Friday, March 13, 2009

Pakej ransangan: Mana faedah untuk rakyat?


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Secara umumnya pakej ransangan ekonomi sebanyak RM60 bilion yang dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat tidak memberi faedah tambahan kepada rakyat sebaliknya sekadar mengekal keadaan semasa.

Menurut beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dihubungi Harakah menggambarkan wujudnya kelemahan dan cara pelaksanaannya yang tidak ada ketelusan, keterbukaan dan tiada keinginan pemerintah untuk berkongsi maklumat dengan rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia, Syed Shahir Syed Muhamud, berkata walaupun pakej ransangan kedua yang dibentang di Dewan Rakyat 10 Mac lalu berjumlah RM60 bilion, satu jumlah yang besar.

Sementara itu Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pakej ransangan tersebut kerajaan memperuntukkan RM60 bilion dalam pakej kedua bagi merangsang kegiatan ekonomi dan mengelak negara daripada terjejas teruk oleh krisis ekonomi dunia yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 70 tahun.

Pakej rangsangan menumpukan kepada empat teras, iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; meringankan beban rakyat; membantu sektor swasta menghadapi krisis ekonomi semasa; dan membina keupayaan masa depan.

Namun kata Syed Shahir, yang dipersoalkan sejauhmana pelaksanaannya kerana kerajaan memperuntukkan RM60 bilion dalam pakej ransangan kedua itu sedangkan dalam pakej pertama dahulu sudah diperuntukkan RM7 bilion.

"Itu penting. Sebab kita tak mahu nanti walaupun menggunakan satu dana yang besar, RM60 bilion tetapi apabila dilaksanakan nanti hanya berlegar di kalangan beberapa orang sahaja yang dekat dengan pihak yang berkuasa atau pemerintah," dakwanya.

Oleh kerana itu katanya biarpun ada usaha untuk hendak memulihkan atau cuba hendak menggalakkan memacu ekonomi supaya tidak berlaku penguncupan namun ada beberapa isu yang perlu diketengahkan.

Misalnya beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM480 juta kepada pemegang konsesi tol supaya kadar tol lebuh raya tidak dinaikkan.

"Ertinya dalam erti kata lain wang ini dibayar terus kepada konsesi tol dan sudah tentu mereka akan simpan wang ini untuk perkara yang kita tidak tahu.

"Jadi ini dia tidak berlegar dalam pasaran tetapi terus langsung kepada pemegang konsesi ini," dakwanya.

Begitu juga katanya yang berkaitan dengan keupayaan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk berbelanja.

Ini ujarnya, mereka tidak ada keupayaan untuk berbelanja kerana pendapatan rendah ditambah dengan kemelesetan ekonomi sekarang.

Dalam pakej itu, katanya golongan pekerja diberi satu dana untuk mereka yang diberhentikan.

Pekerja kita juga ingin supaya adanya dana untuk pemberhentian kerja.

"Kalau pemerintah berbelanja lebih RM2 bilion untuk kapal selam dan sebagainya kenapa tidak diambil sebahagian daripada peruntukan itu untuk membantu golongan berpendapatan rendah khasnya mereka yang diberhentikan kerja," ujarnya.

Secara ringkas beliau berpandangan sepatutnya dalam pakej ransangan tersebut diambilnya kira untuk membolehkan golongan yang hilang pekerjaan meneruskan hidup dan ini yang diminta MTUC.

Selain itu katanya, soal gaji minimun perlu diberi perhatian kerana MTUC tidak mahu berlaku diskriminasi terhadap pekerja-pekerja sama ada dalam negeri mahupun luar negeri.

"Kalau gaji mereka tidak ada paras minimum ertinya pihak majikan boleh membayar gaji mengikut selera mereka dan sekaligus negara berhadapan dengan masalah yang sama.

"Jadi dalam keadaan apa pun yang menang di sini majikan. Pada saya ini satu penindasan kepada golongan pekerja," katanya.

Katanya pakej ransangan yang dibentang itu sepatut mengambil kira aspek-aspek tersebut.

Dalam pada katanya, kerajaan dituntut supaya bersikap telus untuk memulihkan integritinya dalam melaksanakan peruntukan tersebut.

"Kita nak tahu satu demi satu di mana dibelanjakan dan untuk apa perbelanjaan tersebut dan bagaimana penyudahnya," katanya.

Tegasnya sebagai rakyat mereka mempunyai hak di atas apa juga perbelanjaan yang digunakan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Fomca, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, keperluan satu pakej ransangan seharusnya mempunyai pengurusan untuk menjurus pengguna menambah kuasa membeli pengguna.

Pekej ransangan itu katanya seharus meningkatkan keyakinan pengguna pada masa hadapan.

Sebab ini katanya, akan membawa kepada keupayaan pengguna untuk berbelanja dan seterusnya membantu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.

"Oleh itu kami berpendapat masih kurang unsur-unsur meningkatkan kuasa membeli dan meningkatkan keyakinan pengguna," katanya.

Tambahan pula katanya, pekej ransangan tersebut yang diumumkan itu secara rasminya tiada apa-apa perbincangan dengan NGO walaupun Fomca menjadi ahli dalam Majlis Ekonomi Negara.

"Kebiasaannya sebelum pembentangan belanjawan setiap tahun Kementerian Kewangan biasanya mengadakan diolog dengan semua pihak termasuk NGO-NGO untuk mendapat maklum balas dan juga cadangan-cadangan untuk dipertimbangkan oleh Menteri Kewangan," katanya.

Sebelum ini ujarnya, mini bajet atau pakej ransangan dirumuskan ramai pihak termasuk Persatuan-persatuan Pengguna bagi menyarankan pelbagai pandangan.

Beliau juga berkata, Fomca juga memandang serius tentang perbelanjaan yang tidak begitu penting atau kritikal kepada negara contoh pembelian kapal selam.

Kerajaan katanya, seharusnya memastikan keperluan yang penting dahulu.

"Walaupun bidang pertahanan penting tetapi perkara yang penting daripadanya perlu diutamakan," sarannya.

Dalam kata lain katanya, perbelanjaan yang tidak memberi munafaat kepada rakyat harus dikaji semula dan perlu mendapat maklum balas daripada umum supaya kerajan tidak dipersalahkan.

No comments:

Search This Blog