Friday, December 4, 2009

Anwar mahu Australia pantau PRU-13

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai ikatan pembangkang menghadapi pilihan raya umum Mac 2008 meminta Australia menghantar pasukan pemerhati untuk memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 yang ramai jangkakan kemungkinan diadakan dalam waktu terdekat.

Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013 tetapi ramai meramalkan ia kemungkinan dipanggil dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh dua tahun.

Dalam temu bual dengan akhbar Australia, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, ikatan tidak formal yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 memberitahu bahawa sistem pilihan raya negara ini masih memperlihatkan beberapa kekurangan yang tidak memihak kepada mereka.

Kempen pilihan raya yang dijangkakan tahun depan bukan sesuatu yang mudah bagi Anwar yang kini berhadapan dengan kes liwat — yang kedua dalam tempoh 10 tahun.

Pada pilihan raya umum tahun lalu PR yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS memenangi 82 kerusi Parlimen dengan menafikan kedudukan majoriti dua pertiga yang dinikmati Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu.

Malah PR menguasai Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor. Bagaimanapun Perak kembali diambil alih oleh BN selepas tiga wakil rakyat PR keluar parti masing-masing.

"Senarai pemilih tidak boleh dicabar, tiada liputan (bebas) media, anggota keselamatan (juga) bukan berpihak kepada kami," kata Anwar dipetik The Age. Tulisan akhbar itu dimuatkan dalam blog beliau hari ini.

"Pada masa lalu (pilihan raya umum ke-12 Mac 2008) kami telah lakukan dengan baik. Kali ini kami meminta negara-negara seperti, termasuk Australia, agar menghantar pasukan bebas (untuk memantau perjalanan pilihan raya).

"Jangan bercakap pasal demokrasi jika anda menafikan perkara ini dan mengatakan yang baik-baik sahaja untuk menyenangkan pemimpin-pemimpin diktator dan autoritarian," kata Anwar memenangi kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil Ogos 2008.

Negara pernah menerima kehadiran pasukan pemantau ketika pilihan raya umum 1990.

Ketika lawatan ke Malaysia tahun lalu, Perdana Menteri Australia Kevin Rudd memuji Malaysia sebagai negara yang demokrasinya berkembang dengan baik meskipun diselubungi dakwaan adanya unsur membeli undi dan rasuah.

Bagaimanapun Anwar berpendapat bahawa Rudd telah silap dalam pandangannya itu sambil menyifatkan ia sebagai kenyataan diplomatik semata-mata.

Kata Anwar, untuk mengatakan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi yang mantap dengan jelas menggambarkan salah faham tentang isu sebenar yang wujud.

"Sistem kehakiman tidak bebas, anda tiada akhbar yang bebas. Rangkaian-rangkaian televisyen dikawal oleh parti pemerintah. Apakah bentuk demokrasi mantap yang anda bercakap?

"Saya mesti mengatakan bahawa dari segi hubungan dua hala, (Rudd) bukan sahaja hanya perlu menyedapkan kerajaan memandangkan pembangkng juga mempunyai komitmen untuk mempunyai hubungan dua hala yang mantap dengan Australia," kata Anwar yang dilihat sebagai intrumen utama dalam menyatukan pembangkang di bawah ikatan PR.

Anwar akan berada di Australia esok untuk bercakap mengenai pengalaman komuniti Islam di Asia Tenggara pada majlis Parlimen Agama Dunia di Melbourne.

Beliau juga akan menyampaikan syarahan di Monash University berhubung pengalaman Asia dalam menghadapi krisis kewangan dunia.

Doa Tok Guru Nik Abdul Aziz

Media memainkan isu doa Tok Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) seolah-olah beliau telah melakukan satu kesalahan besar kerana membaca doa memohon Allah memusnahkan masa depan politik Perdana Menteri dan parti yang dipimpin beliau, iaitu UMNO. Sepertimana biasa, mereka memberikan gambaran seolah-olah TGNA telah menyeleweng dari prinsip Islam kerana mendoakan kehancuran seorang saudara seagama. “Bukankah Islam mengajar kita bahawa kita bersaudara? Tidak mungkin kita boleh mendoakan kemusnahan saudara seagama! TGNA sah sudah sesat dan tersasau!” kata mereka dengan megah dan bangga, yakin dengan kebenaran hujjah mereka.

Bagi yang tidak memahami, mereka akan terus melenting dan menempelak TGNA. Tetapi, apa yang dilakukan TGNA adalah satu usaha menetang kezaliman dalam bentuk yang paling minima. Doa beliau bukan tidak berasas. Ianya bukan timbul tanpa sebab, secara tiba-tiba mengikut 'mood', bangun pagi dan seterusnya menyatakan bahawa hari ini hendak doakan kemusnahan Najib!

Hakikatnya, doa ini adalah hasil dari dasar menganak-tirikan Kelantan dan rakyatnya secara berterusan semenjak mulanya Kelantan diperintah PAS. Kemuncak ketidak-adilan adalah apabila kerajaan pusat menzahirkan niat busuk mereka bagi menafikan hak rakyat Kelantan dengan memutarbelitkan tafsiran undang-undang berhubung hak milik Negeri. Begitu terdesak kerajaan BN sehingga menggunakan Ordinan Darurat 1969 yang mentakrifkan perairan Negeri hanya sehingga 3.3 batu nautika dari kedudukan air surut. Hasil dari pentakrifan baru ini, maka yang lebih dari 3.3 nautika adalah milik Negara bukan Negeri dan dengan itu tiada royalti yang perlu dibayar. Hujjah ini dikemukakan oleh BN untuk mempertahankan tindakan mereka menafikan royalti minyak kepada Negeri Kelantan.

Islam memandang berat persoalan keadilan. Keadilan adalah di antara matlamat disebalik Allah mengutuskan para Rasul seperti yang dijelaskan Allah dalam Al-Quran ayat 25 Surah Al-Hadid yang bermaksud :

“Telah Kami utuskan Rasul-rasul kami bersama bukti-bukti yang nyata dan menurunkan bersama mereka Al-Kitab dan Al-Miizan (Neraca) supaya manusia boleh menegakkan keadilan....”

Allah turut berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman berdiri tegaklah kamu, kerana Allah, sebagai saksi akan keadilan...”

Dalam memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman, sebuah Hadith yang masyhur juga telah menyebut,

“Sesiapa menyaksikan dari kalangan kamu kemungkaran, hendaklah dia mengubahkannya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu, dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman”.

Dalam soal ini, apa yang dipertikaikan adalah, adakah wajar kita mendoakan kemusnahan seorang saudara seagama yang sedang menzalimi kita? Hakikatnya, Islam meletakkan keadilan itu mengatasi persaudaraan sebangsa dan juga seagama.

Mempertahankan kezaliman yang dilakukan seseorang yang sekaum hanya kerana dia ini berasal dari kaum yang sama telah dikutuk oleh Rasulullah (SAW) sebagai amalan 'Assaabiyah'. Assaabiyah ditolak Islam sehingga bersabda Rasulullah,

“Bukan dari ku orang yang menyeru kepada assaabiyah.....”

Begitu juga dalam soal seagama dimana tanggung jawab seseorang Muslim terhadap Muslim lain yang sedang melakukan kezaliman adalah menghalang saudara seagamanya dari melakukan kezaliman itu, bukan berdiam diri dan redha dengan kezaliman kerana si penzalim itu adalah saudara seagamanya!

Malahan terdapat ayat di dalam Al-Quran di mana Allah memerintah untuk memerangi orang beriman yang ingin bertindak zalim seperti ayat 9 Surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Dan kalau ada dua golongan dari orang beriman berperang-perangan, hendaklah kamu mendamaikan keduanya! Tetapi kalau yang satu (ingin terus) menginaya yang satu lagi, perangilah yang menginaya sehingga dia taat kepada perintah Allah. Sekiranya sudah taat kembali, damaikanlah keduanya dengan adil dan hendaklah kamu bertindak secara saksama. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersikap saksama.”

Jika diteliti ayat berkenaan, maka tidak sahaja diperintahkan untuk mendiamkan diri atau sekadar mendoakan 'golongan beriman' yang menginaya supaya insaf dan menjadi baik. Dalam ayat ini, Allah turut memerintahkan agar memerangi mereka! Perintah sebegini adalah bertujuan supaya penganiayaan itu dihentikan dan saudara seagama itu diselamatkan dari melakukan penginayaan.

Maka jika dilihat dari sudut ini, apalah sangat sebenarnya doa 'memusnahkan' ini, berbanding memerangi sehingga ditundukkan golongan yang menginaya? Sebenarnya inilah masalahnya, kadang-kadang orang Islam sendiri terpengaruh dengan ajaran agama lain. Islam tidak menganjurkan dasar, “berikan pipi kiri selepas pipi kanan ditampar”. Samalah seperti fahaman “agama suku, politik suku”.

Sepatutnya semua berusaha untuk menentukan kerajaan Pusat mengakui hak Negeri dan tidak terus menzalimi Kelantan, bukan membela tindakan kerajaan Pusat. TGNA mendoakan supaya Allah memusnahkan mereka sekiranya mereka ingin terus menafikan hak Negeri Kelantan dan rakyatnya. Sekiranya ingin mengelak dari kesan buruk doa tersebut, maka bertindak adil dan iktiraf hak milik Negeri!

Ada pula yang membawa hujjah, Rasulullah (SAW) dizalimi semasa ke Taif, dilontar batu dan diusir bagaikan manusia terhina. Namun Rasulullah (SAW) tidak meminta Jibrail (AS) memusnahan bandar Taif dan penduduknya apabila didatangi dan ditanya Jibrail. Mereka berkata TGNA sepatutnya bersikap seperti Baginda (SAW) dan tidak mendoakan kemusnahan Perdana Menteri lain.

Dalam kes Taif, yang dizalimi dan disakiti adalah peribadi Rasulullah (SAW) sendiri. Maka dalam isu ini, ianya bukan kesalahan dan kezaliman ke atas peribadi TGNA sendiri. Ianya di lakukan ke atas seluruh rakyat Negeri Kelantan yang mana ianya tidak akan mampu dimaafkan oleh mana-mana Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun. Keduanya, semasa peristiwa Taif, ianya terhenti apabila Rasulullah meninggalkan Taif. Rasulullah didatangi Jibrail selepas peristiwa kezaliman itu selesai. Dalam isu ini, ianya kezaliman yang diteruskan ke atas seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Thursday, December 3, 2009

DAP Perak Mohon Maaf Isu Pijak Gambar ADUN

Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas.

Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.

Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.

Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat

Wednesday, December 2, 2009

Dewan Ulama PAS Kelantan mahu Nik Aziz kekal MB

Dewan Ulama PAS Kelantan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak lima peratus daripada kerajaan pusat.

Ketuanya Datuk Mohamad Daud Iraqi berkata Dewan Ulama menyambut baik saranan Mursyidul Am PAS itu agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama membantu mempertahankan dan menuntut hak mereka itu.

Dalam kenyataan tiga muka surat yang dibaca di rumahnya di Kubang Kerian, dekat sini, Ahli Dewan Undangan Negeri Demit itu berkata buat masa ini mereka hanya mampu bermunajat dan berdoa agar dibukakan hati pihak yang terlibat sehinggalah hak rakyat bagi royalti minyak itu ditunaikan.

Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ehsan dan penyerahan faedah petroleum itu kepada pihak lain adalah perbuatan khianat dan tidak bertamadun, katanya.

Mengenai kepimpinan Menteri Besar itu, Mohamad berkata Dewan Ulama berpendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan dan parti.

“Buat masa ini Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbiranya.

“Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan,” katanya.

Nik Aziz: Kalau PAS desak OK, tak akan layan Umno

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berhadapan dengan siri kontroversi menegaskan, beliau sudah lali dengan desakan demi desakan supaya meletakkan jawatan dan sama sekali tidak akan tunduk kepada gesaan Umno.

Kira-kira 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim di sini pagi semalam memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti petroleum.

Dua minggu lalu Pemuda Umno Kelantan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil meminta agar Nik Aziz dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang mengetuai Perbadanan Menteri Besar Kelantan agar melepaskan jawatan masing-masing.

Nik Aziz telah meminta Ariffahmi agar melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu.

Kata Nik Aziz, tindakan yang sama pernah dibuat pemimpin Umno negeri itu beberapa kali sebelum ini dan tidak perlu ia dilayan.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita. Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," kata beliau dipetik Harakah Daily ketika mengulas demonstrasi semalam.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ia datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan.

"Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena-mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau, perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan dan pergolakan dalam Umno dan Barisan Nasional sendiri.

Nik Aziz juga meminta penyokong PAS memboikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca surat khabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Tok Guru Diserang Kerana Tolak Kerajaan Perpaduan

Mutakkhir ini kelihatan seolah-olah kerajaan Kelantan dibawah pimpinan YAB Datuk Menteri Besar Tok Guru semakin dihimpit masalah. Seluruh peluru media kerajaan pusat khususnya umno dan kuncu mereka semakin galak membawa isu-isu yang boleh menampakkan keburukan pimpinan PAS khususnya dan kerajaan negeri amnya.

Sayugia diingatkan bahawa Tok Guru diserang habis-habisan oleh juak umno adalah kerana Tok Guru telah menolak pelawaan Presiden umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Malaysia.

Program untuk menjatuhkan Tok Guru tak pernah berhenti dijalankan oleh juak umno dimana anak Tok Guru pernah ditangkap dan ditahan selama lebih 5 tahun dibawah ISA.

Kes pelajar dipukul oleh guru sekolah agama berdekatan rumah Tok Guru dibesar-besarkan oleh media cetak arus perdana, kes Air Kelantan diserbu oleh SPRM, isu menggondolkan bukit di Gua Musang dan beribu-ribu isu lain telah dimainkan secara sistematik dengan satu tujuan, satu hala, satu keperluan iaitu menjatuhkan maruah Tok Guru, mengaibkan kerjaan Kelantan kerana tak pandai memerintah negeri. Juak juak umno hampir berjaya menipu rakyat Kelantan kerana mereka berkerja siang dan malam demi mencipta kejayaan.

Umno dan juak mereka akan terus berusaha untuk mengambilalih pemerintahan Kelantan dari PAS kerana hasil minyak yang berlipat ganda. Umno amat bijak menipu dan mengkelabukan mata rakyat yang gilakan mata benda dengan membelakangi hukum Allah.

Mereka menjahilkan diri sendiri dan menyesatkan orang lain demi kepentingan politik peribadi. Juak umno dulu, kini dan selamanya sanggup menipu semua orang di Malaysia, sanggup menutup segala pintu rasuah dari diketahui umum, mereka juga sanggup bersekongkol dalam melakukan khianat terhadap bangsa Melayu atas nama Parti Melayu Bersatu. Sesungguhnya merekalah yang menanam semangat politik sempit demi untuk meneruskan kuasa yang ada.

Kelantan terus membangun walaupun geran tahun dibayar lewat, hutang tetap dibayar kepada kerajaan pusat, kakitangan awam tetap merasai bonus bila diistiharkan, pinjaman kakitangan tiada faedah dikenakan, semua rakyat layak mendapat perlindungan insuran, pengajian agama dimertabatkan kerana ada kuliah mingguan.

Pendek kata hak rakyat didahulukan, Islam diutamakan oleh pimpinan PAS Kelantan yang diterajui oleh Tok Guru. Bekas exco MCA juga didapati sentiasa memberi derma kepada Tabung Serambi Mekah dan semua bangsa dapat hidup aman tenteram dan tak pernah berlaku kekacauan sebagaimana yang diancam oleh juak umno Kelantan.

Percayalah bahawa Umno akan terus berusaha untuk merampas kuasa dinegeri yang diperintah pembangkang kerana mereka bijak tak boleh diajar, bodoh tak mahu belajar dari sejarah silam.

Kepentingan peribadi dan kroni sudah sedaging dalam diri masing-masing sehingga menyebabkan Islam diketepikan, keadilan dipinggirkan, Malaysia yang kaya raya hampir muflis dan papa kedana kerana rasuah yang berleluasa. Rakyat perlu faham semua kejadian ini.

Husam di Astro Awani malam ini

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa diundang sebagai tamu studio Agenda Awani, sebuah rancangan terbitan Astro saluran 501 malam ini.


Rancangan secara langsung 30 minit itu dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman, dan dijangka membincangkan tajuk 'Banjir dan Inovasi di negeri Kelantan'.

Rancangan tersebut akan berlangsung jam 8.15 hingga 8.45 malam ini.

Sumber memberitahu, selain hal berkaitan pembangunan di negeri Kelantan, Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Negeri akan menyentuh perkembangan terbaru berkaitan tuntutan royalti kerajaan negeri terhadap pusat.

Tuesday, December 1, 2009

Polis di Negeri PR paling "sporting"!

Sewajarnya sekalung "penghargaan" kepada anggota PDRM yang bertugas di Negeri Pakatan Rakyat. Terutama kepada Ketua Polisnya. Hari ini rakyat Malaysia dapat melihat begitu "sopan dan tertib"nya polis mengiringi Pemuda BN (ramai UMNO) yang buat demostrasi depan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kita lihat bagaimana polis dengan "bangga"nya mengiringi anggota Pemuda BN melintasi jalan menuju pintu pagar DUN untuk serah memorandum kepada KM Lim Eng Guan.

Lihat! Tiada tembakan gas. Tiada pancutan air asid. Bahkan SB yang tahan orang yang bakar gambar KM sempat pula beritahu kat Pemuda Gerakan bahawa pemuda ini bukan pemudaBN tapi orang Kampung Pala. Kah! Kah! Kah!. Hebat kesopanan dan telelusan polis kita di Negeri PR weeh!

Inilah nikmatnya jadi pembangkang di Negeri PR. Benar-benar demokraksi dan telus. Bebas nak bantah, demo, nak bakar gambar pun boleh. Bahkan nak pijak kepala lembu pun boleh dan dipersilakan kerana pegawai polis yang bertugas masih muda dan tiada pengalaman!

Malangnya suasana "meriah " ini tiada dirasai di Negeri UMNO perintah. Anijing, gas pemedih, cota, air asid, lokap dan gari menunggu anda!

Sewajarnya khidmat IG Musa dipanjangkan seumur hidup. Bukankah begitu PM Najib!

PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor menghampiri usia dua tahun. Tidak seperti rakannya di Perak yang tidak dapat bertahan angkara “politik pintu belakang” pihak musuh, kerajaan PR Selangor yang bertahan dengan 35 kerusi berbanding pembangkang 20 dan Bebas 1, dijangka mampu menghabiskan tempoh penggalnya.
Walaupun pihak musuh politik terus cuba mengadu-domba dan memporak-perandakan kerajaan yang setahun jagung usianya itu namun ternyata kematangan politik rakan-rakan dalam PR Selangor yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS terus berjaya melayari persada politik dan mengatasi segala gelombang dan gelora yang ada.

Pengalaman memerintah Selangor bukan hanya baru buat PAS tetapi juga PKR dan DAP. Selangor adalah sebuah negeri maju dengan lanskap politiknya yang tersendiri dan banyaka berbeza dari negeri-negeri lain. Oleh itu ujian dan cabaran pada kerajaan ini khasnya pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri sudah pastilah besar dan kemampuan terus bertahan sehingga hari ini membuktikan yang mereka komited dan mahu bersama melihat negeri ini terus menerajui agenda perubahan demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya.

PAS Selangor menyertai pilihanraya umum ke 12 lalu dengan jentera pilihanraya yang paling besar, terlatih, tersusun dan penuh disiplin. Ia bukan sekadar menyediakan sokongan padu buat calon-calon PAS yang bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN malah turut menyumbang dengan penuh kesungguhan mengisi kekurangan dan kekosongan jentera rakan-rakan lain yang bertanding termasuklah PKR di 21 kerusi dan DAP di 15 kerusi.

Kerana itu walaupun PAS dengan 8 kerusi merupakan rakan kongsi yang terkecil sahamnya berbanding PKR 14 (setelah 1 melompat jadi Bebas) dan DAP 13, namun sumbangannya ke arah kemenangan besar PR pada PRU lalu perlu diakui dan diiktiraf oleh semua pihak.

Dengan kemenangan ini PAS menerobosi pengalaman baru, hakikatnya ia menang dan pernah menang di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi peluang memerintah sebuah negeri campuran seperti Selangor adalah yang pertama buatnya.

Dalam kerajaan PR Selangor PAS diberikan 3 dari 10 kerusi EXCO, memegang portofolio penting seperti Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam (Dato Dr Hasan Ali), Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan (Iskandar Abd Samad) dan Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan (Dr Halimah Ali).

Ternyata ketiga-tiga EXCO berkenaan berpengalaman dan memiliki kelayakan dan berwibawa selain 5 lagi ADUN PAS yang tidak kurang kebolehan dan kepakaran mereka masing-masing. PAS sudah pasti akan mahu mencurahkan khidmat yang terbaik buat kerajaan PR demi melihat ia kekal dan mampu menang lebih besar lagi pada PRU yang akan datang.

Selangor yang hampir setengah abad diperintah oleh parti Perikatan dan kemudiannya BN kini melihat tunggak kuasanya diterajui oleh PKR, DAP dan PAS. Parti yang berbeza fahaman dan ideologi ini kini diberi peluang dan mandat oleh rakyat Selangor untuk memimpin mereka.

Sudah pastilah semua pihak perlu bersedia untuk meneroka pengalaman baru selain PKR, DAP dan PAS, termasuklah kakitangan kerajaan, ahli-ahli perniagaan, hatta rakyat kebanyakkan semuanya akan berhadapan dengan pengalaman baru. Rakyat telah lali dengan BN sekian lama, lantaran muak dengan lenggok dan gaya kepimpinan BN kini mereka sanggup berhadapan dengan yang baru. Mereka bukan terpaksa tetapi mereka membuat perubahan itu dalam keadaan sedar dan faham.

Mungkin PKR adalah suatu parti baru, tetapi rakyat Selangor yang terdedah kepada maklumat dan pendidikan sudah kenal PKR. Apalagi PAS yang hampir seusia dengan Umno itu, dan DAP yang telah menjejak kaki ke DUN Selangor sejak 1969.

Rakyat Selangor kenal PAS sekian lama. PAS adalah parti Islam dan kekal begitu walaupun pemimpinnya datang dan pergi. Dasar dan matlamat perjuangannya adalah Islam namun hak masyarakat bukan Islam turut dititpkan sebagai sebahagian dari perjuangan dan dasar pembelaannya. Ia telah cemerlang di Kelantan dan Terengganu. Rakyat Selangor mula berjinak dengan PAS pada tahun 1999 apabila memenangkan 4 calon PAS ke DUN Selangor. Dan kini ia memenangkan pula 8 calon PAS sekaligus memberi mereka peluang untuk membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

DAP dan PKR juga kenal PAS kerana itu PAS diterima sebagai rakan. PAS sudah pasti lebih baik dari Umno dan BN kerana itu mereka boleh diterima rakyat dalam PRU lalu bukan hanya di Selangor malah seluruh negara kecuali di Sabah, Sarawak dan Melaka. Persepakatan PR unik di Selangor dimana ketiga-tiganya perlu terus bergabung untuk mengekalkan hayat kerajaan ini, mana-mana satu kelompok yang meninggalkan kerajaan ini bermakna ia akan roboh. Atas kesedaran ini semua pihak insaf akan keperluan untuk kekal berkerjasama.

Menerima PAS sebagai rakan juga bermakna perlu menerima perjuangan PAS sebagaimana PAS menerima dan menghormati dasar dan perjuangan PKR dan DAP. PAS akan terus PAS dalam erti kata memperjuangan dasar dan matlamatnya dalam ruang lingkup realiti politik semasa. Dalam kes di Kelantan dan Terengganu satu ketika dahulu, sudah pastilah gelanggang di sana berbeza dibandingkan dengan Selangor, namun dalam apa sahaja ruang yang ada PAS perlu memain pernanan agar matlamat dan nilai perjuangannya tidak hapus atau pupus dan ia terus dihormati masyarakat.

PAS Selangor tahu bahawa Selangor bukan Kelantan atau Terengganu, namun perjuangan Islam tidak boleh dikatup atau dirihatkan semata-mata kerana Selangor bukan Kelantan atau Terengganu. Islam perlu hidup dan berperanan walaupun suasananya berbeza dan terbatas.

Di sinilah seruan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dalam ucapan dasar Muktamar PAS tahun 2000 lalu perlu diberi perhatian:

Saya sedar akan tuntutan supaya PAS teguh dari segi prinsip tetapi kontemporari dari sudut perlaksanaan dan futuristic dari sudut tuntutan fiqhul syara’. Maka kita akan dapat membezakan antara perkara yang tetap (at-thawabit) daripada perkara yang boleh saja berubah-rubah (al-muthaghayirat).

Beliau menambah:

Senario politik Malaysia bersama dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syarak (agama) untuk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai satu model perlaksanaan Islam yang sentiasa berpegang kepada prinsip disamping cukup peka terhadap peredaran zaman.

Sebenarnya perkara yang sama turut diulangi dan diulas oleh Presiden PAS kini Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Mukatamar PAS ke 55 lalu.

Dalam rangka dasar inilah PAS Selangor perlu dan akan berperanan. Mempertahan dan mengukuhkan akhlak, keperibadian serta aqidah umat Islam adalah tanggungjawab perjuangan PAS, selain membutikan keadilan Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.

Forum dan perbincangan bagi mengujudkan persefahaman khasnya bersama-sama rakan-rakan dalam PR penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan PAS di Selangor.

Memang kelihatan apa yang PAS mahu lakukan seolah boleh merugikan sokongan masyarakat bukan Islam buat PR tetapi dalam waktu yang sama apa sahaja yang PAS gagal laksanakan boleh juga merugikan sokongan masyarakat Islam buat PR. Kerana itu kematangan dan persefahaman serta kerjasama erat kepimpinan ketiga-tiga parti khasnya dalam mengharungi politik di Selangor penting.

Tohmahan dan cerita budak-budak nakal bahawa PAS Selangor mahu menyertai Umno sesungguhnya adalah sebahagian dari agenda yang mahu meruntuhkan PR jika dilihat secara serius. PAS Selangor tidak akan merongkai ikatan persahabatan bersama PR yang membentuk kerajaan di Selangor. Malah sejarah telah membuktikan apabila berkawan, PAS tidak pernah meninggalkan kawan-kawannya apalagi berpaling tadah.

Bagi PAS khasnya di Selangor, PR adalah jambatan yang paling baik untuk menzahirkan dasar dan matlamat perjuangan parti. PAS akan menggunakan segala kekuatan dan pengaruhnya untuk mempertahan dan memperteguhkan kerajaan ini. Rakan-rakan dalam PR Selangor berulang-kali telah diyakinkan akan perkara ini malah dalam Persidangan Meja Bulat antara PAS dan DAP Selangor baru-baru ini beberapa petua dan pantang larang parti telah dokongsi dengan DAP Selangor untuk meyakinkan mereka akan betapa istiqamahnya PAS dalam perjuangan.

Sesunggunya paduan tenaga antara PKR, DAP dan PAS Selangor mantap. PR Selangor mampu bertemu secara tetap setiap dua minggu sekali melalui Majlis Pakatan Rakyat Negeri dan sering pertemuan ini bermula dan berakhir dengan mesra dan semangat setiakawan.

Walaupun kadangkala kelihatan ada pergeseran dan pertelingkahan antara tokoh-tokoh tertentu dalam PR Selangor, namun ia semuanya dapat dilerai dan diselesaikan melalui
Musyawarah. Masing-masing diberi ruang dan peluang untuk bercakap khasnya apabila melibatkan prinsip dan dasar perjuangan.

Kekentalan dan keakraban hubungan inilah yang menghantui BN di Selangor. Harapan untuk menang dan kembali berkuasa di Selangor semkain tipis dan jauh. Tohmahan dan apa sahaja cerita budak-budak nakal akan hanya menghiburkan BN yang selamanya akan meratap tangis lantaran mantapnya kepimpinan PR Selangor. Kerana itu bagi para pejuang PAS bersamalah kita timbul dan berenang dengan arus perdana parti, jangan bergayut pada dahan yang reput dan buruk, kepentingan jemaah mengatasi kepentingan individu, berjuanglah ikhlas dan yakin kerana Allah swt.

Yakinlah saf kepimpinan yang ada di bawah bimbingan para ulamak yang tidak putus-putus memberi nasihat akan terus berpedomankan nas yang nyata dan jelas. Gabungan pengalaman, ilmu dan ketajaman politik pimpinan jangan dipandang murah lantaran tembakan liar merekayang jauh dan tidak bertanggungjawab.

PAS insyallah akan kekal bersama menerajui PR di Selangor.

Monday, November 30, 2009

Haram BTN: Mengapa Pusat terkejut dan tergamam?

Pemerintahan Pusat yang diketuai oleh Barisan Nasional ternyata terkejut dan tergaman dengan tindakan luar jangkaa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mengharamkan program Biro Tata Negara (BTN) daripada dilaksanakan di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Bangi, Dr Syafie Abu Bakar, menegaskan dalam blog beliau bahawa tindakan ini amat mengejutkan kerajaan pusat.
Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi yang terkejut dengan isu ini, katanya.

Menurut beliau yang menganggap tindakan ini adalah tepat kerana BTN merupakan satu cara mekanisme doktrinasi BN, digunakan untuk melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

"Jika pegawai, kakitangan dan mahasiswa di selangor mengikuti program ini, mereka akan menjadi duri dan racun bagi kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga telah bersedia dengan program membina modal insan yang dikenali sebagai Spiritual, Physical, Intelektual, Emotional dan Social (SPIES) untuk mengantikan program BTN," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya SPEIS dipertingkatkan dan diperkasakan untuk dilaksanakan di semua negeri yang di perintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dengan menyepadukan sistem kokurikulum dan latihan.

"Tindakan selanjutnya hendaklah diharamkan pula pusat-pusat BTN yang berada di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya tidak berlaku pertindihan dan pertembungan.

"Kita berpendapat tindakan yang diambil, bukan merupakan niat untuk membalas dendam, tetapi lebih kepada tindakan menyelamat yang seharusnya dibuat lama dahulu, tetapi apa yang dibaut masih belum terlambat," katanya.

MB Kelantan: Siapa berhak tentukannya?

Segala dasar dan perjalanan parti adalah berdasarkan Sistem Syura yang dinamakan Majlis Syura. Begitulah amalan Gerakan Islam di seluruh dunia. Sebarang keputusan dibuat berdasarkan amalan syura. Ini kerana setiap Gerakan Islam bukan hak milik individu, kawasan, negeri maupun hak pemimpin. Gerakan Islam adalah satu Gerakan Ummah dan milik Ummah.

Mereka yang menganggotai Majlis Syura adalah yang telah ditapis dari segi kredibiliti dan bersih dari dosa besar. Begitu detail dan halus ciri-ciri anggota Syura dipilih.

Persoalan siapakah ganti MB Kelantan selepas TG Nik Aziz. Langkah TG Nik Aziz tidak menamakan penggantinya adalah betul dan tepat. TG Nik Aziz tahu beliau tiada hak untuk namakan penggantinya kerana beliau tahu itu bukan haknya. Beliau hanya sekadar mencadangkannya sahaja. Itupun jika beliau mahu cadangkan.

Jadi, siapakah yang mempunyai hak menentukan pengganti MB Kelantan selepas TG Nik Aziz?

Oh ya...inilah yang selalu kita lupa. Sebenarnya Majlis Syuralah yang menentukan siapakah yang boleh menjadi MB bukan sahaja di Kelantan bahkan di negeri-negeri yang dapat diperintah PAS.

Sebenarnya yang melantik TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan selepas kemenangan bergaya PAS tahun 1990 adalah Majlis Syura. Badan Perhubungan PAS Kelantan hanya mencadangkan dan yang memutuskannya adalah Majlis Syura. Majlis Syura berhak menerima atau menolaknya.

Inilah amalan PAS yang bezakan dengan parti sekular di Malaysia.

Jadinya, tidak perlulah menunjukkan-nunjuk siapa yang layak ataupun yang peliknya ada yang awal-awal tidak mahu jawatan itu !

Sunday, November 29, 2009

Nik Aziz Pertahan Isu Doanya, Tidak Salah Daripada Aspek Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah daripada segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir

Search This Blog