Di Malaysia, industri pertahanan dalam bidang ekonomi pada hakikatnya merupakan "dinosaur" yang harus disingkirkan sejak awal lagi. Berbilion-bilion ringgit diperuntukkan kerajaan kita untuk menggerakkan sektor yang berorientasikan kecanggihan teknologi ini, namun tidak membawa apa-apa kesan ekonomi secara langsung mahupun tidak langsung sebaliknya.

Sejak Jun 2010, kerajaan Malaysia telah memberi kontrak dengan jumlah nilai RM9 bilion sekurang-kurangnya untuk pembelian aset pertahanan baru dan pemeliharaan aset yang sedia ada. Kontrak yang bernilai kira-kira RM6 bilion dianggarkan akan diberikan seterusnya, dan kedua-duanya membawa kepada jumlah RM15 bilion. Selain itu, dalam Defence Fair pada tahun lalu, kerajaan telah menandatangani kontrak pertahanan negara yang nilai keseluruhannya berjumlah lebih RM10.4 bilion.
Kerajaan telah memperuntukkan bajet RM 21 bilion kepada pertahanan di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (tahun 2006-2010), bersamaan 10.6% perbelanjaan pembangunan. Bajet peruntukan ini melonjak kira-kira 10%, kepada RM 23 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (tahun 2011-2015). Daripada perkiraan di atas, purata perbelanjaan tahunan untuk pertahanan mencatat RM4.4 bilion, dalam tempoh tahun 2006 hingga 2015.
Industri pertahanan bercanggah dengan logik ekonomi
Jika mengikut teori ekonomi, peruntukan kerajaan Malaysia yang mencecah bilion ringgit ke dalam bidang yang berorientasikan kecanggihan teknologi, seharusnya menikmati peningkatan produktiviti dan penurunan kos daripada ciptaan teknologi baru. Namun, mengapa sektor industri pertahanan Malaysia gagal mengecapi manfaat ini daripada teknologi yang canggih, sebaliknya terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang semakin tinggi dari tahun ke tahun?

Pertamanya, bidang pertahanan adalah sebahagian daripada dasar afirmatif bumiputera. Atau lebih tepat, merupakan salah satu saluran penting kerajaan untuk menyokong kroninya. Keistimewaan sektor ini adalah, hampir kesemua syarikat yang terlibat dimiliki bumiputera, malah tiada "persaingan pasaran". Semua kontrak pertahanan diberikan secara terus. Kontrak yang diberikan bertujuan untuk memanfaatkan usahawan bumiputera, terutamanya kroni. Lantaran daripada itu, dengan syarat "tidak kira apa pun harga yang perlu dibayar", maka nilai kontrak semakin melonjak.
Misalnya, kerajaan memberi satu kontrak pembinaan enam buah patrol vessel kepada PSC Industries Bhd, yang dikuasai korporat bumiputera terkenal, Amin Shah Omar Shah. Harga asal pembinaan adalah RM5.35 bilion, tetapi tundaan yang berlaku telah melonjakkan kosnya kepada RM6.75 bilion pada Januari 2007.
Tiada perpindahan teknologi
Keduanya, perbelanjaan pertahanan negara lebih kepada pembelian aset ketenteraan seperti Armored Personnel Carrier (APC), kapal selam, patrol vessel; atau perbelanjaan untuk memeliharanya, hampir tidak melibatkan kajian dan penyelidikan teknologi yang canggih, malah tidak melibatkan perpindahan teknologi.
Dalam pembangunan industri pertahanan, penguasaan kemahiran teknologi adalah kuncinya, dan juga aset yang paling bernilai. Semakin canggih, semakin kompleks malah semakin kuat kuasanya senjata ketenteraan, maka semakin tinggi harga produknya.

Selain itu, industri pertahanan adalah sektor industri dengan sensitiviti yang tinggi. Apabila pelabur mencurah wangnya untuk penyelidikan teknologi senjata tercanggih, ia berkemungkinan besar melibatkan rahsia ketenteraan, yang sudah pasti tidak akan dikongsi teknologinya.
Dalam suasana dan keterbatasan sedemikian, bidang pertahanan di Malaysia bukan satu sektor ekonomi yang "produktif", malah cenderung sebagai sektor "belanja" atau "tidak produktif". Keadaan ini menjelaskan mengapa peruntukan bilion, malah belasan bilion ringgit ke dalam bidang ini tidak mendatangkan manfaat ekonomi secara langsung atau tidak langsung. Malah, ia tidak mendatangkan manfaat dalam hal civilian use yang menggerakkan tamadun manusia.
Pertahanan vs Keselamatan vs Ancaman
Pada dasarnya, perbelanjaan pertahanan mempunyai hubungan yang langsung dengan keselamatan negara dan ancaman luar. Perbelanjaan pertahanan akan melonjak apabila keselamatan negara hendak dipertingkatkan, atau ketika kita berdepan dengan ancaman luar. Peningkatan keselamatan atau penangkisan ancaman luar melalui pertambahan peruntukan pertahanan negara akan membawa kesan positif external (luaran) terhadap ekonomi negara, termasuk produktiviti ekonomi, pertumbuhan ekonomi yang stabil dan mengukuhkan keyakinan pelabur asing.
Oleh itu, peningkatan perbelanjaan pertahanan langsung tidak mencerminkan, malah memenuhi keperluan realiti yang sebenar. Dengan erti kata lain, peningkatan perbelanjaan pertahanan untuk melindungi negara dari serangan luar langsung tidak berfungsi untuk memantapkan pembangunan ekonomi dan mengukuhkan keyakinan pelabur asing, sebaliknya menimbulkan masalah "perbelanjaan yang terlebih".
Lebih tepat, bidang industri pertahanan yang didukung dengan wang berbilion-bilion ringgit ini sekadar untuk menyokong aktiviti merentir (rent-seeking) kroni, untuk mengekalkan politik naungan (patronage), dan tidak membawa apa-apa kebaikan ekonomi.
1 comment:
UNTUK MALAYSIA KRONI DIDAHULUKAN KHAZANAH NEGARA DIFARAIDKAN !
Post a Comment