Friday, October 23, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Wednesday, October 21, 2009

Ibrahim Ali ingin terus kekal sebagai MP bebas, tapi hubungan dengan PAS telah berakhir...

Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau masih ingin terus berfungsi sebagai ahli Parlimen bebas dari Pasir Mas, buat masa ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan pendiriannya untuk menyokong Umno dan kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mengenai hubungannya dengan PAS pula, Ibrahim berkata, kerjasama yang terjalin ketika pilihan raya umum lepas dengan parti itu kini sudah berakhir.

"Pada waktu itu PAS merasakan parti itu lemah terutamanya di Kelantan maka mereka menghulur tangan untuk bekerjasama dengan saya dan menjadi lumrah bagi orang yang tidak berparti memberi kerjasama kepada mana-mana parti politik yang mandekati kita.

"Mereka minta kerjasama saya dan saya beri kerjasama, bila selesai pilihan raya selesailah kerjasama di antara saya dengan PAS dan saya tidak menyertai PAS, hanya sekadar itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai desas desus yang mengatakan yang beliau akan menyertai Umno, Ibrahim menjelaskan; "Saya berpendapat atas beberapa sebab, belum ada lagi keperluan bagi saya untuk menghantar borang menyertai Umno.

"Saya adalah ahli Parlimen bebas dan bersedia bekerja sama dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif ke arah perubahan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, terdapat beberapa sebab beliau mengambil keputusan untuk tidak menyertai Umno dalam waktu terdekat termasuk tidak mahu dipandang serong oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan beliau mengambil kesempatan kerana parti itu kini semakin pulih.

"Saya membuat pendirian ini sebab saya tak mahu nanti dituduh menyertai Umno kerana Umno sudah mula bertambah kuat, kerana ada kepentingan diri dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa parti itu tidak menyekat mana-mana pihak untuk kembali kepangkuan Umno termasuk Ibrahim sekiranya ingin menyertai semula parti yang ditunjangi orang Melayu itu. Katanya, Umno sedia mengkaji kewajaran Ibrahim kembali ke pangkuan Umno jika bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu berhasrat berbuat demikian dan sebarang permohonan menyertai Umno akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Kata Ibrahim lagi, kecenderungannya untuk menyokong Umno dan BN adalah berdasarkan faktor parti itu kini lebih bersikap terbuka dan sedia dikritik.

"Satu perkara yang paling seronok saya lihat dalam Umno sekarang ia sudah jadi betul terbuka dan boleh ditegur dan dikritik malah kepimpinan parti itu juga mengatakan kritikan yang membina (akan) disambut baik," katanya.

Jelasnya perkata tersebut berbeza dengan PAS yang bersikap sukar menerima teguran dan kritikan.

"Dulu pun saya mengatakan saya akan bekerjasama dengan sesiapa termasuk PAS, tetapi saya tidak menjadi ahli PAS dan bila saya memberi teguran, pandangan dan kritikan mana yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak saya supaya meletak jawatan.

"Di sinilah saya lihat ada perbezaan... saya adalah ahli Parlimen Bebas dan bersedia bekerjasmaa dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif yang cukup baik.

"Jadi kalau ada perkara-perkara positif yang cukup baik kita kenalah memberi sokongan tanpa mengira kepentingan kita," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin Umno Kelantan, Ibrahim berkata: "Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin Umno Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu dan jika mereka minta memberi sokongan dan bantuan, apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan."

Rosmah Ganti Khairy

Dulu Khairy, sekarang Rosmah menjadi kepala "Tingkat 4" pejabat Perdana Menteri.

Pegawai kanan Kementerian Kewangan dikatakan semakin gusar dengan campurtangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dalam urusan Perbendaharaan Negara, termasuk penyediaan Belanjawan 2010 dan pemberian kontrak dan tender kerajaan.

sumber-sumber kerajaan berkata campurtangan itu sudah di "tahap kritikal' dengan Rosmah mempertikaikan keputusan tertentu Timbalan Perdana Menteri Muhyyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Campurtangan Rosmah itu tidak menerima sebarang teguran daripada Najib walaupun beliau adalah juga Menteri Kewangan.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan, Rosmah menaruh minat yang amat mendalam terhadap penyediaan Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Oktober depan.

Isteri kedua Najib itu dikatakan mempunyai akses kepada semua bahan-bahan serta dokumen yang berkaitan dengan belanjawan tersebut sehinggakan menimbulkan rasa gelisah dan tidak senang hati di kalangan pegawai tinggi kementerian.

Campurtangan Rosmah dalam keputusan pada peringkat tertinggi kerajaan meletakkan pengurusan negara dalam keadaan bahaya dan kewibawaannya di kompromi.

Sumber juga memberitahu Rosmah memperlihatkan keghairahan beliau terhadap semua aspek perbelanjaan setiap kementerian terutama yang berkaitan dengan pembelian atau "procurement" serta pemberian kontrak-kontrak.

"Rosmah memberi perhatian mendalam kepada aspek penyediaan Bajet 2010 terutamanya yang berkenaan dengan pembelian dan kontrak-kontrak kementerian yang penting," kata sumber itu.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi Rosmah mempunyai sebuah pejabat di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kakitangan bagi membantu beliau.

Malah pelancaran laman website beliau, www.pmo.gov.my/datinrosmah telah mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan dana awam dan salahguna kuasa untuk menyenggara laman web peribadinya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau sepatutnya menjadi pemanis dan penyokong kepada suaminya bukan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

"Saya meletakkan kelemahan perjuangan pembudayaan dan agenda wanita dan remaja di negara ini di atas bahu Shahrizat (Jalil) selaku menteri yang bertanggungjawab.

"Disebabkan menteri gagal maka Rosmah pun mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan diri sebagai juara wanita di negara ini.

"Saya tidak lihat kerjasama yang tulen antara Rosmah dan Shahrizat untuk memajukan golongan wanita malah mereka kelihatan bersaing. Kalau Shahrizat sekadar menjadi penghias kabinet lebih elok biar Rosmah bertanding," cabar Ketua Wanita KEADILAN itu.

Zuraida mendakwa Rosmah juga masuk campur semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini dengan menghadiahkan tiga buah rumah teres kepada kampung Bagan Pinang untuk dijadikan pusat remaja. Gula-gula politik itu diberikan atas nama program Permata Negara di bawah naungan beliau.

Rosmah juga dikatakan telah campurtangan membuat keputusan-keputusan penting bersabit bantuan untuk pelarian Palestin dengan membelakangkan ahli jawatankuasa Penaung Tabung Kemanusiaan Palestin yang mempunyai baki dana RM11 juta.

Di kalangan kenalan dan mereka yang mengenal beliau secara rapat, Rosmah diketahui mempunyai cita-cita yang tinggi.

Malah seorang kenalan sekolah beliau semasa belajar di Kolej Tunku Kursiah mengatakan Rosmah pernah mendabik dada bahawa beliau pasti akan berkahwin dengan seorang Perdana Menteri pada satu hari kelak.

Pemangku Raja Kelantan minta Petronas bayar royalti petroleum

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah.

"Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005.

"Kerajaan negeri hendaklah meneruskan usahausaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, kerajaan negeri dinasihatkan supaya membelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin.

"Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini.

"Beta juga berharap Petronas dan kerajaan Pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir," titahnya.

Menurut baginda, jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.

Kerajaan pusat bagaimanapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya.

Tuesday, October 20, 2009

Speaker Halal Vs Speaker Haram

UANG IKLAN MASIH KOSONG

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ( PR ) .

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!

Monday, October 19, 2009

Dun Perak Semakin Hampir DiBubarkan?

Jika sebelum ini tanpa hujan dan ribut SPR menggeluarkan notis semakan daftar pemilih hanya di Perak, malam ini pula sedang berlangsung majlis perasmian 1Malaysia oleh Datuk Seri najib Tun Razak di Stadium Perak.

Siang tadi najib mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Perak dan kemudian mengadap Sultan Perak di Istana Kinta.

Apa maknanya tu? Semua ini jelas bahawa Dun Perak sudah semakin pasti untuk dibubarkan. Saya menjangkakan DUN Perak akan dibubarkan sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mutlak siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 5 November ini.

Sunday, October 18, 2009

Pilihanraya Perak Tidak Lama Lagi ?

Tidak semena-mena Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak memaklumkan bahawa pihaknya akan mempamerkan nama-nama mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bermula dari 1 Julai 2009 hingga 30 September 2009.SPR di negeri-negeri lain tidak pula membuat pengumuman rasmi seperti ini.


Adakah ini petanda baru DUN Perak akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada SPR mengadakan pilihanraya negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu yang berlanjutan sehingga sekarang.
Pelbagai pihak berpendapat tidak mustahil pilihanraya negeri akan diadakan pada masa terdekat jika BN yakin mereka akan menang mutlak di Perak. Mungkin BN mengambil kira kemenangan mereka di Bagan Pinang sebagai indikator bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka dan inilah masanya untuk mendapat mandat baru dari rakyat.
Bagi pihak Pakatan Rakyat mereka mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sila semak daftar pemilih terbaru tersebut untuk memastikan ianya bersih dan telus.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut diminta untuk menyemak nama di tempat-tempat berikut iaitu pejabat SPR Perak, pejabat Pos, pejabat penghulu dan pejabat-pejabat daerah.
Tempoh pameran selama seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober, katanya.Katanya sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak di nombor telefon 05-24 94 113, 05-24 94 120 dan 05-24 94 121

Search This Blog