Ketika para pemimpin Umno di Teluk Kemang dan di pusat sedang dilihat berbeza pendapat tentang calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, PAS juga berhadapan dengan dilema pemilihan calonnya.
Bagi Umno pemilihan bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjanjikan kemenangan mudah di Bagan Pinang, tetapi memberikan implikasi besar di peringkat nasional seperti yang telah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, kerana rekod salah laku ketua bahagian Umno Teluk Kemang itu.
PAS pula yang dijangka tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan itu pula berhadapan dengan pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pertimbangan politik sebelum memilih calonnya.
Negeri Sembilan dilihat para pendukung Pakatan Rakyat (PR) sebagai negeri keenam yang akan ditawan mereka.
Barisan Nasional (BN) kini memerintah tanpa majoriti dua pertiga buat kali pertama selepas memenangi hanya 21 daripada 36 kerusi negeri pada pilihan raya umum lalu.
DAP menang 10, sementara PKR 4 dan PAS hanya mendapat satu walaupun bertanding 13 kerusi — terbanyak antara tiga parti PR.
Maka Bagan Pinang menjadi medan untuk PAS — yang dalam semua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan kehebatan jenteranya — membuktikan bahawa parti itu yang paling layak mengepalai PR di Negeri Sembilan dan mempunyai bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk kepimpinan negeri dan menjadi menteri besar.
DAP walaupun sudah tentu akan mendominasi pentadbiran Negeri Sembilan jika PR mengambil alih, belum tentu dapat menawarkan calon menteri besar kerana perlembagaan negeri itu juga meletakkan syarat jawatan itu hanya untuk orang Melayu dan Islam kecuali dikehendaki sebaliknya oleh Yang DiPertuan Besar.
PAS Negeri Sembilan telah mencadangkan tiga nama kepada jawatankuasa pusat — pengerusi negeri Zulkefli Omar, ketua PAS Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.
Ramli adalah seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 dan pengaruhnya diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya anggota tentera.
Kassim pula adalah penduduk asal Kampung Si Rusa di pesisir pantai Port Dickson dan berpengaruh di kampung sekitarnya kerana latar belakangnya sebagai guru agama dan pada usia 69 tahun, masih lagi aktif memberikan kuliah agama di kawasannya.
“Jika bercakap soal calon menteri besar, maka Zulkefli Omar adalah orang yang boleh dipersiapkan, dia juga adalah ahli politik sepenuh masa,” kata ahli strategi PAS Dr Zulkefly Ahmad, tetapi menambah soal calon menteri besar belum difikirkan oleh parti itu lagi.
Zulkefli, 45, adalah seorang pemegang ijazah sarjana dan telah tewas tiga kali dalam pilihan raya sebelum ini — beliau dikatakan mempunyai peluang paling cerah menjadi calon di Bagan Pinang.
Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi Lenggeng dengan majoriti 1,285.
Bagaimanapun di kalangan pemimpin PAS ada juga yang bimbang pencalonan Zulkefli akan membawa kesan buruk kepada parti itu.
“Tidak baik untuk parti sekiranya seorang pesuruhjaya negeri tewas dengan teruk dalam pilihan raya kecil,” kata seorang lagi pemimpin PAS yang bimbang dengan kewujudan pengundi pos yang tinggi —kira-kira 30 peratus daripada jumlah pemilih.
Jawatankuasa PAS pusat akan bermesyuarat pada 29 September ini di Port Dickson untuk menetapkan nama calonnya dan pengumuman akan dibuat dalam satu ceramah pada malam itu juga.
Jika Zulkefli dicalonkan, ia menjadi isyarat paling jelas bahawa parti itu sedang mempersiapkan diri untuk mentadbir Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment