Oleh
ZULKIFLI YAHAYAFakta yang menarik dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir ialah; setelah BN turun dengan jentera kerajaan Pusat, menghulur pelbagai program kilat untuk rakyat mengguna bajet kementerian, pemimpin BN turun atas kapasiti menteri, 'merasuah' dengan pelbagai sumbangan, melakukan propaganda mengguna media-media utama, membelanja bajet operasi pilihanraya yang sangat besar, mengadakan kawalan dan ugutan terhadap pengundi; mereka hanya mampu mengurangkan majoriti PAS berbanding pilihan raya umum lalu sebanyak 1.5 peratus!
PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti 4551. Calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9616 manakala Rohaizat Othman dari BN hanya memperoleh 5067. Dalam pilihan raya 2008, majoriti PAS melalui calonnya Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman ialah 5543. Dari segi angka mutlak, majoriti PAS merosot 882.
Tapi kemerosotan berlaku kerana peratus keluar mengundi adalah kurang; hanya 73.1 berbanding 82.6 pada pilihan raya umum lalu. Ukuran yang tepat ialah dengan melihat peratus majoriti; iaitu jumlah majoriti berbanding jumlah keluar mengundi. Jawapannya ialah 32.34 peratus berbanding 30.82 peratus dalam pilihan raya 2008. Ertinya, kemerosotan majoriti PAS cuma sekitar 1.5 peratus.
Semua penganalisis bersepakat bahawa masalah terbesar BN ialah imej calon. Namun hakikatnya bagi BN, ia adalah kesalahan tetapi bukan kesilapan. BN tidak silap meletakkan Rohaizat kerana dia adalah calon terbaik di kalangan semua calon yang disenaraikan. Ertinya jika calon lain, masalahnya lagi besar. Sebab itu BN tidak mampu menukar calon mereka walaupun isu peribadi Rohaizat didedahkan sebelum hari penamaan calon lagi.
Sejak hari pertama berkempen calon BN berada di pihak yang defensif. Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menjelaskan dengan panjang lebar isu 'penyelewengan' RM140,000 wang Koperasi Pekebun Getah oleh Rohaizat.
Katanya, bukan salah Rohaizat tapi angkara rakan kongsinya. Ia umpama menjolok sarang tebuan kerana rakan kongsi yang jadi 'dikambing-hitamkan' oleh BN itu, Yusri Isahak tiba-tiba muncul di pentas mempertahankan diri. Beban terhadap BN jadi bertambah, bukan setakat dituduh menyeleweng tetapi berbohong dan memfitnah pihak lain pula.
Sebenarnya isu peribadi calon BN yang lebih menyentuh pengundi, terutamanya kaum wanita, bukan isu lesen guaman yang ditarik balik angkara penyelewengan Rohaizat, tetapi isu perkahwinan kali keduanya yang dirahsiakan. Isu tersebut menjadi panas pada tiga hari terakhir kempen.
Ketua Pemuda PAS, Hassan Tantawi berjaya membuktikan calon BN mempunyai isteri kedua yang sekarang tinggal di Jengka 11, Pahang yang dikahwininya pada 2005 dan hanya didaftarkan pada 2008. Isunya bukan poligami tetapi penafian dan pengabaiannya. Mujur BN bertindak bijak dengan tidak melayan langsung isu tersebut, bahkan menggelapkan isu tersebut dari disebut dalam media-media utama yang mereka kuasai.
Bila dari awal melangkah kaki masuk gelanggang BN sudah tersalah langkah, maka langkah tempangnya berterusan hingga kehujung permainan. BN nampaknya mengulangi taktik tidak cerdik apabila mempamerkan drama 'Adun Lunas keluar parti' sebagai modal untuk menarik sokongan rakyat.
Persepsi rakyat kini sangat mudah; jika ada cerita pemimpin atau ahli Pakatan keluar parti, kelmarin bercakap lain dan hari ini bercakap lain, membuat dakwaan liar untuk memburukkan Pakatan - maka puncanya ialah kerana mereka telah 'dibeli oleh BN'. Benar atau tidak, itu persoalan lain. Tapi begitulah persepsinya.
Pemangku Ketua KeADILan Padang Serai bubar dan keluar parti, kaitkan pula kononnya Gobalakrisnan terima arahan Anwar Ibrahim untuk buat kacau dan rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak tiba-tiba menjilat ludah selepas beberapa kali berceramah di pentas PAS; membangkitkan persepsi bahawa semua lakonan itu adalah berbayar.
Maka wajah BN jugalah yang tercalar dengan imej buruk bahawa mereka adalah pembida pengakuan palsu dari mana-mana pihak setiap kali berlangsungnya pilihan raya.
Pilihan raya kecil Permatang Pasir juga mengesahkan bahawa selepas melalui pilihanraya kecil Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti; sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan tetap utuh meskipun MCA dan Gerakan menyogokkan pelbagai isu perkauman.
Asakan isu perkauman Melayu yang dibuat bertubi-tubi dengan tujuan menyerang Anwar sebagai pengkhianat Melayu rupanya 'memakan diri' Umno apabila ia semakin menjarakkan mereka dengan bukan Melayu. Sedangkan ia tidak pula berjaya menarik Melayu, lebih-lebih lagi Melayu Pulau Pinang, yang sudah separuh abad dikhianati Umno.
Selepas melalui lapan kali pilihan raya kecil, BN hanya menang satu kerusi di pedalaman Sarawak dan hampir menang satu kerusi di hulu negeri Kelantan. Maknanya, benteng terakhir BN kini ialah di kawasan yang agak ketinggalan aspek pembangunan duniawinya.
BN menjadikan pembangunan yang belum lengkap sepenuhnya di kawasan luar bandar sebagai modal mengumpan rakyat supaya terus menyokong mereka. Bagi BN, pemberian kebajikan untuk rakyat bukan satu tanggungjawab tetapi cuma satu pakej rasuah untuk membeli undi.
Sebab itu mereka berkempen di mana-mana pilihanraya kecil; jika mahu pembangunan menangkan calon BN. Walhal sebagai kerajaan yang berkuasa di Pusat, mempunyai dana yang banyak dan agensi kerajaan yang bergaji hingga ke setiap kampung (JKKKP), mereka boleh menyalurkan pembangunan untuk rakyat sekalipun tiada wakil rakyat BN.
Mengapa tidak dilakukan? Sebab mereka tidak ikhlas membantu rakyat, hanya mengharap balasan undi. Yang mereka ikhlas ialah 'menyamun' khazanah kekayaan negara untuk diri dan kroni. Itu cukup ikhlas, hingga tiada yang tumpah.