Saturday, December 12, 2009

Royalti Minyak : Najib Derhaka Wasiat Bapanya

Idris Ahmad
Pada 1975, ketika Allahyarham Tun Abd Razak bin Hussein Al-Haj masih menjadi Perdana Menteri satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubungan dengan sumber minyak Kelantan.

Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, menyebut bahawa anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan adalah RM2.5 bilion setahun.

Berdasarkan laporan itu kerajaan negeri Kelantan mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion dari Kerajaan Persekutuan bagi jumlah royalti dan kerugian yang tidak pernah dibayar sejak 2004.

Tuntutan royalti minyak kelantan ini turut disokong oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan dari Umno, Datuk Md Alwi Che Mat pada julai lalu dan berharap agar Kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti dan dokumen-dokumen berkaitan untuk menuntutnya.

Malangnya, Dato' Seri Najib anak kepada Tun Razak menderhakai perjanjian yang buat di zaman pemerintahan ayahnya dan enggan membayar royalti seperti yang telah dipersetujui sebagai respon kepada kekalahan teruk BN di Kelantan pada PRU Mac 2008.

Tindakan beliau jelas mengkhianati amanah perjuangan ayah beliau yang pastinya tidak akan tenang dalam kubur dengan kezaliman yang dilakukan pada hari ini terhadap rakyat Kelantan.

Seorang anak yang baik akan menyelesaikan segala hutang piutang dan janji arwah bapanya kepada sesiapa sahaja dengan harapan bapanya akan mendapat keredhaan Allah.

Namun Najib tidak bertindak demikian, malah memungkiri wasiat yang telah dipersetujui di zaman pemerintahan bapanya.

Inilah contoh anak derhaka yang juga zalim kepada rakyat demi kepentingan politiknya. Idea wang ehsan ditimbulkan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat sebagai menunjukan sikap bermuka-muka beliau, walhal rakyat lebih jelas dengan isi perjanjian Petronas-Kelantan 1975.

Idea wang ehsan ini bermula dizaman Tok Guru Najib iaitu Tun Mahathir yang ketika itu tertekan dengan kemenangan mengejut PAS di Terengganu.

Bagi membalas tindakan rakyat Terengganu yang menolak Kerajaan BN, maka Mahathir menarik balik wang royalti minyak Terengganu dan mengantikannya dengan wang ehsan.

Maka bermulalah sejarah wang ehsan iaitu satu pakej yang dibuat oleh BN khusus untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Parti bukan BN.

Keadaan ini berbeza dengan negeri Sabah yang diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1985-1994.

Walaupun ketika itu Sabah tidak dikuasai BN, namun royalti minyak tetap diberikan bukannya wang ehsan.

Maka jelaslah bahawa BN yang kini dipimpin Najib sengaja untuk menzalimi rakyat Kelantan dan menderhakai wasiat bapanya.

Friday, December 11, 2009

Biro Tatanegara...Gunalah wang UMNO-BN!

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional diselar kerana membiayai perbelanjaan Biro Tatanegara (BTN) yang beroperasi untuk menjaga kepentingan parti politiknya dengan menggunakan wang rakyat. Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu forum yang dianjurkan baru ini

"BTN ini untuk kursus untuk rakyat Malaysia, bukan kursus untuk ahli UMNO. Kalau kursus ini untuk ahli UMNO, saya tak kisah pun. Kalau dia kursus untuk ahli UMNO, dia kata orang Cina beginilah, begitulah... macam perhimpunan dia, saya tak kisahlah, dia punya parti," kata Suhaizan bin Kaiat.

Wang rakyat untuk kepentingan parti

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS ini kemudian menyambung, "tapi masalahnya, dia gunakan peruntukan sebanyak RM550 juta dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2000 hingga 2009, tetapi dia digunakan untuk mendoktrinisasi atas kepentingan parti politik tertentu, itu masalahnya."

Pendirian ini dikongsi bersama oleh dua orang ahli panel yang lain, iaitu Amirudin Shari selaku ADUN Batu Caves merangkap Pembantu EXCO kepada Menteri Besar Selangor, dan Johari bin Abdul selaku ahli parlimen Sungai Petani, Kedah.

Malah, Johari Abdul kemudiannya mendedahkan bahawa, daripada Bajet 2010 yang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM183 bilion, RM62 juta diperuntukkan untuk BTN pada tahun 2010. Johari Abdul kemudiannya menghitung, seandainya pembinaan sebuah sekolah agama rakyat memerlukan RM2 juta, maka peruntukan BTN itu boleh digunakan untuk membina 30 buah sekolah agama, atau membantu sekolah Tamil dan Cina yang kekurangan peralatan.

Pandangan-pandangan ini dilontarkan dalam satu forum bertajuk "Adakah Biro Tatanegara Relevan Untuk Perpaduan Negara?", anjuran bersama Youth For Change (Y4C) dan Biro Penerangan Angkatan Muda Keadilan pada 8 Disember di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Pembangkang=Musuh Negara?

Suhaizan bin Kaiat berkongsi bagaimana kursus BTN digunakan untuk "memerangi" pembangkang, seolah-olah pembangkang itu musuh negara, "padahal pembangkang hanyalah musuh kepada UMNO-BN".

Sementara itu, Amirudin Shari yang merupakan salah seorang ADUN muda PR yang mempelopori usaha mendesak agar kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melarang mahasiswa untuk menghadiri program BTN, mengulas bagaimana kursus BTN menyemai "kemelayuan" ke dalam jiwa peserta program.

"Kononnya tanggungjawab untuk membela Melayu ini, berakhir kepada satu keputusan (di mana Melayu) terpaksa kompromi dengan perkara-perkara seperti rasuah, sebab dia (perasuah) Melayu... terpaksa kompromi dengan seorang yang zalim, kerana dia Melayu," kata Amirudin Shari.

Amirudin Shari sempat membidas bahawa kursus BTN yang digunakan untuk menyemai semangat perkauman, di samping menjadi alat untuk menyerang pembangkang secara habis-habisan, sebenarnya melambangkan kehancuran dan betapa rapuhnya slogan "1Malaysia" yang dilaungkan PM Najib Abdul Razak.

BTN: Anwar vs Pak Lah

Bagaimanapun, Johari Abdul menjadi tumpuan forum apabila bekas pengarah BTN ini tampil untuk "bertaubat", dan menceritakan asal-usul BTN yang memperlihatkan bagaimana modulnya direka dan diubahsuai mengikut zaman, menjelaskan penyemaian "semangat perkauman" dan "permusuhan terhadap pembangkang" sebagaimana yang diulas oleh kedua-dua orang ahli panel sebelum ini.

Menurut Johari Abdul, BTN ialah satu agensi kerajaan yang ditubuhkan seawal tahun 1974, oleh PM ketika itu, Abdul Razak, dan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Pengarah pertama BTN (ketika itu tidak digelar BTN) adalah Abdullah Ahmad Badawi, yang menjadi PM kelima pada tahun 2003.

"Di antara tujuan asasnya ialah memerangi kebangkitan islamization di universiti. Pengaruh kumpulan Islam di universiti, khususnya Universiti Malaya amat kuat, yang dikepalai Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen sekarang) pada ketika itu," katanya.

Sambil berseloroh beliau berkata pertembungan antara Anwar dengan Abdullah bukan perkara baru, tetapi bermula seawal tahun 1970-an. Johari Abdul menyambung, "unit belia ini ditukar menjadi BTN pada awal tahun 1980-an, dengan fungsi yang agak jelas pada waktu itu."

"Fungsinya ialah di samping menanamkan semangat ketuanan Melayu, kononnya negara ini, Melayunya tak cukup, the Malayness is not enough. So kena ada satu department yang cerita dekat Melayu, 'look here, you are Malay. Dan because you are Malay, you must be Tuan of this country, walaupun you malas ke, tak buat kerja. But it is ok, you are tuan-lah'. Tuan yang malas pun tak apa, tapi tuan." ujarnya.

Johari masuk ke pejabat BTN pada tahun 1986, walaupun mula terlibat dengan menghadiri kursus BTN pada tahun 1976 sebagai pemimpin pelajar UM. Beliau menerangkan bahawa fungsi kurikulum pada ketika itu adalah "menerangkan kepada Melayu bahawa kamu Melayu."

Naikkan Semangat Melayu

Pada tahun 1986, apabila Johari masuk ke BTN sebagai pegawai dan mengepalai satu jabatan, anjakan telah berlaku. Menurut Johari, analisis mereka menunjukkan hampir 80% hingga 90% Melayu mendapat biasiswa kerajaan, atau dermasiswa, tetapi prestasi mereka dalam bidang akademik tidak begitu baik.

Maka ketika itu, program BTN disesuaikan untuk menghimpunkan Melayu, dan menaikkan semangat mereka. Antaranya, menurut Johari "...kami ingatkan mereka bahawa sebagai Melayu, bukan sahaja perlu cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga mesti ingat, there is no two way for it. Kamu diamanahkan orang kampung..."

Johari kemudiannya menuding jari kepada PM ketika itu, iaitu Mahathir Mohamad. Johari berkata, Mahathir merasakan BTN mesti bergerak satu langkah ke depan untuk memberikan latihan kepada pemuda-pemuda UMNO, dan di situ masalanya bermula.

"Sebab itu, kursus yang dilakukan dari tahun 1980-an dan dibawa sampai sekarang, kursus yang mempertahankan kerajaan UNMO-BN at what cost, whatever cost, dengan mengatakan bahawa kalau hancurnya, runtuhnya, ranapnya UMNO dan BN, maka nasib orang Melayu will finish," jelas Johari Abdul.

Beliau mengakui bahawa dirinya juga percaya dengan apa yang cuba disemaikan ke dalam minda peserta program BTN ketika itu, "nyawa orang Melayu cuma ada pada UMNO. Matinya UMNO berkuburlah orang Melayu."

BTN mempertahankan UMNO-BN

Namun, perubahan berlaku dalam dirinya setelah melanjutkan pelajarannya di England, apabila beliau mula mengimbas dan menilai perbuatan diri yang lalu.

"Lebih daripada setengah juta yang telah lalui kursus saya. Dan saya telah beritahu mereka whatever cost UMNO dan BN kena dipertahankan. Tetapi yang kita cuba selindungi, we are not telling the truth to them. It is not the non-Malay yang akan menghancurkan orang Melayu. Orang Melayu sendiri yang akan menghancurkan orang Melayu. That's the fact," kata Johari Abdul (gambar kiri) yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau membuat pengakuan secara terbuka, "dosa saya yang pertama ialah saya tidak memberitahu kebenarannya," apabila menceritakan bagaimana beliau terpaksa berperanan sebagai burung kakak tua yang sentiasa mengagung-agungkan pemimpin, walaupun secara sedar pemimpin-pemimpin ini melakukan bermacam-macam maksiat

"...Mungkinlah dia (pemimpin) curi RM200 juta, ok lah kut...berbanding dengan jasanya. Beberapa tahun selepas tu, curi lagi RM800 juta, ok lah kut..." Johari menceritakan pengalamannya yang berkhidmat kepada Mahathir yang pada masa itu menggunakan BTN untuk tujuan personalnya.

1998: Fitnah dan serangan peribadi

Walau bagaimanapun, Johari Abdul menegaskan bahawa kaedah fitnah dan serangan peribadi tidak digunakan, sekurang-kurangnya ketika beliau menyandang jawatannya sehingga tahun 1990.

"Satu benda yang saya jelas, sekurang-kurangnya saya di situ hingga tahun 1990, kaedah untuk memfitnah tidak digunakan," katanya sambil menuduh bahawa BN mengerah seluruh kekuatan BTN untuk menyerang Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang yang lain, selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri itu pada tahun 1998.

Johari yang kini mendakwa dirinya sudah "bertaubat' itu berkata, antara mereka mengambil keputusan untuk melawan Mahathir lantaran pemecatan Anwar Ibrahim, telah berkata kepada diri bahawa "enough is enough" (cukup cukuplah).

Kelantan atur strategi

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri tidak akan tergesa-gesa membawa isu tuntutan minyak ke mahkamah sebaliknya menggunakan percaturan politik semasa terlebih dahulu. Menurutnya, pendekatan tersebut perlu bagi memastikan rakyat dapat menghukum tindakan zalim Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak memberi hak sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri pimpinan Pas.
“Hujah yang dilakukan di luar mahkamah akan memberikan satu impak kepada rakyat bahawa tindakan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) salah.

“Sebelum kita menghulur kepala kita dalam satu medan yang agak samar integritinya, biarlah kita bergelumang menerusi pentas politik dulu. Nanti istilah ‘subjudice’ akan menjadi benteng memagari kita daripada terus bercakap tentang penganiyaan Kerajaan Persekutuan dalam isu ini.

“Biarlah penghakiman rakyat mengambil tempat terlebih dahulu dalam berbagai bentuk sebagai hamparan menuju Mahkamah,” katanya dipetik menerusi blognya semalam.

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz supaya Kelantan mengemukakan kes tuntutan royalti minyak di mahkamah berbanding usaha retorik yang dilakukan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika menjawab cabaran tersebut kelmarin, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan sedia menyahut kenyataan Nazri tersebut jika tuntutan itu gagal dilakukan secara rundingan.

Husam yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata, usaha tuntutan itu diteguhkan lagi dengan penubuhan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang menyemarakkan lagi usaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Program mereka antara lain membawa ‘kuda jagoan’ UMNO sendiri untuk bercakap bahawa keputusan Kerajaan UMNO/BN adalah nyata salah. Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai pengasas Petronas kata royalti adalah hak dan ihsan adalah pelanggaran terhadap perjanjian, siapalah Nazri?

“Penjelasan demi penjelasan nanti akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan(pusat) dan rasanya ini lebih mahal dan berharga. Hujah yang benar tetap kuat sekalipun diucapkan di luar mahkamah,” katanya

Thursday, December 10, 2009

Betulkah Datuk Mahfuz Sayangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz…

Sungguh lawak apabila Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas membuat penegasannya (perlu dibaca desakannya) supaya Abdul Ariffahmi Ab Rahman segera melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) kerana rasa sayang kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.Pada hal sebelum ini Ahli Parlimen ini berkata kedudukan Abdul Ariffahmi harus ditamatkan dengan serta-merta bagi memelihara etika korporat PMBK.

Nampaknya Datuk Mahfuz masih keliru tentang usaha penyelesaian tentang isu ini. Di mana kesediaan Ab Ariffahmi berundur pada bulan Mac akan datang dirasakan tidak wajar dan terlalu lama buatnya.

Walaupun Datuk Mahfuz menjelaskan bahawa dia tidak berniat mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya lahir di atas rasa kasih dan sayangnya kepada Mursyidul Am Pas, saya kira kenyataan kepada media adalah tidak wajar dan memperlihatkan ketidakmatangannya dalam berpolitik kerana ia boleh dilakukan cara lain yang lebih terhormat.

Sesungguhnya, kenyataan melalui media adalah menggunakan pihak ketiga untuk menyatakan sesuatu tanpa berani berdepan dengan pihak yang sebenarnya, di samping bertujuan untuk mendapat sesuatu yang lain. Adalah lebih baik selaku Naib Presiden Pas, dia menghubungi langsung Ariffahmi dan Tok Guru Menteri Besar menyatakan pandangannya itu daripada guna media untuk sampikan kehendaknya. Inilah yang dikatakan tidak matang dalam tindakan politik yang akhirnya seluruh organisasi terpaksa menanggung beban akibat dari tindakan yang dilakukan.

Saya merasakan inilah masalah baru yang sedang melanda sebahagian pimpinan Pas yang telah menghidap sindrom ‘ketagihan media’. Pantang media ajukan soalan, cepat-cepat nak berikan pandangan, walaupun pandangan yang nak diberikan bukan dalam pengetahuan mereka.

Dalam kes ini, saya kira Datuk Mahfuz masih belum memahami apakah yang dimaksudkan ‘persepsi’ dan kesan persepsi seperti yang dinyatakan oleh Profesor Abu Hassan ketika memberikan pandangannya dalam seminar politik Pas dua bulan lalu. Melalui kenyataan media seseorang pemimpin juga mencetuskan persepsi.

Oleh itu, sikap tidak berhati-hati Datuk Mahfuz memberi komen tentang Ab Ariffahmi bukan sahaja meningkatkan rasa kasih dan sayangnya kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, sebaliknya membebankan mental dan mengeruhkan lagi suasana. Hanya yang tidak faham apa yang Datuk Mahfzu kata sahaja yang bersetuju bahawa kenyataannya adalah sebagai tanda sayangnya kepada Tok Guru Mursidul Am. Tetapi bagi yang waras dan memahami permainan duni politik, pastinya beranggapan bahawa Datuk Mahfuz cuba menjadi ‘hero’ di akhir pertandingan. Dalam erti kata yang mudah Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan cuba mengambil posisi di saat-saat akhir pertandingan dalam kemelut pentadbiran Kelantan atas kapisiti sebagai Naib Presiden Pas untuk mendapatkan ‘millage politic’ dirinya sendiri.

Akhirnya, saya secara ikhlas menasihatkan Datuk Mahfuz Omar supaya lebih matang dan belajar bagaimana nak berdepan dengan media dari Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Wednesday, December 9, 2009

Dr Mahathir eksploitasi BTN, saya sudah bertubat

Sambil menegaskan bahawa Biro Tata Negara (BTN) tidak relevan dalam arus pembangunan semasa, bekas Pengarahya Datuk Johari Abdul berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar menggunakan wang rakyat atas nama biro itu untuk menghentam Pakatan Rakyat.

Kata Johari, sebenarnya tidak ada apa yang silap dengan agensi itu tetapi menegaskan, sukatan BTN perlu dikaji semula kerana ia tidak disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Bekas ahli Umno itu menambah parti itu mempunyai segala hak untuk menghadapi musuh-musuh politiknya dalam apa jua cara sekalipun.

“Tetapi jangan gunakan wang cukai rakyat untuk tujuan itu. Biar anda biaya sendiri,” katanya.

“Kalau Umno ada jabatan latihan, gunakan wang sendiri, OK tiada masalah. Tetapi jangan menggunakan wang rakyat... hendak kritik pembangkang OK, selagi ia tertakluk dalam undang-undang negara.

“Tetapi yang salah ialah apabila BTN diperuntukkan RM64 juta bagi tahun 2010 (peruntukannya digunakan untuk anjur program kritik pembangkang),” kata beliau pada Forum Adakah Biro Tata Negara Relevan Untuk Perpaduan Negara di sini malam tadi.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64 juta di bawah Bajet 2010 untuk BTN. Pembangkang menggesa BTN ditutup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan sukatan BTN akan dikaji semula ekoran kritikan pelbagai pihak.

Malah Nazri juga mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis apabila mempertahankan BTN.

Malah beberapa pemimpin Umno mempertahankan operasi BTN.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mengakui bahawa beliau pernah menjadi mangsa kecaman dalam kursus BTN selepas keluar Umno akhir 1980-an.

Johari yang kini merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani berkata, beliau menyedari tentang penggunaan BTN untuk tujuan politik semasa kepimpinan Dr Mahathir.

“BN menggunakan BTN dengan sepenuhnya untuk melakukan serangan peribadi. Ia menjadi ketara selepas 1998 (apabila Anwar dipecat) digunakan untuk memfitnah Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim seolah-olah mereka tidak patut berada di Malaysia,” katanya.

Johari yang mengetuai BTN selama empat tahun sebelum meninggalkannya pada 1990 berkata, beliau akhirnya “bertaubat” dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu, tetapi saya sudah bertaubat sekarang,” katanya.

Kata Johari, pada awalnya beliau sedar akan kekurangan-kekurangan yang wujud tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan “pengaruh” Dr Mahathir ketika itu.

Johari memberitahu ketika ditubuhkan pada 1970-an BTN hanya merupakan satu unit di Kementerian Belia dan Sukan, yang dibentuk untuk mengawal gerakan Islam yang menentang kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya Universiti Malaya.

Ketika itu ia diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pegawai kerajaan.

“Dan apabila Abdullah menjadi ahli politik sepenuh masa, badan itu secara rasmi menjadi BTN dan tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan di kalangan pelajar Melayu dengan memasukkan idea-idea ketuanan Melayu,” kata Johari.

Bagaimanapun apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, BTN digunakan sepenuhnya untuk tujuan politik Umno-BN.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

“Salah satu kursus yang diberikan kepada peserta Melayu ialah mempertahankan kerajaan Umno-BN dalam apa jua cara sekali. Jika kerajaan Umno-BN jatuh, orang Melayu disemai fikiran bahawa mereka akan menjadi hamba di negara sendiri,” katanya.

“Dan keadaan menjadi semakin buruk apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan BTN digunakan dengan sepenuhnya untuk mengecam pemimpin-pemimpin pembangkang,” kata beliau lagi.

Tuesday, December 8, 2009

Projek pembodohan orang Melayu

Oleh Hishamuddin Rais

United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili orang Melayu. Dakwaan ini sebenarnya satu dongeng yang sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.Projek pembodohan Melayu ini sebahagian daripada strategi politik United Malays National Organisation. Selama lebih 50 tahun, proses pembodohan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini, mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Pada zaman feudal dahulu, orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini.


Dakwaan ini semuanya dongeng. Semua ini sebahagian daripada projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri daripada gerombolan ini.

Manusia yang berfikir akan berupaya untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat; ada pula yang amat jelas dan dapat dilihat dengan mudah. Projek pembodohan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan - orang Cina. Kaum ini dijadikan “momok” untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang Cina. Racun membenci Cina telah memandulkan fikrah Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong Cina.

Para cukong yang mengaut harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation - kerjasama mereka ini seperti hubungan abang dengan adik.

Cuba kita kembali kepada kes bank Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang lingkup pada tahun 1980-an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul; kemudian diikuti nama George Tan. Siapakah Lorraine Osman? Dia ini tidak lain dan tidak bukan bendahari gerombolan sendiri!

Skandal bilion ringgit ini hanyalah satu contoh daripada berjuta-juta contoh lain – belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun, Perwaja, Formula 1, Piala Monsoon, KLCC – wujud kerjasama antara gerombolan dengan “orang asing” ini untuk menjarah hasil negara.

Cara kedua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Dakwaan ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan, menentang atau mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab, banyak raja telah dicampakkan dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk (Mesir), Raja Idris (Libya), Raja Bagi Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi (Iran) – semuanya dihumbankan.

Justeru, menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa “menjunjung ke bawah duli” itu ertinya “menjunjung tapak kaki”. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa “pacal” itu ertinya “anak anjing”.

“Patik pacal yang hina menyembah duli tuanku” bermakna “saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu”. Bukankah kenyataan ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri?

Kenapa orang Melayu boleh dibodohkan sebegini? Kenapa orang Mealyu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan?

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion dikatakan menentang Islam. Dakwaan ini juga projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkutpautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam wujud 1,500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988. Manusia Melayu menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malays National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini wakil tuhan di atas bumi ini. Dakwaan ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan di atas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organisation untuk menjadi wakilnya. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik pope, sami, dalai, ayatollah, paderi, rabbai untuk menjadi wakilnya.

Apa yang terjadi, para agamawan ini orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran daripada kitab-kitab suci. Semua mereka hanyalah manusia yang sama seperti makcik dan pakcik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh berfikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ertinya, ia menjadi sebahagian daripada proses pembudayaan fikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media menjadi dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu – jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu – amat ketara perbezaan kandungannya.

Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Begitu juga kaedah pembelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru, ibu bapa dalam masyarakat Cina tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu.

Mereka tidak mahu anak-anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama, makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Di sekolah aliran bukan Melayu, masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar berfikir, bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil daripada projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah; apa yang hak dan apa yang batil.

Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu. Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah, malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah.

Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh gagal melihat pembunuh, penculik, pengambil rasuah – ini semua bukan pekerjaan salah.

Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu sebagai baik dan suci kerana ia dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation./Malaysiakini

Monday, December 7, 2009

Nik Aziz anggap UMNO terdesak mahu rampas Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang didesak setengah pihak dalam UMNO supaya meletak jawatan berikutan beberapa kenyataan beliau yang dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam, memulangkan paku buah keras dengan mendakwa UMNO sebagai terdesak untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Pas.

Mursyidul Am Pas itu, mengingatkan UMNO supaya berhenti mimpi untuk menawan Kelantan, yang diperintah Pas sejak 1990.

UMNO, katanya, hampir lemas sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri.

“Mereka tahu mereka lemah. Terengganu berpecah, ada UMNO A, ada UMNO B, di Perak lagi teruk. Mereka bergaduh untuk jubah speaker. Jadi, mereka tidak ada apa-apa kecuali buat tuduhan terhadap saya,” katanya selepas merasmikan Kelab Penyokong Pas Malaysia kaum India bagi kawasan Batu di Taman Melewar, Gombak, kelmarin.

Nik Aziz, yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata: “Apa yang mereka hendak lakukan di Kelantan? Mereka hendak mewujudkan satu agama? Mereka hendak mewujudkan satu agama kerana mereka tidak ada Islam.

“Mudah untuk membina masjid tetapi agama dan masjid adalah dua perkara berbeza,” katanya.

Nik Aziz berkata, Islam adalah kunci untuk mencapai konsep 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka cuba Islam Hadhari, tetapi gagal dan kini datang dengan konsep 1 Malaysia pula,” katanya.

Nik Aziz memberitahu beliau masih berdoa agar Tuhan membuka hati Perdana Menteri supaya memberi royalti minyak kepada Kelantan dan bukan wang ihsan seperti yang diumumkan.

Bulan lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan membayar wang ihsan kepada Kelantan melalui Petronas bermula tahun depan. Kerajaan Kelantan, katanya dalam penjelasan kemudiannya, tidak berhak menerima royalti minyak kerana kawasan minyak terletak di kawasan bertindih dan wang itu akan disalurkan dalam bentuk pembangunan melalui kerjasama Kerajaan Negeri.

Umno Lemas Di Musim Tengkujuh

Musim Tengkujuh sudah mula melanda Pantai Timur. Sebagaimana lazimnya setiap kali musim tengkujuh ada kawasan dilanda banjir. Sehingga kini banjir di Pantai Timur khabarnya telah meragut lima nyawa. Dalam sibuk-sibuk cerita banjir dan lemas, Umno juga seolah-olah menerima nasib yang sama. Mereka cuba menyerang Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pelbagai isu dan penghinaan tetapi akhirnya semua itu kena atas batang hidung sendiri.

ajat di hati nak gegarkan Kota Baru dengan demontrasi besar-besaran tetapi apakan daya tak sampai seratus yang hadir. Maka nak mencukupkan angka keribu-ribu, akhbar pengampu dan penipu mereka mengira segala bayang-bayang, polis dan tiang.Umno cuba mengambarkan TGNA tidak mampu untuk mentadbir Kelantan. Mereka cuba menggambarkan TGNA cakap merapu dan bertindak seperti orang sasau. Sebagai balasannya ribuan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa dan agama bangun dan berhimpun kelmarin menyatakan sokongan dan kasih sayang mereka kepada TGNA. Ternyata himpunan besar-besaran itu cukup menggerun dan menggusarkan Umno.

Umno kini terkapai-kapai dan lemas dalam isu ciptaan mereka. Dalam terkapai-kapai itu Umno dikejutkan pula dengan berita kira-kira 5 ribu ahli dan penyokong Umno Rantau Panjang mengugut untuk keluar dari parti itu. Dalam masa yang sama Umno di peringkat pusat turut mengalami nasib yang sama. Kemunculan semula P.Balasubramaniam dengan dakwaan terkini mengembalikan nostalgia rakyat ini kepada Altantuya terhadap perancang dan dalang di sebalik pembunuhan tragis itu. Itu belum ditambah dengan kes Kota Siputeh yang tidak memihak mereka. Jika Mahkamah Persekutuan mengiktiraf Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah ia ibarat kemuncak kepada kemusnahan Umno.

Adakah ini semua petanda doa TGNA dan munajat rakyat Kelantan memohon kebinasaan dan kemusnahan Umno akan menjadi kenyataan? Semua itu kita pertimbangkanlah sendiri. Sebagai mana yang selalu disebut dan diingatkan doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Maka kepada Umno tunggulah harinya, cepat atau pun lambat. Apa yang pasti sudah ada tanda-tanda Umno sudah mula kelemasan di musim tengkujuh ini!

Search This Blog