Friday, March 13, 2009

Prospek Tengku Razaleigh sebagai bakal PM

MAC 13 — Tengku Razaleigh Hamzah telah menggariskan beberapa gagasan penting apabila berbicara tentang kerajaan perpaduan yang disokong oleh beliau.

Gagasan itu antara lain adalah menstabilkan kerajaan pusat dan negeri, memberikan ruang kebebasan untuk media, memperteguhkan ekonomi dengan melaksanakan projek yang boleh menggerakkan ekonomi ke arah lebih baik dan membebaskan para cendekiawan di universiti dari kongkongan AUKU.

Sebagai wartawan, saya sempat mewawancara beliau Selasa lepas bagi mengetahui apakah yang ada dalam pemikiran beliau apabila menyambut gagasan kerajaan perpaduan yang disarankan oleh Presiden Pas baru-baru ini.

(Wawancara penuh dalam www.youtube.com/kubikminda)

Bagi Tengku Razaleigh, beliau telah membincangkan gagasan ini bukan sahaja dalam pertemuan beliau dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas itu tetapi juga dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Tengku Razaleigh, negara memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil sekarang terutama dalam menghadapi kemelut ekonomi ekoran kemelesetan ekonomi dunia.

Dengan kegagalan Barisan Nasional mendapat majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan kehilangan lima negeri penting dalam pilihan raya Mac 2008 lalu, negara berada dalam keadaan tidak stabil. Kini, kerajaan BN bergantung kepada para ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Ekoran itu, katanya, BN tidak akan dapat berbuat banyak.

Untuk memajukan ekonomi, Tengku Razaleigh mencadangkan agar kerajaan Pusat menjalankan projek perumahan besar-besaran di seluruh negara.

"Saya menganjurkan satu rancangan untuk mengatasi kemelesetan iaitu rancangan perumahan besar-besaran di seluruh negara," kata Tengku Razaleigh dalam wawancara itu.

Beliau mempunyai alasan tersendiri kenapa projek ini boleh mengatasi kemelesetan negara.

"Sebab perumahan adalah satu aktiviti ekonomi yang boleh menggandakan aktiviti lain, aktiviti sampingan, mencetus multiplier effect yang boleh menambahkan kewangan, pekerjaan kepada orang ramai.

"Dan melibatkan pengusaha kecil-kecilan yang ada kaitan dengan rancangan pembangunan perumahan. Jadi ini semua akan mendorong semua pihak bekerjasama tetapi kerajaan mesti membantu sepenuhnya," kata Tengku Razaleigh dalam wawancara itu.

Untuk melaksanakan projek ini, katanya, perlukan kerjasama sepenuhnya antara Pusat dan negeri kerana pusat mempunyai sumber kewangan manakala negeri pula memiliki tanah. Kalau kedua-duanya tidak bersama, macamana segala hasrat baik ini akan berjalan.

Bagi beliau, melalui gabungan kerjasama antara pusat dan negeri inilah, projek sebegini akan berjaya. Dan di sinilah perlunya kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan itu.

Ketika ditanya, bagaimana hasrat ini boleh dicapai, Tengku Razaleigh dengan tegas berkata, ia perlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira parti di negara ini.

Bagi Tengku Razaleigh, prospek kerajaan perpaduan ini sangat luas apabila kebanyakan pihak semacam setuju bahawa bakal perdana menteri yang ada, Datuk Seri Najib Razak memikul terlalu banyak “extra baggage” untuk memikul pula tanggungjawab baru itu.

Setuju dengan tulisan saya sebelum ini bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik perdana menteri di kalangan mereka yang difikirkan baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh yakin, prospek untuk baginda memilih calon lain dari Najib sangat besar.

Ketika ditanya, apa beliau bersedia untuk memimpin kerajaan perpaduan ini, Tengku Razaleigh dengan rendah diri berkata, "Saya sanggup bersama-sama dengan mana-mana kumpulan yang boleh membantu."

Inilah realiti dan alternatif yang ada di depan kita sekarang. Satu, kita kekal dengan kerajaan BN pimpinan Najib yang telah menawar RM60 bilion melalui bajet mininya atau satu alternatif lagi kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh. Sudah tentu satu lagi alternatif adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Namun sehingga pilihan raya umum akan datang, prospeknya agak kecil. Menjadi alternatif juga adalah Abdullah mengekalkan kerusi PMnya namun dengan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen baru-baru ini, ia menyukarkan laluan itu.

Najib sendiri telah mengakui bahawa suara-suara tuntutan agar semua pihak mengenepikan perbezaan politik buat sementara dan menumpukan kepada usaha untuk menghadapi masalah kemelesetan ekonomi amat kuat sekarang.

Namun, adakah semua bersedia untuk berada di belakang Najib dalam merealisasikan agenda bersama itu? Anwar sendiri, sehari sahaja selepas huluran tangan Najib itu, menyifatkan ia umpama menghulurkan ranting zaitun untuk perpaduan tetapi dalam masa yang sama menghunuskan keris ke arah rakyat.

Pendek kata, amat sukar untuk mana-mana pihak yang waras sekarang untuk menyambut tangan Najib yang dianggap mereka penuh dengan “masalah” kalaupun bukan “darah” itu.

Alternatifnya adalah cadangan Tengku Razaleigh. Namun, isu besar sekarang adalah mampukan Tengku Razaleigh sendiri membawa sekurang-kurangnya 30 anggota Parlimen BN bersama-sama beliau untuk bergabung dengan anggota Parlimen Pakatan Rakyat bagi membentuk suara majorti dalam Dewan Rakyat?

Jika tidak, sekali lagi Tengku Razaleigh hanya bermimpi sebagaimana mimpi beliau mahu merebut jawatan Presiden Umno dalam sessi pencalunan kepimpinan Umno tahun lepas. Akhirnya hanya bahagian beliau sahaja yang mencalunkannya.

No comments:

Search This Blog