Saturday, March 20, 2010

JOHOR, NEGERI SEMBILAN BAKAL KITA TAWAN, TETAPI TIDAK MELAKA

@PERNAHKAH kita menjangka satu hari nanti Selangor akan dirampas oleh pembangkang? Mustahil jika difikirkan oleh akal kita memandangkan negeri tersebut begitu hebat kemajuan dan pembangunannya. Namun itu semua akhirnya mengajar kita betapa pembangunan dan kemajuan tidak cukup membuatkan rakyat bahagia. Bukan sedikit yang menderita di dalam sebuah negeri yang kaya raya. Kerajaan Firaun dahulu pun pun cukup kaya, tetapi berbahagiakah rakyat di bawah pemerintahan Firaun?

Kuasa Allah tidak menjangkau fikiran kita, akhirnya Umno/Bn terpaksa menyerahkan negeri terkaya itu kepada PR yang diterajui oleh PKR. Setelah PR mengambil alih, baru kita ketahui rupa-rupanya di sebalik kekayaan negeri tersebut sewaktu diperintah oleh Umno/Bn terlalu banyak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa yang disembunyikan oleh pemerintah ketika itu. Maka sebab itulah agaknya semakin lama semakin ramai mula menyedari betapa rakyat Selangor selama ini dipergunakan demi mempertahankan kuasa mereka. Akhirnya rakyat bangkit meruntuhkan kerajaan Umno/Bn itu.

Siapa boleh beri jaminan bahawa Johor yang dikatakan negeri terlalu kuat Umno nya itu tidak akan berjaya dirampas oleh PR ? Saya percaya setelah apa yang berlaku kepada Selangor dan Perak khususnya, tiada siapa berani beri jaminan Umno/Bn akan kekal memerintah Johor. Perkembangan terbaru di Johor dilihat semakin menghampirkan rakyat Johor mengenali PR. Umno di Johor tidak lagi sehebat dahulu dan MB nya pun sekarang mulai merasa panasnya Umno ketika ini. Kita sendiri jarang melihat wajah MB Johor di kaca TV dan media arus perdana sejak kebelakangan ini. Tidak dapat disembunyikan lagi hubungan MB negeri tersebut dengan TPM iaitu anak Johor juga agak renggang. Suara tokoh-tokoh Umno Johor juga seolah-olah hilang dari arus perdana. MCA bagaikan tiada lagi kekuatan di situ akibat perebutan kuasa di dalam partinya. PR kini mula memperluaskan pengaruhnya dan PAS telah pun mula mendapatkan tapaknya di Dun negeri tersebut.

Kehadiran DS Anwar baru-baru ini ke Johor menambahkan lagi semangat PR di Johor. Kehadiran ramai orang yang mendengar pidato Ketua Pembangkang tersebut merupakan sejarah baru di Johor. Baru-baru ini perjumpaan DS Anwar bersama rakyat di sebuah restoren di Johor, mereka melakukan sabotaj dengan memotong bekalan letrik. Tetapi atas kekuatan semangat penyokong yang bertindak pantas, mereka terpaksa menyambung kembali bekalan letrik tersebut. Begitulah hebatnya pengaruh DS Anwar di saat beliau difitnah.

Begitu lah juga keadaan yang berlaku di Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat Perpatih ini. DAP agak biasa di Negeri Sembilan, tetapi terfikirkah oleh kita PAS juga berjaya memasuki Dun di Negeri Sembilan? Kehadiran DS Anwar baru-baru ini sudah cukup menggambarkan betapa harapan kita cerah untuk melihat negeri ini akan diperintah oleh PR pada Pilihanraya Umum akan datang. Kehadiran melebihi 20 ribu orang di tengah-tengah hujan lebat bagi mendengar amanat DS Anwar di dalam program `Halilintar Ke Putrajaya' amat merimaskan Umno/Bn di negeri ini. Rupa-rupanya program `Juara Rakyat' tidak mampu untuk memperbodohkan rakyat lagi. Pembangunan di negeri tersebut kebanyakannya tertumpu di bandar, manakala di kampung-kampung masih ketinggalan. Jika kita pergi ke Jelebu contohnya, kita akan lihat daerah ini terlalu jauh ketinggalan walau pun MP Jelebu adalah Rais Yatim seorang Menteri dalam kabinet 1 Malaysia. Anda dikira bertuah jika berjumpa bas pengangkutan awam yang lalu di kawasan kampung satu jam sekali. Masalah kesukaran bas bukan masalah baru di kampung-kampung dalam daerah Jelebu.

Saya penuh yakin, dua negeri ini akan berjaya di`takluk' oleh PR di dalam Pilihanraya Umum akan datang. Secara jujur juga, saya akui negeri yang agak sukar ditawan oleh PR di dalam pilihanraya nanti adalah Melaka. Biar pun kita ketahui KM Melaka pernah disabitkan dengan politik wang di dalam Umno, tetapi rakyat Melaka kebanyakkannya tidak memandang itu masalah yang besar bagi mereka. Kelebihan KM Melaka sekarang adalah bijak `membuta'kan mata rakyat Melaka dengan pembangunan termasuk di kampung-kampung. Usaha lebih kuat perlu dilakukan oleh PR bagi menyelamatkan rakyat Melaka dari terus ditipu oleh Umno/Bn.

ALI RUSTAM DATANG JUGA KE SERAMBI MEKAH

TENTU anda masih ingat KM Melaka, Ali Rustam suatu ketika pernah mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan kerajaan negeri agar tidak berkunjung ke Kelantan. Larangan itu dikeluarkan lebih kepada alasan politik semata-mata bukan kerana faktor lain seperti wabak penyakit mahu pun faktor keselamatan. Apa yang malangnya, kakitangan kerajaan negeri menjadi mangsa akibat dendam politik KM yang disabitkan dengan politik wang di dalam Umno suatu waktu dulu.

Walau bagaimanapun, larangan itu tidak kekal lama kerana jika diteruskan sekali pun rakyat Melaka dan juga kakitangan kerajaannya bukan bodoh untuk dijadikan `lembu dicucuk hidung' oleh Ali Rustam. Maka, larangan itu ditarik balik atas alasan kununnya MB Kelantan sudah berubah sikap. Berubah apa? MB Kelantan sudah sokong Umno ke? Hakikatnya Ali Rustam tahu bahawa di negara kita yang kecil ini jika berlagak seperti `kera sumbang' tidak mahu bercampur dengan negeri lain, maka susahlah nanti. Kalau hendak dikira malu, memanglah malu kerana terpaksa jilat ludahnya sediri tetapi Ali Rustam ini tahu malukah? Jika beliau tahu malu, masakan sekarang beliau masih kekal KM Melaka sedangkan semua orang tahu bahawa politik wang dengan rasuah tu `sedarah sedaging'.

Baru semalam (Jumaat) Ali Rustam berada di bumi Serambi Mekah yang kini masih lagi dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS. Petang semalam beliau dijadualkan akan diwawancara melalui sebuah stesyen radio swasta (Manis FM) di Wisma Manis, Kota Bharu. Difahamkan beliau berada di Kelantan untuk mempromosi sukan (SUKMA) yang bakal diadakan di Melaka. Justeru itu, beliau besusah payah datang ke Kelantan sebuah negeri yang beliau pernah katakan negeri termiskin dan termundur. Selepas beliau datang sendiri ke negeri Che Siti Wan Kembang tersebut, cuba tanya beliau ada perubahan kah Negeri Kelantan sekarang jika dibandingkan dengan sewaktu Kelantan di bawah Umno.

Apa-apa pun, selamat datang kita ucapkan kepada Ali Rustam. Mudah-mudahan pagi tadi Ali Rustam sempat merasai hujan yang turun seketika sewaktu MB Kelantan mengadakan Solat mohon hujan. Moga-moga sejuk seketika tubuh Ali Rustam semasa berada di Kelantan.

Bila sudah bercerai


Zukri Aksah


Isteri saya seorang peguam syarie, yang beramal melalui firma guaman syarie miliknya sendiri. Antara kes terbanyak yang dibawanya adalah kes perceraian, juga kes-kes selepas perceraian seperti tuntutan nafkah, anak dan harta sepencarian.

Sepanjang yang saya lihat biasanya perceraian berlaku kerana sebab-sebab semasa, bukan kerana ketidakpuashatian yang panjang dalam tempoh perkahwinan. Contohnya seperti tiba-tiba diketahui suami berkahwin dua, suami hilang sumber pendapatan utama, pertengkaran, kehadiran pihak ketiga sama ada di pihak isteri atau suami dan sebagainya.

Tetapi bila sudah masuk mahkamah panjang pula ceritanya. Kalau asalnya bekas isteri memohon cerai fasakh kerana suaminya berkahwin dua, bila dalam mahkamah perinciannya menjadi panjang lebar, diungkit segala macam perkara yang berlaku dalam perkahwinan. Kononnya si suami tidak pernah memberi nafkah zahir kepadanya, walhal dia datang ke mahkamah dengan keadaan fizikal yang cukup sihat walafiat, tiada pula tanda-tanda tidak cukup makan.

Maka dituntutlah macam-macam, tunggakan nafkah, nafkah edah, mutaah dan sebagainya. Si bekas suami pula, untuk mengelak dari dihukum bersalah dalam hal ini, mendakwa si bekas isteri tiadalah berhak untuk mendapat semua ini, kerana si bekas isteri telah nusyuz kepadanya sewaktu dalam perkahwinan. Bukan susah membawa cerita, diberitahulah pada satu malam dalam perkahwinan kerana tidak mahu lepas satu rancangan televisyen, si bekas suami melaung dari tengah rumah, “Yang, buat kopi panas secawan!” Si isteri yang baru mahu duduk selepas meletak kain yang dilipat dalam almari sudah naik angin, “Uhhhh! Tangan ada, sudu ada, gula ada, kopi ada, air ada, abang pergi buat sendirilah.”

Begitulah kisah selepas bercerai, semua keburukan mahu diungkit, padahal mereka bukan bercerai kerana itu, bukan kerana wang-ringgit, makan-pakai mahupun kopi secawan. Perceraian bukan hanya berlaku dalam perkahwinan, ia juga berlaku dalam perhubungan politik. Bila perhubungan politik tercerai, maka sama seperti perceraian perkahwinan, emosi marah membawa kepada terungkitnya cerita buruk dalam kelambu, dalam kain masing-masing.

Inilah yang kita saksikan mutakhir ini, kita dipersembahkan dengan gelagat buruk orang bercerai politik, seperti Salehuddin Hashim, Zahrain Hashim (maaf, mereka bukan adik-beradik), Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng, seorang bekas Setiausaha Agung dan empat Ahli Parlimen dari PKR.

Biasalah selepas bercerai, semua tidak kena, semua tidak baik, diungkit segala serba mak nenek, seolah-olah parti yang mereka wakili selama ini tiada kebaikan langsung, walaupun saya percaya setiap seorang dari mereka ini hanya ada satu sebab mengapa mereka bercerai dengan parti mereka. Dalam kelantangan dan kelancangan mereka, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, mereka terlupa sekurang-kurangnya satu kebaikan bekas parti mereka itu, bekas parti merekalah yang memberi peluang kepada mereka menjadi calon pilihanraya, Presiden bekas parti merekalah yang menyerahkan watikah bagi membenarkan mereka bertanding, pekerja bekas parti dan parti sahabat merelah yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen sehinggalah meraih dan merayu undi untuk mereka ketika hari pengundian, sampailah mereka menang dan bergelar Ahli Parlimen.

Biasalah juga selepas bercerai, bekas parti mereka ini dakwa mereka tiada jasa, buat apa mereka mahu letak jawatan, jawatan Ahli Parlimen mereka itu amanah rakyat katanya. Amanah rakyat? Pooorahhh… Mereka lupa mereka mendapat kepercayaan rakyat dahulu sebab parti meletakkan mereka di situ sebagai calon. Sebelum mereka mendapat kepercayaan rakyat, terlebih dahulu mereka mendapat kepercayaan parti. Lalu sebagai calon yang menang kemudiannya dan bergelar Ahli Parlimen, mereka sebenarnya membawa dua amanah, amanah parti dan amanah rakyat. Ingat! Di kertas undi tempohari bukan hanya ada nama Zahrain Hashim, Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng sahaja, tetapi di sebelah setiap nama mereka, ada lambang parti yang mereka wakili. Rakyat memberi amanah kepada mereka atau kepada parti? Dan sekarang mereka khianat kepada siapa?

Sama seperti pasangan berkahwin yang bercerai, orang yang bercerai politik ini juga menuntut macam-macam, mendakwa macam-macam. Ada yang tuntut Anwar letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, tuntut Wan Azizah letak jawatan, mendakwa Lim Guan Eng diktator, cauvinis dan komunis, peliknya di antara lima yang keluar dari PKR, yang membuat tuduhan inilah yang keluar dengan imbuhan paling besar, keluar dengan gelaran Datuk Seri! Dan untuk mendapat gelaran tersebut, namanya mestilah dicadang oleh Lim Guan Eng sendiri kepada Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang!

Tidak cukup dengan ini, si Zahrain Hashim mengamuk pula di Parlimen, mendedahkan (kononnya) perancangan “rampasan kuasa” 16 September Anwar Ibrahim. Katanya Anwar Ibrahim kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6, habis semua orang mahu dilibatkannya, Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Parlimen BN, tentera, juga Yang DiPertuan Agung. Sikap ini samalah dengan sesetengah bekas suami atau isteri yang bercerai, kerana tidak puas-hati, semua mahu dikaitkannya, adik-beradiklah, ipar-duai, sepupu-sepapat, ibubapa, mertua sampailah kaum-kerabat jauh dan dekat serta rakan dan sahabat.

Menguatkan hujahnya ini, Zahrain cakap sebab itulah nombor plet kereta Anwar 6. Ehhh… salahkah itu, kalau tidak silap ingatan saya, sewaktu kempen PRU2008 yang lalu, antara poster PKR yang paling banyak bertebaran adalah poster Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-6, ia senjata perang psikologi politik. Saya percaya poster ini banyak tertampal di Parlimen Bayan Baru sewaktu Zahrain Hashim bertanding di sana. Mahu tidak mahu, Zahrain terpaksa mengaku yang antara penyumbang kemenangannya di situ adalah kerana pengaruh psikologi poster tersebut. Untuk membuktikannya, Zahrain boleh sahaja menjadi politikus budiman seperti Shahrir Samad yang berani meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Umno Johor Bharu, kemudiannya bertanding semula sebagai calon bebas dan menang. Apakah Zahrain percaya BEBAS boleh memberi pengaruh psikologi sehebat itu kepada pengundi Bayan Baru?

PKR pula dalam usaha mempertahankan diri, menganggap mereka yang bercerai dan dicerai dari parti ini adalah Ahli Parlimen dan bekas pemimpin parti yang “nusyuz.” Sebahagiannya boleh dibuktikan kerana orang-orang seperti Zahrain, Zulkifli Noordin dan Tan Tee Beng sudah berlagak meninggikan suara sejak sebelum menjadi bebas lagi. Orang nusyuz tidak berhak kepada harta, wa’ima tempat tinggal sekalipun. Tempat tinggal mereka sekarang, Bayan Baru, Kulim Bandar Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal adalah tempat tinggal ketika mereka masih dalam PKR, Zulkifli Noordin yang sentiasa berkopiah itu mungkin boleh mengulas.

Cumanya, dalam kes perceraian perhubungan politik, tidak ada mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil yang boleh mengadilinya, yang ada cumalah mahkamah rakyat, itupun bersidang lima tahun sekali sahaja.

Friday, March 19, 2010

Zahrain Pembohong Besar


Itulah reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Parti Sabah Maju (SAPP) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim mengenai beberapa nama ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa terlibat dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan dakwaan sedemikian.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini semua satu pembohongan,” kata Bung Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Zahrain bahawa dia (Bung Mokhtar) antara Ahli Parlimen BN yang dinamakan dalam rancangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada pengundi dan bukannya melaksanakan agenda peribadi Ketua Pembangkang.

"Jangan sesuka dakwa kita boleh lompat parti," katanya.

Semalam, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui pula menegaskan beliau tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak ada satu pun yang benar dalam apa yang diperkatakannya dan dia berbohong dalam Parlimen. Ini satu perbuatan yang memalukan kepada pengundi terutamanya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya dan Datuk Eric Enchin Majimbun tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008,” katanya dalam kepada mStar Online hari ini.

Soon Bui berkata, perkara tersebut berlaku kerana Zahrain sangat obses dengan kepentingan peribadi.

“Zahrain mungkin lupa kepada sejarah SAPP dan kepentingan rakyat Sabah. Kami keluar BN kerana hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sehingga hari ini kami masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan SAPP tidak menyertai PR atau mana-mana parti. Bagi saya, dia tidak layak untuk bercakap bagi pihak wakil rakyat Sabah yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh pula berkata beliau akan menerangkan sendiri dakwaan Zahrain ketika membahaskan titah diraja pada 22 atau 23 Mac ini.

“Zahrain patut dedahkan senarai sebenar Ahli Parlimen BN keluar parti, bukan buat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Beliau turut menafikan didatangi pihak berkenaan agar keluar BN bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat); Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut). Salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dan dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Tengku Razaleigh kecewa jasanya tidak dikenang

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan “dimarahi” disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai “peminta sedekah”.

“Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara.

Apa agenda tak mahu daftar pemilih automatik

Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) memberitahu sejumlah 4.39 juta pengundi belum berdaftar, sebaliknya menteri pula kata kerajaan tidak akan memaksa rakyat untuk mengundi.

“Ini bermakna hanya SPR sahaja yang bersungguh-sungguh untuk mendaftar pemilih belum berdaftar, sedangkan kerajaan tidak berminat berbuat demikian.

“Mungkinkah ada sesuatu yang kerajaan cuba sembunyikan apabila tuntutan rakyat dan parti-parti pembangkang supaya mengguna daftar secara automatik tidak dihiraukan,” kata Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan memberitahu persidangan parlimen, kerajaan tidak bercadang mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat yang mencapai umur 21 tahun.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan kebebasan berpersatuan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Sedangkan sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu SPR bercadang mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.

SPR juga dalam kenyataan menyebut sejumlah 4.39 juta pengundi atau 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi belum mendaftar.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, sebanyak 72 peratus atau 7,878,875 pemilih keluar mengundi daripada 10,922,139 jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara.

Mohd Khir yang juga Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberi analogi mudah, mana lebih baik menangkap ayam dan dikurung dalam reban sebelum disembelih atau menangkap ayam di luar kandang sebelum dikorbankan.

“Kerajaan sudah ada jalan yang begitu mudah dan menjimatkan masa bagi mendaftar pengundi, namun kerajaan masih enggan melakukan.

“Ini menimbulkan satu persoalan. Kalau tidak ada agenda sulit yang tidak diketahui umum, sudah tentu pendaftaran pengundi secara automatik yang lebih telus dan menjimatkan wang kerajaan diterima pakai,” katanya.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof berkata, setiap kali pengerusi baru SPR dilantik tentunya ada cadangan pembaharuan yang cuba dibawa bagi mengelakkan badan itu daripada terus dikritik pembangkang.

Katanya, begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Tan Sri Aziz, beliau cuba untuk melakukan reformasi, namun kerajaan enggan menerimanya.

“Ini bermakna kita terpaksa menunggu pengerusi baru SPR lain pula untuk melihat ada ketelusan dalam sistem pengendalian pilihan raya di negara ini.

“Mungkin juga kenyataan pengerusi SPR baru sekarang hanya sekadar untuk meredakan kemarahan dan mengelakkan menjadi sasaran kritikan pembangkang,” katanya.

Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan Barisan Nasional ternyata takut dengan kehadiran pengundi muda sehingga cadangan daftar automatik tidak dihiraukan kerajaan.

“BN takut tidak lagi dapat memanipulasi daftar pemilih kalau dilakukan pendaftaran secara automatik. Itulah sebabnya kerajaan tolak untuk leksanakan daftar itu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat negeri.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustapha berkata, kerajaan nampak berminat membelanjakan lebih banyak wang untuk mengadakan kempen daftar pemilih, sedangkan kaedah yang menjimatkan diketepikan.

“Penantian begitu lama rakyat untuk melihat pengendalian pilihan raya berlaku secara benar-benar telus belum mampu menjadi kenyataan,” Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Salahguna Harta Kerajaan : Polis didakwa, Muhyiddin dilepas?

Dalam kes bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusoff, pihak SPRM telah mendakwa beliau menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengarahkan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk membawanya melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kevin Morais dan Joyce Blasius, memanggil 75 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 59 hari antara 13 Mei 2008 dan 6 Julai tahun lepas.

Bagaimanapun, dalam penghakiman hari ini yang dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Sebli telah berkata tuduhan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai banyak kesilapan dari awal perbicaraan lagi.

Keputusannya Mahkamah Tinggi Sabah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusoff .

Itu adalah kes yang melibatkan dakwaan terhadap seorang Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah yang telah dituduh menggunakan pesawat polis untuk tujuan peribadi hampir tiga tahun lalu.

Bagaimana pula dengan kes seorang pemimpin UMNO yang telah menyalahgunakan Helikopter Nuri milik TUDM untuk tujuan dan kepentingan UMNO.

Beliau telah dilaporkan menggunakan pesawat NURI milik TUDM itu untuk mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Kudat pada 15 Ogos 2009.

Selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Kudat beliau akan merasmikan mesyuarat Umno bahagian Penampang pula.

Malangnya Helikopter Nuri milik TUDM yang membawa beliau terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran Sabah akibat cuaca buruk.

Turut berada beliau di dalam pesawat yang membawa 14 penumpang serta anak kapal itu ialah setiausaha akhbar beliau Datuk Ainon Mohd serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Dan menurut laporan The Malaysian Insider pada 23 Nov 2009, dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Kit Siang, Menteri diJabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah mengatakan SPRM masih menyiasat dakwaan penyalahgunaan Helikopter Nuri milik TUDM itu untuk tujuan tidak rasmi.

Pada hari yang sama juga iaitu pada 23 Nov 2009 Nazri juga telah berkata, Muhyiddin layak menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berdasarkan garis panduan penggunaan pesawat itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Katanya lagi garis panduan penggunaan pesawat udara adalah berdasarkan kepada Surat Pekeliling Am Sulit Bil. 1 Tahun 1987 Peraturan-Peraturan Penggunaan Jet Eksekutif Kerajaan dan Pesawat-Pesawat TUDM yang memperuntukkan pesawat-pesawat jet eksekutif kerajaan adalah untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Antara asas pertimbangan kelulusan permohonan adalah bagi perjalanan yang tiada perkhidmatan udara MAS dan juga meliputi kawasan-kawasan terpencil yang memerlukan pesawat helikopter untuk sampai ke destinasi tersebut dengan kadar yang cepat,"

Sebagai Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin memang layak menggunakan Helikopter Nuri itu untuk tugas-tugas rasmi.. tetapi beliau telah menggunakan Helikopter Nuri itu atas kapasiti Timbalan Presiden UMNO yang mempengerusikan mesyuarat UMNO..Bukan sebagai Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang akan mempengerusikan mesyuarat kerajaan Negeri..

Hingga ke hari ini 18 March 2010, Muhyiddin masih belum diheret ke Mahkamah oleh SPRM sebagaimana bekas Pesuruhjaya Polis Sabah itu dihadapkan ke Mahkamah…..

Adakah Harta Kerajaan itu Harta UMNO? Dan Harta UMNO itu harta Mak Bapak Depa?

Thursday, March 18, 2010

11 Bahagian cuba jatuhkan MB Perak

Wujud tangan ghaib cuba menjatuhkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir apabila 11 ketua bahagian dikaitkan dengan gerakan sulit ini.

Ketua UMNO Cawangan Pekan Batu Lima Bahagian Parit Buntar, Sulaiman Mohd Zaini berkata, khabar angin kuat mengatakan 11 Ketua Bahagian menganjurkan gerakan sulit untuk memburukkan imej dan kedudukan Dr Zambry sebagai Menteri Besar ke peringkat kepimpinan pusat UMNO

Menurutnya, suara dari kumpulan yang boleh dilabelkan sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada Menteri Besar cuba menikam dari belakang, menggunakan gerakan sulit.

“Kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 11 ketua bahagian UMNO negeri ini dalam usaha menganjurkan gerakan sulit semata-mata mahu melihat Dr Zambry meninggalkan jawatan dipegang sekarang.

“Inilah sikap dan tindak-tanduk pemimpin bahagian yang tidak matang serta tidak cerdik dalam permainan politik mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Sulaiman berkata, mereka tidak boleh bersikap demikian kerana sebagai seorang pemimpin atau ketua bahagian, sokongan jitu perlu diberikan kepada kepimpinan Menteri Besar bukannya memulaunya.

Katanya, jika pihak berkenaan tidak boleh menerima arahan atau pandangan Menteri Besar, letak jawatan adalah keputusan terbaik bagi membersihkan serta memulihkan kembali imej UMNO yang dipenuhi dengan pemimpin pentingkan diri serta kroni.

“Dipercayai 11 ketua bahagian ini diketuai oleh seorang ketua yang cukup berpengaruh dalam UMNO negeri serta dalam masa sama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Individu inilah yang dipercayai menjadi dalang kepada gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar.

“Saya cukup terkejut dan hairan kenapa mereka ini sanggup bersikap sedemikian walhal kita di bawah satu bumbung, parti, agama serta bangsa yang sama, kalau beginilah sikap mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, UMNO hanya tinggal nama sahaja,” katanya.

Lagi Penyelewengan UMNO BN..

Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan minit mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 1987 mengenai status pengasingan tanah di Subang Jaya iaitu Taman Rekreasi Subang Ria.Maklumat yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi itu menunjukkan bagaimana kerajaan Selangor ketika masih dicengkam pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) menjual tanah terbabit kepada Sime Darby UEP.

Mendedahkan hal itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bayaran tanah yang dijual kepada Sime Darby pula jauh lebih tinggi dari nilai sebenar. Mengikut minit mesyuarat itu, katanya, United Estate Berhad memohon tanah seluas 76.5 ekar di Petaling yakni ekarang Subang Jaya pada 1987 untuk kegunaan rekreasi.

Beliau berkata, bayaran premium yang dikenakan untuk tanah tersebut ketika itu berjumlah 4.95 juta sedangkan nilai pasaran hanyalah 1.57 juta. "Bagaimanapun, urusan itu tidak melibatkan wang, sebaliknya Sime Darby membeli 10 rumah untuk digazetkan sebagai kuaters kakitangan pejabat daerah petaling ketika itu. Khalid berkata, rumah itu diserah kepada kerajaan Selangor dan digazet sebagai rumah untuk Penolong Pegawai Daerah Petaling dan Setiausaha Majlis Daerah Petaling.

"Kesemua unit runah ini terletak di SS 19 Subang Jaya. Cadangan ini telah diluluskan Mesyuarat MMKN ketika itu," katanya. Katanya, ia mencetuskan kontroversi berikutan Taman Rekreasi Subang Ria hendak dimajukan sebagai kawasan perumahan oleh Sime Darby mendapat tentangan hebat penduduk. "Sebagai pemilik tanah yang berhak, Sime Darby UEP tidak boleh dihalang dari membuat pelan pembangunan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan penduduk di Subang Jaya mendapat kawasan hijau secukupnya. "Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan tidak akan menjejaskan hak rakyat dan semua keputusan dibuat secara telus dan tanggungjawab dan selari dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor.

Search This Blog