Saturday, January 16, 2010

Perak menangis kerana dikasari

Siapakah lebih tertinggi dalam struktur pentadbiran dan undang-undang di Malaysia ? Tun Mohamed Suffian B Hashim bekas Ketua Hakim Negara (1974-1982) menyifatkan, hanya perlembagaan

sahaja yang tertinggi di Malaysia.

Perkara 4(1) Undang-undang Persekutuan menyatakan bahawa “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.



Namun pada pandangan Tun Suffian, mahkamah mempunyai kuasa yang besar juga terhadap bahagian perundangan dan eksekutif memandangkan:
  • Ia mempunyai kuasa mentafsirkan perlembagaan
  • Mempunyai kuasa mentafsirkan sesuatu undang-undang
  • Mempunyai kuasa mengistiharkan sesuatu undang-undang bertulis persekutuan atau negeri sebagai tidak sah; dan
  • Mmpunyai kuasa mengistiharkan sesuatu tindakan kerajaan sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

“Mahkamah boleh tanpa takut atau pilih kasih menjalankan kewajipannya” beliau menulis.

Walaubagaimanapun, seseorang hakim boleh dipecat dengan melantik tribunal di atas syor Yang DiPertuan Agong dan Agong boleh menggantung tugas-tugas hakim sementara menanti siasatan oleh tribunal itu.

Dalam kes di Perak Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2009 yang lalu.

Sehingga ke hari ini mahkamah belum dapat mendengarkan keputusannya tentang kesahihan Menteri Besar di negeri itu .

‘If we desire respect for the law, we must first make the law respectable’ kata Louis D.Brandeis.

Apakah kelewatan seperti ini dalam kes yang membabitkan begitu ramai orang, menangguhkan keputusan merupakan satu kebaikkan, penghormatan, keadilan atau jalan keluar?

Bagi pecinta demokrasi, mereka menganggap ianya satu penganiayaan terhadap aktiviti rakyat dan negeri dan tidak sepatutnya dimaafkan tindakan itu.

Apa tidaknya, membiarkan Perak dan rakyatnya dikasari dan menangis dengan bantuan manusia tidak normal.

Friday, January 15, 2010

SELENA TAY: Pertempuran sudah bermula!

Sebagai penyokong Pakatan Rakyat, saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa pertempuran telah bermula!

Kepada semua wakil-wakil Parlimen, ADUN-ADUN dan ahli-ahli PKR, PAS dan DAP, anda semua mesti bersiap sedia untuk pergi ke medan pertempuran, jangan tidur dan jangan leka.

Pada penghujung bulan Januari hingga permulaan bulan Februari tahun 2009 pada masa Tahun Baru Cina, BN telah mendalangi rampasan kuasa di Perak. Pada masa itu, tiada satu orang dari Pakatan Rakyat pun yang menjangka bahawa ini akan berlaku. Dengan beberapa langkah yang licik dan pantas, BN telah menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Dan sebagai seorang yang pesimis, saya percaya bahawa adalah mustahil untuk Pakatan Rakyat mendapat kembali kuasa di Perak melalui proses mahkamah dan hanya terpaksa menunggu sehingga Pilihanraya Umum Ke-13.

Saya sekarang menggesa Pakatan Rakyat supaya sentiasa berjaga-jaga selama 24 jam sehari tujuh hari seminggu. Serangan mengejut selalu akan dilakukan oleh BN.

Saya berpendapat setelah Datuk Zaid Ibrahim dari PKR mencadangkan bahawa Tuan Guru Nik Aziz menjadi kapten bahtera Pakatan Rakyat, BN telah bertungkus-lumus melancarkan serangan peribadi bertubi-tubi (character assassination) ke atas Tuan Guru Nik Aziz. Sejak November 2009, serangan-serangan berikut telah dilakukan oleh BN keatas Tuan Guru:-

1) Hal penajaan untuk menunaikan fardhu haji di Mekah;

2) Hal menantunya yang bekerja di PMBK; dan

3) Hal pembelian kek.

Serangan ini akan berterusan sehingga BN mencapai matlamatnya iaitu Tuan Guru Nik Aziz mesti meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Itulah strategi BN untuk merampas kuasa di Negeri Kelantan. Dalam medan pertempuran dahulu kala, bila ketua angkatan tentera mati tentulah askar-askarnya akan melarikan diri, membunuh diri ataupun mengibar bendera putih. Inilah yang dirancangkan oleh BN supaya Negeri Kelantan akan jatuh ke tangan BN.

Satu lagi strategi BN ialah dengan menggunakan senjata ideologi. Serangan dengan menggunakan senjata ideologi ini dilakukan ke atas PAS dan DAP di mana BN cuba melagakan PAS dengan DAP. Strateginya ialah menakutkan orang Cina bahawa PAS ialah parti fanatik dan menakutkan orang Melayu bahawa PAS tidak lagi berjuang untuk Islam sebab telah bekerjasama dengan DAP. Strategi serampang dua mata ini memainkan isu sentimen perkauman dan memperalatkan agama. Ini jelas menunjukkan niat jahat BN.

Senjata BN yang satu lagi yang tidak kurang hebatnya ialah menakutkan orang dan menindas rakyat (to create an element of fear). Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang mengadakan candlelight vigil ataupun mengadakan protes menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA-Internal Security Act) akan ditangkap dengan cepat oleh polis.

Dan senjata yang amat berkesan ialah senjata Trojan Horse. Senjata ini ialah satu budak upahan BN bernama Saiful yang telah bekerja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk satu jangkamasa yang singkat tetapi telah melakukan kerosakan yang amat teruk dan parah sekali ke atas Anwar. BN berharap supaya apabila Anwar tumbang, Pakatan Rakyat akan tumbang bersama.

Senjata media arus perdana pula digunakan setiap hari untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat di mana para penulis akhbar media arus perdana sentiasa memberi kritikan yang tidak munasabah ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan memanipulasi berita mengenai PAS, PKR dan DAP dengan memberikan imej bahawa parti-parti ini selalu bertengkar dan tidak bekerjasama.

Senjata wang pula tidak perlu disebutkan lagi sebab BN memang pandai menggunakan senjata ini untuk membeli kuasa dan sokongan rakyat. Oleh itu, setiap kali apabila pilihanraya kecil diadakan, BN akan memberi wang untuk memperbaiki jalanraya, jambatan dan lampu jalan, membersihkan longkang dan lain-lain lagi di kawasan pilihanraya tersebut. Oleh itu by-election juga boleh disebut sebagai buy-election oleh BN. Wang rakyat juga digunakan oleh BN untuk memperbaiki imej mereka sendiri dengan mengadakan program mesra rakyat seperti UMNO Juara Rakyat yang baru sahaja dilancarkan dalam bulan Januari tahun ini.

Sudah lama BN menggengam negara ini dengan pemerintahan kuku besi. Jika ini berterusan maka negara akan musnah sama sekali oleh kerana negara akan hilang daya saingannya. Pelabur asing menarik keluar modal mereka, pasaran merudum, ekonomi merosot, jumlah keluarga miskin tegar akan bertambah, kadar jenayah akan naik dan Malaysia akan menjadi negara dunia ke-3 ataupun ke-4. Wawasan 2020 adalah satu khayalan sahaja.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mesti merancang strategi untuk melawan BN. Jangan tunggu hingga saat-saat terakhir. Bermula dari sekarang Pakatan Rakyat mesti mengadakan kempen, forum, seminar, conference, roadshow dan lain-lain aktiviti untuk menerangkan program-plan Pakatan Rakyat kepada rakyat.

Sebenarnya para pemimpin Pakatan Rakyat adalah lebih cerdik dan lebih berkaliber daripada para pemimpin BN. Para pemimpin BN hanya pandai merebut kuasa dan mengaut keuntungan negara. Mereka langsung tidak peduli dengan ekonomi negara tetapi hanya menjaga akaun kewangan mereka sendiri.

Telah tiba masanya untuk rakyat membuka mata dan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dan membuang BN ke dalam tong sampah untuk menyelamatkan negara ini. Kita berada di ambang fajar era baru. Saya menyeru semua rakyat satu Malaysia supaya berganding bahu dan bersama-sama mengorak langkah menuju ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat!

---------------------------------
Selena Tay adalah ahli DAP dari Segambut dan penyokong tegar idea Pakatan Rakyat.

Bakar Gereja Masih Tiada Penyelesaian Dari Kementerian

Grombolan umnobn dilihat semakin terdesak dan akan cuba membersihkan imejnya yang tercalar. Sedang Hishamuddin Hussein (KDN) dan Musa Hasan (PDRM) sudah pun mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian pembakaran gereja. Malah wajah suspek terang-terang sudah dikenali namun tiada tangkapan dibuat oleh pihak polis. Takkan tengah memilih suspek kot. Kalau ada rantaian kearah grombolan umnobn hangpa mungkin akan tukaq suspek lain.

Apa lagi tangkap dululah.. siasatnya kemudian...kah..kah.. Macam hangpa tangkap budak IPT yang menulis dalam Facebook, kononnya suspek membakar gereja dan kemudian melepaskannya kerana pelajar itu mengaku beliau hanya "main-main". Siapa yang kena main sebenarnya dalam hal yang boleh meletus ketegangan ini.


Dalam depa nak memantau laman sesawang sebagai mencari petunjuk siapakah dalang punca kejadian ini..Tup..Tup.. ada lagi kejadian menyimbah cat merah di sebuah gereja di Kota Tinggi. Kali ini mungkin penyimbah cat tidak tahu bagaimana membuat Molotov Cocktails. Serangan ke atas gereja itu adalah yang pertama di Johor, dan yang ke-10 di seluruh negara. Jelaslah disini bahawa kenyataan Hishamuddin Hussein sebelum ini yang menyatakan keadaan adalah terkawal adalah tidak tepat sama sekali. Mana dia NGO-NGO yang beriya-iya sangat mahu kawal gereja dari diserang. Tidoq ka.. bikin serupa cakap larr.. NGO-K.

Petikan dibawah di ambil dari laman sesawang MSO. Aku cuba memahami maksud MSO. Tetapi aku tak paham juga... kah..kah..kah..

  • "Saya teringat apa yang pernah diucapkan oleh seorang pensyarah media massa semasa belajar dulu. Katanya seorang pemberita kena mencari berita dan pandai menulis berita. Kalau seharian itu kamu tidak mendapati apa-apa berita maka hendaklah kamu mereka berita untuk membolehkan hari itu kamu mempunyai sebarang berita. Seorang kawan dari Indonesia, asal Medan pula pernah menceritakan bagaimana dia kebuntuan berita suatu hari. Akhirnya dia membakar sebuah rumah kemudian menulis berita kebakaran itu. Berita itu lumayan disiarkan sebagai berita utama? Jadi berita yang ditulis dan gahkan namanya hari itu berita yang dia kreat sendiri."

Siapa ekk yang mulakan dahulu. Aku pun tak kenal mamat nih.

  • Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok yang juga menteri kanan di dalam Kabinet BN sekarang adalah seorang Kristian dari Sabah. Seperti mana yang dilaporkan di dalam sebuah portal Internet di negara ini, Dompok adalah orang yang merayu kepada Kementerian Dalam Negeri pada 24 Januari 2009 untuk membenarkan Herald menggunakan kalimah 'Allah' sehingga mahkamah memutuskan keputusan tentang perkara ini.

Thursday, January 14, 2010

MB Kedah selar kerajaan Pusat

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyelar tindakan Kerajaan Pusat yang bersikap tidak adil dalam pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen terutamanya kepada wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat (PR).

Menurut beliau lagi tindakan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan(JPP), tanpa memberikannya terus kepada Ahli Parlimen PR membuktikan bahawa mereka seolah-olah menafikan hak rakyat yang telah memberi mandat dan sokongan serta kepercayaan kepada Ahli Parlimen PR untuk menjadi wakil mereka.

"Demi untuk kebaikan rakyat maka Kerajaan Pusat sepatutnya menyalurkan peruntukan tersebut secara terus kepada jabatan di peringkat negeri. Ini akan memberikan kesan yang lebih baik kepada rayat apabila jabatan yang menerimanya di peringkat negeri mempunyai maklumat terperinci mengenai keperluan sebenar rakyat dalam daerah-daerah tertentu," kata Azizan.

Kata Azizan, sepatutnya Kerajaan Pusat tidak mengamalkan sikap prasangka dan mengenepikan kepentingan rakyat hanya kerana ideologi politik yang berbeza.

Sebagai sebuah Kerajaan yang memerintah Pusat maka mereka harus lebih telus dan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat dengan mengenepikan fahaman politik yang berbeza ini, katanya.

Menurutnya, ini bukanlah satu masalah baru.

Perkara ini telah sekian lama dibangkitkan oleh ahli Parlimen PR tetapi ia tidak mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat walaupun telah diuar-uarkan supaya mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat terlebih dahulu daripada kepentingan lain walalupun berlainan fahaman politik, katanya lagi.

Peruntukan program 'Juara Rakyat' dipersoal

UMNO perlu memperjelaskan sumber peruntukan yang diperoleh bagi membiayai program ‘Juara Rakyat’ bagi mengelakkan syak wasangka bahawa wang rakyat disalahgunakan demi kepentingan politik mereka.


Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, UMNO juga perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa semua projek dan program dalam siri kempen Juara Rakyat adalah menggunakan wang, kepakaran dan jentera parti itu.



Menurutnya, sekiranya perkara itu diperjelaskan, barulah UMNO boleh mendabik dada sebagai juara rakyat sebagaimana yang diuar-uarkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Program Juara Rakyat telah dilancarkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Sabtu lalu.

Sewaktu merasmikan program tersebut, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta bagi membaik pilih 52 blok pangsapuri di sekitar kawasan Bukit Beruntung dan Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempertikaikan peruntukan untuk membaiki pangsapuri itu yang disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

:"Adakah gaji pegawai ICU untuk projek ini dibayar oleh UMNO. Begitu juga dengan program dan projek-projek lain termasuk peruntukan RM15.6 juta untuk membaiki pangsapuri, apakah mereka tidak membabitkan wang negara dan jentera kerajaan?.

"Persoalannya ialah kalau UMNO hendak mengaku mereka juara rakyat, adakah program dan projek yang mereka buat dalam kempen UMNO juara rakyat menggunakan wang, tenaga, kepakaran dan lainnya dari UMNO sendiri,” katanya.

:Beliau turut menyifatkan program Juara Rakyat merupakan usaha terdesak UMNO untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada parti itu selepas ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Umno gagal, PAS lulus

Selena Tay
Saya telah menjadi seorang pemerhati politik sejak tahun 1985 lagi. Pada masa itu sehinggalah tahun 2008 sebagai ahli sebuah keluarga Cina yang menetap di Kuala Lumpur, saya mempunyai satu pendapat sahaja berkenaan dengan PAS iaitu PAS ialah sebuah parti yang agak fanatik.

Walaupun ahli-ahli keluarga saya telah mengundi parti DAP sejak tahun 1990 lagi, apabila DAP berkerjasama dengan PAS pada tahun 1999 dalam Barisan Alternatif, kami telah mengundi Barisan Nasional (BN).

Semua ahli-ahli keluarga saya termasuk saudara-mara dan juga rakan-rakan Cina saya yang lain amat menggeruni PAS sebab pada masa itu kami berpendapat bahawa PAS ialah parti yang amat merbahaya sebab PAS tidak peduli dengan kaum lain dan mempunyai fikiran yang sempit.

Tetapi semua itu telah berubah pada Pilihanraya Umum tahun 2008 oleh kerana kami sudah muak dengan gejala rasuah dalam BN dan oleh itu walaupun DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR, kami telah mengundi DAP.

Selepas Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, kami mendengar berita bahawa beliau amat rajin dan berusaha membantu semua kaum dan golongan masyarakat yang miskin tanpa mengira bangsa dan ugama. Beliau juga seorang yang telus, ikhlas dan berwibawa. Ini serba sedikit telah mengubah fikiran kami terhadap PAS.

Tetapi pada Februari 2009, apabila BN merampas kuasa di Perak, kami telah 100% menyokong PAS sebab kami telah melihat dengan amat jelas bahawa yang fanatik dan yang gilakan kuasa ialah BN.

Dan pada Januari tahun ini pula, sekali lagi BN telah menunjukkan belangnya. Kali ini melibatkan soal ugama pula dimana 2 sepupu orang kuat UMNO telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak boleh menghalang orang Islam yang hendak mengadakan protes tentang keputusan mahkamah membenarkan akhbar Katolik Herald menggunakan perkataan Allah dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Manakala pemimpin-pemimpin PAS pula seperti Tuan Guru Nik Aziz, Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad telah mengutuk dengan sekeras-kerasnya pembakaran gereja Metro Tabernacle dan serangan keatas gereja-gereja yang lain. Selepas ini, 2 sepupu dari UMNO ini cuba pula buat ‘damage control’. Tetapi saya yakin orangramai tidak lagi mempercayai dengan lakonan sandiwara mereka yang bodoh itu.

Akhirkata, sebagai seorang yang berugama Katolik saya ingin juga menyatakan bahawa saya rasa amat terharu dengan sokongan yang diberi oleh PAS dalam hal ini. Masa telah tiba. Saya menggesa rakyat untuk membuka mata mereka. Bukan sahaja PAS For All tetapi PAS All The Way.

Tanpa BTN UMNO Berkubur

Pada 1 Disember lalu, akhbar China Press telah melaporkan bahawa bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada BTN terlalu tinggi iaitu sebanyak 74 juta untuk tahun 2009.
Peruntukan ini adalah lebih tinggi daripada bajet untuk Parlimen iaitu sebanyak RM4 juta. Perkara yang didedahkan oleh ahli parlimen DAP dari Bukit Bendera harus disiasat dengan teliti dan pengaliran sejumlah wang ini mesti ini dipastikan seiring dengan keperluan dan perbelanjaan BTN tersebut.
Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah pernah menyatakan: “Sekarang ini, khususnya selepas tahun 1998 kursus berkenaan (BTN) bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus kepada propaganda Umno, perkauman dan memburuk-burukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”. (ucapan lanjut boleh diikuti dihttp://www.youtube.com/watch?v=xVMljJGFitM&feature=player_embedded)
Manakala protal berita Malaysiakini pula memaparkan pengakuan bekas mahasiswa Fakhrul Zaki Fazial mengenai doktrin kotor BTN. Antaranya; ‘Kami ditunjukkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang rakyat Amerika. Jurulatih memberitahu kami yang beliau seorang pengkhianat kepada negara kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang Amerika’.
Itulah antara isu-isu yang dibangkitkan sewaktu program pembinaan negara dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN). Fakhrul yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, fokus kursus tersebut adalah mengenai bangsa Melayu. “Mereka (jurulatih) juga mengkritik pembangkang dan menganggap kritikan mereka sebagai patriotik,” tambahnya.
Ketua pelajar Universiti Malaya, Mohd Ridzuan Mohammad, yang pernah menghadiri program BTN pada 2004 berkata, terdapat ceramah yang mendakwa bahawa kaum lain menjadi ancaman kepada orang Melayu. Menurutnya, BTN tidak seharusnya membangkitkan sentimen perkauman yang boleh mencetuskan perpecahan kaum. Baginya program tersebut boleh mempengaruhi sesetengah pelajar yang hadir berhubung ideologi perkauman tersebut.
Chin Shin Liang, seorang bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menghadiri program BTN pada Disember 2008, turut berkongsi pengalamannya.
“Kami ditunjukkan klip video perhimpunan Bersih dan kemudian gambar negara Palestin yang dilanda perang dengan keterangannya: Apakah ini yang kita mahukan?… Kita juga ditunjukkan seorang pemprotes (tidak dikenalpasti) membaling batu”
Sambil menyifatkannya sebagai “amat berat sebelah”, Chin berkata: “Ia tidak menyatakan siapa pembaling batu itu, (dia) mungkin seorang Mat Rempit yang mahu berseronok atau polis yang melakukan provokasi terhadap pemprotes dengan menggunakan meriam air.”
Tambahnya, jurulatih juga mengajar bahawa kerajaan BN dipilih oleh rakyat dan oleh itu ia merupakan kerajaan yang sah, tetapi penceramah tidak pula berusaha untuk membezakan parti politik dan kerajaan.
“Ini jelas mengelirukan kerana ia menjadi peraturan bahawa agensi-agensi kerajaan harus bersikap berkecuali dan berkhidmat sepenuhnya kepada negara (bukan hanya parti/gabungan tertentu),” ujarnya.
Modul BTN seolah-olah menyatakan bahawa kerajaan BN ‘mewakili’ negara ini dan harus ditaati tanpa dipersoalkan. Sementara itu, Fakhrul menyuarakan keraguannya mengenai pemilihan jurulatih BTN.
“Saya fikir sesetengah jurulatih tidak layak kerana mereka begitu beremosi dan tidak intelektual dalam ceramah mereka. Jika pelajar tidak bersetuju dengan pandangan jurulatih, mereka akan memarahinya di depan semua orang,” katanya.

Wednesday, January 13, 2010

Kemelut Di Perak: Siapa Juara ,Dan Siapa Pula Terkubur ?

Persoalan juara dan kubur ini dapat dijawab dengan beberapa pemahaman yang mudah. Kita tidak perlu menunggu keputusan mahkamah perbicaraan di antara Zambry dan Mohd Nizar. Tetapi cukup sekadar kita membuat kaedah yang diajar oleh Imam al Ghazali. Kaedah yang digunakan oleh Imam al Ghazali di dalam persoalan susah ini, adalah dengan menggunakan “andaian dan pembahagian”.

Di sini, kita menggunakan kaedah ini untuk mendapatkan jawatan ini. Kita menggunakan watak Zambry sebagai contoh. Zambry kemungkinan menang, dan kemungkinan kalah dalam perbicaraan tersebut. Sekiranya beliau menang, beliau akan kekal sebagai Menteri Besar, sehinggalah pilihanraya akan datang.

Sekiranya kalah dalam perbicaraan kali ini, beliau akan turun daripada takhta haram, dan mendapat cacian dan kejian daripada banyak pihak terutamanya seluruh rakyat Perak sendiri. Bahkan Barisan Nasional akan dilenyapkan sehabis-habisnya kerana kejahatan mereka merampas kerajaan Perak telah disahkan. Sudah pasti BN akan terkubur, dan terpaksa berkempen lebih 30 tahun untuk mengembalikan kepercayaan tersebut.

Kita kembali kepada kemungkinan pertama. Iaitu sekiranya beliau menang dalam perbicaraan, beliau akan terus sebagai MB sehinggalah pilihanraya akan datang. Adakah beliau masih dapat kekal dengan jawatan MB selepas itu? Sekiranya beliau kalah pun sudah melahirkan kebencian, apatah lagi sekiranya beliau menang? Lebih ramai orang membencinya! Bahkan di dalam pilihanraya tersebut akan menyaksikan Barisan Nasional Perak akan terkubur dalam tempoh jangkamasa yang panjang.

Maka, hasil daripada kaedah yang diajar oleh Imam al Ghazali ini, menghasilkan satu kesimpulan. Samada Zambry menang dalam kes ini ataupun kalah, akhirnya Barisan Nasional tetap dikuburkan. Cuma berbeza dari sudut masa. Samada terkubur selepas perbicaraan, atau terkubur selepas pilihanraya akan datang. Hasilnya, BN tetap terkubur!

Wahai Zambry dan kuncu-kuncu anda, fahamilah kaedah ini dengan sebenar-benarnya. Kamu semua tetap akan terkubur. Cuma tidak pasti bilakan masa kamu dikuburkan. Oleh itu saya menasihatkan kamu supaya bertaubat sebelum ditanya oleh Malaikat Kubur! Bertaubatlah sebelum dipalitkan tahi oleh manusia setelah kamu dikuburkan tersebut.

Saya yakin, setelah Zambry dan BN terkubur, satu dunia akan mencaci pemerintahan Zambry dan mukanya akan kekal diabadikan di hati-hati pejuang supaya menjadi tauladan yang dibenci. Sama seperti Firaun yang mayatnya diabadikan, tetapi pengabadiannya itu menjadi pengajaran yang berguna untuk generasi mendatang.

Oleh itu, saya sekali lagi menasihatkan kepada Zambry supaya bertaubat sebelum terkubur. Bagaimanakah kaedah taubat tersebut? Sertailah Pakatan Rakyat! Taubat anda sudi kami terima dengan berlapang dada. Kembalilah ke dalam PR sebelum anda terus berkubur dan nama anda menjadi sebutan sebagai penjenayah yang tidak dipenjarakan. Saya yakin, sekiranya anak yang masih di bangku sekolah atau berada di mana-mana university, akan menanggung malu dengan kelakuan anda.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah

Tuesday, January 12, 2010

Adun BN perlu jelaskan tajaan tunai haji

Kebiasaan orang kampung terpaksa menyimpan bertahun-tahun untuk mengumpul wang sebanyak RM16,000 di Tabung Haji bagi membolehkan mengerjakan ibadat haji.

Lebih mengharukan lagi apabila ada bakal haji yang sudah mencukupi jumlah tersebut masih tidak dapat menunaikan fardu haji kerana nama tidak disenaraikan.

Itulah kebiasaan yang kita dengar susah payah orang kampung untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Namun lain pula bagi pemimpin Umno apabila dapat menunaikan haji dengan mudah tanpa perlu menunggu menggenapkan simpanan RM16,000.

Tahun lepas difahamkan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Mat dikatakan mendapat keistimewaan tersebut yang dibiayai Tabung Haji.

“Saya minta penjelasan Datuk Alwi, saya difahamkan beliau ke Makkah sekali dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 20 orang VVIP yang mana tambang pun disediakan Tabung Haji,” dakwa Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau meminta Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan menjelaskan berhubung tajaannya ke Makkah sebelum gemar mencari kesalahan orang lain.

Semalam sebuah akhbar tempatan melaporkan Adun Kok Lanas mendakwa mempunyai bukti resit pembelian kek seberat 10 kilogram setiap enam biji kek bernilai RM516 yang diberikan kepada enam pihak termasuk Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Ariffahmi Abdul Rahman.

Dalam kenyataan tersebut Alwi meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tidak wajar Alwi membangkitkan isu kek kerana ia dianggap menjadi kelaziman dalam dunia korporat.

“Sekiranya Alwi menyibuk diri ingin menjelaskan isu kek PMBK, pemergiannya ke Makkah dengan tajaan Tabung Haji juga perlu diberi penjelaskan kerana orang ramai hendak tahu.

“Kenapa Tabung Haji taja beliau, adakah ia dibolehkan,” ujarnya.

Umno 'Juara Rakyat' konon...peeraaahh!

Sekarang di sana sini Umno mencanang dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’. Parti yang sudah berusia 63 tahun dan sedang kelelahan itu cuba memikat kembali hati masyarakat dengan slogan baru.


Suatu ketika dulu, pada zaman Tun M jadi PM, ada slogan ‘Tradisi Membela Rakyat’. Kesudahannya, slogan hanya tinggal slogan kerana yang terbela bukan rakyat tetapi kroni. Slogan itu berpusing 360 darjah menjadi ‘ Tradisi Membela Kroni’.

Ketika rakyat terulit dengan slogan itu, harta negara dipunggah ke dalam poket mereka yang berkuasa. Akhirnya, ‘Tradisi Membela Rakyat’ menjadi ‘Tradisi Melingkup Rakyat’.

Kini Umno berslogan lagi. Sasaran slogan itu adalah rakyat juga. Umno cuba menyuntik ubat pelali ke dalam fikiran rakyat. Biar rakyat terpesona dengan slogan walau pun hidup mereka terus terhimpit. Biar rakyat lali dengan slogan biar pun sekian banyak hak mereka dinafi.

Umno cuba berlagak menjadi jaguh. Semasa muda dan sihat dulu, orang terpesona dengan lagak dan gayanya. Tapi, kini Umno sudah tua, lagak dan gayanya orang sudah kenal. Kalau orang ramai-ramai pandang kepadanya pun, bukan kerana terpesona tetapi kerana meluat dan nak ketawa.

Sebenarnya Umno sudah tidak berupaya menjadi jaguh lagi. Bolehkah Umno menjadi jaguh ketika lutut dan pinggangnya sudah tergeliat, wajahnya sudah kerepot, sedah monopos pun…

Umno boleh melalikan rakyat suatu masa dulu dengan slogan ‘Tradisi Membela Rakyat’ kerana mungkin pada waktu itu rakyat belum benar-benar mengenali Umno. Kini tidak begitu lagi. Rakyat sudah tahu hati budi Umno.

Rakyat kenal Najib dan Rosmah. Mereka juga kenal Hishamuddin dan Zahid. Mereka tahu juga Muhyiddin dan Rais.

Mereka sudah masak dengan dacing senget dan berkarat itu. Dacing itu boleh menipu mereka dulu-dulu, tetapi tidak kini.

Rakyat tak akan lupa kepada Altantuya dan Teoh Beng Hock. Rakyat tahu kisah PKFZ, jet hilang dan bumbung runtuh. Rakyat tahu cerita komisen kapal selam dan jet. Rakyat juga tahu kisah bekalan duit untuk Rosmah membeli-belah di luar negara. Rasuah pemimpin Umno, itu sama sekali tak akan dilupa oleh rakyat.

Justeru, kalau begitulah wajah Umno, parti itu nak jadi juara apa? Juara (belit) Rakyat, Juara (tipu) Rakyat atau Juara (sembelih) Rakyat?

Kalau benar Umno ingin menjadi ‘Juara Rakyat’, pulangkan hak rakyat Kelantan. Mengapa lidah pemimpin Umno bercabang macam biawak apabila bercakap mengenai royalti? Mengapa boleh bertukar menjadi wang ehsan dan akan disalurkan pula melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan?

Kalau Kelantan tidak berhak dengan wang itu, mengapa disalurkan juga? Mengapa boleh jadi wang ehsan untuk Kelantan sahaja?

Mengapa tidak menjadi wang ehsan juga kepada negeri yang semput-semput macam Perlis? Tubuhkan jabatan serupa di Perlis dan salurkan kepada negeri itu, atau salurkan terus kepada kerajaan negeri yang juga Umno.

Kalau Kelantan berhak mendapat wang ehsan petroleum kerana telaga minyak itu di luar pantai Kelantan, ia juga diluar pantai Perlis. Mengapa cuma Kelantan yang dapat?

Maknanya, lidah pemimpin Umno memang lidah biawak. Bercakap mengenai ‘Juara Rakyat’ tetapi merampas hak rakyat.

Tunggulah, ‘Juara Rakyat’ ini pun tak akan kemana. Kalau program itu tidak mampu memenuhkan poket dan tembolok pemimpin Umno, yang tinggal hanya slogan sahaja.

Enjin jet hilang, yang kena dakwa adalah sarjan tapi menteri terlepas. PKFZ, yang kena adalah OC Phang, pemimpin MCA yang jadi menteri selamat. Bumbung runtuh, yang salah adalah kontraktor, pemimpin Umno yang ‘mentekedaghah’ rasuah boleh makan angin.

‘Juara Rakyat’ konon… peeeraaaahhhh…..

Kental dan Rasional Seorang Menteri Besar

Kini sudah hampir sebulan Muharam, selepas sambutan tahun baru Hijrah 1431 dan minggu pertama Januari 2010 nampaknya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan amat kental dan rasional serta berjaya menguruskan sekurang-kurangnya tiga isu besar melibatkan karisma kepimpinannya. Isu tersebut ialah pertama, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu melibatkan saman Timbermine Sdn. Bhd. terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, kedua meredakan isu rawatan kesihatan Al-Sultan Kelantan dan ketiga menangani isu kalimah Allah yang membabitkan provokasi bakar gereja Kristian.


Bagi isu Timbermine, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sudah memutuskan untuk dikemuka rayuan dan satu jawatankuasa khas dibentuk untuk menangani langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan penyelesaian. Begitu pula, isu rawatan kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, pihak Kerajaan Negeri telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan pusat rawatan dibuat di Kuala Lumpur. Kemudian, terkini berkaitan isu kalimah Allah yang mencetuskan beberapa demonstrasi dan bantahan, termasuk melontar bom petrol dan percubaan membakar gereja. Pihak Tuan Guru Dato’ Menteri Besar yang juga selaku Mursyidul Am PAS dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah mengeluarkan suatu kenyataan yang cukup meredakan keadaan hubungan antara agama di Negara ini. Di samping kedua-dua pemimpin besar parti Islam itu turut melawat gereja berkenaan. Misalnya, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz petang semalam (10 Januari) telah membuat lawatan simpati ke Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya. Sehari sebelum itu, Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi bersama Ustaz Nasharudin Mat Isa turut melawat Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati, Setapak.

Namun, fokus besar warganegara ialah kepada isu pengguna kalimah Allah yang telah bertukar menjadi isu bakar gereja. Oleh itu, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz begitu prihatin dalam soal hubungan antara agama (merujuk kepada isu bakar gereja).

Sehubungan itu, pada sidang media (9 Januari 2010), selepas majlis penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), antara lain Tuan Guru Dato’ Menteri Besar menyebut:

Kesan hilangnya sensitiviti itu telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar, kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

Sama juga dengan arak kepala lembu, melukakan hati orang beragama Hindu. Ia berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam sesetengah orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh UMNO. Ini yang kita dukacita.

Selain itu, disebabkan hilangnya sensitiviti tersebut telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku, telah berlaku dalam negara kita.

Sebab itulah berlakunya ada menteri yang rasuah, orang kampung yang rasuah, parti-parti pun rasuah. Hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja. Mana boleh jual kalau tidak ada rasuah.

Semua itu adalah kerana UMNO telah menghilangkan sensitiviti dosa-pahala dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan amalan politik. UMNO sejak dulu lagi berpendirian agama lain, politik lain.

Semuga seluruh rakyat Kelantan ringan untuk memohon daripada Tuhan Yang Esa, agar semua rakyat Kelantan Darulanaim, khususnya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz berada dalam rahmat dan berkat berpanjangan. Amin

Monday, January 11, 2010

Kelab Penyokong PAS kini diiktiraf sebagai dewan

PAS menempa satu lagi sejarah dalam perjuangan dakwah dan politiknya apabila kini Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diserap menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS bertaraf sayap parti. Dasar-dasar yang telah didrafkan sebagai legitimasi kepada dewan ini memberi kelansungan kepada sinar politik dan pengharapan masyarakat bukan Islam dalam meneruskan sokongan kepada PAS. Mengupas perkembangan terkini, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Boleh Dr jelaskan bila terbentuknya keputusan mengenai Himpunan Penyokong PAS, diperingkat pusat, dan bagaimana ia dipertimbangkan hingga terbentuknya dewan yang bersejarah ini?


Dr MUJAHID YUSUF: Terima kasih kepada pihak Harakah. Ingin saya maklumkan bahawa ia bermula dengan pembentangan awal draf ini pada 'retreat' PAS Pusat Jun tahun 2009 di Alor Setar.Kemudiannya, kali kedua setelah selesai beberapa pilihan raya kecil, dalam dua tiga bulan yang sudah. Selepas itu ia dibincang lagi dalam mesyuarat terakhir baru-baru ini, dibentang lagi.Bermakna dah tiga kali draf ini dibentangkan. Draf ini membawa makna ia legitimasi kepada undang-undang yang menuju kewujudan kelab ini. Contohnya, dia ada struktur sendiri, keahliannya, disiplinnya dan hak keperwakilannya ke dalam muktamar atau mesyuarat-mesyuarat PAS Pusat, negeri, hingga ke kawasan. Ia juga ada syarat-syarat keanggotaan dan sebagainya.

Maknanya ia sudah dipersetujui pada dasarnya?

Draf ini telah dibentang tiga kali dan pada mesyuarat terakhir di peringkat Pusat telah bersetuju dari segi dasarnya. Bagi saya ia hampir selesai. Cuma pembetulan dari segi teknikal bahasa sahaja, iaitu kita akan siapkan sebelum mesyuarat akan datang pada 10 Januari 2010.Dari segi dasar, tiada masalah bahkan pada mesyuarat lalu mereka mahu namanya diberi sedikit kekuatan dengan diberi nama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS supaya dilihat ia sayap yang berperanan penting seperti dewan lain. Itu drafnya. Kita telah sediakan dan bekas Senator Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik jadi pengerusi.

Baik, bagaimana kedudukan penyokong yang menjadi ahli dewan ini, terutamanya dalam muktamar dan peranan mereka dalam PAS?

Kita cuba elakkan terutamanya soal keahlian. Jika mereka hendak dijadikan ahli penuh maknanya PAS perlu meminda perlembagaan. Ia akan melibatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Pengalaman PAS dalam berurusan dengan ROS ini sebenarnya, jika nak hantar satu pindaan yang besar, melibatkan satu prinsip atau asas dalam perlembagaan, ia akan mengambil masa panjang untuk ROS luluskan.Malah, ia perlu dibawa ke muktamar untuk pindaan. Oleh kerana kita nak elak ia menjadi masalah yang panjang, kita menggunakan peruntukan (klause) yang ada dalam perlembagan kita yang menyatakan AJK PAS Pusat berhak membentuk apa-apa jawatankuasa yang dirasakan perlu.

Jadi keahlian mereka macam mana?

Jadi dengan peruntukan itu, kita telah diberi kuasa menubuhkan jawatankuasa ini dan kita setuju keahlian dewan ini keahlian di peringkat dewan sahaja tak melibatkan ahli menyeluruh kerana berasaskan kepada masalah yang saya sebutkan tadi. Namun demikian, status sebagai dewan perhimpunan ini tetap memberi hak hadir mesyuarat, hadir muktamar dan beri pandangan dan lebih dari itu jadi sayap parti khusus dalam persoalan bukan Islam.

Adakah mereka juga berhak untuk mengundi atau memilih perwakilan?

Oleh kerana macam saya kata tadi, pindaan perlembagaan secara besar-besaran tidak berlaku, yang berlaku hanya klause yang menyatakan jawatankuasa boleh membentuk.Di sana ada isu-isu yang menyentuh hak untuk mengundi di muktamar. Dia tak menyebut nama dewan ini sebab belum dipinda. Kita letak status mereka sebsagai pemerhati rasmi. Mereka berperanan macam perwakilan lain tetapi mereka tak boleh mengundi dan diundi buat masa ini. Namun, status itu tak kekal, maknanya ia boleh berubah tak kekal statusnya setakat itu sahaja.

Ada keperluan diubah pada masa akan datang?

Kemungkinan besar ada keperluannya nanti. Ini kerana kita baharu pada peringkat awal. Ia berpadanan dengan bersifat pemerhati rasmi sahaja, namun bila kita lihat adanya keperluan kita akan pinda lagilah.

Apakah respons penyokong bukan Islam terhadap pembentukan dewan ini?

Sebelum ini, mereka setia dengan Kelab Penyokong PAS (KPP), sudah tentulah gembira bila PAS mengiktiraf mereka jadi dewan dan ada undang-undang sendiri dan boleh hadir muktamar dan mesyuarat. Bagi mereka yang setia bersama KPP, ini satu perubahan besar. Mereka yakin masa depan dengan PAS sangat cerah. Dan bagi mereka yang bukan penyokong, akan dapat melihat ini sebagai satu pembaharuan yang PAS lakukan bukan hanya retorik sahaja.

Timbul persoalan, dalam menyentuh soal calon bagi pilihan raya kecil ataupun umum. Apakah mereka dari kelab boleh bertanding dengan lambang PAS seperti yang pernah dituntut KPP sebelum ini?

Kalau kita tengok dalam draf undang-undang ini, antaranya ada disebutkan mencalonkan ataupun mencadangkan calon-calon untuk pilihan raya apabila dikehendaki atau diminta PAS Pusat. Maknanya potensi mereka jadi calon ada. Namun ianya terpulang kepada pertimbangnan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang biasanya menapis calon-calon ini.Malah, ia juga bergantung kepada suatu rundingan dengan sahabat-sahabat dalam Pakatan Rakyat untuk letakkan di tempat yang sesuai. Draf juga menyebut mereka boleh jadi calon kepada kita untuk kita pertimbangkan. Mereka bukan sahaja duduk kekal sebagai dewan tetapi boleh jadi calon untuk mereka. Ini tidak mustahil akan berlaku. Isu ini perlu diperincikan keperluan siapa dan di mana. Secara peribadi saya rasa sangat perlu letak calon bukan Islam kalau tak ramai beberapa indidvidu di kawasan yang staretgik

Dengan kekecamukan parti komponen BN seperti MIC, PPP dan MCA, apakah peranan dewan ini dalam mendepani kemelut yang membadai mereka supaya sokongan bukan Islam akan terarah kepada PAS?

Peranan dewan ini besar walaupun kini kita tumpukan soal penjelmaan dewan ini. Ini bukan mudah. Insya-Allah akan kita selesaikan secepatnya.Tetapi pada waktu yang sama juga apa yang berlaku ialah kekecamukan dalam MIC, MCA dan PPP... di peringkat PAS memerlukan mereka sertai kita. Tetapi ditegaskan mereka yang nak masuk kena yakin dasar dan perjuangan PAS dan ada syarat dalam keahlian. Kita alu-alukan. Kita juga mahu penyertaan mereka dengan keyakinan dengan dasar-dasar PAS. Kita dah siap moduluntuk mereka masuk serap jadi ahli dewan kita dan kita adakan model latihan perkenalkan PAS.

Apakah terbentuknya dewan ini, sokongan kepada PAS akan meningkat, atau rakyat hanya akan melihat ia satu perubahan politik semata?

Sudah tentu meningkat. Salah satu sebab mengapa ditubuhkan atau diangkat jadi dewan ialah kerana aktivis kelab ini...mereka rasa mereka mahu lebih dihargai dan berperanan.Mereka mahu jadi sebahagian dari kita dan seterusnya orang bukan Islam ini bila lihat serap jadi dewan mereka lebih yakin dan bukan retorik lagi. Kita jadikan mereka sebahagian orgnaisasi kita. Ini komitmen PAS yang begitu telus dalam garap persoalan bukan Islam ini. Ini pengiktirafan besar. Kita harap ia berkembang dalam memperkenalkan PAS. Bukan lagi dari mulut orang Islam tetapi dari mulut orang bukan Islam.Saya juga ingin berpesan, Lajnah Perpaduan Nasional mahu minta semua pengerusi lajnah negeri memberi kerjasama erat supaya usaha kelab di negeri masing-masing diberi perhatian dan disokong supaya mereka dapat diserap dengan licin dengan daftar keahlian dan struktur negeri yang lebih tersusun.Beri kerjasama atas arahan lajnah pastikan proses ini berjalan lancar.

Kedudukan MB Nizar : Kenapa Mahkamah Sukar Tetapkan Tarikh?

Kedudukan Mahkamah Rayuan yang sehingga kini tidak menetapkan tarikh sebenar untuk mendengar perbicaraan kes berhubung siapakah Menteri Besar (MB) Perak yang sah, besar kemungkinan disebabkan kerana, keputusan itu akan memenangkan MB Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Hj. Nizar Jamaluddin.Menurut Nizar, tindakan melengah-lengahkan itu menunjukan pihak BN berkemungkinan akan kalah dalam kes itu seterusnya memberikan kemenangan kepada PR.

“Saya tidak menyatakan yang keputusan itu akan memihak kepada saya, tetapi saya percaya bahawa tindakan melengah-lengahkan kes itu berkemungkinan untuk BN kalah amat cerah," katanya ketika dihubungi Era Pakatan baru-baru ini.

"Jika tidak," tambah beliau, "mengapa lima hakim mahkamah rayuan terlalu sukar untuk menetapkan tarikh?”

Kata Nizar, kes tersebut telah tertangguh sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pada 9 Disember tahun lalu, beliau dijemput memberi ucap utama dalam forum bertajuk "Ke arah mana Perlembagaan? Natijah dari Krisis Perak".

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, forum itu turut dihadiri oleh peguam-peguam yang pakar dalam Perlembagaan di negara-negara Komanwel termasuk di Malaysia seperti Tommy Thomas, Shad Saleem Faruqi dan Kevin Tan.

Nizar yang juga Adun Pasir Panjang berkata, peguam Tommy Thomas pada malam itu memberi jaminan kepada hadirin bahawa seandainya kes beliau dibicarakan di mahkamah di enam buah negara komanwel termasuk di negara Eropah, pihaknya pasti menang.

“Tapi, hal ini berlaku di Malaysia. Kalau ia berlaku di negara-negara seperti Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India, dan Afrika Selatan, keputusannya secara total akan menyebelahi kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Nizar.

Tambah beliau, forum malam itu juga terganggu apabila peguam terkemuka Singapura, Kevin Tan gagal tampil sebagai panelis pada saat-saat akhir apabila polis mengenakan syarat terhadap beliau untuk mendapatkan Pas Ikhtisas sebelum hadir sebagai panelis.

Mengulas kenyataan Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir yang didakwa keluar negara bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), beliau berkata, jika benar beliau ke sana kononnya atas nama MB Perak, ia sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan sekali gus membazirkan wang rakyat.

Nizar berkata, selagi tiada keputusan sah dan rasmi daripada mahkamah, tindakan beliau atas nama MB adalah haram dan semua yang dilakukannya juga adalah haram kerana kedudukan siapakah MB Perak yang sah sehingga kini belum diputuskan di mahkamah.

Pimpinan PAS Perak itu turut mengulas kenyataan Zambry pada 26 Disember tahun lalu berhubung cadangannya agar semua bas ekspres di negara ini menghentikan operasi pada waktu malam, kononnya untuk mengelakkan kemalangan jalan raya.

“Saya menganggap kenyataan itu kenyataan kartun daripada seorang pemimpin kesayangan Umno/BN yang jelas membayangkan tahap pandangan yang amat tidak relevan serta cetek,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan itu bukan saja tidak bersifat intelektual malah ia dibidas Perdana Menteri Najib Razak yang melihat pandangan itu sebagai tidak rasional.

"Ini kerana, kemalangan juga boleh berlaku pada siang hari dan bukannya kemalangan itu berlaku pada waktu malam sahaja," kata Nizar.

Pada 29 Disember tahun lalu, Mohd Najib Razak ketika dalam lawatan kerjanya di Sabah berkata, cadangan agar operasi bas ekspres pada waktu malam dihentikan bukan saja tidak praktikal malah syor itu tidak dapat menyelesaikan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam itu.

Presiden Umno itu juga berkata, sikap pemandu bas dan pengurusan pemanduan yang baik, perlu diberikan penekanan dalam menyelesaikan masalah itu.

Search This Blog