Tuesday, May 4, 2010

Nor Mohamed, Khazanah perlu jelaskan

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Tan Sri Azman Mokhtar menjelaskan mengenai kerugian sebanyak RM546 juta yang ditanggung Pos Malaysia Berhad.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, kedua-dua pihak tersebut perlu memberikan penjelasan itu kerana Pos Malaysia telah dipindahkan daripada Kementerian Kewangan kepada Khazanah pada 2006.

Pada masa itu, jelas beliau, Nor Mohamed merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Azman pula adalah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

"Nor Mohamed dan Khazanah perlu memberikan penjelasan yang benar dan tepat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kerugian sebanyak RM546 juta yang ditanggung Pos Malaysia.

"Mereka berdua juga perlu mendedahkan siapakah individu atau perkumpulan yang telah mendapat manfaat hasil daripada kerugian tersebut kerana ia juga penting untuk rakyat Malaysia mengetahuinya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azwanddin mengulas kenyataan akhbar Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir semalam yang menggesa Khazanah menjelaskan mengenai kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia.

Sementara itu, JMM juga meminta penjelasan kerajaan berhubung kriteria pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi mengetuai syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ia berdasarkan merit pengalaman dan kejayaan individu terbabit atau kronisme semata-mata.

Beliau menimbulkan persoalan itu memandangkan majoriti CEO yang dilantik mengetuai GLC kebanyakannya berasal daripada Dana Harta Berhad.

"Sekiranya pelantikan jawatan penting di dalam GLC seperti CEO ini mengambil kira pelantikan yang dibuat atas dasar sahabat atau kawan sekerja atau kenalan maka ia tidak telus dan menggambarkan ketidakadilan.

"Keadaan ini akhirnya akan memberikan tafsiran negatif terhadap kerajaan mengenai pelantikan CEO tersebut," katanya yang menyebut beberapa nama individu yang menjawat jawatan tertinggi itu.

Dalam perkara berasingan, Azwanddin juga meminta Nor Mohamed menjelaskan hubungan beliau dengan seorang ahli perniagaan, Shaikh Akmal Shaikh Alaudin iaitu Pengarah Syarikat E-Efficient Solution Bhd.

JMM mendakwa syarikat berkenaan telah mendapat kontrak daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebanyak RM900 juta.

"Seperti yang pernah didedahkan oleh JMM sebelum ini bahawa Shaikh Akmal mempunyai hubungan dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan Pengerusi Eksekutif ECM Libra Financial Group Bhd., Datuk Seri Kalimullah Hassan," dakwanya.

No comments:

Search This Blog