Saturday, July 18, 2009

Kematian Teoh Beng Hock, seluruh Malaysia menanti penjelasan

Pucatnya wajah politik negara hari ini terkesan hingga ke sini bila rakyat disentakkan dengan kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah, Exco Kerajaan Negeri Selangor. Satu kejutan kerana Teoh ditemui mati di bumbung sebelah bangunan yang menempatkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Aris Fezul Ismail dari PAS Kuala Krau menyifatkan tragedi ini hadir dengan mengundang seribu persoalan. Berita-berita rasmi yang dipetik menggarap kemungkinan bahawa Teoh mungkin terjatuh atau terjun sendiri.

Mengapa kemungkinan ketiga iaitu perbuatan khianat tidak diperkirakan, apatah lagi menurut Fezul, sebelum ini sudah heboh wujudnya pengakuan mangsa didera oleh pegawai SPRM ketika dipanggil memberi keterangan.

Fezul juga mempersoalkan apa perlunya siasatan dibuat sehingga jam 3.45 pagi? Teoh ditemui mati semalam, dan seperti dimaklumkan beliau telah dibawa ke pejabat SPRM sehari sebelumnya, atas siasatan dakwaan salahguna peruntukan DUN sebanyak RM500,000 yang melibatkan empat orang ADUN Pakatan Rakyat di Selangor. Lebih menghairankan, ulas Faizul, siasatan SPRM ini hanya meliabtkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang berbangsa China.

Timbul tanda-tanya kenapa SPRM tidak menjalankan sesi soal-siasat mereka dalam waktu bekerja? Kalaupun sesi tersebut memakan masa yang panjang, tidak bolehkah ia disambung keesokan harinya? Kenapa peguam Teo, Manoharan tidak dibenar untuk hadir bersama ketika sesi soal-siasat tersebut?

Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa seperti dijelaskan oleh SPRM kepadanya, Teoh telah dilepaskan di sekitar jam 3.45 pagi tetapi beliau didapati tidak pulang. Teoh tidak datang ke pejabat SPRM, beliau dibawa ke sana, sewajarnya selepas sesi soal-siasat, menjadi tanggungjawab SPRM untuk menghantar beliau pulang.

Apapun justifikasi yang cuba diberi, kematian Teo, seperti kata Fezul adalah kematian semasa dalam tahanan, death under custody, SPRM seharusnya dituntut untuk bertanggungjawab penuh.

Kenyataan dan penjelasan rasmi dari SPRM sehingga kini belum ada. DUN Selangor perlu memanggil sidang tergempar bagi meluluskan usul membentuk pasukan forensik bebas untuk menyiasat kematian Teoh ini, usul serupa juga patut didesak untuk diluluskan di Parlimen atas kepentingan keselamatan awam

Friday, July 17, 2009

'100 hari Najib' gagal di Manek Urai

Kayu ukur bagi menilai prestasi sebenar Umno hanya boleh dilihat pada pilihan raya umum Ke-13 dan bukannya pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pilhan raya kecil tidak boleh dijadikan ukuran yang tepat memandangkan Umno hadir bersama jentera kerajaan Malaysia.

Biar apa pun katanya, kejayaan Pakatan Rakyat bermula di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu merupakan isyarat awal kepada penolakan Umno.

"Kegagalan Umno di Bukit Gantang dan Bukit Selambau berlaku selepas tiga hari selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah.

"Hari ini Najib sudah pun 100 hari menjadi Perdana Menteri. Namun satu kajian lapangan yang dibuat menunjukkan popularitinya hanya melepasi markah lulus 60 peratus," katanya ketika ditemui di sini.

Saifuddin berkata, 100 hari kepemimpinan Najib tidak lebih meniru apa yang telah dilakukan Pakatan Rakyat misalnya penghapusan 30 peratus kouta dan mewujudkan biasiswa nasional.

"Kita mengangkat agenda ekonomi negara mesti melalui proses reform. Polisi dibuat bukan berasaskan warna kulit. Kemudian Najib mengumumkan 30 peratus kouta.

"Najib meleberalisasikan 27 sub-sektor untuk menunjukkan perubahan dasar ekonomi yang lebih terbuka setelah negara hilang daya saing," ujarnya.

Jadi kata beliau kejayaan besar 100 hari Najib ialah kehadiran Datin Seri Rosmah Mansor bagi membina kelangsungan politiknya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Machang ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin strategi BN berjaya di Manek Urai, katanya anggota parlimen Rembau itu terlupa asas kerjasama Pakatan Rakyat sebenarnya semakin terbukti.

"Pendekatan politik 'pecah dan perintah' yang digunakan Umno sebenarnya tidak mampu mengubah pendirian pengundi Manek Urai," katanya

PRU 13: Jom Kita Menang Tipis Seluruh Kawasan Seluruh Negara

"Anak sedara aku ketawa terbahak bahak membaca berita gelagat UMNO dan pencacai pencacainya. Bermacam macam tajuk disiarkan oleh pencacai negara. Antara contoh tajuk tajuk lucu ialah : "PAS menang nyawa nyawa ikan", "PAS menang UMNO berjaya", "UMNO semakin pulih", "Kita belum lepasi ujian kata Najib", "Dah menangpun nak buat postmortem?" dan macam macam lagi.

Tetapi bagi aku tajuk yang menjadi juara raja lawak malaysia ialah yang disiarkan malaysiakini: "Manik Urai Kejayaan Terbesar BN". Terbuktilah UMNO sudah terasa dia sendiri sangat lemah hinggakan kekalahanpun sudah dianggap satu kejayaan terbesar.

Aku teringat pesan orang tua tua, kalau menziarahi orang yang hampir mati, berhati hati dengan kata kata, jangan keluarkan kata yang boleh buat dia 'gol' terus. Kalau boleh beri dia sedikit harapan, kata dah semakin segar ke, muka nampak sihat ke, kata kata yang boleh beri sedikit semangat. Adapun arakian begitulah kisahnya kerajaan UMNO yang dah nazak. Kata kata 'menang tipis' dan sebagainya hanya ayat penyedap hati untuk BN yang dah nak mati.

Sepanjang lima pilihanraya kecil, BN kalah, tetapi Manik Urai UMNO kalah paling tipis. Adapun dipihak UMNO kalah yang paling tipis itu sudah dikira kejayaan terbesar BN. Begitulah tahap seriusnya rasa rendah diri dan tertekan di pihak BN sekarang. Di semua tempat BN menjadi 'underdog'. Secara mudahnya di mana sahaja pilihanraya yang akan berlaku sekarang, niat BN hanya 'cuba' untuk menang. Dari segi moralnya awal awal lagi BN sudah kalah.

Kalau kalah tipis sudah dikira kemenangan besar kepada BN, eloklah nanti PRU13 BN kalah tipis seluruh negara. Nanti bila PR memerintah negara bolehlah BN kata , PR menang nyawa nyawa ikan atau PR menang BN berjaya.

Rumusannya Najib sudah betul betul mati akal. KPI untuk dirinya sendiri ternyata gagal. Dia menjadi PM yang paling malang dalam sejarah Malaysia. Apa sahaja di sekelilingnya adalah racun baginya. Malah mentornya sendiri, Mahathir sudah mengarahkan serangan untuk menjatuhkan Najib. Sebenarnya sangatlah mudah untuk menilai arah haluan serangan Mahathir yang akan datang, bila kita perhatikan penulis blog yang sehaluan dengan Mahathir mula mempersoalkan Najib, maka itulah tandanya serangan terhadap Najib akan bermula.

Kepada penyokong PR, mantapkan saf, jom kita tumbangkan BN seluruh negara. Tegakkan keadilan di Malaysia tercinta. Keluarkan rakyat Malaysia dari belengu kezaliman selama ini."

Mahkamah benar Anwar peroleh sebahagian daripada dokumen kes liwat

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperoleh sebahagian daripada dokumen berkaitan kes liwatnya daripada pihak pendakwa.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan sampel atau spesimen asal yang dikatakan diambil melalui ujian swab ke atas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah semalam.

Hakim juga menetapkan supaya tindakan dan penyerahan yang diperintahkan disempurnakan dalam tempoh seminggu.

Mohamad Zabidin juga menetapkan sebutan semula bagi perbicaraan kes liwat Anwar dan permohonannya untuk menggugurkan kes berkenaan diadakan pada 24 Julai.

Bagaimanapun ketua pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden memohon hakim mengekalkan keputusan tersebut kerana pihaknya ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim kemudiannya mengarahkan supaya pihak pendakwa mengemukakan permohonan tersebut secara rasmi.

"Pihak pendakwa boleh kemukakannya, anda ada tempoh selama 10 hari untuk berbuat demikian," kata Mohamad Zabidin.

Anwar pada 10 Jun lalu memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya untuk membekalkan kepadanya semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Dalam penghakiman ringkas Mohamad Zabidin, beliau mengarahkan pendakwa untuk membekalkan kepada peguam pembela salinan pitak rakaman CCTV yang diambil dari beberapa lokasi iaitu pondok pengawal dan lif kondominium berkenaan dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

"Sekiranya salinan yang jelas tidak dapat disediakan, peguam pihak pembela dibenarkan melihat rakaman asal di bawah pengawasan pegawai penyiasat atau mereka yang diarah oleh pegawai penyiasat," katanya.

Bagaimanapun bagi sampel atau spesimen asal yang diambil melalui ujian swab ke atas Saiful mahkamah tidak membenarkan untuk diserahkan kerana kesemua sampel tersebut kini berada dalam bungkusan yang masing-masing telah dimeterai oleh ahli kimia dengan meterai Jabatan Kimia.

"Oleh itu sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai tersebut sebelum ia dikemukakan di mahkamah di hari bicara akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes tersebut.

"Oleh itu permohonan pemohon untuk dibekal atau meneliti sampel-sampel tersebut pada peringkat ini tidak dapat dibenarkan... bagaimanapun pihak pembela boleh memohon untuk meneliti sampel-sampel tersebut setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes," katanya.

Selain itu mahkamah juga mengarahkan pihak pendakwa untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan peguam pihak pembela melihat 'slide' yang dibuat semasa ujian atas sampel asal dan sampel atau spesimen asal Saiful di bawah pengawasan Pegawai Penyiasat dan ahli kimia yang menjalankan penganalisisan atas bahan-bahan tersebut.

Malah pendakwa juga diperintah untuk membekalkan salinan gambar-gambar 'slide' berkenaan serta nota-nota ahli kimia berkenaan pemeriksaan atau penganalisisan tersebut.

Mahkamah juga memerintahkan pendakwa untuk membekalkan senarai saksi yang akan dikemukakan oleh mereka dalam perbicaraan dan membekalkan salinan semua dokumen yang akan dikemukakan sebagai keterangan seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(b) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pihak pendakwa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membekalkan salinan nota-nota oleh semua doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan telah merawat dan memeriksa Saiful.

Hakim juga memerintah pendakwa untuk membekalkan laporan dari Hospital Pusrawi dan nota-nota berkenaan pemeriksaan ke atas Saiful.

"Sekiranya tiada laporan disediakan, satu pengesahan dari doktor berkenaan bahawa tiada laporan disediakan dan pengesahan ini hendaklah diserahkan kepada peguam bela bagi menggantikan laporan perubatan," kata Mohamad Zabidin.

Malah hakim juga mengarahkan supaya pendakwa menyerahkan salinan kenyataan enam saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini tiada apa-apa yang boleh mencadangkan bahawa dengan memberi salinan kenyataan saksi boleh prejudis kes pendakwa atau mengganggu gugat kepentingan awam.

"Sebaliknya jika pihak pembela dibekalkan dengan salinan kenyataan saksi akan membolehkan mereka mengetahui lebih awal dan jelas kes yang akan dikemukakan terhadap tertuduh," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang ditemui selepas keputusan hakim menyatakan beliau gembira dengan keputusan tersebut.

"Bagaimanapaun kita terpaksa melalui proses seterusnya," katanya.

Pihak pendakwa berkemungkinan akan memfaikan permohonan mereka untuk mengekalkan keputusan tersebut bagi membolehkan mereka merayu berhubung keputusan itu esok.

Sementara itu peguam pembela, Edmund Bon berkata keputusan tersebut mencerminkan perkembangan positif bagi pindaan Seksyen 51A KAJ iaitu yang membolehkan seorang tertuduh memperoleh dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan.

"Saya gembira hakim Mahkamah Tinggi melihat dengan logik hujah-hujah yang kita berikan, ia merupakan satu keputusan yang penting dan dialu-alukan oleh semua pihak," kata Bon.

'Pakatan kuasa' tertentu cuba halang pengumuman laporan PKFZ — Tee Keat

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat mendedahkan wujudnya “pakatan kuasa-kuasa tertentu” yang telah cuba menghalang beliau daripada mengumumkan laporan audit PricewaterhouseCoopers mengenai Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Kuasa-kuasa itu termasuklah orang-orang yang terbabit dengan projek tersebut, kuasa-kuasa bisnes politik yang berkaitan dengan orang-orang itu, dan pihak-pihak tertentu dalam parti pemerintah.

"Mereka antara lain mengugut untuk mengancam keselamatan diri saya, dan mengenakan tekanan dalaman… dengan tujuan untuk cuba menghalang saya mengumumkan kandungan laporan itu,“ kata beliau dalam temu ramah dengan Sin Chew Daily hari ini.

Menurut Ong, memang wujud beberapa kuasa yang berpakat yang “mengepung” beliau dari semua penjuru, dan ini termasuklah juga khabar angin yang disebarkan parti-parti pembangkang Cina selepas pengumuman laporan audit tersebut.

Malah, katanya, ada pihak yang menghantarkan mesej melalui perantara kongsi gelap untuk mengugut beliau bahawa "jika kamu hilang daripada dunia ini suatu hari nanti, kamu akan tahu kenapa ini berlaku.”

Ong menjelaskan, tujuan beliau melantik PWC menyiasat PKFZ amatlah mudah.

“Memandangkan bahawa projek itu merugikan sejumlah wang yang besar, saya tidak mahu jumlah hutang yang besar itu diwarisi oleh anak cucu kita," katanya.

Beliau mengaku bahawa kes PKFZ itu merupakan ‘racun’ yang menyebabkan kekalahan teruk BN dan MCA dalam pilihan raya umum ke-12 .

Tetapi oleh kerana kes itu tidak dapat dipadamkan daripada ingat rakyat hanya dengan langkah pengelakan isu, beliau memilih untuk menyiasat projek itu secara menyeluruh untuk mengembalikan kebenaran kepada rakyat.

Ong turut mendedahkan bahawa kes PKFZ itu menyebabkan kepentingan-kepentingan bisnes tertentu merasapi parti MCA dengan tujuan untuk menyingkirkan beliau dari parti dengan apa cara sekalipun.

“Kuasa-kuasa ini cuba membawakan satu nilai moral yang pelik: Bahawa pihak yang menyiasat sesuatu skandal itu jauh lebih jijik daripada pihak atau individu yang terbabit secara langsung dengan skandal berkenaan; dan mencipta ilusi yang indah dan tenteram adalah lebih penting daripada usaha mendapatkan kebenaran,” ujarnya.

Thursday, July 16, 2009

Manek Urai mengingatkan PAS jangan bangga diri

Sungguhpun PAS masih diberi amanah untuk memimpin rakyat Manek Urai, namun keputusan Pilihanraya Kecil DUN tersebut semalam jauh dari meyakinka

Seperti kata Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, tentunya hasil dari bedah siasat akibat dari kemenangan 65 undi di kubu kuat sendiri ini akan menjadi sesuatu yang sangat-sangat dinanti.

Nasrudin dalam kenyataannya turut mengaku yang keputusan mengejutkan ini sudah pasti akan mengundang banyak reaksi dan komentar, yang sudah kedengaran tentunya luahan kegembiraan Umno dan BN kerana berjaya membuatkan pimpinan PAS gementar dalam menanti hadirnya Pilihan raya Umum Ke-13.

Bagi Nasrudin, besar atau kecil kemenangan, wa’ima kekalahan sekalipun hadir bersama hikmah. Pemimpin PAS perlu menilai dan membuat koreksi diri.

Dalam mengkaji dan mengiktibari kemenangan ajaib ini, PAS seperti usul beliau, perlu melihatnya secara tenang, rasional dan jujur.

Nasrudin sempat menyirahkan peristiwa Prang Hunain yang berlaku sewaktu kerasulan Muhammad s.a.w sebagai ingatan kepada semua pendokong PAS.

Betapa dalam peristiwa tersebut tentera Islam telah dikalahkan hanya kerana wujudnya rasa megah dan bangga diri dengan jumlah dan kekuatan yang dimiliki.

Bagi Nasrudin, inilah contoh apabila organisasi disogokkan dengan kemenangan demi kemenangan, penggiat mudah menjadi lalai dan teruja dengan pencapaian-pencapaian terdahulu itu, lalu mereka terbawa ke awang-awangan.

Tegas Nasrudin, pendokong PAS dalam mempelajari kepahitan kemenangan di Manek Urai ini, perlulah segera sedar untuk sentiasa mempunyai keteguhan pendirian, supaya tidak dililit dengan kealpaan akibat dari keselesaan kekuasaan dan kejayaan-kejayaan lampau. Tambah beliau lagi, kejayaan-kejayaan lampau itu akan berterusan dan dapat dipertahankan selagimana organisasi berada dalam keadaan bersatu, kukuh dan mantap.

Lebih penting dari itu, penggiat harus sentiasa bersikap merendah diri, tidak berburuk sangka sesama sendiri, tidak juga menyimpan dendam-kesumat terhadap rakan seorganisasi, kerana ia akan membinasakan!

Rakyat masih mahukan Pas

Calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah menyifatkan kemenangan parti tersebut hasil dari kerja keras seluruh jentera pilihan raya Pas.

Menurutnya, kemenangan ini juga membuktikan rakyat di Manek Urai masih mahukan kepimpinan Pas dan menolak Barisan Nasional (BN).

“Dengan kemenangan saya ini, saya berjanji akan berkhidmat untuk seluruh rakyat di Manek Urai,” katanya kepada media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan secara rasmi, malam tadi.

Sementara itu, Pesuruhjaya II Pas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pula menyifatkan kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) membuktikan rakyat menolak parti lawan yang menggunakan pelbagai janji dan politik wang untuk meraih pengundi.

“Saya berbangga kerana pengundi Manek Urai mempunyai ketahanan yang tinggi walaupun berhadapan dengan politik wang yang berleluasa contohnya siang tadi (semalam), saya mendapat laporan mengatakan BN mengedarkan sampul biru, kelabu dan putih yang mengandungi wang kepada pengundi disini.

“Kemenangan ini juga membuktikan rakyat meletakkan perjuangan Islam Pas sebagai tonggak utama perjuangan mereka,” katanya.

Ditanya faktor majoriti yang terlalu sedikit mungkin disebabkan kehadiran Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Husam enggan mengulas.

Katanya lagi, peti undi dikawasan Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama yang dimenangi oleh BN mungkin disebabkan oleh janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membina sebuah jambatan bernilai RM7 juta disitu.

“BN menang di peti undi Manek Urai, jadi BN kena mengotakan janji mereka. Jika tidak rakyat akan marah,” katanya.

Nik Aziz akur faktor pembangunan dijanjikan BN punca PAS menang tipis

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kemerosotan drastik jumlah majoriti kepada PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai semalam kerana pengundi terpengaruh dengan janji pembangunan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Kelantan itu berkata faktor berkenaan menjadi elemen utama yang menyebabkan BN mampu menarik pengundi di Manek Urai untuk memilih parti berkenaan kerana ia menyentuh aspek pembangunan di kawasan hulu Kelantan itu.

"Sebagai contoh janji-janji pembangunan yang dibawa oleh BN apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri berjanji untuk membina jambatan berharga RM7 juta di Manek Urai jika parti itu menang dalam pilihan raya itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, pada hari Rabu.

Justeru, katanya, satu bedah siasat akan dilakukan oleh pucuk pimpinan parti itu bagi menentukan punca sebenar kemenangan tipis Pas pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya kecil DUN itu, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan memperoleh majoriti 65 undi, berbanding majoriti yang diperoleh penyandang ADUN kawasan itu, Allahyarham Ismail Yaakob,60, yang memperoleh majoriti 1,352 undi pada pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya kecil itu semalam, Mohd Fauzi memperoleh 5,348 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, seorang pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ismail akibat serangan penyakit jantung pada 22 Mei lalu.

Nik Abdul Aziz mendakwa, kemenangan itu juga mungkin disebabkan "rasuah politik" yang digunakan parti itu pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya seperti menjanjikan pembangunan di kawasan tersebut.

"Oleh itu, saya tidak hairan mengapa calon PAS, mendapat majoriti tipis dalam pilihan raya kecil itu berbanding calon Umno," katanya.

Walaupun 19 tahun PAS mentadbir Kelantan, namun bagi Nik Abdul Aziz kawasan Manek Urai terletak di bawah jagaan KESEDAR, yang merupakan sebuah agensi kerajaan pusat.

Katanya secara logik kawasan Manek Urai termasuk dalam kawasan KESEDAR dan adalah menjadi kewajipan Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh BN melaksanakan projek pembangunan seperti itu.

Beliau juga meminta, Kerajaan Pusat melaksanakan projek pembinaan jalan baru dan lebih luas yang menghubungkan Kuala Krai Krai-Gua Musang kerana jalan yang ada sekarang sempit dan mengundang banyak kemalangan.

Di PULAU PINANG, DAP juga mengakui bahawa pelbagai insentif untuk rakyat yang diumumkan sejak Najib menjadi Perdana Menteri adalah antara faktor BN mendapat sokongan pada pilihan raya kecil itu sehingga menyebabkan Pas menang dengan majoriti tipis.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata sejak menjadi Perdana Menteri, Najib telah membuat pelbagai pengumuman yang menggembirakan hati rakyat.

"Ini memberi kelebihan kepada BN dan Umno tetapi kita juga perlu tanya kenapa BN masih tidak menang di Manek Urai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata perpecahan dalam PAS sendiri adalah punca yang menyebabkan calon parti itu menang tipis pada pilihan raya tersebut.

"Masih ada pihak (dalam PAS) yang mahu adakan kerajaan perpaduan dengan Umno. Ini menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan pengundi sehingga memberi kelebihan kepada Umno," katanya.

Lim juga berkata masalah di Selangor yang melibatkan ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali mendesak kerajaan Selangor merombak barisan Exconya juga antara penyumbang kepada kemenangan tipis Pas di Manik Urai.

"Insiden di Selangor yang melibatkan Azmin memberi gambaran tidak sihat kepada pakatan pembangkang bahawa ada perpecahan dalam pakatan pembangkang iaitu bukan sahaja di kalangan parti sebaliknya di dalam parti sendiri," katanya.

Wednesday, July 15, 2009

Maklumat mengelirukan PRK Manek Urai - Kecuaian Abdul Fatah Harun?


ALHAMDULILLAH, terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Pas masih lagi diberi kepercayaan oleh pengundi-pengundi di Manek Urai dengan kemenangan tipis sebanyak 65 majoriti. Biarpun bukan sedikit yang memperkatakan bahawa Pas akan tumbang kali ini, ternyata Pas mampu bertahan meskipun menghadapi suasana pilihanraya yang penuh dengan amalan sogokan pembangunan dan ugutan kebendaan oleh Umno/Bn.

Ternyata Manek Urai masih mempunyai rakyat yang bermaruah dan mereka tidak kesemuanya `lapar' kepada sebuah jambatan yang dijanjikan itu.

Tahniah buat Abe Uji walaupun hanya seorang Peraih Ikan,beliau mampu menewaskan seorang tokoh muda profesional yang bijak pandai dari Umno itu. Di atas kertas, sememangnya calon Umno tersebut punyai peluang yang besar untuk memenangi PRK Manek Urai kali ini tambahan pula dengan berbagai janji yang ditaburkan oleh TPM beberapa hari sebelum ini. Pas masih mampu bertahan walaupun parti tersebut dikatakan masih belum sembuh dari `penyakit' dalamannya semenjak muktamar yang lalu. Bayangkan jika Pas tidak menghadapi sebarang masalah dalaman dan bayangkan juga jika Umno tidak mengamalkan rasuah pilihanraya. Siapa boleh menafikan tawaran untuk membina jambatan bernilai 7 ke 10 juta SEKIRANYA Bn menang adalah satu rasuah pilihanraya?

Di sebalik kemenangan ini, apa yang paling mengecewakan adalah tahap profesionalisma Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun yang dilihat begitu lemah dan cuai di dalammenyampaikan maklumat yang tepat atau hampir tepat. Sebagai contoh, sepertimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini, Abdul Fatah Harun memberikan maklumat dengan berkata "jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat ini. "Saya tak ingat berapa peratusan yang diperoleh oleh PAS dan BN. “Tetapi saya boleh kata, kita akan menang dengan majoriti hampir 2,000 undi,” tambahnya. Kenyataan beliau ini dibuat pada jam lebih kurang 3 petang di mana masih ada 2 jam lagi masa untuk mengundi. Di mana beliau memperolehi angka sebesar itu untuk dihebahkan kepada media? Apakah beliau terlalu yakin sehingga membuat perkiraan sendiri tanpa menunggu selesai waktu pengundian? Tidakkah kenyataan beliau selaku Pengarah Pilihanraya Pas akan dianggap satu kenyataan rasmi oleh media?

Oleh kerana kecuaian dan kesilapan beliau itu menyebabkan berita-berita yang disebarkan oleh media termasuk media alternatif turut memberikan laporan dan maklumat yang bukan sahaja tidak tepat malahan jauh dari apa yang sebenarnya. Kenyataan yang terlalu awal dan tidak bijak oleh Abdul Fatah sedikit sebanyak turut mempengaruhi jentera-jentera pilihanraya Pas kerana mungkin mereka sudah merasa selesa dengan pengumuman oleh Pengarah mereka sendiri, sedangkan masa pengundian masih panjang ketika itu. Tidak salah jika ada yang menganggap Abdul Fatah berbohong dengan maklumat yang diberikannya.

Mungkin ramai di antara pihak media termasuk bloggers yang merasa terkilan dengan cara Abdul Fatah ini kerana maklumat yang selalunya tepat atau hampir tepat yang dilaporkan kepada orang ramai sebelum ini ternyata kali ini jauh berbeza. Majoriti 2000 yang diperolehi oleh Pas yang dikatakan selesa oleh Abdul Fatah rupa-rupanya hanya mendapat majoriti 65 sahaja. Kita tidak kecewa dengan majoriti yang kecil itu kerana kita hanya mahu melihat Pas talkinkan Umno di Manek Urai, tetapi kita amat kecewa dengan prestasi dan standard Pengarah Pilihanraya Pas tersebut.

Ini satu pengajaran buat Pas untuk melantik sesiapa bagi mengetuai pilihanraya di masa-masa akan datang. Tokoh tersebut mestilah yang boleh merancang strategi dengan baik serta mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan bijak. Saya melihat Abdul Fatah tidak mempunyai kreteria-kreteria tersebut. Bagi saya secara peribadi, Pas menang di dalam PRK Manek Urai ini tetapi tidak bagi Abdul Fatah Harun. Beliau sebenarnya gagal di dalam melaksanakan tugas beliau.

Minyak dan politik — Datuk Zaid Ibrahim

Rais Yatim, seorang Menteri dan juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, beberapa hari lalu telah membuat satu kenyataan yang luar biasa.

Bukanlah saya terkejut bila Rais membuat kenyataan yang luar biasa dan aneh itu. Dah memang menjadi “trademark” Rais yang begitu rupa. Kali ini dia berkata Kelantan tak ada hak di bawah undang-undang untuk membuat tuntutan terhadap Petronas daripada hasil minyak dalam kawasan Laut Cina Selatan yang sudah dalam produksi sejak tahun 2004.

Terengganu juga katanya tidak berhak kepada royalti minyak kerana apa yang diberi kepada Terengganu adalah wang ehsan mengikut budi bicara Kerajaan Pusat. Wah! Hebat sungguh kenyataan Menteri yang dikatakan pakar dalam bidang undang-undang itu.

Mungkin esok Rais akan mengumumkan pula bahawa Sarawak dan Sabah pun “tidak ada hak” untuk dapatkan royalti minyak dan beratus juta ringgit yang diperolehi sekarang hanyalah “wang ehsan” semata-mata. Kalaulah semua ini benar, maka ia bererti tak ada maknalah janji Petronas kepada Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah pada tahun 1975. Setahu saya, mengikut perjanjian itu, Petronas wajib membuat bayaran tunai dua kali setahun kepada negeri-negeri tersebut. Jumlah pembayaran itu adalah 5 peratus daripada hasil jualan minyak dari kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Laut Cina Selatan.

Rais sepatutnya menjelaskan kepada rakyat apa yang sudah terjadi kepada perjanjian yang saya sebutkan itu. Apakah perjanjian itu sudah tidak boleh dipakai lagi? Mengapa mahkamah sudah sekian lama membekukan atau “cold storage” tuntutan Terengganu terhadap royalti minyak itu? Nampaknya mahkamah di negara kita dalam kes-kes tertentu begitu cekap dan pantas sekali membuat keputusan tetapi dalam hal-hal yang tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional, mahkamah mengambil masa begitu lama.

Apa dah jadi dengan tuntutan kerajaan Terengganu terhadap hasil minyaknya?

Bilakah kes tuntutan kerajaan Terengganu mengenai minyak itu akan didengar? Ada baiknya Rais tunggu sebentar dan jangan cuba menjadi hakim yang tahu segala-galanya. Saya yakin Malaysia masih ada hakim yang jujur dan para peguam yang lebih bijak dan cekap daripada Rais. Jadi biarlah mahkamah yang menentukan keputusan sama ada Terengganu dan Kelantan ada hak atau tidak dalam perkara ini.

Kepada Rais, saya harap beliau dapat menumpukan lebih banyak masa untuk meningkatkan mutu rancangan TV dan radio RTM serta memastikan agensi berita Bernama yang dibiayai sepenuhnya oleh pembayar cukai tidak menjadi alat kepada UMNO dan Barisan Nasional, daripada cuba berlakon menjadi hakim mahkamah.

Husam: PAS hampir tewas kerana politik wang

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa, kemenangan tipis calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai adalah berpunca daripada politik wang.

Katanya, PAS telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perkara tersebut dan berharap tindakan selanjut diambil.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, menang dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Menurut Husam lagi, PAS juga kalah di pusat pengundian Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

Oleh itu, katanya, BN harus membina jambatan baru yang dijanjikannya kerana ia menang di situ.

Husam juga menafikan kemenangan tipis PAS itu mencerminkan pengaruh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semakin merosot.

Sebaliknya, kata beliau, pengaruh menteri besar Kelantan itu semakin meningkat

"Kita kalah kerana politik wang," katanya.

Manakala Mohd Fauzi yang lebih dikenali sebagai Abe Uji berkata, beliau menghormati keputusan pilihanraya kecil hari ini.

Beliau berharap dapat berkhidmat kepada para pengundi sebaik mungkin walaupun menang tipis.

Tuesday, July 14, 2009

Manek Urai : Muhyiddin Ugut Dan Rasuah Pengundi

"
Muhyiddin Yasin yang membuat janji berbentuk ugutan dan rasuh kepada pengundi Manek Urai di kempennya baru-baru ini sebenarnya telah kehabisan modal untuk berkempan. Ini kerana isyarat kekalahan UMNO jelas kelihatan. Isyarat kekalahan yang paling besar ialah Najib tidak muncul di Manek Urai sehinggalah sekarang.

Sebenarnya wang kerajaan hak rakyat sebagai pembayar cukai dan perlu disalurkan berasaskan keperluan semasa rakyat, bukannya dijadikan modal untuk berpolitik. Muhyiddin berkelakuan seperti wang kerajaan sebagai "duit mak bapak dia " dan sesuka hati untuk di gunakan.


Pemimpin UMNO ni tak reti bahasa dari dulu hinggalah sekarang. Para pemimpin UMNO buat negara ini macam hak peribadi mereka sendiri. Apa yang dia orang suka dia buat, kalau tak suka dia tak buat walaupun perkara itu adalah keperluan rakyat. Sebenarnya perkataan kata-kata nista yang dilemparkan kepada UMNO adalah terlalu ringan jika nak di bandingkan kerosakan yang UMNO lakukan selama 52 tahun memerintah negara ini. Seperti kes Muhyiddin ni, beliau membuat ugutan seolah-olah pengundi bodoh dan tidak mempunyai harga diri langsung. Muhyiddin telah menabur janji untuk membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai lama dan Manek Urai baru dengan syarat pengundi mesti memilih calon Umno sebagai wakil rakyat mereka.

Selain jambatan Muhyiddin juga menyebut dua lagi janjinya dengan nada sama sekiranya calon UMNO menang iaitu membina sekolah di Chuchoh Puteri dan membina masjid di Temalir - kedua-duanya dalam kawasan Manik Urai sekiranya calon Umno menang . Masjid di bina bila menang pilihanraya sama dengan masjid dhirar di zaman nabi. Janji dulu kerajaan BN untuk membina jambatan merentasi sungai Kelantan ketika zaman Pak Lah masih belum tertunai sehingga sekarang, hari ini tabur lagi janji baru. Kepada semua pengundi di Manek Urai jangalah mudah terpengaruh dengan janji manis dan kosong UMNO waktu pilihan raya kerana janji dahulu pun belum tertunai. Di sebabkan janji kosong UMNO kita gadaikan kepimpinan ulama pimpinan Tuan Guru Nik Aziz.

Isu pembangunan dilihat menjadi isu utama kempen UMNO di Manek Urai selain isu taraf pendidikan calon PAS yang dikatakan hanyalah seorang peraih ikan merupakan isu yang menghiris golongan tertentu. Rakyat sebenarnya perlu menilai sebelum membuat pilihan antara komitmen PAS dan Umno dalam menyediakan kepimpinan yang benar-benar amanah dari segi mengurus dan mentadbir. Perkara ini penting, sebab itu perlunya memilih calon PAS untuk mempertahankan kepimpinan yang baik, yang menjadi prinsip kepimpinan PAS khususnya dalam mentadbir negeri Kelantan. Masalah dunia hari ini bukan lagi kerana wang tetapi ketandusan pemimpin yang amanah seperti UMNO.

Isunya bukan siapa membina banyak masjid

Ustaz Harun Taib

MASALAH PAS dan Umno bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, juga bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh Umno atau PAS.

Masalah antara Umno dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi akidah negara Malaysia, sama ada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung dalam dua kalimah syahadah iaitu Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh Allah itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Adapun pun Umno sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. Umno kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan Ramadan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan negara mencabar al-Quran dan as-Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, Umno yang menjadi teras kepimpinan negara, terang-terang menolak hukum Allah dalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian di setiap detik berlaku di negara ini.

Setelah lebih 50 tahun Umno memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. Umno menghapuskan "kuasa imuniti Raja-Raja" yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. Umno membenarkan "riddah" atau murtad berleluasa. Umno juga mengamalkan budaya "hedonisme", budaya "akhlak bobrok" melalui agensi-agensi penyiarannya.

Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh Umno. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan "LA ILAHA ILLA ALLAH". Oleh itu, jika pemimpin Umno masih mengaku mempertuhankan Allah, menabikan Muhammad s.a.w. kenapa Umno boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah negara? Adakah Umno mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.

Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapura ada masjid, di Jerman pun ada masjid. Namun pentadbiran negara mereka juga tidak mengikut ajaran Islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin di negara barat dan timur yang sekular, sama dengan kedudukan pemimpin Umno di Malaysia ini.

Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin Umno khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang Umno membela Islam dan menegakkan syiar Islam.

Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am daripada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekali gus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?

Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang Umno mencabar al-Quran. Antaranya, al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang Islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi Umno yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi.

Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya Allah memerintah supaya negara ditadbir dengan ajaran Allah, namun Umno menolaknya.

Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin Umno, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan Allah itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.

Monday, July 13, 2009

100 hari Najib ditampuk kuasa, masih belum ternampak perubahan ketara

Semalam genaplah 100 hari Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam. Semenjak dilantik, Najib telah memperkenalkan gagasan “1 Malaysia”.

Selain daripada itu, slogan baru turut dicanaikan kepada rakyat iaitu “Rakyat diutamakan pencapaian didahulukan”.

Diharapkan gagasan 1 Malaysia ini tidaklah hanya sekadar retorik seperti gagasan “Islam Hadhari” yang diperkenalkan oleh bapa mertua Khairy Jamaluddin ketika menjawat jawatan sebagai perdana menteri Malaysia kelima.

Ada banyak perkara yang masih perlu diselesaikan sebelum Malaysia dapat mencapai matlamat 1 Malaysia. Masalah-masalah yang perlu diselesaikan ialah “dosa-dosa” yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh perdana menteri terdahulu.

Pemerintahan perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya menyelesaikan isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Pada ketika itu, Menteri De Facto Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim mewakili kerajaan Malaysia bagi memohon maaf kepada Salleh diatas kesalahan kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat bekas Ketua Hakim Negara itu dan memberikan pampasan kepada beliau dan beberapa hakim yang menjadi mangsa kediktatoran Dr Mahathir.

Jika Najib berani dan mahukan 1 Malaysia menjadi kenyataan, peristiwa pembunuhan 14 orang penduduk Kampung Memali pada Nov 19, 1985 yang berlaku dizaman pemerintahan Dr Mahathir harus diselesaikan.

Najib harus berani mewakili kerajaan Malaysia pada hari ini untuk memohon maaf diatas kesalahan membunuh Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya kepada waris keluarga dan penduduk Kampung Memali yang sehingga kini masih dihantui oleh peristiwa ngeri itu.

“Genocide” yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia pada Nov 19, 1985 kepada penduduk Kampung Memali, Baling adalah diantara pencabulan hak asasi manusia yang terbesar pernah berlaku di Malaysia selepas merdeka.

Ibrahim Libya dan 13 orang penduduk Kampung Memali di bunuh semata-mata kerana mereka tidak mahu tunduk kepada undang-undang zalim ISA.

Jika Ibrahim Libya, 13 orang syuhada dan penduduk Kampung Memali berada di Korea Selatan, mereka sudah tentu akan diangkat menjadi “perwira demokrasi”!

Jika Najib berani mengakui kesalahan ini dan memohon maaf secara terbuka bagi pihak kerajaan Malaysia kepada penduduk Kampung Memali diatas “genocide” yang dilakukan semasa zaman perdana menteri terdahulu, beliau akan dikenang sebagai perdana menteri yang berani.

Sedikit demi sedikit “baggage buruk” yang dibawa bersama semasa mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam akan dilupakan.

Hadiah 100 hari Najib: Macam hadiah beli belacan?!

hari ini akhbar perdana mentelaah sebesar-besar publisiti yag dikatakan "hadiah 100 hari Najib memerintah". Setelah diteliti 11 perkara berkenaan, kita mula berfikir, ianya hadiah atau sememangnya peranan pemerintah? Berikut adalah komentar penulis bagi setiap hadiah yang diberi:

1. Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009. Sepatutnya : Pengguna smart Tag atau Touch 'n Go BUKAN dari golongan miskin dan berpendapatan rendah.


Ia kebanyakan dari golongan berada dan berkemampuan. Itu pun masih ada had 80 kali ke atas? Yang diminta rakyat ialah pemansuhan tol keseluruhannya, bukan "menambah" kemudahan kepada golongan berada sahaja!

2. Penyewa Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa. Komentar : Ia langkah yang baik, tetapi bukankah lebih baik 'dihadiahkan' terus, kenapa perlu dibeli-beli lagi. Tidak perlu rasanya kerajaan berhasrat mendapat keuntungan dari golongan ini. Lagi pun bukankah ia dinamakan hadiah? mana ada hadiah kena beli, baik tak payah bagi kalau kena beli sesuatu hadiah!

"Hadiah" ke - hingga ke - 6 : Potongan diskaun 50% lesen kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan. Tambahan RM150 juta bagi dana TEKUN dan RM15 juta untuk program pembangunan usahawan muda kaum India. Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang. Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan. Komentar : Bukankah ini semua tugas sebuah kerajaan yang memerintah? Mengapa perlu disebut sebagai hadiah? Perlukah semua kerajaan negeri selepas ini tidak kira dibawah BN atau pembangkang mengistiharkan kerja-kerja mereka sebagai hadiah? Persoalan yang timbul juga, mengapa 50% hanya di wilayah persekutuan? Ia mengambarkan negeri lain dibawah BN tidak buat kerjalah. Sebab tiada hadiah dari mereka. Hadiah no. 6 tu, masalah kecurian kenderaan nak diatasi, yang itu tak payah khabaq pun takpa. Pi cari kereta yang kena curi tu sudahlah.Hadiah ke 8 dan 9?


Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat.Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di
Sabah dan Sarawak ditingkatkan. Ni hadiah ker? Kalau kita seorang suami, setiap kali kita beli beras pada isteri kita kita bagitau " ni hadiah daripada abang! hadiah ini sempena 100 hari perkahwinan kita!!?" Lusanya pula semasa balik membeli belacan di kedai, " sayang, ini hadiah belacan sempena 101 hari perkahwinan kita .." Tak ke pelik kita dengar.

Hadiah ke 10 - ke 11 Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat
kuasa pada 1 September depan. Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Boleh jadi ada orang setuju jika dikatakan ini hadiah? tapi kenapa hadiah pun masih kena bayar dan kena beli. Saya lebih setuju jika jikatakan sebagai contoh, beli 1 saham percuma 1 unit saham lain. Malahan apa yang dipraktikkan oleh PNB semasa Minggu Amanah Saham 2009 (MSAM 2009) yang memberikan percuma 100 juta unit Amanah Saham Wawasan (ASW 2020) kepada penduduk miskin bandar dan miskin tegar di negara ini adalah lebih tepat.Adalah nampak unsur hadiahnya.Tapi masa tu tidak keluar pula istilah hadiah". Masa itu baru jadi PM maka masih ikhlaslah bekerjanya ya..


Kesimpulannya, senarai perkara di atas tidaklah nampak sangat sebagai "hadiah kepada rakyat", ia lebih dilihat sebagai perkara asas tugasan kerajaan yang dikumpulkan dan diistiharkan. Mengapa nak istihar benda yang sememangnya dia kena buat. Baru 100 hari memerintah sudah tidak ikhlas. Kalau 'ya' nak menawan hati pengundi Manik Urai pun, janganlah sampai dilihat tindakan kita menjadi kartun, ia akan mengundang jenaka 'pantun-seloka' oleh rakyat yang
mendengarnya.

Search This Blog