Malaysia mungkin dikenakan
sanction (sekatan) atas penjualan enjin pesawat Tentera Udara Dirajaya Malaysia (TUDM) secara gelap. Kesan kepada ekonomi dan negara kita secara keseluruhan tentu amat besar.
Kenyataan penyiasat persendirian P Balasubraniam yang tersebar menerusi internet mengenai isu perdana menteri-Altantuya Shaariibuu, amat menjejaskan dan belum nampak formula mengatasinya. Imej kerajaan kita terjejas teruk.
Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dan lubang hitam terbesar yang ditinggalkannya tidak mungkin dapat ditutup dalam tempoh dekat.
Hampir tumbangnya kerajaan pimpinan Najib Razak gara-gara ahli-ahli parlimen BN
tuang (ponteng) sidang Parlimen semasa undian untuk meluluskan Bajet 2010, tentulah mengerikan penyokong BN.
Lebih menakutkan kekurangan undian padu (solid vote) untuk Najib itu memang direstui oleh ahli-ahli parlimen BN itu sendiri kerana sudah berasa malas. Di peringkat antarabangsa, kita nampaknya belum mencapai kedudukan (standing) terhormat seperti dulu.
Kerajaan seakan nampak tidak padu (solid). Isu Biro Tatanegara (BTN) sahaja, pimpinan utama berbelah bagi. Enjin jet TUDM, seakan -akan kerajaan terbahagi dua antara ingin mendedahkan dan ingin mendiamkan.
Perdana menteri mungkin mengikuti jejak Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) - lebih banyak berdiam daripada memberikan respons segera. Perdana menteri seakan-akan terpisah daripada realiti.
Beliau lebih memberi fokus terhadap agenda yang hendak ditonjolkan yang dirangka oleh penasihat strategik beliau dan pasif terhadap isu sebenar yang berbangkit saban hari.
Beliau petah ketika membincangkan agenda utopia rangkaan kumpulan penasihat dan seakan-akan membiarkan isu sebenar bergerak sendiri.
Dalam sesetengah hal, kita mengulangi keadaan seakan-akan kerajaan dipandu secara
autopilot dalam urusan seharian kerana pimpinan sibuk menyiapkan gagasan utopia untuk dijadikan gula-gula.
Banyak keadaan terkunci pada
mode lama, termasuk tatacara piawai operasi (SOP) urusan diplomatik dan luar negara.
Belum dibincangkan susunan parti-parti komponen. Keadaan nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas.
Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak. Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan.
Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara hal-hal keluarga (family matters) dan hal-ehwal berkerajaan (state matters). Bukan sahaja dari segi perundangan (legally), tetapi juga dari segi moral (morally).
PAS - satu masa dulu pernah digelar 'Parti Asri Sekeluarga' - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan presiden PAS waktu itu Datuk Asri Muda.
Serangan sedemikian, ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.
Antara isu yang sukar ditepis oleh Dr Mahathir Mohamad ialah penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan. Isu menyelamatkan (bail out) syarikat kapal Mirzan oleh Petronas kekal dibangkitkan sampai ke hari ini.
Anaknya yang lain Mokhzani akhirnya membuat pengumuman berundur daripada dunia korporat apabila menjadi sasaran serangan dan digunakan sebagai bukti amalan kronisme Dr Mahathir sekitar awal 1990-an.
Abdullah Badawi sangat popular sebelum isu anak dan menantunya muncul dalam kehidupan politiknya. Beliau berjaya membawa Umno/BN menang paling besar dalam sejarah politik negara pada tahun 2004.
Selepas riak dan alpa dengan kemenangan besar itulah, isu penglibatan perniagaan syarikat anaknya Scomi mula menikam politik beliau. Ditambah dengan penglibatan ekonomi dan politik Khairy Jamaluddin (KJ), Abdullah akhirnya kecundang dalam masa yang sangat singkat.
Anak dan menantu, atau keluarganya, gagal mempertahankan beliau. KJ telah berkhidmat secara langsung dengan Pak Lah melalui jawatan di Tingkat Empat, yang tidak lama kemudian ditentang hebat termasuk oleh ahli Umno sendiri.
KJ kemudian memperolehi saham ECM Libra, yang menjadi isu hangat.
Sekalipun KJ melepaskan jawatannya di Tingkat Empat dan menjual sahamnya dalam ECM Libra, namun Pak Lah terus dikaitkan dengan KJ dan anaknya Kamaludin dalam banyak perkara.
KJ berada di belakang semua keputusan Pak Lah - dalam minda hampir semua orang.
Namun, politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008.
Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan (stake holder) yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.
Dilihat daripada sirah Rasulullah, ada keadaan-keadaan di mana anggota keluarga memberikan pandangan atau diminta pandangan dalam pelbagai isu.
Namun, keputusan akhir di tangan Rasulullah SAW dan isu-isu itu pula bukan berbentuk habuan kewangan (monetary gain) atau percaturan politik keluarga tetapi lebih kepada kepentingan awam (public interest).
A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah SAW meneruskan hasrat baginda.
A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.
Salah seorang isteri Rasulullah memberikan idea Rasulullah mesti memulakan
tahalullul sebagai penyelesaian terhadap keengganan sesetengah sahabat menerima terma perjanjian Hudaibiyyah dan idea ini diterima dan berjaya.
Namun, sampai kepada isu habuan kewangan, kedaulatan undang-undang dan isu pentadbiran yang lain, Rasulullah mengambil sikap menjunjung prinsip pemisahan itu mengatasi hubungan kekeluargaan.
Baginda sampai berkata, kalau anaknya sendiri didapati melakukan jenayah, hukuman sepatutnya akan dikenakan dan ia akan dilakukan oleh baginda sendiri.
Batas inilah yang perlu dipelihara ketika masyarakat sedang tertunggu-tunggukan kebangkitan yang padu (solid) tanpa kecelaruan sedangkan kecelaruan tersebut boleh dielakkan.