Friday, September 25, 2009
PAS tiada niat tinggalkan Pakatan
Naib presidennya Salahuddin Ayub berkata PAS tidak pernah membuat keputusan untuk mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan tiga parti pembangkang utama itu di semua peringkat, lapor media rasmi parti Harakahdaily.net.
"Oleh kerana PAS tidak pernah membuat keputusan sedemikian, perkara itu tidak timbul sama sekali dan tidak harus ditimbulkan sama sekali," ahli parlimen itu dipetik berkata hari ini.
"Jika ada masalah yang berlaku, ia adalah perkara biasa. Dalam keluarga dua tiga orang pun ada masalah, apa lagi pakatan yang besar."
Beberapa akhbar hari ini melaporkan kesediaan PAS Selangor menimbangkan kedudukannya dalam kerajaan negeri itu ketika memetik kenyataan setiausaha perhubungannya Mohd Khairuddin Othman semalam.
"Sekiranya ada mana-mana wakil rakyat yang mencadangkan agar PAS mengkaji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat, PAS Selangor bersedia mengkaji kenyataan tersebut secara terperinci," katanya.
Beliau mempertahankan pendirian exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, yang menggesa Selcat mengadakan siasatan tertutup sewaktu mengambil keterangan pegawai kerajaan berhubung pengagihan peruntukan DUN oleh pentadbiran BN dan Pakatan Rakyat sekarang.
Cadangan itu dibantah DAP dan tindakan Dr Hasan mengkritik jawatankuasa khas DUN Selangor itu secara terbuka juga dijadikan isu oleh pemimpin-pemimpin dalam Pakatan.
Bagan Pinang: Umno cari kiblat moral, PAS cari calon MB
Ketika para pemimpin Umno di Teluk Kemang dan di pusat sedang dilihat berbeza pendapat tentang calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, PAS juga berhadapan dengan dilema pemilihan calonnya.
Bagi Umno pemilihan bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjanjikan kemenangan mudah di Bagan Pinang, tetapi memberikan implikasi besar di peringkat nasional seperti yang telah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, kerana rekod salah laku ketua bahagian Umno Teluk Kemang itu.
PAS pula yang dijangka tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan itu pula berhadapan dengan pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pertimbangan politik sebelum memilih calonnya.
Negeri Sembilan dilihat para pendukung Pakatan Rakyat (PR) sebagai negeri keenam yang akan ditawan mereka.
Barisan Nasional (BN) kini memerintah tanpa majoriti dua pertiga buat kali pertama selepas memenangi hanya 21 daripada 36 kerusi negeri pada pilihan raya umum lalu.
DAP menang 10, sementara PKR 4 dan PAS hanya mendapat satu walaupun bertanding 13 kerusi — terbanyak antara tiga parti PR.
Maka Bagan Pinang menjadi medan untuk PAS — yang dalam semua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan kehebatan jenteranya — membuktikan bahawa parti itu yang paling layak mengepalai PR di Negeri Sembilan dan mempunyai bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk kepimpinan negeri dan menjadi menteri besar.
DAP walaupun sudah tentu akan mendominasi pentadbiran Negeri Sembilan jika PR mengambil alih, belum tentu dapat menawarkan calon menteri besar kerana perlembagaan negeri itu juga meletakkan syarat jawatan itu hanya untuk orang Melayu dan Islam kecuali dikehendaki sebaliknya oleh Yang DiPertuan Besar.
PAS Negeri Sembilan telah mencadangkan tiga nama kepada jawatankuasa pusat — pengerusi negeri Zulkefli Omar, ketua PAS Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.
Ramli adalah seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 dan pengaruhnya diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya anggota tentera.
Kassim pula adalah penduduk asal Kampung Si Rusa di pesisir pantai Port Dickson dan berpengaruh di kampung sekitarnya kerana latar belakangnya sebagai guru agama dan pada usia 69 tahun, masih lagi aktif memberikan kuliah agama di kawasannya.
“Jika bercakap soal calon menteri besar, maka Zulkefli Omar adalah orang yang boleh dipersiapkan, dia juga adalah ahli politik sepenuh masa,” kata ahli strategi PAS Dr Zulkefly Ahmad, tetapi menambah soal calon menteri besar belum difikirkan oleh parti itu lagi.
Zulkefli, 45, adalah seorang pemegang ijazah sarjana dan telah tewas tiga kali dalam pilihan raya sebelum ini — beliau dikatakan mempunyai peluang paling cerah menjadi calon di Bagan Pinang.
Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi Lenggeng dengan majoriti 1,285.
Bagaimanapun di kalangan pemimpin PAS ada juga yang bimbang pencalonan Zulkefli akan membawa kesan buruk kepada parti itu.
“Tidak baik untuk parti sekiranya seorang pesuruhjaya negeri tewas dengan teruk dalam pilihan raya kecil,” kata seorang lagi pemimpin PAS yang bimbang dengan kewujudan pengundi pos yang tinggi —kira-kira 30 peratus daripada jumlah pemilih.
Jawatankuasa PAS pusat akan bermesyuarat pada 29 September ini di Port Dickson untuk menetapkan nama calonnya dan pengumuman akan dibuat dalam satu ceramah pada malam itu juga.
Jika Zulkefli dicalonkan, ia menjadi isyarat paling jelas bahawa parti itu sedang mempersiapkan diri untuk mentadbir Negeri Sembilan.
Kebal sangatkah BN berbanding LDP Jepun?
Dalam pilihan raya umum Jepun 30 Ogos lalu, Parti Demokratik Jepun (DPJ) pimpinan Yukio Hatoyama berjaya menguasai parlimen, sekali gus menamatkan hegemoni kuasa Parti Liberal Demokratik (LDP) selama 54 tahun. DPJ dilaporkan memenangi 308 daripada 480 kerusi Dewan Rendah dan 117 daripada 240 kerusi Dewan Tinggi yang dipertandingkan.
Kemenangan itu menyaksikan peralihan arah undi sangat besar memandangkan sebelum Parlimen dibubarkan Julai lalu LDP menguasai 303 kerusi berbanding DPJ dengan hanya 112 kerusi. Keputusan dua minggu lalu membuka laluan kepada DPJ membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan LDP pimpinan Perdana Menteri, Taro Aso.
Bagi sebahagian rakyat negara ini, terutama khalayak Pakatan Rakyat, kejayaan sebuah parti pembangkang menumbangkan sebuah parti yang telah membina kekuatan sebegitu lama di tampuk kuasa adalah inspirasi amat bermakna.
Tidak syak lagi kemenangan bergaya DPJ itu bakal menyemarakkan lagi kebangkitan parti-parti pembangkang untuk menimpakan nasib serupa kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti tua yang masih bergayut di dahan kuasa negara ini.
Satu keyakinan cuba dibentuk bahawa jika seramai 103 juta rakyat Jepun yang keluar mengundi dua minggu lalu sanggup menyingkirkan sebuah parti yang memerintah mereka sejak 1955, apalah sangat kebalnya BN sehinggakan rakyat negara ini masih mahu mengekalkan pemerintahannya yang seusia dengan LDP itu?
Apatah lagi sebab-musabab utama yang mendorong kejatuhan LDP itu banyak persamaan dengan punca kemuakan dan penolakan rakyat Malaysia terhadap BN mutakhir ini. Menurut beberapa analisa disiarkan media, punca utama kekalahan LDP antara lainnya ialah kerana pergolakan dalaman parti itu yang berpanjangan.
Sejak kegagalannya mendapat undian majoriti di Parlimen berhubung isu ekonomi pada 1993, parti itu terus bergolak sehingga menyebabkan kerap berlaku pertukaran pucuk pimpinannya.
Kegagalan LDP menangani isu-isu ekonomi melunturkan keyakinan rakyat Jepun terhadapnya. Kadar pengangguran yang tinggi, karenah birokrasi dan pembaziran dalam perbelanjaan negara antara yang mendorong penolakan rakyat negara itu terhadap LDP. Hakikat itu tidak begitu berbeza dengan negara kita.
Rakyat Jepun juga dikatakan yakin dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan pembaikian hidup ditawarkan DPJ. Dalam kempennya parti itu memberi jaminan untuk meletakkan kepentingan orang awam lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai perniagaan (tauke) serta kuasa birokrasi dan perniagaan besar (korporat).
LDP turut menjanjikan pemberian elaun tunai untuk membesarkan anak, pendidikan sekolah tinggi percuma, gaji pokok lebih tinggi, pemotongan cukai petrol dan menamatkan bayaran tol di lebuh raya.
Sebahagian agenda itu juga senada dengan apa yang kita dengar dilaungkan rakyat negara kita. Justeru, jika faktor dan dorongan itu mampu menumbangkan sebuah kuasa di Jepun, mengapa tidak di negara kita?
Apatah lagi BN bukan setakat berhadapan krisis keyakinan rakyat atas isu ekonomi seperti dihadapi LDP. Mutakhir ini BN bermasalah dalam hampir segala aspek, membabitkan isu agama, perkauman, politik dan sosial.
Wajar juga diingat betapa perbezaan dari segi pencapaian ekonomi LDP berbanding BN adalah ibarat langit dengan bumi. Di sebalik kepincangan dan kelemahan pemerintahan LDP, parti itu berjaya memartabatkan Jepun sebagai negara maju dan disegani dunia.
Jepun membangun dari sebuah negara yang hancur lumat ekoran perang menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia. Jika kejayaan sebegitu besar pun tidak menjadikan LDP kebal di mata rakyat, apakah kekebalan yang ada pada BN?
Perbezaan juga sangat ketara antara kedua-dua parti pada sikap kebertanggungjawaban pemimpin masing-masing. Selama tempoh 54 tahun pemerintahan LDP, Jepun dipimpin 23 Perdana Menteri (PM). Bagi tempoh sama kekuasaan BN (sejak 1955 juga), Malaysia hanya dapat enam PM.
Tempoh khidmat setiap PM Jepun sangat pendek. Kebanyakannya tidak menjangkau tiga tahun. Tokoh paling lama menjadi PM ialah Eisaku Sato. Itu pun tidak sampai lapan tahun. Beliau berkhidmat antara 9 Nov 1964 hingga 7 Julai 1972 sebelum bersara.
Manakala khidmat paling singkat ialah oleh Sosuke Uno. Beliau hanya menjadi PM Jepun selama dua bulan dari 3 Jun hingga 10 Ogos 1989 sebelum mengundurkan diri.
Hanya seorang PM diganti kerana meninggal, dua dijatuhkan menerusi undi tidak percaya, manakala dua ditewaskan menerusi pilihan raya. Selebihnya sama ada mengambil keputusan bersara atau berundur secara terhormat apabila kepimpinannya mendatangkan masalah buat negara. Bandingkan saja dengan kedegilan para pemimpin BN bergayut di kerusi masing-masing?
Seperkara lagi, LDP tidak menggadai bahasa ibunda Jepun semata-mata demi mengejar kemajuan dan capaian teknologi. Tiada program mengajar anak-anak sekolahnya Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, sebaliknya orang Inggeris yang mahu belajar teknologinya yang mesti belajar bahasa Jepun.
Ertinya, kelemahan dan kesilapan BN sepanjang 54 tahun memerintah jauh lebih melayakkan ia diturunkan dari tampuk kuasa berbanding LDP. Kalau rakyat Jepun boleh, mengapa Malaysia tidak boleh?
Thursday, September 24, 2009
Tangkap anggota kabinet yang lulus kos tambahan tidak wajar PKFZ
Pihak polis sepatutnya menangkap anggota kabinet yang terlibat memberikan kelulusan yang membawa kepada peningkatan kos Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau kesal dengan tindakan polis membazirkan wang rakyat dengan membuang masa hendak memburu mereka yang terlibat membocorkan kertas kabinet mengenai perkara itu. "Kenyataan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebelum ini bahawa dalam kes PKFZ, apa-apa yang boleh dimaklumkan akan dimaklumkan, tetapi (ia) bukan alasan untuk mendedahkan Kertas Kabinet membuktikan bahawa kertas kabinet yang didedahkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen tulen. "Lebih dari itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri dipetik oleh akhbar Kwong Wah Yit Poh bahawa beliau tahu mengenai kebocoran tersebut sebelum menjadi menteri lagi. "Polis jangan buang duit rakyat dengan menghabiskan masa untuk menyiasat siapa yang membocorkan kertas itu," kata Mahfuz. Kesalahan kabinet meluluskan peningkatan kos PKFZ seperti yang dicatatkan oleh kertas tersebut adalah lebih besar dari dari kesalahan membocorkan kertas kabinet di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), katanya. Ahli Parlimen Pokok Sena itu bimbang sikap kerajaan dan polis membesar-besarkan isu kebocoran itu akan berakhir dengan dakwaan bahawa kertas yang disiarkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen palsu dan bukan kertas kabinet. "Jika polis mendakwa kertas tersebut bukan kertas kabinet, akhirnya tidak ada siapa yang ditangkap kerana melakukan kesalahan meluluskan kos peningkatan PKFZ yang dibuat dalam bentuk syubhat dan bertentangan dengan peraturan kewangan kerajaan itu," katanya. Beliau juga bimbang keghairahan polis membesar-besarkan isu kebocoran kertas kabinet itu bertujuan mengalihkan siasatan ke atas perkara yang sepatutnya disiasat, antaranya untuk menyiasat adakah benar Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan bagi beberapa penerbitan bon. "Adakah polis akan menyiasat adakah benar perkara itu berlaku kerana jika ia berlaku, jaminan Menteri Pengangkutan itu boleh dianggap tidak sah kerana jaminan kerajaan hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan atas persetujuan jemaah menteri. Itu peraturan kewangan kerajaan," katanya. Beliau juga menuntut polis menyiasat benarkah Menteri Pengangkutan telah mendapat kelulusan dasar Perdana Menteri untuk melaksanakan keseluruhan projek tersebut tanpa merujuk kepada agensi pusat sedangkan, setelah dilaksanakan projek tersebut didapati tidak berdaya maju dan kos projek pula telah meningkat kepada RM4,632,732,000.00 sedangkan anggaran kos asal hanya RM1.088 bilion sahaja. "Polis juga sepatutnya menyiasat adakah pertambahan skop kerja yang melebihi RM100 juta dari kos asal sebanyak sebanyak RM1.088 bilion itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan atau tidak," katanya lagi. Mahfuz melihat tumpuan polis untuk menyiasat kebocoran kertas kabinet itu semakin menguatkan jangkaan umum bahawa tidak ada siapa pun akan dihukum berikutan skandal PKFZ itu. Semalam, perkembangan lebih mencurigakan berlaku apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menafikan laporan berita Bernama yang memetik beliau sebagai berkata bahawa ada menteri akan dipanggil bagi membantu siasatan kes penyiaran dan penyebaran kertas kabinet mengenai skandal PKFZ itu. Bukit Aman dalam satu kenyataan di sini menjelaskan bahawa Musa tidak pernah menyatakan bahawa menteri akan dipanggil bagi tujuan itu ketika menghadiri satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi ini. "Apa yang beliau (Musa) katakan adalah saksi atau individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kenyataan mereka diambil," kata Penolong Pengarah Pengurusan bagi Hal Ehwal Awam ACP Lai Yong Heng dalam kenyataan itu. Polis dijangka mengesan mereka yang dipercayai terlibat dalam kes penyiaran dan penyebaran Kertas Kabinet itu yang melibatkan isu PKFZ. Penyiaran Kertas Kabinet itu di sebuah laman web, yang berkaitan projek PKFZ bernilai RM12.5 bilion telah mengundang kemarahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengecam tindakan itu, kerana dokumen berkenaan membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Kertas Kabinet 18 muka surat itu didakwa sebagai memorandum daripada Kementerian Kewangan pada Jun 2007, untuk mendapatkan persetujuan kabinet bagi memikirkan semula untuk meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion bagi membiayai projek PKFZ. Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik Lembaga Pelabuhyan Kelang (LPK) bagi menyiasat skandal PKFZ, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan. |
Wednesday, September 23, 2009
Lagi PRK selepas Bagan Pinang???
Belum pun pilihanraya kecil Bagan Pinang bermula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang semalam baru menerima satu lagi Surat Perletakan Jawatan dari Adun Johol, Barisan Nasional. Punca pengutusan surat tersebut kerana ADUNnya sedang bersabung nyawa; akibat penyakit kanser tulang tahapan ketiga/genting.
Ini menandakan Negeri Sembilan bakal menempuhi satu lagi pilihanraya kecil, selepas selesainya pilihanraya kecil Bagan Pinang kelak. Pun begitu, MKT PKR Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard berkata, SPR sedaya upaya cuba menyelamatkan BN dengan menolak surat perletakan jawatan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, dua ADUN BN yang lain sedang berdepan dengan pertuduhan rasuah yang membolehkan kedua-dua mereka hilang kedudukan sebagai ADUN. Jika berlaku juga pilihanraya di kedua-dua Dun itu, menjadikan BN Umno terus diselubungi sindrom takut kalah pilihanraya (atychiphobhia).
Ini kerana, Umno sudah kalah tujuh kali berturut-turut di Semenanjung – Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, Penanti dan Permatang Pasir.
Umno BN bertambah bimbang, takut-takut Negeri Sembilan akan jatuh dalam genggaman Pakatan Rakyat (PR). Ianya tidak mustahil kerana perbezaan kerusi BN-PR hanya empat kerusi sahaja.
Sama-sama kita nantikan apa pula konspirasi SPR-UMNO BN dalam masa terdekat ini demi mempertahankan status quo mereka sebagai pemerintah zalim menjelang PRU13 kelak. -zainulfaqar
PAS Bakal Menang Dengan Undi Protes Di Bagan Pinang?
Bagi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat siapa pun yang bakal Pas akan namakan sebagai calon mereka akan beri sokongan padu.
Berbeza dengan Umno yang kini berada dalam dilemma untuk menamakan calon mereka. Mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon dianggap seperti sengaja mengundang kekalahan kerana 'dosa lampau' Isa Samad masih tidak dapat dilupakan sehingga kini.
Dr Mahathir sendiri 'menasihatkan' Umno agar tidak mencalonkan Isa Samad bagi mengelakkan Umno sekali lagi ditolak oleh pengundi. Bagi Pas walaupun tidak dizahirkan secara nyata pasti 'lebih gembira' jika Isa Samad menjadi calon.
Tetapi mencalonkan nama selain Isa Samad bermakna bakal mewujudkan protes secara senyap penyokong kuat Isa Samad di Bagan Pinang dalam Parlimen Telok Kemang yang Isa Samad ketua bahagian Umno di situ.
Awal-awal lagi Umno Bahagian Telok Kemang mencalonkan Isa sebagai calon tunggal untuk mempertahankan undi kerusi Umno di situ. Isa Samad walaupun tokoh kontroversi di peringkat nasional tetapi masih disanjung dan dapat kepercayaan di peringkat bahagian. Malah Umno di situ masih lagi menganggap pemecatan dan pengantungan Isa Samad dalam Umno satu ketika dahulu adalah satu konspirasi terancang. Penyokongnya masih setia bersama dengan Isa Samad.
Pilihanraya kecil atau besar walaupun ada tenaga dan pakar dari luar datang mencurah-curah membantu, sokongan akar umbi dan jentera parti di peringkat tempatan adalah sangat penting. Umno peringkat pusat pasti tidak mahu sejarah pahit penolakan calon kontroversi mereka di Permatang Pasir berulang di Bagan Pinang.
Lebih-lebih lagi pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa calon Umno di Bagan Pinang bebas rasuah. Maknanya Isa Samad tak masuk dalam senarai!
Jika itulah keadaannya Umno bakal berdepan bukan sahaja saingan sengit Pas yang disokong oleh Pakatan Rakyat mereka juga bakal ditolak secara senyap oleh pimpinan dan penyokong Umno yang menjadi pengundi di Bagan Pinang yang masih dulu kini dan selamanya bersama Isa Samad. Ramalan saya Umno bakal menempah kekalahan ke 8 dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.
Nizar seru warga Perak buat perubahan besar-besaran
Bagi mantan Menteri Besar Perak Pakatan Rakayat Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Syawal ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan untuk seluruh rakyat di Perak melakukan perubahan besar-besaran sekiranya pilihan raya negeri dibuat pada masa yang terdekat. Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis. "Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zalim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan seperti SPR, SPRM, polis dan kehakiman. "Tolak mana-mana yang berjuang di atas prinsip perkauman dan 'assobiyah' kerana itu tiada tempat dalam Islam. "Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalangannya mereka yang hidup-matinya, perjuangannya kerana bangsanya atau kaumnya," jelas Nizar dalam perutusan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. Dalam perutusannya itu, beliau merasa pelik apabila umat Islam mengabaikan perintah Allah dan ibadat yang lain tetapi memberi keutamaan kepada amalan berpuasa. Katanya hanya satu ayat dalam surah al-Baqarah (ayat 183) memerintah umat Islam berpuasa, tetapi dengan puluhan ayat yang mengarahkan solat dipandang sepi dan tidak ambil berat. "Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahur, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu," katanya yang juga ADUN Pasir Panjang. Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri yang turun dan diungkap oleh Nabi Muhammad pertama kalinya dalam peperangan Badar mengajak umat Islam membuat perubahan besar-besaran. Namun malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan di kalangan masyarakat melayu sehingga hilang roh dan semangat takbir itu sendiri. "Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya," katanya. Selain itu katanya, sebagai ibadat tertua, puasa menuntut umat Islam memperolehi ketaqwaan sebagai tiket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak dan tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga. "Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini. "Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!" katanya dalam perutusan tersebut. _ |
Tuesday, September 22, 2009
Calon bersih politik wang penting untuk Bagan Pinang
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, UMNO harus pilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang.
Beliau yakin UMNO boleh mendapat majoriti kuat pada pilihan raya kecil itu kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kubu kuat parti berkenaan.
Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis hari raya di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau hari ini.
“Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu samada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,” tambahnya.
Jika UMNO mengetengahkan calon yang tidak bersih, beliau berkata, parti itu mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.Kerajaan Terengganu beroperasi tanpa sokongan majoriti
Krisis politik Terengganu dilihat semakin runcing apabila beberapa usaha termasuk lawatan khas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin dan Ketua Perhubungan Datuk Hishamudin Husein gagal menampakkan hasil positif untuk memulihkan keadaaan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana semakin jelas beliau kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam dewan berkenaan.
"Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa perbalahan antara kumpulan Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hanya akan dicari penyelesaian selepas hari raya jelas menunjukkan krisis ini amat serius," kata jurucakap PKR Terengganu, Hashimi Datuk Haji Abbas dalam satu kenyataan.
Bagi menghormati amalan demokrasi kata beliau, kerajaan negeri tidak lagi layak untuk terus mentadbir dalam keadaan Menteri Besar hanya disokong oleh segolongan minoriti ahli dewan undangan negeri.
Menurut beliau, kumpulan penyokong Idris yang terdiri lebih 12 ahli dewan jika dicampur dengan ahli dewan daripada PAS jelas telah menafikan majoriti penyokong Ahmad Said dalam DUN.
"Kita yakin keadaan ini dari segi semangat demokrasi akan menjadikan kerajaan berjalan dalam keadaan tidak sah dan bercanggah dengan kehendak rakyat," jelas beliau.
Krisis politik Tergengganu tercetus dengan desas desus sekumpulan ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar akan melompat menyertai pembangkang.
Tindakan kumpulan itu dkatakan tidak menjadi kenyataan kerana pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib tidak positif dengan pelan berkenaan. Bagaimana pun Harun menafikannya kerana tidak ada sebarang perbincangan mengenainya.
Perkembangan terakhir di mana Muhyidin Yasin membuat kenyataan bahawa krisis politik Terengganu hanya akan dicari penyelesaian selepas hari raya menimbulkan persoalan baru bahawa pihak yang menentang Menteri Besar serius untuk mengambil tindakan drastik.
Tinjauan di sekitar Terengganu menunjukkan kain-kain rentang ucapan selamat hari raya di kawasan dikuasai kumpulan anti Ahmad Said tidak meletakkan gambar menteri besar itu besama ADUN.
Adun Kuala Besut misalnya meletakkan gambar beliau bersama dengan Idris Jusoh bukannya Ahmad Said. Ia dilihat satu keganjilan walaupun Idris adalah ketua bahagian Umno Besut.
Kepimpinan Khalid Samad, Ir. Nizar terserlah
Pergolakan dalam sesuatu masyarakat biasanya melahirkan rupa bentuk kepimpinan seseorang tokoh yang berada di tengah-tengah pergolakan itu sendiri. Masyarakat mengukur cara dan kebijaksanaan tokoh itu menangani pergolakan itu – kejayaan atau kegagalannya.
Demikianlah apa yang berlaku dalam peristiwa sekumpulan orang dari Seksyen 23 di Shah Alam mengheret kepala lembu yang masih berdarah dikatakan sebagai membantah kewujudan kuil Hindu di situ.
Pergolakan dalam sesuatu masyarakat biasanya melahirkan rupa bentuk kepimpinan seseorang tokoh yang berada di tengah-tengah pergolakan itu sendiri. Masyarakat mengukur cara dan kebijaksanaan tokoh itu menangani pergolakan itu – kejayaan atau kegagalannya.
Demikianlah apa yang berlaku dalam peristiwa sekumpulan orang dari Seksyen 23 di Shah Alam mengheret kepala lembu yang masih berdarah dikatakan sebagai membantah kewujudan kuil Hindu di situ.
Perlakuan menghertet kepala lembu itu bertentangan sama sekali dengan pesan di dalam Al-Quran, Surah Al-Am yang melarang umat Islam menghina agama lain, kerana dikhuatiri orang lain akan menghina Allah s.w.t. pula.
Apa yang berlaku di Shah Alam itu segera menyerlahkan kepimpinan Ahli Parlimen PAS Shah Alam Ir. Khalid Abd Samad justru kerana telah menanganinya dengan penuh bijaksana, berprinsip, tenang dan sabar apabila berdepan dengan bantahan sekumpulan penduduk di situ. Malah lebih penting dari segalanya ia telah memperlihatkan keberanian sebagai tokoh gerakan Islam PAS Islam menegakkan keadilan kepada semua kaum dan agama di tengah bantahan keras, tuduhan, malah kata nista yang tidak sepatutnya keluar dalam bulan Ramadhan El-Kareem.
Ir. Khalid bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berusaha melaksanakan keadilan Islam justru kerana sedar keadilan itu paksi utama Syariat Islam dan bukan sebarang tokoh pula yang mampu berdepan dengan gelombang protes dan perlakuan sedemikian rupa. Insya-Allah kedua Khalid ini berjaya melepasi ujian getir ini.
Ini mengingatkan saya kepada seorang lagi tokoh muda PAS yang juga mempunyai kemampuan luar biasa iaitu Menteri Bersar Pakatan Rakyat Perak, Ir. Nizar Jamaludin yang mampu menghadapi peristiwa hitam di Perak Darul-Ridzwan tidak lama dulu.
Walaupun dalam usia dikira muda, ia telah mengukir nama sedemikian harum atas kewibawaan, pandangan jauh dan kebijaksanaan pimpinannya menangani peristiwa tersebut. Walaupun baru 11 bulan memerintah. negeri Perak Darul-Ridzwan dan walaupun ‘tewas’ sementara kerana manipulasi politik Umno/BN, tetapi rakyat berbilang kaum tetap menyanjung dan menyayanginya sebagai pemimpin berwibawa, menyerlah, berkesan dan adil.
Tidak syak lagi, dua tokoh PAS ini – Ir. Khalid A. Samad di Selangor dan Ir. Nizar Jamaludin di Perak adalah ‘the promising leader’, pemimpin yang menjanjikan. Kedua-duanya mempunyai sikap terbuka, memahami rialiti masyarakat majmuk di Malaysia, beruaha menegakkan keadilan Islam, bersikap amanah dan jujur dan tidak gentar dengan cabaran. Inilah contoh pemimpin gerakan Islam yang sangat dikehendaki.
Dalam surat terbukanya mengenai peristiwa di Shah Alam itu, Ir. Khalid menyebut: “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan akan Firman Allah, Surah Al Maa’idah ayat 8 yang bermaksud;
“Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kata Khalid, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud,
“Dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…”
Ir. Khalid seterusnya berkata, Allah s.w.t. murka terhadap mereka yang bertindak dengan cara yang merosakkan imej Islam sehingga menyebabkan manusia terhalang untuk mengenali keadilannya. Beliau menyebut berfirman Allah s.w.t. ayat 94 Surah An-Nahl yang bermaksud:
“Dan kamu ditimpa kehinaan kerana menjadi penghalang kepada jalan Allah (disebabkan tindakan buruk kamu) dan untuk kamu azab yang amat dahsyat (pada hari akhirat kelak).”
Mungkin ada yang bertanya kepada Ir. Khalid, tidakkah dia khuatir akan kalah dalam Pilihan Raya akan datang disebabkan isu ini?” Khalid menjawab, “Bagi saya sekiranya itulah kehendak pengundi, apakan daya saya? Yang penting sejarah akan menjadi saksi bahawa ada Ahli Parlimen dari parti Islam yang memperjuangkan keadilan untuk semua orang walaupun orang Hindu. Beliau menyebut kisah seorang raja Islam di Mysore, Bangalore, India pada abad ke 18 yang bernama Sultan Fateh Ali Khan Tippu (Tippu Sultan). Rakyatnya terdiri daripada orang Islam, Hindu dan Sikh. Hingga ke hari ini rakyat India masih menceritakan mengenai pemerintahan beliau yang berasaskan Islam sebagai sebuah pemerintahan yang adil.
Mengukuhkan pendiriannya, Ir. Khalid dalam blognya seterusnya mengambil kisah di zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab (r.a). Melalui pendedahan ini, beliau berharap sebahagian dari umat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah itu ialah bagaimana Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.
“Dan apabila masuk Sayidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat Asar, berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solatlah di sini saja.” Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar), di tangga yang berada di depan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas solat Asar itu, beliau masuk kembali lalu memberitahu Patriach al-Quds :
“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa umat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Sayidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.
Kepada Ir. Khalid, kisah di atas menceritakan respons Sayidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respons Sayidina Umar adalah satu respons yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka. Ini keadilan Islam yang ditunjuk oleh Umar.
Para Khalifah Islam, kata Ir. Khalid, sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung di tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah peribadatan mereka.
Sementara itu ketokohan Ir. Nizar Jamaludin juga sangat menyerlah. Walaupun hanya 11 bulan menjadi Menteri Besar Pakatan Rakyat di Perak, Ir. Nizar telah memperlihatkan kebijaksanaanya menghadapi krisis itu menyebabakan kepimpinanya semakin disayangi rakyat, keutuhan Pakatan Rakyat tidak terjejas dan majoriti rakyat masih mengharapkan kepimpinan beliau.
Seperti juga Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahi Parlimen Kuala Selangor, Khalid Samad dan Ir. Nizar adalah di antara pemimpin PAS yang terdedah dengan gerakan Islam ketika menuntut di Engand lagi. Justru itu, kepada saya, tokoh PAS ini adalah sumber inspirasi kepimpinan baru PAS yang berusaha memahami dan berinteraksi dengan real politik di Malaysia.