Saturday, July 25, 2009

Resipi keadilan Umno berbeza dari tuntutan rakyat

Nampaknya apa yang diputuskan oleh kerajaan ketika membentuk suruhanjaya diraja ekoran kematian Teoh Beng Hock berbeza dengan selera dan kehendak rakyat.

Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang, Ahmad Nizam Hamid, dalam ulasannya tentang keputusan kabinet ini menyifatkan ianya sebagai petunjuk tentang selera parti pemerintah, Umno dan BN terhadap keadilan.

Bagi Nizam, Suruhanjaya Siasatan DiRaja itu adalah resipi ciptaan Umno dan BN, dengan ramuannya adalah “terms of reference” yang sangat berbeza dengan apa yang diperkirakan oleh rakyat terbanyak.

Pandangan beliau ini turut dikongsi bersama oleh rakan-rakan peguam beliau dari Johor Bar dalam perbualannya dengan mereka.

Kabinet, dalam keputusannya bersetuju menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan SiRaja bagi menyiasat dan meneliti kaedah soal-siasat SPRM terhadap Teoh.

Teoh ditemui mati pada tengahari Julai 16 lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan Ibu Pejabat SPRM Selangor, setelah sehari sebelumnya mendiang dibawa ke sana untuk disoal-siasat berkaitan tuduhan salahguna wang peruntukan oleh ADUN Pakatan Rakyat Selangor.

Sedangkan, menurut Nizam lagi, juga pendapat rakan-rakan peguamnya dari Johor, pengwujudan suruhanjaya ini dengan sengaja telah meminggirkan terma rujukan siasatan paling penting iaitu bagaimana dan apa sebab kematian Teoh.

Nizam percaya, pandangan undang-undang ini bukan sekadar berlegar di fikiran para peguam, tetapi juga turut dikongsi oleh majoriti rakyat, khususnya dari ahli keluarga mendiang Teoh.

Mereka tegas Nizam, mahukan penjelasan sebenar dan konkrit tentang punca dan sebab kematian Teoh.

Jika “terms of reference” Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini tidak diubah dan diluaskan, nyatalah usul Nizam, Suruhanjaya ini hanyalah satu bentuk pengaburan dan cubaan cuci tangan.

Kerajaan Umno dan BN, pimpinan Najib Tun Razak kelihatannya sedang cuba mencabar intelektualiti rakyat, seperti mahu memberitahu, “kamu semua minta, kerajaan dah buat, sudahlah!” Seolah-olah seperti mengandaikan rakyat adalah golongan yang tidak pandai dan tidak tahu berfikir.

Padahal rakyat, bila mendepani isu kematian Teoh ini, mempunyai “terms of reference” mereka sendiri, resipi mereka sendiri, resipi yang universal dan sejagat.

Amatlah mengejutkan bila tiba-tiba mesyuarat kabinet keluar dengan resipi Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang kurang manis dan kurang masinnya. Langsung bertentangan dengan selera rakyat.

Jelaslah, Kerajaan Umno dan BN tidak boleh makan sedulang dengan rakyat, selera tidak sama! Jika dipaksa juga, tentu akan ada yang patah selera.

Kuliah isu babi untuk Umno Kedah

UNTUK kali ketiga Umno di Kedah telah berjaya menghasut orang kampung untuk mengadakan demonstrasi membantah (apa yang disifatkan mereka) kewujudan pusat ternakan babi di tempat mereka.

Demonstrasi yang diadakan di Sungai Tok Pawang itu mengecam kerajaan negeri kerana kononnya membenarkan pembukaan pusat babi di kampung itu.

Demonstrasi pertama berhubung isu babi ini didakan di Jabi. Ia diikuti dengan demonstrasi di hadapan Majlis Daerah Pendang. Semua dalang dalam demonstrasi itu adalah pemimpin Umno tempatan. Buktinya setiap kali demonstrasi diadakan, pemimpin Umno yang turut hadir muncul memberi ulasan.

Babi sangat sensitif dengan orang Melayu. Mudah sangat bagi Umno membangkitkan kemarahan orang kampung (yang tidak faham isu sebenar) terhadap pihak lain, terutamanya terhadap kerajaan negeri Kedah, iaitu hanya dengan menjaja cerita kononnya kerajaan negeri akan membenarkan pusat babi akan dibuka di kampung mereka.

Sejak dulu, kini dan selamanya, Umno akan terus menerus memperdaya orang Melayu dengan isu-isu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Saya pernah menulis keluaran lalu bahawa kewujudan pusat pemotongan babi tidak semudah membuka gerai roti canai tepi jalan. Tetapi hendak menjelaskan sesuatu isu kepada Umno bukan perkara mudah.

Hendak cerita bab hukum hudud terpaksa ambil masa berpuluh tahun untuk fahamkan mereka (itu pun sampai sekarang masih belum faham) inikan pula nak cerita isu babi yang tidak pernah tercatat dalam mana-mana kitab terdahulu dan tidak diajar pula di surau-surau.

Saya akan cuba menceritakan dalam bahasa yang mudah difahami oleh ahli-ahli Umno supaya lepas ini mereka tidak ghairah lagi untuk adakan demonstrasi demi demonstrasi setiap kali terdengar ura-ura pusat pemotongan babi akan diadakan di sesuatu tempat.

Cadangan dari pengusaha

Pertama, cadangan mewujudkan pusat pemotongan babi mestilah datangnya dari pengusaha. Ia bukan datang dari Menteri Besar atau anggota Exconya. Menteri Besar dan Exco bukan pengusaha babi.

Banyak kerja lain mereka nak buat untuk kesejahteraan rakyat. Pengusahalah yang mesti bertungkus lumus ke hulu ke hilir mencari tapak yang difikirkan sesuai.

Jika dalam setiap demonstrasi isu babi tajaan Umno mereka mengecam kerajaan negeri kerana kononnya bercadang 'mahu membuka pusat babi', itu adalah tuduhan tidak betul. Cadangan lokasi semuanya datang dari pengusaha.

Lokasi di Jabi, Pendang dan Sungai Tok Pawang; semuanya baru di peringkat cadangan. Sewaktu peringkat cadangan, Umno tidak perlu kerah orang kampung membantah lagi kerana terdapat beberapa proses yang terpaksa dilalui oleh pengusaha.

Setelah pihak berkuasa tempatan menyiasat Jabi dan Pendang, ia tidak sesuai kerana tiada zon penampan dengan kawasan penempatan orang ramai.

Di mana tempat pun pengusaha perlu dapatkan sokongan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan, pihak penguasa tanah dan Jabatan Alam Sekitar. Semua jabatan tersebut menetapkan piawaian tertentu sebelum memberi kelulusan. Salah satu jabatan tidak beri sokongan maka permohonan akan tertolak. Pengusaha perlu cari lokasi lain pula.

Mungkin pengusaha boleh guna 'cara mudah' iaitu menyogok pegawai dari jabatan yang memberi kelulusan. Tapi kaedah itu juga sukar untuk berlaku kerana para pegawai tahu dosa pahala, atau sekurang-kurangnya mereka takut akan siasatan SPRM.

Mereka mungkin pernah bermimpi dibelasah dan dihumban melalui tingkap oleh penyiasat SPRM. Walaupun cuma mimpi, tapi menakutkan juga.

Selepas tiga pihak tadi memberi kelulusan, barulah sokongannya diajukan kepada menteri berkaitan. Menteri yang berhak keluarkan permit pusat pemotongan babi, berasaskan sokongan tiga pihak tadi. Menteri juga berhak untuk tidak keluarkan permit walaupun disokong tiga jabatan tadi.

Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah yang dianggap sebagai bakal Menteri Besar Kedah oleh sebahagian ahli Umno menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak menjelaskan kepada penduduk tempatan mengenai pembukaan pusat pemotongan babi. Sebab itulah, katanya, berlaku demonstrasi bantahan oleh penduduk. Dato' Bashah rupanya termasuk di kalangan ahli Umno yang tidak faham.

Kerajaan akan menerangkan kepada rakyat setelah lokasi tersebut diluluskan oleh Menteri. Pihak berkuasa tanah, kerajaan tempatan dan Jabatan Alam Sekitar akan diminta memberi penjelasan kepada penduduk tempatan. Kalau baru di peringkat cadangan, apa yang hendak dijelaskan kepada rakyat? Lulus ke tidak pun belum tahu.

Umno nampaknya beriya-iya sangat nak menjuarai isu babi bagi menarik sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Sebenarnya mereka tersilap. Penutupan pusat babi haram di Kampung Berjaya yang tidak dapat dilakukan oleh Umno selama 30 tahun, sewaktu jadi kerajaan, cukup untuk jadi pukulan maut kepada Umno.

Umno patut cari isu lain untuk mencari pengaruh, bukan isu babi. Walhal sewaktu jadi kerajaan dulu, Umno tidak pernah sentuh isu babi.

Di Sungai Tok Pawang. Nun dicelah bukit sana dikhabarkan terdapat ladang babi haram yang dibuka secara kecil-kecilan. Orang kampung semua tahu, tapi tidak pula kedengaran dulu Umno mengadakan demonstrasi membantah.

Tiba-tiba apabila terdapat ura-ura sebuah pusat pemotongan babi mahu diwujudkan di situ, wujud pula bantahan. Sepatutnya mereka lega dengan adanya pusat pemotongan sebab ia akan 'menghapuskan' babi-babi yang diternak.

Pernah terjadi sewaktu bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sedang berucap di sebuah perhimpunan rakyat yang diadakan di sebuah kampung Siam di Daerah Pendang, seekor babi terlepas dari kandang dan meluru di celah-celah orang ramai sehingga menimbulkan kegemparan.

Secara spontan Dr Mahathir berkata, "Biag pi lah, dia pun nak mai dengag (ucapan) jugak ...."

Di sekitar perkampungan masyarakat keturunan Siam itu, mereka membela babi macam orang Melayu bela kambing empat lima ekor di tepi rumah. Tidak pernah terdengar pula sejak dulu ahli-ahli Umno atau wakil rakyat BN setempat buat demonstrasi membantah orang Siam bela babi dalam kampung.

Sekarang baru nak jadi juara babi, tak payahlah

Friday, July 24, 2009

Inkues, s'jaya 'perolok keadilan'

Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan menubuhkan suruhanjaya diraja dan inkues – dengan dua bidang kuasa berbeza – bagi menyiasat kematian misteri Teoh Beng Hock sebagai "memperolok-olokkan keadilan, kebenaran dan ketelusan".

"Kunci persoalan bagaimana Teoh meninggal dunia mesti juga disiasat (oleh suruhanjaya diraja) dan dijawab.

"Persoalan ini tidak boleh diasingkan daripada isu umum tentang bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mengendalikan siasatan.

"Tidak perlu untuk inkues ini diteruskan. Suruhanjaya diraja patut menyiasat keadaan kematiannya. Kami juga mempunyai keraguan yang serius terhadap keberkesanan inkues tersebut," kata Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah.

Beliau, yang juga seorang peguam, membacakan kenyataan bersama mereka dengan ahli jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Menurut mereka, inkues yang pernah dijalankan sebelum ini membuktikan bahawa majistret terikat dengan bukti yang dikemukakan oleh saksi-saksi polis yang menyiasat kes kematian tersebut.

Sivarasa menambah, majistret yang bakal mengendalikan inkues tersebut turut terikat dengan timbalan pendakwa raya dan Jabatan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

"Pakatan Rakyat oleh itu menuntut bidang kuasa suruhanjaya diraja diperluaskan untuk untuk merangkumi kes kematian Teoh. Jika tidak, persoalan terpenting tentang kematiannya tidak akan menawarkan jawapan yang memuaskan orang ramai," katanya.

Sivarasa turut mempertikaikan siasatan polis dalam kes kematian Teoh kerana, menurutnya, banyak soalan yang tidak relevan diajukan kepada saksi, antaranya sama ada "mendiang seorang perokok".

Katanya, beliau difahamkan, polis turut menyoal sama ada saksi berasa ganjil terhadap perlakuan Teoh sebelum ia meninggal dunia dan kenapa Teoh dibawa ke SPRM.

Sementara itu, Dr Dzulkefly pula berkata, siasatan dua badan berbeza terhadap kes itu akan memungkinkan dapatan yang berbeza.

"Jika ini berlaku, ini menjadi krisis yang lebih parah," katanya, yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Beliau juga menyifatkan penubuhan pelbagai badan bagi menyiasat kes tersebut sebagai "membazirkan wang wakyat."

Lau pula menuntut pemimpin parti komponen lain dalam BN yang sebelum ini turut mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja itu agar menunjukkan "pendirian yang lebih jelas" selepas kabinet membuat keputusan semalam.

"Kita tidak dapat lihat pendirian mereka. Kita minta mereka bertanggungjawab terhadap apa yang mereka suarakan sebelum ini," katanya.

Ketiga-tiga pemimpin Pakatan itu bagaimanapun belum membincangkan nama yang akan dicadangkan bagi mengepalai suruhanjaya diraja tersebut walaupun DAP Pulau Pinang sebelum ini mencadangkan nama naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

"Soal bidang kuasa suruhanjaya diraja ini yang mesti kita selesaikan dahulu," kata Sivarasa.

Karib Adakan 'Road Show' Promosikan Hari Pekerja 2009

Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (Karib) sedang giat mengadakan 'road show' mempromosikan 'Himpunan Pekerja 2009 dan Wacana Kebangsaan Kali ke-4' yang bakal diadakan di Komplek Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas pada 26 Julai mulai 8.00 pagi sehingga 12.00 malam.

Pengerusi Karib, Bukhori Ghazali semasa pertemuan dengannya di Komplek Dato' Kailan, Kepala Batas pagi semalam menegaskan, memandangkan program berkenaan merupakan program besar, Karib membuat keputusan untuk membantu secara menyeluruh agar program yang diatur mencapai sasaran.

Lagipun, Karib terlibat secara langsung sebagai pengajur bersama di samping Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kepala Batas yang akan bertindak sebagai agen sebaran serta kakitangan untuk memastikan ianya berjalan lancar.

Slogan 'Selamatkan Pekerja di Era Kemelesetan Ekonomi' diguna pakai sebagai batu loncatan untuk bersama-sama berfikir bagaimana masalah ekonomi yang meruntun kehidupan rakyat kini dapat diatasi.

Penganjur sebenar katanya, ialah Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat yang diterajui oleh Haji Mohd Anuar Tahir di mana majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman.

Sesi sembang pekerja dengan tajuk Selamatkan Pekerja di Era Kemelesetan Ekonomi itu dipengerusikan oleh Wan Kharizal Wan Kazim manakala ahli panelnya ialah Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, Mantan Pengerusi Lajnah Pekerja, Haji Mohamad Sabu dan Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Haji Anuar Tahir.

Pada sebelah malamnya pula satu siri ceramah diadakan di Stadium Mini MPSP, dan di antara pemidato yang dijemput khas untuk mengupas isu terkini negara ialah Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Profesor P. Ramasamy, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf dan Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Bukhori lagi, selain mereka yang datang melihat wacana pengunjung boleh juga singgah ke program Sukaneka Pasti kawasan Kepala Batas yang diadakan bersebelahan bangunan MPSP.

'Road show' semalam singgah di beberapa lokasi seperti Pekan Lama Kepala Batas, Komplek Dato' Kailan, Sunway Carnival Seberang Jaya, Mega Mall Jalan Baru, Summit Bukit Mertajam, Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) dan Hospital Besar Pulau Pinang.

Thursday, July 23, 2009

Kelantan berhak terima Royalti - Razaleigh Hamzah

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah berkata Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil carigali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri dan justeru itu tidak berhak untuk menahan pembayaran royalti kepada negeri itu.berkenaan


Dalam temubual khas bersama Suara Keadilan, beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata peruntukan dalam perjanjian itu hendaklah dihormati serta dipatuhi.

“Perkara ini tidak patut menjadi isu kerana kita telah menandatangani persetujuan meletakkan hak minyak kepada Petronas iaitu kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain sudahpun bersetuju sekiranya minyak ditemui dalam kawasan milik negeri berkenaan.

“Tetapi dalam hal ini, minyak ditemui di luar persisiran pantai, yang dimajukan bersama dengan Thailand. Namun begitu sebahagian daripada kawasan terlibat berhampiran dengan negeri Kelantan. Merujuk kepada perjanjian milik minyak tadi, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak,” tegas Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang menggubal perjanjian asal Petronas pada awal 1970an.

Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian yang sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai.

Petronas sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi hak kepada negeri itu mendapat royalti 5 peratus setahun sama ada onshore (daratan) atau offshore (lautan).

Menurut Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 terdapat peruntukan dalam akta itu untuk membayar kepada mana-mana pihak yang terlibat. Akta itu juga tidak menafikan pembayaran royalti mana-mana pihak termasuk kepada kerajaan negeri Kelantan.

Kerajaan Barisan Nasional berkata Kelantan tidak berhak kepada minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri itu, walaupun amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak meskipun penyedutan minyak berlaku lebih 200 kilometer di laut luas.

Menteri Penerangan Dr Rais Yatim dengan angkuh berkata royalti minyak kepada negeri-negeri terletak sepenuhnya di bawah sifat ehsan dan belas kasihan Kerajaan Pusat dan bukannya hak rakyat Kelantan atau rakyat mana-mana negeri.

Rais juga berkata kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menyanggah tuntutan Kelantan itu, namun sehingga ke hari ini Petronas belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu ini.

Tengku Razaleigh berkata semua pihak harus menjurus kepada keikhlasan untuk membela rakyat miskin.

“Saya tidak tahu kenapa ini boleh menjadi isu kerana semasa kita buat perjanjian ini, kita sudahpun fikir kedudukan negeri Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu yang merupakan negeri-negeri miskin, dan sememangnya patut hasil dari keuntungan minyak ini diberi kepada rakyat di negeri-negeri miskin ini untuk mengimbangi pembangunan di negeri-negeri lain yang sudahpun maju.

“Saya telah menandatangani perjanjian bersama kerajaan-kerajaan negeri lain. Kalaulah benar Petronas telah dapat faedah dari minyak yang diusahasama ini, maka berkewajikan Petronas membayar kepada kerajaan negeri Kelantan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Selaku bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh berharap tidak ada pihak yang mempolitikkan isu ini.

“Kita sedar bahawa kawasan-kawasan minyak ini terletak dibawah Kerajaan Pusat namun harus difahamkan juga bahawa perjanjian yang kita buat ini adalah untuk membantu negeri-negeri ini, apatah lagi negeri-negeri miskin. Jadi patut hasil minyak ini diberi kepada mereka.

“Saya telah bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, untuk merumuskan perjanjian memberi 5 peratus ini, dengan satu matlamat yang jelas iaitu membantu negeri-negeri berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Pusat juga bertanggungjawab untuk menjana pembangunan di negeri-negeri terbabit selain dari lima peratus itu. Jadi tidak perlu diungkitkan lagi dan tidak patut jadi isu kalau Petronas sendiri mengaut keuntungan dari perjanjian ini, maka berkewajipan untuk memberi royalti kepada negeri terbabit,” tegas Tengku Razaleigh.

Wednesday, July 22, 2009

Inkues cari punca kematian Teoh

Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Dalam sidang media yang dinanti-nantikanitu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.

Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.

Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.

Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi
menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan
suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".

Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.

Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna
peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.

"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.

Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan
berlakunya kematian Teoh.

Apa status kes 54 Adun BN Selangor habiskan RM 27 juta?

Jaraknya tidak sampai setahun selepas peristiwa kematian A.Kugan semasa di dalam tahanan polis, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan tragedi ngeri kematian misteri Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Beng Hock dilaporkan ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu penyalahgunaan wang peruntukan melibatkan beberapa Adun Pakatan Rakyat negeri Selangor.

Tragedi tersebut menggamit pelbagai persepsi tidak menyenangkan terhadap pihak berkuasa tempatan. Di mana piagam kerajaan dalam menjamin keselamatan suspek semasa menjalani proses siasatan?

Apatah lagi siasatan ke atas Beng Hock dilihat agak luar biasa apabila memakan masa terlalu lama (kira-kira 10 jam). Modus operandi itu secara tidak langsung menimbulkan unsur penderaan mental sekaligus bersalahan dengan etika hak asasi manusia.

Justeru, tidak ada cacatnya desakan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan kerana tragedi tersebut memberi kesan besar kepada iltizam rakyat yang ingin melihat sesuatu perkara itu dari sudut keadilan.

Tindakan mengunci suara mana-mana individu yang cuba melontarkan pandangan atau pendapatnya terhadap perkara yang berlaku menggambarkan bayangan seram pemimpin kerajaan cuba menyembunyikan kemungkaran di sebalik telunjuk sendiri.

Tidak mampu! Bahkan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara.

Perspektif kerajaan adil tidak menepati kretirearnya selagi hak kebebasan rakyat bersuara masih diganggu-gugat dengan sekatan atau ugutan. Konsep 1Malaysia rakyat didahulukan, hanya sia-sia jika gagal mencipta satu dimensi baru secara keseluruhan buat rakyat.

Kalau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, sendiri boleh berspekulatif, kematian mangsa berpunca dari terjun bangunan, kenapa tidak dibolehkan rakyat turut berspekulatif ia adalah dari kejahatan SPRM berdasarkan kaitan 'environment'.

Sebelum ini, beberapa orang penyokong Dato� Norza Zakaria, calon Majlis Tertinggi Umno telah membuat laporan polis bahawa mereka telah didera dan diseksa oleh SPRM semasa soal siasat dilakukan ke atas mereka berkaitan rasuah melibatkan Norza.

Justeru cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bukan menjurus kepada satu aspek tragedi kematian Beng Hock, tetapi apa yang lebih jauh dari itu ialah tahap keintegritiannya terhadap sesuatu kes.

SPRM mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009. Sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia. Ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (Akta 694).

Ia ditubuh bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi suruhanjaya.

Sebaliknya hari ini SPRM dilihat gagal membuktikan peranannya menyebabkan ramai orang mempertikaikan kredibilitinya seolah-olah mengamalkan polisi 'double standard'.

Jika Beng Hock bersama Adun-Adun Pakatan yang lain SPRM boleh seagresif itu dalam menjalankan siasatannya, tetapi kenapa tidak terhadap beberapa pemimpin BN yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah bernilai jutaan ringgit?

Sebagaimana kes berlaku di Selangor sebelum pilihan raya umum 8 Mac 2008 melibatkan wang peruntukan Adun BN yang berjumlah RM500,000 dihabiskan dalam tempoh 50 hari merangkumi jumlah keseluruhan (54 Adun) sebanyak RM27 juta?

Dan kemana hilangnya aduan terhadap individu terbabit dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.5 bilion, serta istana bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, mencecah RM24 juta melebihi pendapatan asalnya di samping lawatannya ke Disneyland yang menelan belanja hampir RM1.8 juta.

Ringkasnya, ke mana pergi laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa pemimpin BN tidak dipedulikan SPRM? Rakyat menuntut jawapan tegas tanpa sebarang unsur politik.

Kegagalan SPRM berbuat demikian bermakna SPRM telah mencalar polisi kebebasannya sendiri yang boleh dianggap penubuhannya adalah semata-mata untuk menjadi kuda tunggangan Umno-BN bagi melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Kekalahan PAS Di Manek Urai

PAS sebenarnya kalah di Manek Urai…

1. Kalah dari segi janji-janji pembangunan
2. Kalah dari segi taraf akademik calon
3. Kalah dari segi curahan wang ringgit secara tunai
4. Kalah dari segi sokongan media cetak dan elektronik
5. Kalah dari segi sokongan agensi kerajaan
6. Kalah dari segi bilangan undi yang merosot
7. Kalah dari segi kemudahan jentera pilihanraya

Walaupun PAS memang dengan 65 undi, sewajarnya PAS membuat satu post-mortem (muhasabah) dan kajian mendalam dalam mencari punca kalahnya PAS di Manek Urai dalam keadaan situasi UMNO/BN yang telah goyah.

PAS sepatutnya boleh menang dengan selesa, namun beberapa tindakan pimpinan yang bertelagah sesama sendiri yang telah dibuka pekungnya oleh media cetak dan elektronik secara tidak langsung berjaya di”embedded”kan kedalam otak para pengundi.

Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya pada masa ini dalam proses pembersihan organisasinya dan meneruskan kerja keras untuk menunaikan semua janji-janji sebelum PRU12 dahulu. Ketiga-tiga komponen dalam PR (PAS, DAP dan PKR) perlu bergerak seiring dan tidak bertelagah sesama sendiri. Ujudkan satu mekanisma untuk menyaring semua maklumat dan satu jawatankuasa umum yang memantau semua perjalanan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR.

Ini penting demi untuk kelangsungan Pakatan Rakyat dan bagaimana ianya memberikan contoh terbaik demi mencorakkan pentadbiran yang telus, cekap dan amanah.

Isu-isu seperti kes pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya dan isu perumahan di Kampung Buah Pala sepatutnya ditangani dengan baik oleh jawatankuasa umum sebelum ianya dijadikan bahan peluru oleh media massa milik UMNO/BN untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang sepatutnya dibawa kepada perhatian jawatankuasa khas Pakatan Rakyat (JKPR) untuk disiasat dan diselesaikan mengikut lunas-lunas undang-undang yang sepatutnya tanpa perlu mendapat liputan luas oleh media yang sebenarnya cuba untuk melaga-lagakan dan memerangkap PR.

ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sewajarnya digalakkan kurang memberikan komentar secara terbuka kepada mana-mana media cetak dan elektronik demi untuk mengelakkan disalah takrifkan atau disalah tafsirkan untuk kepentingan media tersebut. Adalah lebih baik sekiranya ditetapkan bahawasanya hanya jurucakap JKPR sahaja yang dibenarkan untuk memberikan komentar dan ulasan.

Kepada Pimpinan Pakatan Rakyat, saya menyeru agar anda dengan segera menubuhkan JKPR ini demi untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada dipecah belahkan oleh media milik UMNO/BN dan sekutunya.

Tuesday, July 21, 2009

DSAI berhubung laporan polis beliau yang dibuat pada 21 Julai 2009

Hari ini saya telahpun membuat dua laporan berasingan di Balai Polis Damansara.

Laporan polis pertama adalah berkaitan prosiding perbicaraan saya di mana saya telah pun menfailkan permohonan mengenepikan pertuduhan yang dikenakan ke atas saya kerana ianya merupakan satu konspirasi politik berniat jahat.

Affidavit yang saya kemukakan untuk menyokong permohonan menolak pertuduhan terhadap saya, menjelaskan dari perenggan 53 sehingga 63 bagaimana Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan terlibat di dalam membuat laporan palsu oleh ACP Koh Hong Sun berhubung penahanan saya di bawah ISA pada 20/21 September 1998. Gani dan Musa juga terlibat memalsukan bukti di dalam siasatan serangan ke atas saya oleh Tan Sri Rahim Noor. Ini antara contoh peranan kedua-dua mereka sehingga kini yang terlibat di dalam konspirasi politik dan memalsukan keterangan/bukti terhadap saya.

Dato Razak bin Musa (Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM) dan Hanafiah bin Hj Zakariah (Timbalan Pendakwa Raya yang berada di dalam pasukan pendakwaan) telah menfailkan affidavit bertarikh 30 Jun 2009.

Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam affidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan di dalam prosiding mahkamah nanti. Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian dari konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu.

Razak dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi, walaupun sudah mengangkat sumpah, dengan berkata panel yang dianggotai oleh tiga hakim bersara (Datuk Kadir bin Sulaiman, Datuk Wira Mohd Noor bin Ahmad dan Datuk Mohama Noor bin Abdullah) telah mendapati Gani tidal terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah. Razak selaku ketua jabatan perundangan dan pendakwaan SPRM sewajarnya menyedari sekurang-kurangnya seorang ahli panel dari tiga hakim tersebut mendapati Gani sememangnya melakukan kesalahan jenayah.

Hanafiah pula selaku Timbalan Pendakwaraya Kanan semestinya sudah menyiasat dan meneliti fakta-fakta tersebut sebelum memasukkan affidavit Razak yang mengandungi kenyataan palsu ke dalam affidavit pendakwaan.

Laporan polis kedua yang saya kemukakan berhubung kegagalan pihak polis untuk menyiasat laporan yang dibuat oleh saya pada 20 Febuari 2009 ke atas Gani dan Musa berkaitan peranan mereka memalsukan laporan polis berkaitan penahanan saya pada 20 September 1998 yang difailkan oleh ACP Koh Hong Sun.

Peguam cara saya telah menghantar surat bertarikh 23 April 2009 kepada OCS Balai Damansara untuk mengetahui status laporan, namun sehingga ke saat ini belum ada sebarang jawapan.

Datuk Hishamuddin Hussein di dalam jawapan yang bertarikh 22hb terhadap soalan yang dikemukakan oleh YB Sivarasa di dalam Parlimen berkata laporan yang dikemukakan saya telah pun dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut pada keesokan harinya (21 Febuari 2009).

Peguam saya kemudiannya menghantar surat bertarikh 26 Jun 2009 kepada SPRM bertujuan untuk mengetahui kedudukan penyiasatan kerana kami belum mendapat sebarang maklum balas dari mereka selama ini.

Kami terkejut apabila menerima maklumbalas bertulis bertarikh 10 Julai 2009 yang menyatakan mereka telah menerima laporan tersebut, telah menelitinya dan mendapati kesalahan yang didakwa berlaku adalah luar dari bidangkuasa mereka. Mereka merujuk semula laporan tersebut kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya. Adalah munasabah untuk menganggap SPRM selepas membuat kesimpulan sedemikian merujuk kepada PDRM sesegera mungkin.

Pertamanya, ini bermakna PDRM dan pegawai Kementerian Dalam Negeri telah menyebabkan Menteri Datuk Hishamuddin mengelirukan Parlimen dengan mengemukakan jawapan pada 22 Jun 2009 bahawa laporan tersebut sekian lama ada di SPRM sejak dari 21 Febuari 2009 untuk tindakan lanjut

Kedua, pihak polis yang menerima semula laporan tersebut dari SPRM (yang menerimanya pada penghujung Febuari 2009) gagal untuk berbuat apa-apa. Kesimpulannya adalah jelas wujud satu perancangan di dalam PDRM untuk memastikan tidak ada tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh saya serta memastikan jenayah yang berlaku di sembunyikan. Oleh kerana laporan saya ini menyatakan Gani dan Musa Hassan (Ketua Polis Negara) terbabit memalsukan laporan, usaha menutup serta menyembunyikan dakwaan saya ini pastinya datang dari pihak atasan.

Oleh kerana SPRM menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyiasat dan pihak polis hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan, ianya jelas kepada saya bahawa Gani dan Musa dilindungi secara politik demi menyembunyikan peranan yang dimainkan mereka di dalam merekayasa pertuduhan palsu terhadap saya pada tahun 1998 dan sekarang.

Muhyiddin penipu

Pemimpin Umno meneruskan tradisi mereka yang hanya pandai menabur janji tapi tidak tahu menunaikannya dalam kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

Antara janji yang dibuat dalam kempen mereka termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Petronas menjelaskan kepada rakyat Kelantan khususnya pengundi Manek Urai kenapa negeri yang ditadbir oleh PAS sejak 19 tahun lalu tidak layak untuk menerima royalti Petroleum seperti yang didedahkan oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob menegaskan, sehingga hari mengundi (14 Julai) tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang ke Manek Urai untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum kepada Kelantan.

Tegas beliau, pengundi-pengundi di Manek Urai dan rakyat Kelantan menunggu kehadiran wakil atau pegawai Petronas seperti dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum yang dituntut oleh pentadbiran Kelantan.

"Hingga hari mengundi tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang menjelaskan kepada pengundi di Manek Urai kenapa Kelantan tidak layak untuk memperolehi royalti petroleum.

"Sebelum ini, Muhyiddin berjanji akan memastikan wakil atau pegawai Petronas akan datang menjelaskan dengan terperinci apa sebab Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum.

"Tapi bila tidak datang ia menunjukkan sikap pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang telah menipu rakyat Kelantan," tegas Salahuddin.

Tegas beliau lagi, kegagalan untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti Petroleum membuktikan kerajaan sebenarnya menafikan hak rakyat Kelantan untuk menikmati royalti seperti mana rakyat negeri lain.

Menafikan hak Kelantan itu, tegas Salahuddin bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno menganaktirikan rakyat Kelantan tidak seperti mana yang mereka janjikan.

Isu royalti petroleum hangat ketika kempen pilihanraya kecil Dun Manek Urai bila Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa mendedahkan kegagalan kerajaan BN menyerahkan royalti petroleum berjumlah RM1 bilon kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Bagi mengelakkan dari membayar royalti tersebut, kerajaan BN berusaha menafikan hak rakyat Kelantan dengan berjanji akan mengarahkan Petronas untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti yang dituntut oleh pentadbiran PAS.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri minggu lepas berjanji akan mengarahkan Petronas memberikan penjelaskan kepada rakyat Kelantan sebelum hari pengundian di Manek Urai.

Kegagalan membawa mana-mana wakil atau pegawai Petronas menjelaskan mengenai isu royalti Petroleum itu membuktikan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamad telah menipu rakyat Kelantan.

Monday, July 20, 2009

Mengapa SPRM ......kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock

Mengapa SPRM begitu rakus untuk menyiasat dakwaan terhadap Pakatan Rakyat hingga menyebabkan kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock. Ada juga kata beliau membunuh diri.

Takkanlah beliau nak bunuh diri sedangkan beliau hanyalah sebagai saksi dalam kes pembelian bendera RM2,400 sahaja dan beliau juga akan berkahwin keesokkan harinya. Kes anak toyol RM26.6 juta. Kenapa SPRM tak bersunggoh nak siasat. 'Double Standard' SPRM amat nyata.

Sementara itu Pakatan Rakyat pula akan jelajah satu Malaysia untuk memberi penerangan dan membela kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock di Pejabat SPRM.

Rakyat juga tidak pernah lupa skandal PKFZ bernilai RM4 .6 bilion, skandal Port Klang Free Zone ini menaikkan nama pelbagai tokoh dari UMNO, MCA malah SUPP di Sarawak!

Jadi kepada suara-suara UMNO yang terpekik terlolong nak menghunus keris kepada sesiapa yang mencabar DEB, apa kata tumpu perhatian kes ini dan lihat siapa yang mendapat manfaat kerugian RM4.6 bilion ini. Nelayan Melayu? Petani Melayu? Pekerja Melayu? Atau mereka dan keluarga mereka?

Untuk makluman semua, RM4.6 bilion cukup untuk:

Membina 100,000 unit rumah untuk penduduk setinggan, rakyat termiskin dan kakitangan kerajaan
Membina 50 hospital baru dan meningkatkan kelengkapan dan kemudahan di semua hospital dan klinik kerajaan
Meningkatkan pemberian biasiswa persekutuan dari 1.5 juta murid kepada 7.5 juta murid
Membina 200 sekolah yang baru
Menjalankan latihan kemahiran untuk 315 ribu orang, meningkat dari 12 ribu sekarang
Meningkatkan pembiayaan pembangunan untuk keselamatan dalam negeri sebanyak 75% dari 2006-2010

Mana Pejuang Pemuda UMNO?

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

UMNO tidak ikut Islam

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib mendakwa pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun tidak mengamalkan prinsip asas keislaman kerana banyak banyak mencabar ayat-ayat suci al-Quran dan Sunnah.

Beliau berkata, ini dapat dilihat pelbagai masalah yang dihadapi kerajaan sekarang seperti keselamatan, jenayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan dan sebagainya.

“Masalah ini terjadi kerana kepimpinan BN tidak menghayati kandungan Islam yang sebenar. Jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan Allah dan menabikan Muhammad SAW, landasan sebenar perlu dituruti.

“Kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain?” katanya, semalam.

Sekiranya dibandingkan dengan kepimpinan Pas, beliau berkata, Pas memperjuangkan Islam agar menjadi akidah kepada negara dari segenap segi sama ada dari sudut pentadbiran, kehakiman atau sebagainya.

“Pendek kata, apa sahaja yang terkandung dalam dua kalimah syahadah iaitu ‘tiada tuhan disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’ akan diaplikasikan oleh Pas bukan sahaja dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara,” katanya.

Menurutnya, situasi sebeginilah yang membezakan antara UMNO dan Pas memandangkan dasar serta matlamat perjuangan yang dibawa jauh berbeza.

“Kita dapat lihat kepimpinan negara, terang-terangan menolak hukum Allah,” katanya.

Beliau berkata, UMNO membenarkan ‘Riddah’ atau murtad: berleluasa di samping mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Harun berkata, sekiranya hanya menghebohkan soal pembinaan masjid, semua dunia membina rumah Allah itu, namun pentadbiran mereka sama juga tidak mengikuti ajaran Islam.

“Status kedudukan pemimpin di negara barat dan timur yang sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO di Malaysia ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya masih wujud benih keimanan dalam hati pemimpin UMNO, beliau merayu mereka kembali bertaubat ke jalan Allah SWT.

Pakatan Rakyat mahu Suruhanjaya Diraja diumum esok

Menjelang upacara pengebumian Teoh Beng Hock esok, Pakatan Rakyat mengadakan "perhimpunan mencari keadilan" di sini petang tadi, sambil meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja segera bagi menyiasat kematian setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor itu.

Siri pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada majlis itu yang diadakan di Stadium Petaling Jaya bermula pukul 4.30 hingga 7 petang, mahu suruhanjaya ditubuhkan dengan segera, jika boleh esok.

Antara yang berucap ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusinya, Karpal Singh; Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Kira-kira 3,000 orang hadir pada majlis itu bagi menggambarkan 'kesatuan' di pihak pembangkang, lebih-lebih lagi selepas berakhirnya pilihan raya kecil Manek Urai.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja esok sebaik sahaja pulang ke tanah air.

"Sebagaimana kerajaan pernah lakukan pada 2005 untuk siasat kejadian rakaman gambar bogel suspek ketika berada dalam tahanan polis, yang penubuhan jawatankuasa khas ditubuhkan sebaik sahaja Perdana Menteri (ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi)kembali dari mesyuarat Komanel di Malta, Najib perlu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja esok," kata beliau dalam ucapannya.

Anaknya, Guan Eng, Khalid dan Husam serta rata-rata kesemua pemimpin menyatakan pendirian serupa dalam ucapan masing-masing.

Mereka juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dirombak ekoran kejadian minggu lalu.

Husam pula menggesa agar mesyuarat Kabinet khas diadakan esok, bukannya Rabu seperti biasa, bagi membincangkan isu berkenaan.

Ucapan mereka diselitkan dengan beberapa isu semasa lain beserta kewibawaan peranan SPRM dan polis.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan pelbagai pihak - termasuk kedua-dua pembangkang dan pemimpin kerajaan - akan diteliti dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Pagi tadi, Muhyiddin berkata, kematian Teoh telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu siasatan SPRM ke atas wakil-wakil rakyat mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu kematian itu dipolitikkan semasa SPRM sedang menjalankan siasatan ke atas anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dari Pakatan berhubung dengan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri yang diagihkan kepada wakil-wakil rakyat. Siasatan ke atas wakil rakyat pembangkang dalam kes penyalahgunaan peruntukan itu mungkin menunjukkan mereka juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kata Muhyiddin semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian Tanjung Karang.

Mayat Teoh, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira 1.30 tengah hari Khamis lalu.

Beliau merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sunday, July 19, 2009

BN Sudah DiTimpa Tangga

Kemasukan Dr Chua Jui Meng menyertai PKR merupakan satu tamparan yang cukup hebat kepada Umno@BN. Umno@BN bukan sahaja mengalami krisis keyakinan di kalangan rakyat bawahan tetapi mereka yang selama ini cukup setia kepada BN. Tempoh 23 tahun sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri, pernah menjadi Naib Presiden MCA dan menjadi menteri membuktikan bahawa Umno@@BN hari ini semakin hilang taring dan sengat.

Rekod serta kesetiaan pimpinan Umno@BN hari ini semakin goyah dengan perkembangan yang berlaku.

Isu kematian 'mengejut'Teo Beng Hock, 30 tahun sudah cukup mengejutkan Umno@BN apabila reaksi spontan dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari dari Umno@BN dan pihak pembangkang yang semakin meluat dengan gelagat dan tingkah laku Umno@BN sepanjang lebih setengah abad memerintah negara.

Apa yang berlaku dalam negara tidak lagi boleh diterima sehingga menyebabkan rakyat bertindak berani bangkit menolak kepimpinan Umno@BN yang selama ini cukup selesa menerajui negara.

Saya dapat merasakan akan ada lagi pemimpin Umno@BN mengikut jejak langkah Dr Chua Jui Meng untuk memacu Malaysia ke arah perubahan mewujudkan sistem pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan menjaga kebajikan rakyat.

SPRM calarkan imej Najib

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba untuk memulakan langkah 100 harinya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan apa yang disifatkan sebagai insentif dan faedah kepada rakyat Malaysia.

Insentif ini dikemukakan dengan tujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah PM yang lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang 'dipaksa' melepaskan jawatan akibat prestasi buruk Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.

Sebaik mengangkat sumpah, Najib memperkenalkan KPI (Key Performance Index atau Petunjuk Prestasi Utama) bagi mengukur dan menilai prestasi setiap Menteri diikuti dengan penilaian prestasi Kementerian, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.

KPI ini pada aspek pengurusan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mempertingkat ketulusan, kesungguhan dan keberkesanan seseorang Menteri atau agensi yang berkaitan.

Kononnya jika KPI dapat dilaksanakan sebaiknya, tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dapat dipertingkatkan.

Seterusnya Najib memperkenalkan konsep One Malaysia, khusus untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu yang semakin terhakis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Umno-BN sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat.

Kemudian Najib menyusuli langkahnya dengan membuat 11 pengumuman mesra rakyat yang dibuat bersempena genap 100 hari beliau menjadi PM, 12 Julai lepas.

Najib juga turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan Najib dengan tujuan untuk memurnikan persepsi rakyat terhadap kepimpinan barunya, tercalar dan dipertikaikan rakyat akibat kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh merupakan Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor dari DAP, Ean Yong Hian Wah, disoal siasat SPRM berhubung dengan dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri.

Kematian Teoh membuka persoalan yang sangat besar, bukan sahaja kematiannya menjadi suatu misteri yang harus disiasat dengan seadil-adilnya.

Malah, ianya membuka mata rakyat terhadap SPRM, yang sejak keujudannya gagal menampilkan imej sebagai sebuah badan professional, telus dan terkecuali daripada pengaruh pemimpin kerajaan Umno-BN.

Tindakan SPRM menyiasat dakwaan salahguna peruntukan Dun oleh Adun Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu tindakan yang bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan parti komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya SPRM langsung tidak memperdulikan, malah tidak langsung mengambil tindakan ke atas aduan rasuah yang dibuat terhadap ramai ahli politik Umno-Barisan Nasional terutamanya Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dan yang terlibat dalam skandal PKFZ.

SPRM menunjukkan bahawa ia berperanan dan berfungsi sebagai alat Umno-BN untuk mencabuli kebebasan individu, autonomi rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan konsep Federalisme yang kesemuanya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

SPRM hanya membuktikan bahawa semua langkahnya bermotifkan politik, dengan tujuan untuk melindungi parti perasuah yang terbesar dalam negara iaitu Umno yang terkumpul di dalamnya penjenayah rasuah politik wang.

Imej Najib sudah tercalar dengan buruk, langkah 100 harinya begitu sumbang dan tersasar. Belum lagi KPI terlaksana, sudah wujud tanda-tanda kerapuhan kerajaan Umno-BN.

Usaha untuk memalitkan imej negatif terhadap Pakatan Rakyat akan terus gagal kerana Najib, Menteri-menteri, agensi kerajaan, Umno dan BN terus melakukan kesilapan yang semakin menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran

Pemuda PAS sokong tindakan berani Pemuda Gerakan

Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan berani Pemuda Gerakan yang secara terbuka menyatakan sokongan serta akan turut serta dalam himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1 Ogos depan.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Muhamad berkata, sokongan tersebut menunjukkan akta zalim tersebut turut ditentang komponen Barisan Nasional(BN).

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik yang sangat kita alu-alukan. Wakil Pemuda Gerakan telah menghubungi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta menyatakan persetujuan untuk menyertai himpunan bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta ini," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh juga menegaskan, bagi menggerakkan masyarakat menyertai perhimpunan tersebut, sekretariat Mansuh telah mengadakan siri jelajahya di seluruh negara.

Katanya, selain sekretariat Mansuh, siri jelajah tersebut turut disertai beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang menyokong himpunan tersebut.

Baru-baru ini, Ketua Biro Khidmat Guaman dan Aduan Awam Pemuda Gerakan, Andy Yong menyatakan pihaknya akan menggerakkan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman Mansuh itu.

Dalam kenyataannya, Yong menyatakan keputusan itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat kebangsaan Gerakan.

Beliau juga berkata parti komponen BN itu beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948

Chua Jui Meng keluar MCA, sertai PKR

Selepas menafikan dua hari lalu, petang ini bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan sendiri oleh beliau pada satu majlis PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway di sini petang ini.

"Wujud banyak spekulasi sejak kebelakangan ini dalam media tentang apakah langkah saya yang seterusnya dalam bidang politik.

"Hari ini saya membuat keputusan paling penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR," kata beliau dalam ucapannya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam majlis itu.

Turut menyertai PKR adalah bekas Senator David Yeoh dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Yap Yit Thong.

Pada sidang media selepas itu, Chua, 64, berkata, beliau menyertai PKR memandangkan wujud banyak persamaan antara aganda politik yang ingin dibawa beliau dan Anwar.

"Saya telah keluarkan manifesto pada 2005 dan 2008 dan saya membandingkannya dengan visi dan agenda Datuk Seri Anwar serta manifesto PKR pada pilihan raya umum lalu.

"Saya lihat ada banyak perkara yang kami punya persamaan dan itulah yang betul-betul meyakinkan saya bahawa PKR adalah parti yang tepat untuk saya sertai.

"Saya lihat semangat dalam diri Datuk Seri Anwar. Kita berbincang tentang agendanya, bertanya soalan dan saya memberikannya manifesto saya.

"Justeru, kita faham apa yang patut saya lakukan untuk membantunya dalam agenda Malaysia," katanya.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau akan menghantar surat keluar parti kepada MCA secara rasmi memandangkan beliau telah mengumumkan keluar daripada parti hari ini.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk menukar parti, Chua berkata, beliau sebelum ini berhasrat untuk melakukan reformasi dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung keputusannnya keluar parti dan menyertai PKR, Chua berkata:

"Beliau sahabat saya. Beliau seorang yang berpegang teguh kepada prinsip."

"Saya menghormatinya dan saya percaya beliau juga menghormati saya. Hubungan kami akan berterusan sebagai kawan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Chua adalah aset penting kepada PKR dan beliau akan mempelawa Chua untuk menyertai kepimpinan tertinggi parti itu.

"Hal itu memerlukan kelulusan biro politik parti dan seterusnya oleh Majlis Tertinggi," katanya.

Search This Blog