Friday, April 27, 2012

PKR dedah keahlian Umno bos SPR

PKR hari ini mendedahkan butiran keahlian Umno dua pemimpin paling penting dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melibatkan Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, Abdul Aziz menjadi anggota cawangan Sri Ampang Baru (bahagian Ampang) manakala Wan Ahmad pula di cawangan Kubang Bunggor (Pasir Mas) di Kelantan.

Nombor keahlian keanggotaan turut disertakan dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini.

"Seorang yang diamanahkan menduduki jawatan sebagai anggota SPR hendaklah diyakini bebas, tidak berpihak dan ‘non-partisan'.

"Ternyata pengerusi dan timbalan pengerusi SPR gagal dalam ujian asas ini apakala terbukti mereka berdua sah menjadi ahli Umno...," kata Saifuddin.

Saifuddin semalam dilaporkan mencabar kedua-dua orang kuat SPR itu supaya menafikan menganggotai parti Umno atau beliau akan mendedahkan butiran keanggotaan mereka hari ini.

Katanya, anggota panel SPR tidak sepatutnya condong kepada mana-mana parti politik agar dilihat berkecuali dan bertindak dengan tidak memihak.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang juga menegaskan bahawa kepercayaan awam syarat tonggak dalam kriteria pelantikan seseorang anggota dalam SPR.

"Kita berpendapat jalan terbaik untuk kedua-dua mereka membantu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan institusi SPR lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang ialah segera meletak jawatan," kata Saifuddin.

No comments:

Search This Blog

Loading...