Wednesday, December 2, 2009

Nik Aziz: Kalau PAS desak OK, tak akan layan Umno

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berhadapan dengan siri kontroversi menegaskan, beliau sudah lali dengan desakan demi desakan supaya meletakkan jawatan dan sama sekali tidak akan tunduk kepada gesaan Umno.

Kira-kira 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim di sini pagi semalam memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti petroleum.

Dua minggu lalu Pemuda Umno Kelantan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil meminta agar Nik Aziz dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang mengetuai Perbadanan Menteri Besar Kelantan agar melepaskan jawatan masing-masing.

Nik Aziz telah meminta Ariffahmi agar melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu.

Kata Nik Aziz, tindakan yang sama pernah dibuat pemimpin Umno negeri itu beberapa kali sebelum ini dan tidak perlu ia dilayan.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita. Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," kata beliau dipetik Harakah Daily ketika mengulas demonstrasi semalam.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ia datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan.

"Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena-mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau, perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan dan pergolakan dalam Umno dan Barisan Nasional sendiri.

Nik Aziz juga meminta penyokong PAS memboikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca surat khabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

No comments:

Search This Blog