Tuesday, August 10, 2010

Noh Omar hanya ‘alim-alim kucing’ ketika Ramadan

Hasan: Bagi kita setiap bulan adalah haram bagi semua aktiviti maksiat bukan bulan Ramadan sahaja.
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali membidas Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendesak supaya pusat-pusat hiburan di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan, yang dijangka bermula esok, sambil menyifatkan pemimpin Umno itu sebagai “alim-alim kucing.” “Bagi kita setiap bulan adalah haram bagi semua aktiviti maksiat bukan bulan Ramadan sahaja.
“Ini menunjukkan betapa ceteknya ilmu agama pemimpin-pemimpin Umno.
“Bulan Ramadan baru nak tunjuk alim? Itu alim-alim kucing,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Noh mencabar kerajaan negeri Selangor supaya menutup semua pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu.
Noh telah mempertanggungjawabkan Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor supaya mendesak kerajaan negeri Selangor sekiranya PAS benar-benar memperjuangkan Islam.
“Kita (Pakatan Rakyat) baru tadbir Selangor ini dua tahun lima bulan tapi Umno-BN sudah 52 tahun jadi sekarang kita mahu kikis saki-baki Umno-BN di negeri ini termasuk rumah pelacuran, pusat hiburan dan kedai-kedai arak.
“Dengan melahirkan kesedaran, jumpa penduduk dan jumpa pemilik premis arak kita lihat usaha itu menunjukkan kesan positif berbanding apa jua cara yang digunakan Umno-BN malah ia bukan semakin berkurang tetapi semakin banyak pula.
“Inilah dasar Umno-BN tapi sekarang nak salahkan kita pula... 52 tahun lawan dua tahun lima bulan?” katanya.
Hasan juga berpendapat bahawa Noh “cemburu” akan usaha Pakatan Rakyat yang berjaya mengurangkan pusat-pusat hiburan di negeri itu.
“Beliau (Noh) cemburu tengok dalam masa dua tahun lima bulan ini kita dapat redakan masalah arak, judi dan sebagainya.
“Sekarang kita memerlukan sokongan semua pihak sama ada orang Melayu ataupun bukan Melayu untuk bersama-sama membendung kegiatan maksiat di negeri ini,” katanya.
Sebelum ini Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Selangor menutup lebih 4,500 pusat judi dan rumah urut di seluruh negeri ini atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Gerakan Belia 4B tempatan.
“Jika ini dapat dilakukan kami yakin negeri Selangor akan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain,” katanya.
Malah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo juga pernah mencabar kerajaan negeri Selangor menutup premis perjudian dan rumah urut.
Selain itu, Gagasan Anak Muda turut menggesa kerajaan negeri Selangor menutup semua aktiviti hiburan sepanjang bulan Ramadan.
Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mengkritik Umno Selangor yang meminta agar pusat hiburan dan rumah-rumah urut di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan dengan menyifatkan gesaan itu sebagai sikap “hipokrasi” parti itu.
“Ia bukan hanya dosa ketika bulan Ramadan,” kata beliau sambil menambah, pendekatan betul adalah menerusi pendidikan, bukannya tekanan.
Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam mempersoalkan motif Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dengan menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.

2 comments:

matamata said...

BRO...bila lagi nk bertindak, tak kan nk tunggu dpt seluruh Malaysia baru nk jalankan hukum Islam kot?. Jangan tinggal semua, klau tak mampu utk buat semua!! Kata2 dulu tu mesti dikotakan...skrg kuasa ada pada tangan...nape takut pada DAP ker?? atau takut pada ALLAH??

pemuda cheh said...

mata2...ana nak tanya..dulu bila kerajaan pas terengganu dah lulus undang2 hudud dan qisas untuk dilaksanakan di terengganu siapa yang halang untuk dilaksanakan. siapa yang kata jika hudud dilaksanakan maka ramai boleh makan sup kaki dan tangan. siapa yang kata judi bila dilesenkan menjadi halal dan boleh mengurangkan judi haram.tuhan kata haram tapi ada yang kata jika berlesen boleh menghalang judi haram dari berleluasa.hudud itu ciptaan siapa? siapa kata hudud tak sesuai untuk masyarakat majmuk?. manusia atas mukabumi siapa penciptanya.apakah perlembagaan lord reid yang kita pakai lebih baik dari perlembagaan allah iaitu al quran. cakap biar dengan ilmu.

Search This Blog