Pergolakan dalam sesuatu masyarakat biasanya melahirkan rupa bentuk kepimpinan seseorang tokoh yang berada di tengah-tengah pergolakan itu sendiri. Masyarakat mengukur cara dan kebijaksanaan tokoh itu menangani pergolakan itu – kejayaan atau kegagalannya.
Demikianlah apa yang berlaku dalam peristiwa sekumpulan orang dari Seksyen 23 di Shah Alam mengheret kepala lembu yang masih berdarah dikatakan sebagai membantah kewujudan kuil Hindu di situ.
Pergolakan dalam sesuatu masyarakat biasanya melahirkan rupa bentuk kepimpinan seseorang tokoh yang berada di tengah-tengah pergolakan itu sendiri. Masyarakat mengukur cara dan kebijaksanaan tokoh itu menangani pergolakan itu – kejayaan atau kegagalannya.
Demikianlah apa yang berlaku dalam peristiwa sekumpulan orang dari Seksyen 23 di Shah Alam mengheret kepala lembu yang masih berdarah dikatakan sebagai membantah kewujudan kuil Hindu di situ.
Perlakuan menghertet kepala lembu itu bertentangan sama sekali dengan pesan di dalam Al-Quran, Surah Al-Am yang melarang umat Islam menghina agama lain, kerana dikhuatiri orang lain akan menghina Allah s.w.t. pula.
Apa yang berlaku di Shah Alam itu segera menyerlahkan kepimpinan Ahli Parlimen PAS Shah Alam Ir. Khalid Abd Samad justru kerana telah menanganinya dengan penuh bijaksana, berprinsip, tenang dan sabar apabila berdepan dengan bantahan sekumpulan penduduk di situ. Malah lebih penting dari segalanya ia telah memperlihatkan keberanian sebagai tokoh gerakan Islam PAS Islam menegakkan keadilan kepada semua kaum dan agama di tengah bantahan keras, tuduhan, malah kata nista yang tidak sepatutnya keluar dalam bulan Ramadhan El-Kareem.
Ir. Khalid bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berusaha melaksanakan keadilan Islam justru kerana sedar keadilan itu paksi utama Syariat Islam dan bukan sebarang tokoh pula yang mampu berdepan dengan gelombang protes dan perlakuan sedemikian rupa. Insya-Allah kedua Khalid ini berjaya melepasi ujian getir ini.
Ini mengingatkan saya kepada seorang lagi tokoh muda PAS yang juga mempunyai kemampuan luar biasa iaitu Menteri Bersar Pakatan Rakyat Perak, Ir. Nizar Jamaludin yang mampu menghadapi peristiwa hitam di Perak Darul-Ridzwan tidak lama dulu.
Walaupun dalam usia dikira muda, ia telah mengukir nama sedemikian harum atas kewibawaan, pandangan jauh dan kebijaksanaan pimpinannya menangani peristiwa tersebut. Walaupun baru 11 bulan memerintah. negeri Perak Darul-Ridzwan dan walaupun ‘tewas’ sementara kerana manipulasi politik Umno/BN, tetapi rakyat berbilang kaum tetap menyanjung dan menyayanginya sebagai pemimpin berwibawa, menyerlah, berkesan dan adil.
Tidak syak lagi, dua tokoh PAS ini – Ir. Khalid A. Samad di Selangor dan Ir. Nizar Jamaludin di Perak adalah ‘the promising leader’, pemimpin yang menjanjikan. Kedua-duanya mempunyai sikap terbuka, memahami rialiti masyarakat majmuk di Malaysia, beruaha menegakkan keadilan Islam, bersikap amanah dan jujur dan tidak gentar dengan cabaran. Inilah contoh pemimpin gerakan Islam yang sangat dikehendaki.
Dalam surat terbukanya mengenai peristiwa di Shah Alam itu, Ir. Khalid menyebut: “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan akan Firman Allah, Surah Al Maa’idah ayat 8 yang bermaksud;
“Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kata Khalid, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud,
“Dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…”
Ir. Khalid seterusnya berkata, Allah s.w.t. murka terhadap mereka yang bertindak dengan cara yang merosakkan imej Islam sehingga menyebabkan manusia terhalang untuk mengenali keadilannya. Beliau menyebut berfirman Allah s.w.t. ayat 94 Surah An-Nahl yang bermaksud:
“Dan kamu ditimpa kehinaan kerana menjadi penghalang kepada jalan Allah (disebabkan tindakan buruk kamu) dan untuk kamu azab yang amat dahsyat (pada hari akhirat kelak).”
Mungkin ada yang bertanya kepada Ir. Khalid, tidakkah dia khuatir akan kalah dalam Pilihan Raya akan datang disebabkan isu ini?” Khalid menjawab, “Bagi saya sekiranya itulah kehendak pengundi, apakan daya saya? Yang penting sejarah akan menjadi saksi bahawa ada Ahli Parlimen dari parti Islam yang memperjuangkan keadilan untuk semua orang walaupun orang Hindu. Beliau menyebut kisah seorang raja Islam di Mysore, Bangalore, India pada abad ke 18 yang bernama Sultan Fateh Ali Khan Tippu (Tippu Sultan). Rakyatnya terdiri daripada orang Islam, Hindu dan Sikh. Hingga ke hari ini rakyat India masih menceritakan mengenai pemerintahan beliau yang berasaskan Islam sebagai sebuah pemerintahan yang adil.
Mengukuhkan pendiriannya, Ir. Khalid dalam blognya seterusnya mengambil kisah di zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab (r.a). Melalui pendedahan ini, beliau berharap sebahagian dari umat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah itu ialah bagaimana Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.
“Dan apabila masuk Sayidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat Asar, berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solatlah di sini saja.” Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar), di tangga yang berada di depan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas solat Asar itu, beliau masuk kembali lalu memberitahu Patriach al-Quds :
“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa umat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Sayidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.
Kepada Ir. Khalid, kisah di atas menceritakan respons Sayidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respons Sayidina Umar adalah satu respons yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka. Ini keadilan Islam yang ditunjuk oleh Umar.
Para Khalifah Islam, kata Ir. Khalid, sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung di tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah peribadatan mereka.
Sementara itu ketokohan Ir. Nizar Jamaludin juga sangat menyerlah. Walaupun hanya 11 bulan menjadi Menteri Besar Pakatan Rakyat di Perak, Ir. Nizar telah memperlihatkan kebijaksanaanya menghadapi krisis itu menyebabakan kepimpinanya semakin disayangi rakyat, keutuhan Pakatan Rakyat tidak terjejas dan majoriti rakyat masih mengharapkan kepimpinan beliau.
Seperti juga Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahi Parlimen Kuala Selangor, Khalid Samad dan Ir. Nizar adalah di antara pemimpin PAS yang terdedah dengan gerakan Islam ketika menuntut di Engand lagi. Justru itu, kepada saya, tokoh PAS ini adalah sumber inspirasi kepimpinan baru PAS yang berusaha memahami dan berinteraksi dengan real politik di Malaysia.
No comments:
Post a Comment