akan menjadi keutamaan. Sama ada ia akan menyebabkan kerajaan BN tumbang, ataupun kerajaan PR berdiri, ia sudah tidak menjadi isu lagi. Yang menjadi penting ialah kewibawaan calon-calon yang terpilih.
Jika rakyat, secara tidak sengaja telah menyebabkan peralihan kuasa yang lebih besar kepada PR, tidak mustahil, pada PRU-13, rakyat akan sengaja memilih siapa yang mereka hendak bukan parti mana yang mereka mahu.
Baik BN mahupun PR, mereka tidak boleh lagi bersandar pada retorik. Calon-calon mereka perlu lebih hebat dari parti. Bila ia terjadi, fusion di antara calon-calonlah yang akan menjadi dinamika di Dewan Rakyat. Undi akan berdasarkan merit, hujah akan berdasarkan fakta dan debat akan berdasarkan kebenaran. Ia bukan utopia. Tunggu sahajalah.
No comments:
Post a Comment