Friday, November 13, 2009

Royalti petroleum dan maruah rakyat Kelantan

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

UNTUK kali ini izinkan saya menyentuh sedikit tentang wang ihsan yang katanya nak diberikan kepada rakyat Kelantan oleh Kerajaan Persekutuan. Sepatutnya, perkara ini tidak berbangkit kerana bumi Kuala lumpur yang dirujuk sebagai Kerajaan Pusat itu tidak mengeluarkan minyak walaupun setitik.

Hasil negeri dari mana-mana negeri berupa minyak dan gas yang diambil oleh Pusat itulah yang sepatutnya disebut sebagai pemberian secara ihsan dari negeri kepada Persekutuan.

Jika diikutkan logik, ini dikira sudah terbalik apabila kita yang beri dia (Pusat) melalui perjanjian, tiba-tiba setelah dia dapat, dia senang-senang istilahkan pemberian ini adalah hasil ihsan dan kasihan belas Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Kelantan.

Kononnya, dengan sikap murah hati Persekutuan itulah, maka Kelantan dapat membangun dan menikmati rahmat pembangunan yang berterusan.

Pada saya ini memang sudah menjadi tunggang-langgang. Perkara ini asalnya hak negeri. Kami tidak boleh dilihat sebagai penagih ihsan atau pengemis simpati tetapi kami cuma meminta hak kami untuk ditunaikan.

Kami mahu membangunkan negeri kami dengan duit dari hasil bumi kami itu. Itu saja. Sebutlah royalti atau namakan apa saja tetapi gunalah saluran yang betul untuk kembalikan hak kami.

Maksud saya, berilah kepada kerajaan negeri. Bukankah kerajaan ini adalah kerajaan yang sah yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat? Kerajaan ini ada persidangan Dewan Undangan Negerinya dan ada bajetnya sama ada defisit atau surplus.

Ia dirasmikan sendiri oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Sepatutnya tidak timbul sama sekali memberikan royalti yang dengan pandai-pandai ditukar istilah kepada wang ihsan.

Saluran yang ditentukan pula ialah melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan bukan Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim. Bukankah ini suatu keanehan?

Kita kena faham bahawa JPP itu hanyalah sebuah jabatan kerajaan dan bukannya kerajaan! Jika diikutkan, langkah ini boleh ditafsirkan sebagai semacam satu bentuk penghinaan juga ke atas kebolehan dan kredibiliti pegawai-pegawai tadbir negeri (PTN) kami yang juga berkelulusan lebih kurang sama juga dengan pegawai-pegawai jabatan Persekutuan.

Inilah sedihnya kita apabila terlalu lama golongan sekular ini memerintah. Sesudah berpuluh tahun terbiasa dengan sekularisme, mereka sudah selesa dan sebati mengasingkan politik dari agama.

Melalui proses masa, kesedaran kasih sayang, keikhlasan, kemurnian, persaudaraan dan perasaan adik abang telah dilunturkan. Ini kerana dalam ajaran sekular, ajaran-ajaran seperti ini sememangnya tiada. Jika ada sekali pun, ia hanya dibuat-buat.

Terlalu lama diperap dan direndam dalam tempayan politik sekular yang keruh dan kotor ini menyebabkan semua nilai-nilai murni ini akhirnya hilang ditenggelam. Kini, amalan songsang yang menimbus ajaran murni dan nilai-nilai kesetiakawanan ini telah dilakukan melalui pentafsiran akta dan undang-undang.

Ia dibuat dengan tidak jujur dan dilakukan dengan sewenang-wenang.

Undang-undang 3 batu nautika yang dihadkan sebagai perairan negeri ini misalnya, siapa yang tentukan? Tidakkah musnahnya nasib dan masa depan Palestin itu bermula sejak kota suci itu dibelah dua oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Siapa yang memberi hak dan mengajar ini semua? Hatta, lima Kuasa Besar dalam anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diberikan kuasa veto; itu pun satu lagi konspirasi jahat.

Siapa yang ajar ini semua jika tidak kuasa yang zalim di pusat dunia? Semua ini ada kena-mengena dengan kuasa yang ada di pusat.

Ini sama jugalah dengan sistem pinjaman ah long di Malaysia dan amalan kapitalis dunia tajaan Amerika dan kuasa-kuasa besar yang sekular di dunia.

Atas nama ketamakan untuk menguasai petrol negeri yang bersempadanan dengan Rusia bertujuan untuk untuk menjadikan Afghanistan negeri penampan (buffer state), negara umat Islam itu telah dibedil dan dimusnahkan untuk dijajah tanpa sedikit pun perasaan persaudaraan, kemanusiaan, belas kasihan dan kasih sayang. Kalau iya nak tiru Amerika sekalipun, Umno malulah sedikit kepada semangat dan ikatan federalisme yang sama-sama kita bina melalui perjanjian persekutuan yang kukuh itu.

Perangai mengepung ekonomi kerajaan Islam ini bukan perkara baru. Ia boleh kita lihat dalam surat Al-Munafiquun ayat 7, maksudnya: "Mereka orang-orang (munafiquun) yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): 'janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (muhajiriin) yang ada di sisi Rasulullah s.a.w. supaya mereka (kumpulan) terbubar (meninggalkan Rasulullah). Padahal kepunyaan Allahlah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami."

Amalan ini pernah dilakukan oleh Abdullah bin Ubai terhadap Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang bersama baginda. Pemimpin Umno nampaknya tidak pernah serik membuat diskriminasi.

Dalam keadaan dia menindas Kelantan selama ini, tidakkah dia sedar bahawa yang jatuh ialah Selangor dan Perak yang kaya sedangkan Kelantan semakin teguh?

Jika dalam pilihan raya umum 2004 PAS hanya mendapat 23 kerusi di Kelantan, kesan amalan penindasan Umno telah menjadikan kerusi yang dikuasai PAS pada tahun 2008 bertambah dari 23 kerusi kepada 39 kerusi.

Sepanjang pemerhatian saya, Umno ini hanya parti pak turut yang hanya taat kepada penjajah. Umno cuma meneruskan dasar-dasar Inggeris. Sebaliknya, kita di Kelantan sentiasa melakukan muhasabah, menilai dan mengubah amalan-amalan Inggeris lama dengan diperbaharui supaya semuanya berada dalam keadaan yang sentiasa disemak agar selaras dengan kehendak Islam baik dari segi pembangunan kebendaan atau kerohanian.

Ini yang menarik minat dan perhatian rakyat. Kita ada dasar mengenai ubudiyyah misalnya, yakni kesedaran tentang pengabdian mutlak kepada Allah SWT semata-mata.

Kita ada itqan yakni kesedaran mengenai mutu dan kerja yang berkualiti dalam segenap segi.

Kita juga ada mas'uliyah yakni prinsip pertanggungjawaban supaya apa saja yang kita cakap dan kita lakukan hendaklah serupa dengan apa yang kita mahu jawab di hadapan Allah SWT diakhirat kelak.

Bersifat adil dalam konteks memberi layanan kepada masyarakat berbilang bangsa pula, kita perkenalkan skim Kifaalah, Ladang Rakyat, masjid tiga budaya di Rantau Panjang dan pelbagai projek pembangunan sosio-ekonomi tanpa mengira perbezaan bangsa, bahasa, agama dan keturunan.

Umno sebenarnya sudah ketandusan moral. Selagi Umno menolak agama dari komponen pembangunan maka selama itulah dia tidak berjumpa dengan rahmat.

Menolak Islam samalah seperti mengakui Islam itu ada kecacatan. Ini boleh terbawa-bawa pula untuk mempercayai bahawa risalah yang dibawa Nabi s.a.w. juga adalah cacat dan Jibrail juga cacat.

Logiknya, Allah SWT juga akan turut dikira cacat. Maha Suci Allah, wal iya zubillah. Ini satu perkara yang cukup berbahaya.

Kembali kepada isu royalti, saya tidak rela rakyat Kelantan dihina apabila seolah-olah kita terpaksa menagih belah ihsan dari sedekah orang lain sedangkan minyak dan gas itu adalah milik kita.

Kita mahu suap rezeki rakyat kita dalam keadaan bermaruah. Kita tidak mahu diajar untuk menyembah orang. Kita mahu bebas dari berabdi sesama manusia. Tiada yang lain yang kita mahu melainkan kita hanya mahu memuja dan memuji Allah SWT semata-mata.

Nasib kerusi Kota Siputeh diketahui Isnin

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Isnin ini untuk memutuskan sama ada pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar oleh peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail yang memohon semakan semula kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai Ahli DUN.

Abdul Isa mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukan lagi seorang ADUN berikutan kegagalannya untuk menghadiri dua sidang DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini dan kerusi berkenaan adalah kosong.

Wednesday, November 11, 2009

buang masa dengan masalah sendiri

sedar atau tidak, bn terutamanya umno sedang bertungkus lumus untuk melemahkan pakatan rakyat terutamanya PAS. saban hari media masa memutarkan berbagai isu hingga membuatkan pemimpin PAS membuang masa untuk menjawab persoalan tersebut.

isu kerajaan perpaduan, walau TG nik aziz berkali-kali memutuskan bahawa tidak akan duduk semeja dengan umno untuk berbincang berkenaan isu itu, namun masih ada pemimpin PAS yang cuba untuk menghidupkan semula isu ini apabila media membangkitkan semula isu itu. sehingga terpaksa diadakan seminar khas.

PAS selangor juga menjadi bahan utama media dengan dua pemimpin hassan ali dan khalid samad menjadi berita utama. semua isu ini menyebabkan PAS terpaksa memberi tumpuan untuk menangkis tuduhan dan masalah yang dibangkitkan media.

terbaru isu bai'ah. riuh rendah jadinya orang berbahas isu ini. media berjaya mencipta satu isu yang membuat semua orang memberi tumpuan. hingga melupakan isu-isu yang lebih besar seperti PKFZ, VK LINGAM, UNDI POS, JAMBATAN POS DIPANG, LAPORAN AUDIT NEGARA. sepatutnya pemimpin-pemimpin pakatan memberikan tumpuan untuk menghidupkan isu-isu ini dan cuba mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan untuk membongkar apa-apa penyelewengan yang berlaku. ini tidak, masa mereka banyak dihabiskan untuk isu-isu dalaman yang tidak memberi manafaat kepada rakyat.

pemimpin pakatan sepatutnya kena buat apa yang dibuat oleh BN. cari isu dan biar mereka pula sibuk untuk menjawab. baru rakyat buka mata dan tahu apa yang di buat oleh kerajaan mereka.
bukannya menghabiskan masa untuk masalah dalaman parti dan juga masalah individu. ini akan membuat rakyat muak. dan inilah yang cuba dilakukan oleh BN.

pemimpin PAS pula kalau rasa diri mereka yang menjadi punca segala isu dalaman parti, letak lah jawatan. kalau benar anda berjuang kerana allah dan bukan kerana kebendaan, tentu tiada masalah untuk berundur. demi sebuah perjuangan tak salah untuk berbuat demikian.

pemimpin PAS juga kena belajar untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang kemudiannya memberi masalah pada parti. kalau nak buat kenyataan yang melibatkan dasar parti, bawalah berbincang dulu. jangan pandai-pandai buat kenyataan lepas itu beri masalah pada orang lain untuk menjawabnya. melainkan memang niat atau tugas dia untuk membuat masalah bagi parti. mungkin telah dilantik sebagai agen untuk memusnahkan parti dari dalam.

penyokong dan ahli pula, jangan lah memilih pemimpin yang kita dah tahu akan beri masalah pada perjuangan. banyak lagi pemimpin yang berkelayakan. janganlah asyik-asyik orang itu yang dipilih. beri peluang pada orang lain pula. baru akan ada perubahan pada parti.

Tuesday, November 10, 2009

SULTAN TIADA KUASA MEMECAT NIZAR

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

“ Tunjukkan mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan Perak yang memberi kuasa kepada Y.M Sultan Perak untuk memecat Nizar sebagai Menteri Besar ( MB ) Perak yang sah”. Itulah intipati hujah pasukan peguam Nizar semasa berhujah di Mahkamah Persekutuan , Putrajaya pada 5 November yang lalu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa Zambry adalah MB yang sah kerana beliau telah dilantik oleh Y.M Sultan Perak di bawah Perkara 16 ( 2 ) Perlembagaan Negeri Perak. Peguam Nizar pula berhujah sebelum Zambry boleh mendakwa dia adalah MB Perak yang sah beliau perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa jawatan MB yang disandang oleh Nizar telah dikosongkan ataupun Nizar telah dipecat secara sah berdasarkan Perlembagaan Negeri Perak.

Sepertimana yang dikatakan oleh Harley CJ ( Borneo ) di dalam kes Stephen Kalang Ningkan v Tun Abang Haji Openg and Tawi Sli ( 1966 ) 2 MLJ 187 , terdapat dua keadaan di mana Governor ( atau Sultan ) mempunyai bidibicara iaitu (a) dalam isu pelantikan MB dan ( b ) enggan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) .

Harley CJ seterusnya berkata “ As regards to ( a ) , nobody could be so foolish to suggest that a Governor could appoint a second Chief Minister while there was still one in office..” ( Terjemahan : “Berkenaan ( a ) , tiada orang yang terlalu bodoh untuk mencadangkan bahawa Governor boleh melantik MB yang kedua jika MB yang pertama masih memegang jawatan tersebut.” )

Apa yang jelas sehingga 5 November 2009 Zambry masih tidak dapat membuktikan bahawa kerusi MB yang Nizar pegang telah dikosongkan atau Nizar telah dipecat secara sah oleh Sultan Perak.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa memandangkan Nizar telah memohon secara betulis pada 5.2.2009 kepada Sultan bagi pembubaran DUN Perak di bawah Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak dan memandangkan Sultan enggan menggunakan budibicaranya untuk membubar DUN Perak maka Nizar dan barisan exconya hendaklah meletakkan jawatan berdasarkan peruntukkan itu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara juga berhujah bahawa di dalam surat Nizar kepada Sultan bertarikh 5.2.2009 itu Nizar mengatakan jumlah kerusi BN dan PR adalah sama banyak iaitu masing-masing 28 kerusi kerana kerusi tiga ADUN yang melompat telah diisytiharkan kosong oleh Speaker. Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah jika pun jumlah kerusi BN dan PR adalah sama iaitu 28 Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker maka jika undian dibuat speaker tidak boleh mengundi maka PR hanya boleh dapat 27 undi sahaja.

Peguam Nizar menjawab sebelum Artikel 16 ( 6 ) hendak digunakan oleh Zambry mestilah terlebih dahulu dibuktikan bahawa Nizar telah kehilangan kepercayaan oleh Adun –Adun dan bagi menentukan hal tersebut perlu diadakah sidang dewan bagi para Adun membawa undi tidak percaya kepada Nizar. Di dalam kes ini adalah jelas tiada sebarang undi tidak percaya telah diambil dari mana-mana sidang Dun. Oleh itu prasyarat Perkara 16 ( 6 ) tidak dipenuhi di dalam kes ini.

Peguam Nizar juga berhujah bahawa berdasarkan sejarah negara ini undi tidak percaya yang dibuat di dalam sidang dewan pernah berlaku di dalam kes di Trengganu pada tahun 1961. Pada tahun 1959, PAS berjaya membentuk Kerajaan di Trengganu dan MB yang dilantik adalah Y.B Daud Samad. Pada 26/10/1961 Ketua Penerangan Umno Tuan Syed Jaafar Albar telah mengumumkan bahawa Perikatan telah menjadi parti majoriti kerana 3 orang Adun PAS dan 3 orang Adun Parti Negara telah melompat menyertai Umno.

Pada 30/10/1961 undi tidak percaya dibuat di dalam Dun Trengganu ke atas MB , Daud Samad. Selepas undi tidak percaya Daud Samad telah meminta Sultan Trengganu membubarkan Dun Trengganu namun Sultan enggan berbuat demikian. Sultan kemudiannya melantik Ibrahim Fikri dari Perikatan sebagai MB yang baru.

Jelas Sultan hanya bertindak selepas undi tidak percaya dibuat di dalam sidang dewan.

Mengenai hujah Zambry bahawa Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker dan memandangkan speaker tidak boleh mengundi maka Nizar akan kalah jika undi dibuat peguam Nizar menjawab seperti berikut : Ya, benar speaker , Sivakumar tidak boleh mengundi tetapi jika benar-benar ada sidang Dun untuk diambil undi tidak percaya kepada Nizar apakah yang menghalang untuk Sivakumar meletak jawatan speaker dan menjadi ADUN biasa dan seterusnya mengundi. Tidakkah waktu itu kedudukan PR dan BN adalah 28 : 28. Sudah tentu jika BN terlalu bodoh melantik Adun mereka sebagai speaker sebagai ganti Sivakumar maka kerusi BN akan berkurang sebanyk 27 dan PR pula mempunyai 28 kerusi.

Peguam Nizar juga berhujah apabila Nizar enggan meletakkan jawatan adakah Sultan ada kuasa memecat beliau. Peguam Zambry dan Peguam Negara kata Sultan ada kuasa. . Peguam Nizar menjawab sila tunjukkan peruntukkan mana yang memberi kuasa itu. Peguam Zambry kata meskipun tiada peruntukkan khusus Sultan dianggap mempunyain kuasa itu ( deemed to have such a power ).

Peguam Nizar menjawab mestilah ada satu peruntukkan anggapan ( deeming provision ) di dalam Perlembagaan Perak sebelum Sultan dianggap mempunyai kuasa itu.

Sebagai contoh hujah peguam Nizar terdapat peruntukkan anggapan di bawah Perkara 19 ( 1 ) di Bahagian 2 Perlembagaan Perak bahawa Sultan dianggap telah mengosongkan jawatannya jika baginda tidak hadir dalam tempoh yang lama di dalam sidang Dewan Negara dan ketidakhadiran untuk tempoh yang lama itu tanpa alasan yang mencukui atau alasan yang munasabah. Jelas sebelum jawatan Sultan itu boleh dinggap dikosongkan Perlembagaan Perak secara jelas memperuntukkan peruntukkan berkenaan anggapan tersebut.

Hal yang sama tidak berlaku di dalam kes pengosongan jawatan MB. Tiada peruntukkan yang menyatakan bahawa jika MB enggan meletakkan jawatan kerusi MB dianggap telah kosong. Tanpa peruntukkan penting itu bagaimanakah Mahkamah boleh membuat anggapan sepertimana yang dihujahkan oleh Peguam Zambry dan Peguam Negara.

Peguam Nizar menyatakan Perlembagaan Perak dengan secara jelas menyatakan di dalam Perkara 16 ( 7 ) Perlembagaan Perak bahawa tidak seperti mana exco yang dilantik atas kerelaann Sultan ( at his pleasure ) jawatan MB tidak dipegang atas kerelaan Sultan. Oleh itu tidak timbul Sultan boleh memecat Nizar sebagai MB Perak yang sah.

Hujah telah diberikan terpulanglah kepada lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan. Bagi 5 orang hakim itu saya ingin menukilkan nasihat Hakim Israel iaitu Ehud J yang menyatakan “ Apabila para hakim duduk untuk menghakimi, hakikatnya merekalah yang sedang dihakimi.” Ya, rakyat sedang menghakimi 5 orang hakim tersebut.

PAS Diambang Kejatuhan

Pada pandangan saya, hak-hak rakyat marhaen sewajarnya tidak diambil mudah dan dikhianati oleh pemerintah.

Bertitik tolak dengan kepentingan rakyat maka saya memfokuskan agenda pengubahan minda masyarakat dengan membawa wadah PAS dan Keadilan dalam setiap artikel yang saya tuliskan dengan tidak melupakan perjuangan yang diterajui oleh DAP.

PAS pada era awal 1998 memang berpotensi menjadi satu parti yang kuat menjuarai hak rakyat marhaen terutamanya orang Melayu. Walaupun dalam banyak keadaan ada sedikit pergeseran dengan DAP namun PAS berjaya menaikkan imej dan taraf mereka. Pergeseran dengan DAP sejak dulu pada pandangan saya adalah disebabkan oleh beberapa watak-watak yang dikenalpasti sebenarnya adalah agen UMNO dan Barisan Nasional.

Walaupun begitu PAS pada waktu itu agak kuat dan persepsi rakyat kepadanya adalah amat baik. Dari sehari ke sehari terlalu banyak perubahan dan peningkatan yang telah dibuat oleh PAS lantaran kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sehinggalah pada sekarang ini berlegar di Pakatan Rakyat. Namun tidak dapat kita sangkal bahawa selama itu jugalah agen UMNO dan Barisan Nasional yang berada didalam PAS telah beranak pinak, membiak dan subur sehinggakan mendapat sokongan yang agak kuat yang membolehkan ramai dikalangan mereka ini memegang jawatan yang besar didalam PAS.

Sekarang ini, merekalah yang menentukan hala tuju PAS (ini amat menakutkan) dan merekalah juga yang sebenarnya tidak mahu untuk menerima kritikan untuk perubahan kerana jika perubahan berlaku maka merekalah yang pasti akan tersingkir dari PAS. Dari apa yang saya nampak, PAS sedang berada diambang kejatuhan yang maha besar yang pastinya tidak mampu untuk ditanggung oleh PAS keseluruhannya.

PAS tidak wajar bertindak dan beroperasi sama seperti UMNO namun dari persepsi rakyat marhaen sekarang ini, dilihat PAS adalah sama seperti UMNO. Para pimpinan PAS nampaknya telah ada yang berani melanggar perlembagaan parti malah telah juga belajar bagaimana untuk menipu (membohongi ahli parti dan rakyat marhaen). Isu bersekongkol dengan UMNO sewajarnya ditolak dengan muktamad namun masih ada pimpinan PAS yang nampaknya lebih suka bersekongkol dengan UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa.

PRU13 pastinya akan menjadi medan pertempuran yang akan menyebabkan kejatuhan kegemilangan PAS. Ini semua disebabkan oleh sikap pimpinan PAS yang tidak mahu berubah, yang sanggup bersekongkol dengan UMNO didalam gelap malah sanggup pula membelakangi kehendak rakyat marhaen. Jika PAS masih lagi tidak menunjukkan persepsi yang baik kepada rakyat marhaen terutamanya kepada kaum Cina dan India, maka pastinya PAS akan mengalami kekalahan yang maha besar.

PAS perlukan korban untuk memastikan ianya relevan pada setiap masa. Saya bersependapat dengan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang melihat PAS perlukan satu perubahan yang drastik. Jika PAS ingin berjaya, maka perlulah mereka melaksanakan slogan “PAS For All” dengan lebih realistik.

Monday, November 9, 2009

Cara PAS membawa diri ke alaf baru

SETELAH BERAKHIRNYA apa yang dipanggil Seminar Memperkasakan Parti semalam, PAS kini nampaknya berazam untuk memperbaiki dirinya demi untuk menjadi sebuah 'parti untuk semua'.

Natijah ini sebenarnya terserlah daripada awal lagi. Soal capai atau tidak itu soal lain. Mari kita lihat kemungkinan-kemungkinannya ke arah itu.

Pertama, belum pernah dalam sejarah parti itu, satu seminar untuk melihat kelemahan diri diadakan dalam suasana yang begitu terbuka sebagaimana yang ditunjukkan melalui seminar itu.

Saya katakan terbuka kerana seminar itu turut dihadiri wakil-wakil media tanpa ada unsur-unsur saringan terlebih dahulu.

Kedua, PAS menjemput dua orang ahli akademik yang dari segi keanggotaannya tiada kaitan langsung dengan mereka untuk membentangkan kertas kerja mengenai kemajuan dan kelemahan PAS walaupun kehadiran Aziz Bari lebih kepada untuk menjawab atau mempertahankan tulisan beliau sehingga mengundang kepada kontroversi kritikan pedas Nik Aziz Nik Mat yang selepas itu pula mendorong kepada terhasilnya seminar berkenaan.

PAS yang seperti ini tidak akan kelihatan di era 1980an mahupun 1990an.

Malah PAS diera 1980an masih dengan slogan 'Bakar Wartawan' atau 'bakar suratkhabar'.

Tapi kali ini, PAS bukan sahaja membuka pintunya kepada kritikan luar malah mengizinkan pihak media mendengar kandungan kritikan tersebut.

Jadi cara PAS membawa dirinya ke alaf baru ini serta keputusan sebulat suara bagi meluluskan lima resolusi yang dicapai pada seminar berkenaan pada dasarnya menggambarkan bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam PAS sejak akhir-akhir ini berjaya diselesaikan secara terbuka dan melalui kaedah musyawarah.

Pendek kata, PAS ingin menunjukkan kepada dunia bahawa ia benar-benar serius dalam menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia melalui dasar-dasar keterbukaan yang sedang ditunjukkannya masa kini.

Syabas PAS dan moga-moga apa yang ditunjukkannya ini tidak bermaksud satu gimik politik.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan ini hanyalah satu sudut pandang dari kacamata orang luar.

Seperkara lagi yang kelihatannya agak nyata hasil daripada seminar itu ialah betapa para perwakilan ke Seminar itu tidak lagi bersedia untuk duduk berbincang secara serius dengan UMNO berhubung kerajaan perpaduan.

Peluang mengikuti keseluruhan perjalan seminar berkenaan semalam menimbulkan satu persepsi bahawa pada dasarnya pemimpin dan ahli peringkat akar umbi sememangnya menolak idea kerjasama tersebut.

Rata-rata perwakilan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan melahirkan persepsi yang negatif ke atas apa jua usaha sama ada yang tersirat mahupun tersurat berhubung cubaan menjalinkan kerjasama dengan Umno dan BN.

Dan menyedari akan sentimen inilah maka diakhir seminar itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa untuk kali yang terakhirnya menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan sudah berakhir dan parti itu menetapkan pendirian bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat 'dalam ribut mahupun dalam tenang'.

Malah Abdul Hadi juga memberi jaminan bahawa selepas berakhirnya seminar politik yang pertama kali dianjurkan itu, tidak akan ada lagi mana-mana pemimpin atau ahli parti itu yang akan membangkitkan lagi isu berkenaan yang dianggap telah menjadi punca berlakunya konflik dalaman PAS.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi (isu kerajaan perpaduan), ia dah tutup... ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini sejurus selepas selesainya seminar berkenaan.

Nampaknya dari sudut ini, ketetapan PAS sudah jelas bahawa mereka menolak secara total sebarang kerjasama dengan Umno dan BN dan berikrar akan terus bersama Pakatan Rakyat yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dan PAS tidak mahu lagi isu ini menghantui mereka dan menghambat mereka buat selama-lamanya. Ia perlu dihentikan sekarang sebelum perpecahan terus berlaku di kalangan mereka sendiri. Hadi menyedari risiko politik itu dan beliau akur dengan kehendak akar umbi.

Namun begitu pada sudut yang lain pula, seminar itu turut memperlihatkan bahawa keputusan untuk 'menutup buku perpaduan' dengan UMNO tidak juga bermakna mereka memberi 'blank cheque' kepada pucuk pimpinan melakukan apa sahaja dengan Pakatan Rakyat.

Ini kerana masih terdapat suara-suara yang mempertikaikan batas kerjasama yang terjalin antara PAS dan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Secara rawak memang dapat dirumuskan bahawa ada dikalangan ahli PAS sendiri tidak merestui jika PAS bergabung secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apatah lagi menggunakan satu simbol parti mewakili pakatan itu.

Jika inilah sentimennya, usaha ke arah membentuk satu pakatan sepertimana BN yang kini sedang diusahakan oleh Zaid Ibrahim bukanlah satu pelayaran yang mudah.

Ini dapat dilihat daripada gesaan para peserta seminar yang mendesak agar pucuk pimpinan parti menggariskan batas persempadanan kerjasama yang hendak dijalinkan itu jika ianya menjadi realiti.

Malah gesaan sedemikian juga selari dengan hasil kajian yang dibentangkan oleh ahli akademik, Dr Abu Hassan Hasbullah yang hadir sebagai salah seorang ahli panel seminar itu.

Menerusi kajiannya yang bertajuk "Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke 13 akan datang", Abu Hassan berkata sebilangan besar responden di kalangan golongan muda mahu PAS bertindak sebagai ahli bersekutu sahaja.

Dan Abdul Hadi dalam responnya kepada soal membentuk pakatan pembangkang yang lebih terikat sebagai satu pasukan menegaskan PAS sebagai satu badan politik mahu tidak mahu perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.

Pada masa yang sama, Hadi berkata, persefahaman yang akan diwujudkan itu akan dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.

Dalam erti kata yang lain, ada sedikit kusyen politik di situ. Maknanya Hadi berhati-hati. Jika pakatan yang hendak dibentuk itu tidak jadi realiti ia bukan disebabkan oleh ketidaksepakatan pembangkang tetapi kerana PAS sejak awal-awal lagi telah berdiri teguh bahawa ia tidak bersedia mengadaikan dasarnya hanya kerana keperluan sebuah pakatan sepertimana BN.

PAS juga menurutnya adalah sebuah parti yang mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Tapi kenyataan ini lebih menjurus kepada ego Hadi dan ego PAS. Tidak lebih dari itu.

Tetapi apabila ego itu berlalu, maka Hadi pun terus berkata; "PAS bukan sahaja perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama perlu lebih berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam."

Soal keperluan kepada undi bukan Islam itu bukan ego tapi Hadi yang kembali berpijak kepada dunia realiti.

"Dalam masa yang sama kita hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.

Dan berpijak di bumi yang nyata ini akhirnya diterjemahkan dalam bentuk resolusi yang dicapai semalam iaitu untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong Pas di kawasan masing-masing serta membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Walaupun pada akhirnya tidak semua yang akan setuju dengan dasar PAS tetapi keazamannya untuk menjadi parti untuk semua adalah satu langkah yang berani; --- berani kerana berazam untuk menjadi parti untuk semua tanpa bersedia mengorbankan dasarnya.

Selamat Maju Jaya PAS...

Sunday, November 8, 2009

Seminar PAS luluskan lima resolusi

Hadi simpulkan seminar berjaya selesaikan masalah parti

PAS menetapkan sasaran untuk meningkatkan semula sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu merupakan satu daripada lima resolusi yang diluluskan pada Seminar Memperkasakan Parti anjuran parti itu hari ini.

Selain itu PAS juga akan mengukuhkan Pakatan Rakyat dan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 secara lebih proaktif.

PAS juga berusaha untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

Resolusi lain yang dicapai ialah untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti di peringkat akar umbi seluruh negara.

Dalam pada itu, resolusi kelima yang diluluskan tanpa bantahan turut menggariskan usaha untuk membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional yang bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang media selepas seminar tersebut berkata, resolusi yang diluluskan itu akan digunakan oleh pihak pengurusan parti untuk tindakan dalaman.

Menurut beliau, kejayaan seminar pada hari ini menunjukkan parti itu sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kritikan.

"Kita berjaya adakankan seminar dengan menghimpunkan jentera parti yang datang dari seluruh pelusok negara kerana keterbukaan secara demokratik

"Bukan sahaja memberi peluang dari dalam parti untuk mengkritik secara membina bahkah kita menerima teguran dari tokoh yang bukan di kalangan kita," katanya.

Abdul Hadi juga dengan kejayaan seminar itu juga akan memberi lebih semangat kepada PAS untuk terus memperkasakan parti bersama Pakatan Rakyat.

"InsyaAllah kita dapat menunjukan satu prestasi yang baik, mengukuhkan parti dan menghadapi cabaran yang akan datang bagi membuat perubahan bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Kita konsisten dan teguh dengan Pakatan Rakyat dan kita anggap ini adalah bahtera baru yang kita bina... ia perlu dikukuhkan lagi untuk melayari perjuangan dan membuat perubahan dalam negara kita," katanya.

Ditanya tidakkah beliau rasakan kritikan yang diberikan oleh tokoh-tokoh akademik yang turut sama sebagai ahli panel pada seminar ini dilihat begitu 'keras' terutamanya melibatkan kepimpinannya, Abdul Hadi berkata perkara itu merupakan isu biasa.

"Kita anggap perkara biasa, kita matang dengan kritikan, yang benar kita ambil, yang tak benar kita jawab," katanya.

Search This Blog