Thursday, September 23, 2010

PEMBUNUH SOSILAWATI DAPAT ILHAM DARI KES ALTANTUYA ?



Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Jika kita perhatikan ada ciri-ciri persamaan antara kes pembunuhan Altantuya dengan kes pembunuhan Sosilawati.
Apa yang jelas persamaan pertama bagi kedua-dua kes tersebut adalah kedua-dua mangsa adalah wanita. Kedua-duanya dari negara 2M- Mongolia dan Malaysia. Kekejaman penjenayah ke atas golongan wanita di negara ini boleh dilihat dari kes pembunuhan kanak-kanak dan remaja perempuan sehinggalah ke wanita dewasa sama ada wanita Malaysia atau wanita Monggolia.

Persamaan kedua adalah melibatkan isu motif pembunuhan. Berdasarkan laporan media massa nampaknya pembunuhan Sosilawati , sepertimana kes Altantuya, juga melibatkan unsur kewangan. Dalam kes Altantuya , kita dikhabarkan wanita dari Negara Genghis Khan itu sanggup datang ke Malaysia bagi mendapatkan duit komisyen penjualan kapal selam. Di dalam kes Sosilawati pula dikhabarkan ianya melibatkan urusan penjualan dan pembelian hartanah yang dikatakan bernilai jutaan ringgit. Pokoknya kedua-dua kes pembunuhan itu melibatkan soal wang. Wang adalah simbol kuasa. Kerana kuasa orang sanggup membunuh .

Persamaan ketiga adalah modes operandi pembunuhan tersebut. Kita tertanya-tanya adakah mereka yang terlibat dalam pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain tersebut mendapat ilham dari kes pembunuhan Altantuya ?Mungkin tidak keterlaluan jika kita katakan mereka yang membunuh Sosilawati mendapat ilham dari kes pembunuhan Altantayu Sharibu

Bagi mendakwa seorang pembunuh, pendakwa perlu buktikan wujudnya mangsa yang dibunuh. Bagi membuktikan mangsa dibunuh, perlu dibuktikan kewujudan mayat yang yang dikatakan menjadi mangsa pembunuhan tersebut.

Modes operandi pembunuhan Altantuya adalah pertamanya melenyapkan segala bukti yang membolehkan mayat mangsa ditemui atau dikenalpasti. Oleh itu sekadar menembak Altantuya tidak mencukupi. Mayatnya perlu di”ghaib”kan dengan meletupkan tubuh badannya dan membakarnya sehingga menjadi abu. Dengan itu harapan untuk mengenalpasti mangsa akan menjadi terlalu sukar jika pun tidak mustahil.

Bukankah modes operandi yang sama juga kini diaplikasikan di dalam kes Sosilawati. Apa yang jelas sepertimana pembunuh Altantuya, pembunuh Sosilawati, siapa pun dia, memang berniat mahukan segala bukti yang membolehkan mayat Sosialawati dikenalpasti dilenyapkan . Maka atas dasar itu dikatakan oleh pihak polis, mayat Sosilawati telah dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Dengan membuang abu ke dalam sungai nampaknya pembunuh Sosilawati menambahbaik teknik pembunuhan yang dilakukan ke atas Altantuya. Jika nak kenalpasti Altantuya agak sukar kerana mayatnya sudah menjadi abu, maka usaha mengenalpasti mangsa dalam kes Sosilawati kini bertambah-tambah sukar kerana bukan sahaja mayat telah menjadi abu, abu mayat pun turut dibuang ke sungai.

Persamaan berikutnya adalah suspek yang dilibatkan dengan pembunuhan Altantuya dan Sosilawati juga melibatkan mereka yang mempunyai sumber kewangan yang agak lumayan. Dengan kata lain mereka adalah orang kaya. Dilaporkan di dalam akhbar antara suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan Sosilawati adalah mereka yang bergelar Datuk dan mempunyai harta yang agak banyak. Harta dan kewangan adalah simbul kekuasaan. Kuasa boleh membeli pengaruh. Pengaruh pula, jika tidak dikawal, boleh membunuh.

Persamaan berikut mungkin ramai yang tidak perasan. Di dalam kes Altantuya, semasa Razak Baginda membuat permohonan bagi mendapatkan jaminan, beliau menyatakan di dalam afidavitnya bahawa beliau telah mendapatkan bantuan dari salah seorang anggota pasukan keselamatan yang dituduh bersama-sama beliau iaitu C/Inspektor Azilah Hadri yang diperkenalkan kepada Razak oleh DSP Musa Safri. Di dalam afidavitnya Razak menyatakan C/Inspektor memberitahunya bahawa beliau bertanggungjawab ke atas pembunuhan enam orang atau lebih dan beliau boleh menolong Razak.

Kini di dalam kes Sosilawati kita juga dikhabarkan suspek yang terlibat juga dikatakan pernah terlibat dengan kematian beberapa orang lain sebelum ini.

Persoalannya kenapa hanya selepas kes Altantuya timbul, barulah timbul berita kes pembunuhan enam orang yang dikatakan di bawah tanggungjawab Azilah .Siapakah enam orang tersebut yang dikatakan dibunuh oleh Azilah sehingga kini menjadi misteri.

Misteri yang sama juga timbul di dalam kes Sosilawati. Jika Sosilawati tidak dibunuh apakah terbongkar kisah kematian jutawan India dan beberapa individu yang lain yang dikaitkan juga dengan suspek di dalam kes Sosilawati. Jika kes Sosilawati tidak menjadi berita hangat di media massa adakah kes-kes lain itu akan juga disiasat atau disiasat secara terperinci dan didedahkan hasil penyiasatan kepada orang ramai ?

Persamaan yang terakhir antara kes Altantuya dan kes Sosilawati adalah kedua-dua kes tersebut berjaya merosakkan imej negara Malaysia. Dalam hal ini kita perlu ucapkan tahniah kepada Kerjaaan BN ! Ia menunjukkan betapa tidak selamatnya negara ini di pandangan negara dan orang luar. Jika Lee Kuan Yew pernah mengatakan suatu ketika dahulu negara ini tidak selamat kerana kadar jenayah yang tinggi bolehkah kita salahkan beliau ?


No comments:

Search This Blog