Friday, February 12, 2010
Kenyataan Ku Li Mengenai MB Perak
Boleh Singkir PM Tanpa Undi Tidak Percaya
Professor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata perkara ini serius kerana Menteri Besar sepatutnya hanya boleh disingkir melalui Dewan Undangan Negeri
“Pada hakikatnya kalau di negeri Perak itu Sultan boleh menyingkirkan Menteri Besar tanpa melalui undi tidak percaya dalam dewan secara formal, maka di peringkat pusat juga peringkat persekutuan boleh menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui undi tidak percaya,"katanya.
Beliau percaya kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi tidak percaya secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapa Menteri Besar.
“Jadi, itu yang menyebabkan timbulnya perspepsi ataupun tanggapan bahawa apa yang berlaku itu boleh memberi kesan kepada perlembagaan dan ini semakin boleh mengkompromikan sistem Raja itu sendiri,”katanya.
Kes ini akan menjadi rujukan tetapi malangnya ia perkembangan yang tidak sihat kerana undang-undang pada masa ini boleh menyingkirkan pemimpin dengan mudah, tanpa mematuhi prosedur yang betul.
“Dengan keputusan yang terbaru itu, mengatakan bahawa Menteri Besar ataupun Perdana Menteri boleh disingkir tanpa melalui undi tidak percaya, ini merupakan kesan langsung, dengan kata lain undang-undang yang dihuraikan yang diputuskan mahkamah semalam adalah perkembangan yang tidak sihat pada kes-kes akan datang,”katanya.
KES PERAK : Dengan Ini Agong Ada Kuasa Memecat PM Tanpa Perlu Ke Parlimen
Rayuan Ditolak Hakim Mahkamah Persekutuan
Thursday, February 11, 2010
Taktik ‘serangan gerila’ Umno Kedah
Hanya sebulan sahaja lagi, genap dua tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah. Kedah masih berjaya mengekalkan rekod sebagai negeri tanpa kontroversi di kalangan negeri yang dikuasai Pakatan. Bahkan berbanding dengan Terengganu dan Perlis yang ditadbir BN, PAS dikira lebih selamat dari kontroversi besar dan terbuka.
Di kalangan Umno veteran atau yang sudah terpinggir dari kepimpinan yang ada hari ini, mereka banyak memuji kepimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar.
Setelah Umno Kedah ternyata tidak mampu untuk berdepan dengan PAS dalam ‘peperangan terbuka’ maka jalan yang dipilih oleh mereka sekarang ialah ‘serangan gerila’. Mereka menyerang berdasarkan isu-isu tertentu di peringkat lokaliti dan menyepikan diri apabila jawapan balas diberi. Ia nampak tidak serius tetapi ancamannya tetap ada, terutama di kalangan rakyat yang kurang mengikuti perkembangan semasa. Saya ingin mengemukakan beberapa contoh serangan gerila yang dilakukan BN.
Di Sik, pihak tertentu memainkan isu kononnya Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya, Sanusi Muhammad Nor telah menyalahgunakan wang milik Koperasi Beris Berhad. Sanusi dikaitkan kerana dia anak Sik yang bertanding kerusi DUN Belantek dalam pilihanraya lalu. Beliau tewas kepada Ketua Umno Bahagian Sik, Tajudin Abdullah sebanyak 252 undi, apabila calon BN itu mendapat lebih seribu undi pos dari anggota tentera yang dimasukkan nama mereka dengan sengaja oleh SPR. Dengan lain perkataan, calon BN yang menang itu layak digelar wakil pos, bukan wakil rakyat.
Apabila dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, bintang Sanusi gemerlapan dan mereka berusaha menggelapkan karier politiknya melalui fitnah kononnya beliau adalah pelahap duit koperasi Beris.
Koperasi Beris Berhad diwujudkan hasil dari perpindahan kira-kira 200 keluarga penduduk Beris akibat kampung mereka diambil-alih oleh kerajaan untuk dibina Empangan Beris.
Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah wang kepada kerajaan negeri (di zaman BN) dengan dua tujuan. Pertama, untuk pembinaan Empangan Beris dan kedua, untuk membayar pampasan kepada penduduk yang dipindahkan. Pampasan diberikan mengikut jumlah nilai tanah diambil di samping rumah dan tapak rumah yang terletak di Bandar Beris Jaya. Mereka juga diberi saham dalam Koperasi Beris Berhad, iaitu berupa tanah sebanyak 334 hektar (milik PKNK) untuk diusahakan. Setiap orang dianggarkan mendapat 200 pokok getah (sebagai nilai saham) dalam ladang yang diusahakan di atas tanah PKNK tersebut. Walaupun ia kononnya milik Koperasi Beris tetapi diusahakan oleh Kumpulan Ladang, bukan koperasi sendiri.
Isu besar yang tidak disedari oleh ahli koperasi itu ialah tanah tersebut masih milik PKNK apabila kerajaan negeri (dulu) tidak membayar RM10.2 juta kepada PKNK untuk membelinya bagi diserahkan kepada mangsa perpindahan. Ertinya, hanya pokok getah yang diusahakan milik mereka sedang tanah milik PKNK.
Tahun 2008 setiap ahli koperasi dibayar keuntungan projek RM4800. Berikutan kejatuhan harga komoditi peringkat global, tahun 2009 mereka hanya menerima RM1700 setiap orang. Di situlah timbul fitnah kononnya wang koperasi disonglap orang politik. Ada yang menyangka ia adalah bayaran diberi setiap tahun adalah pampasan tanah, walhal bayaran tersebut cuma keuntungan projek koperasi.
Terbaru, terdapat usaha ahli koperasi untuk mengusahakan sendiri projek, bukan menyerahkan kepada Kumpuan Ladang untuk diusahakan. Malangnya ia menemui jalan buntu kerana tanah tersebut milik PKNK bukan milik koperasi. Ia adalah angkara kerajaan lalu tetapi pihak lain pula yang menanggung akibat. Itu satu contoh ’serangan gerila’ BN.
Baru-baru ini Ketua Penerangan Umno Kedah, Ir. Nawawi Ahmad membidas kerajaan negeri kononnya gagal menarik pelancong ke negeri ini. Dakwanya pelancong merosot sebanyak 15 peratus dalam tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya. Petunjuk kemerosotan diperolehinya dari laporan jualan tiket yang dikeluarkan oleh korsortium feri ke Langkawi. Kenyataan itu bukan setakat satu ‘serangan gerila’ tetapi juga merupakan ‘serangan gila’ kerana ia bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen bahawa jumlah pelancong ke Langkawi bertambah pada tahun 2009.
Menurut fakta rasmi yang dikeluarkan oleh LADA, bilangan pelancong pada tahun 2008 ialah 2,303,098, manakala tahun 2009 ialah seramai 2,492,692. Maknanya pelancong bertambah. Jumlah yang berkurang cuma pelancong asing iaitu 740,394 (2009) berbanding 761,109 (2008), sedangkan jumlah pelancong domestik bertambah.
Kemerosotan kemasukan pelancong asing bukan isu besar kerana ia tidak hanya berlaku di Langkawi, sebaliknya di seluruh dunia akibak wabak H1N1.
Fakta yang dikeluarkan oleh LADA itu adalah berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Jabatan Laut, lapangan terbang dan imigresen. Tentulah faktanya sangat tepat berbanding Umno yang mengutip petunjuk hanya dari pengusaha feri Kuala Kedah. Malangnya, RTM hanya menyiarkan kenyataan bohong pemimpin BN dan menyembunyikan fakta yang dikeluarkan oleh LADA.
Begitu juga dakwaan kononnya pelabur lari dari Kedah. Sepanjang tahun 2010, Kedah mencatatkan sebanyak RM1.837 Billion yang membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 3,000 orang. MIDA meletakkan Kedah di tempat kelima jumlah pelaburan masuk terbesar di negara ini. Sebenarnya jika di masukkan pelaburan syarikat gergasi First Solar yang bernilai RM1 Billion, Kedah menduduki tempat keempat selepas Sarawak, Selangor dan Johor. Penjelasan sudah diberi dalam sidang DUN, semua ADUN BN mendengarnya. Tetapi di luar dewan, ’serangan gerila’ terhadap PAS berhubung itu pelabur terus dimainkan, kerana mereka tahu tidak semua rakyat mendapat maklumat sebenar.
Bagaimanapun kejayaan ’serangan gerila’ yang dibuat oleh BN dalam pilihanraya banyak bergantung kepada jumlah rakyat yang buta isu semasa. Semakin ramai golongan seperti itu, semakin untunglah BN.
Wednesday, February 10, 2010
PAKATAN RAKYAT PERAK AKUR DENGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH
Menghormati keputusan Mahkamah Federal yang memutuskan Zambry sebagai MB Perak yang sah, Pakatan Rakyat Perak yang bermesyuarat jam 8.30 malam tadi di Pejabat PAS Perak, Ipoh menegaskan akur denga keputusan tersebut. Pakatan Rakyat Perak tidak berhasrat untuk menentang keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Federal walaupun mereka yakin keputusan yang dibuat tidak melambangkan keadilan yang sebenar dan tidak menghormati hak dan kuasa rakyat. Malahan PR bersedia menghulur dan menyambut tangan Zambry untuk membangunkan negeri Perak dan bertindak sebagai Pembangkang yang efektif. Kenyataan ini disampaikan oleh YB Dato' Hj Nizar Jamaluddin dalam satu sidang akhbar PR yang diadakan selepas selesai mesyuarat bersama dengan pimpinan PR negeri dan adun-adun PR Perak. Pimpinan PR lain yang turut hadir Pesuruhjaya PAS Perak Ust. Abu Bakar Husein, YB Dato' Ngeh Khoo Ham, YB Tai Sing Ng, YB Sivakumar, YB Khalil Idham Lim, Dr. Khairuddin Datuk Abd. Malek dan semua ADUN PR Perak.
Walau bagaimanapun menurut Hj Nizar sebagaimana yang disepakati oleh semua pimpinan dan Adun PR, Zambry dan UMNO BN negeri Perak mesti menunjukkan keikhlasan dalam menghulurkan tangan kepada PR untuk bekerjasama dalam membangun dan memajukan rakyat dengan meneruskan dasar-dasar kebajikan, ketelusan, kewibawaan, keadilan dan amanah.
Selain itu sebagai tanda keikhlasan, Zambry juga hendaklah meneruskan amalan kerajaan PR sebelum ini membenarkan semua premis milik kerajaan negeri turut dibenarkan kepada semua parti politik pembangkang menggunakannya untuk program bersama rakyat.
PR juga meminta kerajaan negeri melantik semua ADUN dan Ahli Parlimen PR menganggotai Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya pandangan, cadangan dan kritikan boleh disalurkan dalam mesyuarat di peringkat daerah masing-masing. Kerajaan PR sebelum ini melantik dan menjemput semua wakil rakyat BN menghadiri mesyuarat jawatankuasa Tindakan Daerah. PR juga meminta supaya projek-projek kerajaan hendaklah ditender secara terbuka seperti pembalakan dan sebagainya.
PR Perak juga mensifatkan kerajaan BN Perak adalah kerajaan yang lemah kerana ia bergantung kepada tiga orang adun yang melompat, mereka penentu terbentuknya kerajaan BN Perak, mereka dilihat sebagai adun yang tidak bermoral dan berprinsip. PR yakin bila-bila masa sahaja mereka akan melakukan pengkhianatan sekiranya kepentingan peribadi mereka tidak dipenuhi.
Dalam masa yang sama PR juga yakin, UMNO BN masih berusaha bagi menarik adun-adun PR yang lain menyertai mereka bagi mengukuhkan kedudukan dan kuasa politik mereka. Namun PR yakin usaha mereka akan gagal. PR mengharapkan akan berlaku pilihanraya kecil di tiga-tiga DUN supaya kuasa politik PR dapat dikembalikan semula.
Tuesday, February 9, 2010
PAGI YANG MENDEBARKAN DI PUTRA JAYA
Rakyat di Perak dan Malaysia, bahkan saya yakin di seluruh dunia sedang menunggu penghakiman siapa Menteri Besar yang sah di Perak pagi ini. Tinggal beberapa jam lagi dari sekarang keputusan yang sedang dinanti-nantikan akan dibuat oleh para hakim Mahkamah Federal. Kes ini adalah kes yang paling popular selain kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ia diikuti dengan penuh minat oleh ahli-ahli perundangan seluruh dunia.
Rakyat Perak khususnya telah bersabar sekian lama menunggu keputusan hakim. Usaha telah dilakukan oleh YB Hj Nizar dengan sebaik-baiknya melalui proses undang-undang, para peguamnya pula terdiri dari peguam profesional yang terkenal dengan kepakaran masing-masing. Pakatan Rakyat pula menggunakan pendekatan politik bagi menyedarkan rakyat mengenai kemelut politik Perak. Selain itu, solat hajat dan munajat diadakan saban malam sebagai ikhtiar akhir dan pergantungan kita kepada Allah swt.
Penghakiman yang akan dibuat nanti apapun keputusan sudah pasti akan ada implikasinya dari sudut perundangan itu sendiri dan juga politik. Rakyat Perak mahu para hakim berdiri di atas neraca keadilan bukan kepentingan golongan tertentu.
Apapun keputusan nanti, pembubaran DUN adalah jalan terbaik bagi memuaskan hati rakyat Perak. PR tidak gila kuasa, kita hanya menuntuk keadilan. Sekiranya keputusan memihak kepada Hj Nizar, penyokong BN pasti tidak puas hati. Namun, ketidak puashatian itu boleh diselesaikan melalui pilihanraya semula. Hj Nizar tidak perlu menunggu lama untuk mengadap Tuanku supaya memperkenan pembubaran DUN Perak supaya pilihanraya semula dapat diadakan. Siapa pemenangnya semua rakyat akan berpuas hati.
Sekiranya penghakiman menyebelahi Zambry, penyokong PR juga tidak puas hati, penyokong PR bukan kecil jumlahnya, berdasarkan keputusan PR 2008, lebih kurang 54% rakyat Perak mengundi parti-parti PR. Sudah pasti lebih separuh rakyat Perak tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Justeru itu, adakah Zambry bersedia untuk mengadap Tuanku bagi memohon perkenan bubar DUN Perak kerana melalui pembubaran DUN inilah rakyat Perak akan berpuas hati untuk memilih sekali lagi kerajaan yang mereka suka.
Sekarang kebanyakan penyokong PR dan BN sudah mula berdatangan ke Putra Jaya. EXCO BN Perak sejak awal lagi katanya sudah menempah hotel di Putrajaya. Mereka akan berada awal pagi supaya mendapat tempat di mahkamah. Hari Rabu pula jam 3 petang, mereka akan bermesyuarat di hotel KLCC Impiana KL. UMNO BN Perak begitu yakin keputusan akan memihak kepada mereka. Ataupun mereka sudah tahu sebenarnya keputusan memihak kepada mereka. Sebab itulah meraka beramai-ramai berkumpul di Putrajaya bagi meraikan kemenangan.
Pimpinan PR negeri juga telah mula bergerak ke Putrajaya seawal pagi, beberapa pimpinan kanan PR telahpun berada di Kuala Lumpur. Penyokong-penyokong PR tanpa diupah dan diberi duit minyak dan makan sudah pun mula bergerak menuju ke Putrajaya. Saya percaya, ribuan rakyat akan berkumpul di Putrajaya bagi memberi sokongan moral kepada Hj Nizar.
Peluang masih ada lagi dengan berdoa supaya para hakim dilembutkan hati, dibuka fikiran untuk bertindak adil dengan seadil-adilnya dalam membuat keputusan. Kepada pimpinan dan penyokong PR dinasihatkan kalaupun tidak meletakkan dan pengharapan yang tinggi kepada para hakim bagi membuat keputusan yang tepat dan adil, letakkanlah harapan yang tinggi kepada Allah swt, dan kita akan redha dengan apa sahaja ketentuan Allah swt.
Walau bagaimanapun keputusan penghakiman esok bukan penentuan akhir kalah menang, tetapi permulaan perjuangan yang lebih tersusun, progresif dan agresif. Mulakan langkah esok dengan keyakinan,kesabaran, ketabahan dan tawakkal kepada Allah swt. Pasrah bulat-bulat hati kita semua kepada Allah swt. Kalah esok bukan bermakna kita kalah dalam perjuangan, menang esok bukan bermakna kita menang segala-galanya. Kekalahan dijadikan proses muhasabah untuk kemenangan akan datang, kemenangan pula dijadikan proses untuk kemenangan yang lebih besar lagi.
BN Perintah Pulau Pinang Apa Melayu Dapat
Pulau Pinang diperintah oleh BN lebih dari 50 tahun. Apa yang orang Melayu dapat hasil dari pemerintahan BN dalam masa yang lama itu.Kini PR baru sahaja perintah Pulau Pinang selama tidak sampai 2 tahun, sibuk juak-juak Umno membuat kacau memfitnah dan melakukan tohmah
Hari ini sekali lagi juak-juak Umno berdemonstrasi kononnya untuk membela orang Melayu yang ditindas oleh DAP dan PR di Pulau Pinang sekarang.
Namun sedarkan wahai juak-juak Umno apa yang berlaku di Pulau Pinang sepanjang 50 tahun BN memerintah :-
2) Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta.
3) Pada 2008 peruntukan untuk hal ehwal Islam yang dibuat oleh kerajaan BN dalam belanjawan tahun sebelumnya hanya bernilai RM12.5 juta, namun pada pembentangan belanjawan tahun 2008, Kerajaan Pakatan telah menambah kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.
4) Pada pembentangan Belanjawan 2009 peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010. Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini.
5) Kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.
6) Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar. Ini kerana pada 2008, 78 kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu telah menerima projek melalui sebut harga, atu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.
7) Pada 2009 pula, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja.
8) Pada tahun 2009 juga, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu enam Syarikat.
Sebenarnya orang Umno dengki dan susah hati kerana mereka sudah tidak mendapat kontrak dan projek sebagaimana zaman pemerintahan BN. Mereka gagal mendapat projek kerana sememangnya mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu projek yang diberikan. Mungkin sebutharga mereka mungkin tinggi, pengalaman dan kepakaran tiada dan sebagainya.
Selama ini mereka mendapat projek kerana tender rundingan dan mereka mendapat projek atas dasar kroni BN dan Umno. Jadi mereka sekarang berada dalam keadaan tenat kerana hendak beri rasuah kerajaan PR tidak makan rasuah, hendak bodek kerajaan PR 'tidak makan' bodek.
Monday, February 8, 2010
Guan Eng sedia berdepan rakan tidak sehaluan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup berhadapan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat yang tidak sehaluan semata-mata untuk menjaga kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat pada 8 Mac 2008 lalu. "Jika dulu kawan, sekarang lawan, nak buat macam mana, mereka yang pilih macam tu. Demi perubahan Pulau Pinang, saya sedia menerima risiko," katanya semasa menutup Karnival Penang Harmoni: Muhibbah dan Berintergeriti anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri di tapak ekspo, di sini, malam tadi. Katanya, kerajaan negeri tidak akan mengubah dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) untuk memenuhi hasrat rakan-rakan. “Sebaliknya jika sesiapa yang mahu projek, mereka kena ikut cara tender terbuka tidak melalui 'kabel politik' macam dulu di zaman Barisan Nasional,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berkata, sekarang kerajaan negeri telah memperkenalkan tender terbuka menerusi hujung jari, tidak lagi perlu menulis borang. Tambahnya, cara berkenaan lebih efisyen dan pantas sesuai dengan era teknologi terkini di mana manusia terlampau sibuk dengan berbagai urusan peribadi, perniagaan ataupun apa sahaja. Menyentuh mengenai isu dua orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, beliau menambah, bagi merealisasikan pemerintahan yang dinamik, bertamadun dan berkeyakinan pasti muncul rintangan sama ada dalaman ataupun luaran. "Sudah menjadi kebiasaan bila nak buat baik mesti ada rintangan. Tak apa, sudah lumrah, yang penting kita mesti hadapinya dengan tenang walaupun berisiko," ucapnya penuh bersemangat. Beliau sedar sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik pelbagai peristiwa sepanjang dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat ialah Umno dan komponen BN. Katanya, kepimpinan mereka tidak akan duduk diam memikirkan bagaimana untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat yang jauh lebih kemampuan dan baik berbanding BN yang sudah 50 tahun memerintah. Menurutnya, pemimpin BN mengambil kesempatan terhadap kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk menambah karung kocek sendiri. “Jika Umno dan BN benar-benar ikhlas berjuang terhadap bangsa, apa salahnya mereka membantu kerajaan sekarang untuk meningkatkan pendapatan negeri di samping memberi pandangan bernas berhubung kepentingan bersama. Elakkan pertembungan yang berterusan. Jangan jadikan perbezaan politik mengakibatkan kita sama-sama rugi padahal negeri lain mengecapi pembangunan," ujarnya. |
Setahun sudah berlalu, Perak masih tak menentu
Buat pertama kalinya istilah “Adun Bebas Menyokong Barisan Nasional” diperkenalkan didalam kamus politik Malaysia. Selain daripada itu, krisis politik di Perak juga telah menyebabkan nama Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjadi sebutan.
Bagi penyokong Pakatan, Nizar dilihat sebagai wira kerana keberaniannya untuk mempertahankan hak rakyat negeri Perak untuk menentukan kepimpinan negeri. Dalam masa yang singkat, Nizar Jamaluddin yang sebelum ini tidak begitu dikenali diangkat menjadi tokoh yang diletakkan sebaris dengan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nizar juga popular dikalangan penyokong BN dan sering menjadi sebutan dalam penulisan blog penyokong-penyokong BN cuma bezanya dikalangan penyokong BN beliau dikutuk. Nizar dikatakan dikawal oleh pemimpin DAP Perak seperti Ngar Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham.
Krisis di negeri Perak telah menyebabkan ramai pihak terpaksa membuat pendirian bagi memastikan Perlembagaan Negara dihormati. Keputusan menyokong agar DUN Perak dibubarkan agar pilihanraya negeri dijalankan bagi memberikan peluang kepada rakyat di negeri Perak untuk memilih kepimpinan negeri tersebut melangkaui parti politik.
Ahli Parlimen BN bagi kerusi Gua Musang merangkap bekas Menteri Kewangan secara terbuka meminta agar krisis politik di negeri Perak diselesaikan melalui pembubaran DUN.
“I stated at the beginning of this crisis that by our Constitution, a change of government can only be brought about by democratic means, which is to say, through the ballot box or through a formal vote of confidence in the elected Legislative Assembly. These are the constitutionally mandated means by which the people decide on their government. Any other means of changing the government is unconstitutional and undemocratic, and subverts the basis upon which we are a civilised society”. (Petikan dari artikel yang bertajuk “What is at Stake in the Perak Crisis” dari www.razaleigh.com yang disiarkan pada 12 Mei 2009)
Pada 9 Febuari 2010 ini Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusan mengenai siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan ini telah lama ditunggu oleh penyokong kedua-dua BN dan Pakatan.
Sebelum ini, pada 11 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.
Pada 12 Mei 2009, belumpun cukup 24 jam keputusan Mahkamah Tinggi mengesahkan Nizar sebagai MB Perak yang sah, Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan berikut. Maka Zambry Kadir pun menjadi MB Perak semula sementara menunggu keputusan yang bakal diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman turut menyokong agar DUN Perak dibubarkan dan memberi laluan kepada pilihanraya negeri agar kuasa dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan siapa yang seharusnya menjadi pemimpin mereka.
Menurut Abu Talib Othman yang juga bekas Peguam Negara didalam sebuah kenyataan yang diedarkan kepada media pada 12 Mei 2009, artikel 21, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, mengatakan bahawa rakyat harus menjadi teras kepada pembentukan sesebuah kerajaan.(Article 21 of the Universal Declaration of Human Rights 1948 provides that the will of the people shall be the basis of the authority of the government.)
Antara hujah yang digunakan oleh pihak BN untuk mempertahankan rampasan kuasa di Perak ialah Datuk Seri Anwar Ibrahimlah yang memulakan permainan tersebut dengan “Projek 16 Septembernya”.
Akan tetapi, bukankah BN begitu membenci Anwar Ibrahim? Jika benci mengapa diikut apa yang cuba dilakukan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu?
Bayangkanlah jika “Projek 16 September” Anwar Ibrahim berjaya, apakah BN boleh menerima keputusan kerajaan mereka tumbang akibat daripada “lompatan” dan bukan pilihanraya? Saya percaya BN dan penyokong tidak boleh menerimanya.
Dalam sebuah survey yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini, 74 peratus mengatakan bahawa mereka mahukan DUN dibubarkan dan pilihanraya negeri diadakan semula.
Ini menunjukkan bahawa walaupun setahun telah berlalu, rakyat masih belum melupakan peristiwa rampasan kuasa di negeri Perak tersebut. Rakyat mahukan agar kuasa untuk memilih kepimpinan negeri dikembalikan kepada mereka.
Setakat ini, Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat konsisten untuk membunarkan DUN jika disahkan sebagai MB Perak oleh mahkamah.
Komitmen masih belum ada lagi dari pihak Dr. Zambry Kadir. Zambry tentu hidup dalam keadaan tidak tenang apabila sering dipanggil dengan panggilan “MB Haram”. Sudah tentu Zambry lebih senang hati jika beliau menjadi MB dengan jalan yang dipilih oleh rakyat dan bukannya melalui pintu belakang.
Jika diadakan pilihanraya, masih belum pasti lagi siapa yang akan menang. Kedua-dua Nizar dan Zambry mempunyai peluang.
Dr. Zambry Kadir baru-baru ini mengumumkan bahawa melalui “kajian” yang dilakukan oleh pihaknya, kerajaan pimpinannya menjadi semakin popular. Berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa rakyat Perak semakin menerima kerajaan kepimpinannya, maka wajarlah Zambry membubarkan DUN untuk membuktikan kebenaran kajian tersebut.
Jika Zambry melakukan perkara ini, secara tidak langsung beliau akan dilihat menjayakan kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan slogan kepimpinannya yang berbunyi, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Jika rakyat didahulukan, serahkanlah kembali kuasa mereka untuk memilih. Jika DUN tidak dibubarkan, Perak akan terus berada dalam keadaan tidak menentu. Lebih parah lagi jika rakyat hilang keyakinan terhadap perlembagaan dan demokrasi sepertimana yang dialami oleh Ferdinand Marcos, bekas diktator Filipina. Sebab itu Marcos akhirnya dijatuhkan melalui “People Power”.
Selain daripada itu, Zambry akan dikenang sebagai pemimpin yang sayangkan negeri Perak oleh kerana Pilihanraya Negeri akan memberikan “economic Stimulus Package” kepada negeri-negeri tersebut. Ini sangat diperlukan pada ketika ini dikala ekonomi negara bergerak dalam keadaan yang lembab.
Pilihanraya akan membantu ekonomi penduduk tempatan secara langsung. Hotel-hotel penuh. Rumah tumpangan penuh. Begitu juga dengan rumah-rumah sewa. Tidak lupa juga dengan kedai-kedai makan. Semuanya akan mengaut keuntungan besar di musim pilihanraya.
Bayangkanlah, jika di hari biasa “Nasi Ganja” di Jalan Yong Kalsum di Ipoh boleh dijual sebanyak 1000 pinggan, berapa banyakkah yang akan terjual pada musim pilihanraya negeri?
HATI-HATI PAS JANGAN SAMPAI RAKYAT MELUAT KEPADA KITA
Tidak cukup dengan keputusan jawatankuasa disiplin yang memeningkan kita dan menjadi bahan ketawa abad ini, kini timbul semula isu muzakarah PAS dengan Umno.
Sekejap ada sekejap timbul. Sekejap ada sekejap timbul. Apa lagi kalau bukan muzakarah PAS dan Umno ? Sekejap UG, sekejap muzakarah. Sekejap muqabalah. lepas ini apa pula, kita pun tidak tahu. Saya yakin rakyat dah muak dengan isu ini. Jika saya tidak bersama PAS, sudah tentu saya orang pertama yang paling muak dan meluat dengan isu ini dan muak kepada kedua-dua parti politik yang membangkitkan isu ini.
Saya tidak boleh tegur Umno sebab dia bukan parti saya. Tapi saya ingin tegur pemimpin PAS. Kenapakah mereka tidak serik-serik membangkitkan isu ini sedangkan tiada angin tiada ribut. Bukankah lebih baik kalau kita gunakan pemikiran kita untuk perkuatkan Pakatan.
Saya rasa terpanggil ingin menegur pemimpin PAS tidak kira setinggi mana pun jawatan mereka dalam parti. Biarlah orang PAS marah saya daripada rakyat marah kepada PAS dan menghukum PAS selepas ini.
Cukuplah bangkitkan apa sahaja isu yang rakyat boleh hidu bahawa PAS dan Umno cuba nak berbaik. Takkan kita masih tidak kenal UMNO ! UG ke atau muzakarah ke bagi rakyat yang dah meluat dengan Umno , PAS dilihat sentiasa memberi nafas kepada Umno jika isu UG atau muqabalah atau muzakarah dibangkitkan.
Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai PAS berani-berani menghampiri had itu. Jika rakyat meluat kepada kita, jangan marah mereka marahlah kepada diri kita sendiri !!!
ZAMBRY & UMNO BN GUNA JENTERA DAN PEGAWAI KERAJAAN PERTAHAN KEPENTINGAN POLITIK MEREKA
PAS tidak dengki dengan cara sedemikian yang dibuat oleh Zambry. PAS sejak dahulu lagi menggunakan pendekatan sedemikian bagi memohon pertolongan dari Allah swt selain melalui proses undang-undang dan politik, walaupun ada mulut-mulut celupar UMNO BN mempertikai dan memperlekeh usaha sedemikian.
Persoalannya mengapa Zambry dan UMNO BN mengheret pegawai dan kakitangan kerajaan bagi mempertahankan kerajaan haramnya itu. Nampak sangat UMNO memperkuda pegawai kerajaan untuk kepentingan politik mereka. Mesej yang dihantar oleh Dato' SUK yang mengarahkan pegawai kerajaan membawa pasangan masing-masing ke majlis solat hajat di kediaman MB malam tadi menjelaskan lagi bahawa Dato' SUK diperkuda oleh UMNO BN. Jabatan Agama melalui penyelaras masjid seluruh daerah juga turut diperkuda oleh UMNO BN, mereka diminta mengarahkan Pengerusi dan beberapa Jawatankuasa Qaryah/Masjid hadir ke program solat hajat rakyat anjuran UMNO BN.
Berbeza dengan PR sewaktu setahun memerintah Perak. Beberapa program solat hajat sering diadakan bagi mempertahankan kerajaan PR akibat tekanan dan usaha jahat BN untuk merampas kerajaan PR melalui cubaan merasuah beberapa Adun PR. Bermula dengan solat hajat perdana di Stadium Ipoh dan beberapa solat hajat di kediaman MB, PR tidak pernah menggunakan jentera kerajaan untuk memanggil orang ramai menyertai program tersebut, Dato' SUK tidak pernah diarahkan untuk menjemput dan mengarahkan pegawai kerajaan menghadiri solat hajat, Jabatan Agama Perak juga tidak pernah diguna bagi menghebahkan program tersebut, PR berpendirian untuk mempertahankan kerajaan PR, jentera dan ahli partilah yang berperanan mempertankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat bukan jentera kerajaan.
Mereka juga menggunakan kesempatan ini bagi membangkitkan sentimen perkauman, kononnya kerajaan sekarang wajib dipertahankan bagi mengelakkan Cina dan DAP menguasai kerajaan Perak. PAS didakwa oleh mereka hanya sebagai boneka DAP dan Cina semata-mata. Mereka merayu-rayu oran Melayu supaya mempertahankan kerajaan BN sekarang yang dikuasai oleh Melayu dan Islam, jatuhnya kerajaan BN, akan hilanglah kerajaan Melayu di Perak. Itulah jahatnya UMNO BN memainkan sentimen perkauman sempit mereka bagi menagih simpati rakyat. Kita harap rakyat tidak terpedaya dengan diayah jahat yang dimaiankan oleh UMNO BN.
9 februari 2010
Setahun sudah isu rampasan kuasa di Perak berlalu maka selasa ini akan diketahui siapa yang akan menerajui Perak. Rata rata seluruh rakyat Malaysia sudah menjangkakan Zambry akan memenangi pertelingkahan jawatan Menteri Besar Perak, walaupun hakikatnya semua sedia maklum rakyat telah memilih Pakatan Rakyat memerintah Perak namun dengan sepantas kilat Umno menafikan kehendak rakyat Perak.
Walaupun Ir Nizar dinafikan oleh Umno tapi rakyat harus ingat sokongan padu pada Ir Nizar berterusan pabila beliau memenangi Pilihanraya Kecil Bukit Gantang. Lagi hebat ditekan lagi hebat sokongan rakyat diberikan pada perjuangan Pakatan Rakyat.
Seandainya selasa ini mahkamah mengadili dan menentukan Zambry sebagai Menteri Besar Perak adakah rakyat juga akan mengadili Umno akan terus memerintah Perak bila tibanya pilihanraya umum ke 13 nanti.
Aku percaya begitu banyak isu semasa politik yang menimbulkan kebencian rakyat pada umno seperti isu royalti minyak Kelantan, kes liwat Dato Seri anwar Ibrahim, isu MB Perak dan lain lain lagi isu semasa yang membuak hati perasaan rakyat membenci Umno walaupun menteri menteri umno mengatakan rakyat masih sokong BN di saluran berita nasional.
Dimedia massa Umno boleh berbohong tapi dilaman-laman di internet umno hanya mampu menangkis tapi tidak mampu menyekat.
Bercakap benar dicantas, berbohong dijulang.Dalam Umno menipu dapat lebih, bercakap benar makan ala kadar.