Dalam satu wawancara disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, Sultan Sharafuddin berkata tuduhan itu timbul akibat salah faham ke atas seruannya supaya golongan Melayu bersatu.
"Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca.
"Tapi malangnya dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang Umno, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik," titahnya.
Turut ditimbulkan adalah tuduhan bahawa ucapannya disediakan oleh orang Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Hakikatnya, Najib ada banyak kerja lain yang hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri," katanya.
Sultan Sharafuddin berkata, isu berkenaan juga ditimbulkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim), 'apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang Umno di dalam blog'," katanya.
Katanya lagi, beliau juga menjangka akan dituduh sebagai "orang Utusan" kerana memberi wawancara kepada akhbar berkenaan.
"Padahal, Utusan yang minta jumpa," katanya lagi yang menambah beliau akan mengkritik secara terbuka apabila melibatkan isu perpecahan Melayu.
Bagaimanapun, beliau akan menegur menteri besar melalui surat atau perjumpaan apabila melibatkan isu pentadbiran.
"Malangnya terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang Umno.
"Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas," katanya.
1 comment:
Mana orang tak cakap tuanku orang UMNO, contohnya komen fasal Nurul Izah pun ikut apa yang tertulis dalam Utusex Meloya dan Berita Hairan, Kalau dah tak tengok Forum tersebut secara live, dapatkan rakaman dan dengar dulu kemudian baru komen ! Elok tuanku perbetulkan anak tuanku dulu baru tegur rakyat.
Post a Comment