Pasukan Khas yang ditubuhkan Kementerian  Pengangkutan untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)  mendapati bahawa wujudnya kes penipuan (
fraud case) yang  menelan RM 1.64 bilion dalam skandal PKFZ, dan orang yang terbabit masih  bebas sehingga kini, tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
 Demikianlah pendedahan bekas  Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat (gambar kanan) yang disingkirkan  semasa kabinet dirombak pada 1 Jun 2010.  Malah, Ong Tee Keat  selanjutnya membongkarkan bahawa kontraktor utama PKFZ, Syarikat Kuala  Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai ahli parlimen Bintulu-BN, Tiong  King Sing telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek  ini dimulakan.
Demikianlah pendedahan bekas  Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat (gambar kanan) yang disingkirkan  semasa kabinet dirombak pada 1 Jun 2010.  Malah, Ong Tee Keat  selanjutnya membongkarkan bahawa kontraktor utama PKFZ, Syarikat Kuala  Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai ahli parlimen Bintulu-BN, Tiong  King Sing telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek  ini dimulakan.
Sebanyak tujuh laporan  disediakan oleh pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan  Kementerian Pengangkutan, dan kesemuanya masih belum didedahkan sehingga  kini.  Bagaimanapun, tiada kesimpulan dan tindakan susulan, termasuk  mendakwa pihak yang terlibat dan menipu, setelah Pasukan Petugas Khas (Super  Task Force) yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan  PKFZ ini.  Malah, tiada perbincangan dalam kabinet berhubung laporan  Pasukan Petugas Khas, menurut bekas Menteri Pengangkutan ini.
Seandainya dakwaan laporan pasukan khas  oleh Kementerian Pengangkutan tersebut adalah benar, maka kerajaan harus  mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menuntut wang tersebut  daripada pihak berkenaan, malah menghalang wang itu daripada mengalir ke  dalam akaun kontraktor tersebut secara beransur-ansur, tegas Ong Tee  Keat.
"Kesemua ini wang titik peluh  rakyat," tekan bekas Presiden MCA ini dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 15  Jun 2010 di pejabatnya di Padan Jaya.  Ini adalah kali pertama pegawai  kerajaan terbabit tampil mengesahkan kandungan dalam tujuh laporan yang  disediakan pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh  Kementerian Pengangkutan.
Sebelum ini, The Straits Times yang  mendakwa dirinya telah meneliti kandungan terperinci laporan tersebut  mendedahkan bahawa beberapa orang pegawai kerajaan disenaraikan sebagai "possible  conspirator", antaranya bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy,  Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tiong King  Sing (yang menguasai KDSB), bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang  (LPK), OC Phang, dan sesetengah pengarah dalam LPK.  Namun demikian,  antara nama yang tersenarai, hanya OC Phang (gambar kiri, wanita di  kanan) yang didakwa ke mahkamah setakat ini.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) KDSB, Steven Abok;  Pengurus projek, Law Jenn Dong dan Bernard Tan Seng Swee dari syarikat  perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu, dengan angka  yang terlibat RM122.267 juta dan RM5.41700 juta.
Namun, Ong Tee Keat mengesahkan bahawa  beberapa orang disebut namanya dalam laporan pasukan khas oleh  Kementerian Pengangkutan, dan "orang yang terbabit" semestinya lebih  daripada empat orang yang didakwa di atas.
Selok belok siasatan PKFZ
Ketika ditemuramah MerdekaReview, Ong  Tee Keat mengimbas selok belok penyiasatan skandal ini ketika beliau  menerajui Kementerian Pengangkutan.  Ong Tee Keat melantik badan bebas,  PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menyiasat skandal PKFZ pada Oktober  2008, yang mana laporan auditnya diumumkan pada 28 Mei 2009.
Seterusnya, Ong Tee Keat (gambar  kanan) menubuhkan sebuah pasukan khas dan dua jawatankuasa yang baru  pada 10 Jun 2009.  Pasukan khas ditugaskan untuk melanjutkan siasatan  terhadap 20 penyelewengan yang disenaraikan dalam laporan audit PWC,  satu jawatankuasa pula menumpukan siasatan terhadap keputusan yang  dilakukan LPK dan penyelewengan yang tertunggak selama ini.  Satu lagi  jawatankuasa ditugaskan untuk menyediakan rancangan bagaimana PKFZ boleh  dibangunkan semula.
"Saya memberi  tempoh dua bulan kepada mereka untuk menyiapkan tugas ini.  Selain  satu jawatankuasa, dua daripadanya berjaya menyediakan laporan lengkap  pada 10 Ogos, seperti yang ditetapkan.  Pasukan khas dan jawatankuasa  yang dianggotai elit daripada pelbagai bidang ini telah menyediakan  tujuh laporan, dan saya cuma memberi satu kenyataan bertulis pada ketika  itu."
Ong Tee Keat menjelaskan,  beliau tidak mendedahkan laporan ini kerana hasil siasatan ini bakal  menjadi bukti penting untuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan  Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).  Setelah mendapat nasihat  daripada peguam, Ong Tee Keat memilih untuk tidak mendedahkan laporan  ini pada ketika itu, atas pertimbangan unit berkenaan belum membuka fail  siasatan, dan beliau tidak mahu dirinya disaman.
20 penyelewengan
Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa  tujuh laporan tersebut menunjukkan bahawa terdapat maklumat yang cukup  untuk membuktikan penipuan berlaku dalam skandal PKFZ.  Kontraktor yang  bertanggungjawab telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum  projek bermula.  Siasatan ini dilakukan berdasarkan 20 penyelewengan  yang tersenarai dalam laporan audit PWC, dan angka penyelewengan mungkin  lebih tinggi daripada laporan PWC.
"PWC  cuma menyiasat dari segi akaun.  Tetapi anggota pasukan khas dan  jawatankuasa terdiri daripada ahli profesional, yang masak dengan selok  belok dalam bidang ini.  Mereka lebih mengetahui sama ada penyelewengan  berlaku dalam bidang tersebut," kata Ong Tee Keat.
Demikianlah 20 penyelewengan yang  tersenarai dalam laporan siasatan PWC:
1. Cadangan pembelian tanah  diluluskan oleh kabinet, tetapi cadangan pembangunan yang menyusul  kemudian tidak dibentangkan dalam kabinet untuk mendapat kelulusan.
2. LPK tidak memberitahu kabinet dengan  segera, bahawa LPK tidak mampu untuk menanggung kos projek pembangunan  ini melalui self-funding.
3. Pengarah  LPK tidak menjalankan tugas pemantauan, mengikuti perkembangan sama ada  projek terlaksana sebagaimana yang dirancangkan.
4. Tiada rundingan untuk mendapatkan  pandangan Peguam Negara, dan sesetengah peraturan daripada Kementerian  Kewangan tidak dipatuhi.
5. Mungkin  melibatkan konflik kepentingan, kerana sesetengah orang/unit yang  terbabit mempunyai hubungan dengan tanah atau KDSB sebelum ini.
6. Faedah pinjaman yang dikenakan  Kementerian Kewangan telah mengakibatkan kos PKFZ melonjak dari RM4.947  bilion kepada RM7.453 bilion.  Kos akan melambung kepada RM12.453  bilion, melainkan pinjaman daripada Kementerian Kewangan ini dirombak  semula.
7. Seandainya LPK mematuhi  cadangan Kementerian Kewangan, dengan mengeluarkan bon jaminan kerajaan,  dan melaksanakan pembangunan secara berperingkat, maka financing  cost boleh dikurangkan.
8. Tanah  ditukar tangan dengan harga istimewa yang lebih tinggi daripada harga  pasaran.
9. KDSB mungkin mengenakan faedah  yang berlebihan daripada LPK, antara RM51 juta hingga RM390 juta.
10. DA3 (Development Agreement)  bukanlah satu kontrak dengan angka tetap, maka KDSB tidak boleh  mengenakan kadar bayaran profesional yang tetap.
11. RM 95.256 juta dikutip daripada LPK  sebagai kos asas, tetapi tidak disenaraikan dalam DA.
12. Akaun terakhir dalam DA3 tidak menolak  bahagian yang mana tiga projek pembinaan yang belum disiapkan.
13. Belumpun plan diberi kata muktamad,  kontrak yang bernilai RM1 bilion telah diberikan kepada KDSB.
14. LPK terlalu bergantung kepada KDSB,  menyebabkan LPK tidak memperolehi rancangan projek yang memadai  nilainya.
15. Pengurusan dan kawalan  perancangan yang sangat lemah.
16.  Hanya sebahagian bangunan memperolehi certificate of fitness,  dan defect liability period telah berlalu.
17. LPK dijangka mengalami defisit tunai  pada tahun 2012, dan gagal menjelaskan hutang daripada Kementerian  Kewangan.
18. Surat sokongan yang  dibenarkan Kementerian Kewangan mungkin ditafsir sebagai jaminan  kerajaan bahawa LPK mampu menjelaskan hutang pada masa yang ditetapkan.
19. Kadar sewa PKFZ yang sebenarnya hanya  14%, pendapatan ini gagal mengimbangi perbelanjaannya dalam operasi.
20. PKFZ Sdn Bhd telah mengalami kerugian  sebermulanya, dan fund pemegang sahamnya telah menjadi nilai  negatif pada akhir September tahun 2008.
Laporan harus diumumkan
 KDSB sebagai anak syarikat milik  sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB) adalah kontraktor utama  dalam projek PKFZ.  Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional,  Tiong King Sing (gambar kiri) adalah pemegang saham terbesar WBHSB  dengan 70% saham dalam genggamannya.  KDSB ditubuhkan pada 22 April  1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.
KDSB sebagai anak syarikat milik  sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB) adalah kontraktor utama  dalam projek PKFZ.  Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional,  Tiong King Sing (gambar kiri) adalah pemegang saham terbesar WBHSB  dengan 70% saham dalam genggamannya.  KDSB ditubuhkan pada 22 April  1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.
Bagaimanapun,  setelah Super Task Force yang ditubuhkan kabinet mengambil  alih tugas siasatan, tiada kesimpulan dibuat terhadap siasatan yang  dilakukan Kementerian Pengangkutan, malah tiada tindakan susulan.  Ong  Tee Keat berkata, Super Task Force ini telah menyiapkan siasatan dalam  masa enam bulan, tetapi laporannya tidak dibentangkan dalam mesyuarat  kabinet sehingga 1 Jun 2010, dedah Ong Tee Keat yang tersingkir dari  kabinet pada tarikh tersebut.
"Seandainya  siasatan telah disiapkan, maka mereka (Super Task Force) harus  mengumumkan hasilnya.  Rakyat perlu tahu perkembangan siasatan ini.   Selain itu, sekiranya hasil siasatan telah diperolehi, siapa pula yang  perlu bertanggungjawab?  20 penyelewengan disenaraikan PWC, melibatkan  orang kalau bukan wang.  Kerajaan tidak mengambil tindakan susulan,  misalnya siapa yang harus didakwa (di mahkamah)," katanya.
Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengumumkan penubuhan Super Task Force yang  diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohamad Sidek Hassan untuk  meneliti skandal PKFZ pada 9 September 2009.  Antara skop yang dikaji  termasuklah, pertama, adakah skandal ini melibatkan penyalahgunaan kuasa  atau pelanggaran undang-undang negara; kedua, good governance dan  ketiga, halatuju pembangunan PKFZ pada masa depan.
Pada ketika itu, Najib mendakwa bahawa Super  Task Force ini akan mempertimbangkan laporan daripada pasukan khas  dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini,  namun tiada sebarang pengumuman atau tindakan susulan sehingga hari ini.