Monday, April 4, 2011

Bubar DUN: PAS mahu tiga negeri Pakatan sokong Selangor

PAS Selangor berharap kesemua kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) akan ikut langkah Selangor yang memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pusat memanggil pilihan raya umum ke-13 sebelum Mac 2012. Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya yakin langkah itu akan membolehkan ‘risiko’ jentera Barisan Nasional (BN) bertumpu di Selangor dapat dielakkan.


“Pendirian PAS Selangor ialah negeri-negeri lain, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan bubarkan DUN serentak dengan Selangor selepas Mac 2012... jika ini dilakukan, kita boleh mengelakkan jentera BN hanya tumpu di satu negeri,” kata beliau kepada The Malaysian insider.

Katanya, PAS selari dengan pendirian yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Jumaat lalu bahawa DUN Selangor tidak akan dibubarkan sebelum 2012.

“PAS pun merasakan tempoh selepas Mac 2012 adalah sesuai kerana empat tahun selepas pilihan raya umum 2008, dan kita boleh menunjukkan hasil pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Rakyat,” katanya lagi.Khalid berkata DUN Selangor tidak akan dibubarkan tahun ini walaupun kerajaan pusat bertindak membubarkan Parlimen.Abdul Khalid berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sama ada untuk membubarkan DUN selepas Mac 2012 kerana mandat kerajaan negeri sekarang hanya akan berakhir pada 2013.

“Ada desas-desus bahawa Kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 lebih awal daripada tempohnya,” katanya.
Khalid dipetik berkata, keputusannya untuk tidak mengikut jadual pilihan raya kerajaan persekutuan kerana di bawah sistem persekutuan, negeri mempunyai hak dan kedaulatan untuk menentukan tarikh DUN akan dibubarkan seperti yang dilakukan Sarawak.

“Ia beri saya satu tempoh kira-kira setahun. Kini kita boleh nilai keberkesanan program kita,” kata Menteri Besar.Tahun lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata beliau berharap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan mempertimbangkan kepada soal risiko tumpuan jentera pilihan raya BN jika memutuskan untuk mengadakan pilihan raya berasingan.
Pakatan Rakyat juga menerajui kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Roslan Shahir berkata bagaimanapun pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya peringkat Parlimen jika BN memutuskan untuk memanggil pilihan raya awal.
“Kami, PAS sudah menggerakkan jentera pilihan raya sejak Januari lalu. Kalau diadakan pilihan raya Parlimen awal, kami pun sudah bersedia,” katanya.

...

No comments:

Search This Blog