Friday, August 28, 2009

Sidang Dun Perak: Bahas titah tuanku, gantung Zambry

Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.

Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan kekecohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.

Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.

Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.

Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.

"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.

"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi.

Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu, berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.

Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.

Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.

Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.

Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah.

Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.

"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.

"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya.

kerajaan Kedah tak tumbang'

Mudah sangat untuk menjelaskan mengapa Aun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh dan beberapa pengikutnya di Padang Serai keluar dari parti KeADILan, dua hari sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Cerita ahli parti pembangkang (pembangkang kepada BN di Pusat) keluar parti sewaktu pilihan raya bukan cerita baru. Ia sudah jadi agenda wajib setiap kali pilihan raya.

Golongan yang berakal waras tidak mudah untuk menerima hakikat bahawa orang politik, yang pada persepsi umum mempunyai daya juang yang tinggi, begitu senang menukar akidah perjuangan; jika tidak kerana suatu 'imbuhan' yang lebih besar sehingga menutup mata dan hati mereka.

Ia disokong pula dengan kenyataan seorang bekas pemimpin bahagiannya yang tidak semena-mena mendedahkan bahawa, Dato' Seri Anwar yang mengarahkan Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan supaya mencetuskan kekecohan di hari penamaan calon.

Nampak sangat 'skrip dan plot' yang diatur oleh pihak tertentu di belakang pentas terhadap mereka yang merelakan diri melakukan apa saja demi untuk mencapai maksud tertentu. Perancang konspirasi dari BN mahu dapatkan keuntungan politik untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir, manakala bidak-bidak caturnya pula dapat habuan tertentu.

Apabila tiga Adun Pakatan Perak keluar parti dan umum jadi penyokong BN, mereka menegaskan bahawa, "Kami tidak dibeli." Saiful Bukhari yang buat sumpah kononnya dia diliwat dengan sukarela oleh Anwar juga berkata, dia tidak dibayar untuk buat pengakuan itu, walaupun mengaku bertemu Najib.

Bekas rakon kongsi calon BN Permatang Pasir, Rohaizat Othman, iaitu Yusri Isahak marah apabila dijadikan kambing hitam oleh pemimpin BN berhubung penyelewengan yang dilakukan oleh rakan kongsinya itu.

Dia mendedahkan habis-habisan penyelewengan Rohaizat. Tiba-tiba Yusri berubah angin mengatakan Rohaizat seorang yang baik dan kenyataan itu dibuat bukan kerana habuan atau ganjaran.

Perlukah dalam setiap drama politik seperti ini, rakyat perlu diberitahu bahawa, "Kami tidak dibeli" atau "tidak diberi ganjaran".

Pemimpin BN juga akan turut keluar kenyataan yang sama. Sambil berpura-pura 'terkejut beruk' mereka pun berkata, "Tindakan mereka adalah ikhlas, kami tidak campur tangan dalam keputusan mereka atau memberikan apa-apa ganjaran."

Sampai bila agaknya rakyat akan terus dihidangkan dengan agedan yang sama. Apakah mereka fikir bahawa rakyat satu Malaysia ini akan dungu sangat sangat untuk menelan setiap penipuan yang mereka aturkan, membeli sokongan palsu dengan ganjaran?

Isu ura-ura Radzhi akan keluar parti bukan perkara baru. Dalam ruangan ini, tahun lalu, saya telah membongkarkan pertemuan demi pertemuan telah dibuat antara beberapa tokoh BN Kedah dengan beliau (tanpa menyebut namanya) dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan katak.


Namun banyak kali menghadapi kegagalan kerana keengganan mendapatkan sejumlah lima kerusi Dun dari Pakatan. Ganjaran dilaporkan meningkat dari masa ke semasa. Mereka tidak boleh berbohong mengenai perkara ini kerana beberapa Adun yang tidak bersedia menjadi 'pelacur politik' itu sendiri yang mendedahkannya.

Apa yang berlaku di Kedah sama dengan modus operandi yang digunakan oleh BN di Perak. Dua Exco yang berjaya 'dibeli' itu adalah Adun bermasalah. Kaedah ini digunakan oleh mana-mana konspirator pun di dunia ini, iaitu mencari pemimpin bermasalah dan menjadikan 'masalah' itu sendiri sebagai produk peras ugut.

Masalah itu boleh dicipta oleh konspirator, seperti tindakan mereka mengumpan bekas aktivis KeADILan Perak dengan pelacur Cina.

Terdapat juga masalah individu pemimpin sama ada yang sudah berlaku mahupun sedang dihadapi. Semuanya boleh dijadikan alat pemeras ugut oleh konspirator politik, sehingga akhirnya pemimpin tersebut boleh dicucuk hidung.

Sementelahan lagi, mereka ditawarkan pula ganjaran yang dapat mengabui mata maka lagi mudahlah hasrat konspirator jahat itu tercapai.

Sebab itu adalah suatu langkah yang bijak apabila Anwar menasihatkan Adun Bukit Selambau V Arumugam meletakkan jawatan sebaik sahaja isu peribadi beliau disensasikan oleh media sehingga istana cuba dilibatkan.

Penguasa Umno dan juhalak-juhalaknya akan melakukan apa saja untuk berkuasa. Matlamat menghalalkan cara. Mereka tidak ada sifat belas kasihan sesama insan dalam mencaturkan konspirasi.

Walaupun tindakan Radzhi adalah suatu pengkhianatan terhadap mandat rakyat, tetapi sekurang-kurangnya sewaktu menulis ini saya ada rasa belas kasihan terhadap beliau lantas tidak membongkarkan satu persatu apakah sebenarnya isu-isu peribadi beliau yang menghilangkan 'kelayakannya' untuk berkhidmat sebagai Exco, atau Adun sekalipun.

Bagi kepimpinan kerajaan negeri Kedah, pengunduran Radzhi adalah melegakan. Ia tidak lagi menjadi duri dalam daging. Kerajaan tak tumbang kerana masih ada lagi majoriti tujuh kerusi. Kerusi PAS ada 16, empat KeADILan dan satu DAP. BN cuma ada 14.

BN Kedah yang agak lama menganggur (sebagai kerajaan) mungkin beriya-iya benar untuk melaksanakan visi menegakkan sebuah kerajaan katak seperti di Perak. Tapi BN Pusat nampaknya tak ghairah macam dulu.

Situasi di Perak banyak mengajar mereka. Majoriti masyarakat bukan Melayu tidak dapat menerima peralihan kuasa secara merasuah Adun. Sebab itu undi bukan Melayu meningkat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Negara juga terpaksa menghadapi kerenah yang banyak ekoran peralihan kuasa secara luar tabie. Najib terpaksa berfikir 16 kali sebelum mengulangi rampasan kuasa seperti di Perak di tempat lain.

Insya-Allah mandat kerajaan Pakatan di Kedah tidak tergugat sehingga sekurang-kurangnya pilihan raya umum ke 13 nanti.

Isu pemecatan: Ada kaitan dengan usaha jatuhkan Tee Keat?

APAKAH pemecatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek daripada MCA bukan semata-mata bersandarkan alasan cakera padat digital skandal seksnya yang dikatakan mencemarkan imej parti?

Atau ia ada kaitan dengan cerita lama iaitu pertelingkahan peribadi beliau dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Orang politik khususnya kalangan ahli MCA sendiri maklum kedua-duanya 'tidak sekapal' sejak era kepimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik lagi. Suatu ketika Tee Keat pernah berada dalam Team B 'diketuai' Datuk Lim Ah Lek manakala Soi Lek sendiri dilihat cenderung ke kem Liong Sik.

Namun jika itu tiada kaitan dan barangkali masing-masing sudah membuka lembaran baru, mungkin populariti Soi Lek di peringkat akar umbi parti dilihat boleh menggugat pengaruh kepimpinan Tee Keat menjadi antara sebabnya Soi Lek tersingkir dari parti.

Tee Keat sebelum ini memberitahu media bahawa dirinya perlu berdepan dengan musuh dalaman dan luaran. Ramai menjangkakan 'musuh' tersebut tidak dapat dipisahkan dengan dua isu iaitu berhubung pertelingkahannya dengan Soi Lek serta pendedahan Tee Keat mengenai skandal PKFZ.

Selepas kenyataan itu dibuat, kepimpinan MCA dari seluruh negara secara terbuka membuat kenyataan memberi sokongan padu kepada Tee Keat untuk kekal sebagai Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA.

Tee Keat juga mengadakan sesi dialog khas untuk melaporkan perkembangan terkini parti kepada ahli-ahlinya. Sesi dialog itu dilihat sebagai medan bagi Tee Keat meyakinkan ahli-ahli MCA mengenai kepimpinannya.

Namun di sebaliknya, terdapat pula ura-ura kemungkinan penyokong Soi Lek mahu memanggil persidangan luar biasa bagi membuang undi tidak percaya kepada Tee Keat.

Kemenangan Soi Lek ke atas Ong Ka Chuan dalam pemilihan merebut jawatan Timbalan Presiden pada 18 Oktober tahun lalu merupakan kejutan besar dalam MCA. Walaupun Soi Lek menyatakan beliau sedia bekerjasama dengan Tee Keat tetapi pada hakikatnya gandingan Tee Keat-Soi Lek penuh bermasalah sejak hari pertama Tee Keat mengetuai parti.

Masing-masing, Tee Keat dan Soi Lek dilihat 'keras' dan enggan bertolak ansur berhubung pelbagai isu.

Rasa tidak puas hati Soi Lek itu ditambah dengan beberapa insiden terutama apabila beliau tidak diberi sebarang jawatan dalam Kabinet. Soi Lek juga dikatakan ditekan oleh MCA kerana mengeluarkan kenyataan tertentu yang menjejaskan imej MCA.

Soi Lek sendiri tidak berpuas hati apabila tidak diberi peluang untuk memainkan peranan yang sewajarnya dalam MCA. Peranannya dalam parti didapati tidak selari dengan kapasitinya sebagai Timbalan Presiden.

Tee Keat umpamanya tidak melantik Soi Lek untuk menjadi pengerusi negeri tetapi melantik dirinya sebagai pengerusi MCA Johor. Johor secara tradisinya dilihat negeri terpenting untuk MCA dan mempunyai ramai penyokong Soi Lek.

Soi Lek juga dilaporkan tidak berpuas hati apabila MCA sering kali menimbulkan isu skandal video seksnya.

Sejak bulan lepas, akhbar-akhbar utama berbahasa Cina melaporkan kemungkinan berlaku perhimpunan luar biasa untuk menggantikan Tee Keat sebagai Presiden MCA.

Soi Lek pada kelmarin turut meminta supaya tindakan diambil bagi mengelakkan MCA dimusnahkan oleh individu tertentu.Dalam hal ini, beliau meminta ahli-ahli MCA menyelamatkan parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional itu dan jangan hanya berpeluk tubuh dengan perkembangan terkini dalam MCA.

Sin Chew Daily dalam satu laporan baru-baru ini juga menyebut dengan memetik sumber daripada MCA, mendedahkan usaha untuk menjalankan persidangan khas akan dimulakan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir Selasa lalu.

Sumber MCA memberitahu: ''Usaha untuk mengadakan perhimpunan agung sedang giat dijalankan bagi mendapatkan sokongan satu pertiga perwakilan dalam mengadakan persidangan luar biasa, sekali gus menjatuhkan Tee Keat."

Thursday, August 27, 2009

Perjuangan UMNO ditolak

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan UMNO ditolak oleh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir adalah disebabkan oleh dasar yang dibuat oleh UMNO itu sendiri.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar yang diperjuangkan UMNO selama ini tidak betul memandangkan UMNO menolak Islam dan mengambil kebangsaan.

“Penolakan yang begitu banyak terhadap UMNO ini satu daripada sebabnya adalah berpunca daripada dasar yang dibuat oleh UMNO itu sendiri. Tak betul dengan dasar UMNO iaitu tolak Islam ambil kebangsaan.

“Kelantan yang telah hampir 20 tahun menggunakan dasar Islam, alhamdulillah...ia mendapat penerimaan daripada semua pihak,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang dua hari lepas.

Pada pilihan raya kecil itu calon Pas, Mohd Salleh Man memperoleh 9,618 manakala calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman mendapat 5,067.

Mengulas mengenai dakwaan yang kononnya BN gagal memberikan calon yang bersih dari segala aspek Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu menyentuh soal peribadi calon sebaliknya menekankan kepada dasar yang diperjuangkan parti itu yang menjadi punca kekalahan.

“Dari segi lain saya tak peduli tetapi dari segi dasar memang tak bersih. Calon secara peribadi saya tak mahu sentuh yang itu,” katanya.

Sehubungan itu beliau dengan ikhlas meminta pemimpin dan ahli UMNO agar mengubah dasar yang diperjuangkan parti itu selama ini.

Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu memikirkan kembali dasar perjuangan parti yang diperjuangkan selama ini.

“Saya meminta saudara-saudara kita di dalam UMNO supaya tolong fikir dan tolong ubah dasar UMNO daripada kebangsaan kepada Islam.

“Bulan Ramadan, bulan Quran buatlah dasar lain. Kedaulatan Allah ke atas manusia seakan terhakis apabila dasar yang diperjuangkan bukan dasar Islam. Allah pernah berdaulat tiba-tiba kita tidak mahu pakai al-Quran dan ambil dasar yang di bawah oleh orang Eropah,” katanya.

Pemuda MCA Wilayah: Jangan gali kubur sendiri

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng membidas Utusan Malaysia kerana memainkan isu perkauman, sehingga menimbulkan rasa jijik di kalangan rakyat.

Chiew menggesa agar semua parti komponen melihat ini sebagai "loceng amaran" kepada BN, dan menuntut agar UMNO berhenti mengapi-apikan sentimen perkauman.

Chiew (gambar kiri) melihat kekalahan BN di pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir membawa erti bahawa mainan isu kaum dan agama tidak menampakkan kesan, kerana rakyat mahukan pentadbiran yang terbuka dan pendekatan yang sederhana.

Chiew berkata, walaupun undi yang diperolehi BN tidak jatuh merudum, tetapi BN seharusnya meneliti punca mengapa tiada penambahan undi kepada BN.

"Sesungguhnya, tiada pengurangan undi adalah sesuatu yang baik. Tetapi kita perlu memandang berat mengapa tiada penambahan undi yang nyata untuk BN," tambahnya.

Chiew menganggap bahawa mainan isu perkauman oleh Utusan Malaysia telah mencetuskan rasa jijik di kalangan rakyat, dan UMNO perlu menyedari kesan yang serius daripada fenomena ini.

"Perbuatan Utusan Malaysia untuk memainkan isu perkauman dan agama telah menimbulkan rasa jijik antara kaum. Kesan seriusnya cukup untuk mempengaruhi keputusan parti komponen dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Beliau berkata, UMNO yang juga merupakan parti komponen BN perlu menjaga reputasi BN keseluruhannya. Pada hemat beliau, demi kepentingan BN bersama, UMNO tidak harus membiarkan Utusan Malaysia untuk memainkan isu perkauman sewenang-wenangnya.

Chiew berkata tindakan Utusan Malaysia telah menjejaskan usaha Perdana Menteri.

"PM mengamalkan sikap keterbukaan dalam pentadbirannya, agar keyakinan umum dipulihkan. Tetapi Utusan Malaysia menghasut di sebaliknya, menyebabkan BN kehilangan kepercayaan rakyat," kata Chiew.

Chiew berpendapat, BN perlu mengamalkan pentadbiran yang terbuka, memantau agar dasar yang memanfaatkan rakyat terlaksana, dan bukannya memainkan isu perkauman.

"Kalau memainkan isu perkauman dan mengabaikan pentadbiran, ia bagaikan menggali kubur sendiri. Seandainya perbuatan irrelevant ini tidak diubah, dijadikan sebagai amaran, maka kita akan dikuburkan pada PRU ke-13. "

Oleh itu, Chiew menggesa agar parti komponen menekan "loceng amaran", menuntut agar UMNO berhenti mencungkil sensitiviti perkauman di media Melayu.

*Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Chiew Lian Keng, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, dalam bahasa Cina.

Kes seks: MCA pecat Dr Chua

Majlis Presiden MCA lewat malam ini memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung skandal seks yang dihadapi bekas menteri itu awal tahun lalu.

Keputusan itu dicapai setelah ia bermesyuarat selama beberapa jam sejak 9 malam ini susulan syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin yang menyiasat kes itu awal bulan ini.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau sendiri akan memaklumkan keputusan yang dibuat "dengan berat hati" dan "kolektif" itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku pengerusi BN.

Dalam sidang media di Wisma MCA kira-kira tiga jam sebelum keputusan itu dicapai, Dr Chua memaklumkan beliau dikehendaki keluar mesyuarat majlis tersebut kerana ia ingin memutuskan tindakan terhadapnya.

Beliau sebelum itu hadir lebih kurang dua jam di mesyuarat Majlis Presiden MCA.

Permatang Pasir: PR menang di semua saluran

Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.

Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.

UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.

Pengundi muda tetap memihak PR

Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini. Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN "berjaya merapatkan jurang", golongan pengundi muda tetap bersama PR. Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.

Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

UMNO-BN dijangka tidak berubah

Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti. Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam" dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.

"Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya," jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.

Kelas pekerja bersama PR

Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.

Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR. Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.

Cuma, bagaimana pula dengan UMNO-BN?

Sultan perkenan Radzhi gugur, Lim Soo Nee ganti

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa Selasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, Rabu.

Menurut beliau lagi, Sultan Kedah turut memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu manakala majlis angkat sumpah akan diadakan minggu depan.

Mohd Radzhi sebelum ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Berikutan tindakan itu, Azizan menghadap Sultan Kedah bagi menyerahkan surat memohon perkenan supaya Mohd Radzhi yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas digugurkan daripada jawatan Exco.

Tindakan itu dibuat berikutan Mohd. Radzhi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri bukan lagi mewakili komponen Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya menyifatkan tindakan Mohd Radzhi itu tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mohd Radzhi sering dihebohkan dengan dakwaan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika menjadi Exco pula, dalam keadaan disifatkan sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkian beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM._

Kes seks: Dr Chua mungkin dipecat

Majlis Presiden MCA masih lagi bermesyuarat sejak awal malam ini bagi membincangkan syor untuk memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Loi Lek berhubung kes skandal seks awal 2008.

Siasatan jawatankuasa disiplin terhadap kes itu mengesyorkan beliau dipecat daripada parti, katanya dalam sidang media di Wisma MCA kira-kira 9 malam ini selepas menghadiri mesyuarat majlis tersebut lebih kurang dua jam sebelumnya.

Beliau dikehendaki meninggalkan mesyuarat Majlis Presiden MCA kerana mereka mahu membuat keputusan berhubung kes disiplin terhadapnya.

Tokoh yang dianggap pencabar utama Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Chua menambah, laporan jawatankuasa disiplin yang dihantar kepadanya jam 5.30 petang ini mendedahkan syor memecat beliau.

Kata Chua lagi, Majlis Presiden - yang masih bermesyuarat pada waktu ini - selalunya sekadar "cop getah" untuk meluluskan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin.

Beliau berharap "Ong akan tidur lena malam ini" selepas bekas menteri itu dipecat.

Katanya, sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu - yang menyaksikan kenaikan kembali Chua kepada jawatannya sekarang - Ong "melihatnya sebagai musuh yang paling ketat dan ancaman paling besar."

Sementara itu, akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Jit Poh melaporkan spekulasi majlis tersebut besar kemungkinan ingin mengenakan hukuman menggantung Chua selama tiga tahun.

Awal bulan ini, jawatankuasa itu menyiasat aduan bahawa Chua telah mencemarkan imej parti selepas muncul dalam satu DVD yang menunjukkan beliau, waktu itu menteri kesihatan, melakukan hubungan seks dengan seorang teman wanitanya.

Pengadu tersebut Eng Cheng Guan, yang juga pengerusi MCA bahagian Simpang Renggam, mendakwa insiden itu mencemarkan reputasi parti kedua terbesar dalam komponen BN itu.

Eng bagaimanapun menarik balik aduannya tetapi jawatankuasa disiplin meneruskan siasatan terhadap Chua.

Mesyuarat malam ini difahamkan diadakan secara tergesa-gesa, manakala akhbar Sin Chew Daily melaporkan Chua hanya dimaklumkan mengenainya pada kira-kira jam 4.30 petang semalam

Wednesday, August 26, 2009

Mengaku kalah ajalah Muhyiddin, usah cari daleh lagi ...

Bagi sesiapa yang tonton Buletin Utama TV3 tadi tentu perasan bagaimana kecewanya Muhyiddin Yassin yang siang malam bertungkus lumus berkempen di Permatang Pasir, tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan kemenangan besar calon PAS.

Menariknya, dan itulah setiap kali dilakukan TV3 dan media talibarut Umno yang lain, bila mereka kalah, maka dicarilah segala daleh ke atas kekalahan mereka. Muhyiddin sebagai contoh menyalahkan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat, yang mengasak ke kampung-kampung yang ramai penyokong Umno sehingga penyokong Umno itu takut untuk keluar mengundi.

Bagi Muhyiddin, kalau penyokong Umno tidak dihalang daripada keluar mengundi sudah tentu BN dapat menang kali ini. Langsung tak masuk akal! Kalau Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ada bukti bahawa penyokong PAS menganggu penyokong Umno untuk keluar mengundi, beliau sepatutnya membuat laporan polis pada petang tadi juga.

Kepada Muhyidin mengaku ajalah bahawa Umno-BN masih belum dapat dipulihkan. Rakyat tetap menolak dan mahukan Pakatan Rakyat terus memerintah. Bukankah sejak hari pertama lagi calon Umno sudah buat hal dengan begitu banyak masalah peribadi yang membelitnya? Seolah-olah Umno ketandusan calon berwibawa untuk bertanding dalam pilihan raya yang diakui cukup penting itu.

Satu lagi daleh Umno bila kalah ialah dengan membawa alasan kuno iaitu penyokong Pakatan Rakyat melakukan keganasan atau kekerasan kepada petugas BN. Maka ditunjukkan beberapa orang Pemuda Umno yang kena "belasah" oleh penyokong PAS sehingga berdarah-darah. Dan sewajibnya bekas darah itu akan difokuskan oleh kamera TV.

Penonton sudah muak dengan agenda yang sudah tidak laku ini. Kita belum lupa dengan peristiwa semasa Anwar Ibrahim bertanding di Permatang Pauh dulu. Macam itu jugalah media talibarut memainkan peranan mereka. Ditunjukkan berulang-ulang kali "kesamsengan" penyokong KeADILan tetapi akhirnya kalah lagi teruk juga calon Umno.

Kepada Muhyiddin, cukup-cukuplah bermain politik dengan daleh yang orang sudah naik muak. Mengaku ajalah kelemahan dan perbaikilah. Kalau tidak, Umno bukan saja terus kalah dalam siri pilihan raya kecil (setakat di Semenanjung 7-0), tetapi nasibnya dalam pilihan raya umum akan datang bertambah kritikal lagi.

Tuesday, August 25, 2009

takbir....takbir....takbir

PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi di sebalik penurunan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, PAS diwakili Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala Barisan Nasional (BN) pula Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Salleh memperoleh 9,618 undi, sekali gus berjaya dalam percubaan kali keenam bertanding pilihan raya.

Dalam reaksinya, Salleh, 52, menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kukuh dan akan merapatkan kerjasama di kalangan anggota komponen Pakatan Rakyat," kata beliau yang tiba di pusat penjumlahan undi IKBN pada pukul 6.30 petang dengan berpakaian batik.

Rohaizat, 38, pula mendapat 5,067 undi. Undi rosak adalah sebanyak 83.

Rohaizat menerima keputusan ini dengan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Salleh Man dan berharap beliau akan melaksanakan khidmat dengan baik kepada masyarakat Permatang Pasir," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya pada pukul 7.30 petang - tepat waktu berbuka puasa di sini.

Pengumuman kali ini, yang dilihat paling cepat berbanding mana-mana pilihan raya yang lain dibuat dalam waktu yang singkat.

Awalnya SPR telah bercadang untuk membuat pengumuman keputusan pada pukul 8 malam.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi.

Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

PRK permatang pasir

Keputusan tidak rasmi menunjukkan PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti lebih 4,000 undi.

Setakat pukul 6.55 petang, PAS dipercayai memperoleh 8,524 undi manakala calon BN pula 4,063.

Undi dari satu lagi daerah belum dikira.

Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus telah keluar mengundi.

Peluang untuk Azizan kukuhkan Pakatan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak kini berpeluang untuk memperkukuhkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui penyusunan exconya ekoran keluarnya Mohd Radzhi Salleh dari PKR.

"Azizan boleh melantik satu-satunya ADUN DAP ke dalam exco menggantikan Radzhi manakala Lim Guan Eng pula boleh melantik Mohd Salleh Man sebagai exco apabila menang nanti," kata seorang pemikir politik.

Dengan cara ini bermakna, para penyokong DAP di Kedah akan mempunyai wakil dalam exco kerajaan negeri dan dengan ini akan memperkuatkan hubungan antara parti-parti dalam Pakatan di negeri itu.

Dengan cara ini juga, PAS akan mempunyai wakil dalam exco kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Bayangkan apabila semua ahli PAS di Pulau Pinang tidak lagi merasa terpinggir dan begitu juga ahli-ahli DAP di Kedah juga tidak akan rasa terpinggir melalui pendekatan ini, ia akan benar-benar mengukuhkan Pakatan di kedua-dua negeri itu," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, katanya, langkah ini hanya boleh dibuat dengan restu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR di Kedah kerana kerusi exco itu adalah kouta PKR.

Pemikiran sebegini datang apabila Azizan terpaksa melantik seorang exco baru ekoran keluarnya Radzhi dari PKR. Walaupun Radzhi masih mahu mengekalkan kerusi itu namun Azizan berhak melantik orang baru dan memecat beliau.

Untuk itu, Azizan telah membuat permohonan kepada Tuanku Sultan Kedah bagi memberhentikan Radzhi dan melantik Adun lain bagi mengisi kerusi exco yang kosong itu.

Dalam sidang medianya, Azizan berkata, kerusi itu terserah kepada PKR kerana ia kouta PKR. Namun, jika PKR melihat isu ini boleh memperkukuhkan Pakatan, ia boleh dilaksanakan dengan mudah.

Ketika itu, Lim bolehlah melantik Mohd Salleh ke dalam exco yang dijangka menang dalam pilihan raya Permatang Pasir hari ini.

Mohd Salleh telah dijanjikan Lim untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) jika menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir ini.

Namun, dengan perkembangan baru ini, dipercayai Anwar akan memainkan peranannya untuk mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat agar ia benar-benar dilihat layak untuk mengambilalih pentadbiran negara dari Barisan Nasional.

PAS dijangka menang tetapi berapa majoritinya?

20,290 pengundi Permatang Pasir keluar mengundi hari ini. PAS dijangka akan mengekal kerusi ini namun persoalannya adalah jumlah majoritinya.

Para peramal mula membuat ramalan sejak semalam tentang jumlah majoriti yang bakal dimenangi oleh calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Jumlah yang paling rendah adalah PAS akan menang dengan 2,500 undi majoriti. Paling tinggi diberikan adalah 3,500 undi majoriti.

Namun begitu ada juga pihak yang meramalkan PAS mampu menambahkan majoriti yang diperolehinya berbanding pilihan raya umum tahun lepas. Ini berdasarkan masalah calon BN, Rohaizat Othman yang paling ketara sejak siri pilihan raya kecil diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Di pihak BN pula, harapan untuk menang tidak ada langsung kepada mereka. Apa yang ditumpukan kini adalah mengurang majoriti kemenangan calon PAS.

Antara senjata utama yang dikira berkesan adalah penempatan anak-anak angkat di rumah-rumah bekas penyokong Umno yang didapati telah lari menyokong Pakatan Rakyat khasnya Datuk Seri Anwar dalam pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.

Pelbagai jenis bantuan diberikan kepada mana-mana pengundi yang sedia menerima anak angkat dari kalangan Puteri Umno ini. Antaranya pembinaan tandas baru serta menukar bumbung rumah.

Masalah besar kepada BN adalah calon mereka Rohaizat Othman yang tidak diterima oleh cawangan-cawangan Umno sendiri. Hanya tujuh dari kira-kira 30 cawangan Umno di Permatang Pasir menerima Rohaizat sebagai calon. Selebihnya menolak.

Pendedahan demi pendedahan tentang peribadi Rohaizat menyukarkan jentera BN untuk membuat promosi terhadap beliau. Yang terbesar adalah isu tindakan Majlis Peguam menarik balik lesen guaman beliau akibat pecah amanah dan masalah isteri kedua beliau yang ditinggalkan.

Namun pertemuan hampir empat jam antara Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Ahad lepas menimbulkan pelbagai spekulasi.

Kedua-duanya dilihat bertemu dan berbincang di sebuah kelab dekat Sunwaycity, Seberang Jaya, mulai jam 5 petang hingga jam 9 malam. Ramai wartawan yang menginap di sini.

Dalam pilihan raya 2008, Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS) mengalahkan calon Umno Ahmad Sahar Shuib dengan 5433 undi majoriti.

Sebanyak 39 saluran mengundi di lapan pusat pengundian pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir mula dibuka pukul 8 pagi tadi.

Lapan pusat mengundi itu ialah di SJKC Lay Keow Permatang Pauh, SMK Sama Gagah, SK Permatang Pauh, SK Permatang Pasir, SK Bukit Indra Muda, SJKC Kubang Semang, SK Seri Penanti dan Sek Rendah Islam Al-Masriyah.

Seramai 20,290 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang baru setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63 daripada Pas meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calonnya manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu tidak mengundi di kawasan Permatang Pasir.

Daripada jumlah itu, 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

53.3% mengundi sehingga 1 tengahari

Jumlah keluar mengundi sehingga jam 1 tengahari tadi mencecah 53.3 peratus atau 10,812 orang.

Pada jam 12 tengahari, jumlah pengundian adalah 47.2 peratus atau 9,573 orang.

Manakala jumlah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi mencecah 38.9 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan perjalanan proses membuang undi setakat ini kerana menunjukkan kemajuan, lebih baik daripada hari mengundi DUN Manek Urai, awal bulan lalu.

Beliau berharap hujan tidak turun hari ini dan membolehkan sasaran 80 peratus keluar mengundi dicapai.

Tambahnya, tiada laporan mengenai kehadiran "pengundi hantu" dimaklumkan kepada suruhanjaya tersebut.

Laporan awal:

Suasana di pusat pengundian di SK Permatang Pasir panas apabila penyokong Pakatan Rakyat dan BN melaung mengejek satu sama lain.

Penyokong Umno melaungkan "Anwar pengkhianat" manakala penyokong PAS membalas dengan laungan "You jantan ke tidak".

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli juga kelihatan berada di situ.

Ramai anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian bagi mengawal penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi ialah 14.6 peratus atau 2,566 orang.

14.6% mengundi sehingga 9 pagi

Suasana di pusat pengundian di SK Permatang Pasir panas apbila penyokong Pakatan Rakyat dan BN melaung mengejek satu sama lain.

Penyokong Umno melaungkan "Anwar pengkhianat" manakala penyokong PAS membalas dengan laungan "You jantan ke tidak".

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli juga kelihatan berada di situ.

Ramai anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian bagi mengawal penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi ialah 14.6 peratus atau 2,566 orang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz melawat pusat pengundian di SRJK (C) Lay Keow dan berpuashati dengan perjalanan pengundian setakat ini.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Kajian dapati 64 peratus jangka PAS menang

PERMATANG PASIR, Ogos 24 — Kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma kajiselidik mendapati, 64 peratus penduduk Permatang Pasir menjangka PAS akan menang dalam pilihanraya ini.

Hanya 20 peratus sahaja yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional, manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang.

Kajian ini dibuat oleh Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan lapangan bebas.

Ia berdasarkan temubual yang dibuat terhadap 200 pengundi berdaftar dan penduduk di Permatang Pasir dipilih menerusi kaedah pemilihan berstruktur dan ditemubual di samping pemerhatian secara terus dan penglibatan di lapangan.

79 peratus respondan mereka adalah pengundi Melayu, 12 peratus (25 orang) Cina dan 9 peratus (17 orang) India.

Kawasan kajian adalah sekitar DUN Permatang Pasir yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di sembilan buah UPU (Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kg. Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross-Street 2 dan Permatang Tengah)•

Temubual dan observasi ini dijalankan dari 18 hingga 21 Ogos 2009 lalu.

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan dan trend pengundian terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

Menurut kajian itu, rekod bekas Adunnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman memberi kelebihan pada PAS manakala calon pilihan BN pula sangat bermasalah.

Sebilangan besar responden iaitu sebanyak 69 peratus menyatakan rekod dan kredibiliti Hamdan sangat memberikan kelebihan kepada PAS.

Ini berdasarkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Adun menunjukkan suatu reputasi kepimpinan dan prestasi yang sangat memberangsangkan sehingga membentuk satu legasi yang sukar dicari ganti.

Hanya 18 peratus sahaja responden yang tidak bersetuju dan 13 peratus selebihnya menyatakan tidak pasti.

Bagi calon Barisan Nasional, kajian dijalankan setelah calon Rohaizat Othman diumumkan sebagai calon setelah menyingkirkan empat orang calon yang lain.

Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Nasir Abdullah, Naib Ketua Bahagian, Rahim Man, Ketua Pemuda Bahagian Permatang Pauh yang dikenali sebagai Cikgu Zaidi dan seorang lagi Abdul Aziz Sheikh Ahmad, Ajk Bahagian Permatang Pauh. Namun begitu, setelah kaji selidik dilaksanakan, ia menunjukkan bahawa 53 peratus responden menyatakan calon pilihan BN sangat bermasalah kerana rata-rata pengundi percaya bahawa Rohaizat tidak berintegriti kerana terlibat dalam isu penarikan sijil guaman sehingga terlucutnya kelayakan dan isu peribadi beliau yang dikatakan beristeri dua.

Hanya 36 peratus responden menyatakan ia bersih dan 11 peratus sahaja yang tidak pasti.

Kajian ini juga menunjukkan, dalam pilihan raya kecil pertembungan melibatkan kekuatan parti lebih dominan daripada kekuatan calon.

107 responden mencatatkan 53 peratus memilih kekuatan parti berbanding kekuatan calon yang hanya 32 peratus. Baki selebihnya iaitu 15 peratus memilih jawapan tidak pasti.

Kajian ini juga mendapati, isu calon BN yang bermasalah menenggelamkan isu nasional/parti.

Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh 15 penyelidik yang bertugas, para responden lebih responsif untuk memberikan pandangan berhubung dengan isu calon BN yang sangat bermasalah.

Isu peribadi yang dikaitkan dengan Rohaizat menyebabkan kepercayaan kepada beliau semakin merosot dan kredibiliti Umno-BN semakin dipertikaikan walaupun dikatakan pelbagai ‘durian runtuh’, peruntukkan yang turun dan strategi kempen yang digunapakai oleh BN akan membantu kemenangan parti itu.

Mengikut catatan kepada soalan “adakah isu-isu nasional/parti akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil kali ini?”, hanya 17 peratus tidak berpuas hati dengan tindakan DAP hina Islam, 15 peratus menyatakan bahawa Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa, 16 peratus menyatakan bahawa tindakan Nik Aziz melabelkan Umno tidak masuk syurga adalah tidak wajar.

38 peratus respondan menyatakan bahawa calon BN sangat bermasalah, 6 peratus percaya kebarangkalian Hj. Salleh Man, calon PAS terlibat dengan isu penyelewengan dan hanya 8 peratus yang menyatakan kegagalan menyelesaikan isu PPSMI menunjukkan kegagalan kerajaan.

Menurut kajian ini, kesimpulan yang boleh dibuat adalah pengundi Permatang Pasir lebih cenderung menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) manakala Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan amat sengit untuk merampas kerusi N11 DUN Permatang Pasir ini.

Pilihan Raya Kecil: Sokongan Padu Orang Bukan Islam Pada Calon Pakatan Rakyat

Hasil pemantauan yang dilakukan sejak hari penamaan calon hingga ke saat akhir menjelang hari mengundi , menunjukkan sokongan padu bukan Islam pada calon PR, Ustaz Saleh Man.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mengetuai petugas PAS negerinya di Unit Peti Undi (UPU) Cross Street 2, dekat sini yang merupakan kawasan paling tinggi mempunyai pengundi Tionghua di Dun Permatang Pasir.


Menurut Zulkefly, daripada 2,160 pengundi di UPU, seramai 1800 adalah pengundi berbangsa Cina dan selebihnya sekitar 300 orang terdiri daripada kalangan pengundi Melayu dan India.

Semua pengundi di UPU Cross Street 2 yang tingal di 11 lokaliti atau kampong akan menunaikan tanggungjawab mereka pada esok pagi di Madrasah Masriyah, juga dekat sini.

“Pengundi di kawasan ini memang memberikan sokongan kepada PR berdasarkan keputusan pilihan raya umum dan PRK Permatang Pauh, sebelum daripada ini, memperlihatkan keberanian mereka untuk bersama PR semakin jelas.

“Perkara ini dapat dilihat ketika majlis jamuan makan yang diadakan bersebelahan Tokong Kampung Sayur dan calon, Ustaz Saleh Man turun berjumpa dengan pengundi bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Haji Mohamad Sabu.

“Saya berkeyakinan PR berada di dalam keadaan selesa sehingga ke saat akhir kempen menjelang esok hari,” tegas Zulkefly yang sudah dua kali berkampung di sini termasuk ketika PRK Permatang Pauh tidak lama sebelum ini.

Katanya, penduduk Melayu pula tinggal di Kampung Paya seramai 360 yang dikatakan terdiri daripada pengundi tegar Umno, namun selepas Datuk Seri Anwar dan Ustaz Saleh menemui mereka di dalam lawatan ke kampong mereka, suasana sudah berubah.

Rakyat hendak tolak BN, ujarnya, kerana PR kemukakan calon terbaik apatah lagi hanya ini sahajalah satu-satunya kerusi PAS di Pulau Pinang dan telah dinyatakan jika Ustaz Saleh menang pada kali ini, beliau akan dilantik sebagai YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Zulkefly juga berkata, BN meletakkan sasaran tinggi untuk menang di Permatang Pasir dengan mengemukakan janji untuk jadikan Permatang Pasir sebagai anak emas mereka, jika beroleh kemenangan kali ini.

Katanya, Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengetuai petugas Umno negeri itu yang kedudukan markas keduanya, antara PAS dan Umno hanya sekitar 40 meter melalui satu lorong yang sama, meskipun tidak nampak tapi boleh dengar suara ceramah dengan jelas.

Mengulas isu ini, Zulkefly mengingatkan pengundi tempatan agar tidak terpengaruh dengan janji MB itu kerana beliau sendiri gagal untuk menjadikan negerinya sendiri sebagai anak emas.

“Jika hendak jadikan emas pun, jadikanlah negeri sendiri dulu sebagai anak emas, ini isunya di negeri pun belum lagi selesai termasuk berkaitan cukai tanah, tariff air dan sebagainya.

“Orang yang berjanji mesti dari orang yang boleh tunaikan janji-janji mereka,” tegasnya yang memang mempunyai banyak pengalaman tersendiri dengan kaum Tionghua di Negeri Sembilan khususnya.

Kerana itu, jelasnya, UPU Cross Street 2 ini diasak oleh semua pimpinan BN dengan memberikan bantuan kepada petani sayur dan peniaga seperti baja dan duit yang merupakan cara kempen stail lama yang sudah ketinggalan zaman.

Monday, August 24, 2009

Berjayakah Shafie Afdal Tawan Kedah?

MISI Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal untuk menawan Kerajaan Negeri Kedah mungkin akan berjaya jika Pakatan Rakyat leka setelah Adun Lunas (PKR), yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat & Tenaga Manusia), Mohd Radzi Salleh (gambar kanan berketayap) mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi Adun Bebas.

Bagaimanapun, Shafie harus bertanggung jawab di atas cubaan dan tindakan beliau memancing keluar Adun PKR tersebut dengan habuan yang lumayan dan seharusnya berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pemimpin UMNO peringkat akar umbi di Kedah.

Ketua Pemuda Pas Sabah, Lahirul Latigu (berbaju merah hati), menjelaskan bahawa beliau tahu siapa yang memainkan peranan memancing Adun PKR dan sedang berusaha memancing sekirang-kurang tiga lagi Adun agar meninggalkan parti tersebut dengan ganjaran yang lumayan, sama dengan modus operandi yang dijalankan di Perak dan Sabah sebelum ini.

"Kita telah lama mengekori seorang jutawan dari Sandakan, Sabah yang amat rapat dengan Shafie dan kita mempunyai bukti pertemuan mereka sebelum ini. Kita akan serahkan bukti kepada pihak berwajib apabila tiba masa yang sesuai," ujar Lahirul yang kesal dengan cara Shafie cuba mendapatkan kuasa melalui pintu belakang.

Azizan serah surat berhubung kedudukan jawatan Exco Mohd Radzhi

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menyerahkan surat kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memohon supaya Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan Exco.

Azizan berkata surat permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain dilampirkan bersama surat beliau.

"Tuanku terima surat saya. Kita tunggu keputusan Tuanku. Selagi baginda tidak buat keputusan, Mohd Radzhi masih lagi Exco," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menyerahkan surat itu kepada Sultan Kedah di Wisma Zakat di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Radzhi mengistiharkan keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas tetapi tidak melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia.

Menurut Azizan, Sultan Abdul Halim memahami perkara itu selepas beliau menerangkan kepada baginda bahawa Mohd Radzhi bukan lagi anggota PKR dan dia tidak layak menjadi Exco atas kuota PKR.

"Pertemuan saya dengan Tuanku berjalan mesra. Saya harap Tuanku akan pertimbangkan permohonan ini tetapi saya tidak tahu bila baginda akan buat keputusan," katanya.

Azizan berkata pengganti Mohd Radzhi sebagai Exco hanya akan dibincangkan dengan PKR selepas baginda membuat keputusan

Anwar dakwa Umno guna Radzhi tarik ADUN PKR lain

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno cuba menggunakan ADUN Lunas Mohd Radzhi Salleh - yang keluar PKR hari ini - untuk menarik beberapa ADUN PKR yang lain, menyeberang menyertai Umno.

"Percubaan Umno ialah buat tuduhan kepada ADUN Lunas, dan kemudian menggunakan beliau untuk mempengaruhi yang lain. Kita ada rekod, beberapa ADUN, dua tiga bulan lalu, mereka mengadu kepada saya, mereka cuba dipujuk oleh ADUN Lunas supaya berpindah kepada Umno dengan bayaran yang tinggi," katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai memberi tazkirah di satu majlis berbuka puasa bersama penduduk di Surau Said, Jalan Kampung Paya malam ini.

Menurut Anwar yang juga ketua pembangkang, Mohd Radzhi juga mempunyai beberapa masalah antaranya masalah displin, masalah kewangan dan hal-hal peribadi sehingga menerima teguran daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lalu, membangkitkan perkara ini untuk disiasat. Saya tidak tahu dalam keadaan sekarang, SPRM kata tak ada kes setelah beliau keluar parti.

"Ini digunakan untuk beliau terus berunding. Kita ada maklumat beberapa bulan lalu, beliau mengadakan rundingan dengan Mahadzir Khalid (bekas menteri besar Kedah). Maka sebab itu saya bangkit di Parlimen tentang usaha untuk membeli wakil-wakil rakyat dan tidak dijawab oleh menteri," katanya.

Sehubungan itu, kata Anwar, majlis pimpinan negeri telah mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran keras kepada Mohd Radzhi pada bulan lalu.

"Minggu lalu, majlis pimpinan negeri menggantung cabang Padang Serai termasuk ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan. Ini latar belakangnya.

"Sebab itu, YB Ahmad Kassim (pengerusi majlis pimpinan negeri) berkata sebaik-sebaiknya beliau meletakkan jawatan," kata Anwar.

Pagi tadi, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Bagaimanapun Anwar berkata menteri besar Kedah akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

Diminta mengulas pandangan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN Lunas, Anwar berkata:

"Ya, itu yang kita minta sebab kes dia ini berlainan. Kes dia melibatkan kes displin, kes SPRM dan kes peribadi. Ini masalah yang berkait dengannya, kalau begitu rumit, bagaimana nak jadi wakil," kata Anwar

Jika saya boleh, kenapa tidak Najib: Mahfuz

Mohamed Hanipa Maidin, peguam kepada Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar. — Gambar oleh Abu Bakar RashidBerikutan keputusan mahkamah membersihkan namanya yang cuba digambarkan sebagai kaki pukul, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak segera membersihkan namanya yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan syarikat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad melalui akhbar Berita Harian membayar ganti rugi sebanyak RM150 ribu kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu berikutan laporannya yang menuduh Mahfuz mengajak seorang menteri bertumbuk dalam Parlimen.

Mahfuz menyaman akhbar tersebut ekoran laporan muka hadapannya pada 9 November 2000 bertajuk “Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

“Bagi saya, apa yang penting ialah nama saya dibersihkan. RM150 ribu tak akan dapat mengimbangi rasa malu saya apabila digambarkan sebagai kaki bertumbuk,” kata beliau yang mendapat ganti rugi kedua dalam tempoh tidak sampai setahun.

Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd membayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz Omar kerana memfitnah beliau melalui bertajuk “Demonstrasi — Mahfuz isytihar bersama Keadilan” yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 4 Mac 2001.

Sambil menyifatkan kedua-dua keputusan mahkamah itu sebagai bukti bahawa PAS dan pembangkang sering menjadi “mangsa spin” media pro-Barisan Nasional (BN), Mahfuz yakin Najib boleh membersihkan namanya yang berkali-kali dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya.

“Mungkin Najib juga seperti saya dan aktivis pembangkang lain di negara ini yang sering menjadi mangsa spin (putar belit) media pro-BN dan sebagai mangsa “spin,” saya dapat merasai tekanan yang dihadapi Najib.

“Sebab itulah, kalau saya boleh membersihkan nama saya yang digambarkan sebagai kaki bertumbuk, saya tidak nampak sebab mengapa Najib tidak boleh membersihkan namanya yang sering dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya oleh media-media luar negara,” kata beliau yang berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS.

Beberapa akhbar luar negara seperti Liberation, The Nation, Sunday Times, Times of India, The Australian, New York Times, International Herald Tribune, Far Eastern Economic Review dan Kompas menyiarkan artikel-artikel yang membangkitkan persoalan yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya dan komisen besar yang diberikan oleh syarikat Perancis, Armaris, kepada sebuah syarikat Malaysia.

Malah, di dalam Dewan Rakyat Mac lalu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo melemparkan tuduhan “kamu pembunuh” terhadap Najib.

Walaupun Gobind digantung dari menghadiri Parlimen selama setahun tanpa dibayar elaun dan ganjaran berikutan tuduhannya itu, Perdana Menteri tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Gobind dan kesemua pihak yang menuduhnya itu sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menggesa Najib membersihkan namanya.

Sambil menjangkakan media asing akan terus memburukkan Najib, Dr Mahathir berkata, apa yang lebih penting ialah apa yang difikirkan oleh rakyat Malaysia.

“Dengan merekalah Najib perlu membersihkan namanya,” kata beliau.

Selain Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah juga menggesa Najib membersihkan namanya.

Razaleigh mengambil contoh tindakannya menyaman beberapa media asing yang mengaitkan beliau dengan beliau dengan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Tindakan undang-undang tersebut dibuat di negara dimana akhbar-akhbar tersebut diterbitkan, kata Razaleigh.

Beliau menang kesemua kes samannya, akhbar-akhbar berkenaan menyiarkan permohonan maaf malah beliau mendapat ganti rugi.

Nik Aziz dukacita calon sakit disuruh letak jawatan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dukacita dengan sikap sesetengah pemimpin parti 'lawan' yang mendesak ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaiman, supaya meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak mendoakan supaya kesihatan orang yang sedang sakit itu, terutama wakil rakyat, kembali berkhidmat kepada rakyat.

"Ini tidak, menambahkan lagi beban mereka yang menderita dengan penyakit yang dihidapinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah Ramadan di masjid Kota Darulnaim, di sini pada Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Adun Kok Lanas, Datuk Alwi Che Mat, yang menyarankan supaya Chek Hashim yang kini menjalani rawatan di luar negeri, meletakkan jawatan.

Menurut Mursyidul Am Pas itu, sebagai umat Islam, kenyataan-kenyataan seperti itu adalah tidak baik dan sewajarnya mereka mendoakan agar kesihatan mereka yang ditimpa musibah itu kembali pulih dan menjalankan tugas seperti biasa.

"Jika nak dikira uzur, saya sendiri pernah sakit dan alhamdulillah masih boleh meneruskan tugas.

"Macam saya dulu, menang satu kerusi minta saya letak jawatan...Berilah perkataan-perkataan yang boleh menyegarkan dia, saya sendiri pernah sakit, malah ada orang kata dah mati," kata beliau.

Ditanya mengenai kemajuan rundingan dengan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan royalti minyak, Nik Aziz enggan mengulas kerana sudah menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa

Sunday, August 23, 2009

Pemimpin Umno salah menyalah sesama sendiri

Umno yang disifatkan tersilap meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir terus berada dalam dilema untuk menghadapi serangan bertubi-tubi dari pihak lawan terhadap calon berkenaan.

Sehingga hari keempat berkempen parti itu dilihat masih berada dalam situasi bertahan - apabila kempen-kempen penerangan mereka yang melibatkan pimpinan dari pelbagai peringkat terpaksa memberi tumpuan untuk menjawab serangan ke atas calon mereka, Rohaizat yang menjadi isu utama modal kempen di pihak PAS setakat ini.

Dalam perkembangan terbaru, sumber dalaman Umno mendedahkan isu keperibadian Rohaizat Othman calon) kini menjadi masalah dalaman kepada Umno apabila para pemimpin mereka mula menunding jari sesama sendiri atas kesilapan memilih Setiausaha Umno Permatang Pauh itu sebagai calon.

Menurut sumber tersebut, dalam satu mesyuarat Umno yang diadakan semalam (Jumaat) berlaku salah menyalah antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Muhyiddin tunding jari pada Zahid kerana tidak periksa latar belakang calon betul-betul, Zahid pula seperti salahkan Jalil kerana dikatakan tidak memaklumkan kepada beliau.... Jalil pula cuba mengelak dengan pelbagai alasan lagi," kata sumber tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasation juga mengesahkan turut mendapat maklumat daipada beberapa orang dalam Umno perihal salah menyalah antara pemimpin Umno ekoran pemilihan Rohaizat sebagai calon.

Berucap dalam ceramah kelompok di Kampung Petani, Saifuddin berkata masalah tersebut bertambah parah apabila bekas Presiden Umno Tun Mahathir Mohammad turut mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Rohaizat.

Umno di peringkat awal masih cuba untuk menutup isu tersebut melalui penjelasan para pimpinannya bagaimanapun perkembangan demi perkembangan yang berlaku di Permatang Pasir teruamanya kemunculan Yusri Isahak yang berceramah dipentas PAS semakin menyukarkan parti itu.

Yusri merupakan rakan kongsi Rohaizat dalam bidang guaman yang cuba disalahkan berhubung penggunaan wang koperasi pekebun getah oleh firma guaman mereka.

Yusri muncul dihari ketiga berkempen untuk menjelaskan perkara sebenar serta membersihkan namanya - satu tindakan yang semakin memberi tekanan kepada Umno.

Saifuddin mengulas lanjut perkembangan tersebut berkata, pimpinan Umno sepatutnya tidak perlu tunding menunding antara satu sama lain kerana rekod kesalahan moral Rohaizad sebenarnya telah didedahkan sebelum hari penamaan calon lagi.

Kata beliau, Rohaizad sewaktu diambil tindakan oleh Bar Council melalui jawatankuasa disiplin badan itu adalah ketika badan (disiplin) itu dipengerusikan oleh salah seorang pimpinan Umno Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman.

Tan Sri Khalid juga merupakan Pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu Tan Sri Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri berada di luar negara.

"Beliau (Tan Sri Khalid) juga salah seorang ahli lembaga disiplin Umno, jadi tidak timbul soal tidak tahu latar belakang Rohaizad ini," katanya.

PESANAN TOK GURU NIK AZIZ

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pengundi Permatang Pasir mengekalkan kerusi yang dimenangi PAS ini dengan majoriti lebih besar.

"Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno-BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

"Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. "Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. Insya-Allah, ini akan berlaku tidak lama lagi," kata beliau dalam teks pesanan yang diperoleh petang tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, melihatkan trend sokongan bukan Islam kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah membawa kemenangan Datuk Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, "Saya cukup mempunyai keyakinan."

"Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 (Permatang Pasir) ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009.

"Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno-BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang," katanya.

Beliau juga meminta agar digunakan kesempatan pilihan raya kecil kali ini dengan penuh cermat.

"Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan itu pernah membawa kemenangan yang besar?

"Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekali gus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidakadilan," katanya lagi.

Search This Blog