Saturday, August 15, 2009

Siasat Ong Tee Keat

Oleh Ketua Pemuda PAS Pusat

1. Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak dan menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pada kadar segera dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Tiong King Sing , bahawa syarikatnya telah memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA , Datuk Ong Tee Kiat , untuk urusan mesyuarat bahagian parti itu tahun lepas.

2. Dakwaan Ketua Pegawai Syarikat Kuala Dimensi yang sedang disiasat atas tuduhan salah laku dalam projek Perlabuhan Klang Free Trade Zone (PKFZ) , Tiong King Sing mengaku bahawa dia telah mendermakan RM10 juta kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat.

3. Derma itu diserahkan beliau melalui Bahagian MCA tahun lepas.

4. "Saya bagi dia duit cash kerana dia mahu cepat " kata Tiong King Sing kepada sebuah laman web hari ini.

5. Isu PKFZ dianggap punca penolakan secara langsung orang Cina terhadap MCA . Sebaik sahaja menjadi Presiden MCA & Menteri Pengangkutan , Ong Tee Kiat berusaha untuk menyelesaikan isu ini.

6. PKFZ telah mendedahkan , siasatan sedang dibuat terhadap Kuala Dimensi ekoran beberapa tuntutan yang tidak munasabah yang melibatkan wang sehingga RM1 bilion . Tiong King Sing marah apabila Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan PKFZ tidak pernah memanggil mereka untuk mendapatkan maklum balas sebelum membuat laporan termasuk salahlaku wang yang bernilai antara RM500 juta ke RM1 bilion.

7. Tiong King Sing yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN di Dewan Rakyat mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu. Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.

8. Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata, Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut, sebagaimana dilapor dala sebuah laman web.

9. Jika tiada sebarang tindakan atau usaha menyiasat oleh pihak SPRM atau mana - mana pihak berkuasa seperti polis , insyaallah Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat satu laporan polis berkait isu ini . Rakyat ingin tahu kesudahan sandiwara baru pemimpin BN ini .

10. Malang Malaysia ku , kalau melibatkan wang hanya RM 2500.00 pasti sudah lama ia disiasat atau kalau tidak pun esok akan ditemui mati terbunuh . Tapi oleh kerana melibatkan RM 10 juta , entah siapa yang mahu bertindak . Pelikkan ? salaaam satu Malaysia ! Apa khabar BN ?

Permatang Pasir: Salleh Man lawan Rohaizad

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.

Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.

Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.

Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.

Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.

Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim,

Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu.

Friday, August 14, 2009

Sikap antirasuah Tok Guru Nik Aziz harus dilembagakan

Oleh MOHAMAD SABU

Pegawai kerajaan yang dilatih oleh British amat terkenal dengan kewibawaan dan integriti mereka. Setelah tamat berkhidmat dengan kerajaan, mereka hanya hidup dengan wang pencen dan harta yang dibina sedikit sebanyak daripada wang gaji bulanan. Kewibawaan Tan Sri Ahmad Nordin, Tan Sri Harun Hashim adalah di antara contoh kehidupan pegawai kerajaan sebelum dan selepas merdeka.

Sekarang kita boleh lihat kehidupan bekas pegawai kerajaan atau bekas pegawai polis, amat luar biasa daripada pendapatan yang mereka perolehi semasa bekerja atau semasa bersara. Apakah wang luar yang membolehkan mereka hidup begitu mewah, 'rich and famous', yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka.

Sebahagian besar pegawai kerajaan atau pegawai polis yang setia dengan tugas dan tanpa wang luar tenggelam dengan sifat kehidupan dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Tunku Abd Rahman dan pemimpin politik di zamannya amat benci dengan rasuah dan 'wang luar' dari gaji dan elaun mereka. Setelah bersara, mereka hidup dengan wang gratuiti dan pencen mereka. Walaupun kelemahan peribadi mereka ada, namun dalam hal rasuah dan 'wang luar' amat mereka jaga dan ia mengikut cara politik British dan Barat.

Kini orang politik - yang memegang jawatan penting sebagai menteri, menteri besar, ketua menteri, exco dan sebagainya - sebahagian mereka memiliki harta yang langsung tidak sepadan dengan pendapatan mereka. Rakyat menuntut pelbagai perkara dari pemimpin politik dan wakil rakyat sebab orang politik ini dilihat mempunyai banyak wang.

Akhirnya, wakil-wakil rakyat terpaksa menjadi pegawai kebajikan masyarakat. Mereka terpaksa berbelanja melebihi daripada elaun atau gaji mereka. Untuk membolehkan kekal dalam kedudukan, mereka mengambil projek kerajaan melalui kroni atau mengambil beberapa peratus dari projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri atau persekutuan.

Bermulalah rasuah, nepotisma, 'over spending', 'mark-up price' dan pelbagai penyelewengan dilakukan untuk memelihara status quo dan menjadi orang yang berada.

Wakil rakyat dan pemimpin politik yang ikhlas dan tidak pandai cari 'duit luar' terpaksa hidup merana dan dipandang rendah oleh masyarakat. Rasuah, penyelewengan, komisyen kepada orang politik dan pegawai kerajaan sudah dianggap lumrah dan biasa.

Tidak pelik apabila Adun biasa boleh memiliki rumah bernilai jutaan ringgit, manakala bekas menteri besar pula mampu mempunyai rumah ditaksirkan bernilai lebih RM24 juta.

Seolah-olah rakyat sudah menerima acuan baru dalam kehidupan pemimpin politik atau pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau pegawai tinggi polis. Mereka yang tidak rasuah dan tidak pandai cari 'duit luar' pula dipandang rendah oleh masyarakat, yang fikiran mereka sudah dituba dan diselewengkan.

Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat cuba mengembalikan dan menjernihkan semula tentang tujuan menjadi pemimpin politik atau menjadi pemimpin kerajaan. Kehidupan sederhana dan tidak mencari 'duit luar' untuk mempertahankan kuasa, kembali menjadi pujaan rakyat dari semua kaum.

Anjakan Tok Guru Nik Aziz mesti dilembagakan, dan bukan dalam bentuk individu. Selepas pemergian beliau nanti, kita harap doktrin kehidupan sederhana diterima pakai oleh pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan. Rasuah dan cari 'duit luar' mesti dilawan dan meletakan nilai kebencian dari rakyat terhadap sesiapa yang berbuat demikian.

Bagi yang terlibat dengan perniagaan, adalah menjadi hak mereka untuk hidup cara pilihan mereka. Ini kerana mereka tidak secara langsung hidup di atas wang rakyat.

Setelah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Lim Guan Eng cuba berbelanja secara berhemat wang kerajaan Pulau Pinang. Beliau sering menaiki kapal terbang dalam urusan kerajaan dengan menggunakan kelas ekonomi. Beliau menaiki pesawat tidak kira MAS, AirAsia atau Fire Fly. Exco kerajaan Pulau Pinang juga berbuat demikian.

Pegawai kerajaan Pulau Pinang digalakkan mengikut jejak langkah Ketua Menteri dan anggota Exco dalam perjalanan kapal terbang. Mereka sering menempah "Standard Room" hotel bagi menjimatkan belanja wang rakyat.

Pada 6 Ogos lalu, Lim Guan Eng mengumumkan belanja mengurus kerajaan negeri dapat dijimatkan sebanyak RM36 juta. Betapa besar wang mengurus dapat dijimatkan apabila pemimpin bersederhana dalam penggunaan wang rakyat.

Penjimatan itu lebih dari cukup untuk membantu golongan miskin tegar atau membantu sekolah agama rakyat. Saya harap contoh belanja berhemat yang boleh menyelamatkan $36 juta dapat ditiru di negeri-negeri lain.

Malaysia dan rakyatnya akan lebih mewah dan senang apabila rasuah, dan elemen cari 'duit luar' dapat dihentikan atau dikurangkan di kalangan pemimpin politik atau pegawai tinggi kerajaan.

SPRM tahan pembantu khas Ronnie Liu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Wong Chuan How, pembantu khas kepada Exco Selangor, Ronnie Liu selepas berlaku pergelutan pagi ini.

Kedua-dua pihak membuat laporan polis berikutan insiden itu.

Liu berkata, Wong membuat laporan polis kerana SPRM dikatakan tidak ada kuasa untuk menahan beliau dan telah cedera dalam insiden itu.

SPRM pula membuat laporan kerana Wong dikatakan mengelak daripada ditahan.

SPRM sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri Selangor oleh beberapa wakil rakyat negeri itu.

Thursday, August 13, 2009

ISU ARAK DI SELANGOR :UMNO LIDAH BERCABANG

Oleh Ustaz Haji Idris Ahmad

Apabila Majlis Bandaraya Shah Alam merampas arak di kawasan majoriti Melayu, kemudian pula dibantah oleh Romie Liu Exco Kerjaan Tempatan atas tindakan MBSA. Maka Umno pun ambil kesempatan di atas isu ini, kononnya satu penghinaan kepada orang Melayu dan Islam di Selangor. Maka ada di kalangan mereka yang mengadakan demontrasi, Ali Rostam dan Khairi Jamaudin pula menyuruh Pas keluar Pakatan Rakyat, kerana perjaungan Pas tidak dihormati. Sebenarya apa yang dinyatakan oleh pemimpin Umno itu bukan ikhlas untuk mengharamkan arak, tetapi mereka hendak memecah belahkan Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak kenal siapa wajah pemimpin umno maka kita akan anggap umno adalah parti yang suci dalam debu. Tetapi kalau kita kenal inilah pemimpin yang lidah bercabang.



Umno kena jawab soalan ini dahulu sebelum komen isu arak di Selangor.

-Bukankah rakyat yang ketagih arak di negara ini kerana umno yang membiarkan rakyat mabuk . Apabila rakyat mabuk maka mereka tidak peduli isu stadium runtuh, bagaimana pemimpin mereka boleh bina rumah RM24 juta, kematian Beng Hock, isu wakil rakyat umno Selangor belanja RM27 juta dalam masa 50 hari, isu skandal PKFZ, isu siapa bunuh Antatuya.

- Apa yang umno buat selama 52 tahun mereka memerintah di negara ini untuk membendung masalah arak di negeri-negeri yang mereka memerintah.

-Kenapa Dato’ Ali Rostam tidak mengharamkan arak di Melaka. Kalau kita ke Melaka Raya bersepah kedai arak, kenapa Ali Rostam tidak ada niat untuk mengawal penjualan arak di negeri beliau.

-Khairi Jamaludin jangan tunjuk beliau anti arak, kita kenal siapa kamu.

-Bukankah umno tidak memberi kerjasama pada program untuk mencegah maksiat dan gejala keruntuhan akhlak remaja. Ini dapat dilihat kes penangkapan penguatkuasa JAWI terhadap 100 orang belia di Kelab Zouk yang sedang melakukan perbuatan durjana dan mabuk. Walaupun ada pandangan yang menyokong tindakan JAWI di kalangan individu yang menjadi pemimpin Pemuda Umno seperti Ustaz Shamsul Najmi Shamsuddin dari Biro Agama Pemuda Umno. Malangnya tindakan yang beliau lakukan telah dibelasah oleh Dato’ Hishamuddin Hussain dan Khairi Jamaluddin Naib Ketua Pemuda Umno yang menganggap bahawa ini pandagan peribadi Shamsul Najmi. (Sunday Mail 27hb Feb 2005)

-Kenapa pemimpin umno tidak mengarahkan supaya wang EPF dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera mengeluarkan pelaburan mereka di dalam syarikat arak. Isu ini lebih besar kerana membiarkan wang pekerja yang tidak berdosa di dalam kilang arak.

-Kita tidak pernah dengar pemimpin umno menyuarakan dalam persidangan umno supaya orang Islam tidak dibenarkan menjadi ahli lembaga syarikat arak.

-Kita tidak pernah dengar umno mencadangkan supaya orang Islam tidak dibenarkan bekerja di tempat menjual arak.

-Kita tidak pernah mendengar umno berhajat untuk mengawal arak di dalam penerbangan MAS, kerana ia adalah hak kerajaan.

Daripada hujah di atas sah umno adalah parti yang berpura-pura memperjuangkan Islam, tetapi hakikatnya pemimpin umno adalah perangsang maksiat di negara ini. Mereka hanya berlakon anti arak, kerana hendak menarik undi orang Islam sahaja. Umno mampu tanggani isu arak, kalau umno mahu. Contohlah kerajaan Kelantan yang berjaya mengawal arak dan mendidik rakyat supaya tidak bebas membeli arak. Arak hanya dijual di kawasan majoriti orang bukan Islam. Inilah juga cadangan Pas Selangor untuk kerajaan Selangor. Insyaalah kita cuba membentuk rakyat Selangor di bawah Pakatan Rakyat, berbeza dengan rakyat yang dibentuk oleh umno/bn. Kita yakin cadangan Pas Selangor akan menjadi kenyataan satu hari ini, untuk melihat rakyat yang jijik dengan arak.


* Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

"Ayuh cabar saya" - Anwar

Setiap wajah jelas menampakkan reaksi ingin tahu. Bukan satu, bukan juga puluhan, malah bukan jua ratusan tetapi ribuan membanjiri lokasi ceramah untuk mendengar sendiri daripada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Isu khianat menjadi tumpuan. Semua yang hadir menanti apakah jawapan Anwar terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno sejak kebelakangan ini.

Beralaskan akhbar lama, ada yang baru, masing-masing mencari tempat strategik untuk mendengar sendiri jawapan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kalau saya ambil saham Bumiputera, 1 inci tanah kerajaan, 1 kontrak untuk diri saya, Azizah dan anak- anak, kalau boleh cabar saya. Pejuang- pejuang Umno Barisan Nasional, handal- handal belaka. Menteri mereka menghunus keris. Tanya dia kalau kamu pembela Melayu, ada atau tidak kamu ambil saham bumiputera ? Wang berpuluh juta yang diambil untuk keluarga mereka dan kroni mereka?," soal Anwar semasa berceramah di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Bukit Tinggi ? Gunung Genting? Diserah pada tauke judi. Umno serah Pulau Pangkor pada tauke Cina. Serah tanah Menara KL kepada Ananda Krishnan. Diberikan syarikat dan dia jadi jutawan dalam masa yang singkat. Tauke- tauke Melayu diberi rumah, di Kuala Lumpur, London, Florida dan lain- lain. Jangan cabar saya. Kalau orang Umno kata ini adalah fitnah, ayuh cabar saya. Saya akan jumpa dan jelaskan satu persatu," tambah Anwar lagi.

Beliau menyatakan kehairanannya mengapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terlalu mengamalkan perjuangan yang sarat dengan hasad dengki dan permusuhan peribadi yang melampau-lampau.

Bagi Anwar, adalah dosa yang besar untuk seseorang pemimpin itu merampas hak rakyat dan harta negara yang sepatutnya diagihkan kepada secara adil dan saksama.

"Kita hendak tanya pada mereka. Mengapa pemimpin Umno ambil sikap bermusuh begitu sekali ? Ingat senang untuk panggil orang pengkhianat bangsa? Khianat bangsa maknanya jual tanah, jual negeri. Biarkan rakyat dan kaum Melayu menderita. Dan dia kata untuk dirinya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita? Kenapa pemimpin Umno mengambil sikap yang rakus, zalim, sombong dan angkuh?" soal Anwar.

Sebaliknya Anwar menegaskan Umno dan BNlah yang bertanggungjawab menjadikan orang melayu sehingga kini masih terkurung dalam mentaliti lama.

"Orang Melayu diperbodohkan kerana Umno hanya akan berkuasa dan kekal berkuasa bila sekiranya orang Melayu tidak tahu maklumatnya," ujar Anwar.

Beliau juga mempertikaikan rasionalnya slogan 1Malaysia yang canang hebat oleh Perdana Menteri. Umno-BN mencanangkan 1Malaysia namun dalam masa yang sama meniupkan api perkauman supaya Melayu dan bukan Melayu saling benci- membenci.

"1Malaysia BN ialah 1Malaysia untuk orang kaya, ambil komisyen RM400 juta, tidak perlu siasat. Rumah RM26 juta, tutup kes. Stadium roboh, tidak perlu siasat. Tapi orang miskin belanja RM2,382...siasat, dera, siasat, sampai mati. Itu maknyanya 1Malaysia untuk orang besar. 1Malaysia orang kaya dan 1Malaysia untuk orang- orang kecil,"jelasnya.

"Negara kita antara negara yang terkaya jika banding dengan negara- negara jiran. Mana ada negara jiran yang masyhur minyak begitu besar ? Tidak usah buat apa, hanya ambil komisyen minyak, RM60 bilion, RM70 bilion. Saya tahu sebab saya Menteri kewangan selama 8 tahun. Hasil kelapa sawit, hasil balak di Sabah dan Sarawak tinggi. Tapi apakah diagih pada rakyat?,"soal Anwar lagi.

Teoh mungkin diheret, kata saksi

Setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock mungkin diheret kerana siasatan polis menunjukkan adanya kesan geseran di bahagian tepi kasut mendiang, kata saksi ke-13 inkues hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, Cif Insp Mazli Jusoh dalam keterangannya dihadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Tambah Mazli, hasil pemeriksaannya turut mendapati ada kesan geseran yang ketara di tapak kasut kanan mangsa.

"Ada kesan geseran ketara...kesan kapur," kata Mazli.

Bagaimanapun beliau menjelaskan tidak membuat pemeriksaan bagi mengesan dari mana kesan kapur itu datang.

Sebelum itu, peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar bertanya kepada Mazli sama ada beliau bersetuju bahawa kesan geseran yang terdapat pada kasut tersebut mempunyai implikasi yang penting.

Mazli bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagaimanapun pada mulanya Mazli menolak teori yang dikemukakan Malik bahawa si mati berkemungkinan diseret.

"Adakah kemungkinan si mati diseret," soal Malik.

Mazli menjawa: "Tidak...pada kebiasaannya kalau seseorang diseret ia tak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang ia akan tahan dengan kaki dengan tumit."

Malik kemudiannya menyoal balas: "Tapi kalau diseret dari tepi, ada kemungkinan?"

Mazli kemudiannya menjawab: "Ada."

Dalam pada itu, saksi ke-14, DSP Shahrul Othman Mansor, seorang pegawai makmal forensik Bukit Aman berkata beliau turut menemui kesan seperti tapak kasut di bahagian bawah tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bahagian bawah (tingkap) kelihatan seperti kesan tapak kasut... tapi tak begitu jelas.

"Saya arahkan pegawai untuk ambil gambar... ukurannya lebih kurang sembilan inci (22 sentimeter)," kata Shahrul.

H1N1

Baca Malaysiakini tadi, takat ni as of 12 Aug 09, dah 44 orang meninggal akibat H1N1 atau pun sebelum ni dlm Radio Sinar selalu sebut Selsema BABI, tapi sejak dua tiga hari ni - iklan yg sama - tapi dah ditukar perkataan BABI tu kpd H1N1. Tat pa lah, dah dok beysa sebut H1N1, kita sebut H1N1 saja lah.

Saya berminat nak tulis bab H1N1 ni, antara sebabnya saya rasa - dek kerana tugas di tempat kerja - mungkin saya merupakan antara insan yg terawal terlibat dlm isu H1N1 ini. Saya berharap, kalau tak banyak pun, ada satu dua perkara dlm tulisan saya ni boleh digunapakai bersama, insyaallah.

Cerita dia mcm ni:

Sewaktu serangan H1N1 yg terawal sekali di Mexico hari tu - waktu tu cuma Mexico saja yg kena, negara lain tak kena lagi - kerana tugas, dan atas arahan HQ kilang tempat kerja saya dari Jepun sana nu, saya telah mengepalai team yg dok cek semua visitors/vendors yang nak mai masuk ke kilang kami tu.

Waktu tu org tak kisah lagi pasal H1N1 ni, tapi saya ni boleh dikatakan hari-hari kena masuk meeting update boss Jepun hasil pemeriksaan kami di pintu masuk ke kilang tu, utk dia update balik ke negeri Jepun sana tentang suasana terkini di sini.

Waktu tu kilang-kilang lain tak buat apa-apa lagi pun, tapi kami dah dok kelam kabut cek visitors yg masuk mai - menggunakan pemeriksa suhu badan dan juga hand sanitizer utk depa cuci tangan, dan kalau nampak ada yg berhingus/flu kami akan bagi face mask.

Pada mulanya saya pun naik heran awat la Jepun-Jepun ni dok kalut sangat, baru jadi kat Mexico ja bukan sampai Jepun atau Malaysia pun, awat la gabra sangat. Tanya pi tanya mai, rupa-rupanya depa belajar drpd kes SARS dulu; HQ kat Jepun nu tak mau Jepun kat sini kena, sebab kalau depa kena, kemudian depa balik Jepun, nanti Jepun-Jepun kat sana pulak kena. Boss Jepun saya tu habag, waktu SARS dulu, dia kerja di UK, dan dia diberi arahan supaya jangan balik Jepun sepanjang tempoh tu; nampak, punya la hebat Jepun kontrol penyebaran wabak-wabak mcm ni drpd sampai ke negara depa, tapi dlm dok kontrol tu pun sampai juga, itu cerita lain, kerja Tuhan, kontrol tara mana pun kalau nak kena dia kena jugak.

Tak beberapa lama selepas HIN1 serang Mexico dan merebak ke US tu, H1N1 dah mula serang Korea; hangpa ingat dak lagi sampai habis satu Hotel apanama tu di Korea kena kuarantin hari tu. Kalut sungguh depa. Dan kami pun tumpang kalut juga sebab kat kilang kami ni selalu dok terima pelawat mai dari Korea. Dalam masa yg sama, H1N1 dah sampai Spain dan seterusnya merebak ke Eropah, lagi lah kalut kami sebab kami pun selalu gak dok terima pelawat dari Eropah; dua kali kalut jadinya!

Nasib baik kami dah ready awal dgn kakitangan yg sudah terlatih sejak kes awal melanda Mexico hari tu; jadi tak lah rasa janggal sangat nak cek pelawat-pelawat yg bertali arus tu. Takat ni alhamdulillah semua okey, sapa-sapa nak masuk mai kena isi borang kesihatan, kena cek suhu badan, kena basuh tangan, dan kalau ada tanda-tanda flu, kena pakai mask. Dlm kilang pula dari masa ke semasa janitor akan cuci rail tangga, tombol pintu dsg kot-kot kalau ada virus H1N1 terlekat kat situ.

Lepas tu, kilang-kilang sekitar mula dok email kat saya tanya detail procedure kami, dan rasanya sekarang ni kilang-kilang boleh dikatakan semuanya dah mula cek kat incoming gate depa.

Ada beberapa perkara yg saya nak kongsi berdasarkan pengalaman saya mengepalai team yg dok cek H1N1 masuk ke tempat kerja ni.

Yg pertama bab pakai Face MASK (penutup muka).

Waktu mula-mula kes tu dah sampai ke US, kemudian sampai ke Korea kemudian merebak ke Jepun tu, waktu tu kami pun dok kalut dengan isu pemakaian MASK juga, nak pakai jenis biasa ka jenis yg Dr pakai kat bilik bedah tu ka atau macam mana?

Pada mulanya sebab HQ Jepun galakkan pakai MASK; kemudian kami dpt info dari Jepun depa kata tak pakai MASK pun tat pa sebab pemakaian MASK ni tak berkesan tara mana pun. Di negara Jepun hari ini depa tak kalut pun nak pakai Mask mcm yg kita dok tengok di Malaysia sekarang ini, sampai habis stok dan peniaga ambik kesempatan penaik harga.

Yang paling penting ialah kena cuci tangan selalu dan jauhkan diri drpd tempat org ramai. Cumanya kalau kita sendiri kena selsema, eloklah kita pakai MASK agar tak berjangkit kat org lain, kalau kita tak kena SELSEMA tak pakai MASK pun tat pa (hat ni saya cek dlm website WHO tadi, memang dia kata mcm tu).

H1N1 ini dia boleh lompat melalui bersin/sneezing drpd org yg dijangkiti kpd org lain dlm jarak 1 meter atau lebih kurang 3 kaki. Salah satu cara nak elak drpd jangkitan H1N1 ni, pastikan jarak kita dgn mereka-mereka yg disyaki (seperti org demam atau pun yg jelas ada selsema/bersih/batuk berterusan dsgnya) paling kurang adalah 3 kaki, lagi jauh lagi baik; ingat virus tu boleh lompat dlm jarak 3 kaki mcm tu.

Jadi, kalau kita dok sorang-sorang jauh drpd org lain, tak pakai face mask pun tat pa; cuma kalau naik LRT misalnya, duduk dekat-dekat sampai satu dua kaki, hah yg tu memang digalakkan pakai Face Mask. Ini ada yg drive keta sorang-sorang pun pakai facemask, itu dah kira Kalut dah ni!

Kalut tak kalut pun, bila anak-anak saya balik sekolah habag kata cikgu suruh beli dan pakai facemask, saya pun kalutlah juga cari facemask, tambah-tambah bila saya baca satu surat drpd PASTI anak saya, ditulis kat situ "Pemakaian topeng hendaklah dilakukan setiap hari sessi persekolahan; kepada murid yang gagal melakukan sedemikian, pihak PASTI tidak akan membenarkan murid tersebut mengikuti sessi persekolahan".

Tu dia, kalut sungguh!

So, Weekend lepas saya pi kat satu farmasi di Sg Petani pi cari face mask, habis stok, kemudian pi pdg Serai kat dua kedai farmasi, juga habis stok. Nasib baik ada kedai besar yg dok supply face mask kat kilang-kilang di Kulim Hitech ni, kedai MEH apa ka nama dekat Kilang Lama Kulim berhadapan dgn SHELL kalau tak silap, saya pi balun dua kotak, 50 lai sekotak harga dia RM14 sekotak, jatuh 28 sen saja selai, tapi ada member habag ada org jual RM1 sehelai. Kalau jual, dah boleh untung RM36 sekotak. Musim-musim mcm ni pun ada org nak buat duit jugak!

Kpd anak-anak saya, saya pesan kat depa, face mask pakai kena pakai jugak (ya lah depa bercampur dgn kwn-kwn sure dlm jarak bwh 1 meter), tapi yg penting sekali kena basuh tangan selalu. Kat kilang, team H1N1 kami diberitahu, walaupun kita pakai MASK, tapi kalau tangan kita dok pi gatai pegang merata, kemudian tangan yg sama nanti mai tenyeh mata bila mata gatal atau dok pi sentuh hidung bila hidung gatai, nanti virus H1N1 tu boleh berjangkit kat kita melalui mata atau pun hidung kita tu.

Jadi elok benarlah kalau kita naik bas ka LRT ka atau naik Escalator kat shopping compleks mana-mana ka, control kedua-dua tangan jangan dok pi pegang merata. Kalau terpaksa pegang, pastikan basuh tangan lepas tu.

Cakap pasal penawar H1N1 pulak, hah - hat ni lagi kalut, WHO pun tak jumpa vaccin dia lagi tapi mcm-mcm cerita org dok habag mai. Semalam, waktu lunch kami pi serbu satu gerai mkn kat Stadium Keladi di Kulim tu, pi order ayaq nyioq sbb ada Dr mana entah dlm internet, dia kata ayaq nyioq tu kalau minum bagus sebab dia ada Acid ka apa, H1N1 ni dia x minat pada badan Acid ibaratkan mcm air tak mau lekat di daun keladi kot - mcm tu lah kot teori dia. Teori pun teorilah, elok gak minum ayaq nyioq drpd minum Teh Ais yg boleh kena Kencing Manis tu.

Kemudian ada org habag di Thailand ka mana, depa minum ayaq nyoq campur kurma. Lepas tu, ada pulak org habag ada satu kes di Malaysia tu, pesakit sembuh dlm masa 4 hari selepas minum Jus Epal, 6 bijik sehari. Saya rasa hat ni logiklah sikit sebab Epal tu ada vitamin C, dan Vitamin C ni memang dari dulu lagi saya selalu bagi kat anak-anak bila berlaku perubahan cuaca drpd musim kemarau ke musim hujan dsgnya; Vitamin C memang bagus untuk cegah demam/selsema sebab perubahan cuaca ini.

Okeylah panjang pulak saya tulis, moga ada manfaatnya buat semua; sama-samalah kita berdoa moga2 kita semua tak kena virus H1N1 ni. Kita boleh katakan ini semua adalah bala drpd Allah SWT kalau kita mahu, di atas segala dosa-dosa kita yg selama ini dok buat derk sahaja terhadap petunjuk drpd Al-Quran, tapi bala tu bukan-bukan main main dan bukan lawak-lawak, sekarang ni dia dah ada kat hadapan pintu rumah kita. Kalau kita nak dia masuk, bolehlah jemput masuk, kalau tidak sama-samalah kita lakukan langkah-langkah pencegahan apa yg perlu.

Sekian, moga ada manafaatnya buat semua.

Wednesday, August 12, 2009

mana pergi kejantanan SPRM

kita tertanya-tanya kemana perginya sifat kejantanan SPRM untuk menyiasat kes-kes rasuah yang sebelum ini ditunjukkan oleh SPRM. bukankah sebelum ini pantang dengar ada lapuran atau dakwaan di media atau blog tentang wujudnya unsur rasuah atau salahguna kuasa dengan sepantas kilat mereka akan menyiasat. contohnya, isu lembu yang melibatkan MB selangor, isu ubahsuai rumah KM pulau pinang, isu salahguna wang oleh exco selangor hingga menyebabkan kematian setpol seorang exco.

tapi bila timbul isu penyelewengan wang hingga 1 bilion ringgit dan timbul isu istana bekas MB selangor yang bernilai jutaan ringgit, kemanakah perginya kejantanan dan kepantasan SPRM untuk bertindak?

apakah SPRM hanya mempunyai sebelah mata sahaja yang hanya nampak kes yang melibatkan individu dari PR sahaja? mana perginya ketelusan yang sering dilaung-laungkan. malah PM juga ada berkata demikian bila SPRM menyiasat kes rasuah seorang exco di terengganu yang macam panas-panas tahi ayam. PM kata SPRM tidak memilih bulu dan tidak mengira pangkat atau kedudukan bila menjalankan tugas. cuma kes kapal selam dan sukhoi saja yang tidak boleh di siasat barangkali. yang lain semuanya mungkin boleh tapi mesti minta restu darinya dulu sebelum nak ambil tindakan. bukan nya apa, kena tengok dulu pengikut siapa orang itu. puak mana?
kita tentu tertanya-tanya kenapa PAC yang mesti siasat masalah penyelewengan yang berlaku dalam PKFZ dan bukannya SPRM. dah terang bila Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing - yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN - mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu.

Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.

Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut.

SEMASA Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani beberapa tahun lalu berbangkit soal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menjadi penjamin kepada sebuah syarikat yang meminjam Euro 10 juta kira-kira RM46 juta dengan sebuah bank luar negara pada tahun 2006.

Pinjaman itu dibuat katanya untuk membina Fish Ptotect di kawasan parlimen Pagoh di Johor. Parlimen Pagoh diwakili Muhyiddin (foto). Sampai kini projek itu tidak dibangunkan.
Tindakan LKIM itu dikatakan menyalahi undang-undang dan akta LKIM kerana ia meletakkan agensi kerajaan itu dalam bahaya dan berisiko tinggi menanggung beban tidak mutlak. Kerana sebagai penjamin LKIM kena bertanggungjawab melengsaikan pinjaman berkenaan sekiranya pemimjam gagal melunasinya.

LKIM juga tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan. Yang menghairankan kenapa LKIM bersedia untuk bertanggungjawab dengan menjadi penjamin ke atas pinjaman berkenaan? Apakah tindakan LKIM ketika itu atas persetujuan atau restu Menteri Pertanian dan Asas Tani yang bertanggungjawab ke atas LKIM? Perlantikan pengerusi LKIM adalah dalam bidang kuasa menteri berkenaan.

Yang menjadi Pengerusi LKIM ketika itu ialah Adam Abdul Hamid, ketua Umno bahagian Pulai. Baru-baru ini Adam mengikuti rombongan Timbalan Perdana Menteri ke Australia. Semasa di Perth, Adam membuat kenyataan Umno Johor akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi melaungkan Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa.

Bagaimanakah status mengenai pinjaman berkenaan? Pinjaman itu dikeluarkan oleh bank HSBC N.A New York, Amerika Syarikat. Apakah ianya sudah dibayar sepenuhnya oleh syarikat yang membuat pinjaman itu? Sebelum ini juga ada terdengar bank yang mengeluarkan pinjaman berkenaan sudah bercadang untuk menuntut bayaran balik itu dari LKIM menerusi wakilnya Barfkly Bank di Sinagpura.

Kes ini pernah timbulkan dalam surat khabar tidak lama dulu kemudian ditutup atas arahan bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

jadi apa lagi yang nak ditunggu oleh SPRM

Dun Perak bubar November tahun ini?

Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yakin Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak akan dibubarkan sebelum berakhir tahun 2009 ini.

Ini kerana, katanya jika Dun Perak tidak bersidang menjangkaui tempoh enam bulan negeri Perak akan menjadi negeri 'tidak berperlembagaan' atau 'unconstitutional state'.

"Dun Perak mungkin kita (PAS) boleh jangka bila dia bubar, dia (Barisan Nasional) terpaksa bubar juga kerana tidak ada pilihan lain, dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak mesti bersidang tidak lebih enam bulan,"tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam anjuran Majlis Tindakan Dun Cukai bagi mengumpul Dana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, di sebuah Restoran di Bukit Kuang, Chukai, pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya sidang Dun Perak akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 November 2009 kerana persidangan lalu diadakan pada 7 Mei 2009.

Katanya sidang Dun tersebut mesti diadakan bagi membentang dan meluluskan Belanjawan 2010.

"Mesti ada persidangan, jika tidak bagaimana (negeri) nak belanja tahun depan (2010), nak beri (bayar) gaji kakitangan kerajaan negeri Perak, nak buat peruntukan untuk perbekalan.

"Ini mesti diluluskan di Dewan Undangan Negeri dalam bentuk Belanjawan 2010, ikut mana cerita pun dia (kerajaan) mesti buat persidangan,"jelasnya.

Menurutnya kemungkinan berlaku kekecohan pada persidangan Dun Perak akan datang tidak dapat dijangkakan kerana sidang Dun pada Mei 2009 lalu telah berlaku �huru hara�.

Kata Nizar, sidang Dun yang lalu dianggap tidak sah kerana tindakan Umno-BN merampas kuasa Speaker (Yang DiPertua) Dun Perak secara paksa.

"Bila dia (Umno-BN) buat persidangan (nanti), saya beritahu Tuanku (Sultan), kami juga (Pakatan Rakyat) akan cuba buat bagaimana Umno (buat) arah polis angkat Speaker. Kita pun nak cuba belajar angkat Speaker.

"Adakah Tuanku nak tengok, nak biar dunia tengok, bahawa berlaku lagi kemelut dan huru hara dalam Dewan Undangan Negeri Perak,"ujarnya.

Menurutnya, kemelut tersebut merupakan rantaian dari tindakan 'rampasan kuasa' yang telah dilakukan oleh Umno-BN pada Februari 2009 lalu.

Katanya, seluruh rakyat negeri Perak bersama-sama Pakatan Rakyat yang mahukan Dun Perak dibubarkan segera.

Meski pun, katanya hanya diberi kuasa selama 12 jam pada 11 Mei 2009 lalu oleh mahkamah masih sempat menulis surat kepada Tuanku Sultan Perak memohon agar Dun Perak dibubarkan.

"Umno terpaksa rampas (dan) teruskan proses merampas. Setelah dia rampas kuasa dia rampas Speaker, lepas dia rampas Speaker dia rampas keputusan Mahkamah Tinggi.

"Keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 telah memberikan 'keabsahan' kepada saya dan Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar yang sah dan kerajaan yang sah.

"Sebaik sahaja dia (hakim) memutuskan keputusan itu, saya dan rakan-rakan terus ke Masjid Kampung Pandan dan melakukakan solat sunat.

"Selepas itu, saya 'berlari' (bergegas) dalam kereta minta buatkan surat. (apabila) Saya sampai di Ipoh surat dah sedia, (saya) ambil surat dan bawa pergi ke Istana," ujarnya menceritakan rentetan peristiwa di Perak.

Malangnya, kata beliau apabila sampai ke Istana pada jam 10.30 malam tidak dibenarkan masuk bagi menghadap Sultan Perak.

Menurutnya, dalam surat tersebut memohon perkenan Sultan agar membubarkan Dun Perak.

"Dalam surat itu, saya nyatakan ke bawah Duli Yang Mulia Sultan Perak. Oleh kerana, Mahkamah Tinggi mengabsahkan patik sebagai Menteri Besar, maka patik nak serahkan kuasa itu kembali kepada rakyat. Apa sudi kiranya, Tuanku memperkenankan dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak,"jelasnya.

Pada majlis tersebut sejumlah RM22,000 berjaya dikumpulkan oleh MTD Chukai bagi mengisi Dana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang

Tuesday, August 11, 2009

Dr Asri: Replika Najib juga tidak patut didirikan

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendirian bahawa replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak patut didirikan sepertimana juga dalam pendiriannya yang sama sebelum ini terhadap replika Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Dr. Asri, beliau konsisten dalam pendirianya berhubung dengan perkara itu dan mahu pihak yang mempertahankan perkara ini satu masa dahulu turut konsisten dengan pendirian mereka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini meminta Dr. Asri menyatakan pendiriannya mengenai replika Najib yang didirikan di perkarangan kuil Batu Caves.

"Saya konsisten menyatakan seperti mana replika Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika Najib.

"Apabila saya menegaskan konsistensi saya dalam perkara ini, saya juga ingin melihat sejauh mana konsistensi pihak (PKR) yang membolehkannya dahulu," kata Dr. Asri.

Dr. Asri menyatakan perbuatan itu berunsur pemujaan pemimpin secara berlebihan dan ia tidak akan menguatkan kedudukan politik seseorang.

Tegas beliau, seorang pemimpin bukan dinilai pada besar kecil saiz patutungnya sebaliknya pemimpin dinilai pada pemikiran, sikap dan kerjayanya.

Dalam pada itu Dr. Asri menegur sikap PKR yang sering berubah pendirian apabila hanya membolehkan pemimpin mereka yang mendirikan replika.

"Haram itu untuk musuh, halal itu untuk diri sendiri, musuh semua salah, diri sendiri semua betul.

"Sepatutnya mereka yang mempertahankan untuk Anwar, mereka juga kena mempertahankan untuk Najib kali ini," ujar beliau lagi.

Sebelum ini Adun Batu Caves, Amirudin Shari menjadi kontroversi ekoran replika penasihat PKR yang didirikan akhir tahun lalu.

Chua cadang MCA keluar dari BN

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng berkata, sudah beberapa kali beliau mencadangkan kepada kepimpinan MCA agar parti itu keluar dari Barisan Nasional (BN).

Cadangan ini beliau buat kerana marahkan sikap buruk beberapa kerat pemimpin Umno yang mereka buat melalui kenyataan dan sikap mereka. Chua berkata demikian dalam ceramahnya di Kuantan malam tadi.

Chua adalah bekas Naib Presiden MCA. Baru-baru ini Chua telah mengisytiharkan diri keluar dari MCA dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Semasa dalam MCA, Chua pernah dua kali mencuba menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden, tetapi dalam kedua-dua percubaan, beliau ditolak oleh perwakilan.

Mengulas tentang ini, Chua dalam ceramahnya di sini semalam mendedahkan yang beliau ditolak kerana beliau telah beberapa kali mencadang dan menyarankan agar MCA membuat ketetapan keluar dari BN jika perangai beberapa kerat pemimpin Umno tidak berubah.

Bahkan dalam satu langkah yang dikira drastik, Chua pernah mengusulkan satu resolusi supaya semua menteri, timbalan menteri, exco kerajaan negeri dan wakil rakyat MCA meletak jawatan jika Umno tidak berubah dan terus membohongi rakyat. Malangnya resolusi beliau ini telah ditolak.

Chua dalam ceramahnya semalam juga menjelaskan tentang tindakannya menyertai PKR. Ujar beliau keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah, apalagi perkhidmatannya bersama MCA selama 33 tahun bukanlah satu tempoh masa yang pendek.

Ia bermula bila secara sulit beliau telah berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dalam pertemuan itu Anwar sempat menitipkannya senaskah manifesto PKR, yang kemudiannya didapati begitu selari dengan perubahan yang cuba dibawanya ke dalam MCA dahulu.

Walaupun memutuskan untuk keluar MCA dan menyertai PKR adalah keputusan yang agak berat, dan sudah tentu mengundang banyak kejutan dari kalangan banyak pihak, namun Chua rela meninggalkan segalanya semata-mata perjuangan perubahannya untuk kebaikan rakyat.

Tambah Chua, beliau kini rasa bebas dan puas terutamanya bila bersuara untuk rakyat kerana beliau tidak lagi perlu berselindung seperti dalam kerajaan dan dalam MCA/BN dahulu.

Chua percaya bahawa era politik berasaskan kaum dan perkauman sudah berakhir. Mana-mana pergerakan politik yang mahu mencuba nasib pada masa ini haruslah membawa aspirasi rakyat yang pelbagai kaum dan latar belakang.

Dalam ceramahnya semalam, Chua menegaskan keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu adalah bukti akan kepercayaannya ini, BN hanya mendapat 46 peratus undi popular!

BN kalah di semua ibu negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di Kangar dan Johor Baru, BN hanya menang satu dari sebelas kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi Chua tidak ada kesimpulan lain yang boleh dibuat dari angka-angka ini melainkan hanya satu, ini adalah bukti kukuh yang rakyat telah menolak Umno dan BN.

Monday, August 10, 2009

Umno Tidak Suka DiLihat Pro Demokrasi.

Oleh Mohd Hanipa Maidin

Umno sudah lama berpolitik. Namun parti tersebut tidak faham apa dia politik. Ini dapat kita lihat dari apa yang berlaku semasa perhimpunan rakyat menentang ISA pada 1 hb Ogos yang lalu.

Umno fikir dengan menggunakan polis untuk menyuraikan dengan ganas perhimpunan aman rakyat tersebut ia akan mendapat keuntungan politik. Umno fikir rakyat akan takut dan gentar dengan pihak polis justeru itu tidak akan berani hadir di perhimpunan aman tersebut.


Tidak keterlaluan kalau kita katakan himpunan tersebut dihadiri ramai rakyat kerana promosi besar-besaran dari pihak polis di media-media arus perdana. Apabila pihak polis memberi amaran supaya rakyat tidak memyertai perhimpunan aman tersebut, ia dikira satu promosi percuma dari pihak polis. Untung pihak penganjur kerana tidak perlu membayar sewa iklan kepada TV3, RTM dan Utusan.

Walau apa pun niat polis , apa yang jelas semakin banyak polis memberi amaran dan ancaman , semakin ramai pula kehadiran orang ramai dalam perhimpunan aman tersebut. Untuk itu kita patut berterima kasih pada pihak polis dan juga Umno !!

Selepas kejayaan perhimpunan Bersih sebelum Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, rakyat kini tidak lagi gentar dengan amaran polis. Sebab itu kita dapat lihat meskipun gerak kerja bagi menghimpun rakyat untuk menyertai perhimpunan menentang ISA tidak dilakukan dalam tempoh yang lama ( tidak seperti perhimpunan Bersih ) namun semua dapat melihat betapa ramai rakyat tanpa mengira agama , bangsa dan fahaman politik
hadir bagi menunjukkan protes mereka ke atas ISA yang zalim tersebut.

Semasa saya hadir di Balai Polis Bukit Jalil pada malam tersebut bagi bertemu dengan mereka yang ditangkap datang seorang lelaki memaklumkan kepada saya bahawa hanya beliau sahaja yang tidak ditahan pada hari itu sedangkan isteri , empat orang anak perempuannya dan seorang menantu lelakinya semuanya ditangkap polis . Beliau tidak sedih sebaliknya berbangga dengam mereka semua.

Tindakan ganas pihak polis ke atas rakyat yang berhimpun tanpa senjata hanya menguntungkan Pakatan Rakyat ( PR ) dan merugikan Umno . PR bukan parti yang sempurna tetapi kebersamaan tiga parti yang menganggotai PR tersebut menentang ISA memberi harapan baru kepada rakyat tentang masa depan demokrasi dalam negara ini. Tindakan ganas pihak polis bermakna Umno sanggup melakukan apa sahaja dan menggunakan sesiapa sahaja bagi mengekalkan ISA yang zalim tersebut.

Jika Umno cerdik sedikit, ia akan membenarkan perhimpunan aman tersebut berjalan dengan aman tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Paling lama perhimpunan aman akan berlangsung adalah setakat 3 jam jika tidak diganggu polis.

Jika Umno tidak gunakan ( baca : salahguna ) pihak polis untuk mengganggu hak rakyat untuk berhimpun secara aman sudah tentu Umno akan mendapat pujian dari dalam dan luar negara. Ramai yang akan memuji Najib kerana demokrasi dilihat hidup sedikit di eranya. Namun Umno, sebagai parti yang terkenal dengan kejahatannya, tidak mahu dan tidak senang dilihat baik. Ia lebih senang dilihat sebagai parti yang terus menerus jahat dulu , kini dan selamanya.

Perhimpunan raksasa I hb Ogos yang lalu mengesahkan rakyat telah berubah dan Umno terus tidak berubah. Umno dan agen-agennya seperti polis, media pro Umno dan Peguam Negara masih terus berada ditakuk lama.

Setiap kali ada perhimpunan aman besar-besaran , polis yang tidak berubah ini akan terus menerus menggendangkan lagu dan irama yang sama dan lama - perhimpunan haram kerana tidak ada permit , rakyat jangan hadir , kalau hadir akan ditangkap !!!

Media pro BN seperti TV3 yang juga tidak pernah berubah akan juga menyiarkan berita menggunakan teknik pemberitaan yang lapok - menemuramah para peniaga yang kononnya tidak suka rakyat berhimpun kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka.

Tidak pernah TV 3 terfikir untuk menyiarkan berita yang adil iaitu jika perhimpunan aman tersebut dapat berjalan dengan aman tanpa gangguan pihak polis sudah tentu ia akan menguntungkan para peniaga apabila mereka yang hadir ke perhimpunan aman tersebut akan singgah ke gerai-gerai dan kedai-kedai peniaga tersebut selepas berakhirnya demonstrasi aman tersebut. Ilmu ekonomi mana TV3 pakai , para peniaga di KL tidak mahu orang ramai berkunjung ke KL !!!

Kini TV3 dan pemimpin Umno sibuk mencanangkan kisah para peniaga untuk menyaman Gerakan Mansuhkan ISA ( ISA ). Saya tak tahu siapa yang menjadi penasihat kepada para peniaga tersebut, tetapi yang jelas adalah para peniaga tersebut nampaknya sedang dikhayalkan dengan mimpi Mat Jenin.

Saya tidak tahulah kalau undang-undang dah dipinda. Tetapi yang saya tahu menyaman satu badan yang tidak berdaftar seperti GMI adalah kerja sia-sia . Kalau benar peniaga hendak menyaman mereka sepatutnya dinasihati dengan jujur bahawa peluang untuk mereka mendapatkan pampasan dari pihak polis adalah lebih baik sekiranya mereka menyaman polis. Saranan Prof Khoo Kay Kim supaya rakyat menyaman pihak polis adalah lebih munasabah daripada nasihat busuk pemimpin BN supaya peniaga menyaman GMI.

Peguam Negara yang tugas utamanya adalah mendakwa penjenayah sebenar juga tidak pernah berubah setiap kali ada perhimpunan aman . Mereka akan berhempas pulas mencari jalan bagaimana mahu mendakwa rakyat yang tidak berdosa . Maka timbullah pendakwaan yang tidak masuk akal.

Sebagai contoh 13 orang wira Unit Amal ingin didakwa kerana terlibat dalam pertubuhan haram . Pendakwa raya yang tidak cerdik mendakwa Unit Amal adalah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar. Lihatlah betapa jahilnya pihak Pendakwa .

Unit Amal adalah satu unit kecil di dalam PAS. Memandangkan PAS adalah parti yang sah di bawah Akta Pertubuhan , maka menurut undang-undang mana-mana unit , lajnah atau biro di dalam parti tersebut juga adalah dikira sah dan tidak perlu didaftarkan.

Kalau ikut "logik gila" Peguam Negara sudah tentu parti politik tidak akan mempunyai apa -apa biro atau lajnah bagi menggerakkan parti tersebut sebab semuanya tidak sah kerana tidak berdaftar termasuklah biro-biro dalam Umno.

Untuk rakyat yang berhimpun tersebut ingatlah sedikit penderitaan yang kita alami dari semburan gas pihak polis tidak akan sama dengan penderitaan mereka yang ditahan dengan zalim oleh rejim zalim yang menggunakan Akta yang zalim !

PKFZ: Kuala Dimensi kenakan bayaran melampau hingga RM1 bilion

Pengurusan Pelabuhan Klang akan buat laporan polis

Pengurusan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan membuat laporan polis terhadap syarikat Kuala Dimesi ekoran dakwaan menipu dan mengenakan bayaran melampau antara RM500 juta dan RM1 bilion.

Elemen itu dikesan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat aspek perundangan dan kewangan PKFZ.

Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) merupakan pemaju utama projek PKFZ.

Sunday, August 9, 2009

Hentikan penglipurlara tujuh wasiat raja Melayu

Hentikan penglipurlara mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu selagi tidak ada keberanian menuntut institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Membangkitkan perkara itu hanya menjadi bahan gelak ketawa sahaja jika tidak berani bersuara sepatah pun supaya institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri.

"Kalau benar mahu menghentikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu, tuntut supaya peneraju-peneraju institusi-institusi yang dilihat sebagai institusi orang-orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen," katanya.

Pihak yang membangkitkan penglipurlara tersebut hakikatnya melakukan kerja sia-sia kerana setelah 52 tahun Umno menerajui pemerintahan negara ini, kata Mahfuz, ketujuh-tujuh wasiat tersebut telah dicabuli habis-habisan.

"Hanya Rejimen Askar Melayu sahaja yang boleh dianggap masih berbaki ciri-ciri asal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau, Islam yang diisytiharkan sebagai agama persekutuan pun diperlecehkan.

"Siapa boleh melupakan kenyataan (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) terhadap Islam?" kata Mahfuz.

Menurut beliau, pada 20 April 1983, Najib memberitahu wartawan bahawa "negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".

Selepas itu, katanya lagi, pada 20 April 1992, Najib sekali lagi memberitahu wartawan bahawa "kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

"Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik.

"Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu".

Mahfuz mengingatkan, kalau ajaran Islam yang paling tinggi di hati orang-orang Melayu pun dihina, tidak perlu ada sebarang percubaan untuk membuai orang-orang Melayu dengan isu-isu tanah rezab Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Tidak sedarkah pihak berkenaan bahawa di bawah pemerintahan Umno selama 52 tahun hampir 44 peratus tanah rezab Melayu telah pupus di mana tiga juta hektar tanah rezab Melayu pada tahun 1957 mengecil menjadi 1.7 juta hektar pada tahun 1995?

"Itu belum lagi kita bangkitkan hartanah orang-orang Melayu yang pupus teruk terutama di kawasan bandar," katanya.

Kepada Mahfuz, tindakan membangkitkan perkara itu tidak lebih dari sekadar mengulang-ulang harapan palsu kepada orang-orang Melayu.

"Lebih baik bercakap tentang gerakan bersama untuk menuntut usaha intensif bagi mewujudkan pusat-pusat pengajian termasuk pusat-pusat tinggi kepada orang-orang Melayu," katanya

Search This Blog