Saturday, June 20, 2009

kenapa ada idea kerajaan perpaduan?

nampaknya dalam pas ada individu yang gila jawatan. tapi takut untuk keluar dari pas dan masuk umno seperti yang pernah dilakukan oleh beberapa orang sebelum ini, antaranya nakhaie. mungkin takut dicemuh oleh rakan-rakan dan sanak saudara. tapi disebabkan nafsu dan juga tidak tahan melihat rakan-rakan seperjuangan lain yang lebih rendah jawatan dalam parti menjadi exco dan juga menteri besar, perasaan ini makin membuak.

maka timbul lah isu kerajaan perpaduan. dan hasrat kearah itu tampak begitu bersungguh-sungguh untuk dijayakan apabila salah seorang kumpulan yang menjadi pelopor kerajaan perpaduan ini dilantik menjadi setiausaha agung. dan nyata ahli kumpulan ini memang terdiri dari yang tidak berjawatan dalam kerajaan negeri pimpinan pas.

seperti kata TGNA, kalau beria-ria benar nak kan kerajaan perpaduan, lebih baik letak jawatan dan masuk umno. tapi yang hairannya idea asal tentang kerajaan perpaduan ini timbul dari presiden. tapi sejak akhir-akhir ini yang kena belasah oleh ahli dan juga bloggers adalah timbalan. presiden diam membisu. ini tak sepatutnya berlaku. jika ada isu atau krisis besar seperti yang berlaku kini, presiden lah yang patut berada paling hadapan. penerangan perlu dibuat kepada seluruh jemaah supaya perkara ini tidak berlarutan. bukannya berlindung disebalik orang lain macam baling batu sembunyi tangan.

kumpulan ini pula bukanlah dari orang bawahan yang mungkin boleh dikatakan masih belum matang dalam mainan politik. sepatutnya sudah faham seluruhnya tentang peribadi umno. parti yang penuh dengan segala jenis perbuatan yang tidak bermoral. parti yang tak pernah menepati janji dan sanggup melakukan apa saja demi kuasa, wang dan jawatan. luka di perak pun masih mengalir lagi. apakah kita juga perlu jadi begitu untuk mengejar cita-cita kita. fikirkanlah sejenak dan bertanyalah diri kita apakah perjuangan kita semata-mata untuk mengejar jawatan. bukankah berkali-kali pemimpin meminta ahli supaya berjuang hanya kerana allah. kerana ingin menegakkan hukum allah.

sepatutnya bila ada isu begini, rujuk lah terlebih dahulu kepada majlis ulamak dan juga mursidul am iaitu TGNA sebelum nak umum apa-apa. bukannya dah umum baru nak bincang. jangan nasi dah jadi bubur baru nak berbincang.

apa kata lupakan kerajaan perpaduan, sebaliknya minta umno bubarkan parti mereka dan sertai pas. atau pun seperti kata TGNA kalau umno nak laksanakan islam orang pas pun boleh masuk umno. tapi perlulah gubal semula perlembagaan umno terlebih dahulu dan laksanakan islam terlebih dahulu.

Undi BN boleh masuk syurga juga

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sama ada rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) atau pun Pas, kedua-duanya pun membolehkan umat Islam masuk syurga.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, perkara yang boleh menghalang orang Islam daripada masuk syurga adalah dosa mereka dan bukannya kerana memilih suatu parti. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, hakikatnya kedua-dua parti memperjuangkan agama Islam namun apa yang membezakan BN dan Pas adalah BN mempunyai kekuatan untuk memaju dan menggerakkan negara.

tapi lupakah dia bahawa memilih umno itu berdosa kerana umno mempunyai kekuatan dan telah memerintah selama 50 tahun tapi masih tidak melaksanakan islam, sebaliknya masih berpegang kepada perlembagaan lord reid, malah menentang habis-habisan perjuangan islam yang di bawa oleh pas. terbukti bila pas nak laksanakan hudud dikelantan dan terengganu, siapa yang paling kuat menentang? sampai nak saman di mahkamah. tidak berdosakah kita bila memilih parti yang berjuang berasas kan bangsa? tidak berasas kan agama. mengaku tiada tuhan melainkan allah tapi pada masa yang sama menolak perintah allah untuk melaksanakan islam dalam pemerintahan. membenarkan kemungkaran berleluasa.

Muhyiddin berkata, Pas tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan negara termasuk merancang secara rapi aspek berkenaan. katanya lagi Keupayaan BN untuk bangunkan negara lebih kuat berbanding keupayaan (Pas) di bawah pimpinan (Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, di sini hari ini.

apakah TGNA gagal membangunkan kelantan selama 18 tahun pemerintahannya. walaupun berbagai sekatan dan diskriminasi yang dilakukan oleh kerajaan pusat kepada negeri kelantan tapi cuba bandingkan negeri perlis dengan kelantan. rasanya, kelantan lebih kedepan jika nak dibandingkan dengan perlis dari segi pembangunan. dan kalau nak tengok pembangunan yang tak pernah dilihat, cuba kerajaan pusat bagi royalti 1 bilion yang dituntut oleh kerajaan kelantan.

bukan saja pembangunan yang diberi perhatian tetapi kegiatan maksiat dan sosial juga turut diberi keutamaan. pusat-pusat maksiat sudah berjaya dikurang atau dihapuskan terus. begitu juga kedai yang menjual minuman keras juga telah dikurangkan.

rasanya kelantan tidak akan jatuh ketangan umno lagi melainkan umno akan berubah dari menentang kepada melaksanakan islam.

Putuskan sepenuhnya hubungan dengan Umno

Putuskan sebarang perhubungan dengan Umno. Itulah cara yang terbaik untuk menyelesaikan krisis dalaman PAS sekarang.

Pandangan ini disepakati di kalangan pemimpin PAS khasnya dari negeri ini, Kelantan. Menjelang pilihanraya kecil Manek Urai, perkara ini perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Mana-mana pemimpin PAS yang dikaitkan ada hubungan dengan Umno akan disisihkan dari sebarang aktiviti parti di sini.

Dalam pilihanraya kecil Manek Urai, para penceramah PAS patut di‘skrin’ sepenuhnya. Mereka yang dikira menyokong kerajaan perpaduan akan dikeluarkan dari senarai penceramah.

“Kami tidak mahu memberikan signal yang negatif kepada pengundi dan rakyat negeri ini. Ini kerana rakyat tidak boleh mendengar nama Umno sekarang, imejnya terlalu buruk,” kata seorang penganalisa politik yang juga aktivis PAS di negeri ini.

Ketika ditanya, apakah asas kepada analisa ini dan sejauh manakah ia akan tepat, beliau berkata, “kejayaan PAS mengekalkan kerajaan negeri Kelantan adalah bukti analisa ini betul”.

Bagi beliau, deria ketujuh yang ada kepada pemimpin PAS di Kelantan membuktikan perkara ini betul.

Bagi beliau, pemimpin PAS Kelantan menentang agenda kerajaan perpaduan kerana sedar ia ditolak oleh rakyat.

“Kami dapat rasa penentangan rakyat terhadapnya. Perkara ini juga disedari oleh Tok Guru Nik Aziz. Sebab itu, dari awal lagi, jika ada sahaja unsur kerjasama antara PAS dengan Umno, beliau akan menentangnya,” kata beliau lagi.

Nik Aziz mula menunjukkan penentangan terhadap hubungan dengan Umno sejak timbul isu muzakarah PAS dan Umno lagi. Beliau menekan dengan sungguh-sungguh betapa pentingnya PAS memperkuatkan hubungannya dengan Pakatan.

“Cara nak kuatkan PAS dengan Pakatan adalah menjauhkan diri dari Umno agar ia tidak dicurigai atau disalah anggap PAS cuba mengkhianati mereka,” kata aktivis PAS itu.

Nik Aziz pernah mengkritik secara terbuka Pengerusi Harakah yang juga Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali kerana dianggap memperlekehkan agenda 16 September yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat sokongan penuh rakyat.

Mustafa kemudiannya telah menemui Nik Aziz dan menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka berdua.

Kini, krisis dalaman PAS dianggap sedang memuncak. Nik Aziz telah meminta Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa agar mengosongkan kerusi Parlimen Bachok dan menyertai Umno jika terus mahu dengan agenda kerajaan perpaduan.

Nik Aziz bukan sahaja menentang kerjasama PAS dengan Umno bahkan kerjasama antara Pakatan Rakyat dengan BN kerana Umno ada di dalamnya.

“Hina sangat ke Umno dan mulia sangat ke DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat itu,” tanya seorang pemimpin Umno.

Memang. Bagi Nik Aziz Umno terlalu hina.

“Masa dia hendakkan kita, dia akan pujuk kita tetapi bila dah tak suka, dia akan tendang sahaja kita,” kata Nik Aziz mengenang kembali bagaimana PAS ditendang dari BN 1978 lalu.

Ketika itu, Nik Aziz yang sudah sekian lama mengajar di Masjid Muhammadi di Kota Baru, juga dihalang dari mengajar di masjid negeri itu lagi.

Sejak itu, difahamkan, Nik Aziz bersumpah tidak akan memijak lagi kakinya ke masjid itu. Beliau mula mengajar di Bangunan PAS, Jalan Dato’ Pati sehinggalah sekarang.

Kini, Nik Aziz bertegas, beliau tidak akan benarkan PAS mengadakan hubungan dengan Umno. Nampaknya, penyokong PAS bersama beliau.

“PAS akan sentiasa berada di nombor 2 jika bekerjasama dengan Umno. Kalau kita di luar, kita berpeluang menjadi nombor satu dalam politik negara ini,” kata Datuk Husam Musa, penyokong kuat Nik Aziz.

Husam kalah dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden PAS baru-baru ini. Nasharudin Mat Isa menang jawatan itu dan menghantar signal seolah-olah perwakilan PAS menyokong agenda kerajaan perpaduan yang didokong beliau bersama Abdul Hadi.

“Semasa muktamar lalu perwakilan ditipu oleh puak-puak ini dengan agenda menyokong kepimpinan ulama, padahal sebenarnya mereka ini mahu membuat kerjasama dengan Umno,” kata penganalisa politik Kelantan itu tadi.

Dengan keadaan yang ada tiada jalan lain nampaknya. PAS perlu memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Umno. Hantarkan mesej yang jelas bahawa tidak ada sebarang hubungan lagi dengan Umno, barulah keadaan dalam PAS akan reda semula.

Hapuskan Umno, Baru fikir kerajaan Perpaduan?

Artikel Oleh: spiket

"Apabila berbual di warong-warong mendengar suara akar umbi Pas ,Baru kita dapat rasa kebenaran kata Tuan Guru Nik Aziz.Idea kerajaan Perpaduan yang di lontarkan oleh Presiden Pas sebenarnya telah membibik atau membisikkan perpecahan di dalam pakatan Pembangkang dan perpecahan terhadap ahli Pas itu sendiri.

Apakah akan terjadi jika Penyokong Presiden Pas memulaukan undi di Manik Urai, bukankah itu yang di kehendaki oleh Umno. Melihat Perpecahan Pas didalam Pakatan Rakyat amatlah dirindui oleh Umno.

Bisikan kerajaan Perpaduan menyebabkan Kelab Penyokong Pas Berfikir dua kali untuk menyokong Pas.Adakah Pas pun sama seperti melayu dalam Umno yang suka memungkiri janji ,sama bersikap gelojoh kepada jawatan dan sebagainya.

Tuan Guru Nik Aziz telah membenihkan kejernihan dan kebaikan Pas, Sehingga ada kaum lain berkata "Tuan Guru, Tuhan Punya tak bikin jahat punya",apa ada orang melayu cuba memburukna Tuan Guru Nik Aziz.

Sehingga begitu tanggapan kaum lain terhadap Tuan Guru.Adakah perlu kita hapuskan tanggapan dan anggap yang baik begini terhadap Tuan Guru dan Umat Islam am nya,di sebabkan isu kerjaan Perpaduan semua bagai di palit Najis ,terutama kepada parti Pas itu sendiri.

Kemenangan Kerusi PAS di negeri Johor adalah sumbangan siapa,bangsa apa dan sudah tentu Kelab Penyokong Pas menjadi peranan utama di sana.

Tuan Guru Nik Aziz telah memainkan peranan yang cukup baik di Kelantan sehingga kaum lain sanggup memberi undi kepada Pas dan tidak membezakan gap ugama,bangsa dan Pangkat.Inilah merupakan kerajaan perpaduan sebenar bukan bisikan kerajaan Perpaduan dari Umno yang sebenarnya meniup api kemarahan dan perpecahan di kalangan ahli PAS dan ahli Pakatan Rakyat.

Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

"Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan 'Islamophobia' oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan," katanya.

Ada ahli Pas di warong kopi simpang tiga berkata umno itu perlu di hapuskan seperti kitaperlu menghapuskan Tugu Negara ,kerana Tugu Negara itu terang-terang telah menyebabkan pemimpin-pemimpin Umno itu syirik dan munafik.Hapusnya tugu negara bermakna hapusnya Umno .Hapusnya Umno bermakna tertegaklah islam di Malaysia dan Hapusnya Umno baru fikir memantapkan kerajaan Perpaduan yang sedia ada.Walluhualam."

Nizar mohon jawatan MB Perak digantung

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Jumaat memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohammad Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang tadi melalui Tetuan Leong & Tan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohammad Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.

(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohammad Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, hadir di mahkamah hari ini.

Dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, Mohammad Nizar turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

Mohammad Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sama dengan Fasal 16(6) UTKP dan sebarang keputusan berkenaan Fasal itu akan memberikan impak atau kesan berkenaan Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung jawatan Perdana Menteri.

"Ini bermakna sekiranya Yang di-Pertuan Agong hendak memecat Perdana Menteri, Baginda boleh berbuat demikian. Baginda boleh menelefon Perdana Menteri dan memberitahu bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat," kata Mohammad Nizar dalam sidang media selepas menfailkan permohonan itu.

Ketika ditanya mengapa beliau memohon supaya kesnya didengar di hadapan 11 hakim, beliau berkata: "Apabila ada ramai hakim, kita harap supaya dapat memberikan keputusan yang adil kerana rakyat negara ini sangat menagih keadilan."

Mohammad Nizar juga berkata beliau gembira kerana akhirnya permohonan itu berjaya difailkan walaupun keputusan hujahan bertulis oleh Mahkamah Rayuan masih belum diperolehi.

Pada 22 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Md Raus, dalam penghakiman lisannya memutuskan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membuat keputusan yang betul ketika melantik Zambry sebagai menteri besar yang baru, berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah,

Hakim Md Raus yang bersidang bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati bahawa Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Pertikaian jawatan Menteri Besar Perak bermula apabila tiga daripada wakil rakyat pakatan DAP-PKR-PAS keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional pada Februari lepas.

Mohammad Nizar, 52, kemudiannya memfailkan semakan penghakiman untuk memohon satu writ bersifat "quo warranto" atau "melalui kuasa apa" dikeluarkan terhadap Zambry bagi menyatakan tunjuk sebab atas asas apakah beliau menjadi menteri besar yang sah

Friday, June 19, 2009

Gapena setuju syarat lulus BI

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersetuju dengan cadangan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya lapan tuntutan mereka dipenuhi kerajaan.

Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, Jawatankuasa Kerja Gapena yang bermesyuarat hari ini telah bersetuju untuk menyatakan sokongan terhadap cadangan Kementerian Pelajaran itu dengan beberapa syarat dipenuhi terlebih dahulu.

Katanya, syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

n Memansuhkan Pembelajaran Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta merta.

n Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar bagi pendidikan awal sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

n Kerajaan perlu memastikan tenaga pengajar Bahasa Inggeris yang mencukupi, berpengetahuan tinggi tentang strategi pengajaran dan pembelajaran, berketerampilan dan bersedia berkhidmat di luar bandar.

n Bahasa Melayu diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.

n Prasarana dan kemudahan alat bantu mengajar termasuk makmal bahasa yang mencukupi terutama di luar bandar.

n Syarat lulus Malaysian University English Test (MUET) untuk masuk ke pusat pengajian tinggi dibatalkan bagi pelajar yang lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM.

n Kesusasteraan kebangsaan dan mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib merentasi kokurikulum.

n Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris boleh dilaksanakan setelah semua syarat di atas dipenuhi.

Bercakap pada sidang akhbar di rumah Gapena di sini hari, Ismail berkata, pihaknya telah membincangkan syarat itu secara mendalam dan berharap kementerian dapat memahami tuntutan tersebut.

''Gapena akan menentang cadangan syarat lulus Bahasa Inggeris itu sekiranya pihak kementerian tidak melaksanakan syarat-syarat tersebut,'' ujarnya.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Jawatankuasa Gapena, Datuk Dr. Aziz Deraman dan Datuk Tengku Alaudin T. A. Majid.

Syarat-syarat itu akan dimajukan kepada kementerian hari ini juga bagi mendapatkan maklum balas segera dan Gapena mengharapkan pihak kementerian dapat mengadakan perbincangan terbuka dengan pihaknya.

Anwar Namakan Najib, Gani Patail dan Musa Hassan Sebagai Perekacipta Tuduhan Liwat

Anwar Ibrahim mengemukakan 98 hujah kenapa pertuduhan liwat ke atasnya harus ditolak oleh Mahkamah, termasuk dua laporan perubatan dari hospital swasta dan kerajaan yang mengesahkan tidak ada bukti pengadu Saiful Bukhari diliwat.

Beliau turut menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail sebagai terbabit langsung dalam konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan mendalangi pertuduhan liwat itu.

Anwar mengemukakan hujah-hujah itu dalam affidavit bagi menyokong permohonan berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, kira-kira dua minggu sebelum perbicaraan kes liwat itu dijadualkan bermula pada 1 Julai.

Dalam mengemukakan 98 hujah itu, Anwar menegaskan pertuduhan terhadapnya menyalahguna proses mahkamah atas empat sebab utama :

1- Pertuduhan itu adalah konspirasi politik

2- Pertuduhan itu mencabuli hak beliau dibawah perlembagaan

3- Pendakwaan yang dilakukan adalah berniat jahat tetapi diteruskan walaupun ada keterangan pakar-pakar menafikan kejadian liwat dan

4- kegagalan meneruskan pendakwaan terhadap Saiful di Mahkamah Syariah.

Peguam Anwar Sivarasa Rasiah dan Amer Hamzah hari ini merujuk kepada laporan perubatan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang merumuskan tidak ada bukti Saiful diliwat.

Laporan awal oleh doktor Pusat Perubatan Pusrawi juga membuat rumusan sedemikian dan disertakan dalam affidavit Anwar memohon mahkamah membatalkan pertuduhan itu.

Dalam affidavit itu, Anwar berkata Perdana Menteri Najib Razak turut memainkan peranan di dalam konspirasi kes liwat terkini kerana menganggap Anwar sebagai ancaman utama kepada beliau.

“Lantaran itu, pertuduhan yang sengaja diada- adakan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu konspirasi untuk memastikan agar saya tidak menggugat kerjaya politik Najib,” kata Anwar dalam affidavit itu.

Anwar juga mengingatkan bahawa Najib telah menafikan pernah berjumpa Saiful tetapi “akhirnya mengaku ada menemui Saiful sebelum beliau membuat laporan palsu terhadap saya.”

“Mengapakan Saiful tidak terus membuat laporan polis serta merta sekiranya benar dia telah diliwat sepertimana yang didakwa? Apakah perlunya untuk beliau berjumpa dengan Najib,” tegas Anwar.

“Saya menegaskan bahawa Najib telah terlibat dalam usaha membuat laporan palsu terhadap saya,” tambah Anwar.

Anwar juga berkata kes liwat terhadapnya kali ini sekali lagi membabitkan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan yang memainkan peranan penting dalam memalsukan keterangan terhadapnya dalam kes-kes 1988 dan insiden mata lebam.

“Gani Patil dan Musa Hassan terlibat dan merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk menyediakan laporan polis palsu… berhubung penangkapan saya” pada tahun 1988 kata Anwar dalam afidavit itu.

Kedua-dua mereka juga terbabit dalam konspirasi untuk menyediakan laporan perubatan yang palsu oleh seorang doktor yang tidak pernah memeriksa Anwar dalam insiden mata lebam Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu Rahim Nor.

“Saya menegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu taktik untuk memastikan saya akan dipenjarakan atas kesalahan yang tidak saya lakukan dan juga untuk menutup kesalahan mereka (Gani dan Musa) sepertimana yang saya dedahkan,’ kata Anwar.

“Kedua- dua mereka tahu bahawa saya telah memperolehi maklumat mengenai salah laku mereka dan cara terbaik untuk mereka mengalih perhatian rakyat dan menutup kesalahan mereka ialah dengan sekali lagi mencipta pertuduhan baru dan mendakwa saya,” kata Anwar.

Anwar berkata tindakan yang diambil oleh Gani dan Musa mirip dengan perlakuan mereka dalam kes-kes 1998.

“Sejak awal (1998), apabila saya dituduh di Mahkamah secara mala fide (niat jahat), terdapat percubaan dan tindakan memalsukan keterangan terhadap saya dengan memperalatkan institusi kerajaan seperti Polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kimia dan lain-lain,” kata Anwar dalam afadivitnya itu.

Dalam kes rasuahnya, Anwar berkata sampel darahnya dicuri untuk ujian DNA oleh pegawai polis Mohd Rodwan Mohd Yusof untuk “satu penipuan yang nyata.”

Dalam kes liwat, Anwar berkata pihak polis dan pendakwaan jelas menggunakan manipulasi dan tipu-helah untuk memperolehi keterangan palsu daripada pengadu Azizah Abu Bakar yang banyak memberi kenyataan bercanggah.

Pembohonan oleh Azizah akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menerima rayuan Anwar dan membebaskan dari penjara pada tahun September 2004.

Anwar menguatkan hujahnya lagi dengan merujuk kepada cubaan Peguam Negara Gani Patail untuk memeras kenyataan palsu daripada R.Nallakarupan dan penderaan oleh polis terhadap Sukma Dermawan dan Munawar Anees.

Beliau berkata afadivitnya jelas menghuraikan bukti bahawa pendakwaan terbaru terhadapnya adalah pendakwaan terhadap saya dalam kes terkini” berniat jahat dan penyalahgunaan proses undang-undang yang ketara pada peringkat tertinggi.

KRISIS PEMIKIRAN DALAM PAS

PAS berhadapan dengan kemelut dalaman parti yang tidaklah serius dan separah masalah dalaman UMNO sebagaimana yang cuba digambarkan oleh media arus perdana. Perbezaan pendapat antara pimpinan parti bukan bermakna PAS telah berpecah belah. Kemelut dalaman parti ini hanyalah krisis pemikiran antara pimpinan tertinggi parti akibat isu Kerajaan Perpaduan.


Krisis pemikiran yang berlaku semakin berlarutan akibat masing-masing pimpinan menjadikan media sebagai saluran mempertahankan pandangan, sepatutnya perbezaan pendapat dalam perkara-perkara besar seumpaman ini dibincangkan dan diutarakan dalam muzakarah dan mesyuarat dalaman parti.

Selain itu, UMNO melalui media sememangnya menunggu peluang ini, perbezaan pendapat antara pimpinan PAS dibesar-besarkan oleh media arus perdana. Pimpinan UMNO kononnya menyokong pendapat sebelah pihak dengan pujian yang melambung, selama ini tidak ada pimpinan tertinggi UMNO memuji sebegitu rupa. Tujuan pujian hanyalah untuk mengeruhkan keadaan, ini yang UMNO mahu. Dalam keadaan UMNO semakin ditolak oleh rakyat, manakala Pakatan Rakyat semakin disenangi oleh rakyat, peluang seumpama inilah yang ditunggu oleh UMNO.

Berhadapan dengan kemelut pemikiran ini, sebagai ahli dan penyokong PAS, sewajarnya kita menjadi pendengar yang baik. Kita tidak boleh terus terburu-buru menghukum mana-mana pihak yang pandangannya berbeza dengan kita. Itu sikap yang tidak adil.

Kita wajar bahkan wajib mengikuti perkembangan dengan teliti, mendengar dari sumber-sumber yang dipercayai, pandangan kedua-dua pihak hendaklah sama-sama kita dengar, kemudian diteliti. Jauhi dari mendengar dari pandangan pihak ketiga, apatah lagi media-media cetak atau media elektronik, lebih-lebih lagi bloggers yang berat sebelah.

Membaca dan mendengar bagi mengikuti perkembangan adalah baik, tetapi jangan cuba mengulasnya kalau maklumat yang kita perolehi samar-samar dan ragu-ragu, sekalipun maklumat itu benar dari sumber yang dipercayai, kalau ingin mengulas, ulaslah dengan cermat dan adil bukannya menjadi batu api atau semakin mengeruhkan keadaan.

Buat masa ini, lebih baik kita ikuti sahaja perkembangan. Anggaplah pandangan-pandangan pimpinan yang berbeza dalam isu ini ada asas dan hujjah masing-masing, kita boleh ikuti dengan penuh minat, teliti, tertib dan beradab. Buat sementara waktu, elakkan dari memihak.

Di samping itu, kita sangat mengharap supaya pimpinan tertinggi parti mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini melalui muzakarah, semua pihak hentikan dari membuat kenyataan melalui media walaupun media rasmi parti. Ceramah-ceramah PAS juga bukan medan terbaik menjelaskan isu ini, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Mesyuarat khas parti hendaklah segera diadakan bagi membincangakan isu. Semua pimpinan mesti memberi pandangan dan sikap terhadap isu ini.

Sekiranya peringkat pimpinan juga tidak boleh menyelesaikan isu ini, Muktamar Khas parti hendaklah segera diadakan. Serahkan kepada Muktamar bagi membuat keputusan terhadap kemelut dan krisis pemikiran ini. Sebagaimana dalam perlembagaan PAS, Muktamar adalah kuasa tertinggi dalam memutuskan suatu perkara yang tidak mampu diselesaikan sebagaimana proses biasa.

Ketika inilah, kita berhak menyokong mana-mana pandangan yang berdasarkan penelitian kita, pandangan itu benar dan betul. Ahli parti hendaklah patuh dengan keputusan Muktamar walaupun boleh jadi pandangan kita berbeza dengan keputusan Muktamar. Disiplin dan akhlak berjamaah hendaklah menjadi amalan, Insya Allah PAS tidak akan mengulangi sejarah lampau dengan perpecahan yang akhirnya wujud parti baru.

Nizar fail rayuan esok

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Seorang daripada peguam Mohammad Nizar, Leong Cheok Keng, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa permohonan itu difailkan di Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini kerana tempoh akhir 30 hari bagi mengemukakan rayuan tamat pada Isnin.

Ditanya bagaimana beliau akan melakukan tanpa penghakiman bertulis, beliau berkata, mereka tidak mempunyai pilihan dan pasukan peguam mereka akan melakukan yang terbaik untuk merangka soalan berhubung perkara undang-undang mengenai keputusan lisan Mahkamah Rayuan.

“Sudah pasti kami kebingungan kerana hanya seorang hakim (Datuk Md. Raus Shariff) menyatakan hasil keputusannya. Kedua-dua hakim yang lain tidak menyatakan apa-apa, tetapi kami akan melakukan yang terbaik.”

Thursday, June 18, 2009

Nasharudin kini keseorangan

Nasharudin Mat Isa yang baru sahaja meraikan kemenangan sebagai Timbalan Presiden PAS untuk penggal ketiga berturut-turut kini keseorangan dalam isu kerjasama dengan Umno.

Bermula pagi semalam, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali menjelaskan pendirian yang berbeza dengan Nasharudin dalam jawapan kepada Datuk Seri Najib Razak yang berkata PAS ikhlas dalam mewujudkan kerjasama.

Nasharudin dilihat mengalu-alukan kenyataan Najib, yang banyak ditafsirkan sebagai satu perangkap, dengan berkata ia sesuatu yang positif, walaupun tetap menolak pembentukan kerajaan perpaduan.

Kenyataan orang nombor dua PAS itu telah, tanpa disengajakan, meresahkan pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Dalam sidang akhbar semalam, Mustafa pula cuba menutup pintu kerjasama politik PAS-Umno apabila menegaskan pembentukan kerajaan perpaduan hanya boleh dibuat dengan penyertaan PKR dan DAP, namun terus mempertahankan usaha-usaha perbincangan dengan Umno untuk isu-isu kepentingan negara.

Pada waktu yang sama Mustafa memberikan kenyataan itu, di Parlimen wakil Pengkalan Chepa Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan isu kerjasama dengan Umno tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat.

Sementara di Kota Baru, hanya beberapa jam selepas sidang akhbar Mustafa, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat kenyataan mengejutkan menyuruh Nasharudin mengosongkan kerusi Bachok.

Sebelum itu, beliau memanggil mereka yang mahu kerajaan perpaduan sebagai boneka Umno, dan di kawasan sekitar Kota Darul Naim, pusat pentadbiran kerajaan Kelantan kain-kain rentang telah dinaikkan untuk menunjukkan sokongan kepada Nik Aziz dan penolakan kepada usaha kerjasama dengan Umno.

“Tuan Guru, sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan, berhak menyuruh Nasharudin meletakkan jawatan,” kata seorang sumber yang rapat dengan pejabat mentri besar Kelantan.

“Seperti Ibrahim Ali yang kini menentang PAS, Tok Guru juga telah suruh dia letak jawatan,” tambahnya merujuk kepada ahli Parlimen Pasir Mas yang bertanding atas tiket parti Islam itu tetapi kini condong kepada Barisan Nasional.

Mereka yang rapat dengan Nik Aziz percaya kenyataan itu dibuat secara terancang kerana beliau dikenali sebagai ahli politik yang licik.

Hari ini, Nasharudin yang telah menghilang diri dari Parlimen sejak tengahari semalam ditekan lagi, kali ini oleh dua naib presiden parti itu.

Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar secara berasingan memberitahu wartawan bahawa Nasharudin mesti bersemuka dengan Nik Aziz sebelum mesyuarat khas jawatankuasa kerja pusat minggu depan untuk meleraikan kekusutan dan keresahan dalam isu kerjasama dengan Umno.

Jika pertemuan itu dapat dilangsungkan, ini kali kedua dalam setahun pemimpin kanan PAS terpaksa berhadapan dengan Nik Aziz selepas bertikam lidah secara umum.

Tahun lalu, Mustafa, yang ketika itu pengarah pilihanraya, terpaksa menghadap Nik Aziz setelah mengkritik secara terbuka rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

Malang bagi Nasharudin tiada siapa yang berani mempertahankannya sementara presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, orang yang mencadangkan idea kerajaan perpaduan itu, kini berada di luar negara dan apabila beliau mempengerusikan mesyuarat khas Isnin depan sudah pasti akan menjarakkan dirinya dari insiden yang memalukan dan memecah-belahkan parti itu.

Tidak mungkin Hadi berani mempertahankan timbalannya secara terbuka. Nasharudin perlu berhadapan dengan Nik Aziz dan penyokongnya secara berseorangan.

Sultan Johor tak setuju jambatan ketiga


Sultan Johor dalam titahnya semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Johor hari Khamis bertitah baginda tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Johor dengan Singapura. Titah baginda itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Johor.
"Beta dititahkan oleh Sultan Johor bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga itu," titah baginda. Cadangan pembinaan jambatan ketiga itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa melakukan lawatan ke Singapura bulan lalu. Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad mengulas titah Sultan Johor itu berkata, apa yang dititahkan itu adalah suara rakyat negeri Johor. “Titah baginda itu adalah aspirasi rakyat Johor keseluruhannya. Titah baginda adalah cerminan Raja berjiwa rakyat dan mewakili suara rakyat,” katanya.

Anwar fail permohonan ketepi tuduhan liwat

Penasihat Parti Keadilan memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang dijangkakan akan mula dibicarakan Julai ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan itu menerusi peguamnya, Sankara Nair di Pejabat Pendaftaran Jenayah, Mahkamah Tinggi di sini, jam 4.25 petang semalam.

Selain permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi, Anwar juga memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang dijadualkan bermula 1 hingga 24 Julai depan.

Perbicaraan itu dijadual akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sankara semasa ditemui berkata, permohonan untuk mengetepikan pertuduhan itu dibuat atas alasan pertuduhan itu tidak mempunyai asas, berikutan tiada kes terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Permohonan itu juga selari dengan beberapa dokumen dan barangan berkaitan kes liwat, termasuk laporan kesihatan mangsa, Saiful Bukhari Azlan yang diterima pihak pembelaan.

“Dokumen lain ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan kimia, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) Saiful Bukhari dan juga keterangan Anwar kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi, semalam.

Sankara juga sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan itu sebagai satu konspirasi politik.

“Kami juga ingin mengekalkan kenyataan yang dibuat pada 10 Jun lalu terhadap pihak pendakwaan yang tidak memberikan kerjasama,” katanya.

Kerajaan Kelantan Tuntut Royalti Minyak RM 1 Billion

"
Kerajaan negeri Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Katanya, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion, lapor Bernama. Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini, Husam berkata, Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan pusat kini memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang mengutamakan rakyat.Sementara itu, di Kuala Lumpur, ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata pakatan pembangkang akan memainkan isu royalti minyak itu dalam kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

"Sekiranya negeri-negeri yang lain ini mendapat royalti petroleum, mengapa tidak Kelantan...sekiranya Najib benar-benar ikhlas, saya cadangkan beliau membayar kembali royalti petroleum hak Kelantan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen

Ust Nasa perlu berjumpa Mursyidul Am

KEMELUT isu tentang Kerajaan Perpaduan masih belum selesai. Bunyinya cantik iaitu `Kerajaan Perpaduan' tetapi baunya sudah dapat dihidu oleh ramai orang. Berbagai tafsiran telah dibuat tentang isu ini dan ada pula yang cuba menambahkan beberapa `aksesori' bagi menampakkan Kerajaan Perpaduan bersama Umno ini amat indah seolah-olah inilah cara dan kaedah yang dituntut oleh Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Maka, PKR dan DAP kini mula merasa bahawa Pas ingin `memadu'kan mereka dengan parti yang selama ini banyak menganiayai mereka termasuk Pas sendiri.


Semua faham dan mengerti bahawa Kerajaan Perpaduan bukan bermaksud untuk Pas memasuki Umno atau Bn. Tetapi, mengapa ada tentangan juga? Ramai yang menentang adalah kerana mereka mengenal Umno sejak lama lagi bahkan sehingga sekarang pun Umno masih tidak berubah. Pakatan pembangkang dan negeri-negeri yang diterajui oleh pembangkang masih terus dianiayai oleh Umno sehinggakan ada yang telah di`jajah' oleh mereka. Oleh sebab itu, tidak termasuk akal oleh sesiapa yang berakal untuk mengadakan kerjasama dengan Umno. Sekiranya perlu berunding, sememangnya PR telah lama bersetuju untuk berunding dengan Umno/Bn atas beberapa isu pokok. Tetapi mengapa sehingga kini PR tidak dijemput untuk berunding? Mengapa Umno terlalu `berselera' menyambut cadangan Pas sahaja? Ada udang di sebalik batu, mungkin.

Saya merasa sedih juga apabila Us Nasha diberi teguran `amat pedas' oleh Mursyidul Am tentang isu ini. Jika sebagai anak, boleh diumpamakan Us Nasha kini telah di`rotan' oleh bapanya kerana dilihat seperti degil. Sehinggakan bapa boleh berkata, Us Nasha boleh tinggalkan `rumah' jika teringin sangat duduk bersama dengan rumah yang penuh dengan berbagai bahaya dan`berpuaka' itu. Tidak salah Mursyidul Am berkata sedemikian kerana sudah beberapa kali beliau berkata lembut secara sindiran sebelum ini.

Kepada Us Nasha, bermuhasabah di atas apa yang berlaku adalah penting untuk menghuraikan kekusutan ini. Adalah amat baik, bijak dan berhemah jika beliau sendiri patut dan wajar berjumpa Mursyidul Am untuk memperkatakan apa yang perlu diperkatakannya. Jika beliau merasa bersalah atau tersilap, beliau boleh memohon maaf. Begitu juga, jika Mursyidul Am merasa beliau tersalah anggap kepada `anak'nya beliau juga boleh meminta maaf. Lupakan sahaja segala bentuk tawaran dari Umno seperti yang ditawarkan oleh Umno Cheras. Us Nasha tidak sesuai untuk berada di dalam Umno terutamanya Umno Cheras yang diketuai oleh seorang Syed yang secara terang-terangan menyokong Akta ISA yang zalim itu. Jangan dipedulikan apa yang dicadangkan oleh MSO (Mohd Sayuti Omar) di dalam blognya agar Us Nasha meletakkan jawatan sebagai MP Bachok. Siapa tidak kenal MSO?

Kenyataan Mursyidul Am itu bersyarat dan wajar difahami sepenuhnya. Kini, terpulang kepada Us Nasha untuk menimbang semula apa jua tindakan beliau selepas ini. Saya percaya, tidak mudah untuk menidakkan selepas ini akan timbul suara-suara bahawa Mursyidul Am terlalu fanatik dengan PKR dan DAP. Tetapi, patutkah juga kita terlalu fanatik dengan Umno/Bn?

Husam tunggu Mat Sabu

Selepas Mohamad Sabu, seorang lagi calon Timbalan Presiden Pas yang tewas pada pemilihan parti itu, Datuk Husam Musa masih berteka-teki tentang tawaran untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Husam ketika ditanya mengenai tawaran tersebut enggan memberikan jawapan sama ada beliau menerima atau pun menolaknya.

"Tunggu Mohamad Sabu beri jawapan dulu, kita kan kawan-kawan," katanya dengan sinis ketika ditanya mengenai perkara tersebut selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Jawapan tersebut mengundang pelbagai persoalan kerana sebelum ini Mohamad juga masih belum memberikan sebarang kata putus untuk menerima pelantikan tersebut.

Ditanya adakah disebabkan kecewa sehingga menyebabkannya berfikir secara mendalam sebelum menerima pelantikan tersebut, Husam berkata, beliau tidak kecewa kerana kekalahan itu.

"Apa sangat kecewa kalah, kita kan kawan-kawan tidak terasa hati, sebab itu saya tunggu Mohamad Sabu umumkan dulu," katanya di sini hari ini.

Umno perangkap PAS isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.

Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.

Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.

"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.

"Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.

Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.

"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.

"Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.

"Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

PAS bincang isu Nik Aziz minta Nasharuddin lepas jawatan Isnin ini

Desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong kerajaan perpaduan, dijangka dibincang pada mesyuarat parti itu Isnin ini yang akan dipengerusikan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata beberapa pemimpin parti itu.

Menurut mereka, Abdul Hadi yang kini berada di London, dijadual pulang Sabtu ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memang terkejut dengan kenyataan yang agak keras oleh Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap ianya adalah satu permulaan perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian akan diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara tersebut.

Nik Abdul Aziz hari ini secara terbuka meminta Nasharuddin meletakkan jawatan dalam parti serta sebagai Anggota Parlimen Bachok, jika beliau masih berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin masalah itu mampu diselesaikan dengan bijaksana oleh kepimpinan Pas manakala pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan berhubung perkara itu daripada Presiden PAS pada mesyuarat Isnin ini.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Nik Abdul Aziz seharusnya meminta penjelasan daripada Nasharuddin sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

"Sebagai ketua, tok guru (Nik Aziz) boleh panggil Nasharuddin, minta penjelasan, tidak boleh buat kesimpulan berdasarkan kenyataan akhbar semata-mata.

"Memang tok guru menentang (kerajaan perpaduan) tapi terlampau awal untuk buat keputusan begini kerana akan timbul kekeliruan dan jadi tidak seronok di kalangan ahli," katanya.

Ketua Pemuda Umno Gua Musang Bazlan Baharuddin berkata kenyataan Nik Aziz itu adalah disebabkan beliau risau penguasaan PAS terjejas di Kelantan

Wednesday, June 17, 2009

Kerajaan perpaduan: Nik Aziz mahu Timbalan Presiden keluar PAS

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar serta menimbang apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh PAS.

Sebagai reaksi, Nasharuddin berkata PAS berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan kerana parti itu melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS di Kelantan telah menerimanya sebagai calon untuk bertanding di Bachok pada pilihan raya umum 2008.

Katanya PAS dan pakatan pembangkang kini telah masuk perangkap Umno berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah," katanya.

Beliau juga berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia berhubung satu laporan pada 15 Jun lepas yang memetik beliau sebagai berkata bahawa "nasihatnya mesti didengar".

"Saya nafi sekeras-kerasnya penggunaan "mesti". Semuanya itu selain daripada pembohongan adalah hasutan untuk menghina saya, supaya masyarakat dan mufti benci kepada saya.

"Saya sangat dukacita dan malu sampai dikerah mufti untuk membincangkan kenyataan saya," katanya.

Nik Aziz berkata beliau telah melantik peguam untuk mengambil tindakan itu

Tiada anugerah untuk ahli DAP: Lim Guan Eng

GEORGETOWN – Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan menganugerahkan darjah atau pingat kepada ahlinya yang aktif sempena ulang tahun Yang di-Pertuan Negeri Tun Abdul Rahman Abbas ke-71, bulan depan.

Ini merupakan kali kedua kerajaan terbabit mengamalkan pendekatan itu sejak mereka mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP hanya mencadangkan kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain daripada individu yang berjasa kepada masyarakat.

“Bagaimanapun bagi ahli yang aktif dalam NGO atau pemimpin pertubuhan akan dipertimbangkan, ia bergantung kepada sumbanganya kepada masyarakat, bukan kerana politik.

“Ia telah diamalkan sejak tahun lalu, bukannya mengharapkan ganjaran darjah kebesaran dan pingat tetapi adalah khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Isu Kerajaan Perpaduan Propaganda Jahat Media UMNO BN

"Isu kerajaan perpaduan telah menjadi satu perkara yang makin hangat apabila media arus perdana UMNO BN menghangatkan isu tersebut secara melampau-lampau. Perbuatan tersebut mereka ini menggambarkan UMNO BN berada dalam keadaan makin kronik, ibarat pesakit yang bergantung kepada alat bantuan hayat(ICU). Isu kerajaan perpaduan telah digembar gemburkan kerana ia digunakan UMNO BN bagi kepentingan survival politik mereka yang semakin hilang keyakinan rakyat terhadap mereka.

Isu ini adalah satu isu yang amat kompleks dan ia perlu di perjelaskan kepada kepimpinan dan ahli PAS secara menyeluruh bagi memberi penerangan khusus terutamanya kefahaman tentang kaedah sebenar kerajaan perpaduan yang telah disensasikan oleh UMNO BN. Isu kerajaan perpaduan ini sebenarnya bukannya semata- mata kerjasama antara PAS dan UMNO. Walhal Presiden dan kepimpinan PAS talah menyatakan komitmen untuk memperkuatkan Pakatan Rakyat dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO yang umpama "bangkai bernyawa".

Oleh kerana itu kita sebagai kita sebagai penyokong PAS dan Pakatan Rakyat jangan terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO BN yang cuba melaga-lagakan kepimpinan PAS serta merenggangkan hubungan yang sedia ada dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, UMNO telah mengambil kesempatan daripada isu ini. UMNO BN sudah hilang keyakinan daripada rakyat maka usaha mereka untuk meraih kembali keyakinan tersebut akan dipropagandakan dengan menghangatkan isu sebegini bagi mempamerkan imej bersih dan suci UMNO BN kononnya yang inginkan perpaduan walaupun sebaliknya ini adalah agenda politik yang telah mereka rancang selama ini. Sejarah telah membuktikan bahawa UMNO BN tidak pernah jujur dan ikhlas dalam isu perpaduan dan ini yang pernah berlaku pada 1978.

Umno Kata Pas Jujur?

Jujur bermaksud ikhlas, lurus hati dan tulus. Najib kata Pas jujur. Jujurkah Najib? (baca sini).Siapa percaya Umno jujur? Kalau Najib ratibkan Umno jujur pun, orang tetap tak percaya Umno jujur. Kerana Umno tidak pernah membuktikan kejujurannya.

Umno tidak pernah jujur dengan TG Nik Abdul Aziz dari dulu sampai sekarang. Umno tidak pernah jujur dengan TG Abdul Hadi semasa beliau jadi MB dulu. Umno tidak pernah jujur dengan kerajaan Perak semasa Nizar jadi MB.

Sekarang juga Umno tidak jujur dengan Kedah dan Selangor. Kalau Umno jujur mengapa perlu ada agensi berasingan untuk menyalurkan peruntukan persekutuan kepada kerajaan negeri?

Mengapa perlu ada jawatankuasa berasingan di peringkat kampong selain jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan negeri?

Kalau Umno jujur mengapa dia perlu kekalkan ISA? Mengapa takut untuk membubarkan DUN Perak? Mengapa perlu ada diskriminasi terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh bukan BN?

Sepanjang saya bernafas, saya belum pernah mendengar Umno puji Pas atau Najib sanjung Pas. Tiba-tiba di tengah-tengah kehangatan isu UG, Najib puji Pas sebagai jujur.

Malah Najib yang mungkin tidak mempercayai kejujuran dirinya sendiri pun turut mengakui kejujuran Pas.

Adakah itu suatu kejujuran? Nyata pujian Najib kepada Pas adalah tidak jujur. Justeru, bolehkah kita mempercayai pujian daripada orang yang tidak jujur?

Kalau Najib benar-benar jujur, Najib tidak perlu memuji Pas. Dan, Pas juga tidak memerlukan pujian dan sanjungan Najib. Pas tidak menjadi lebih baik dengan pujian Najib dan tidak menjadi bertambah buruk jika tidak dipuji naji.

Maknanya, Najib tidak perlu memuji. Apa yang perlu Najib lakukan ialah membuktikan kejujurannya bukan sekadar kepada Pas dan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi kepada bangsa Melayu, agama Islam dan rakyat Malaysia.

Hapuskan PPSMI, mansuhkan ISA, bersihkan dirinya daripada dikaitkan dengan wanita Mongolia, jangan disrkiminasi kerajaan Pakatan Rakyat, bubarkan DUN Perak, jangan tunggangi mahkamah, bertegas terhadap SIS dan banyak lagi.

Bila Najib puji Pas sebagai jujur dalam isu UG, makin terserlah bahawa Najib dan Umno sebenarnya tidak jujur. Bila Najib kata Pas jujur, itu tandanya Najib dan Umno tidak jujur.

Kalau kita sudah tahu Najib dan Umno tidak jujur, apa sikap kita?

Tuesday, June 16, 2009

PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama

“Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.

Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.

Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya.

Pemuda Pas negeri mahu pandangan Nik Aziz dihormati

Dewan Pemuda Pas negeri memberi ingatan kepada sesetengah pemimpin Pas supaya menghormati pandangan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Naib Ketuanya, Hisham Fauzi berkata, idea tersebut tidak dibincangkan dalam kalangan ahli Pas dan menganggapnya sebagai 'masih tidak masak, tetapi telah dihidangkan'.

Tegasnya, cadangan tersebut mengakibatkan berlaku kekeliruan dan perselisihan faham dalam kalangan ahli dan pemimpin Pas serta pakatan pembangkang.

"Pendirian ini perlu dihormati dan diterima oleh semua pemimpin Pas kerana beliau adalah Mursyidul Am parti.

"Pandangan beliau bukan sekadar berasaskan ilmu yang ada, tetapi selepas melalui pengalaman politik yang panjang dengan UMNO sebelum ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin Pas di seluruh negara.

Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata, melalui konsep itu semua pemimpin perlu menolak sentimen parti politik masing-masing dan bersatu dalam membangunkan negara.

Idea tersebut bagaimanapun ditentang keras oleh Nik Abdul Aziz yang turut membidas dan menggelar mana-mana pemimpin Pas yang bersetuju dengan penubuhan itu sebagai 'boneka UMNO'.

Hisham yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Tanah Merah (DPPTM) kesal apabila masih ada pemimpin di dalam parti itu yang mengambil ringan pendirian Nik Abdul Aziz.

"Ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah jemaah Islam sebab itu, DPPTM mengingatkan kepada semua pihak supaya pendirian tersebut diletakkan di tempat yang sepatutnya," tambahnya.

Monday, June 15, 2009

Menteri Dalam Negeri Berbohong dalam Dewan ?

Oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Semasa menjawab soalan asal mengenai tindakan polis meneceroboh DUN Perak pada 7 Mei lepas oleh DS.Anwar Ibrahim, saya mendapati beliau cuba berbohong dengan memutar belit fakta dan memberi fakta yang bercanggah dari realiti yang sebenar yang berlaku dalam dewan.

Sebagai salah seorang ADUN Perak saya mendapati percanggahan dari fakta sebenar yang berlaku dan jawapan Hishamuddin ternyata bercanggah dengan apa yang berlaku dalam Dewan dan dari itu saya dapati dia cuba berbohong.


Apabila dia menyebut bahawa polis masuk atas arahan dan permintaanSpeaker BN, Ganesan bererti dia cuba menutup fakta mengenai bagaimana kedudukan sebenar mengenai Speaker yang sah,YB. V.Sivakumar.

Sebenarnya kedudukan V.Sivakumar maish sah bila mengarahkan 7 orang ADUN BN dan 3 ADUN bebas keluar dari Dewan. Kenapakah apabila bentara tidak mengikut arahan Speaker dan 10 orang ADUN itu tidak keluar, polis tidak membantu Speaker Sivakumar.

Jelas pihak polis double standard dan berpihak kepada BN sahaja apabila tidak menyelamatkan lebih awal dari kekecohan yang besar dengan tidak membantu Sivakumar.

Apakah kewajaran setelah kekecohan berpanjangan sekitar 5 jam, baru pihak polis mahu membantu kononnya Speaker yang dilantik dengan cara tidak sah, Ganesan.

Selain itu saya ingin menanyakan kepada Hishamuddin, apakah kewajaran pihak polis mengiktiraf sidang yang telah berlangsung dengan tidak mengikuti agneda yang sebenarnya. Tidakkah polis mengetahui bahawa usul memecat dan melantik Speaker hanya berlaku apabila sidang dirasmikan dahulu oleh DYTM Raja Muda, barulah proses sidang bermula dengan apa jua agenda termasuk hasrat Bn memecat Speaker Sivakumar dan menggantinya dengan Speaker baru.

Demikianlah siri pembohongan BN sampai kepada Dewan Rakyat.Keadaan yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hari ini mengesahkan lagi tidak ada cara lain yang akan menyelesaikan kemelut politik di Perak melainkan dengan pembubaran DUN Perak.

Ingkar arahan: Nizar antara 7 MP Pakatan diarah keluar Dewan

Bekas MB Perak 'digantung' tidak sampai 5 minit selepas angkat sumpah

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media di lobi Parlimen bersama sebahagian ahli Parlimen Pakatan Rakyat selepas diarah keluar dari Dewan oleh Speaker kerana ingkat arahan supaya menanggalkan lilitan 'Bubar DUN'--fotoTHE STAR oleh Raja Faisal Hishan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar daripada Dewan Rakyat tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan "bubar Dewan Undangan Negeri" sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan ingkar arahan supaya memakai lilitan "BUBAR DUN" Perak.

Pandikar ketika ditemui wartawan sebentar tadi berkata, mereka diarah keluar kerana berpakaian tidak menghormati tatasusila Parlimen dan menimbulkan kekecohan dengan ingkar arahan.

Nizar dan enam wakil rakyat terbabit tidak dibenarkan masuk Dewan Rakyat selama dua hari sehingga esok.

Wakil rakyat yang lain ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) serta N. Gobalakrishnan (Padang Serai).

Tiga yang lain ialah wakil Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Dr. Mohd. Hatta Ramli (Kuala Kerai), Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Mahfuz pula berhujah dengan Speaker bahawa beliau hanya mengenakan lilitan di lengan dan harus dibenarkan.

Beliau kemudian meninggalkan Dewan Rakyat.

Beberapa wakil berkenaan cuba memasuki semula Dewan Rakyat tetapi diarah keluar Speaker dan Timbalan Speaker - sehingga sesi ditangguhkan tengah hari tadi - atas alasan mereka terikat dengan hukuman selama dua hari itu.

Ketika ditanya komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penggunaan lilitan dibenarkan di Parlimen negara-negara lain, Pandikar menegaskan, ini adalah Parlimen Malaysia dan harus patuhi peraturan ditetapkan.

Oleh itu katanya, jika hendak berbuat demikian mereka boleh jadi Ahli Parlimen negara berkenaan.

Berbanding lazimnya, ekoran insiden itu, Pandikar yang ternyata kecewa tidak menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan wakil rakyat baru.

Anwar pada sidang media berkata, Parlimen harus membenarkan wakil rakyat menunjukkan protes mereka termasuk menggunakan lilitan.

"Parlimen patut benarkan, tidak harus diambil tindakan tegas," katanya di lobi Parlimen.

Sehubungan itu jelas beliau, Pakatan akan menulis surat kepada Speaker agar menggugurkan hukuman ke atas kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan.

Terdahulu kira-kira pukul 10.03 pagi tadi, Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang.

Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".

Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut. Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "BUBAR DUN", keluar.

Insiden itu menyebabkan sesi soal jawab soalan lisan tertangguh 15 minit.

Sunday, June 14, 2009

Sokong kerajaan perpaduan belakangi kuasa Mursyidul Am PAS - Nik Aziz


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersalaman dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (kiri) yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau yang juga Mursyidul Am PAS di pejabatnya hari ini. Lee, 85, yang juga Bapa Singapura Moden melakukan kunjungan lapan hari ke Malaysia sejak Isnin lepas. --fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya bahawa mereka yang mempertahankan idea pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disarankan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "boneka Umno".

Nik Aziz turut menegaskan pihak yang berkeras menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai tidak mendengar nasihat dan cuba membelakangkan kuasa beliau sebagai Mursyidul Am PAS.

"Bagaimanapun sebagai pemimpin parti, saya akan terus menasihatkan ahli, walaupun ada yang tidak mendengarnya.

"Isteri boleh jadi buat salah kepada suami, dan suami boleh jadi buat salah kepada isteri, anak boleh jadi buat salah kepada ibu bapa. Begitu jugalah dalam politik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan baru-baru ini membidas sesetengah pemimpin PAS yang masih mempertahankan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tidak menyertai kempen parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presidennya, Yap Kok Seng berkata ini kerana penglibatan sesetengah pemimpin itu hanya akan mengelirukan pengundi dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan.

"Kami Kelab Penyokong PAS tidak mahu pemimpin yang bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan itu turut berkempen dalam pilihan raya DUN Manik Urai kerana ia boleh mengelirukan rakyat, khasnya pengundi PAS kawasan itu jika mereka memperkatakan isu itu..

"Jadi, lebih baik mereka jangan datang berkempen dalam masa kempen pilihan raya DUN Manik Urai kali ini," katanya

SAMM: Siasat Musa Hassan

Gerakan mahasiswa, Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini membidas keengganan kerajaan menyiasat kenyataan bersumpah tiga pegawai polis yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bersekongkol dengan Ah Long atau ceti haram tanah air.

Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.

“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.

Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.

Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.

Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.

Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.

Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.

Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.

Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.

“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.

Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.

Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul.

Anwar sedia bincang dengan Najib


NILAI - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya kerajaan memenuhi tiga prasyarat yang ditetapkan.

Kata Anwar, perbincangan hanya akan dilakukan sekiranya kerajaan menghentikan kezaliman, membebaskan badan kehakiman dan memastikan pilihanraya diadakan secara bebas dan adil.

"Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi tidak timbul langsung isu kerajaan perpaduan dengan UMNO, isu itu tidak berbangkit sama sekali.

“Pas telah menjelaskan pandangan dengan sebaiknya. Kita sedia berbincang dengan syarat hentikan kezaliman, bebaskan badan kehakiman dan pastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

“Kalau ini semangat yang ada, tidak ada masalah untuk kita berbincang. Tidak timbul isu yang diwarkan-warkan, (iaitu) kerajaan perpaduan," katanya ketika berucap di Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini semalam.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan berbincang panjang mengenainya (kerajaan perpaduan) selepas cadangan yang diutarakan itu mencetuskan andaian bahawa parti Islam itu berniat bergabung dengan UMNO.

“Selepas Muktamar Pas, saya hubungi Ustaz Abdul Hadi dan berbincang panjang. Kita akan jelaskan melalui kenyataan media yang bakal keluarkan,” katanya yang juga Penasihat PKR.

Kerajaan Perpaduan... Melayu Tergugat Atau UMNO Yang Tergugat

Surat Pembaca Oleh: Iqbal

"Isu kerajaan perpaduan kini masuk ' gear tiga'. TGNA Aziz terus bersuara mengenai isu ini. Media cetak dan media eletronik terus menerus menyiarkan respon2 dari kalangan pemimpin umno.

Semalam mereka menyiarkan respon Timbalan PM. Apakah isu ini dapat dimatikan ? Dan bagaimana hendak mematikannya ?

Setakat ini PAS gagal meyakinkan penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat. Apa yang dapat dilontarkan hanya seruan ' HENTIKANLAH POLEMIK KERAJAAN PERPADUAN'. Ini saja apa yang dikatakan usaha oleh pemimpin2 TERTENTU PAS dalam berdepan kemelut kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden PAS sendiri.

Jika kita amati dengan teliti hanya dua 'figure' utama sahaja yang kini sedang bersilat menepiskan serangan dan menafikan apa yang mereka dakwa hanya fitnah. 'Figure' itu ialah MUSTAFA ALI dan NASHRUDDIN . Pemimpin2 lain tidak berbunyi. Kenapa ? Tok Batin wajar menjawab bagi pihak pihak kedua pemimpin ini. Biarpun mereka berdua ligat bersilat menepis serangan , yang pasti gagasan kerajaan perpaduan ini diilhamkan oleh PAS. Usaha untuk merealisasikan gagsan memang benar . Bukan andaian dan dakwaan kosong. Isu ini akan menyulitkan PAS dalam pilihanraya kecil Manik Urai.

Saya percaya majoriti penyokong PR lebih-lebih lagi ahli dan pnyokong PAS kecewa dengan perkembangan ini. Apa tidaknya kerana ianya menambahkan beban yang tidak sepatutnya berlaku. Kini kita terpaksa memberi penjelasan dan penerangan, dan masa akan banyak terbuang kerana melayani dan menangani isu ini. INI YANG DIKATAKAN SENGAJA CARI PENYAKIT.

Apakah yang mendorong dalang-dalang ini mencetuskan gagasan ini ? Dimana perginya 'think tank' PAS kerana membiarkan dalang-dalang ini bergerak dalam tubuh PAS? Apakah gagasan kerajaan perpaduan ini memberi keuntungan berlipat ganda kepada PAS ? Yang berlaku dan dapat kita saksikan ialah kemarahan dikalangan penyokong PR. Kalau berjaya gagasan kerajaan perpaduan ini yang dapat menafaatnya ialah dua tiga kerat pemimpin PAS. Mereka ini pasti akan mendapat habuan. Bentuk habuan itu TST lah(Tahu Sama Tahu ).

Saya harap' play maker ' mesti berani tampil dan berikan hujah-hujah mengapa perlunya kerajaan perpaduan. Menafikan peranan dan penglibatan mereka akan menjadi isu ini berlarutan kerana ORANG SEMUA TAHU SIAPA YANG MAINKAN PERANAN INI. Apakah mereka ini golongan 'desprado' PAS ?

Bagi saya kejayaan PAS dalam PRU 12 yang lalu boleh diibaratkan kanak-kanak baru pandai berjalan. Belum mantap lagi.Sokongan kaum cina dan india belum mantap lagi. Sokongan mereka dalam PRU 12 adalah kerana emosi dan sentimen kerana beberapa kesilapan yang dilakukan oleh umno.Contohnya isu si pondan menjulang keris dan india isu hindraf. Sokongan juga diperolehi dengan bantuan DAP dan PKR.JADI YANG TERGUGAT IALAH UMNO BUKANNYA MELAYU DAN ISLAM. Apakah DAP yang menghapuskan bantuan SAR , yang menghalang penceramah berceramah di masjid2 ?

Apa pun kemelut ini mesti segera dimatikan . Janganlah si Mustafa Ali dan Nashruddin yang beria-ia mengusahakannya .TIADA SIAPA YANG PERCAYA KEPADA ANDA BERDUA.

Zaid Ibrahim sertai PKR, dilantik anggota majlis pusat


BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bersalaman dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu hari ini.

NILAI: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno akhir tahun lalu telah memutuskan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di sini hari ini.

"Satu berita yang menggembirakan berkuat kuasa hari ini... satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita... perkembangan sangat positif untuk PKR," kata Anwar.

Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa sebaik sahaja penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.

Anwar menambah, beliau akan memaklumkan penerimaan Zaid pada mesyuarat Pakatan Isnin.

Difahamkan Zaid juga akan diberikan peranan untuk memperkukuhkan Pakatan.

Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah ISA sebelum itu.

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada Umno pada 2 Disember kerana membuat tindakan yang bertentangan dengan etika parti.

Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dan percaya "dengan perjuangan parti berbilang kaum."

"Saya percaya kalau beri peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan kepimpinan lain yang berminat dan berhasrat kukuhkan Pakatan Rakyat," katanya.

Search This Blog