Monday, May 23, 2011

Anwar : Banding Harga Minyak Dengan Negara Pengeluar

 Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat dan kerajaan membandingkan harga minyak dengan negara-negara pengeluar minyak dunia yang menurutnya jauh lebih rendah berbanding Malaysia.
Beliau yakin kadar ditetapkan oleh kerajaan tidak boleh dibandingkan dengan negara yang tidak mempunyai sumber minyak seperti Singapura.

Bercakap pada ceramah bersempena lawatan beliau ke negeri Sabah semalam, Anwar mengecam peranan kerajaan yang gagal memberi manfaat kepada negeri itu dan Malaysia secara keseluruhan untak menikmati keselesaan harga minyak rendah.

Ini katanya berikutan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak mempunyai kepentingan mengumpul dana kerajaan berbanding mengurangkan beban rakyat.

"Kita kena banding minyak dengan harga pengeluar minyak. Brunei, Arab Saudi, Qatar Venezuela dan Iran. Semuanya rendah bila dibandingkan," ujar beliau.

Di hadapan 500 penyokong yang hadir, beliau mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini menarik subsidi petrol diesel ke atas 9 jenis kenderaan komersial dengan alasan untuk mengurangkan defisit negara kepada 2.8 peratus menjelang 2015.

"Habis siapa yang dapat? Umno yang bawah-bawah ini menyibuk sahaja. Saya tidak musuh dengan Umno bawahan. Kalau boleh saya mahu terangkan kepada ahli Umno ini, kalau meraka terbuka sikit minda dia tidak akan terima. Kita menang 2008 banyak ahli Umno sokong kita," katanya lagi.

Anwar yang memegang jawatan Menteri Kewangan daripada tahun 1990 hingga 1998 berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam lapan tahun berturut-turut.

Justeru beliau turut cemerlang dalam usaha menangani kemelesetan ekonomi serta mempertahankan kedudukan negara apabila matawang negara jatuh pada tahun 1997.

Anwar berkata matlamat kerajaan Pakatan Rakyat akan menumpukan sepenuhnya kepada usaha meringankan beban rakyat di samping tidak mengabaikan kepesatan pembanggunan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, rakyat di negeri Sabah dan Sarawak berhak menikmati hasil bumi (minyak) dengan harga yang rendah.

Menurutnya pendekatan ini berbeza dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) melalui Petronas mengaut keuntungan berjumlah RM90 bilion setahun namun dalam masa yang sama menaikkan harga minyak domestik.

"Sudah begitu banyak wang dapat tapi naikkan harga minyak. Ini tidak masuk akal. Kemudian mereka (kerajaan) kata sebab harga pasaran tinggi. Saya peduli apa harga pasaran.

"Ini harga orang Sabah dan minyak keluar daripada bumi ini, kenapa mahu bebankan rakyat bumi ini. Siapa punya tanah, siapa punya minyak? Bukan kamu punya. Bahagikan, mudahkan, ringankan beban rakyat, itu matlamat kita," kata Anwar disambut sorakan penyokong.

Anwar meluangkan masa dua hari melawat dan bertemu rakyat di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan dalam siri jelajah memberi penerangan.

Turut hadir ke sesi ceramah termasuk kepimpinan tertinggi PKR negeri Sabah.

Dalam pada itu Anwar dalam ucapan sama bertegas untuk tidak mengangkat pemimpin Pakatan Rakyat yang sanggup meninggalkan parti demi kepentingan peribadi.

Katanya, mustahil bagi beliau sebagai Ketua Umum untuk merisikokan perjuangan tulen mengangkat martabat rakyat bersandarkan individu yang tidak berpendirian.

Lantaran itu beliau menyarankan ahli-ahli parti mengukuhkan semangat perjuangan menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Beliau mengulas tindakan A Gobalakrishnan melompat parti selepas didakwa menerima cek bernilai RM1.4 juta.

"Kemudian bila lompat cakap tiada keyakinan kepada Anwar Ibrahim dan tinggalkan beliau. (lihat) Orang yang macam mana ditinggalkan. Cek dan kontrak.

"Kalau tidak tinggalkan parti dan saya tahu dia berbuat begitu sedangkan saya di sini korban dengan tenaga dan kemudian mahu angkat orang begini untuk wakil kita. Bodoh saya (jika buat begitu) dan tidak layak saya memimpin kalau saya angkat orang begitu," jelas beliau lagi.

No comments:

Search This Blog

Loading...