Pas menyifatkan tindakan
mendoakan kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) itu adalah sebagai
sesuatu yang wajar dan bukannya kesalahan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan
mendoakan parti itu hancur adalah kerana BN didakwa menolak Islam.
Dakwanya, tindakan BN menolak Islam secara jelas menunjukkan parti itu
memperlekehkan agama tersebut kerana ia berkait soal akidah.
Beliau turut memberikan contoh kisah Nabi Nuh AS yang memohon kepada
ALLAH SWT untuk menghancurkan kaumnya ketika itu yang tidak mematuhinya.
“Bila Umno tolak Islam apa taraf Islam? Takkan nak biar? Tak salah doa
macam itu kerana dalam al-Quran sendiri menyebut mengenai kisah di zaman
Nabi Nuh AS yang berdakwah tetapi ditolak kaumnya yang mempunyai
pengikut dan harta banyak.
“Akhirnya Nabi berdoa supaya Tuhan musnahkan orang itu kerana sekiranya
tak dimusnahkan nanti bila orang itu beranak maka anaknya pula
melawannya jadi jangan tinggalkan seorang pun,” katanya pada sidang
media selepas Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah
Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden Pas
meminta doa agar ALLAH menjahanamkan Umno dan BN sebagaimana ALLAH
memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab selepas solat hajat,
sempena muktamar parti itu di Stadium Sultan Muhamad IV, malam kelmarin.
Dalam pada itu, Nik Aziz membidas dakwaan kononnya isu orang Melayu
murtad disebabkan oleh paderi Kristian adalah tidak benar kerana ia
adalah perbuatan umatnya sendiri yang menolak Islam.
Menurutnya, sekiranya seseorang itu seseorang itu menolak Islam atau orang itu jahil maka ia boleh jadi murtad.
“Bila Umno tolak Islam daripada dasarnya, agama apa Umno pakai? Agama
Islam berpandukan al-Quran. Jadi dia Kristian ke Buddha ke atau tiada
agama?
“Timbulnya isu murtad kononnya paderi Kristian tapi saya nak kata
tidak. Yang menjadikan orang Melayu murtad kerana orang Melayu sendiri
memperlekehkan Islam. Umno tolak Islam maka dia memperlekehkan Isla,"
katanya.
Ketika ditanya pemberita sama ada beliau menganggap Umno murtad kerana
mendakwa parti itu memperlekehkan Islam, Nik Aziz berkata, soal murtad
tidak kira siapa, sebaliknya sekiranya seseorang Islam itu menolak
agamanya, maka dia murtad.
“Tak kira siapa pun... tak kira tok guru sekalipun, kalau murtad, maka
murtadlah. Usahkan Umno, kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun
kalau tolak Islam dengan cara hati dia mengatakan Islam tak guna maka
dia murtad walaupun tiada mufti beritahu,” katanya.
No comments:
Post a Comment