Thursday, September 13, 2012

Us Nasha Bakal Bertanding Menentang Dr Hassan Ali Di Gombak Setia?



SEMUA kena terima keputusan Majlis Syura PAS iaitu isu Us Nasha tidak perlu dibincangkan sekurang-kurangnya sehingga selepas PRU ke 13 akan datang. Apabila diberitakan lagi bahawa Us Nasha juga di antara yang tersenarai sebagai calon, ertinya beliau mungkin agak selamat sekurang-kurangnya sehingga selesai PRU ke 13 nanti.




Semoga Us Nasha lebih berdisiplin..
Tersenarai sebagai di antara calon belum tentu menjadi calon. Kita pun tidak tahu di kawasan manakah PAS akan mempertaruhkan bekas Timbalan Presiden mereka ini jika beliau terpilih sebagai calon. Buat masa ini beliau adalah Ahli Parlimen Bachok, Kelantan dan difahamkan PAS Bachok sudah serik untuk berwakil rakyatkan Us Nasha lagi. Bolehlah dikatakan Parlimen Bachok bukan lagi tempat untuk beliau di dalam PRU akan datang (jika dicalonkan).

Keputusan PAS untuk tidak membincangkan isu Us Nasha ini boleh dikatakan satu keputusan yang adil dan bijaksana. Adilnya adalah kerana Us Nasha perlu diberi peluang untuk berubah sikap dari seorang yang suka membuat kenyataan yang berlawanan dengan dasar parti kepada ahli parti yang lebih berdisiplin. Peluang ini juga telah diberikan kepada Dr Hassan Ali dahulu, tetapi sikap Dr Hassan Ali yang beranggapan bahawa PAS tidak akan berani bertindak terhadap beliau ternyata silap. Diharapkan Us Nasha tidak berfikiran seperti Dr Hassan Ali.

"Sub Contract" Umno?
Kebijaksanaan PAS yang tidak terlalu fokus kepada isu Us Nasha ini patut juga diberi pujian. Di dalam PAS, Majlis Syura adalah badan yang tertinggi samada disukai atau tidak, semua ahli PAS mesti akur kepada keputusan badan yang dianggotai oleh para Ulamak di dalam PAS ini. Apabila para Ulamak berbincang, sudah pastinya mereka menjadikan Al-Quran atau Hadith sebagai rujukan bagi menyelesaikan masalah. Isu Us Nasha tidak dibincangkan, ertinya tiada nas atau dalil yang boleh menghukum atau membebaskan beliau melainkan PAS merasakan isu beliau terlalu kecil untuk diberikan fokus berbanding dengan isu yang lebih besar bagi menghadapi PRU akan datang.

Justeru itu, hujah Dr Hassan Ali baru-baru ini yang menyebut pengekalan Us Nasha di dalam PAS dan sebagai Ahli Majlis Syura membuktikan bahawa Ulamak di dalam PAS bersetuju dengan bekas Timbalan Presiden PAS itu ternyata meleset. Apabila isunya tidak dibincangkan, di mana datangnya persetujuan atau penentangan? Nampaknya Dr Hassan Ali terlalu kecewa dengan keputusan PAS membiarkan Us Nasha begitu sahaja. Paling kecewa sudah tentu Umno kerana Umno kini kehabisan isu dan modal untuk memburukkan PAS. Dr Hassan Ali mungkin kecewa kerana kempunan untuk menambah keahlian JATI, yang mungkin beliau telah sediakan satu kerusi penting buat Us Nasha jika beliau dipecat dari PAS.

Lupakan isu itu sementara waktu. Sekarang di mana kawasan yang wajar dan baik sekali untuk PAS berikan kepada Us Nasha jika PAS berpendapat beliau masih layak menjadi Wakil Rakyat? Apabila PAS mahu meletakkan calon, sudah pasti PAS mahu menang. Justeru itu, suka dicadangkan agar PAS meletakkan Us Nasha bertanding di kerusi Dun sahaja iaitu di kerusi yang sekarang ini diwakili oleh Dr Hassan Ali, iaitu di Dun Gombak Setia, Selangor. Pada PRU ke 12 yang lalu, Dr Hassan Ali yang bertanding atas tiket PAS telah menang di kerusi ini dengan majoriti 2, 797. Ini kerusi selamat buat PAS dan selamat buat Us Nasha jika beliau bertanding di kawasan ini akan datang.

Di kawasan tersebut, PAS pastinya akan berdepan dengan Umno. Adakah Dr Hassan Ali akan turut bertanding mengekalkan kerusi tersebut sebagai calon Bebas? Jika beliau benar-benar anak jantan yang hebat atas kekuatan pengaruhnya, kita yakin Dr Hassan Ali akan mempertahankan kerusi tersebut. Beliau tidak akan berani bersemuka dengan YB Khalid Samad di Parlimen Shah Alam, walaupun di dalam setiap ceramahnya beliau menghentam Ahli Parlimen Shah Alam tersebut sehingga menyeru orang ramai agar jangan memberi walau satu undi pun kepada YB Khalid Samad.

Kita jangkakan, Dr Hassan Ali tidak sebacul itu untuk melarikan diri dari Gombak Setia. Kita mahu saksikan Presiden JATI yang tidak diketahui berapa kerat ahlinya ini menyeru kepada pengundi-pengundi di Gombak Setia jangan berikan walau satu undi pun kepada Us Nasha di kawasan tersebut. Ketika itu, ketaatan dan kesetian kita di Gombak Setia akan diuji. Mungkin ramai yang tidak suka kepada Us Nasha, tetapi apakah mereka akan memilih Dr Hassan Ali atau calon Umno? Jika ditakdirkan Us Nasha menang di situ, ertinya rakyat telah cukup ditarbiyyahkan iaitu parti mesti diutamakan dari individu

No comments:

Search This Blog

Loading...