Saturday, July 11, 2009

DAP Kedah batal keputusan keluar Pakatan

DAP Kedah hari ini menarik balik keputusan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat selepas mendapat jaminan kerajaan negeri untuk menyelesaikan semua pertikaian yang dibangkitkan sebelum ini.
Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa DAP negeri itu yang berakhir tengah hari tadi.
"Kita menarik balik keputusan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat yang kita buat sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Pada 1 Julai lalu DAP Kedah mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu antara lain termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya.
Bagaimanapun Thomas berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah memberi jaminan untuk menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.
"Ada beberapa perkara yang kita bangkitkan sebelum ini telah diselesaikan dan ada yang akan diselesaikan kemudian.
"Sebagai contoh isu pusat penyembelihan babi, MB (Menteri Besar) telah memberikan kita tempat alternatif iaitu di sebuah kawasan di Gurun," katanya.
Selain itu menurut Thomas lagi, Azizan juga telah memberi jaminan bahawa isu untuk merobohkan kuil dan tokong hanya akan dilakukan dengan kebenaran beliau.
"Menteri Besar juga memberi jaminan bahawa sebarang tindakan untuk merobohkan kuil dan tokong akan mendapat kelulusan beliau dahulu," katanya.
Ditanya sama ada keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada DAP Pusat, Thomas berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng bagi memaklumkan mengenai perkara itu.
"Saya baru sahaja menghubungi Guan Eng tadi dan memaklumkan mengenai keputusan ini, kita akan hantar surat secara rasmi kemudian.
"Tapi Menteri Besar belum dimaklumkan lagi, kita akan hubungi beliau kemudian," katanya.

Dr Mujahid berdebat dengan Khairy petang ini

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa akan berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahya mengenai 'Wacana Minda Perpaduan Ummah' di Komplek Masyarakat Penyayang, Jalan Utama berdekatan Hospital Besar Pulau Pinang mulai jam 2.00 petang ini.

Program anjuran Umno Bahagian Tanjung itu dibuat untuk menghurai beberapa masalah yang berlaku di negara selain mendapat pandangan daripada berbagai pihak termasuk PAS yang dikatakan mempunyai banyak formula untuk tanganinya.
Penduduk dan sesiapa yang berminat boleh hadir untuk mengikuti debat berkenaan.

Friday, July 10, 2009

Azmin Ali mahu barisan exco kerajaan negeri Selangor dirombak

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merombak portfolio anggota exco kerajaan negeri sekarang.
Beliau berkata ia perlu dilakukan secara lebih teratur dan menerusi perbincangan sesama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pelantikan ahli exco tidak boleh berdasarkan parti dan kaum, tetapi lebih kepada keupayaan mereka untuk mentadbir dengan berkesan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata Menteri Besar perlu menilai semula prestasi exco kerajaan negeri.
Ditemui kemudiannya, Khalid berkata rombakan tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.
Ia hanya berupa cadangan dan tidak memadai hanya datang dari seorang Adun, katanya dan menambah beliau bagaimanapun akan menilai prestasi barisan exconya.

MB Perak: Nizar dibenar merayu

Keputusan muktamad siapa Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap perisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal memegang jawatan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara membenarkan Mohammad Nizar mengemukakan tiga persoalan undang-undang dalam rayuannya kelak.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin bagaimanapun menolak permohonan peguam, Datuk S. Ambiga yang mewakili perayu agar keputusan Mahkamah Rayuan itu ditangguh sementara menunggu rayuan.
Ketika berhujah, Ambiga memohon mahkamah mentafsir Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 sama ada jawatan Menteri Besar perlu dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihatkan Sultan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Beliau turut meminta mahkamah menjelaskan undang-undang melibatkan kuasa memecat Menteri Besar sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan, tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dan beliau tidak meletak jawatan.
Ambiga juga berhujah agar mahkamah mentafsir Perkara 16(6) UTKNP sama ada isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang Dewan atau boleh dibuat di mana-mana sahaja.
Selain itu, beliau menyatakan, mahkamah diminta mentafsir undang-undang sama ada ahli Exco telah dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.
Sementara itu, Ambiga ketika berhujah meminta keputusan Mahkamah Rayuan ditangguh sementara menyatakan, status-quo Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar perlu dikekalkan sehingga Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan muktamad.
Menurut beliau, permohonan itu penting kerana beberapa polisi yang telah diluluskan untuk manfaat rakyat Perak ketika pemerintahan pakatan pembangkang telah ditarik balik pelaksanaannya.
Bagaimanapun, peguam Cecil Abraham yang mewakili Zambry berhujah pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan itu tidak ditangguhkan kerana ia akan membawa maksud bahawa Mohammad Nizar masih seorang menteri besar.
Dalam pada itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah sependapat dengan Abraham bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak perlu ditangguh kerana perayu bukan lagi menteri besar.
Sementara itu, Mohammad Nizar pada sidang akhbar selepas prosiding mahkamah menyatakan, tujuan penangguhan perintah itu penting bagi memastikan dasar yang diluluskan ketika pembentangan Bajet 2009 terus dilaksanakan untuk manfaat rakyat Perak.
Menurut beliau, antaranya Tabung Kifalah yang menawarkan RM1,000 kepada warga emas dan Tabung Khas Kebajikan Rakyat yang dikhaskan untuk warga tua terbiar dan anak-anak miskin.
Mohammad Nizar turut menyatakan, beliau bimbang Projek Perkhidmatan Awam Bersepadu, Ipoh Sentral di atas tanah seluas 3.23 hektar melibatkan 14 syarikat pengusaha bas turut dilambat-lambatkan sedangkan ia telah diluluskan.
Selain itu, ujar beliau, perkhidmatan 817 Ketua-Ketua Kampung seluruh Perak telah ditamatkan manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibubarkan.
Beliau turut mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan tanah seluas 14,000 hektar bagi membolehkan beberapa syarikat mengusahakan perlombongan bijih timah dan perjanjian itu tidak boleh ditarik balik.
Dakwanya lagi, satu projek pembalakan di kawasan penempatan Orang Asli di Kampar turut diluluskan sedangkan kedua-dua kerajaan memerintah berjanji untuk tidak melaksanakannya demi kepentingan penduduk di kawasan itu.
Mohammad Nizar mengemukakan kebenaran merayu terhadap keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Md. Raus Sharif pada 22 Mei lalu yang sebulat suara mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara pada 11 Mei lalu yang memutuskan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Thursday, July 9, 2009

Debat Dengan Pas: Najib dan Khairi Sama Penakut

Oleh Nasali Ismail

Cabaran Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Aziz untuk berdebat dengan Presiden Umno Najib Razak ditolak mentah-mentah. Alasannya debat ini tidak membawa faedah. najib juga mengatakan bahawa, 'bagaimana hendak debat kalau awal-awal sudah kutuk. Ini membawa suasana tidak kondusif." dan pelbagai alasan lagi diberikan.

Sebelum ini ketika Anwar mencabar beliau berdebat sewaktu menjadi timbalan Perdana Menteri juga ditolak oleh Najib. Kononnya tidak membawa faedah. tetapi dimedia massa dia berulang-ulang menyerang pembangkang.

Dalam isu cabaran Nik Aziz, ia ada kaitan dengan dakwaan perjuangan Umno menolak Islam. Najib marah dengan dakwaan Nik Aziz dan mengatakan dakwaan itu tidak benar.

Pengikut-pengikutnya juga menempelak MB Kelantan. Namun apabila diajak berdebat untuk buktikan Umno tidak tolak Islam mereka menolaknya. Bukan sekadar tawaran debat secara rasmi, di Parlimen juga yang wajib Najib berdebat dengan pembangkang juga ditolaknya. Tentu kita ingat ketika membentangkan bajet mini awal tahun lalu, Najib tidak memberi ruang untuk soal jawab sebagaimana sepatutnya sehingga menyebabkan ucapannya diboikot oleh MP pembangkang. Begitu juga dalam isu Altantuya.

Apabila disergah oleh MP Puchung berkaitan isu ini, Najib tidak menjawab. Sebaliknya melarikan diri keluar dewan. Ini jelas empat bukti sememangnya Najib penakut untuk berdepan dengan pembangkang. Ketua Pemudanya Khairi Jamaludin yang sepatutnya menjadi panglima mempertahankan pimpinan mempunyai sejarahnya berkaitan debat.

Ketika menjawat jawatan naib ketua pemuda sebanyak tiga kali beliau dicabar debat oleh timbalan ketua Pemuda Pas Us Nasarudin Tantawi. Kali pertama ketika beliau mendakwa Umno membeli dan memperjuangkan Islam. Nasarudin menghantar surat mencabar beliau berdebat membuktikan Umno perjuangkan Islam. Namun Khairi diam membisu tidak menjawab. Keduanya ketika sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Khairi mendakwa bahawa hanya Umno dan BN sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Sekali lagi dia diajak berdebat tentang isu kemerdekaan ini oleh Nasarudin Tantawi. tetapi Khairi membisu dalam erti kata menolaknya. Ketika ketika berlaku krisis rampasan kuasa di Perak.

Khairi menjadi heromembela raja-raja Melayu dan dia menyatakan bahawa Pas dan parti-parti Pakatan derhaka kepada raja. Nasarudin sekali lagi menghantar surat menjemput Khairi berdebat siapa derhaka kepada raja. Namun ditolak buat kali ketiga dengan diam membisu. Untuk kali yang keempatnya, apabila pemuda Umno menempelak kenyataan TG Nik Aziz yang mengatakan perjuangan Umno boleh disamakan dengan Ayah Pin dan Komunis kerana menolak Islam.

Pelbagai kenyataan dan laporan polis dibuat kononnya Nik Aziz memutar belitkan fakta, Nik Aziz menghasut dan berkata tidak benar. Maka buat kali yang keempat Nasarudin mengajak Khairi berdebat dalam isu ini. Namun kali ini pertemuan itu tidak dinamakan debat, sebaliknya wacana ilmiah. Harapan kita, semoga Khairi menerima wacana ini yang lebih lembut bahasanya walaupun hakikat sebenar masih debat. Tidak ada dialog atau forum mencari kesamaan kerana secara dasarnya pun Umno memang jauh berbeza dengan Pas.

Kali ini Khairi membalas jemputan dengan bersetuju berwacana. Namun diberi dua syarat terlebih dahulu. Pertamanya beliau mahu memastikan tidak ada serangan peribadi di Manek Urai. Keduanya beliau mahu bertemu terlebih dahulu dengan Ketua Pemuda Pas untuk berbincang menyelesaikan beberapa masalah yang timbul. Isu serangan di Manek Urai tidak ada kena mengena dengan urusan untuk menerima berwacana. Keduanya kenapa perlu bertemu dengan Ketua Pemuda Pas terlebih dahulu sebelum berwacana.

Difahamkan dalam jemputan berwacana tersebut, pemuda Pas sudah mencadangkan supaya kedua-dua belah pihak mewujudkan jawatankuasa teknikal yang akan bertemu terlebih dahulu bagi membincangkan masa, tempat dan format wacana.

Oleh itu tidak ada keperluan untuk Khairi bertemu terlebih dahulu dengan Nasarudin sebelum wacana. Tetapi kenapa Khairi hendak bertmu sangat sebelum wacana? Pertamanya dia mahu memerangkap pemuda Pas dalam jerat beliau. Apa bila dibuat pertemuan tertutup diantara mereka berdua, maka pelbagai spekulasi luar akan berlaku yang akan memecah belahkan Pakatan Rakyat seolah-olah pemuda Pas berbaik-baik dengan Pemuda Umno.

Jika tidak berlaku pun, Khairi akan melakukannya dengan membuat sidang media mengatakan, alhamdulillah hubungan dan perbincangan kami dengan Pemuda Pas berjalan baik dan ini boleh dirintis kearah penyatuan bla.. bla... bla..." Maka riuhlah sekali lagi Pakatan Rakyat dan retaklah hubungan mereka.

Ini yang Khairi mahukan. Keuntungan politik sebelum berwacana. Jika perkara ini benar-benar berlaku, pastinya pemuda Pas dengan sendirinya akan membatalkan wacana ini diatas alasn Khairi tidak ikhlas dan memutar belitkan keadaan.

Khairi terselamat daripada berdepan secara terbuka dengan Nasarudin. Namun khabarnya Nasarudin Tantawi menolak untuk bertemu dengan Khairi sebelum berwacana. Maklumat yang diterima, beliau tetap dengan keputusan awal untuk berhadapan dengan Khairi secara terbuka dengan disiarkan secara langsung di mana-mana stesyen televisyen sahaja dan bukannya pertemuan awal.

Jika keadaan ini berlaku, maka Khairi akan gunakan alasan ini untuk menolak wacana dengan pemuda Pas. Khairi akan memberi alasan bahawa pemuda Pas tidak bersedia untuk bertemu beliau terlebih dahulu menyebabkan beliau menolak berwacana dalam membuktikan Umno benar-benar memperjuangkan Islam. Jika kedua-dua keadaan tidak berlaku, Khairi akan menggunakan saluran lain untuk menolak wacana ini. Ketika cabaran wacana dilontarkan, Naib Presiden Umno Syafie Afdal meminta Pemuda Umno menolak sebaran debat atau wacana terbuka kerana ia merugikan Umno.

Maka Khairi akan gunakan arahan pimpinan atasan yang tidak membenarkan debat. Apapun keadaannya Khairi tetap berusaha untuk tidak berwacana secara terbuka dengan pemuda Pas kerana memang terbukti Umno menolak dan melawan Islam. Maka Khairi yang diharap-harapkan sebagai pemimpin baru pelapis kepada Umno tidak menjadi kenyataan. Kerana beliau sama sahaja penakut seperti bosnya Datok Najib.

UMNO perjuang Islam?

"Selepas Presiden UMNO ketar lutut nak berdebat dengan Tok Guru Mursyidul AM, kini Timbalannya pulak cuba nak jadi hero, nak buktikan UMNO memperjuangkan Islam.

Kawan-kawan nilai lah sendiri... UMNO sudah sukar untuk dipercayai..berikut kenyataan beliau dari Mstar..

Muhyiddin cabar Pas buktikan UMNO tidak perjuang Islam

KUALA KRAI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar PAS supaya membuktikan semasa pilihan raya kecil Manik Urai bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam selama parti itu memerintah negara.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada PAS dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

"Kalau dilihat dalam Perlembagaan UMNO salah satunya adalah untuk menegakkan syiar Islam," katanya ketika berucap kepada penduduk kawasan Manik Urai Lama pada hari ketiga kempen pilihan raya kecil Manik Urai di sini semalam.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain, "menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama".

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau terkejut dengan dakwaan PAS yang menuduh parti itu tidak memperjuangkan Islam dalam ceramah politiknya untuk menarik sokongan 12,293 pengundi Manik Urai.

Muhyiddin juga menepis dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) memperkecilkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan yang mempunyai kelulusan rendah berbanding calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, bekas pegawai Kesedar.

"Nak jadi pemimpin kena ada ilmu," kata Muhyiddin.

Mengenai usaha menjadikan Manik Urai sebagai kawasan "anak angkat", beliau berkata kawasan itu berhak lebih daripada itu untuk menjadi "anak emas" Kerajaan Persekutuan, sekiranya BN menang.

Dengan itu ia akan menerima pembelaan yang sewajarnya daripada BN, katanya.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menjawab tuduhan PAS yang menuduh Kesedar tidak melakukan apaapa sedangkan kerajaan negeri juga bertanggungjawab untuk membangunkan Manik Urai.

Beliau menyamakan tuduhan itu dengan taktik kerajaan negeri Pulau Pinang yang lepas tangan mengenai masalah penduduk Kampung Buah Pala di negeri itu supaya kerajaan pusat campurtangan.

Penduduk Kampung Buah Pala diminta berpindah berikutan pihak pemaju ingin membangunkan kawasan itu. "

Wednesday, July 8, 2009

Zaid minta Najib jelas isu Altantuya

KUALA KRAI, Julai 8 — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dalam ceramah pertamanya di atas pentas Pakatan Rakyat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan isu royalti minyak untuk Kelantan, isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan kontroversi pembelian kapal selam.

Najib diminta supaya berterus terang kepada rakyat Kelantan berkaitan isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri yang didakwa tertunggak sejak 2004 dengan anggaran nilaian berjumlah RM1 bilion.

Ceramah Zaid, bekas anggota Parlimen Kota Bharu itu diadakan di kampung Lela Jasa, dekat sini. Turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, serta beberapa kepimpinan PAS kawasan.

Berbeza dengan siri kempen pilihan raya kecil Penanti, isu Altantuya masih belum dihalang dari dibicarakan.

Dalam ceramah itu juga, Zaid menyelar sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) merendah-rendahkan karektor calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, tidak mempunyai latar belakang akademi sebagai serangan peribadi tidak berasas.

Beliau berkata, prinsip Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan BN dalam memilih calon yang mengutamakan kualiti penampilan calon dari kepelbagaian sudut selaras dengan kehendak rakyat.

Zaid merujuk kepada sejarah ketamadunan kerajaan Islam zaman Rasulullah yang berjaya mentadbirkan negara dengan telus dan adil kepada seluruh masyarakat tanpa mendapat kelulusan ijazah universiti.

“Pengajian tinggi tidak penting. Yang penting ialah pengalaman, sebab pengalaman tidak akan didapati walau mengaji setinggi manapun. Kerajaan di zaman Rasulullah dulupun tidak terbentuk daripada individu yang berpendidikan di peringkat universiti.

“Bahkan tidak ada universiti pada zaman nabi tetapi boleh memerintah dengan telus dan adil kepada rakyat. Ada ijazahpun buat apa kalau banyak putar belit yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Melalui ceramah sulung beliau selepas menyertai PKR, Zaid berkeyakinan rakyat Manek Urai memerlukan calon yang benar-benar bertanggungjawab dan tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi.

Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan di Kuala Krai, dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai tidak mempunyai latar belakang berpendidikan tinggi, sering menjadi modal serangan BN.

Fauzi dibezakan dengan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat merupakan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang mempunyai kelulusan ijazah.

Sementara itu, Salahuddin memberitahu akan terus memperjuangkan nasib rakyat bersama ahli parlimen Pakatan di Dewan Rakyat yang dikatakan terbeban dengan cengkaman kadar kenaikan insuran kenderaan awam.

"Satu Malaysia, rakyat diutamakan adalah slogan retorik Najib mengaburi mata rakyat. Mana realiti slogan itu? belumpun sampai setengah tahun jadi perdana menteri unsur cengkaman terhadap rakyat sudah mulai nampak.

“Insya-Allah kami akan serang habis-habisan perkara ini dalam sidang bajet bulan sepuluh nanti supaya kerajaan kaji balik insuran kereta dan motosikal,” jelasnya.

Kadar kenaikan insuran kereta dan motosikal melebihi 100 peratus sebelum ini menjadi rungutan rakyat rasa terbeban

Tuesday, July 7, 2009

Nape tak siasat anak toyo nie... mana SPRM????...

Artikel Oleh ZulMamak

Menyepi daripada kontroversi, hari ini nama Khir Toyo kembali disebut orang punya bungalow mewah bernilai rm 24 juta di seksyen 7, Shah Alam. Pendedahan berani oleh adun Sekinchan , Ng Suee Lim seharusnya diambil tindakan oleh SPRM untuk siasat bekas MB Selangor itu. Jika tidak benar dakwaan adun Sekinchan itu Khir bolehlah saman Ng Suee Lim. Pintu Gerbang mahligai saja bernilai rm 290,000.00!

Inilah kerja orang yang cerdik pandai dalam Umno, walaupun dulu hanya sekadar dr gigi, setelah jadi MB Selangor sejak 2001-march 2008 dah dapat hidup mewah punya harta puluhan juta ringgit. Bagi Umno si bodoh makanan si cerdik. Yang kaya bertambah kaya , yang miskin bertambah miskin.

Antara 2 Rumah...

Inilah "istana sewa" yang disewa oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

Tindakan Guan Eng menggunakan alasan berpindah ke rumah sewa mewah minggu lalu hanya kerana kewujudan anai-anai, semut api dan musang amat mengecewakan kerana ia hanya masalah kecil yang dapat diatasi dengan mudah.


Inilah "istana mewah"yang dibina di kawasan Seksyen Tujuh, Shah Alam.

Jumlah gaji yg diterima oleh Khir Toyo semasa menjadi Menteri Besar bagi tempoh lapan tahun dianggarkan RM4.6 juta.

"Jadi bagaimana beliau telah mampu memiliki rumah bernilai RM24 juta

Sebelum dipilih sebagai ADUN Dr. Mohd. Khir adalah seorang doktor gigi yang menyewa rumah di Sekinchan.

kata si usin : Dulu hanya Doktor Gigi jaaa...sewa umah lak tue kat Sekinchan..bila jadi MB sahaja terus kaya raya..aku ingat Tok Guru Nik Aziz pon xkaya-kaya mcm Khir Toyo...lagi lama apa TGNA jadi MB ...sampai la sekarang..

Mana dia SPRM..kata nk bongkarkan kes besar..yg nie lagi besar..depan mata lak tue..xkan rabun dekat kot..

Lim Guan Eng pula kenapa nak pindah umah sewa..beli sahaja Banglo Mewah tue...buat apa sewa-sewa...jadi MB kan bole kaya raya macam Khir Toyo..aparaaa..Lim Guan Eng niee...

Di manakah Nasharuddin?

Di manakah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berada? Itulah persoalan yang meniti di fikiran setiap orang di Manek Urai pagi ini.

parliament 2008 first day 280408 nasharuddinNasharuddin tidak kelihatan walaupun pemimpin kanan PAS yang lain turun memberi sokongan kepada calon parti itu, Mohd Fauzi Abdullah, menyerahkan borang pencalonannya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS, mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata: "Saya tak tahu, tanya dialah, itu dia punya pasal".

Nik Aziz berulang kali berkata beliau tidak tahu mengapa timbalan presiden PAS itu tidak hadir pagi ini.

Beliau bagaimanapun menyentuh tentang cadangan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang disokong oleh Nasharuddin.

Menurutnya, cadangan itu sudah 'mati' dan PAS bersatu padu dalam Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang berada di sebelah Nik Aziz hanya tersenyum.

Cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno itu telah mencetuskan ketegangan dalam PAS apabila para pemimpinnya bercanggah pandangan mengenainya.

Cadangan itu pada mulanya dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Awang Hadi dan disokong oleh Nasharuddin.

Bagaimanapun, pemimpin PAS termasuk Nik Aziz, membantah keras cadangan tersebut. Malah, beliau menggesa Nasharuddin keluar PAS jika beliau masih menyokong cadangan tersebut.

Akhirnya, mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan memutuskan untuk menolak sebarang cadangan perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ketidak hadiran Nasharuddin pagi ini, Hadi sebaliknya pula bertanya: " Mengapa (Datuk Seri) Najib (Razak) tidak datang? Itu biasa sahaja".

Beliau juga menegaskan bahawa PAS komited dalam Pakatan,dan menambah isu mengenai kerajaan perpaduan tidak akan mendominasi kempen pilihanraya kecil Manek Urai.

"Hanya isu-isu tempatan yang penting di sini," katanya.

Sementara itu, Nik Aziz ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Hadi, berkata: "Saya mursyidul am, dia presiden, hubungan lebih baik daripada biasa".

Apakah Suhakam masih relevan?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri de facto Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz baru-baru ini menyatakan bahawa Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan perlu bersikap neutral serta berkecuali berdasarkan prinsip Paris.

Beliau turut menambah, sikap itu bukan sahaja perlu ada pada Pesuruhjaya Suhakam tetapi juga kepada semua anggota Suruhanjaya berkenaan.

Prinsip Paris menetapkan panduan asas yang diterima pakai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan.

Mohd Nazri dikatakan marah kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abdul Talib Othman berhubung dengan kenyataan Suruhanjaya berkenaan mengenai isu Perak.

Krisis Politik Perak dan Hak Asasi Manusia

Pada 12 Mei 2009, ketika negara sedang heboh dengan krisis politik di negeri Perak yang baru sahaja menggemparkan dunia dengan insiden Speaker Dewan, V. Sivakumar diseret keluar dari tempat bersidang oleh anggota polis, Suhakam yang dipimpin oleh bekas peguam negara itu mengeluarkan satu kenyataan yang mendesak agar kuasa dikembalikan kepada rakyat negeri Perak untuk memilih pemimpin mereka.

Menurut pengerusi Suhakam, Abu Talib, Artikel 21, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, mengatakan bahawa kehendak rakyat harus menjadi teras kepada pembentukan sesebuah kerajaan. (Article 21 of the Universal Declaration of Human Rights 1948 provides that the will of the people shall be the basis of the authority of the government.)

Selain daripada itu, Suhakam turut mengutuk insiden yang berlaku pada sidang DUN 7 Mei 2009 dimana polis dan pekerja kerajaan bertindak tidak neutral apabila dilihat menyebelahi Datuk Seri Zambry Kadir dan Barisan Nasional (BN) dalam krisis di negeri tersebut. Menurut Abu Talib, polis dan pegawai-pegawai kerajaan haruslah bertindak neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi Suhakam dalam krisis politik Perak itu tidak nampak cacat celanya dan bersesuaian dengan peranan badan berkenaan iaitu mempertahankan hak asasi manusia.

Dan ianya juga tidak kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik kerana Suhakam menegaskan bahawa “kuasa” memilih pemimpin haruslah dikembalikan kepada rakyat. Secara kebetulan, Pakatan Rakyat turut memperjuangkan agar DUN Perak dibubarkan.

Terdapat juga ramai pemimpin-pemimpin dari Barisan Nasional yang turut mencadangkan agar “kuasa rakyat” dikembalikan seperti Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dari MCA.

Dalam kenyataan balas terhadap kenyataan Nazri, Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaafar menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi badan tersebut berkenaan dengan isu Perak berdasarkan satu perbincangan yang panjang pada 11 Mei 2009 dan telah dipersetujui oleh kesemua pesuruhjaya yang lain kecuali seorang berdasarkan semangat untuk mempertahankan dan mempromosi hak asasi manusia.

Suhakam dan Hak Asasi Manusia

Suhakam ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597. Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulung Suhakam diadakan pada 24 April 2000.

Pada ketika itu, kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berada dipenghujung jalan dan mengalami krisis kepercayaan dikalangan rakyat berikutan dengan kes pemecatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan demonstrasi-demonstrasi aman dianjurkan oleh penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk membantah keputusan Dr Mahathir.

Ramai pihak yang beranggapan, penubuhan Suhakam pada ketika itu adalah bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap penyokong-penyokong Anwar.

Secara peribadinya, penulis merasakan bahawa sejak awal-awal penubuhan Suhakam lagi telah berlaku satu kesalahan yang besar dan memberikan persepsi buruk kepada masyarakat terhadap badan tersebut.

Kesalahan tersebut ialah mengenai pelantikan pengerusi pertama badan tersebut, Tun Musa Hitam. Mengapa salah meletakkan bekas timbalan perdana menteri itu?

Memang benar, bekas Timbalan Presiden Umno itu adalah seorang yang berkredibiliti dan diakui oleh ramai pihak sebagai seorang pemimpin yang hebat. Hishamuddin Rais seorang penulis bebas pernah menyifatkan pemimpin dari negeri Johor itu sebagai “perdana menteri yang tidak pernah dimiliki oleh rakyat Malaysia”.

Akan tetapi adalah kurang bijak apabila beliau dinamakan sebagai pengerusi Suhakam pada penghujung tahun 1999. Musa mempunyai “baggage” yang besar dalam isu hak asasi manusia berikutan dengan peristiwa hitam “Tragedi Memali”.

Peristiwa berdarah Memali terjadi pada 19 November 1985 dimana menyaksikan Ustaz Ibrahim Mahmud yang lebih mesra dengan panggilan “Ibrahim Libya” dan 13 orang pengikutnya terbunuh di Kampung Memali yang berada dalam daerah Baling itu.

Empat orang anggota keselamatan turut terkorban dalam kejadian ngeri ini dan beratus-ratus orang tercedera dalam operasi yang dinamakan “Operasi Angkara/Operasi Hapus” oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, Musa merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Siapapun yang bersalah, kerajaan Malaysia tidak seharusnya membunuh Ibrahim Libya dan pengikutnya oleh kerana kejadian tersebut merupakan diantara jenayah Hak Asasi Manusia yang terbesar pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Jadi, apabila Suhakam dimulakan pada tahun 1999 dengan berketuakan Musa yang mempunyai “baggage besar” dalam isu hak asasi manusia, badan tersebut tidak mempunyai persepsi yang baik daripada masyarakat terutamanya bagi mereka-mereka yang mengikuti perkembangan politik atau yang berminat dengan isu hak asasi manusia.

Neutral dan independen

Penulis amat bersetuju dengan Nazri bahawasanya pesuruhjaya dan semua anggota Suhakam perlu berkecuali dan bersikap neutral daripada mana-mana parti politik. Akan tetapi, pada pandangan penulis, badan tersebut haruslah mengutamakan rakyat dan hak asasi manusia.

Dalam isu Perak, Suhakam berada “dijalan yang benar” apabila mereka menyokong kuasa rakyat dan mempertahankan Hak Asasi Manusia.

Bercakap soal “neutral dan independen” dari pengaruh parti politik, ramai pihak telah mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia melantik Datuk Shafee Abdullah, Datuk Dr Michael Yeoh dan Datuk Dr Denison Jayasooria sebagai pesuruhjaya Suhakam oleh kerana ketiga-tiga tokoh ini diketahui dan dilihat rapat dengan Umno, MCA dan MIC, parti-parti yang mendominasi BN.

Tambahan lagi, pengerusi kedua Suhakam yang menggantikan Musa, Abu Talib Othman juga tidak mempunyai rekod hak asasi manusia yang baik oleh kerana ketika menjadi Peguam Negara, beliau terlibat secara langsung dalam “Operasi Lalang” yang menyaksikan lebih 100 orang pemimpin parti pembangkang, tokoh akademik dan aktivis ditahan oleh kerajaan Malaysia dibawah ISA.

Beliau juga diketahui umum sebagai orang kepercayaan Dr Mahathir yang pernah mengarahkan polis untuk memusnahkan 11 pita video dan empat sampul surat mengandungi gambar-gambar dan negatif gambar isu skandal seks D.P. Vijandren, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kenyataan Nazri mengenai “neutral dan berkecuali” dalam isu Perak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh BN. Lebih banyak “peluru” akan menghala kepada BN yang kini telah mempunyai pesaing yang kuat iaitu Pakatan Rakyat.

Tetapi mungkin isu ini boleh jadi kepada pemangkin kepada perubahan yang boleh dilakukan kepada Suhakam pada masa akan datang jika kerajaan Malaysia benar-benar serius untuk mempertingkatkan kredibiliti badan tersebut.

Selain daripada melantik orang-orang yang “ahli” dalam hak asasi manusia, Suhakam perlu diberikan “lebih kuasa” untuk menangani isu hak asasi manusia di Malaysia.

Pada masa akan datang, Suhakam mungkin boleh diberikan kuasa yang seumpama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menangani isu hak asasi manusia. Ertinya, Suhakam boleh menahan pencabul-pencabul hak asasi manusia dan menghadapkan mereka di mahkamah.

Jika terus menerus seperti hari ini, persepsi masyarakat terhadap Suhakam tidak akan berubah. Badan tersebut akan terus dianggap sebagai “menghabihkan boreh” dan hanyalah “punching bag” bagi badan-badan bukan kerajaan yang marah kepada pencabulan hak asasi manusia yang berlaku didalam negara.

Monday, July 6, 2009

Rumah Khir Toyo Bernilai RM 24 Juta ?

Pendedahan Adun DAP dari Sekincan, Ng See Lim, rumah umpama istana di Jalan Suasa 7/1L dekat sini adalah milik bekas MB Selangor, Khir Toyo. Beliau mendedahkan, istana Khir itu dibina diatas tanah seluas lebih 50,000 kaki persegi atau 1.17 ekar.

Beliau mempunyai dokumen dari Jabatan Tanah Negeri yang menunjukkan Khir membeli lot seluas 31,794 kaki persegi dengan harga RM2.9 juta manakala lot satu lagi bersais 20,427 kaki persegi dengan harga RM900,000.


Dia juga mendakwa, istana dalam pagar tinggi itu dibina dengan kos melebihi RM20 juta."Saya ingin mendapat penjelasan Dr Khir, yang mana adalah seorang doktor gigi sebelum menjadi MB selama lapan tahun, dari mana beliau dapat wang sebanyak sekurang-kurangnya RM24 juta itu," kata Ng See Lim dalam kenyataannya. Ekoran pendedahan ini, Khir Toyo nampaknya tak senang duduk dan makin gelisah. Diyakini, pendedahan demi pendedahan akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ke atas kebobrokan kerajaan UMNO BN bekas pimpinan Khir Toyo selama ini yang merompak hasil mahsul rakyat negeri Selangor.

Husam: Manek Urai gelombang tumbangkan BN

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.

Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

Turut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood; Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah (berserban).

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas isu royalti minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

Menurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa

PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam sebagai cara hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut.

Manek Urai: Pencalonan bermula,10 ribu iringi calon PAS

Seawal jam 7 pagi lebih 10,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul di pekarangan Masjid Jauhar untuk memberikan sokongan kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam proses pencalonan yang sedang bermula ketika ini.

7.00 pagi: Penyokong PAS dan Pakatan Rakyat memenuhi pekarangan Masjid Jauhar.

7.35 pagi: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat Hajat. Turut kelihatan pimpinan PAS yang diketuai Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob dan Dato' Mustafa Ali.

8.05 pagi: Perarakan calon PAS ke Pusat Penamaan Calon, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra sejauh 1.5 km bermula. Lebih 10,000 iringi calon PAS. Kelihatan pimpinan PAkatan Rakyat, Azmin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim, Zuraidah Kamaruddin, Tan Siew Giaw dan Tian Chua.

8.45 pagi: Rombongan perarakan calon tiba di pusat penamaan.

8.50 pagi: Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah masuk ke dalam dewan diiringi pencadangnya,bekas Imam Kg Temalir, Idrus Jalal, 69 dan penyokongnya, seorang Guru, Abdul Halim Hamzah dari Kampung Latereh.

8.55 pagi: Calon Umno-BN, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat masuk ke dalam dewan. Rombongan penyokong Umno-BN dianggarkan seramai 2,000. Turut kelihatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Adnan Mansor, Dato' Seri Shafei Apdal, Dato' Mustafa Mohamad dan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein.

9.45 pagi: Masa pencalonan masih dibuka jika masih ada pencalonan lain.

Hadiah Istimewa - 100 Hari Najib Jadi Presiden Umno

Oleh: Mandor

MEDIA terutamanya TV hari ini heboh menceritakan tentang Najib sudah pun mencapai 100 hari menjadi Presiden Umno. Semuanya menceritakan kehebatan Najib yang dikatakan banyak berubah dan telah membawa Umno kembali mendapat sokongan rakyat terutamanya bagi orang-orang Melayu. Maka, seperti kelazimannya `burung-burung belatuk dan kakak tua' pun mengangguk sambil mengipas-ngipaskan kepaknya bersetuju bahawa Najib memang hebat.
Ketua Pemuda Umno yang dibuktikan terlibat di dalam rasuah politik wang juga turut memuji Najib yang mungkin padanya lebih hebat dari Pak Mertuanya dahulu. Naib Ketua Pemuda Umno pun begitu juga tidak mahu melepaskan peluang untuk turut `mengipas'. Mungkin juga jika ditanya pendapat KM Melaka Ali Rustam yang juga terlibat di dalam rasuah politik wang, sudah tentu Ali Rustam akan berkata Najib memang hebat. Bahkan, jika ditanya pada raja sesumpah Ezam, mungkin jawapannya hampir sama cuma raja sesumpah akan menambah sedikit pujian tersebut dengan menyatakan kehebatan Najib tidak akan terlawan oleh DS Anwar. Bukankah selalunya raja sesumpah tidak pernah terlepas dari menyebut nama DS Anwar? Memang hebat dan betul kata raja sesumpah itu tentang Najib kerana raja sesumpah itu tahu bahawa DS Anwar mana ada menyimpan pasu besar dan berharga di rumahnya, sedangkan Najib ada. Itu yang tidak terlawan oleh DS Anwar. Aku tahu cerita pasal pasu besar dan berharga di rumah Najib tu dari raja sesumpah yang bagitahu di dalam ceramahnya dulu.

Satu lagi kehebatan Najib di dalam 100 hari beliau menjadi Presiden Umno adalah kerana hanya menang satu kerusi di dalam banyak-banyak pilihanraya kecil baru-baru ini. Itu pun di luar Semenanjung. Di Semenanjung satu pun Najib tak dapat kerusi untuk Umno/Bn di dalam pilihanraya kecil. Bukankah hebat itu? Kehebatan luar biasa semasa Najib jadi Presiden Umno adalah tertubuhnya kerajaan negeri melalui Mahkamah. Hebat juga tu. Soal-soal lain banyak lagi kalau nak cerita tentang kehebatan Najib ni seperti kuota bumiputera, biasiswa dan berbagai-bagai lagi yang teramat menguntungkan Melayu. Kehebatan Najib juga tidak terbatas kepada dirinya sendiri bahkan isteri beliau juga dilihat hebat juga. Kadangkala kehebatan isterinya mengatasi populariti Najib sendiri.

Memandangkan kehebatan beliau itu, maka aku syorkan agar kita hadiahkan sesuatu yang amat bernilai untuk beliau agar dikenang sepanjang hidupnya. Apa kata kita hadiahkan `batu nisan' yang bertanda nama Umno di Manek Urai nanti? Jika sempena perpisahan Pak Lah sebagai Presiden Umno dan PM dulu kita sudah hadiahkan benda yang sama di Kuala Terengganu, kini apalah kiranya kita beri pada Najib pula sempena 100 hari beliau menjadi Presiden Umno. Hadiah ini adalah buat `Pemimpin Umno Terakhir

Sunday, July 5, 2009

Kemelut PAS-DAP Kedah diselesai di peringkat negeri - Kit Siang

Ketegangan yang timbul antara DAP Kedah dengan kepimpinan kerajaan negeri itu akan cuba diselesaikan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang berkata beliau sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin.

"Saya akan berjumpa dengan menteri besar dan merangka (penyelesaian) untuk mengatasi masalah ini supaya kerajaan pakatan dapat diperkukuhkan.

"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya dalam sidang media di sini Sabtu.

Katanya, selepas berbincang dengan DAP Kedah, beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira...apa saja masalah yang dihadapi seeloknya diselesaikan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Pembangkang, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".

Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan Pas sebaliknya semua parti dalam Pakatan.

Rabu lalu, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP negeri keluar dari Pakatan Pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu terutama tindakan merobohkan tempat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.

Search This Blog