Tuesday, June 30, 2009

Kelantan kaji kenaikan elaun guru Al-Quran dan Halaqat

Kerajaan negeri Kelantan sedang mengkaji kemungkinan meningkatkan kadar elaun bagi guru-guru yang mengajar Al-Quran dan Halaqat

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya sudah menerima kertas cadangan berhubung perkara itu.

"Kami akan teliti kertas cadangan itu sebelum buat keputusan," katanya semasa menjawab soalan Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali kedua di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga kini kouta bagi guru mengajar Al-Quran dan Halaqat adalah 60 orang bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, namun menurutnya sebarang pertambahan kepada jumlah itu adalah mengikut keperluan semasa bagi setiap kawasan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata kerajaan negeri menjangka seluruh rakyat akan dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya pada 2010. Beliau berkata syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sentiasa berusaha untuk menaik taraf perkhidmatannya dalam usaha membekalkan air bersih kepada rakyat Kelantan.

Ketika menjawab soalan Arifabillah@Mohd Asri Ibrahim (PAS-Dabong) berhubung masalah yang dihadapi dalam usaha menyediakan bekalan air bersih, Anizam berkata antara masalah yang sering timbul adalah terputus bekalan elektrik yang menyebabkan bekalan air tidak tidak dapat disalurkan kepada pengguna.

Beliau berkata AKSB membelanjakan RM1.2 juta sebulan sebagai bayaran untuk bekalan eletrik bagi memastikan perkhidmatannya tidak terganggu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata kutipan hasil tanah tahun lepas meningkat kepada RM21.4 juta, atau 44.46 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata pungutan hasil tanah secara online masih di peringkat rendah, dan menurutnya sehingga ini hanya RM2,056 sahaja dapat dipungut melalui kaedah itu.

"Bagaimanapun kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan kutipan secara online untuk kemudahan rakyat pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Search This Blog