Saturday, July 10, 2010
terbelakah peneroka felda
Yakinlah, selepas pengumuman dibuat, orang ramai akan bertepuk sorak. Kalau semua 112,635 orang peneroka hadir ke majlis itu dan semuanya bertepuk dan bersorak, saya fikir gajah di hutan pun akan lari lintang-pukang. Gajah fikir dunia sudah kiamat.
Berapa setiap keluarga peneroka akan dapat? RM1,000 atau RM10,000? Kalau dapat RM2,000 sekeluarga, berapa lama wang sejumlah itu boleh tahan? Dua tahun atau dua dekad?
Tahun depan dapat lagi. Mungkin sebanyak itu juga atau lebih banyak. Orang ramai pun bertepuk tangan dan bersorak lagi. Gajah di hutan pun hairan lagi, mengapa dunia kiamat sampai dua kali?
Saya tidak berkata saya tidak bersetuju dengan pemberian itu. Sebenarnya lagi banyak lagi bagus. Itu meringankan beban peneroka untuk menampung keperluan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga di kalangan mereka yang daif merasai nikmat menyambut lebaran.
Tetapi persoalannya ialah, sampai bila peneroka akan diperlekeh oleh pemimpin BN? Setelah berpuluh tahun keringat mereka diperah oleh Felda, keringat itu hanya dibayar dengan RM1,000 @ RM2,000 @ RM10,000 setahun? Adakah itu harga keringat mereka selama ini?
Wang hari raya tidak boleh mengeluarkan mereka dari belenggu kehidupan mereka kini. Terlalu ramai peneroka yang hidup di bawah paras kemiskinan. Anak-anak mereka menganggur. Kehidupan mereka terdesak.
Kekayaan Felda tidak boleh dilonggok di KL, tetapi perlu dilonggok untuk kepentingan peneroka. Jangan ada pemimpin negara yang mengambil kesempatan di atas keringat peneroka untuk kepentingan sendiri dan keluarga.
Bolehkah Najib berbangga dengan MRSM Felda di Trolak yang belum tentu boleh dimasuki oleh anak-anak peneroka? Sebenarnya membina generasi bukan bermula dari tingkatan satu, tetapi lebih awal daripada itu.
Sebenarnya kerajaan sudah terlambat. Hari ini kerajaan sudah kehilangan punca untuk menangani masalah yang dihadapi di Felda. Mereka mungkin boleh berbangga dengan bangunan pencakar langit yang dimiliki Felda dimana-mana, tetapi bolehkah mereka berbangga dengan kehidupan sebenar peneroka?
Mengapa kini baru dibina MRSM Felda? Mengapa tidak dua puluh tahun dulu? Mengapa hari ini baru kerajaan terhegeh-hegeh memberi duit raya kepada peneroka, sebelum ini bagaimana?
Inilah modal politik BN. Biarkan rakyat susah dan merempat, kemudian jadikan wang sebagai umpan mengail undi
Friday, July 9, 2010
umno yang sudah nyanyuk
Sah dah nyanyuk. Memang sifat manusia atau makhluk ia akan kembali asal. Dari kanak kanak kita menjadi dewasa dan kuat.Kemudia kita akan kembali menjadi tua dan lemah. Tanda hampirnya kita ke penghujung kehidupan atau kematian. Kalau masa kecil banyak perkara yang kita buat, perkara yang sama biasanya berulang di penghujung kehidupan. Apatah lagi kalau dah sampai tahap nyanyuk kerana lamanya hidup.
Begitulah umNo! Mana ada kerajaan dalam dunia demokrasi terutama Negara maju bertahan lebih 50 tahun selain umNO.
Dari lemah suatu ketika kemudian menjadi kuat dan kini berada di penghujung usia. Segalanya serba tak kena… memang dah begitu perangai orang tua…makin sensitive.. malah kadang kala jadi ngada ngada… melainkan di usia mudanya penuh dengan ibadat dan ketaatan… ibadat itu akan membantu…
umNO dah sampai tahap terlalu tua. Ia dah mula menunjukkan tanda nyanyuk. Kini umNO ketandusan idea. Apa yang dibuat serba tak kena. Senjata keris lama dah berkarat dan bahaya kalau digunakan lagi. umNO kini dah mula menggunakan senjata lama yang tersimpan dalam sejarah. Senjata perkauman yang dah tak relevan dengan masa. Malah dah tak relevan dengan slogan Satu Malaysia sendiri.
Kenyataan Mahyudin mengingatkan bangsa melayu satu contoh ketara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kuasa politik yang diperolehi orang Melayu sejak negara merdeka adalah penting kerana ia telah membolehkan mereka maju dalam pelbagai bidang. "Sebab itu, untuk menentukan keberkekalan kuasa politik yang kita miliki, kita kena bersatu. Kalau kita berpecah, kuasa politik yang menentukan kemajuan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran akan hilang," katanya.
Sebelum ini Shahrizat mengingatkan rakyat Kelantan kononnya ketinggalan dan tak maju. Kenyataan Muhyidin ini sangat kemelayuan . Apakah kenyataan itu satu perangkap politik buat melayu atau tanda percanggahan pendapat Muhyidin dengan Bos nya Satu Malaysia.
Apa yang jelas umNo sedang mengulang nostalgia kemenangan mereka dulu dulu. Mungkin umNo lupa bahawa isu perkauman sudah ketinggalan zaman. BTN yang menjadi juara asobiayah pun dah tak laku. Namun apa yang perlu diingatkan bahawa orang nyanyuk ni boleh buat perkara di luar dugaan…. Bersedia Pakatan Rakyat menghadapi amukan orang nyanyuk????Pas terus benci BN
Tindakan itu sebagai reaksi balas keputusan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan hak royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan,
“Di dunia saya kempen habis-habisan memburuk-burukkan menteri yang khianat kepada rakyat Kelantan yang tidak beri royalti petroleum, ini kerja fasiq dan maksiat merampas harta orang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Armalah Darul Naim Kelantan, di sini semalam.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membawa kes itu ke mahkamah kerana keengganan Kerajaan Pusat memberi hak kepada Kelantan sebagaimana yang dituntut.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia untuk menjadi saksi kepada kes berkenaan memandangkan beliau orang yang bertanggungjawab kepada isu itu ketika menjadi Pengerusi Petronas.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menyeru kepada golongan ibu tunggal mendoakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein membuka pintu hati mereka supaya hak rakyat Kelantan itu dikembalikan.
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz kesal dengan sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan enggan menerima konsep Islam walaupun ia sudah dibicangkan semasa penubuhan gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.
“Sebelum masuk Pakatan Rakyat (PR) kami sudah bincang, dasar kami Islam, oleh yang demikian kami hormat DAP dan dia kena hormat Pas pada mula-mula nak buat Pakatan Rakyat dulu, kenapa timbul balik perkara ini,” katanya.
Dalam perkemba- ngan lain, Nik Abdul Aziz mendakwa pertubuhan Al-Arqam dan UMNO sama-sama sesat dalam membawa fahaman Islam di negara ini.
“Al-Arqam dan UMNO serupa je sama sesat. Dia (UMNO) lawan Pas dalam pilihan raya. Puak-puak (mereka ini) ni mengarut,” katanya mengulas tindakan Pas Johor membuat laporan polis pada 5 Julai lalu terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.
Bermula Dengan Felda, Petronas Pula Kini Hadapi Gawat Kewangan
Oleh Rusnizam Mahat
Selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kemerosotan rizab tunai yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun, kini syarikat petroliam negara, Petronas pula dirundung nasib yang sama akibat penurunan perolehan yang mendadak.
Keadaan ini menjadi lebih gawat berikutan Petronas yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, tidak lagi berupaya bersaing dengan syarikat pengeluar minyak dunia.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan usul mengenai perolehan Petronas di Dewan Rakyat tetapi telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.
"Laporan ini membimbangkan, prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion. Keuntungan pun merosot 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan ialah RM70.9 bilion. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen," jelas beliau pada sidang media di parlimen tengahari tadi yang disertai ahli-ahli parlimen KEADILAN.
"Saya bangkitkan ini kerana saya lihat ia bertujuan untuk menampung defisit. Defisit (negara) tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak. Ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara.
"Kedua di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Menurut Anwar dasar Petronas kini telah berubah berikutan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas sehingga menyebabkan tahap profesionalisme serta kewibawaan syarikat itu terjejas dan dipertikaikan.
"Kebimbangan kita selain masalah defisit ini ialah Kedudukan dan keupayaan Petronas dalam jangka masa sederhana dan panjang pasti akan terjejas. Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka.
"Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.
"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 RM74 bilion dan 2010 RM57.6 bilion.
"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi.
"Untuk 2010 tahun kewangan berakhir 31 Mac, keuntungan 85.6 peratus Petronas diserah semuanya kepada kerajaan. Angka ini mempertikai dalam RMK-10 dan kita melihat angka dan sumbangan Petronas ini sudah lari dari unjuran dan perkiraan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, baru baru ini.
"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil. Jadi belum selesai isu Felda, timbul krisis Petronas pula," kata beliau lagi.
Thursday, July 8, 2010
Stadium bernilai RM 292 juta runtuh Nga: Tiada orang kena dakwa
Ahli Parlimen Kawasan Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendedahkan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan setelah pembukaan rasmi, tidak ada sesiapapun didakwa atas kejadian yang menjejaskan imej Negara.
Nga Kor Ming berkata di parlimen hari ini, mengikut jawapan dari Menteri Kerja Raya, Shaziman, kontraktor utama projek berkenaan, iaitu Konsortium Bina Struktur-Emarcon-Genggam Mercu JV telah diarahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa keruntuhan bumbung di Stadium itu kerana projek itu masih dalam tempoh warranti semasa kejadian runtuhan berlaku.
Walau bagaimanapun, kontraktor konsortium itu enggan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan dan pembaikan walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada pihak Kontraktor. Oleh itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium yang menganjurkan SUKMA 2009 tersebut. Tender tersebut telah ditutup pada 19 April 2010.
Menurut Menteri berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut dan mengenakan tindakan senarai hitam kepada Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan pengarah sahamnya dari mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009.
Nga Kor Ming berkata, berbanding dengan Singapura, tindakan kerajaan jelas gagal mencegah kejadian sedemikian dari berlaku pada masa depan kerana pihak yang mengakibatkan keruntuhan stadium dan kerugian harta kerajaan tidak perlu menghadapi tindakan Mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengambil iktihbar dari siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej Negara.
"Di depan mata kita, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bumbungnya bocor, bangunan parlimen yang menghadapi kebocoran sama, Hospital Pandan, Johor Bharu yang dijangkiti fungi, Masjid Besut Terengganu yang runtuh, Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak yang runtuh hancur berkecai, Jejantas Kepong yang retak dan begitu banyak contoh kesemuanya mencerminkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Barisan Nasional." tegas Nga.
Nga Kor Ming menyeru supaya semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam dan mengelakkan kos pembinaan projek-projek awam melambung tinggi sehingga menyebabkan Negara rugi RM28 billion saban tahun dan mengelakkan Negara terus dilanda ledakan hutang Negara yang menggunung sehingga RM378.3 billion setakat 31 Mac 2010.
*Kenyataan media oleh Nga Kor Ming selaku ahli parlimen Taiping-DAP.
Siapa Harus Rakyat Percayai?
Perdana Menteri Najib Razak menggesa orang ramai tidak mempercayai pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana mendakwa beliau menulis berita-berita fitnah terhadap kepimpinan Umno.
Najib turut meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai pembabitan Perdana Menteri, isterinya Rosmah Mansor dan kerabat keluarga Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Selain itu, sudah lumrah juga untuk Perdana Menteri menggesa rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan tentunya Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan seteru politik utama Umno.
Malah, seluruh jentera media arus perdana khususnya Utusan Malaysia digerakkan untuk menanam persepsi di kalangan rakyat bahawa orang-orang ini - dari Raja Petra sampai kepada Anwar Ibrahim TIDAK boleh dipercayai.
Terbaru, Najib meminta rakyat tidak mempercayai Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa khuatir Felda akan bankrap jika wangnya terus disalah-urus.
Dalam tempoh lima tahun lalu, rizab tunai Felda sudah pun susut lebih enam puluh peratus.
Duit RM4 bilion tinggal RM1 bilion.
Jika semua pihak yang dinyatakan di atas tidak boleh dipercayai, persoalan yang harus diajukan kepada Perdana Menteri ialah SIAPA harus rakyat percayai?
Bolehkah rakyat mempercayai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz yang mendedahkan Kabinet meluluskan pembinaan Parlimen baru RM800 juta di Putrajaya?
Apabila berdepan dengan bantahan rakyat, Nazri kemudian mendakwa beliau tersalah memberi maklumat.
Bagaimana pula kewibawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan?
Haruskah rakyat menelan bulat-bulan penjelasan beliau yang mendakwa simpanan tunai Felda RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula oleh peneroka?
Kenyataan itu adalah pembohongan semata-mata kerana peruntukan untuk penanaman semula datang dari sebuah tabung berasingan yang dibiayai oleh peneroka sendiri, kata bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang bertanggungjawab ke atas Felda semasa beliau dalam Kabinet.
Bagaimanapula dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gagal memberikan penjelasan bagaimana rekod kemasukan Altantuya Shaariibuu yang mati dibom ke negara ini “tiba-tiba” hilang dari rekod Jabatan Imigresen? Adakah beliau boleh dipercayai?
Dan akhir sekali, apakah rakyat boleh mempercayai Najib sendiri, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri?
Pemimpin utama negara ini memberitahu Parlimen, beliau tidak pernah menjanjikan projek untuk mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya kecil.
Hakikat, seperti yang terpacar dalam rakaman-rakaman video ialah Najib menjanjikan RM5 juta kepada penduduk di Sibu untuk projek banjir jika mereka memenangkan calon BN pada PRK Mei lalu.
Umpan sama diberikan kepada pengundi Cina dan peneroka Felda semasa PRK Hulu Selangor beberapa minggu sebelum itu.
Najib adalah juga pemimpin Melayu yang berjanji mempertahankan kesucian agama Islam dan kebajikan seluruh rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.
Namun pada masa sama beliau meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mendatangkan masalah sosial dan jenayah kepada masyarakat yang terjebak dengan amalan buruk itu.
Apabila Pakatan Rakyat dan rakyat bangkit menentang, Najib secara tiba-tiba berkata lesen itu ditarik balik.
Hari ini apabila isu itu reda, Najib sekali lagi memberitahu Parlimen pihaknya bersedia memberikan semula lesen judi sukan jika ada rancangan untuk menghalalkan amalan itu di negara ini.
Kenyataan yang mengelirukan dan putar belit. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan judi sukan jika bukan kerajaan pemerintah.
Namun pendirian kabur dan berdolak dalih sudah saban kali di perlihatkan oleh Najib dalam mengumumkan keputusan-keputusan kerajaan.
Justeru, rakyat keliru, mana satu Najib yang harus dipercayai?
Patutkah mereka berpegang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah membuat janji dan kemudiannya bingkas mengubah kata-katanya?
Ini belum lagi dikupas janji-janji Najib untuk memansuhkan hak pemilihan 30 peratus di dalam Model Ekonomi Baru sebelum menjajanya ke Amerika Syarikat.
Sekembali dari berjumpa dengan Presiden Barack Obama, segala peruntukan itu dikekalkan dalam RMK-10, selepas dikritik oleh Perkasa dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimana pula dengan kelewatan Najib mengkritik serangan Zionis ke atas misi kemanusiaan kapal laut yang berkesudahan dengan pertumpahan darah.
Ataupun tindakan Umno-BN mengupah syarikat Apco Worldwide yang dipimpin bekas pegawai-pegawai risikan Zionis dengan kos RM77 juta.
Negara semakin condong ke arah menjadi tali barut kuasa-kuasa tertentu, dan Malaysia akan “bankrap” nilai-nilai moral dan kemanusiaannya jika rakyat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir dan menyembunyikan hakikat sebenar.
Jelas, rakyat mempunyai kesukaran untuk memberi pertimbangan kepada gesaan Najib supaya tidak mempercayai orang dan pihak tertentu.
Ini kerana kenyataan Perdana Menteri ibarat meludah ke langit. Bak kata Karam Singh Walia, paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.
Itulah akibatnya apabila tukang “nasihat” sendiri dibelit dengan kredibiliti rapuh lagi mencurigakan.
Musa Hassan Berlagak Hero Sebelum Pencen
Tindakan 'mengambil hati' Umno-BN dilihat sebagai membantu misi mengalih perhatian rakyat terhadap isu kritikal seperti penglibatan Apco Worldwide dalam soal keselamatan negara, skandal komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar kepada Singapura dan juga beberapa rancangan pengambilan tanah serta soal lesen judi.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kesal dengan tindakan Musa dan menyifatkan pendedahan yang dibuat KPN tersebut kepada media seumpama mencari populariti demi memenuhi kepentingan dirinya.
"Saya yakin benar bahawa dia bermain politik dalam isu ini, jika tidak kenapa dengan tiba-tiba menjadikan dirinya sebagai orang penting dengan mengetengahkan isu tersebut semata-mata bagi menyambung semula kontraknya sebagai KPN yang dijangka berakhir pada September tahun ini.
"Oleh yang demikian dia terpaksa cari isu untuk menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Beliau juga menganggap isu JI sengaja diada-adakan setelah kerajaan BN berdepan dengan banyak isu besar termasuk pembelian kapal selam Scorpene, lesen judi bola sepak dan kehadiran syarikat milik Yahudi di negara ini, Apco.
"Sehingga sekarang perkara tersebut tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan untuk diambil tindakan. Bagi menutup isu tersebut, kerajaan menggunakan isu yang baru tentang pergerakan yang berada di negara ini selain bertindak menakut-nakutkan rakyat.
"Kita lihat kerajaan sekarang sedang melakukan usaha mengalih perhatian umum kepada isu yang telah dikeluarkan oleh KPN berkenaan dengan isu JI.
"Umno-BN cuba mengalihkan isu yang telah kita dedahkan dahulu berkaitan penglibatan Apco, lesen judi mahupun penyerahan aset negara kepada negara luar dan juga soal pengambilan tanah daripada terus menjadi perhatian umum.
"Kita juga berpendirian sikap pelampau tidak boleh dibiarkan dan diambil tindakan tegas, tetapi isu yang besar itu janganlah dibiarkan perlu diselesaikan segera bukan dengan menggunakan cara mengalihkan pandangan rakyat.
"Kalau benar-benar sepertimana yang didakwa Musa, kenapa sehingga sekarang tiada tangkapan yang dibuat pihaknya," tegas beliau lagi.
Johari juga berharap fokus perlu ditumpukan kepada soal keselamatan sementara soal JI perlu diselesaikan oleh pihak polis dan bukan menggunakan cara pendedahan awam tentang kumpulan tersebut agar rakyat berasa takut dengan situasi yang berlaku di dalam negara ini.
Sebelum itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa pada 14 Jun lalu menyatakan kumpulan JI sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.
Ekoran kenyataan itu, pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat.
Selain itu beliau menambah kumpulan terbabit merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara.
Dalam kenyataan yang sana, Musa juga berkata pemantauan akan dilakukan ke atas pelajar yang mengikuti sebarang ceramah atas faktor keselamatan negara.
Wednesday, July 7, 2010
Mike Tyson menangis di Raudah
Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, kelihatan menangis ketika berada Raudah semalam dan menganggap dirinya bertuah kerana berada di satu daripada taman syurga. |
Populariti Rosmah dijangka melonjak naik..
Dan usul juga akan dibentangkan di Parlimen.. walaupun dijangka akan dibakul sampahkan oleh speaker...
Pemberitahuan Usul Di Bawah Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
Dengan segala hortmanya, saya ingin memberi notis pemberitahuan di bawah P.18 mengemukakan usul yang berbunyi seperti berikut :-
Bahawa Americk Sidhu, peguam kepada P. Balasubramaniam, telah mengeluarkan satu kenyataan di laman blog “Malaysia Today” pada 30hb Jun 2010, iaitu segala kos sara hidup pelanggannya, P. Balasubramaniam di London adalah dibayar oleh Deepak Jaikishan, seorang peniaga karpet atas suruhan isteri YAB Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
P. Balasubramaniam sebagai salah seorang saksi dalam kes pembicaraan pembunuhan Altantuya telah lari ke London dengan sebab-sebab yang tidak diketahui dan masih dikehendaki oleh SPRM untuk soal-siasat. Manakala Raja Petra Kamarudin yang didakwa telah melanggar Akta Hasutan selepas mendedahkan artikel “Let's send the Altantuya murders to hell” turut lari ke san juga.
Artikel tersebut telah menghuraikan hubungan YAB Perdana Menteri dengan Altantuya sehingga kes pembunuhan tersebut berlaku yang kononya Altantuya tahu sangat kes-kes skandal yang melibatkan YAB Perdana Menteri.
Lebih-lebih lagi pihak media luar negara seperti TVB, Hong Kong telah merancang dan akan menyiarkan satu cerita bersiri berkaitan kes pembunuhan Altantunya ini di seluruh saluran TV dunia yang turut memalukan kita.
Jadi, nama isteri YAB Perdana Menteri sebagai dalang dalam kes pelarian P. Balasubramaniam yang bersangkutan dengan kes Altantuya diungkitkan dalam kenyataan “Malaysia Today” ini akan dibaca di laman web seluruh dunia yang akan memberikan sesuatu impak yang negatif kepada imej negara nanti.
Saya minta dewan membahaskan isu ini untuk menjelaskan kesahihan kenyataan tersebut yang bertujuan untuk mengembalikan kewibawaan negara kita.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Er Teck Hwa
Ahli Parlimen
Kawasan Bakri
Tuesday, July 6, 2010
Siasat Kenyataan Mukhriz, Usah Sibuk Pasal Raja Petra
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengesa Polis DiRaja Malaysia menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa 40 peratus daripada penulisan yang dihasilkan oleh Raja Petra Kamaruddin adalah berdasarkan fakta.
Beliau berkata jika hanya 40 peratus sahaja apa yang ditulis oleh penulis blog terkenal itu adalah fakta maka pihak polis berwajib untuk membuat penyiasatan.
"Mukhriz mengatakan dalam kesemua kenyataan yang diberikan oleh Raja Petra hanya 40 peratus fakta sahaja tepat sedangkan yang lain tidak betul.
"Jadi di sini saya mahu arahkan PDRM perlu beri tumpuan menyiasat kenyataan tersebut bukannya membesarkan kenyataan pertemuan pemimpin Pakatan Rakyat mahupun isu tajaan yang belum pasti kebenarannya.
"Angka 40 peratus itu bukannya dikeluarkan oleh orang biasa tetapi dari seorang timbalan menteri dan mempunyai pertalian dengan bekas Perdana Menteri Malaysia. Apa yang berlaku kita lihat PDRM tidak meletakkan dakwaan timbalan menteri terbabit sebagai satu yang serius.
"Kita kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan yang hanya mencari salah seseorang sedangkan kenyataan mahupun dakwaan yang jelas mengatakan ada kebenaran tidak pula di siasat.
"Inilah kelemahan PDRM yang sebenarnya, kenapa mereka tidak bertindak menyiasat fakta yang betul itu, tetapi mereka sibuk dengan dakwaan menaja Raja Petra. Tindakan ini hanyalah hendak menutup kelemahan dalam PDRM yang tidak mahu siasat dakwaan Raja Petra, adakah ini sebagai satu tindakan untuk menutup individu tertentu," tegas beliau pada sidang media di parlimen petang tadi.
Selain itu juga beliau memberitahu terdapat kekeliruan dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melakukan siasatan ke atas penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang dilihat tidak ada kesungguhan.
"Saya hairan satu keputusan mengejutkan yang dilakukan oleh SPRM apabila badan itu membatalkan rombongan mereka ke London bagi mendapat kenyataan dari Bala sedangkan sebelum itu sudah ada keputusan. Tindakan itu di ambil apabila Peguam Negara memberitahu tidak ada kepentingan ke sana untuk berjumpa dengan Bala dan hanya cukup menghantar soalan sahaja.
"Tindakan ini seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh mereka, saya melihat Bala ini umpama kunci yang boleh membongkar segala rahsia dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno, ini yang menjadi tanda tanya.
"Isu bila hanya cukup menghantar soalan yang ingin ditanya oleh SPRM kepada peguam kenapa sebelum ini dalam kes Teoh Beng Hock tidak menggunakan konsep yang sama, saya rasa kalau hanya mengemukakan soalan melalui surat tentu tidak akan timbul soal kematian.
"Banyak perkara yang dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional dalam kedua-dua kes ini mempunyai perkara tersembunyi dan invividu mana yang mereka mahu lindungi? Itu persoalannya.
"PDRM dan juga SPRM perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka bukan hanya mengikut skrip pihak atasan dari kalangan pemimpin Umno," tegas Mahfuz lagi.
Sebelum ini mengenai isu siasatan Bala di London, SPRM yang telah merancang rombongan ke sana bagi mendapat kenyataan dari penyiasat persendirian tersebut tetapi rombongan itu dibatalkan setelah mendapat nasihat dari Peguam Negara.
Sehubungan dengan itu SPRM telah menghantar soalan yang ingin ditanya kepada Bala melalui khidmat kurier ke London. Soalan yang perlu dijawab oleh Bala itu kini berada tangan peguamnya, Americk Sidhu.
SPRM sedang menyiasat dakwaan beberapa tokoh memaksanya menarik balik pengakuan bersumpah yang dibuatnya berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, antara mereka yang didakwa itu termasuk adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak dan juga ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
BELUM MEMERINTAH PR MAMPU SEKAT JUDI, BAYANGKAN JIKA PR MEMERINTAH
Di peringkat Pusat, usaha kita terhad untuk membela nasib rakyat tetapi di beberapa negeri yang kita kuasai ternyata rekod pemerintahan PR jauh lebih cemerlang. Meskipun Bn terutamanya Umno yang dibantu oleh beberapa agensi lain berusaha sedaya upaya untuk memburukkan prestasi pentadbiran negeri-negeri di bawah PR, namun rakyat tidak lagi buta. PR kini cuma memerlukan sedikit usaha berterusan memikat pengundi-pengundi Melayu yang sememangnya kita ketahui amat susah untuk menerima perubahan. Jika Melayu berfikiran terbuka dan berani melakukan perubahan, Melayu di negara ini tidaklah menjadi seperti sekarang. Sekadar megah mengaku menjadi tuan di negara ini tetapi nasib mereka tidak terbela.
PR nampaknya lebih prihatin dan peka akan permasalahan itu. PR tidak lagi mahu melihat isu perkauman membantutkan kerja untuk membangunkan negara. Banyak isu kini dilihat isu bersama di kalangan parti-parti di dalam PR. Sebagai contoh, PR bersepakat untuk menentang judi sukan yang teramat sangat diimpikan oleh pemimpin Umno itu. Sudahlah mereka mengekalkan judi yang sedia ada, mereka mahu menambah lesen judi sukan pula. Akhirnya, berkat kerjasama serta perpaduan di kalangan parti di dalam PR serta beberapa NGO yang berani, kerajaan di bawah Umno ini tertekan yang kemudiannya menarik kembali niat mereka yang jahat itu.
Lihatlah, belum pun kita berkuasa kita masih mampu menyekat perkara-perkara yang tidak menguntungkan rakyat bahkan menzalimi rakyat itu. Judi sebenarnya adalah aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti zalim dan penganiyaan. Bayangkan jika kita berkuasa di peringkat Pusat. Bukan sahaja aktiviti judi sukan boleh kita haramkan, bahkan kesemua bentuk judi sukan pasti tidak wujud di negara ini. Betapa susahnya mentadbir hanya beberapa buah negeri yang mana judi itu berakar umbinya di Pusat.
Mengapa masih ada yang meragui hasrat dan cita-cita murni PR? Mengapa mereka masih mengharapkan Bn atau Umno untuk membela nasib mereka? Mungkin kaum lain telah mula membuka mata terhadap keikhlasan PR, malang sekali masih terdapat ramai Melayu yang masih dibuai dengan seribu janji dan umpan oleh Sang Penguasa yang amat bimbang mereka akan tersungkur. Mereka telah diajar bahawa Melayu itu Umno dan Umno itu Melayu, maka Melayu mesti berkuasa di tanah air ini. Oleh itu, mereka bimbang jika Umno tumbang maka hilanglah `keMelayuan' mereka.
PR mesti mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan mereka yang beranggapan sedemikian. Apabila kita telah berada di Putra Jaya, nescaya selepas itu nanti baru mereka tahu betapa mereka telah ditipu berpuluh-puluh tahun oleh Umno/Bn
Negara Islam: Anwar perlu nyatakan pendirian
'Negara Islam' kembali lagi menjadi tajuk klasik yang sering merangsang pergeseran dan tidak pernah mendapat kesepakatan politik antara pemimpin tertinggi DAP dan Pas, meskipun kedua-dua kepemimpinan parti tersebut sudah bergabung di bawah barisan Pakatan Rakyat.
Sejak Allahyarham Fadhil Noor menyandang kerusi Presiden Pas lagi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah berganjak memperjuang dan mempertahankan penubuhan sistem pemerintahan Negara Islam, meskipun sering mendapat tentangan daripada parti pembangkang DAP, terutama bekas Setiausaha Agungnya Lim Kit Siang dan Pengerusinya Karpal Singh.
Kemuncak siri pertelagahan politik antara kedua-dua parti pembangkang itu, pemimpin tertinggi DAP membuat kesimpulan bahawa sampai bila pun DAP tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Pas tidak berganjak mahu memperjuangkan kewujudan sistem pemerintahan Negara Islam.
Justeru barisan pemimpin UMNO, termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering secara stereotaip menyifatkan kedua-dua pemimpin tertinggi parti pembangkang itu tidak dapat bergabung atau bekerjasama kerana kedua-duanya tidur sebantal, tapi mempunyai mimpi politik yang berbeza.
Kini sekali lagi daripada pemimpin lantang DAP yang sama, Karpal Singh dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita dengan segar, mengulangi pendiriannya menolak keras berkompromi dengan konsep Negara Islam yang diperjuangkan Pas jika barisan pembangkang itu mengambil alih teraju kepemimpinan nasional.
Mengulas perkara itu sepertimana dilaporkan Sinar Harian 1 Julai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik mencabar Karpal supaya membuktikan konsep Negara Islam yang didukung Pas dan dilaksanakan di Kelantan sejak 20 tahun lalu adalah salah.
Mursyidul Am Pas itu menegaskan, pihaknya tetap akan meneruskan usaha memperjuangkan pembentukan Negara Islam.
Sejak era kepemimpinan DAP diterajui Chan Man Hin lagi, parti pembangkang ini agak konsisten menerusi suara lantang dan terbuka Karpal menentang keras penubuhan Negara Islam. Pimpinan tertinggi Pas pula konsisten memperjuang dan mempertahankan doktrin penubuhan Negara Islam.
Karpal agak sinonim dengan kelantangannya, namun pemimpin tertinggi DAP termasuk kawan baik saya Allahyarham Ahmad Nor, bekas Ahli Parlimen DAP Bayan Baru, Zulkifle Md Nor dan pemimpin DAP Melayu lainnya tidak pernah menyentuh topik berkenaan, termasuk juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam era kepemimpinan Chan Man Hin adalah antara pemimpin DAP yang tercorot, hanya lebih dikenali sebagai pemimpin lantang menentang penguatkuasaan Akta ISA sahaja.
Apakah mungkin Lim Guan Eng yang cenderung mahu mencontohi sistem pemerintahan Khalifah Saidina Omar dan sering bercakap soal nahi mungkar sejak menerajui kerajaan Pulau Pinang, sudah memahami teori falsafah Negara Islam, sekali gus dapat menerima doktrin pembentukan Negara Islam?
Apakah barangkali Karpal adalah antara seorang saja pemimpin veteran DAP berbanding Lim kit Siang dan pemimpin lain yang tidak memahami dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai doktrin Negara Islam yang diperjuangkan Pas, menyebabkan beliau sering lantang menyuarakan bantahan keras terhadap perkara tersebut?
Sungguhpun tajuk doktrin pembentukan Negara Islam Pas ini tidak mungkin menemui satu resolusi politik yang muktamad antara DAP dan Pas, tapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat berjaya kesudahannya memborong semua barisan parti pembangkang, termasuk Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali duduk di bawah satu bumbung dikenali sebagai Pakatan Rakyat.
Tetapi Anwar yang disifatkan layak menjawat kerusi Mursyidul Pakatan Rakyat oleh Nik Abdul Aziz mahupun Dr Syed Husin, turut berdiam diri tidak terbabit dalam perbalahan doktrin pembentukan Negara Islam oleh Pas itu.
Adakah mungkin 'masyarakat madani' istilah yang dipopularkan Anwar ketika dalam UMNO dulu boleh diwujudkan di bawah sistem pemerintahan Negara Islam yang diperjuangkan Pas atau ideologi Malaysia Malaysian DAP atau ideologi sosialis Parti Rakyat Malaysia?
Kepemimpinan DAP menyifatkan Malaysia bukan sebuah Negara Islam berasaskan perlembagaan negara, sementara Pas menyifatkan perlembagaan nasional adalah ciptaan kolonialis. Di sinilah titik-tolak Karpal dalam menyanggah doktrin pembentukan Negara Islam.
Walau bagaimanapun kita melihat idealisme politik Pas adalah jelas dan konsisten termasuk DAP. Tapi yang tidak jelas atau kemungkinan besar tidak mempunyai draf piagam doktrin sistem pemerintahan yang jelas dan konkrit langsung ialah PKR.
Jika demikian konflik politik barisan pakatan pembangkang, DAP tidak memahami teori doktrin pembentukan negara Islam Pas atau Pas tidak memahami idealisme perjuangan DAP, atau barangkali kedua-dua parti pembangkang itu tidak cukup mengenali dan memahami idealisme perjuangan Anwar dan PKR?
Monday, July 5, 2010
Polis dah jadi ketua cawangan Umno - Anwar
(Harakahdaily) - Pihak polis sudah menjadi seperti ketua cawangan Umno apabila pantas menyiasat isu tajaan terhadap Raja Petra Kamaruddin berbanding pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum PKR itu berkata, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat terlebih dahulu dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan seperti yang didedahkan Pakatan Rakyat berbanding isu tajaan tersebut.
"Respons polis banyak terhadap kenyataan politik. Pasal politik dia cepat, dia dah jadi macam ketua cawangan Umno,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu ke United Kingdom atas tajaan PKR.
Ianya ekoran penyiaran gambar Raja Petra bersama seorang ahli Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.
"Raja Petra jawab, dia sedang cari dana untuk Pakatan rakyat.
"Polis patut siasat dana negara yang sudah hilang banyak akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai PKR.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam pula memberitahu menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
Mashitah Jual Agama Demi 'Melayunya'?
Mashitah berkata, hanya Umno sahaja yang boleh menyelamatkan Melayu.
Bermaksud, mampusnya Umno (InsyaAllah, akan mampus) nanti, maka hilanglah Melayu di muka bumi ini. Begitulah jadinya bila seseorang yang ada sedikit ilmu agama, tetapi apabila berada di dalam Umno, mereka tidak mampu menggunakan ilmunya untuk `membaiki' Umno dari dalam, bahkan mereka sendiri pun menjadi jahil dengan ilmunya. Itulah yang dikatakan tiada keberkatan.
Umno wujud sudah lebih 5o tahun di negara ini, butakah mata kita untuk melihat apa sudah jadi dengan Melayu? Apa sudah jadi dengan ugama Islam yang sinonimnya dikaitkan dengan bangsa Melayu itu? Melayu bertambah kaya atau miskin? Melayu bertambah baik akhlaknya atau bertambah buruk? Siapakah yang paling ramai menjadi penagih dadah, Mat Rempit, Bohsia dan yang membuang anak luar nikah merata-rata? Jika ingin disebut, begitu banyak lagi perbuatan buruk yang dijuarai oleh Melayu. Bukankah selama lebih 50 tahun Umno sudah memimpin negara ini? Sepatutnya Melayu bertambah kuat, maju dan berdaya saing.
Melayu ramai di Brunei dan bukan Umno yang memerintah Brunei. Melaratlah Melayu di sana? Bahkan, negara tersebut kaya raya. Jika Mashitah berkata, jika tolak Islam maka Melayu akan pupus di negara ini kita boleh terima kerana majoriti di negara ini Melayu beragama Islam. Tetapi Mashitah tidak berkata demikian kerana beliau pun tahu Umno bukan parti yang berjuang untuk Islam. Umno adalah parti sekular yang mengasingkan ugama dan pemerintahan.
Mashitah ini seperti yang diulas oleh rakan saya di dalam tulisannya, pernah memberi `fatwa' bahawa perempuan yang miskin dan susah dibenarkan menjadi pelacur kerana `dharurat'. Orang seperti ini mahu diharapkan untuk menjaga orang-orang Melayu apatah lagi Islam? Inilah nasib yang diterima oleh orang yang berpendidikan agama apabila terpedaya dengan keduniaan.