Saturday, December 19, 2009

Rakyat dibebani RM6.4 bilion cukai


Pasukan Khas Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pengenalan cukai itu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperoleh daripada pihak industri.

Ahli Jawatankuasanya, Tony Pua berkata, kenyataan bahawa rakyat tidak terbeban dengan pengenalan cukai tersebut dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan negara sebagai tidak masuk akal.

“Jika perolehan cukai daripada peniaga akan dikurangkan sehingga RM5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM6.4 bilion akan diperoleh daripada rakyat.

“Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM6.4 bilion yang dinikmati oleh peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anti-GST, Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menganjurkan sesi jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST.

“Pakatan Rakyat (PR) akan jelajah seluruh negara bulan depan memberi kesedaran kepada rakyat dan menerima maklum balas mereka yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar industri," katanya.

Friday, December 18, 2009

DAP mahukan sistem giliran ketua Pakatan

Pakatan Rakyat (PR) kemungkinan menggunakan sistem giliran jawatan ketua menerajui ikatan itu sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw berkata kemungkinan itu boleh ditimbangkan oleh PR bagi menampakkan yang ia berbeza dari Barisan Nasional (BN).

“Kita mesti ada cara-cara dan saya rasa ini bukan suatu masalah kerana semua benda boleh dibincangkan.

“Mungkin kita ada giliran bagi jawatan itu,” kata Ahli Parlimen Kepong ini dalam temu bual dengan Fikrah menjelang Konvensyen Pakatan Rakyat esok.

Isu itu bukan agenda konvensyen esok tetapi kemungkinan akan disentuh oleh perwakilan.

Konvensyen itu adalah pertemuan sulung PR sejak ia dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 tahun lalu. Ia kini dianggotai DAP, PAS dan PKR.

Tan berkata pihaknya tidak akan membenarkan cara yang diamalkan oleh BN dalam menyandang jawatan ketua PR.

Pengerusi BN lazimnya merupakan ketua atau presiden Umno iaitu parti dominannya. Presiden Umno juga merupakan Perdana Menteri.

“Tetapi kita tidak boleh membenarkan cara yang dianggap oleh rakyat sebagai mirip kepada BN.

“Kalau kita berbuat demikian maka kita mungkin akan mengalami kekalahan pada pilihan raya.

“Kita mesti ada cara yang tersendiri,” kata beliau lagi.

Permohonan untuk mendaftarkan PR sedang diteliti oleh Pendaftar Pertubuhan.

Jika diluluskan ia akan diterajui oleh seorang ketua.

Ketua umum semasa ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan penasihat PKR.

Sebelum ini bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesyorkan agar jawatan ketua PR disandang oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelak.

Pandangan itu kini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan penyokong Anwar, dalam PAS juga.

Ditanya sama ada DAP bersetuju agar digunakan satu logo PR ketika pilihan raya, Tan memberitahu beliau berpendapat komponen PR perlu meneruskan penggunaan logo parti masing-masing sebagaimana pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Ini kerana rakyat mengambil masa untuk menerima dan mengenali logo yang baru.

“Hal ini sangat penting dalam politik.

“Kita juga mesti faham apakah pokok utama terutamanya di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat mesti faham apakah yang paling utama hendak dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR R. Sivarasa ketika ditemui The Malaysian Insider berkata pihaknya bersedia untuk menggunakan logo masing-masing jika pendaftaran PR tidak diluluskan.

“Kami difahamkan pihak berkuasa ada kebimbangan kami menggunakan logo yang sama dalam pilihan raya... jika mereka bimbang kami khuatir ia tidak akan diluluskan.

“Jika tidak diluluskan kami akan tetap menggunakan logo masing-masing apabila menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Subang ini menambah pihaknya akan meneruskan struktur formal PR di peringkat bahagian selepas berjaya mempunyai sistem yang teratur di peringkat pusat dan negeri.

“Sistem struktur ini yang membezakan kami berbanding struktur BN, dan ini akan diperluaskan ke peringkat bahagian selepas ini,” katanya.

ISU ROYALTI- UMNO AMAL POLITIK FEUDALISME

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila PAS mula memerintah semula Kelantan pada tahun 1990, Kerajan pimpinan Y.A.B Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat mewarisi dua perkara. Perkara pertama Kerajaan PAS mewarisi hutang yang dibuat oleh mantan Kerajaan BN yang dahulu kepada Kerajaan Pusat. Perkara kedua Kerajaan PAS mewarisi aset iaitu dalam bentuk gas dan petroleum.

Mengenai warisan hutang tersebut , ianya adalah beban yang Kerajaan PAS Kelantan harus tanggung meskipun hutang itu tidak ada kena mengena dengan Kerajaan PAS. Hutang dibuat oleh Kerajaan BN kepada Kerajaan Pusat . Namun atas semangat Federalisme, meskipun hutang itu diwarisi oleh Kerajaan lama iaitu Kerajaan BN, Kerajaan PAS tetap membayar hutang tersebut tanpa mengira bahawa bukan Kerajaan PAS yang berhutang.

Mengenai warisan aset petroleum, ianya adalah hakmilik rakyat Kelantan. Dengan lain perkataan tidak kira parti mana pun yang memerintah aset petroleum itu adalah milik rakyat Kelantan dan Kerajaan Kelantan hanya bertindak sebagai pemegang amanah mewakili rakyat Kelantan. Petroluem wujud di persisiran pantai Negeri Kelantan bukan atas kebijaksanaan mana-mana parti yang memerintah. Ia adalah anugerah atau nikmat Allah kepada rakyat Kelantan.

Tidak seperti aset petroleum yang mana kewujudannya tidak ada kena dengan parti yang memerintah , hutang sesebuah Kerajaan ada kena dengan pentadbiran parti yang menguasai Kerajaan tersebut.

Apa yang malang meskipun Kerajaan PAS Kelantan mewarisi kedua-dua aset dan hutang, Kerajaan pusat yang diwakili oleh BN bertindak dengan zalim kepada Kerajaan PAS . Kerajaan Pusat memaksa Kerajaan PAS Kelantan membayar hutang yang dibuat oleh mantan Kerajaan BN. Tetapi apabila menyentuh aset petroleum yang ada di muka bumi Kelantan, Kerajaan Pusat BN tidak membenarkan aset tersebut dinikmati oleh Kerajaan PAS Kelantan bagi membangunkan Negeri Kelantan

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Najib ini , jika boleh dibuat analogi, adalah seperti mana kisah seorang ayah yang kaya tetapi kedekut dan busuk hati. Ayah tersebut kaya raya dengan memiliki banyak aset. Tetapi dalam masa yang sama beliau juga banyak hutang. Sebelum beliau mati , ayah tersebut mewasiatkan pada anak-anaknya , tolong jelaskan segala hutang beliau tetapi anak-anak beliau tidak boleh sama sekali menggunakan asetnya yang banyak itu. Tolong beritahu saya ayah seperti ini ayah jenis apa ?

Mana-mana pihak yang membaca Akta Pembangunan Petroleum 1974 sudah pasti akan tahu bahawa menjadi tanggungjawab Petronas untuk membayar bayaran tunai ( cash payment ) kepada mana-mana Negeri termasuk Negeri Kelantan jumlah wang yang dipersetujui antara Petronas dan negeri-negeri yang ada sumber petroleum.

Mengapakah Petronas dikehendaki membayar kepada negeri-negeri tersebut ? Jawapannya sepertimana di dalam seksyen 4 Akta tersebut.

Seksyen 4 menyatakan , sebagai ganti kepada pemberian hakmilik, hak, kuasa dan kebebasan yang diberikan oleh negeri-negeri kepada Petronas untuk mencari gali dan menyedut minyak dari mukabumi negeri-negeri tersebut , Petronas bersetuju untuk pertamanya membuat perjanjian dengan negeri-negeri tersebut dan keduanya untuk membayar jumlah wang tertentu dalam bentuk wang tunai kepada negeri-negeri tersebut .

Atas dasar itulah pada tahun 1976 semua negeri-negeri di Malaysia telah bersetuju menandatangani perjanjian royalti petroleum dengan pihak Petronas.

Sejak perjanjian royalti ditandatangani antara negeri -negeri dan Petronas pada tahun 1976, Petronas tidak pernah mengkhianiti perjanjian tersebut apabila ia secara konsisten dan menepati masa membayar royalti kepada negeri-negeri yang memilik sumber Petroleum seperti Negeri Trengganu, Sabah dan Sarawak .

Hanya setelah Kerajaan Trengganu dikuasai oleh PAS pada tahun 1998, barulah Petronas dengan berat hati dan setelah didesak oleh Kerajaan Pusat menghentikan bayaran royalti berbentuk tunai kepada Kerajaan PAS Trengganu. Di situlah bermulanya pengkhianatan yang dilakukan oleh BN atas sifat dengki dan politik sempit yang mereka amalkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menunjukkan bahawa jika negeri-negeri tidak setuju untuk menyerah hakmilik , hak , kuasa dan kebebasan untuk sedut dan carigali minyak dari negeri-negeri di Malaysia ini termasuklah negeri Kelantan, maka Petronas tidak berhak sama sekali mendapat manfaat dari hasil petroleum tersebut dari negeri-negeri tersebut.

Jelas negeri-negeri atas semangat Federalisme sanggup berkorban demi kepentingan negara untuk membiarkan asetnya diambil atau diurus oleh Petronas. Ini satu pengorbanan besar yang dilakukan oleh negeri-negeri di Malaysia demi menjunjung semangat Federalisme.

Malangnya semangat Federalisme hanya dijunjung oleh negeri-negeri sahaja dan tidak oleh Kerajaan Pusat.

Secara zahirnya saya rasa mana-mana negeri tidak ada masalah dengan pihak Petronas mengambil alih pengurusan petroleum menggantikan negeri-negeri. Meskipun PAS adalah parti pembangkang, kita juga rasa bangga dengan pengurusan Petronas yang dikendalikan secara profesional dan cekap sehingga mengaut keuntungan yang tinggi sekaligus menguntungkan negara.

Malangnya orang-orang politik di dalam BN dengan tanpa rasa bersalah sanggup melakukan perkara-perkara yang memalukan Petronas seperti menyalahgunakan wang petronas untuk kepentingan politik mereka dan mengkhianati perjanjian yang ditandantangani dengan pihak negeri-negeri seperti Trengganu dan Kelantan.

Umno dan BN tidak mempunyai alasan sama sekali untuk menafikan hak rakyat Kelantan kepada royalti Petroleum. Memandangkan perjanjian royalti ditandatangani antara Kelantan dan Petronas, secara mudah wang royalti itu hanya boleh dibayar kepada Kerajaan Kelantan sahaja dan mestilah, berdasarkan seksyen 4 Akta tersebut dibayar secara tunai.

Ini perkara yang amat asas dalam mana-mana undang-undang kontrak - iaitu mana-mana pihak yang bukan pihak kepada perjanjian tidak berhak mendapat manfaat dari perjanjian itu.

Oleh itu tindakan Kerajaan Pusat menggunakan wang tunai yang menjadi milik Kerajaan Kelantan dengan berselindung atas nama wang ehsan adalah satu jenayah pecah amanah ( breach of trust ) dan juga boleh tergolong kepada kesalahan mencuri . Jika wang ehsan itu benar-benar diambil dari wang royalti yang sepatutnya menjadi hakmilik Kelantan ia adalah satu kesalahan. Jika sebaliknya wang ehsan itu bukan dari royalti yang menjadi hak milik Kelantan, ia sekaligus mengesahkan bahawa Kelantan harus diberikan wang royalti tersebut kerana wang ehsan itu bukan datang dari wang royalti.

Persoalammya dari mana wang ehsan itu Kerajaan ambil ? Jika ia ambil bukan dari wang royalti , ia bertanggungjawab untuk memberitahu rakyat dari mana wang itu diambil ? Pihak Audit dan SPRM harus menyiasat perkara tersebut .

Malang sungguh bagi negara ini dalam perkara yang sepatutnya tidak perlu kepada pertikaian -iaitu hak Kelantan kepada royalti pertroleum- ianya masih menjadi bahan pertikaian . Mengapa ? Jawabnya kerana inilah Umno dari dulu, kini dan selamanya- hanya tahu menipu dan menzalimi rakyat. Itulah kepakaran Umno yang sukar untuk mana-mana pihak ingin tandingi !!!

Petronas bukan harta milik Umno-BN

Sumbangan besar Petronas sebagai sebuah syarikat gergasi minyak, yang menjadi sumber utama untuk membantu dan menampung ekonomi negara sangat diperakui.


Dana besar yang diperolehi bagi membantu menguruskan perbelanjaan negara tidak boleh dikatakan ia sebagai semata-mata hasil jasa Petronas.

Petronas hanyalah sebuah syarikat milik negara yang diberi amanah untuk mengeluarkan hasil minyak dan gas secara tunggal dari perairan negara dan antarabangsa.

Petronas diurustadbirkan secara profesional, namun ia dipertanggungjawabkan terus di bawah kuasa perdana menteri.

Apa pun, minyak dan gas di perairan negara dan yang dikongsi bersama beberapa negara jiran di perairan antarabangsa, adalah milik negara dan milik rakyat.

Justeru, segala hasil mahsul yang menghasilkan unjuran besar pendapatan Petronas adalah hak rakyat yang wajib diketahui rakyat.

Rakyat mahu mengetahui berapa jumlah sebenar yang diperolehi rakyat, berapa banyak royalti yang diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan pusat, serta ke mana dan bagaimana ia diagihkan.

Namun sehingga kini tiada data jelas yang boleh diperolehi secara telus. Parlimen juga tidak dibentangkan akaunnya dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) juga tidak boleh mengauditnya.

Mengapa akaun Petronas disembunyikan, dilindungi daripada rakyat? Barangkali di sini bukan salah Petronas. Yang salahnya mengapa perdana menteri enggan membenarkan akaunnya diteliti secara telus.

Rakyat tidak mengetahui dengan jelas, di perairan negeri mana telaga minyak dan gas digali. Rakyat tidak diberitahu secara jelas dengan siapakah usaha pencarigalian itu dilakukan dan banyak mana minyak dan gas yang digali.

Jika Kelantan tidak menuntut hasil petroleum yang jelas digali dalam perairannya, nescaya tiada siapa yang tahu apakah isu sebenar yang berlaku.

Kerajaan negeri Kelantan, di bawah usaha exconya, Datuk Husam Musa berjaya melakukan pembongkaran yang mengejutkan.

Iaitu, hasil petroleum digali dari perairan Kelantan sejak 2004, tetapi hasilnya disembunyikan oleh Petronas yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional.

Hasil royalti kepada Kelantan dianggarkan lebih RM1 bilion disembunyi dan didiamkan daripada Kelantan.

Mengapa mereka begitu jahat menyembunyikan hasil milik rakyat Kelantan? Di mana wang itu sekarang, dan ke mana ia dibelanjakan, akan tetap menjadi persoalan yang akan terus dibongkar.

Tidak dapat dinafikan, walaupun Petronas menjalankan urusniaga secara profesional, namun ia tetap tidak terlepas daripada diperalatkan oleh orang-orang politik, khususnya perdana menteri yang juga presiden Umno.

Sesiapa pun yang menjadi PM, boleh "mempunyai kecenderungan" untuk memanipulasikan Petronas, kerana agensi itu tertakluk sepenuhnya di bawah kuasa beliau.

Kemuncak manipulasi dan kejahatan yang paling besar dilakukan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, ketika PAS menerajui Terengganu (1999-2004).

Mahathir secara rakus menghukum rakyat Terengganu dan PAS dengan menarik balik royalti minyak selepas lebih 20 tahun dibayar kepada Terengganu secara tunai.

Royalti dibayar ketika Umno-BN menerajui kerajaan negeri, tetapi ditarik balik ketika PAS memegang tampuk kuasa.

Tindakan zalim ini tidak harus dimaafkan sama sekali. Hasil minyak bukan milik Umno-BN. Royalti minyak juga bukan duit milik Umno-BN.

Ia adalah milik rakyat dan mesti dipulangkan kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang sah dipilih pada setiap pilihan raya.

Hakikatnya Petronas bukan harta milik peribadi Umno-BN yang hendak dibidak sesuka hati mereka.

Justeru, kini rakyat sudah sedar hakikat sebenar. Hasil yang digali Petronas menjadi bahan pertaruhan politik Umno-BN. Ia juga dijadikan bahan dendam politik terhadap PAS, dahulu di Terengganu dan kini di Kelantan.

Maka kita mengharapkan agar Petronas dan seluruh kakitangannya, supaya tidak menjadi alat politik Umno-BN, dengan menyembunyikan fakta-fakta sebenar daripada rakyat.

Ingatkan hayat politik Umno-BN tidak lama. Mereka bakal ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Umno-BN, menzalimi rakyat dari sudut politik dan ekonomi, akan menerima balasan yang setimpal

Thursday, December 17, 2009

Ahli Parlimen BN Didakwa Tidak Serius Lulus Usul Bajet 2010

Ketua Whip Pakatan Rakyat (PR), Mohamed Azmin Ali mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersikap kebudak-budakan dan tidak serius sehingga menyebabkan penyokong kerajaan hampir kalah ketika menyokong usul Bajet 2010 di Dewan Rakyat kelmarin.

"Saya kira tindakan membawa usul Bajet 2010 bukan satu tindakan yang bersifat kebudak-budakan, sebaliknya saya kira ahli Parlimen Umno dan BN yang bersikap kebudak-budakan kerana mereka tidak serius mengenainya (Bajet 2010).

"Mereka sepatutnya datang untuk mendengar perbahasan dan menyokong usul Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tetapi perkara itu tidak berlak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemenangan tipis BN sebelum Bajet 2010 diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin dengan majoriti tiga undi iaitu 66 Ahli Parlimen BN menyokong sementara 63 Ahli Parlimen pembangkang membantah.

Berikutan kehadiran Ahli Parlimen BN yang mengecewakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa bergegas ke Parlimen untuk turut serta mengundi.

Mengulas situasi berkenaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, berdasarkan konvensyen bagi sebuah negara berparlimen, sekiranya bajet itu tidak diluluskan, kerajaan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Azmin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara tersebut jelas menggambarkan ketidaksungguhan ahli-ahli Parlimen BN untuk menyokong satu bajet yang begitu penting.

"Kegagalan mereka hadir dalam jumlah yang begitu besar menunjukkan mereka tidak bersedia untuk mempertahankan bajet untuk rakyat,” ujarnya.

Ditanya adakah tindakan tersebut merupakan tanda protes ahli-ahli Parlimen BN terhadap kerajaan pusat, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata: "Saya tidak mahu membuat spekulasi itu tetapi ada maklumat (yang diterima) menjurus ke arah tersebut."

Wednesday, December 16, 2009

Selamat pengantin baru Datuk Bung...



Segalanya sudah terjawab. Ahli Parlimen BN yang disebut-sebut berjaya menawan hati pelakon Zizie Ezette ialah Ahli Parlimen kawasan Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin. Agendadaily difahamkan, majlis akad nikah telah pun berlangsung manakala majlis sambutan akan dilangsungkan Rabu malam di sebuah hotel terkemuka ibukota. Beberapa Ahli Parlimen BN mengesahkan mendapat jemputan menghadiri majlis sambutan meraikan pengantin tetapi enggan menyatakan tempat berlangsungnya majlis sambutan berkenaan. Difahamkan hanya keluarga dan sahabat terdekat mendapat jemputan. Selamat pengantin baru Datuk Bung.

Naib Presiden Gerakan letak jawatan dan keluar parti

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung daripada jawatan itu, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada parti

Tanpa memberikan kata putus mengenai masa depan politiknya, beliau membayangkan akan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak lama lagi.

Cheng Guan membuat pengumuman itu pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini

Apakah ada perancangan nak malukan Najib?

SAYA rasa orang lain juga sefaham dengan saya, bahawa tuduhan Tengku Adnan Mansor mengatakan pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan adalah satu kenyataan tidak berasas dan keluar dari mulut manusia yang sombong dan tidak pernah tunduk ke bumi. Kenyataan itu juga menggambarkan kecetakan dan kebuas jiwa Tengku Adnan.

Apakah tindakan pembangkang meminta diadakan undi belah bahagi sebagai samseng? Kitab politik mana yang dibaca dan dihafalkan oleh Setiausaha Agung Umno itu untuk berkata demikian? Apakah peluangnya menjadi Ahli Parlimen selama ini tidak mengenalkan beliau dengan peraturan Parlimen?

Apakah beliau tidak faham bahawa sistem undi belah bahagi dibolehkan atas permintaan mana-mana ahli Dewan? Ada peruntukan dalam proses pengundian di Parlimen. Permintaan pembangkang kelmarin bukannya salah. Mereka menjalankan hak dan tanggungjawab mereka mengikut lunas-lunas Parlimen. Kalau peruntukan itu tidak ada masakan Yang Dipertua Dewan membenarkannya. Perkara ini sangat mudah untuk difahami.

Apa yang perlu dianggap samseng ialah wakil UBN kerana tidak hadir yang menyebabkan kerajaan mereka nyaris-nyaris menanggung malu besar. Akibat merasa selesa dan tidak pernah terfikir sesuatu kejadian buruk boleh berlaku menyebabkan masing-masing (ahli parlimen UBN), dalam keadaan riliks dan situasi ini sudah diambil kesempatan oleh MP pembangkang yang senantiasa komited dengan tugas mereka sebagai ahli Dewan.

Janganlah pula disebabkan kebebalan diri sendiri maka ia hendak ditunding kepada orang lain. Rakyat boleh ditipu tetapi bukan untuk sepanjang masa. Tengku Adnan tidak sepatutnya melemparkan tuduhan tidak berasas dan tak masuk akal itu kepada pembangkang. Sebaliknya beliau kena kutuk dan kecam ahli Parlimen UBN yang tidak hadir.

Menuduh pembangkang kerana hendak melindungi kebusukan diri bukan sikap terpuji. Itu munafik namanya. Sesekali ada baiknya juga kalau Umno mengakui kelemahan mereka. Benar kata Nazri Aziz apa yang berlaku di Parlimen malam kelmarin itu satu pengajaran besar kepada BN. Kejadian itu harus dikaji dan bukannya dijadikan peluang untuk mengeji pembangkang.

Di Parlimen malam semalam seperti mana dilaporkan UBN hampir malu besar apabila Bajet untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak apabila sokongan mengikut undi belah bahagi terhadap Bajet itu menang dengan satu undi saja. Sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak. Manakala pengundi belah bagi diperingkat Jawatankuasa pula menang dengan tiga undi saja, 68 menyokong dan 62 menolak.

Keadaan itu katanya sungguh mencemas dan menimbulkan kemarahan Perdana Menteri. Merah padam muka Najib Razak dengan kejadian itu. Wajar kalau Najib merasa marah dan malu kerana ia menyentu wibawanya. Justeru Najib tidak patut melihat kejadian itu satu kebetulan saja. Apa yang beliau kena fikirkan apakah kejadian itu disengajakan. Bahawa sudah ada perancangan halus untuk memalukannya.

Betapa kalau Bajet itu ditolak ia menunjukkan kerajaan pimpinan Najib sangat lemah. Penolakan Bajet itu bermakna kerajaan dan kepimpinan Najib ditolak. Risiko kepada penolakan itu boleh menyebabkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan untuk membentuk kerajaan baru dari kalangan pembangkang.

Adalah diharapkan Najib tidak membiarkan apa yang berlaku melainkan melihat ianya satu perbuatan sebotaj oleh ahli Parlimen UBN sendiri terhadap kerajaannya. Mengenai kemungkinan ada perancangan nak jatuhkan Najib saya akan ulas di lain masa.

Kerajaan Najib Nyaris Tumbang Lewat Malam Tadi

Dewan Rakyat bergegar dan Kerajaan Najib nyaris sahaja tumbang malam tadi!

Usul untuk meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat (Isnin, 14 Disember 2009) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti tipis iaitu dengan 3 undi berbanding Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, usul bagi perbekalan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang dikira lebih awal iaitu sekitar jam 10.30 malam menyaksikan ia diluluskan hanya dengan 1 undi majoriti, iaitu 60 di pihak Pakatan Rakyat dan 61 di pihak BN.

Proses pengundian yang dikenali sebagai “belah bahagi” itu berlangsung kira-kira jam 10.45 malam sehingga kira-kira jam 11.30 malam, dengan beberapa ahli parlimen BN bergegas tiba dan mulai masuk ke dalam dewan sekitar jam 10 malam.

Sebelum itu, sesi jawapan menteri bagi kementerian terakhir iaitu KDN juga seperti sengaja dilengah-lengahkan bagi menanti ketibaan ahli-ahli Parlimen BN bagi mempertahankan Kerajaan Najib. Menurut jadual, sepatutnya jawapan menteri tamat kira-kira jam 9.30 malam, tetapi berlarutan sehingga lebih jam 10 malam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di perkarangan Parlimen kira-kira 10 minit lebih awal berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sampai sekitar jam 10.10 malam.

Speaker Dewan, Tan Sri Pendekar Amin Mulai yang membacakan keputusan itu menyebutkan dengan kiraan undi untuk meluluskan Bajet 2010 ialah keseluruhan BN-66 dan Pakatan Rakyat-63. Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak boleh dibantah walaupun cuba dilakukan oleh beberapa ahli dewan Pakatan Rakyat.

Saat-saat dramatik itu bermula ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat sudah mulai riuh dan bersorak menandakan lakaran sejarah baru ini di dalam Dewan apabila di antara mereka turut mengira bahawa Pakatan Rakyat mendahului kiraan dengan majoriti tipis, iaitu 1-3 undi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga berada di dalam dewan dilihat begitu tenang namun serius mengemudi ‘penentangan’ hebat tersebut. Turut bersama menggempur BN saat itu ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas dan Lim Kit Siang, Pengerusi DAP.

Menurut seorang ahli parlimen yang berada di situ, beliau ragu dengan jumlah undi yang tertulis dan diserahkan kepada Speaker oleh Setiausaha Dewan, Datuk Rosmini Ahmad.

“Setiausaha Dewan tuliskan angka itu dikertas dan dia sendiri pun kelihatan sudah menggigil dan pucat muka,” katanya.

Menurut sumber yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kiraan untuk Bajet 2010 itu bertambah bilangannya apabila dua lagi ahli dewan baru masuk ke dalam dewan iaitu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, disusuli ketibaan Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga merupakan Presiden MCA.

Seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat, R Sivarasah Rasiah bangun dan cuba membantah sewaktu usul bagi KDN yang diluluskan begitu cepat dan perlunya kiraan semula, tetapi telah ditolak oleh Speaker dewan.

Lebih mengharukan menurut ahli parlimen itu lagi, terdapat beberapa orang senator yang masih berada di dalam Dewan, yang memungkinkan turut dikira sedangkan senator adalah tidak layak untuk mengundi dan tidak boleh berada di dalam dewan sewaktu proses pengundian.

Selain itu, buat pertama kalinya, dua timbalan speaker terpaksa duduk di tempat ahli parlimen bagi dikira sekali undian mereka, iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee. Memang hal ini dibenarkan mengikut peraturan dewan, tetapi ia tidak pernah terjadi sebelum ini.

Para pegawai Perlimen yang bertugas juga menyaksikan episod tersebut. Andai tidak, kita akan menyaksikan bagaimana buat pertama kalinya, BN tumpas dalam kiraan undi di Dewan Rakyat yang memboleh implikasi kerajaan Najib menerima usul undi tidak percaya.

Pada sebelah siangnya, Speaker dewan turut menolak usul pindaan Akta Pembangunan Petrolium 1974 yang antara lain menyebabkan kerajaan negeri Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak daripada kerajaan Pusat.

Tidak Ada Sebab Tolak PAS Di Kota Siputeh!

Enam nama disebut-sebut sedang menghidu peluang untuk dinobatkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kota Siputeh yang diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akibat ketidak pekaan bekas wakil rakyatnya terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah

Keenam-enamnya dilaporkan sedang berlumba-lumba membina empayar masing-masing bagi memberikan gambaran kekuatan dan penerimaan akar umbi terhadap diri masing-masing untuk terpilih sebagai calon dalam PRK Kota Siputeh sekiranya berlaku.
Tinjauan di sekitar Kota Siputeh mendapati ada di antara yang tercatat namanya giat menonjolkan diri di khalayak ramai dan ada yang tidak lekang dengan songkong hitam tinggi yang sinonim dengan parti perkauman itu siang dan malam.

Pergerakan wanita parti itu juga makin giat melobi calon pilihannya seolah-olah pertubuhan berasaskan bangsa itu akur dan taat dengan perundangan yang digunapakai di negara ini.

Walau bagaimanapun keputusan Mahkamah Rayuan 24 November lalu, yang memberi kemenangan sementara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedikit merencatkan keghairahan mereka yang tidak sabar-sabar menantikan writ PRK bagi N.3 Kota Siputeh dikemukakan.

Di satu pihak lain, PAS yang diberi mandat menggalas cabaran Pakatan Rakyat (PR) di kubu kuat Umno itu terus merangka persiapan dan gerak kerja pilihan rayanya tanpa membayangkan siapakah calon yang bakal dipertaruhkannya bagi membolehkan kubu Umno itu dirobohkan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, parti itu telah menyenarai pendek nama-nama calon dan pemilihannya akan memberi keutamaan kepada individu yang boleh diterima rakyat di kawasan itu.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan kekalahan tipis calon PAS, Ismail Wan Teh di tangan calon BN, Dato' Abu Hasan Sarif dengan majoriti hanya 495 undi.

Sekiranya kajian Zentrum Future Studies Malaysia seperti yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah di Markas PAS Taman Melewar baru-baru dan juga keputusan PRK Bagan Pinang, 11 Oktober lalu diambil kira, nampak seperti tidak ada ruang untuk PAS merobohkan kubu kuat Umno itu.

Sebaliknya, jika semangat dan kerjasama di antara komponen dalam PR semasa siri-siri PRK selepas 8 Mac 2008 diguna pakai, BN nampak goyah untuk mempertahankan kerusi kuatnya itu.

BN nampak seperti takut-takut dan bimbang untuk berdepan dengan PRK di Kota Siputeh walaupun sentiasa menzahirkan kesediaannya menghadapi kemungkinan di situ. Berbeza dengan PAS yang sentiasa mengalu-alukan dan bersemangat meneruskan kemaraan parti itu walaupun dikejutkan dengan kekalahan besar calonnya di Bagan Pinang.

Bagan Pinang dan Kota Siputeh adalah berbeza sama sekali walaupun dikategorikan kubu kuat Umno sejak bumi ini dijadikan. Penganalisa politik mentafsirkan pertembungan kedua-dua parti kali ini adalah di atas padang yang sama rata berbeza sekali dengan apa yang dihidangkan di Bagan Pinang.

Disebabkan faktor itulah Umno dan BN masih terkial-kial mencari rentak di Kota Siputeh walaupun acap kali pemimpin besarnya menterjemahkan kemenangan besar mereka di Bagan Pinang sebagai penerimaan semula rakyat kepada mereka.

Jika dilihat dari aspek pentadbiran negeri, tidak ada sebab pengundi di Kota Siputeh untuk tidak memilih calon yang bakal diketengahkan oleh PAS nanti. Pentadbiran PAS di Kedah terbukti berjaya memberikan keyakinan Ketua Audit Negara seperti yang dizahirkan dalam laporannya baru-baru ini.

Keupayaan kerajaan negeri meningkatkan hasil dan menguruskan kewangan negeri mendapat pujian dan sanjungan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang DUN Kedah di kala kerusi Kota Siputeh baru diputuskan statusnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saranan Tuanku Sultan agar dicontohi pendekatan kerajaan baginda memajukan negeri membuktikan keupayaan PAS dan PR mentadbir walaupun baru setahun jagung diberi amanah menerajui pemerintahan negeri.

Dalam situasi serba kekurangan dan tekanan dari pemerintah di pusat, kerajaan negeri masih mampu menjana hasil untuk dinikmati bersama selari dengan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Pembatalan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang melibatkan 3000 hektar tanah sawah gred A telah memberikan sinar baru kepada pemilik tanah berkenaan apabila mendapat kembali hak milik mereka yang hampir dilenyapkan oleh pemerintah ketika itu.

Sebagai gantinya, kerajaan negeri telah mengumumkan projek baru yang dikenali sebagai Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIHH) yang tidak melibatkan air mata rakyat. Projek ini dijangkakan bakal memberikan pulangan RM400j setahun apabila beroperasi kelak.

Pengumuman penurunan cukai tanah bermula dari 25 hingga 75 peratus ketika situasi ekonomi dunia berada di tahap yang meruncing membuktikan keperihatinan kerajaan negeri terhadap permasalahan rakyat di negeri ini.

Peningkatan hasil hutan negeri dari RM8juta kepada RM35juta setahun dengan keluasan hutan yang sama dan peningkatan kutipan royalti hasil bumi sehingga RM19juta setahun menyerlahkan lagi ketelusan pentadbiran hasil maksum negeri yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri untuk dinikmati bersama.

Buat pertama kalinya dividen berjumlah RM30juta hasil keuntungan sebelas syarikat kerajaan (GLC) dibayar kepada kerajaan negeri yang sebelum ini tidak pernah dikembalikan sejak ditadbir oleh mereka yang terdahulu. Ini membuktikan tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Dari segi ekonomi pula, Kedah berada ditempat kelima dalam carta kemasukan pelabur di negara ini dengan jumlah pelaburan bernilai RM837juta sekaligus menafikan cakap-cakap pihak lawan yang mempertikaikan keupayaan negeri-negeri di bawah pentadbiran PR.

Terbaru, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM4juta bermula Januari 2010 sebagai dana skim khifalah yang diberi kepada semua warga emas tanpa mengira kaum dan agama bagi meringankan bebanan keluarga menguruskan kematian mereka kelak.

Keupayaan PAS dan PR mentadbir negeri dengan lebih baik tidak boleh dinafikan dengan bukti-bukti yang dikemukakan. Tidak seharusnya rakyat di negara ini dan di negeri Kedah khususnya menolak PAS dan PR sebagai pemerintah ketika ini.

Kedah Sejahtera bukan sekadar laungan tetapi dibuktikan sepanjang 18 bulan memegang amanah mentadbir negeri. Tidak ada sebab untuk pengundi di Kota Siputeh menolak PAS sekiranya berlakunya PRK di kerusi itu dalam masa terhampir ini.

Tuesday, December 15, 2009

Peguam Negara diberi seminggu keluar sijil khas untuk dakwa Lingam

Pengerusi DAP, Karpal Singh memberikan tempoh seminggu kepada Peguam Negara untuk mengeluarkan sijil khas bagi membolehkannya menjalankan pendakwaan ke atas peguam yang terlibat kontroversi pita rakaman ‘Lingam’, Datuk V K Lingam.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, beliau menerima cabaran yang dilontarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini, untuk mendakwa Lingam, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang sijil ‘Fiat’ dikeluarkan Peguam Negara bagi membolehkannya menjalankan pendakwaan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, terdapat beberapa kesalahan Lingam sebagaimana yang ditayangkan dalam bukti pita rakaman, termasuk kesalahan melobi pelantikan peguam dan kesalahan melanggar Akta Peguam Profesional.

“Saya beri tempoh seminggu kepada Peguam Negara untuk mengeluarkan sijil Fiat bagi membolehkan saya mendakwa Lingam memandangkan sebelum ini, Nazri ada melontarkan cabaran akan memberikan keizinan kepada mana-mana peguam untuk mendakwa Lingam, sekiranya ada yang berani tampil.

“Kini, saya sendiri menyatakan kesudian untuk mendakwa Lingam, namun sehingga kini, surat Fiat masih tidak dikeluarkan atas tujuan itu oleh Peguam Negara. Mana janji yang ditaburkan Nazri sebelum ini?,” katanya pada sidang media di Air Hitam, semalam.

Karpal turut menyuarakan hasrat bertemu secara terus dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagi membolehkan beliau segera mendapat sijil Fiat untuk mendakwa Lingam sekiranya Nazri masih lagi berdiam diri dan bermain tarik tali dengannya.

“Saya akan berjumpa terus dengan Peguam Negara bagi memberikan penjelasan terperinci berhubung kesalahan yang dilakukan Lingam bagi membolehkan sijil Fiat segera dikeluarkan sekiranya Nazri masih terus bermain tarik tali,” katanya.

Sebelum ini, Karpal Singh menyatakan kesudiannya untuk menghulurkan khidmat bagi mendakwa Lingam sekiranya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberikan kebenaran undang-undang kepadanya untuk bertindak

2010, Cabaran Besar Menanti PAS

2010 bukan tahun pilihanraya. Pasti Najib tidak akan membubarkan parlimen pada tahun hadapan. Situasi semasa ekonomi terutamanya meletakkan 2010 bukan tahun yang sesuai untuk pilihanraya. Lagi pun penggal parlimen yang masih ada ini terlalu muda untuk itu.PAS bakal meninggalkan 2009 dengan seribu kenangan, manis dan pahit. Kenangan manis diharap tidak melekakan dan kenangan pahit tidak melemahkan

Suatu acara besar yang bakal mencorakkan wajah PAS pada tahun 2010 ialah Konvensyen Pakatan Rakyat pada bulan ini. PAS bersama PKR dan DAP bukan lagi rakan biasa tetapi bakal menjadi rakan rasmi, kiranya pendaftaran Pakatan Rakyat diluluskan.

Isu yang menyebabkan teranjurnya seminar khas rasanya tidak akan berbangkit lagi. Ianya terkunci mati. Mereka yang dikatakan terlibat memporak-perandakan PAS dengan isu itu bakal berhadapan tindakan. Mudah-mudahan isu tersebut akan terpadam terus daripada kamus perjuangan PAS.

Kajian yang dibuat oleh Dr Abu Hassan Hasbullah yang terbentang pada seminar khas yang lalu diharap tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kebimbangan mengenai penurunan sokongan golongan muda kepada PAS diharap dapat diubati khususnya oleh Pemuda PAS.

Demikian juga dengan keputusan PRK Bagan Pinang diharap tidak terus menghantui PAS. Walau pun keputusan itu bukan gambaran sebenar kepada situasi yang dihadapi PAS, tetapi kewujudan orang-orang seperti Isa Samad tidak boleh dipandang remeh. Itulah sebahagian sumber kekuatan Umno.

Di kalangan PAS adakah orang yang sehebat Isa, bukan rasuahnya tetapi dekatnya dia dengan hati dan jiwa rakyat setempat?

Umno masih mempromosikan isu hubungan PAS dengan DAP. Misalnya, PAS menjadi tunggangan DAP dan PAS makin luntur komitmen Islamnya kerana menjaga hati DAP. Walau pun itu adalah tuduhan tidak berasas Umno, PAS tidak boleh memandang mudah tuduhan itu. Sesuatu perlu dilakukan untuk menafikan tuduhan hodoh itu.

Antara isu kritikal juga ialah hubungan PAS dengan non Muslim khususnya ahli kelab penyokong PAS. Bagaimana status mereka, sekadar ahli kelab atau bakal dinaik taraf menjadi ahli PAS? Jelas, mereka tidak boleh dibiarkan terus sebagai ahli kelab sahaja tetapi perlu menjadi ahli PAS. Bagaimana? Tentu PAS ada mekanismenya.

Di samping isu-isu politik negara, PAS juga mesti peka dengan tugas pembinaan kualiti ahli. Melahirkan ahli PAS yang tidak lut oleh senjata Umno yang tajam itu bukan mudah. Justeru, program tarbiah siyasiyyah perlu mampu melahirkan ahli PAS yang terdidik sebagai ahli politik yang matang dan tahan uji serta masak dengan sepak terajang musuh.

Soalan akhir, apa khabar PAS Perlis? Bagaimana wajah PAS Perlis pada tahun 2010?

PAS Perlis tidak boleh lagi berterusan dengan strategi ‘Gerak Senyap’ juga ‘Menjadi Pembangkang Yang Kuat’, tetapi perlu mampu menampilkan diri sebagai ganti kepada Umno pada pilihanraya akan datang.

Gerakan politik bertahap tinggi hendaklah menjadi keutamaan. Penglibatan mereka yang berminda strategik dan berwawasan, berfikiran politik tinggi dan lincah perlu dibuka luas. Kita tidak boleh berpuas hati dengan tenaga yang ada yang masih belum mampu memecah tembok penghalang antara PAS dengan rakyat.

Mudah-mudahan 2010 membawa sinar yang lebih gemilang kepada PAS Perlis.

Monday, December 14, 2009

Selangor berhak tentu sendiri tarikh PRU


Kerajaan Selangor berhak tidak menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijadualkan Kerajaan Pusat dan menetapkan tarikhnya sendiri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Pusat juga tidak boleh halang jika Kerajaan Negeri mahu memilih tarikh PRU berasingan.

Beliau diminta mengulas rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi dalam PRU ke-12 dalam PRU akan datang.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi PKR Negeri berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan berusaha untuk kekal sebagai pemerintah di negeri itu selepas PRU-13.

“Kita akan berusaha kalahkan Barisan Nasional (BN) dan rakyat perlu menilai kebaikan dan faedah yang akan mereka perolehi sekiranya mereka mengundi PR,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada 52 sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, semalam.

Mengenai rancangan Kerajaan Negeri hendak melaksanakan sistem sekolah percuma untuk semua sekolah di negeri ini, katanya, ia dapat ditimbangkan jika Kerajaan Pusat memberi peruntukan yang cukup.

Katanya, Kerajaan Pusat mendapat RM16 bilion daripada Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini, tetapi sehingga 27 Oktober lalu, Kerajaan Negeri hanya menerima RM408.26 juta.

“Saya tidak fikir Kerajaan Pusat akan berikan jumlah yang lebih banyak dan saya faham mereka juga perlukan peruntukan untuk jalankan projek. Tetapi sekurang-kurangnya rakyat Selangor berhak mendapat 20 peratus daripada jumlah itu untuk kepentingan dan kebajikan mereka,” katanya.

Katanya, jumlah RM16 bilion itu adalah nilai cukai yang dibayar oleh rakyat negeri ini kepada Kerajaan Pusat dan mereka berhak menerima peruntukan yang sewajarnya bagi tujuan pembangunan.

Memerangi Rasuah

Adakah jenayah rasuah boleh dihapuskan? Ya. Tetapi mengapa ia tidak dapat dihapuskan? Rasuah ialah jenayah berasaskan peluang. Selagi ada peluang, selama itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah.

Umumnya, rakyat menolak jenayah rasuah. Bagaimanapun, tumpuannya sekarang ialah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita beranggapan seolah-olah SPRM mempunyai lampu ajaib untuk membanteras jenayah rasuah. Kita menganggap dengan mendakwa semua perasuah pada kesudahannya, jenayah ini akhirnya berakhir.

Memang SPRM sebagai sebuah suruhanjaya mempunyai tanggungjawab besar. Atas alasan itulah agaknya, masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada SPRM dan ia tidak salah. Sering kali, SPRM dilihat sebagai gagal memenuhi harapan ini dan menjadi sasaran kritikan rakyat.

Untuk bersikap adil, SPRM baru berusia setahun jagung. Setahun bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Ia masih lagi dalam proses menyesuaikan diri selepas perubahan peranan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada entiti yang ada sekarang.

Pun begitu, SPRM hendaklah menerima kritikan berkenaan secara positif dengan melakukan penambahbaikan berterusan dan tidak menyapu semua isu yang dibangkitkan ke bawah permaidani.

Sebahagian kritikan terhadap SPRM ada asasnya. Usaha penambahbaikan harus diteruskan, khususnya peningkatan tahap profesionalisme dan kepakaran kakitangannya.

Dalam mengkritik, berikan tumpuan kepada kes tertentu secara spesifik. Serangan terhadap SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa boleh menjejaskan kemampuan suruhanjaya itu untuk memainkan peranan dengan efektif.

Ketika SPRM mempunyai peranan tersendiri dalam soal ini, pihak lain juga mempunyai fungsi dalam membanteras jenayah rasuah. Ambil contoh jenayah rasuah politik. Sering kali masyarakat mempersoalkan kenapa SPRM tidak bertindak. Ya, SPRM patut bertindak tegas dalam hal ini tanpa memilih bulu, bilis atau jerung.

Bagaimanapun, ahli parti politik dan rakyat juga perlu memainkan peranan dengan menolak pemimpin rasuah. Dengan cara itu, pemimpin berkenaan tidak lagi berada pada kedudukan yang memberikan mereka kuasa dan sekali gus peluang untuk terus melakukan jenayah itu. Andainya ahli parti tidak berbuat demikian, rakyat sebagai pengundi hendaklah menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka menolak pemimpin rasuah.

Inilah peranan yang boleh dimainkan rakyat. Sekiranya semua rakyat melaksanakan tugas ini dengan berkesan, maka semua parti politik (tanpa mengira apa jenama sekalipun) akan menentukan pemimpinnya bersih.

Sebelum ini, ada garisan yang jelas antara parti kerajaan dan parti pembangkang. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU12), keadaan itu berubah. Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan Pusat sementara DAP, PKR dan Pas pula menguasai beberapa kerajaan negeri. Ini bermaksud semua pemimpin parti politik kini mempunyai akses kepada kuasa dan peluang.

Pengalaman memberikan ceramah pada program anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) yang membabitkan parti politik menunjukkan bahawa inisiatif penganjuran program berkenaan dimulakan oleh IIM; bukan sebaliknya. Sekiranya kita bersungguh-sungguh ingin membanteras jenayah rasuah, maka parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan organisasi swasta hendaklah mengambil tanggungjawab mendidik ahli dan kakitangan masing-masing tanpa mengharapkan inisiatif dimulakan IIM.

Selain itu, SPRM juga berfungsi melakukan pendidikan jenayah rasuah. Ambillah kesempatan menjalin kerjasama dengan SPRM bagi mendidik masyarakat, bukan sekadar mengharapkan SPRM menyiasat dan menahan perasuah.

Memang pendidikan adalah satu proses yang memakan masa. Namun itulah yang perlu dilakukan sekiranya kita ingin membanteras jenayah ini. Usah harapkan jalan singkat.

Satu lagi kaedah mengurangkan jenayah rasuah politik ia melalui literasi politik. Pemimpin, ahli parti politik dan rakyat seluruhnya hendaklah dididik mengenai proses politik dan bagaimanakah mereka boleh mengambil bahagian dalam proses itu secara efektif.

Sekiranya rakyat memahami dan menerima kepemimpinan politik sebagai beban dan bukannya habuan, maka usaha menangani jenayah rasuah akan menjadi lebih mudah.

Apa yang berlaku sekarang ialah ada orang yang melihat pembabitan dalam politik sebagai satu proses mendapatkan kuasa untuk menjadi kaya. Apabila mendapat jawatan, ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengaut harta awam sebagai harta peribadi. Tentulah menjelekkan apabila seorang juruteknik rendah yang menjadi wakil rakyat selama satu penggal boleh memiliki rumah mewah dan kereta besar.

Ada orang berkata hanya penerima rasuah yang dikenakan hukuman, manakala pemberi rasuah bebas. Sekurang-kurangnya itulah yang dilaporkan dalam media massa dan ia memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa memberi rasuah tidak salah. Apa yang salah ialah menerima rasuah dan sebab itulah mereka menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan.

Saya percaya itu tidak tepat dan persepsi ini harus dibetulkan SPRM. Sekiranya laporan mengenai pemberi rasuah disiarkan dalam media massa, ia akan membantu membina kefahaman masyarakat bahawa memberi rasuah juga adalah satu jenayah.

Indeks persepsi rasuah Transparency International yang meletakkan Malaysia di tangga ke-57 bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Pada abad ke-21, persepsi adalah sesuatu yang diterima sebagai realiti. Maka, persepsi mesti diuruskan dengan baik.

Menguruskan persepsi bukan dengan menafikannya. Saya fikir kita tidak perlu mempertikaikan metodologi kajian atau organisasi berkenaan bagi menidakkan sesuatu hasil kajian atau indeks yang tidak memihak kepada kita.

Search This Blog