Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam mengakui  penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan  khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia, yang sekaligus  mengesahkan pembabitan Apco dalam kempen 1Malaysia. 
Dalam  laporan yang disiar sebuah portal berita semalam, Nazri menunjukkan dua  surat yang mengesahkan pembabitan APCO dengan pentadbiran Najib iaitu  dalam bukti dua dokumen.
Salah  satunya surat daripada Apco yang menyebut, firma perhubungan awam itu  dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi.
Mengulas  perkara ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata,  pendedahan Nazri itu sebenarnya mengesahkan bahawa Apco memainkan  peranan sebagai penasihat dalam kempen 1Malaysia melalui sokongan  komunikasi yang ditawarkan.
“1Malaysia adalah slogan yang dibawa Najib, dan tagline  ini perlu dikomunikasikan kepada rakyat, jadi salah satu peranan Apco  adalah menasihati kerajaan melalui perkhidmatan komunikasi ini supaya  slogan ini sampai kepada rakyat. Ini lah yang kita katakan pembabitan  Apco dalam kempen 1Malaysia,”jelasnya.
Beliau  juga mempersoalkan kenapa baru kini Nazri mahu membalas pendedahan  Anwar, selepas Ketua Pembangkang itu digantung dari sesi parlimen selama  6 bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Walaupun  selama ini Anwar ada bukti penglibatan APCO dan mahu membentangkannya  di Parlimen, Nazri dan Najib hanya berdiam diri dan kenapa terus  menggantung Anwar selama enam bulan? Kenapa selepas Anwar digantung,  barulah Nazri bercakap kepada media menunjukkan surat yang dihantar APCO  kepada kerajaan BN?
“Anwar sudah pun  mencabar Najib untuk menafikan pembabitan APCO sejak dari bulan April  lagi. Dan mereka ambil masa 8 bulan untuk menjawab perkara ini  sekarang,” kata Saifuddin lagi.
Nazri  Aziz semalam mengemukakan dua bukti dokumen, iaitu surat daripada Apco  dan kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, perunding politik yang  menggubal konsep One Israel.
Kedua-dua  dokumen itu hanya dikemukakan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan  menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tiga  Ahli Parlimen lain selama enam bulan pada 16 Disember lalu.
Anwar  digantung dari Parlimen tanpa dipanggil membela diri berhubung  pendedahan beliau tentang pembabitan APCO Worldwide, firma Yahudi yang  terlibat dalam kempen 1 Malaysia yang dicanangkan Najib, yang menyamai  kempen One Israel.
No comments:
Post a Comment