Saturday, October 10, 2009

Tinggalkan BN, kapalnya nak tenggelam

MENCARI calon Umno yang bersih dari segi moral dan rasuah begitu sukar, buktinya ketika Umno hendak memilih calon di Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 11hb Oktober 2009 ini.Pihak Umno terpaksa memilih Tan Seri Isa Samad kerana inilah calon yang paling terbaik dalam Umno untuk menjadi calon walaupun beliau disabitkan bersalah oleh Lembaga Tatatertib Umno

Beliau telah dilucutkan jawatan Menteri dan Naib Presideen Umno. Kita boleh bayangkan kalau Tan Seri Isa inilah yang paling terbaik, bagaimana pula tahap moral orang lain dalam umno.

Mereka yang menentang Tan Seri Isa sebagai calon bukan kerana jijiknya beliau yang yang terlibat dalam rasuah, tetapi mereka takut kepada bayang Tan Seri Isa untuk berkuasa semula di Negeri Sembilan.

Kedua mereka takut Pakatan Rakyat akan menjadikan isu skandal rasuah sebagai modal kempen. Manakala pengikut akar umbi pula mahu Tan Seri Isa kerana sudah lama makan air tangan beliau di kawasan tersebut.

Maklumlah sudah 22 tahun menjadi Menteri Besar, sama lama macam Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana hendak mencari calon yang bersih dalam Umno? Seperti pepatah menyatakan air di hilir keroh kerana air di hulu tidak jernih. Benih yang tidak elok akan menghasilkan pokok yang tidak elok. Acuan apam balik tidak boleh mengeluarkan kuih pau.

Begitulah juga Umno tidak boleh melahirkan pemimpin yanmg baik kerana asal acuan yang tidak baik.

Sebab itu penyokong Tan Seri Isa berhujah, mana ada calon yang bersih. Mereka mendakwa kebetulan Tan Seri Isa ditangkap dan dijatuhkan tindakan disiplin. Mereka juga berang kenapa Dato’ Seri Ali Rostam dituduh terlibat dengan rasuah, masih dilantik Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka.

Khairi Jamaludin yang dituduh terlibat dengan rasuah boleh bertanding Ketua Pemuda Umno Malaysia dan menang. Inilah undang-undang rimba dalam Umno. Bukan sahaja berlaku pendakwaan terpilih di negara ini, malahan dalam Umno pun juga berlaku pendakwaan terpilih. Inilah peraturan Pak Pandir.

Orang Umno ketawa apabila komen Tun Dr Mahathir mengatakan Tan Seri Isa tidak layak kerana terlibat dengan rasuah. Sedangkan semua orang tahu bahawa rasuah politik dalam Umno rancak di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun.
Sebelum beliau, perwakilan terdiri dari kalangan guru-guru Melayu yang mempunyai jiwa nasionalis dan menghayati perjuangan Umno. Mereka menyertai Umno bukan bertujuan untuk mengumpul kekayaan.

Mereka bersama dengan Umno menghabiskan harta demi kelangsungan perjuangan. Mereka begitu lantang mengkritik pemimpin tertinggi Umno yang tidak memperdulikan nasib rakyat yang masih tertinggal di luar bandar.

Sekarang, menjadi pemimpin Umno untuk menggali telaga emas hasil daripada jawatan dalam parti. Rakyat makan kuah basi pemimpin makan isi. Zaman Tun Dr. Mahathir jadi Presiden Umno beliau pernah hendak berubat penyakit rasuah politik dalam Umno dengan berbagai cara, tetapi semua tidak menjadi.

Tun pernah menasihati, menangis, berdoa untuk ubat penyakit rasuah politik dalam Umno, semua tidak menjadi. Macam mana pengikut hendak ikut kalau nakhoda kapal pun bercakap tidak serupa bikin!

Rakyat bertambah pening dengan sistem yang berlaku dalam negara ini berkenaan dengan istilah rasuah. Rupanya ada dua takrif rasuah dalam negara ini. Rasuah salah apabila berlaku dalam Umno tetapi tidak menjadi kesalahan pula apabila rasuah kepada pengundi setiap kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil dilangsungkan dalam negara ini.

Sebab itu sukar untuk mencari calon yang bersih dalam Umno. Mana ada pemimpin Umno hendak naik (jadi pemimpin) dengan air liur sahaja? Mana ada calon Umno naik dengan karisma? Semuanya terpaksa menggunakan ongkos.

Sebab pemimpin Umno tidak layak berbicara mengenai rasuah, kerana mereka adalah parti yang hidup selagi ada rasuah. Politik rasuah dalam umno dah terang lagi bersuluh.

Rasuah dalam Umno macam isi dengan kuku. Rasuah dalam Umno sudah mencapai barah tahap 4. Ayuh ramai-ramai pengundi Bagan Pinang mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. Tinggalkan Umno-BN kerana kapalnya sudah hendak tenggelam!

Ditulis Oleh USTAZ IDRIS AHMAD
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, October 9, 2009

Selepas Bagan Pinang ke Kota Seputeh, kata Azizan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yakin selepas pilihan raya kecil Bagan Pinang, pilihan raya kecil akan diadakan di Kedah pula iaitu di Kota Seputeh.

“Insya Allah, selepas Bagan Pinang kita akan ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil di sana,” kata Azizan ketika berucap di Taman Sri Rusa, dekat sini.

Azizan memberikan ceramah bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad bin Omar.

Menurut Azizan, Speaker Dun Kedah telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi Kota Seputeh berikutan kegagalan Adunnya menghadiri sidang Dun sebanyak dua kali berturut-turut.

“Kita telah melantik tujuh peguam untuk mengkaji balik keputusan SPR yang memohon permohonan Speaker kita,” kata Azizan.

Beliau yakin, kes ini berpihak kepadanya berdasarkan undang-undang yang ada di negeri Kedah.

“Ada pemimpin Umno kata kita membazirkan duit...Saya kata, saya rela bazirkan duit untuk adakan pilihan raya semula dari terus membayar gaji Adun yang pemalas...nak datang sidang Dun pun malas,” katanya disambut sorakan orang ramai.

Azizan berkata, tugas pemimpin dan penyokong PAS adalah untuk berusaha memenangkan calon Pakatan dalam mana-mana pilihan raya pun.

Azizan memberikan ceramah di sebuah Pasti dalam peti undi Si Rusa yang dibantu oleh PAS Kedah dan PAS Johor. Turut mendengar ucapan beliau adalah para petugas PAS Kedah dan Johor yang datang ke Bagan Pinang untuk memastikan calon PAS menang.

Selain Azizan, para petugas PAS dari seluruh negara juga turut turun ke pilihan raya kecil ini. Jumlah mereka bertambah selepas kejadian Rabu lepas apabila petugas PAS diganggu dan diserang oleh petugas Umno.

Antara mereka adalah seorang aktivis Unit Amal PAS dari Gua Musang, Kelantan.

Husin bin Hassan sudah berumur 59 tahun namun beliau adalah seorang aktivis Unit Amal yang penuh semangat. Beliau bersama rakannya dari Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, Raja Mahasan bin Raja Sulaiman, ditugaskan mengawal Markas Besar PAS di Batu Tiga, Port Dickson.

“Sebelum Bagan Pinang, saya dah bertugas di Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan juga Permatang Pasir baru-baru ini,” kata Husin penuh semangat walaupun sudah lanjut usia.

Ekoran kejadian Rabu lalu, para petugas PAS memenuhi Bagan Pinang. Mereka datang bukan untuk bergaduh tetapi bagi memastikan pilihan raya ini berjalan penuh tertib.

“Saya akan memastikan peraturan diikutlah,” kata Husin ketika ditanya apa yang beliau akan buat jika ada mana-mana pihak cuba membuat kacau di situ.

PAS tuntut hentikan undi pos serta merta

PAS menuntut Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) menghentikan serta merta proses pembuangan undi pos kerana badan pelaksana pilihan raya itu tidak menggunakan daftar pemilih rasmi yang sah dan dikeluarkan pada hari penamaan calon.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub pagi tadi menegaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981.

Statut tersebut berbunyi: "Daftar Pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon HENDAKLAH merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi..."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meragui proses penyerahan Sampul Keutamaan yang dipercayai bertentangan dengan peraturan 14A, yang lain; kerana tiada pengarahan bertulis kepada pengundi-pengundi yang gagal dikenal pasti.

Ujarnya lagi, terdapat beberapa kes di mana isteri kepada pegawai tentera yang sebenarnya tidak mempunyai kad pengenalan tentera pun; didapati terdapat dalam senarai daftar pemilih undi pos.

ImageDalam kes yang berkaitan, Salahuddin juga menjelaskan bahawa terdapat beberapa pegawai tentera yang dikenali sebagai penyokong tradisi Pakatan Rakyat; turut digugurkan dalam senarai daftar pemilih tidak rasmi yang digunakan SPR di dalam Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDAR) semalam.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, proses pembuangan undi awam boleh dilaksanakan seperti biasa pada 11 Oktober depan.

Tegasnya lagi, jika SPR tidak membatalkan proses pengundian Pos serta merta, akan mengganggu keabsahan keputusan pilihanraya N31 itu kelak.

Ditanya tentang tindakan PAS serta Pakatan Rakyat seterusnya, Salehuddin menjelaskan bahawa suatu pasukan perundangan sedang membuat perhitungan akhir.

Pakatan dan PAS juga dijadualkan bertemu SPR dalam masa terdekat; sama ada di sini atau di Putrajaya.

Semalam, PAS mencadangkan SPR membuat injunksi, sehingga kedua-dua daftar pemilih N31 benar-benar puteh.

Pendedahan terbesar tersebut, menjadikan SPR tidak mempunyai alasan untuk menolak segala cadangan PAS sebelum ini.

Sembang-sembang dengan Bala dan Kumutha di Bagan Pinang


"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," kata Bala, Pengerusi Kelab Penyokong PAS kaum India

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

PENGUNDI di Malaysia, melalui pilihan raya umum 8 Mac 2008 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, semakin bijak memilih dan mementingkan calon yang berintegriti.

Di Permatang Pasir, personaliti calon BN yang bermasalah menjadi tumpuan dan kritikan, hinggakan pemimpin atasan parti pun tidak mampu mempertahankannya. Begitu juga di Kuala Terengganu, walaupun penyandangnya BN, sejak awal wibawa calon PAS jauh meninggalkan ayam tambatan Umno, yang juga timbalan menteri yang baru meletakkan jawatan.

Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan agar jangan memandang rendah keupayaan intelektual pengundi hari ini. Bekas Perdana Menteri itu langsung tidak bersedia berkempen untuk Isa, yang dilihatnya bakal menyebabkan Umno secara keseluruhannya akan menghadapi lebih banyak masalah, walaupun mungkin boleh membawa kemenangan mudah buat Bn.

Memilih Isa Samad, yang sudah disabitkan amalan rasuah semasa berkempen merebut Naib Presiden Umno 2004 dan digantung selama enam tahun tetapi dikurangkan tiga tahun selepas rayuan, akan meninggalkan kesan buruk yang mendalam ke atas usaha Umno dan kerajaan untuk membanteras korupsi yang semakin membudaya dalam masyarakat.

Di atas kertas, Isa mungkin sukar dikalahkan, tetapi kemenangannya itu bakal membawa persepsi salah terhadap kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Seolah-olah pengundi kita - seperti juga pemimpin BN (dan sebelumnya perwakilan Umno) - langsung tidak mementingkan soal integriti calon jika mereka memenangkan Isa.

Apa pun saya percaya, jika masyarakat kita didedahkan dengan kefahaman sebenar tentang kejijikan rasuah dan kebaikan memilih kepimpinan berintegriti, serta hubungannya dengan penghayatan hidup beragama, maka orang yang terbukti korup seperti Isa bukan sahaja akan ditolak rakyat, malah tidak ada mana-mana parti yang bersedia mencalonkannya. Bukan itu sahaja, tokoh rasuah yang dicalonkan juga berasa malu dan menarik diri dari awal-awal lagi.

Justeru, ramai menunggu keputusan di Bagan Pinang, sebuah kawasan semi-urban di selatan Semenanjung, bagi menjangkakan pola pengundian dalam pilihan raya umum paling kritikal buat BN dan juga Pakatan, sekitar 2-3 tahun akan datang.

Menang atau, apatah lagi, kalah dalam pilihan raya kecil ini, buat BN, ia langsung tidak boleh disandarkan harapan untuk kita mengembalikan satu budaya politik yang berintegriti, beretika dan bermaruah.

II.

Semasa membuat tinjauan persiapan Harakah di markas besar jentera kempen PAS Bagan Pinang, Ahad lalu, saya sempat berbual-bual dengan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India (KPPI) Malaysia, N Balasubramaniam yang ternyata bersemangat membantu kempen Pakatan Rakyat.

Sebelum hari penamaan calon lagi beliau sudah dua kali turun ke kawasan Dun yang mempunyai pengundi India sekitar 20 peratus itu.

"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," katanya, sambil menjelaskan banyak isu memihak PAS, seperti perarakan kepala lembu di Shah Alam, kenyataaan pemimpin Umno yang merendahkan kaum India dan janji MIC semasa kempen pilihan raya 2008 yang tidak tertunai.

Beliau memberitahu lebih 200 aktivis KPPI hadir semasa hari penamaan calon dan 20 daripadanya akan berkampung untuk berkempen sehingga hari mengundi.

"MIC janji nak bagi tanah satu hektar kepada setiap keluarga di Estet Sua Betong, tapi mereka perlu dapatkan dulu bangunan sekolah Tamil yang kini ditempatkan di atas rumah kedai di Lukut," ujarnya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana mula beliau tertarik dengan Parti Islam, Bala yang juga pernah menjadi sami, percaya sesiapa saja yang patuh kepada ajaran agama, dan dalam Islam mengikut al-Quran seperti diamalkan penyokong dan pemimpin PAS, maka ia akan membawa kebaikan dan perlu disokong.

Bala juga tidak bimbang dengan kempen MIC di kawasan ladang, begitu juga dengan pemilihan Isa sebagai calon BN. "Selama lebih 20 tahun jadi MB, ISA tak rapat pun dengan akar umbi. Dalam masa 50 tahun BN memerintah, kami dilupakan dan tiada usaha serius untuk membangunkan masyarakat India," tegasnya.

Mengulas kehadiran agak ramai mereka yang mendakwa anggota Kelab Penyokong BN semasa hari penamaan calon, Bala berkata, kebanyakannya adalah pelajar Kolej Tafe milik MIC yang belum pun 'cukup umur untuk menjadi pengundi'. "Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh berkempen memenangkan PAS," tambahnya.

Turut dalam pertemuan itu, R Kumutha, Ketua Wanita KPPI Malaysia, yang tidak lokek dengan senyuman manisnya. Beliau yang pernah mewakili PAS, tetapi atas simbol KeADILan, dalam pilihan raya umum 2008 di Johor, cukup yakin masyarakat India sukar untuk kembali menyokong BN.

"Sepanjang kami berkempen dari rumah ke rumah, penerimaan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Saya menjelaskan tujuan kami datang ke rumah mereka, mendedahkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka, seperti pendidikan dan kerjaya anak-anak. Dan jika mahukan perubahan, kita harus sokong PAS," jelas Kumutha, yang juga seorang peguam.

Beliau yang arif tentang perlembagaan PAS mudah menjelaskan sebarang salah faham yang ditimbulkan pengundi: "Selain isu hudud yang saya jelaskan berdasarkan perlembagaan parti, contoh kesederhanaan hidup Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dibandingkan gaya hidup pemimpin BN, misalnya Dr Khir Toyo yang mempunyai istana mewah, begitu menarik minat mereka. Begitu juga dengan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat."

Lebih menarik apabila wanita muda yang berasal dari Johor Bahru ini menceritakan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya umum, Mac 2008. Kumutha yang hanya balik dari United Kingdom pada Julai 2007 selepas menamatkan pengajian undang-undangnya tertarik dengan PAS selepas mengikuti ceramah pada awal 2008.

"Saya tidak dapat lupa sokongan tulus ikhlas orang PAS, mereka begitu ringan tulang membantu saya," ujarnya.

Bagi Kamutha dan Bala, masa depan PAS di negara ini "begitu menjanjikan". Tembok perkauman yang roboh, selaras dengan motto "PAS for All", perlu disusuli dengan sikap yang konsisten demi membebaskan Malaysia daripada segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Bagan Pinang memang penting buat PAS, Pakatan dan juga BN, namun apa jua keputusannya nanti, momentum perubahan politik ke selatan tanahair sudah tidak dapat disekat lagi," kata Kumutha.

Pilihan raya kecil paling kotor, Umno amat tertekan!

Jika SPR masih tidak endah dan Umno masih 'bermaharajalela' memanipulasi dan mengganasi, PAS tidak menolak kemungkinan rakyat akan bangkit menyatakan bantahan besar-besaran sekali lagi seperti ditunjukkan dalam Himpunan Bersih 100,000 dua tahun lalu.

Ini bagi memberi pengajaran perit kepada kerajaan Barisan Nasional agar menghormati hak rakyat dan tidak menzalimi mereka seperti insiden belasah dan pukul di Bagan Pinang sekaligus menghukum parti itu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Demikian kata AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar ketika ditemui Harakahdaily di Markas Operasi Utama PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang dekat sini semalam.

Kata Kamaruddin pelbagai pelanggaran akta pilihan raya dan tindakan ganas samseng Umno ke atas petugas dan penyokong Pakatan Rakyat hanya menjadikan pilihan raya kecil kali ini antara terkotor dalam sejarah selepas pilihan raya 2008.

Sambil menyatakan rasa terkejut dengan insiden pukul petugas PAS oleh penyokong Umno yang cukup kerap berlaku sejak 7 Oktober, Kamarudin menyatakan hal ini berkaku walaupun dengan kehadiran polis yang ramai.

"Tindakan ini menunjukkan Umno sangat tertekan dan berusaha dengan apa cara sekalipun termasuk mengganas demi untuk memastikan calon terpalit rasuah mereka menang

"Asakan-asakan ini menunjukkan mereka sudah mendapat 'feedback' bahawa rakyat sudah menolak mereka dan imej Umno makin jatuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan pihak berkuasa yang gagal menangani masalah provokasi dan pergaduhan yang berlaku, menampakkan kelemahan pihak polis sekaligus memburuk imej institusi itu yang dilihat dipergunakan oleh Umno.

Jika sebelum ini pihak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sering memberi jaminan bahawa keselamatan petugas, orang awam dan petugas lain diberi keutamaan semasa kempen pilihan raya kecil mahupun umum, tetapi kali ini suara KPN tidak kedengaran, katanya.

"Kali ini polis gagal dan Umno perlihatkan kegelisahan dan ketakutan mereka itu berdepan dengan Pakatan Rakyat dan melakukan tindakan yang sangat tidak demokratik.

"Peristiwa ini sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa usaha Pakatan Rakyat mewujudkan suasana demokrasi masih dihalang Umno.

"Dan parti yang menyalahguna kuasa ini mesti ditolak oleh rakyat khususnya di Bagan Pinang,"katanya.

Thursday, October 8, 2009

Kempen Bagan Pinang semakin sengit

Perang PAS dan Umno-Barisan Nasional (BN) semakin sengit selepas empat hari berlangsungnya hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Bagan Pinang. Masing-masing dengan identiti dan modalnya yang tersendiri.

Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati gambaran dari sudut fizikal kedua-dua parti adalah seimbang. Tetapi “semakin sengit” yang dimaksudkan ialah aktiviti kempen kedua-dua pihak dalam usaha meyakinkan pengundi.

Kekasaran mula berlaku malam tadi apabila markas besar Pemuda PAS diserang dan beberapa orang cedera termasuk ditetak dengan parang. Ekoran itu Pemuda PAS mengarahkan anggotanya turun ke Bagan Pinang untuk tingkatkan keselamatan.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dipilih sebagai calon BN terus mengulangi keyakinannya dalam mencapai kemenangan walaupun imejnya sudahpun tercalar selepas digantung keahlian.

Melalui kempennya beliau terus menekankan kepekaannya tentang aspirasi rakyat bukan sahaja di Bagan Pinang bahkan seluruh Negri Sembilan, serta berjanji akan menyelesaikan setiap masalah di samping menjaga kebajikan rakyat jika dipilih dalam PRK nanti.

Isa adalah ketua Umno Bahagian Teluk Kemang pernah digantung keahliannya pada Jun 2005 oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dengan rasuah dalam Pemilihan Agung Umno 2004.

Penggantungan itu sekaligus mendesak beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada Oktober 2005.

Salah seorang daripada mangsa dalam insiden kekasaran yang berlaku malam tadi.

Penyokong BN tidak menafikan kewibawaan Isa berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya dalam karier politik sebagai orang veteran yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Manakala Zulkefli Mohd Omar dari PAS yang mewakili parti Pakatan Rakyat (PR), mendedahkan komitmennya untuk membuat satu perubahan dalam menaikkan taraf hidup rakyat terutama penduduk di kawasan ladang yang sentiasa dicengkam masalah saraan hidup sejak bertahun dulu.

“Termasuk juga golongan nelayan dan para peniaga yang terhimpit dengan masalah alam sekitar, persaingan, peningkatan kos, saraan hidup dan sebagainya,” katanya semasa menyampaikan ceramah dekat sini malam tadi.

Beliau menitik berat perkara tersebut selepas mendengar serta menerima sendiri pelbagai rungutan yang diluahkan oleh masyarakat tersebut sendiri.

Zulkefli adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sejak 2007. Sebelum terlibat dengan dunia politik beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif dalam bidang pengurusan bersama beberapa syarikat ternama dalam negara.

Mengikut track rekod sepanjang penglibatannya dalam arena politik sejarah tidak pernah mencatatkan sebarang rekod buruk yang boleh mencalarkan imejnya di mata rakyat.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, ketika menjawab soalan mengenai tahap keyakinan parti pakatan selepas melalui tiga hari tempoh berkempen tetap mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa PAS tidak melalui jalan sukar untuk menang sekiranya proses PRK itu diadakan mengikut sistem demokrasi sebenar.

PRK Bagan Pinang bakal diadakan pada 11 Oktober nanti menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Zulkefly dan Isa. Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos layak mengundi pada PRK tersebut.

Apapun spekulasi atau ramalan berhubung PRK tersebut, hanya (13,644 pengundi) itulah akan menjadi kuasa penentu samaada Bagan Pinang tetap menjadi milik BN semula atau sebaliknya.

Isu calon semakin menggugat Umno

Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, bersuara beberapa kali memberi nasihat menentang pencalonan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon.

Satu amaran yang dikemukakan ialah Umno mungkin menang di Bagan Pinang, tetapi tindakan meletakkan tokoh terpalit rasuah itu akan membawa kesan buruk kepada parti itu pada pilihan raya-pilihan raya akan datang.

Menjelang penamaan calon, isu integriti Isa menjadi fokus utama media, memperlihatkan tanda-tanda perbezaan yang besar dalam parti Umno sendiri.

Umno akhirnya mencalonkan Isa, mendedahkan parti kepada kritikan pembangkang dan juga Mahathir, bekas presiden Umno yang masih berpengaruh membentuk pendapat.

�Soal pemilihan calon kini menjadi isu yang semakin kompleks bagi Umno,� kata seorang petugas Umno pusat.

�Apa yang disebut-sebut pembangkang dahulu, Umno boleh meletakkan tunggul kayu untuk bertanding dalam pilihan raya dan menang tidak boleh diterima lagi,� katanya lagi.

Beliau merujuk kepada calon-calon tidak berkualiti yang diletakkan sebagai calon oleh Umno sejak sekian lama, tanpa calon terbabit melalui penilaian seperti hari ini.

�Sekarang, setiap kali berlaku pilihan raya, ramai ahli yang bimbang tentang calon yang akan diletakkan, terutama selepas kalah banyak kali selepas pilihan raya 2008,� jelasnya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008, calon-calon Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil semakin terdedah kepada penilaian kritikal oleh pembangkang.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, isu calon menjadi isu pemecah dalam kalangan BN.

Pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencetuskan perselisihan sehingga di peringkat nasional.

Wan Ahmad Farid yang dilihat tidak berwibawa dan tidak popular di Terengganu menerima kritikan banyak pihak dan akhirnya tewas dalam pilihan raya itu.

Terbaharu, calon BN di Dun Permatang Pasir, Rohaizat Othman mengalami kritikan dan kecaman paling hebat dalam siri pilihan raya kecil selepas Mac 2008.

Beliau terpalit skandal sehingga digugurkan daripada menjadi peguam sivil oleh Majlis Peguam Malaysia.

Pemimpin-pemimpin Umno bercakap mempertahankan Rohaizat sepanjang tempoh kempen, mendedahkan kelemahan yang besar dalam parti.

Kali ini, di Bagan Pinang, pencalonan Isa menyaksikan urutan peristiwa yang hampir sama dengan Permatang Pasir.

Pemimpin-pemimpin BN berusaha mempertahankan integriti Isa, ketika pendedahan demi pendedahan skandal dikaitkan dengan beliau didedahkan pembangkang.

Bagi PAS, pencalonan Isa memberi peluang untuk berkempen mendedahkan isu korupsi di Negeri Sembilan di bawah Isa.

Menurut Dr Dzulkifly Ahmad, pengarah operasi pilihan raya Bagan Pinang, pendedahan kelemahan Isa tidak terhad kepada isu setempat, tetapi mempunyai implikasi nasional yang besar.

�Pilihan raya kecil Bagan Pinang ini memberi peluang kepada Umno untuk membersihkan nama, tetapi kenapa mereka membelakangi nasihat Tun (Mahathir) dalam hal ini?� soal Dzulkifly.

Kata Dzulkifly, isu calon dalam pilihan raya ini sangat penting kerana Umno telah meletakkan calon �kitar semula� yang telah menjadi menteri besar selama 22 tahun dan mempunyai rekod yang buruk.

�Sekarang ini kita dedahkan kerja tangan dia, untuk beritahu kepada rakyat masalah sebenar dalam isu ini,� tegas Dzulkifly.

Katanya, masalah yang dapat dilihat di negeri ini, termasuk berkaitan ladang babi dan jalan yang tidak siap dibina menunjukkan kesan daripada gejala korupsi yang melanda kerajaan Negeri Sembilan yang dikuasai Isa selama 22 tahun.

Beberapa pendedahan berhubung kerajaan Negeri Sembilan terutama di bawah Isa dibuat Pakatan Rakyat.

Terbaharu, sekumpulan peneroka Felda Sendayan dan LBJ mendedahkan bagaimana semasa di bawah Isa, tanah mereka diambil oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan bekas menteri besar itu.

Pendedahan-pendedahan yang dibuat di sini, menurut Dzulkifly, akan �menunjukkan kepada rakyat apa yang berlaku pada parti pemerintah.�

Untuk tempoh jangka panjang, selepas berakhir pilihan raya Bagan Pinang, PAS berharap kepincangan parti pemerintah itu akan terus memberi momentum untuk kempen pakatan pembangkang di peringkat nasional.

Wednesday, October 7, 2009

Ura-ura Pakatan ingin tangguh p'raya

Pakatan Rakyat mungkin memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan pilihan raya kecil Bagan Pinang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat membersihkan daftar pemilih DUN tersebut, yang didakwanya membolehkan pemilih pos memangkah lebih daripada sekali.

Pengarah pilihan raya PAS bagi Bagan Pinang, Salahuddin Ayub dalam sidang media di Port Dickson hari ini berkata, satu delegasi Pakatan akan bertemu pengerusi SPR di Putrajaya petang ini bagi mendapat penjelasan dan meminta daftar pemilih pos dibersihkan.

"Petang ini kita akan membuat perhitungan dengan SPR bagi membersihkan nama-nama pengundi yang bertindih yang akan digunakan pada 11 Oktober ini," kata Salahuddin lagi.

Katanya lagi, pertemuan antara delegasi Pakatan Rakyat, yang diketuai setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan pengarah pilihan raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman dengan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut menuntut supaya suruhanjaya berkenaan membersihkan status pengundi pos di seluruh negara.

Menjawab soalan wartawan, Salahuddin menolak pandangan bahawa isu melibatkan nama pemilih pos berulang itu hanya dibangkitkan dalam pilihan raya kecil kali ini.

Jelasnya, isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh Pakatan dan menjadi sebahagian daripada tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - yang menganjurkan demonstrasi besar di Kuala Lumpur pada 2007.

"Kita dah sebut berkali-kali tentang nama pengundi yang bertindih ini dan SPR tidak dapat menjalankan pemutihan dengan sepenuhnya," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah sebenar pemilih pos yang terlibat juga akan dapat diketahui petang ini selepas pertemuan dengan SPR.

"Setakat ini saya boleh katakan terdapat beratus-ratus (pertindihan) nama (pengundi pos yang terlibat di Bagan Pinang).

"Sekiranya petang ini SPR tidak dapat melakukan sesuatu ke arah pembersihan ini, kita tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kaedah perundangan," kata Salahuddin.

"Mungkin esok atau lusa, pasukan peguam kita akan memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya ini dapat ditangguhkan sehingga pembersihan nama itu benar-benar dapat dibuat oleh pihak SPR."

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan Bernama hari ini mengutip kenyataan presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul Ghani, yang kesal dengan sikap sesetengah bekas anggota tentera yang tidak menukar status mereka daripada pemilih pos kepada pemilih biasa setelah tamat perkhidmatan.

Mengulas kenyataan tersebut, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, pengakuan Muhammad itu menunjukkan masih ada anggota tentera yang sudah bersara tetapi masih tetap tersenarai dalam daftar pemilih pos di Bagan Pinang.

"Adalah tidak wajar bagi seorang pesara tentera masih mempunyai nama dalam senarai pemilih pos. Sepatutnya orang yang sudah bersara dikeluarkan daripada senarai pemilih pos.

"Isunya, adakah mereka akan balik mengundi atau ada orang yang akan mengundi bagi pihak mereka, sedangkan mereka berada di Ulu Kelantan pada masa ini, sudah bersara," katanya lagi.

Pengundi bukan Melayu boleh kalahkan undi pos

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang di Negeri Sembilan kini nampaknya kuat diperkatakan segenap pelusuk sebagai satu aras penanda mengenai keterbukaan warga Malaysia (pengundi) untuk membuat pilihan yang tepat dalam mencorakkan masa depan negara. Jika silap percaturan, ianya akan menyebabkan masa depan negara yang akan lebih malap namun tidaklah boleh kita pertikaikan pilihan yang dibuat oleh para pengundi.

Pengundi adalah raja dan merekalah yang akan menentukan siapa yang akan meneruskan pemerintahan di Malaysia.

Saya berkesempatan mengenali susuk tubuh Isa Samad yang pernah memegang teraju pemerintahan Negeri Sembilan dalam jangkamasa yang agak lama. Memang dari satu segi Isa Samad amat disukai oleh warga Negeri Sembilan. Beliau agak mesra rakyat. Namun disebalik sikap beliau yang mudah dengan rakyat, sikap beliau terhadap isu “tumbuk rusuk” agak menyedihkan. Beliau adalah pengamal polisi “tumbuk rusuh” yang bertaraf mega.

Ini tidaklah bermakna hanya beliau sahaja yang acap kali mengamalkan “tumbuk rusuk” namun hampir 99% pimpinan utama didalam UMNO dan Barisan Nasional mengamalkan polisi yang sama. Setakat ini tidak ada seorang pun didalam pengetahuan saya dari UMNO dan Barisan Nasional yang bersih daripada “tumbuk rusuk” walaupun dikalangan orang yang ada pengetahuan agama yang akan mendalam.

Pada pandangan saya, Isa Samad hampir pasti memenangi PRK N31 Bagan Pinang ini dengan bergaya hasil daripada taburan wang dan projek yang diberikan kepada warga Bagan Pinang dan juga bilangan undi pos (dari ATM dan Polis) yang pastinya 99% menjadi miliknya. Namun sepertimana yang semua sedia maklum, kemenangan Isa Samad amat ditakuti oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Mohammad Hassan). Mohammad Hassan mungkin berjaya menunjukkan sikap baik dan hormat kepada Isa Samad dihadapan media, namun ramai sedia maklum terdapatnya pertelingkahan yang agak serius diantara mereka berdua.

Mohammad Hassan pastinya ingin mengekalkan kuasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan seberapa lama yang boleh, namun jika Isa Samad menang di PRK N31 Bagan Pinang, tentunya beliau akan menuntut kerusi Menteri Besar yang umum tahu sebenarnya adalah milik Isa Samad. Inilah yang menyebabkan pertelingkahan dikalangan dua warga Negeri Sembilan. Malah terdapat puak-puak didalam UMNO/BN Negeri Sembilan yang sekarang ini bertelagah atas sebab dua pemimpin ini.

Apa yang pasti jika Isa Samad menang dalam PRK ini, beliau pastinya tidak mahu diberikan kuota EXCO Kanan oleh Menteri Besar kerana beranggapan ianya secara tidak langsung memalukan beliau.

PAS pula pada dasarnya tidak mampu menang dengan bergaya di PRK N31 Bagan Pinang melainkan mendapat mandat undi total secara maksimum daripada pengundi Cina dan India yang merangkumi lebih dari 30%. Jika PAS dapat mengekalkan undi dari pengundi Melayu sebanyak 25 peratus sahaja dan keseluruhan undi daripada kaum Cina dan India, pastinya PAS akan mendapat undi sebanyak 55% yang mana secara otomatisnya memberikan satu peluang yang agak baik kepada PAS dan seterusnya membolehkan PAS memenangi PRK N31 Bagan Pinang ini dengan undi mudah.

Kaum Cina dan India adalah raja dalam menentukan siapakan yang bakal dinobatkan sebagai ADUN N31 Bagan Pinang pada PRK kali ini. Jika bulat pilihan mereka kepada Pakatan Rakyat, maka pastinya PAS (Komponen Pakatan Rakyat) akan menjadi juara dalam pilihanraya kecil kali ini. Sebagai raja, kaum Cina dan India sekarang ini sedang menuntut hak-hak mereka ditunaikan dan pastinya kaum Cina dan India tidak mahu perasuah sebagai ADUN mereka.

Apa-apa pun keputusannya nanti, harapan saya agak ianya tidak akan menjadi satu jurang perbezaan diantara kaum di Malaysia ini. Rasuah (tumbuk rusuk) tidak wajar dijadikan budaya di Malaysia jika kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berjaya dimasa akan datang.

DUN Bagan Pinang : Pertarungan antara “Thalut” dan “Jalut” ?

Jika harta dan kebendaan yang menjadi ukuran sudah pasti calon PAS, Zulkifli Mohd Omar bukanlah tandingan Tan Sri Mohd Isa Samad , calon Umno di DUN N.31 Bagan Pinang.Semua orang tahu betapa kaya dan berpengaruhnya Tan Sri Isa Samad jika dibandingkan dengan Zulkifli Mohd bin Omar.

Bagaimanapun Al-Quran membimbing manusia bagaimana memilih kepimpinan. Isu kepimpinan tidak diukur dengan banyaknya harta dan pengikut seseorang.

Kisah pertarungan Thalut ( dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Saul ) dan Jalut ( dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Goliath ) yang diceritakan di dalam surah Al-Baqarah ( lihat Ayat 247 hingga 250 ) menjadi panduan yang amat berharga kepada kita tentang isu memilih kepimpinan.

Apabila Nabi Shamwil ( Samuel ) memaklumkan kepada rakyat Bani Israel bahawa Allah memilih Thalut sebagai pemimpin di kalangan mereka, rakyat Bani Israel menentang dengan menunggunakan alasan harta kebendaan. Bani Israel membantah pemilihan Thalut kerana beliau tidak dikurniakan harta yang banyak .

Meskipun Thalut tidak mempunyai harta yang banyak namun beliau diberi kelebihan yang lain iaitu kelebihan ilmu pengetahuan dan kekuatan fizikal ( tubuh badan ). Kedua-dua kekuatan tersebutlah akhirnya, dengan izin Allah , membawa kepada kejayaaan Thalut dan para pengikutnya ke atas Jalut.

DUN Bagan Pinang menemukan dua individu yang jika dilihat dari sudut kebendaan semata-mata, jelas memihak kepada calon Umno.

Isa Samad berharta tetapi perasuah. Zulkifli Omar tidak berharta namun bersih dari rasuah.

Empat tahun yang lepas Umno tidak benarkan Isa Samad bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno kerana beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah ( politik wang ) . Apabila Badan Disiplin Umno mensabitkan Isa sebagai perasuah , Umno tidak mempertikaikan. Umno setuju 100 peratus dengan keputusan Badan Disiplin Umno yang antara lain anggotanya adalah Ketua Hakim Negara sekarang , Tan Sri Zaki Tun Azmi.

Bagi menunjukkan kononnya Umno jijik dengan rasuah maka mana-mana pemimpin Umno yang terbabit dengan rasuah tidak dibenarkan diberi tanggungjawab kepimpinan kerana bagi Umno pada masa itu Isa Samad adalah pemimpin yang kotor dan jijik.

Label Isa Samad sebagai perasuah masih terlekat di seluruh anggota badan beliau. Selagi label itu ada Isa Samad adalah perasuah . Oleh itu Isa Samad masih kotor dan jijik.

Bagaimanapun dengan tiba-tiba Isa yang kotor dan jijik itu kini dipandang bersih oleh Umno. Maka Umno tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah memilih beliau sebagai calon yang mewakili Umno di Bagan Pinang.

Para pemimpin Umno seperti Najib, Muhyiddin, Hishamuddin dan ramai lagi yang empat tahun dahulu bersetuju bahawa Isa Samad adalah perasuah-jijik dan kotor- kini dengan tanpa segan silu menyokong beliau sebagai calon Umno di Bagan Pinang. Mereka bukan sahaja sokong malahan sanggup membela Isa. Kesalahan merasuah wang yang Isa lakukan dibela sebagai kesalahan melanggar etika sahaja. Maka Umno bersetuju Isa adalah pemimpin yang tidak beretika yang ditawarkan untuk memimpin rakyat Bagan Pinang.

Jelas Umno secara konsisten tidak konsisten dalam isu Isa Samad ini. Apabila Isa Samad hendak dipilih sebagai pemimpin dalam Umno beliau diketepikan kerana rasuah. Bagaimanapun apabila rakyat Bagan Pinang ingin memilih kepimpinan pada 11 hb Oktober ini pemimpin yang rasuah ini ditawarkan oleh Umno untuk mewakili rakyat Bagan Pinang. Mesej Umno kepada rakyat Bagan Pinang adalah jelas iaitu “ kami tidak mahu pemimpin rasuah dalam parti kami tetapi kami mahu pemimpin rasuah itu menjadi pemimpin orang-orang selain dari kami ( rakyat Bagan Pindang ).”

PAS menawarkan calon yang bersih dari rasuah. Meskipun tidak berharta sepertimana Isa Samad , calon PAS adalah seorang yang berpelajaran tinggi sehingga ke peringkat sarjana. Beliau sanggup meninggalkan gaji yang tinggi apabila mula-mula diarahkan oleh parti untuk bertanding buat kali pertama di Lenggeng. Meskipun kalah dan seterusnya hilang jawatan dan sedikit kesenangan beliau terus istiqamah dalam perjuangan PAS. Bakat kepimpinannya terserlah . Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan ketika umurnya masih muda.

Nama Zulkifli Mohd bin Omar yang diberikan oleh arwah ayahnya adalah sempena nama Allahyarham mantan pemimpin agung Pas iaitu Prof. Zulkifli Mohamad. Beliau memberitahu saya ayahnya amat mengagumi Prof Zulkifli Mohamad lantas menyemadikan nama tersebut kepada beliau. Arwah ayah beliau adalah antara pemimpin awal PAS Negeri Sembilan.

Zulkifli Mohd Omar adalah orang yang sangat rapat dengan rakyat khususnya rakyat yang ditindas tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Nama beliau amat harum di Broga ( yang majoritinya kaum Cina ) kerana tanpa penat lelah beliau berjuang bersama-sama penduduk mustad’afin di Broga bagi memastikan projek Insinerator ( loji pelupusan sampah ) dihentikan. Pada Pilihan Raya tahun 2004 ketika mana pengundi Cina tidak mengundi PAS , Zulkifli Omar masih menang dengan selesa di peti undi Broga. Kami bergurau memanggil beliau “ADUN Broga”.

Saya masih ingat sewaktu saya dan beliau balik dari Kota Bahru menaiki kereta beliau selepas menghadir muktamar PAS di sana, beliau tiba di rumahnya di Lenggeng jam 7.00 pagi. Sampai sahaja di rumah beliau , tanpa rehat, beliau terus pergi ke Putrajaya bersama-sama penduduk Broga bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.

Runah beliau adalah “markaz” penduduk Broga . Saya nampak betapa selesanya rakyat Broga yang berbangsa Cina setiap kali bersama-sama beliau. Perjuangan beliau dengan rakyat Broga bukan melibatkan hari tetapi memakan masa beberapa tahun. Beliau habiskan segalanya – wang ringgit , masa, tenaga – bagi membantu rakyat miskin dan tertindas di Broga. Dan tidak pernah sekali pun beliau mengeluh dengan apa yang beliau lakukan tersebut.

Jiwa dan denyutan nadi Zulkifli adalah bersama rakyat setiap masa. Beliau adalah teman rakyat tertindas. Rumah beliau adalah pejabat rakyat tertindas. Beliau adalah pemimpin yang tidak pernah mengatakan tidak kepada segala aduan rakyat.

Rakyat Bagan Pinang yang bijaksana tentu tidak mahu lepas peluang mempunyai pemimpin seperti Zulkifli Mohd Omar sebagai wakil mereka .

Tuesday, October 6, 2009

Dakwaan Kelantan mundur, Idris jawab Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membandingkan jumlah banglo Melayu di Kuala Krai dan di Pagoh terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan kononnya Kelantan adalah negeri yang mundur, kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

"Saya percaya Muhyiddin sebelum ini berulang alik ke Kuala Krai untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Manek Urai.

"Saya harap dia ada mata untuk melihat berapakah jumlah banglo Melayu di sekitar pekan Kuala Krai dan sebagai wakil rakyat Pagoh, cuba kira berapa banyak pula banglo Melayu di sekitar pekan Pagoh. Saya tidak mahu sebut Pasir Mas kerana bimbang tidak padan dengan Pagoh."

"Selepas itu, baru bercakap tentang soal pembangunan di Kelantan," kata beliau.

Idris juga menjemput Muhyiddin dan juga calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang turut memperkecilkan pembangunan di Kelantan melawat negeri itu.

"Tak perlu susah-susah buat kajian sana-sini. Muhyiddin dan Isa bawa payung dan kerusi, selepas itu duduk depan Tesco di Kota Bharu untuk melihat sendiri kuasa beli rakyat di negeri itu."

"Setiap hari minggu Tesco Kota Bharu memungut lebih RM1 juta sehari sehingga ia bercadang hendak menambahkan cawangannya di Kelantan sedangkan Tesco di Kuantan, di negeri perdana menteri sendiri, telah ditutup akibat masalah ekonomi setempat.

"Kalau Kelantan mundur seperti yang digambarkan oleh Muhyiddin dan Isa, rakyatnya tidak akan mempunyai kuasa beli sedemikian rupa," kata beliau.

Menurut Idris, beliau sengaja tidak mahu mengemukakan statistik untuk menyedarkan Muhyiddin kerana beliau tidak yakin Timbalan Presiden Umno itu sanggup mendedahkan statistik tentang kadar kemiskinan di negara ini.

"Jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat pada 3 September 2007 menunjukkan dengan jelas bahawa bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar di Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak ternyata lebih besar berbanding negeri Kelantan."

"Muhyiddin buat apa ketika statistik itu dinyatakan di Dewan Rakyat? Tidak datang ke dewan? Tidur?" beliau mempersoalkan.

Berdasarkan jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat itu, Sabah mempunyai bilangan isu rumah dalam kategori miskin tegar yang tertinggi iaitu 32,297, diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) Kedah (4,938) dan Kelantan (3,550).

"Ketika perdana menteri memberikan statistik itu, Terengganu, Perak dan Kedah semuanya berada di bawah pemerintahan BN.

"Lebih buruk lagi, statistik itu juga menunjukkan BN sengaja membiarkan Sabah dan Sarawak mundur sedangkan rakyat Sabah dan Sarawaklah yang paling setia dengan BN," kata Idris.

Beliau walau bagaimanapun yakin rakyat di Bagan Pinang tidak akan terpengaruh dengan sikap bodoh sombong kedua-dua pemimpin itu

BAGAN PINANG: PERSOALAN UNTUK ISA SAMAD

Isa kena jawab soalan rakyat

Ekoran daripada Barisan Nasional mengemukakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon yang bertanding berdepan dengan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS, maka banyak persoalan dapat dibangkitkan dan memerlukan jawapan. Penjawab utama semestinya Mohd Isa sendiri selaku ‘tuan diri,’ kerana rakyat inginkan jawapan yang pasti. Kepastian itu adalah pemutus untuk rakyat bertindak sama ada mahu mengundi beliau atau menolak beliau. Apa yang pasti, kesemua soalan adalah mencabar nilai-nilai integriti dan imej bersih (putih) atau kotor (hitam) peribadi Mohd Isa selaku calon pilihan raya kecil. Fakta dan persoalan yang dianalisis berikutnya merupakan titik-titik yang harus dilihat oleh pengundi secara khusus.

Ramalan Mahathir, Mohd Isa tidak menang

Dr. Mahathir meramalkan dalam blognya, di Bagan Pinang, saya percaya siapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang. Namun, realitinya imej UMNO sekarang sudah banyak tercemar dengan politik wang semasa pemilihan Majlis Tertinggi. Boleh dikatakan hampir semua yang dipilih terlibat dengan rasuah. Sesungguhnya orang ramai tidak lagi hormati UMNO dan besar kemungkinan mereka tidak akan undi calon UMNO dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Pertikaian pencalonan Mohd Isa Kata Dr. Mahathir, “jangan calonkan Mohd Isa Samad.” Imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Mohd Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

Adakah rakyat sedia menanggung segala dosa Mohd Isa yang sudah melanggari hukum UMNO itu sendiri?

Tengku Razaleigh pun menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. Korup bermakna ‘pengamal rasuah,’ apakah Mohd Isa tidak korup?

Mohd Isa sebenarnya ‘perasuah’

Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun lalu.

Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam pemilihan UMNO yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan. Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO ini benar – benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau seharusnya berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga pernah mendesak agar beliau meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.

Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;

11. Jika- (b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya;

dia adalah melakukan suatu kesalahan.

Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa; 16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan-

(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan (b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Malangnya UMNO telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan Negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal-soal peribadi UMNO.
Amat jelek rasanya bila Wilayah Persekutuan diwakili oleh seorang Menteri yang jelas mengamalkan rasuah. Baru – baru ini juga, beliau telah kemaruk kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan cuba mengurangkan kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perundangan Kerajaan Tempatan.

Perbuatan beliau ini adalah satu perkara yang amat memalukan UMNO kerana status beliau bukanlah Ketua Cawangan, beliau adalah pemimpin tertinggi Nombor Tiga dalam UMNO. Beliau gagal menunjukan sikap yang baik dan seharusnya beliau keluar dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dikeluarkan dari senarai ahli Kabinet.

Rasuah kerana nak menang

KEPUTUSAN pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 23 September 2004:

1. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - 1,507 undi
2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - 1,329 undi.
3. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,234 undi
4. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib - 1,177 undi.
5. Dato’ Mustapa Mohamed - 1,059 undi
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 690 undi
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 651 undi

Namun, kedudukan pencalonan adalah berbeza. Susunan populariti pencalonan adalah sepertimana berikut:

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 159 pencalonan
2. Datuk Seri Mohd. Ali Rustam – 119 pencalonan
3. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib – 88 pencalonan
4. Dato’ Mustapa Mohamed – 66 pencalonan
5. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – 37 pencalonan
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 35 pencalonan
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 25 pencalonan

Namun kemenangan itu sekejap sahaja kerana pada 25 Jun 2005 beliau dijatuhkan hukuman gantung dan hilang haknya sebagai Naib Presiden selama 6 tahun. Laporan Utusan Malaysia (26 Jun 2005) berikut adalah menyatakan tentang hukuman tersebut.

Kenyataan akhbar sebelum ini (pada 24 Jun 2005) mengesahkan Mohd Isa dipanggil membuat penjelasan berhubung dakwaan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin UMNO. Maka, keputusan penggantungan Mohd Isa dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam di Menara Datuk Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Ahmad Rithauddeen adalah tepat. Surat penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, kelmarin (24 Jun 2005).

Badan Pencegah Rasuah pembela Mohd Isa

Walaupun, Mohd Isa telah disabit bersalah sebagai perasuah oieh Lembagan Disiplin UMNO, namun BPR tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap Mohd Isa. Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Meskipun, akta berkenaan memperuntukkan bahawa "Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh-

(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;

(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau

(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu."

Adakah rakyat boleh menerima hakikat ini?

Calon kitar semula

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak tanggapan pembangkang bahawa beliau adalah calon 'kitar semula' tetapi sebaliknya berkata, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Persoalannya, rekod peribadi Mohd Isa adalah tidak cemerlang. Kini dianggap cemerlang pula bila dicalon di Bagan Pinang. Rekod perkhidmatan beliau (Menteri Besar sejak April 1982–Mac 2004; Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004–2005; Jun 2005 dilucut jawatan kerana rasuah) adalah dinamakan kitar semula (recycle) apabila diberi peluang bertanding semula selepas dihukum kerana rasuah.

15 isu mendera rakyat

Apakah kemenangan Mohd Isa nanti akan menyelesaikan masalah rakyat di Bagan Pinang, ataupun setidak-tidaknya dapat mengubati penderitaan rakyat akibat salah urus kerajaan Barisan Nasional. Antara isu tersebut ialah:
1. KENAIKAN HARGA PETROL
2. KOS HIDUP RAKYAT YANG TINGGI
3. KRISIS POLITIK DIPERAK
4. SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA BERPOLITIK
5. BN/UMNO MEMPERALAT MAHKAMAH
6. KES RASUAH MCA MELIBATKAN PORT KLANG FREE ZONE
7. POLIS GAGAL BERKECUALI
8. MEMILIH MOHD ISA SAMAD MEWAKILI IMEJ PERASUAH POLITIK WANG
9. MEDIA ARUS PERDANA BERAT SEBELAH
10. KONSPIRASI KES LIWAT ANWAR IBRAHIM
11. TERUS MENGEKAL AKTA ZALIM MOHD ISA
12. BN YANG TUNGGANG-LANGGAN – MCA, MIC & PPP BERPECAH
13. SISTEM PILIHAN RAYA YANG DIRAGUI KETELUSANNYA
14. SEMANGAT PERKAUMAN YANG ANTI PERPADUAN
15. SLOGAN SATU MALAYSIA (1Malaysia) MENGGADAI HAK ANTARA KAUM

Pengundi pos

Jika ingin menang, perlu pandang berat untuk menarik undi pos. Apa yang berlaku sejak beberapa pilihan raya kecil lepas ialah angin perubahan sedang berlaku di kalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, yakin PAS mempunyai peluang yang cerah di Bagan Pinang.

Tersebar pula cerita-cerita di belakang tabir bahawa sebahagian pegawai tentera sudah kecewa dengan Zahid Hamidi selaku menteri yang gagal melayani secara terbaik kehendak pasukan tentera. Begitu pula, status kemewahan hidup keluarga tentera yang masih dalam kedhaifan. Di samping janji retorik Najib yang ingin menjadikan Port Dikcson sebagai Bandar Tentera tidak lebih daripada omongan pancing undi. Kerana mereka tahu, yang bakal menikmati untung di sebalik projek itu adalah kroni dan bukannya warga tentera atau polis. Apakah jaminan Mohd Isa kedudukan tentera atau polis selaku pengundi pos akan terbela dengan seadil-adilanya?

Mohd Isa umpama dinosur

Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa menjadi presiden parti, mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan seperti seekor dinosur – yang sudah tidak relevan dengan perubahan semasa. Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi. Mengungkapkan maksud yang sama, Najib pula mempopularkan perkataan Melayu glokal agar pemimpin Melayu terus maju ke hadapan. Maka, keputusan mengangkat Tan Sri Mohd Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan Umno parti yang tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Pencalonan Tan Sri Mohd Isa, mencetuskan persepsi betapa Umno/BN telah undur ke belakang dan memastikan imej Umno/BN bakal terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah yang tidak relevan dengan perubahan masa kini.

Pengundi penegak keadilan

Jika demikian, rakyat adalah penegak keadilan di DUN Bagan Pinang perlu membuat keputusan terhadap Mohd Isa atas kesalahan lima tahun lampau. Oleh itu, hari mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti adalah sidang mahkamah yang semua pengundi merupakan hakim-hakim politik yang bertanggungjawab memikul amanah menegakkan suara rakyat. Harapnya, pengundi Bagan Pinang akan menjadi penegak keadilan hakiki untuk menerima mahupun menolak pemimpin yang sudah tidak bersih kerana amalan rasuah politik wang.

Sama-sama menjulang demokrasi

Pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang adalah menuntut 13,644 orang pengundi Melayu, Cina dan India serta anggota tentera dan polis yang berkuasa melalui satu undi masing-masing bertindak menjulang demokrasi.

Demokrasi yang boleh difahami juga sebagai pemutus keadilan yang seadil-adilnya hendaklah merestui hanya pemimpin yang bersih di mata rakyat. Pengundi Bagan Pinang haruslah berhati mulia, bersih, ikhlas dan tulus hati serta bermoral tinggi. Sebelum mengundi haruslah mengingati amanah Tuhan Yang Esa, memikul tugas khalifah untuk melantik wakil rakyat yang tiada rekod dosa-dosa di sisi tuhan, rakyat dan negara serta tanah air. Maka ruang demokrasi Bagan Pinang sedia terbentang peluang menegakkan tiang-tiang menjulang demokrasi keadilan yang hanya serasi dengan penerajunya (calon yang akan dipilih) ialah seorang tokoh yang bersih tanpa dosa-dosa.

Perang masa depan dengan zaman silam di Bagan Pinang

Nampak sangat, dengan memilih Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang, gabungan parti itu memang cukup terdesak untuk menang, melalui apa jua cara, pada 11 Oktober nanti. Hanya Isa dilihat mampu menjamin kemenangan BN buat pertama kali dalam siri lapan pilihan raya kecil sejak 8 Mac 2008 di Semenanjung, meskipun ramai orang menggeleng kepala dengan keputusan pimpinan tertinggi Umno itu.


Ia juga mendedahkan amalan buruk dalam Umno, iaitu memboikot jentera kempen parti sendiri jika calon pilihan tidak tersenarai, masih berterusan.

Semua maklum bahawa Isa bukan pilihan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin namun kedua-duanya sedia berkompromi asalkan BN menang. Malah, veteran Umno seperti Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah sejak awal mengingatkan bahaya besar menunggu parti berkenaan jika memilih tokoh yang terbukti mengamalkan politik wang seperti Isa.

Bagaimanapun, ia tidak dihiraukan ahli-ahli Umno. "Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini. Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," kata Dr Mahathir kepada Bernama.

"Memang sukar PAS di menang di Bagan Pinang terutama kerana besarnya undi pos. Kalau menang, ia satu bonus istimewa buat PAS, yang bakal menghancurkan terus imej BN," kata seorang profesor sains politik sebuah universiti tempatan. "Tapi misi PAS dan Pakatan Rakyat harus berbeza daripada Umno-BN. PAS harus melihat kesan jangka panjang, yakni pilihan raya umum ke-13 nanti. Biarkan Umno dengan keghairahan jangka pendek, bermati-matian sekadar untuk menang pilihan raya kecil ini walaupun reputasinya rosak teruk menjelang pilihan raya umum akan datang."

"Sebenarnya banyak hal yang lebih penting, yang perlu segera ditangani pimpinan Pakatan, selain berusaha memenangi Bagan Pinang. Sebagai parti yang diharap menerajui perubahan, PAS perlu membersihkan dirinya daripada sebarang persepsi buruk rakyat. Kalau pun hendak bergaduh sesama parti dalam Pakatan, biarlah melibatkan isu-isu besar, seperti usaha membanteras rasuah dan mempromosi keadilan sejagat, bukan perkara remeh-temeh yang boleh dikaitkan dengan kepentingan diri atau kelompok masing-masing," panjang juga profesor berkenaan meleteri saya bila diminta mengulas situasi di Port Dickson.

Beliau mahu pimpinan tertinggi PAS lebih agresif dan proaktif memberikan respons terhadap tuntutan perubahan yang terbukti gagal ditangani Perdana Menteri. "Jangan menyerahkan hanya kepada pimpinan peringkat pertengahan untuk bersuara lantang menyuarakan hak rakyat," tambahnya.

Selain itu, dengan memilih Isa, jelas Najib begitu desperate untuk menang dan melupakan beliau terhadap dakwaannya yang mahu memberikan tumpuan utama dalam pemerintahannya dan gembar-gembur KPI-nya untuk memerangi rasuah.

Sudahlah akhir-akhir ini operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berperanan sebagai agen BN untuk memporak-peranda serta akhirnya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat, seperti yang berlaku di Perak dan cuba diusahakan dengan giat di Selangor.

Tepat sekali kata Lim Kit Siang bahawa pertarungan di Bagan Pinang adalah antara politik masa lalu dengan politik masa depan, yakni antara politik lama yang dipenuhi rasuah, kezaliman dan kongkongan dengan politik baru yang mengungguli integriti, keadilan dan kebebasan.

Memilih Isa bermakna meletakkan Umno-BN sama dengan kedudukannya pada pilihan raya 8 Mac 2008, sekali gus mengukuhkan tanggapan rakyat, khususnya generasi muda dan terpelajar, bahawa sememangnya Umno-BN memang terlalu sukar untuk berubah walaupun sudah ada usaha untuk berbuat demikian.


Memburukkan lagi keadaan, pimpinan Umno termasuk Isa sendiri seperti mahu bermain-main dengan istilah. Bagi mereka, sabit dengan kesalahan politik wang hanya bercanggah dengan kod etika pemilihan parti tetapi tiada kena mengena dengan jenayah rasuah. SPRM pula senyap seribu bahasa walaupun Ketua Pesuruhjayanya, Ahmad Said Hamdan pernah menegaskan bahawa amalan membeli atau menjual undi, yang disebut politik wang itu sebenarnya adalah satu kesalahan rasuah.

Walaupun orang ramai melihatnya sebagai politik wang tetapi kepada SPRM ia adalah rasuah. Tegasnya, SPRM akan mengambil tindakan terhadap mana-mana parti politik yang terlibat dalam rasuah. Namun, realitinya, siapalah yang masih menaruh harapan kepada SPRM untuk membebaskan negara tercinta ini daripada amalaan keji itu?

Dedahkan manipulasi undi pos

Oleh Penarik Beca

Dalam pilihan raya 1999, Datuk Seri Najib Tun Razak menang dengan majoriti hanya 241 undi sahaja. Itu pun selepas dibawa masuk tambahan 2,400 undi - iaitu undi pos yang entah dari mana datangnya.Kalau tak kerana 2,400 undi pos itu, Najib mungkin berjalan tak pakai kasut dan bercakap serta bersyarah sorang-sorang di sekitar Pekan dan Kuantan.

Dalam persempadanan semula 2003, Kem Batu 10, Kuantan telah dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan. Akhirnya, dalam pilihan raya 2004, setelah dihalia-haliakan kawasan Parlimen Pekan (maksudnya peta kawasan Parlimen sesetengahnya mengalahkan rupa halia yang membonjol sana-sini dikerjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya - SPR), Najib menang dengan majoriti majoriti 22,922 undi. Wow!

Untung sungguh Najib kerana lebih 10,000 undi sudah dianggap pasti akan memberi kemenangan kepada beliau dari Kem Tentera Batu 10 itu.

Harap betulkan skrin anda jika masih tak nampak apa kelebihan undi pos kepada Barisan Nasional (BN).

Di Bagan Pinang, berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa, 2 KAD Kem Sunggala, IJED Kem Kg Sawah, IPDA Port Dickson, 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa, 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah, Sekolah Pertukangan Perintis dan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI) Port Dickson.

Mengapa undi pos menjadi masalah?

Sila baca berita Harakah 3/3/08 bertajuk "Undi pos cuma relevan ketika darurat", berita Malaysiakini hari ini bertajuk "Bekas sarjan akui palsukan undi pos" dan berita Harakah hari ini bertajuk "Undi pos diguna menangkan BN sejak PRU Pertama 1959".

Nak lagi cerita fasal undi pos? Di Kuala Lumpur, BN tertungging hangit di semua kerusi yang ditandinginya kecuali di Setiawangsa. Kenapa, 26 peratus pengundi di situ adalah pengundi pos. Bukan sahaja wujud begitu banyak undi pos di situ, malah wujud pula perkara-perkara mencurigakan.

Monday, October 5, 2009

Bagan Pinang petanda keputusan PRU 13

Hari penamaan calon pada 3 Oktober di Bagan Pinang, Negri Sembilan menyaksikan pertandingan satu lawan satu diantara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pakatan). BN diwakili oleh bekas MB Negri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Manakala Pakatan pula diwakili oleh calon dari PAS, Zulkefly Omar.

Ribuan penyokong kedua-dua pihak membanjiri pejabat daerah Port Dickson sejak awal pagi bagi memberikan sokongan kepada calon-calon mereka. Pemimpin-pemimpin BN dan Pakatan tidak ketinggalan untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Bagan Pinang dimenangi oleh BN dalam pilihanraya umum (PRU) ke 12 lalu dikawasan parlimen Teluk Kemang yang tumbang ketangan calon PKR, Datuk Kamarul Baharin. Ertinya, kerusi Bagan Pinang boleh dikatakan kubu kuat kepada BN.

Manakala Pakatan turut mempunyai kelebihan oleh kerana kerusi Parlimen Teluk Kemang berada dalam kekuasaan mereka. Dalam sejarah pilihanraya kecil (PRK) selepas PRU 12, Pakatan hanya berjaya merampas kerusi BN sekali sahaja di kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Selebihnya, mereka hanya mempertahankan kerusi yang dimenangi seperti di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir. Manakala di Batang Ai pula, Pakatan tewas.

PRK kesembilan selepas PRU 12 yang kali ini berlangsung di Negri Sembilan ini akan menjadi penentu kepada halatuju politik Malaysia pada masa akan datang.

Bagi BN, mereka mempunyai banyak sebab untuk memenangi kerusi Bagan Pinang. Pertama, semenjak Datuk Seri Najib Razak naik sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam, BN hanya memenangi satu PRK iaitu di Batang Ai, Sarawak.

Selebihnya, BN tewas seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Ketika masih timbalan perdana menteri, Najib menggepalai BN dalam dua PRK iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dimana menyaksikan BN tewas dikedua-dua kerusi. Lebih malang lagi, kerusi Kuala Terengganu yang sebelum ini disandang oleh calon BN, dirampas oleh PAS.

Dalam ertikata lain, Najib dilihat sebagai seorang ketua yang tidak mampu memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihanraya walaupun umum mengetahui BN mempunyai banyak kelebihan dalam mana-mana pilihanraya oleh kerana jentera kerajaan dan media arus perdana bersama mereka.

Jika BN tewas di Bagan Pinang, penyokong-penyokongnya akan hilang keyakinan kepada kepimpinan Najib dan tidak mustahil lebih ramai lagi “orang-orang BN” yang akan berhijrah ke Pakatan Rakyat.

Kedua, BN hilang kuasa dua pertiga di DUN Negri Sembilan dalam PRU 12 lalu. Jika tewas kali ini, kerusi Pakatan akan bertambah sekaligus akan mengoncangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Mohammad Hassan.

BN hanya mempunyai kelebihan enam kerusi di DUN berbanding Pakatan dimana BN mempunyai 21 kerusi manakala Pakatan mempunyai 15 kerusi. Jika tewas, kerusi Pakatan dalam DUN akan bertambah menjadi 16 dan ini bahaya kepada BN dalam PRU akan datang.

Ketiga, BN terutamanya Umno yakin undi orang-orang Melayu akan sentiasa memihak kepada mereka. Oleh kerana di Bagan Pinang terdapat ,8,577 atau 62.77 peratus pengundi Melayu, kekalahan di Bagan Pinang akan memberikan signal bahawa orang-orang Melayu sudah mula meninggalkan BN.

Keempat, Selatan Semenanjung Malaysia adalah kawasan kubu kuat Umno. Semenjak zaman berzaman Umno dan BN kuat di Negri Sembilan, Melaka dan Johor. Amat sukar bagi parti pembangkang untuk menang dalam pilihanraya di negeri-negeri berikut. Jika Pakatan menang di Bagan Pinang, ertinya kekuatan Umno dan BN di Selatan Semenanjung Malaysia telah dirobek. Ini akan memberikan kekuatan kepada Pakatan untuk terus mengasak Selatan Semenanjung Malaysia.

Sebab itu Umno dan BN tidak mempunyai pilihan selain meletakkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka dalam PRK Bagan Pinang walaupun bekas MB Negri Sembilan itu pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah politik dalam pemilihan agung Umno satu ketika dahulu.

Telah diketahui umum, MB Negri Sembilan, Mohammad Hassan tidak selesa Isa dijadikan calon. Pada peringkat awal, ketika Umno Teluk Kemang mengumumkan bahawa mereka hanya meletakkan satu nama iaitu Isa, beliau bertegas mahukan tiga nama calon dari bahagian tersebut.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak awal-awal lagi menentang tindakan meletakkan Isa sebagai calon BN di Bagan Pinang. Apabila Umno dan BN sebulat suara untuk meletakkan Isa, Dr Mahathir mengambil sikap untuk tidak turun berkempen untuk PRK kali ini.

Umno Teluk Kemang, sejak awal-awal lagi telah sebulat suara untuk meletakkan Isa sebagai calon mereka. Jika Umno Pusat mempunyai calon lain, dikhuatiri episod sabotaj dalaman akan berulang seperti apa yang berlaku di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Jadi, risiko inilah tidak mahu diambil oleh kerana objektif Umno kali ini hanya satu, iaitu menang. Pengaruh Isa di Bagan Pinang sangat kuat dikalangan orang-orang Melayu. Jika Isa tidak diletakkan sebagai calon, dikhuatiri beliau dan pengikut-pengikutnya melakukan sabotaj kepada BN.

Dari segi jangkamasa panjang, tindakan meletakkan Isa akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau ingin membersihkan BN dan melakukan reformasi. Ini juga akan menjadi “modal besar” Pakatan untuk menyerang BN.

Bagi PAS dan Pakatan pula, mereka “underdog” di Bagan Pinang. Dalam ertikata lain, tekanan yang mereka rasakan tidak seberat Umno dan BN. Mengurangkan majoriti yang dimenangi BN sudah menjadi satu kemenangan kepada Pakatan. Oleh yang demikian, PAS dan Pakatan lebih tenang untuk berkempen kali ini.

Tambahan lagi, Zulkefly, calon yang diletakkan oleh Pakatan tidak mempunyai “baggage sejarah” hitam sepertimana yang dipunyai oleh Isa. Pengalaman di PRK Permatang Pasir telah menyaksikan Umno dan BN telah menghabiskan banyak masa untuk menjawab serangan Pakatan yang membangkitkan isu skandal penyelewengan calon mereka, Rohaizat Othman.

Apakah di Bagan Pinang juga episod yang sama akan berulang?

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terdapat 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos. Sejak awal lagi PAS telah membangkitkan isu pengundi pos. Jumlah 4,604 pemilih merupakan satu jumlah yang besar.

Tidak banyak yang boleh dilakukan lagi buat masa kini dalam isu undi pos ini oleh kerana sistem pengundiannya sendiri tidak menjamin “kerahsiaan” pengundi-pengundinya apabila salinan kad ID pengundi pos perlu dikepilkan sekali bersama kertas undi. Dari segi perjalanan proses pengundian pos, tidak ada banyak masalah. Semua pihak yang bertanding dibenarkan untuk memantau.

Apa-apa pun 11 Oktober ini merupakan satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh peminat politik Malaysia oleh kerana Bagan Pinang akan merubah lanskap politik negara. Kemenangan BN atau Pakatan akan memberikan indikator terbaru dalam politik Malaysia.

Selamat mengundi diucapkan kepada 13, 664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang. Kepada petugas-petugas BN dan Pakatan, rayakanlah demokrasi dengan bersopan dan bertamadun.

Selamat berpolitik wang, Umno!

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, imej Umno akan terjejas jika Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Ini kerana, langkah itu akan menyebabkan Umno dianggap tidak serius dalam memerangi politik kerana masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau yang pernah menegaskan di dalam blognya bahawa "Umno sudah jadi parti perasuah".

Dr Mahathir juga menekankan supaya calon yang bebas politik wang dipilih dalam pilihan raya tersebut.

Isa digantung keahliannya di dalam Umno pada 24 Jun 2005 lalu. Akhbar melaporkan, beliau "didapati bersalah terlibat dalam politik wang".

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menyanggah pandangan Dr Mahathir itu.

Kenyataan beliau dilihat menimpakan tamparan yang hebat kepada pendirian Dr Mahathir yang menekankan pemilihan calon yang bebas politik wang.

ImageDari Paris, Bernama melaporkan Najib menegaskan bahawa Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara.

"Ini bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini cuma kesalahan teknikal parti," katanya semalam dalam reaksi terhadap soalan dari salah seorang pelajar dalam pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Perancis.

Pelajar berkenaan mempersoalkan pemilihan Isa sebagai BN calon di Bagan Pinang.

Whitewashing atau pembersihan yang dibuat sendiri oleh Najib ke atas Isa itu bukan sahaja menghantar kelegaan yang membelai keinginan dan cita-cita bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu untuk kembali berpencak di dalam arus perdana politik Umno dan BN, malah ia sekaligus menyimbah sinar harapan baru kepada semua penagih politik wang di dalam Umno.

Najib telah membersihkan Isa. Dengan tegas beliau mengisytiharkan bahawa apa Dr Mahathir dakwa sebagai "didapati bersalah" itu sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara".

Ia sekaligus bermakna, "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara" di sisi Najib.

Hari ini, penagih-penagih politik wang di dalam Umno boleh berpesta-pora menyambut 'whitewashing' Najib ke atas apa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang". Maklumlah, "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara".

Pengiktirafan Najib bahawa politik wang "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara" dengan sendirinya bermakna tindakan ahli-ahli Umno mengadakan demonstrasi 30 Januari lalu membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang adalah tindakan yang betul.

Bukankah Perdana Menteri menegaskan bahawa kesalahan Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara"?

ImageMengapa pula SPRM bertindak membanteras amalan yang Perdana Menteri sahkan sebagai "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara"?!

Ia juga dengan sendirinya bermakna bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Norza Zakaria boleh menempelak SPRM: "Dengar sini! Perdana Menteri menegaskan bahawa Isa tidak melakukan kesalahan 'daripada segi undang-undang negara'.

"Adakah berbeza apa yang saya lakukan dengan apa yang telah dilakukan oleh Isa?

"Jika tidak ada beza, maknanya saya tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara sebab Perdana Menteri sendiri menegaskan Isa tidak melakukan kesalahan 'daripada segi undang-undang negara'".

13 Mac lalu, Norza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan Umno.

Halimi Kamaruzzaman juga boleh mengambil tindakan terhadap SPRM setelah beliau disiksa dengan kejam oleh pegawai-pegawai suruhanjaya itu.

Dalam siasatan ke atas Halimi yang disyaki terlibat dalam politik wang, beliau mendakwa telah dipukul di bahagian kepala, perut dan bahu bertubi-tubi oleh tiga pegawai SPRM, ditendang di bahagian rusuk dengan lutut, dipaksa telanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan bogel, dicekik sehingga tidak bernafas, ditolak ke dinding, ditendang ketika dipaksa berguling-guling atas lantai, diketuk kepala dengan bakul sampah berkali-kali dan diugut akan diletakkan puntung rokok pada kemaluan.

Malah beliau mendakwa, mereka juga mengugut akan menangkap dan membogelkan isterinya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakarialah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwa beliau dalam satu aduan polis.

Dengan pengisytiharan Perdana Menteri bahawa apa yang telah dilakukan oleh Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara," Halimi boleh mempersoalkan, apa bezanya apa yang beliau lakukan dengan apa yang telah dilakukan oleh Isa?

Jika tidak ada beza dan Perdana Menteri pula mengisytiharkan ke seluruh dunia bahawa apa yang dilakukan Isa "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara," maknanya Halimi juga tidak bersalah.

Jika tidak ada beza antara apa yang dilakukan oleh Isa dan Halimi, mengapa SPRM menyiksa orang yang tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara?

Kepada ahli-ahli Umno, selamat berpolitik wang kerana Perdana Menteri yang juga Presiden kamu sendiri menyatakan bahawa Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" hakikatnya melakukan sesuatu yang "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara

BAGAN PINANG: JADILAH PENGUNDI BERMAKLUMAT

Apa pun pendirian pengundi terhadap pengundian pilihan raya kecil Bagan Pinang yang bakal dibuat mestilah berpandukan maklumat. Maklumat asas yang perlu bagi pengundi ialah:

1. senario politik semasa yang membawa kepada kesan politik masa depan pengundi.
2. mengenali calon yang bakal membawa kehendak rakyat dan nasib generasi mendatang.
3. maruah parti diwakili calon sama ada dasarnya adalah jelas dan mesra pengundi atau sebaliknya.

Pertama, senario politik semasa - negara telah terhumban ke dalam jeriji besi ekonomi akibat silap laluan dan kelekaan pemimpin terus membazirkan sumber negara sehingga memberi kesan yang mendera rakyat - dengan harga barang, kos hidup meningkat dan putaran ligat ekonomi yang tidak stabil - mencetuskan nilai-nilai buruk dan imej kotor para pemimpin yang sedang mengemudi kerajaan. Senario yang berlaku kini, Pakatan Rakyat~Barisan Nasional, menunjukkan prestasi baik berpihak kepada Pakatan Rakyat - memenangi 7 daripada 8 pilihan raya kecil.

Kedua, calon yang bertanding hendaklah benar-benar memahami dan beriltizam dengan kehendak rakyat serta mempunyai rekod baik yang tidak pernah mempersendakan amanah dan harapan rakyat - bebas dari amalan kontradiksi hukum dan mulia hati budinya serta berprinsip membina perkhidmatan terbaik selari dengan dasar parti yang meyakinkan. Realiti calon Barisan Nasional adalah sehingga kini gagal menampilkan tokoh yang komited dengan aspirasi dan kehendak rakyat, malah mengutamakan nilai-nilai kronisme dan sanggup melakukan recycle imej yang sudah tidak laku di mata rakyat.

Ketiga, maruah parti yang terbaik dengan kepimpinan yang bersih, diurus dengan mantap serta tidak terpalit dengan imej buruk mahupun rakan kerjasama yang tetap untuh membina politik negara ke arah lebih demokratik. Realiti maruah adalah integriti yang telus, bersih dan diyakini rakyat. Sekali terpalit dengan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan kezaliman secara langsung telah meruntuhkan nilai-nilai integriti. Maka maruah parti itu akan tercorot ke lembah hitam yang susah dipulihkan lagi - sedia dikuburkan.

Ketiga-tiga piawai maklumat tersebut adalah nilai-nilai 'kesucian politik' masa kini yang jarang bagi pengundi menilainya sebagai kuasa pemutus undi yang tepat. Persoalannya, bersediakah nilai-nilai 'kesucian politik' itu diamalkan oleh pengundi Bagan Pinang.

Semuga Tuhan Yang Esa mengilhamkan nilai-nilai 'kesucian politik' yang bakal memetakan pemikiran dan sikap pengundi Bagan Pinang; agar pengundi hanya memilih calon yang mendukung senario politik yang menjamin masa depan politik hijau dan lestari.

Pengundi bukan Melayu penentu di Bagan Pinang?

Belumpun Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil negeri Bagan Pinang, sudah timbul cakap-cakap BN akan mengekalkan kerusi itu, kerana ia merupakan kubu kuatnya selama ini.

Kini, dengan Mohd Isa dilihat sebagai calon favorit rakyat Bagan Pinang, tidak syak lagi BN akan mengekalkan kerusi itu tanpa banyak masalah. Namun, gabungan memerintah tidak memandang ringan pilihan raya kecil ini.

Persoalannya sekarang ialah sebesar mana majoriti buat BN kali ini, dan siapa di kalangan pengundi akan menentukan seseorang calon itu menang besar atau sebaliknya. Buat penganalisis politik Datuk Cheah See Kian, undi bukan Melayu adalah genting dalam pilihan raya kecil ini.

"Bagi saya, penentu ialah pengundi bukan Melayu, 20 peratus pengundi India dan 10 peratus undi Cina. Undi Melayu kemungkinan berpecah, tetapi saya lihat mungkin kelebihan 60 peratus buat Mohd Isa," katanya.

Mohd Isa, 60, anak tempatan yang pernah berkhidmat sebagai menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982, ditentang oleh Pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar, dari Lenggeng.

Terdapat 13,664 pengundi berdaftar 9,060 pengundi biasa dan 4,604 pengundi pos majoriti pengundi Melayu yang mewakili 62.8 peratus, diikuti oleh India (20.7 peratus), Cina (11 peratus) dan lainlain (5.5 peratus).

Cheah berkata Umno mempunyai kirakira 2,300 anggota yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan itu dan BN dijangka meraih antara 5,000 dan 6,000 daripuda jumlah keseluruhan undi Melayu, berbanding kirakira 4,000 pengundi Melayu untuk PAS.

Malahan, undi pos kir-akira 4,600 dikira pertaruhan selamat buat BN. Undi bukan Melayu adalah penting oleh kerana trend lepas di beberapa pilihan kecil lain menunjukkan mereka menyebelahi pakatan pembangkang.

"Mengikut perkiraan di atas kertas, bagi BN memenangi kerusi itu, mereka perlu mengekalkan 60 peratus sokongan Melayu dan pada masa sama, meraih sekurangkurang 15 peratus undi Cina dan India, berserta sokongan majoriti dari undi pos," katanya. Oleh itu, Cheah menjangkakan pakatan pembangkang akan berusaha keras mendapatkan undi bukan Melayu bagi mengubah haluan agar menentang BN, terutama memandangkan Mohd Isa mendapat sokongan popular dan dikenali sebagai "orang akar umbi".

"Setidaktidaknya, saya fikir pakatan pembangkang akan berusaha keras mendapatkan sokongan 90 peratus dari bukan Melayu dengan menggunakan isuisu nasional seperti kepala lembu, bagi mengubah aliran undi, setelah mengetahui bahawa kaedah lain tidak mungkin berkesan selepas mengetahui bahawa di kalangan penduduk bukan Melayu tempatan, Mohd Isa adalah seseorang yang cukup disenangi," kata beliau.

Bagaimanapun, buat seorang lagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, tidak ada masalah untuk BN mengekalkan kawasan gabungan kaum ini sekalipun dengan hanya mendapat undi Melayu oleh kerana keputusan lepas menunjukkan BN memenangi kerusi itu tanpa banyak sokongan bukan Melayu.

"Dari kaca mata strategi politik, anda tidak boleh katakan secara terbuka oleh kerana anda memerlukan setiap satu undi. Bagaimanapun, fakta dari pilihan raya lepas menunjukkan BN menang dengan majoriti kirakira 2,400, hasil sokongan kuat pengundi Melayu sementara kebanyakan undi India dan Cina pergi kepada PAS," katanya.

Dr Sivamurugan melihat senario yang berbeza sama sekali dalam pilihan raya kecil ini tidak seperti yang lalu oleh kerana BN, khususnya bahagian UMNO Teluk Kemang, memberikan sokongan padu dan bersatu kepada calon, Mohd Isa.

"Buat pertama kali, bahagian UMNO itu tidak berbalah tentang calon dan dipengaruhi politik puak," katanya.

Situasi ini baik buat BN, kata beliau.

Oleh itu, pembangkang terpaksa berusaha keras mendapatkan sebanyak mungkin sokongan bukan Melayu.

Kalangan dalam BN pula berpendapat lebih sukar bagi pembangkang mendapatkan sokongan bukan Melayu memandangkan sesetengah daripada mereka akan mengundi Isa kerana simpati dan tanda persahabatan.

"Jika ini berlaku, perubahan aliran antara 5 dan 10 peratus sokongan dari bukan Melayu kepada BN sudah cukup untuk membantu BN mengekalkan kerusi. Takkan Mohd Isa tidak langsung mempunyai sahabat Cina dan India di sana...

"Dalam pilihan raya lepas, calon bukan Mohd Isa tetapi kali ini, Mohd Isa bertanding. Beberapa orang penyokong Cina dan India, akan mengundi Mohd sebagai tanda penghargaan," kata orang dalam BN itu yang enggan dinyatakan identitinya.

Sementara itu, pengerusi DAP negeri Loke Siew Fook berkata dalam keputusan lepas, kirakira 60 peratus dari undi bukan Melayu pergi kepada pembangkang, tetapi dalam pilihan raya kali ini, pembangkang mensasarkan kirakira 70 peratus. "Dari segi strategi politik, adalah munasabah untuk mendapatkan lebih banyak undi bukan Melayu oleh kerana berdasarkan keputusan dan trend lepas, undi Melayu berpecah.

"Malah, dalam kita berusaha ke arah mendapatkan sokongan semua kaum, kita masih perlu meraih sebanyak mungkin, undi bukan Melayu oleh kerana ini boleh mengubah haluan," kata beliau.

Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September.

Mohd Isa ditentang oleh Zulkefly dalam pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

Di Kuala Terengganu Azeez membuat dakwaan yang sama

PAS berpendapat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim layak dianugerahkan Tokoh Kontroversi Umno 2009 ekoran dakwaan Ketua Putera Umno itu kononnya dipukul lapan Pemuda PAS pada hari penamaan calon, di sini.

Ini kerana, semasa dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Azeez juga membuat dakwaan yang sama dengan menuduh penyokong PAS cuba mengkasarinya.

Sehubungan itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan Azeez itu sekadar mencari publisiti murahan, sama seperti dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini.

"Azeez datang kepada saya mengatakan dia dipukul oleh 8 orang pemuda PAS dalam wajah yang senyum, tiada kesan pukul, bajunya puteh bersih waktu menunggu pengumuman SPR.

"Inilah kerja provokasi jahat Azeez, menggunakan media. Sepatutnya pemimpin muda perlu membawa isu yang lebih integriti, bukannya berbohong sana-sini," tegasnya lagi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian melahirkan keraguan demikian kerana beliau sendiri sempat bersemuka dengan Azeez di perkarangan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Tambahnya lagi, Azeez tidak seperti seorang yang dipukul, jika dilihat sendiri pada keratan sebuah akhbar harian semalam.

Januari lepas, Azeez dilaporkan menuduh penyokong PAS cuba mengkasarinya dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Padahal, Azeez selaku salah seorang ejen yang membawa pengundi hantu di sana sebenarnya cuba meloloskan diri, apabila petugas-petugas PAS mula memburunya.

Salahuddin juga menyifatkan Azeez mempunyai niat yang sama, seperti di Kuala Terengganu dahulu.

Ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersebut, Salahuddin berkata, PAS dan Pakatan tidak ada masa melayan politik kebudak-budakan Ketua Putera Umno Malaysia itu.

Tindakan Azeez itu memperlihatkan Umno sedang mencari rentak isu membenamkan kempen bersih Pakatan.

Sedangkan, khalayak mula mempersoal integriti Umno serta calonnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dipalit beberapa tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa

Sunday, October 4, 2009

Royalti, insuran bakal gegarkan dewan

Husam akan mengemukakan isu tuntutan royalti minyak Kelantan di sidang Parlimen Okt 19.Isu tuntutan royalti minyak Kelantan dan kenaikan insuran kenderaan akan menjadi dua usul utama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terdiri dari PAS, PKR dan DAP dalam sidang Dewan Parlimen yang akan berlangsung pada 19 Oktober nanti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, berharap setiap soalan berhubung perkara tersebut akan mendapat jawapan yang konkrit dari pihak kerajaan agar rakyat berpuas hati dan tidak celaru terhadap perkara yang berbangkit.

Dua perkara tersebut wajar diperjelaskan kepada rakyat, kalau sebaliknya akan menyebabkan integriti kerajaan di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai tidak menepati aspirasi rakyat terutama dalam perkara insuran yang amat membebankan rakyat.

Husam memberitahu sebanyak 30 hingga 40 soalan berhubung perkara berkaitan sudah disediakan yang akan dikemukakan di dalam sidang tersebut nanti.

Sementara itu Salahuddin memaklumkan kesan kenaikan kadar premium insuran kenderaan yang mendadak dan melampau membuatkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah yang memakai kereta lama paling rasa tertekan.

Justeru kepentingan itu sudahpun dipersetujui dalam mesyuarat bersama ahli parlimen dan wakil rakyat pakatan yang diadakan baru-baru ini untuk menjadikan perkara tersebut sebagai agenda utama dalam hujah dan bahas pada sesi persidangan nanti.

Semasa mempertikaikan kenaikan kadar premium yang melampau itu Salahuddin menyifatkan tindakan kerajaan seolah-olah tidak mempedulikan kesusahan rakyat yang mana hampir 70 peratus kereta-kereta lama adalah dimiliki oleh golongan marhain.

“Kalau begini, ini bukan konsep satu Malaysia rakyat didahulukan. Tapi konsep tidak berhati perut, menindas rakyat, lebih-lebih lagi dalam cengkaman inflasi yang begitu tinggi” katanya.

Beliau berkata demikian kepada The Malaysian Insider selepas mendengar rintihan kekecewaan pemandu-pemandu teksi Kubang Kerian di pejabatnya ekoran tindakan kerajaan terhadap perkara tersebut dan memintanya supaya perkara ini disampaikan kepada kerajaan pusat.

Bagi melancarkan hujah, selain daripada memunasabahkan sebarangan cadangan beberapa pakar kewangan telah diundang bagi membantu membuat pengiraan dengan lebih konsisten behubung perkara tersebut.

Kenaikan kadar premium insuran kenderaan bermula sejak beberapa bulan lalu. Angka kenaikan yang hampir mencecah 200 peratus itu dianggap melampau dan membebankan rakyat.

Namun keluhan rakyat diserata ceruk hanya dibuat pekak badak oleh pihak berkenaan. Jadi, di mana konsep 1 Malaysia rakyat didahulukan kalau satu dua perkara hanya rakyat sahaja asyik terkena?

PAS yakin boleh menang di Bagan Pinang

Para pakar strategi PAS yakin, calon mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menang di Bagan Pinang bahkan Presidennya berkata PAS mahu menang bukannya untuk kurangkan majoriti BN dalam pilihanraya ini.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya menyertai pilihan raya kecil ini untuk mengalahkan calon BN sebagaimana yang mereka lakukan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Beliau menjawab soalan apakah strategi PAS dalam menghadapi pilihan raya ini; menang atau mahu mengurangkan majoriti BN.

Ini kerana, BN menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya lalu iaitu 2,333 undi,.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, Pakatan boleh menang dalam pilihan raya kecil ini jika segala kerja yang dirancangkan oleh mereka berjalan baik.

"Nampaknya dari sambutan dan mood yang baik dalam perarakan pagi ini, kita boleh menang," kata beliau kepada Harakahdaily.

ImagePAS, katanya menjangkakan akan bertembung tiga penjuru hari ini dengan calon bebas, namun dengan pertandingan dua penjuru ini ia lebih memudahkan jentera PAS untuk bekerja.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan pertandingan antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar melawan calon BN dari Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Percubaan seorang calon bebas untuk bertanding tidak berjaya apabila kertas pencalonannya ditolak oleh SPR berikutan dari pencadang beliau bukan pengundi Bagan Pinang.

Mustafa berkata, pihaknya akan menemui SPR segera bagi menyelesaikan beberapa perkara dengan pengendali pilihan raya yang sepatutnya bebas itu.

Dalam pada itu, seorang lagi strategis PAS, Datuk Husam MUsa juga yakin PAS mampu untuk mengalahkan calon BN dalam pilihan raya kali ini berikutan dengan mood yang ada.

"Mood nasional begitu memuncak di Bagan Pinang. Berdasarkan kehadiran yang saya kira mencecah 50,000 orang dari pelbagai golongan khasnya golongan muda serta pembantu dari luar, kita yakin kemampuan untuk kita goncangkan BN sekali lagi terbuka luas," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas mengenai tidak ada calon bebas, Husam berkata, apa yang berlaku membayangkan Pakatan Rakyat semakin matang dalam berpolitik.

Ia menampakkan sokongan penuh kepada Pakatan, katanya.

Search This Blog