Friday, June 25, 2010

Perangi Judi Haram Atau Tambah Lesen Judi?

SETELAH meneliti debat dan polemik menganai cadangan mengeluarkan semula lesan judi bola sepak, saya berasa yakin kita boleh membuat beberapa kesimpulan.

Pertama, Mohd Najib Abdul Razak, sebagai Pengerusi Barisan Nasional, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh meluluskan lesen judi bola sepak atau apa-apa judi sekalipun. Itu hak dan budi-bicaranya.

Kedua, parti-parti bukan Islam dalam BN mungkin bersetuju atau tidak menentang keras pelesenan judi manakala parti-parti lawan, termasuk Pas dan PKR, akan bermain wayang dan menangguk di air keruh. Itu hak mereka.

Ketiga, sebagai seorang Islam dan Presiden Umno, Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati. Di sisi Islam, judi sama ada dilesenkan atau dijalankan secara haram adalah HARAM.

Keempat, sebagai Presiden Umno – sebuah parti yang berjuang atas nama agama (Islam), bangsa dan negara – Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati.

Kelima, dia berkuasa mengarah dan memujuk menteri-menteri Islam, ketua-ketua Umno dan media massa arus perdana melancarkan perang saraf bagi menyokong pelesenan judi bola sepak. Atau pihak-pihak ini berasa perlu untuk mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan.

Keenam, Mohd Najib harus berhati-hati menongkah arus kerana ramai dalam Umno telah secara terbuka dan terus terang menyatakan bantahan mereka terhadap pengeluaran lesen judi bola sepak.

[Umno Johor – tonggak kekuatan Umno Malaysia buat masa ini – telah mengatakan “tidak” kepada lesen tambahan perjudian. Umno Perak yang dalam perjuangan hidup mati pun mengatakan “tidak” dan begitu jugalah Umno Kedah yang cuba bangkit semula. Semuanya berkata “tidak”.

Pemuda Umno pun menyatakan pendirian yang sama. Bernama pada 24 Jun memetik ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, sebagai berkata Pemuda Umno menentang cadangan mengeluarkan lesen judi bola sepak.

Katanya, pelesenan judi bola sepak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"Selepas beberapa minggu mendapatkan pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha polis mencegah judi (haram), Pemuda Umno mengambil pendirian membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi bola sepak,” tegas beliau.]

Ketujuh, dalam isu judi ini, politiking ada hadnya. Umno, Pas dan elemen Islam dalam PKR boleh bermain wayang dengan membuat kenyataan politik untuk menyedapkan hati penyokong masing-masing sambil cuba mengambil hati orang bukan Islam, tetapi mereka tidak boleh bermain wayang dengan hukum agama dan tentunya tidak semua orang bukan Islam mahu lebih banyak lesen dan kegiatan judi diwujudkan kononnya kerana menghormati hak dan kebebasan orang bukan Islam.

Kelapan, tidak semua orang bukan Islam kaki judi dan bukan semua yang berjudi halal itu orang bukan Islam. Ramai orang bukan Islam menentang judi dan ramai juga orang Islam mencuri berjudi menggunakan perantara dan proksi.

Kesembilan, judi bukan sahaja haram kepada orang Islam, tetapi ia juga buruk kepada orang bukan Islam. Ramai kaki judi yang muflis, diburu along, mengabaikan anak bini dan sekali sekala terjun bangunan, gantung diri dan minum racun.

Kesepuluh, keberkesanan alasan melesenkan judi bagi melawan judi haram ada hadnya. Hakikat yang wajib diakui ialah judi haram tetap berleluasa di negara kita walaupun pelbagai jenis judi telah dilesenkan. Sebabnya ialah kerana ramai kaki judi dan ramai penjenayah di negara kita. Ada kaum dan individu di negara ini yang berpaksikan keuntungan dan materialisme semata-mata, di mana maruah diukur dengan wang ringgit dan segala-galanya boleh asalkan mendapat untung.

Kesebelas, lebih baik kita memerangi judi haram. Gunakan segala peruntukan undang-undang – buang daerah, cukai pendapatan, money laundering dan pembekuan harta – untuk melawan penjenayah judi ini. Takkanlah polis kita haprak sangat sampai tidak tahu siapa penyangak di sebalik judi haram dan kegiatan underworld ini?

Akhir kalam, jangan kerana mahu mengambil hati seorang dua pengusaha judi, Presiden Umno melukakan hati berjuta-juta ahli dan penyokong Umno. Ingatlah, ahli Umno dan orang Melayu tidak lagi mengikut dan menyokong membabi-buta.

Umno nak atau tak nak judi?

Isu judi bolasepak yang dilesenkan kepada Ascot milik jutawan Vincent Tan terus hangat diperkatakan. Saya percaya ramai yang tidak ambil pusing jika tokok-tokoh bukan Islam atau bukan Melayu yang mengeluarkan kenyataan tak kiralah menyokong atau menentangnya.

Malah di kalangan pemimpin politik bukan Islam sama ada dari BN mahupun dari Pakatan Rakyat, berbelah bahagi nampaknya. Ada yang menyokong, ada yang menentang. Lebih tepat lagi rata-rata pemimpin PR menentang, manakala ada juga dari BN yang turut menentang.

Yang menjadi pelik malah mengaibkan agama dan bangsa adalah apabila pemimpin Melayu Islam yang terpacul memberi sokongan dan mempertahankan kewajaran memberikan lesen judi ini.

Alasannya konon lesen ini tidak ada kena mengena dengan orang Islam. Konon seorang Pak Menteri berkata berjudi ini hak asasi bukan Islam! Berjudi ini cara hidup bukan Islam – “gambling had always been a way of life for the non Muslims in the country” (Rais Yatim).

Benarkah judi yang berlesen tidak mendatangkan kesan sosial kepada masyarakat? Benarkah dengan memberikan lesen bermakna kita menghapuskan kegiatan judi haram yang tidak berlesen?

Bahana judi meruntuhkan keluarga dan masyarakat dan ini adalah hakikat yang patut diakui. Rumah tangga dan keluarga berpecah-belah akibat sindrom tahi judi memang diketahui oleh semua. Magnum,Big Sweep, Sports Toto dan lain-lain telah bertahun-tahun dilesenkan tetapi kita masih mendapat berita betapa pihak polis memberkeas kegiatan ekor haram sehingga ramai yang dibuang daerah akibatnya.

Terbaru bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz turut menyokong agar lesen judi ini diberikan kononnya ia akan memudahkan pengawalan.

Sumbangnya apabila pemimpin Islam membela kegiatan mungkar seumpama ini. Kalau benar pun kawan pada Vincent Tan, tak perlulah bertegang leher mahu mempertahankan sesuatu yang bertentangan dengan agama kita sendiri.

Kalau kita mahu bercakap berkenaan hak bukan Islam, mengapa kita tidak mempertahankan hak orang Islam. Rakyat di Kelantan contohnya melalui wakil rakyat mereka telah meluluskan hukum hudud di Kelantan iaitu suatu hak yang diberikan oleh Allah swt ke atas umat Islam. Kenapa pemimpin BN termasuklah yang beragama Islam menyekat dan menghalangnya dari terlaksana? Tidakkah ini menghalang hak asasi umat Islam?

Kita sudah punya banyak lesen judi yang telah diluluskan. Yang ada itupun terus mengundang masalah masyarakat dan tidak mengurangkan sedikit pun kegiatan judi haram tanpa lesen. Mengapa kita mahu meluluskan yang baru?

Kalau benarlah ada sehingga 100 orang ulamak yang dikatakan akan menyertai Umno beramai-ramai esok, saya harap ulamak ini menyedarkan pemimpin-pemimpin Umno betapa berdosanya mereka menjadi alat dalam menghalalkan sesuatu yang jelas haram. Kalaupun terpaksa atas alasan apa sekali pun biarlah yang beria-ia dan bersungguh-sungguh itu pemimpin yang bukan Islam. Mengapa perlu yang Islam pula memperjaungaknnya?

Thursday, June 24, 2010

JI : Mainan Kotor UMNO Untuk Alih Isu - Asri

Dua pemimpin agama termasuk bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pendedahan wujudnya peranan Jemaah Islamiah (JI) sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain Asri, seorang lagi pemimpin agama yang mengeluarkan pendirian itu ialah Dr Juanda Jaya iaitu Mufti Perlis yang juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kedua-dua mereka menambah, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas JI yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

Malah mereka mendakwa kerajaan pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.

“Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab.

“Pemerintahan yang mengguna pakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni,” kata kenyataan Asri dan Juanda.

Mereka juga setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran.

“Dan, juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit,” katanya lagi.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ceramah pada majlis taklimat itu diberikan oleh Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin.

“Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan.

“Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan,” kata kedua-dua mereka dalam kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin agama ini mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas ahli-ahli Parlimen PAS mencabar kerajaan mendedahkan bukti di Parlimen sebelum akhir sesi Dewan Rakyat semasa.

Asri dan Juanda juga berkata, isu-isu yang dibawa oleh kedua-dua mereka selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang bertolak ansur dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam.

“Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini,” kata mereka lagi.

Malah kata Asri dan Juanda, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan.

“Beliau ialah bekas menteri besar Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanah air sejak sekian lama.

“Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat.

“Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini.

“Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini,” kata mereka lagi.

“Demikian Shahidan, bekas menteri besar Perlis dan kini ahli Majlis Tertinggi Umno, naib presiden Perkim, dan akvitis berbagai kebajikan rakyat.

“Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas?” kata beliau.

Oleh itu kedua-dua mereka mendakwa nampaknya Umno dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu.

“Adapun JIM kami tidak mempunyai yang banyak maklumat mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu.

“Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai,” kata kenyataan mereka lagi.

Malah kedua-dua mereka juga menuntut agar kerajaan dan polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

“Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini?”

Kenyataan mereka juga menambah, jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan bererti mereka “yang dikuasai oleh Menteri Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas.

Wednesday, June 23, 2010

"Nafi 2/3 BN tu agenda lama" - Zaid : PR ke arah memerintah

Meskipun Pakatan Rakyat kini diselubungi kekhuatiran bahawa sokongan Melayu semakin mengalih ke Barisan Nasional, namun tanggapan ini disangkal oleh Zaid Ibrahim, yang tetap optimis bahawa matlamat PR dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memerintah di negara ini.

Ketika ditanya apakah langkah seterusnya seandainya Barisan Nasional berjaya mengembalikan majoriti dua pertiganya dalam parlimen, Zaid Ibrahim terus menyifatkan matlamat "menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen" sebagai "agenda lama", malah yakin bahawa PR akan mara untuk menjadi kerajaan persekutuan di Malaysia.

"Saya tidak berfikir untuk menafikan dua pertiga BN, itu agenda lama. Kami akan memerintah di negara ini. Kamu orang (wartawan) tak percaya, itu masalahnya. Kamu ingat ini tidak boleh dilakukan," tegasnya.

"Jadi, Dato, anda yakin bahawa PR akan memerintah?" tanya wartawan lagi.

"Memang! (Of course)" jawabnya dengan tangkas. Zaid Ibrahim menambah, "Kerajaan ini sudah terdesak (desparate). Mengapa mereka membelanjakan RM150 juta (dalam PRK)? Kerana mereka takut!"

Beliau seterusnya melontarkan satu soalan kepada wartawan, "Apakah anda rasa kerajaan yang yakin dengan dirinya, akan membelanjakan wang sedemikian? Ini persoalan yang harus anda tanya."

Walaupun satu soal selidik Merdeka Center baru-baru ini memperlihatkan peningkatan tahap kepuasan terhadap Perdana Menteri Najib Razak kepada 72%, namun Zaid Ibrahim tetap mendakwa bahawa BN masih tidak yakin untuk berdepan dengan rakyat. Pembubaran DUN Perak, PRK di DUN Kota Siputeh, antara cabaran Zaid Ibrahim kepada BN, seandainya kerajaan BN mahu membuktikan keyakinan terhadap prestasi dirinya.

Soal selidik: Apa soalan yang ditanya?

Kongres tahunan PKR dan Muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Kelantan beberapa minggu yang lalu membangkitkan kekhuatiran yang sama, iaitu hakisan sokongan Melayu/Islam. Bagaimanapun, Zaid Ibrahim tidak menyetujui pandangan sedemikian, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kongres tahunan PKR.

"Kamu ada angka? Kamu tidak mempunyai angka..." katanya kepada wartawan. Apabila wartawan merujuk kepada keputusan PRK Hulu Selangor, calon PKR yang kecundang ini berkata, "Mestilah, apabila kamu merasuah orang dengan RM50 ribu, mestilah (orang undi kamu). Tapi ia tidak bermakna orang Melayu meninggalkan Pakatan Rakyat."

"Peneroka FELDA, apakah kamu menganggap mereka ada hak untuk memilih? Tak ada. Semua dikawal. Apabila kamu kata kami hilang sokongan Melayu, kami menang di kawasan lain, cuma kalah undi FELDA, tentera, polis. Melayu dalam pasukan polis, tentara tak ada pilihan," jelasnya.

Beliau menyambung, "Kamu perlu bezakan apa Melayu. Di semua kawasan lain, saya menang. Jadi, adalah tidak benar (untuk mendakwa PR hilang sokongan Melayu)."

PERKASA, atas nama Melayu

Ketika mengulas satu soal selidik Merdeka Center, yang mendapati hampir 60% responden Melayu bersetuju dengan sesetengah pandangan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara), Zaid Ibrahim berkata, "Ia bergantung kepada apalah soalan yang ditanya. Saya tidak tahu apakah soalan yang mereka tanya. Apakah pendirian PERKASA yang disetujui mereka? Mengenai apa? Saya tidak tahu."

Beliau menambah, "Sekiranya kamu pergi dan beritahu Melayu, misalnya PERKASA kata, kamu sebagai Melayu seharusnya mendapat RM10 ribu sebulan, mestilah mereka suka PERKASA. Bergantung kepada apa kamu tanya."

Zaid Ibrahim enggan mengalah, "Isunya macam ini. Kamu harus lebih khusus dalam soalan kamu, apa yang dimahukan Melayu. Apa yang Melayu mahu? Kalau kamu mahukan sebuah negara yang mempunyai lebih sumber untuk rakyat, jadi kamu perlu hentikan segala pencurian ini. Itu yang Melayu tidak beritahu kamu!"

Beliau menyambung, "Jadi, kalau saya tanya Melayu apakah yang kamu mahukan ini? Semestinya mereka akan menyokong saya. Kalau saya tanya adakah Malayu mahu gaji naik, semestinya mereka kata ya. Itu bermakna Melayu sokong saya...Ia bergantung apa yang kamu tanya."

Kewujudan PERKASA

Apabila wawancara memasuki topik PERKASA, Zaid Ibrahim berkata, "Ia menunjukkan bahawa UMNO dan Najib tidak tahu apa yang hendak dilakukan."

Bekas ahli parlimen Kota Bahru-UMNO ini berkata, "UMNO ini (mempunyai) banyak kumpulan. Kamu tak boleh kata UMNO adalah satu parti yang bersatu padu, semuanya dengar, tidak. UMNO mempunyai banyak kumpulan, dan PERKASA hanyalah salah satu kumpulan dalam UMNO. Itu saja."

Zaid Ibrahim meletakkan kayu ukur apa yang dikatakan sebagai pemimpin, "Kalau Najib adalah pemimpin, kamu (Najib) mestilah menangani masalah inilah. Kalau kamu hanya menurut apa yang dikatakan (PERKASA), jadi kamu bukan pemimpin-lah. Beliau takut kepada kumpulan yang kecil ini."

"Kamu lihat, pemimpin mesti memberi panduan (guide), kamu mestilah tegas. Itulah apa yang dipanggil pemimpin. Kalau tidak, kamu hanyalah pengikut. Kamu lihat, kamu PM, dan kumpulan kecil ini memberi tekanan, mendakwa Melayu mahu ini dan itu. Kamu tanyalah dia, mana? Bagaimana? Kamu berbincang dengan mereka."

Secara terus Zaid Ibrahim menyatakan, "Banyak orang guna nama Melayu, untuk menuntut ini dan itu. Tapi bukan Melayu yang mahu ini dan itu, kamu sendiri yang mahu. Kamu mahu AP, kamu mahu lebih kontrak..." Bagaimanapun, Zaid Ibrahim kekal optimis, memandangkan semakin ramai orang Melayu yang menyedari hal ini.

Negara Islam atau sekular?

Antara label yang dilontarkan terhadap Zaid Ibrahim, salah satunya berbunyi "liberal", satu istilah yang kurang disenangi dalam dunia Islam di Malaysia. Zaid Ibrahim yang pernah menyaman kerajaan negeri PAS di Kelantan kerana undang-undang Hudud, kali ini bersikap cermat ketika menjawab soalan sama ada Malaysia negara Islam mahupun sekular mengikut undang-undang.

"Mahathir mengumumkan (negara kita adalah negara Islam) pada tahun 2001, tak ada orang ramai mengadu, mengapa? Kerana itu Barisan (Nasional). Kalaulah Pakatan (Rakyat) yang kata kita negara Islam, semua kata, 'oh... kami bimbang'," katanya yang kini berada dalam PR.

Pada hakikatnya, "tiada yang berubah", sebelum dan selepas pengumuman tersebut, katanya. Zaid Ibrahim yang enggan terjerat ke dalam perangkap istilah dan label berkata, "Jangan risau apa yang dilabelkan oleh orang. PAS memaklumkan kami idea mereka tentang Negara Islam, iaitu keadilan dan kesaksamaan. Ini berbeza dengan Negara Islam yang (disebut) Mahathir. Apa yang dirisaukan? PAS menentang penahanan tanpa perbicaraan. PAS kata anda tak boleh menahan (sewenang-wenangnya) tanpa perbicaraan. Itu juga (selari dengan idea) Negara Islam."

Tanpa mahu terperangkap ke dalam pertikaian label, Zaid Ibrahim sebaliknya menyarankan agar rakyat menilai sendiri apa yang berlaku dalam sistem, "Adakah sistem kehakiman kita adil? Adakah polis kita boleh menahan sesiapa pada bila-bila sesuka hati? Bolehkah media menjalankan tugas mereka? Adakah kamu mempunyai satu sistem yang terbuka..."

Beliau berkata, "Rakyat perlu menilai pada sistem, daripada apakah label yang dilekatkan oleh orang lain."

Felda: Benteng menanah


Felda terbangun dari keringat dan azam politik. Dalam membangun warganya, terdengar suara rungutan seakan ada penindasan dalam bantuan. Jika tidak dengan lingkungan terkongkong, barangkali warganya telah jauh lebih makmur.

Namun, sedikit peraturan yang kurang memihak kepada warga yang keringatnya ditumpahkan dikatakan mustahak untuk menghasilkan kejayaan kolektif dalam bentuk lembaga besar Felda yang kaya raya.

Tekanan itu disamakan dengan pengorbanan.

Hari ini, jika warga Felda yang telah berkorban itu dikhianati, wajarkah kita berdiam diri?

Hari ini, tanda-tanda Felda telah dikhianati muncul satu demi satu, tetapi jawapannya yang memuaskan hati tidak muncul seperti dinanti.

1. Benarkah Felda telah melabur RM 500 juta, ulang, RM 500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu? Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?

Benarkah pelaburan ini telah hangus?

Benarkah RM 500 juta ini bukannya pelaburan tetapi cara untuk wang Felda 'dileburkan'?

Tentulah pelaburan sebesar itu dibuat dengan pertimbangan yang halus dan sebab yang menasabah. Kerana pelaburannya besar, jawapan yang terang sangat dinantikan.

Jika pelaburan itu dibuat dengan pertimbangan teliti, mustahil ia boleh lesap begitu sahaja.

Jika pertimbangannya hanya kerana mengikut telunjuk satu dua orang sahaja, kita tidak tahu berapa banyak lagi wang Felda 'lebur' dengan cara ini. Apa lagi, jika 'peleburan' itu memang dirancang dan ada yang girang mengaut keuntungan darinya.


2. Kenapa Felda mengambil keputusan membina bangunan ibu pejabatnya di premis termahal sehingga kosnya melambung? Adakah Felda merasa ia telah menjadi elit ekonomi dan perlu mengasingkan diri di tempat ekslusif dengan membelanjakan wang titik peluh lebih seratus ribu warganya yang setengahnya masih merempat?

Dari asalnya kos hanya sekitar RM 220 juta, kini meningkat melebihi RM 660 juta. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh para peneroka Felda?

Adakah Felda memerlukan bangunan bertaraf tujuh bintang setaraf dengan KLCC?

Siapakah yang membuat keputusan ini? Apa asas keputusan ini?

Jawapan telus dan berterus teranglah yang akan membantu Felda terus utuh dan harapan warga Felda tidak punah.

Pengakuan Kerajaan di Dewan Rakyat bahawa akaun Felda telah merosot berbillion ringgit dalam sekelip mata membuktikan berita-berita tentang wang Felda diurus sesuka hati mula menampakkan ada kebenarannya.

Namun, penjelasan Kerajaan hanya mengukuhkan apa yang kita dengar. RM 2 billion yang kononnya surut kerana digunakan untuk program tanam semula semacam mengiyakan wang sebanyak itu memang telah hilang.

Bagi menjawab wang iu memang telah hilang tetapi mengelakkan warga Felda melenting, ia dikaitkan dengan tanam semula. Padahal, tabung tanam semula telah sedia wujud dari potongan para peneroka dan ia telah diletakkan dalam akaun yang berasingan. Satu perkara dua kali kira.

Rakyat, terutama orang Melayu perlukan jawapan. Jawapan yang paling baik ialah melantik odit bebas dengan satu laporan di Parlimen diperlukan. Bukan hanya jawapan politik Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Lagi pun, Felda bukan milik UMNO. Felda tidak harus dibenarkan 'cair' bersekali dengan trend bocornya kerugian satu demi satu konglomerat negara kita.

Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kerajaan Kelantan.

Tuesday, June 22, 2010

PRU-13 hujung tahun

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diadakan seawal hujung tahun ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sudah menjadi kebiasaan dan wajar seorang pemimpin negara yang baru dilantik mendapatkan mandat rakyat memandangkan keadaan ekonomi negara juga sudah pulih.

Menurutnya, dengan pilihan raya umum ini nanti barulah kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) diuji sejauh mana mereka boleh meneruskan kepimpinan negara dan menidakkan percubaan Pakatan Rakyat: (PR) merampas Putrajaya.

“Saya bersependapat dengan Tun Mahathir Mohamad bahawa pilihan raya umum wajar dipercepatkan dan saya jangka seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

“Jika pilihan raya umum diadakan pada hujung tahun depan, ia sudah menjadi pilihan raya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ditanya cadangan PR yang mahu mengadakan pilihan raya negeri yang diperintah mereka dibuat secara berasingan dengan pilihan raya umum, Ahmad menegaskan PR berada dalam ‘angan-angan’.

Katanya, perkara tersebut sebenarnya tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri tiada hak untuk mengadakan pilihan raya negeri sendiri.

“Kalau mereka (PR) jadi kerajaan pusat tidak mengapa, mereka harus faham konsep pembahagian kuasa, pegawai SPR dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Perdana Menteri pula daripada BN.

“Oleh itu Najib tidak akan membenarkan cadangan yang dibuat oleh pemimpin PR dan jelas mereka hanya berangan,” katanya.

Rabu minggu lalu, Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya umum akan mengejutkan semua pihak kerana kajian baru-baru ini oleh Merdeka Centre for Opinion research menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri.

Speaker lawan speaker: Rayuan Sivakumar ditolak

Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk KN Segara dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.
Keputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakim juga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Panel hakim itu bagaimanapun tidak memberikan alasan mereka membatalkan saman ADUN Tronoh itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, berkata perkara yang dikemukakan dalam saman itu boleh dibicarakan bagi menentukan sama ada peristiwa yang didakwa Sivakumar sebagai serangan dan salah penahanan beraku semasa persidangan DUN adalah arahan bagi Ganesan untuk dilindungi uminiti.

Beliau berkata pemilihan Ganesan dan tindakan untuk menyingkirkan Sivakumar dilakukan di luar persidangan dewan kerana ia dilaksanakan sebelum Raja Muda Perak menyampaikan titah ucapan perasmian.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, peguam Ganesan, berkata anak guamnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Speaker yang sah mengikut kuasa diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan Perak, Peraturan Mesyuarat dan amalan persidangan.

Katanya pada hari ini, DUN telah menyelesaikan isu penyingkiran Sivakumar dengan sokongan majoriti 31 wakil rayat dan kemudiannya melantik Ganesan sebagai Speaker.

Firoz berkata selepas Ganesan dilantik sebagai Speaker baru, beliau mengarahkan Sivakumar supaya kembali di tempat duduknya tetapi Sivakumar enggan menyebabkan Ganesan mengambil tindakan bagi memindahkan Sivakumar daripada tempat duduk Speaker.

Pemuda UMNO dan Khairy.. Apa dah jadi?


Khairy Jamaluddin yang mengetuai Ketua Pemuda UMNO semakin tergugat. Bukan sahaja diserang oleh laman-laman blog UMNO tetapi sudah kelihatan sokongan beliau di kalangan Pemuda UMNO semakin meleset.

Pemuda masih lagi terpalit dengan status elit – gagal mendampingi rakyat dan gagal bertindak sebagai suara anak muda negara kita. Pemuda UMNO masih tersangkut dengan metodologi lama – membuat program-program riadah tanpa kesan yang menyeluruh.

Setakat ini Pemuda gagal memberi impak besar kepada senario politik negara ini. Kehadiran hanya setakat nama dan masih mendongak kepimpinan UMNO menyelesaikan segala masalah berhubungan sokongan.

Pemuda UMNO kena mula bertindak lebih jauh ke dalam nurani anak muda. Pemuda UMNO harus bangkit dengan garang – mengadakan program-program besar – berdepan dengan pembangkang dan bertindak sebagai agen untuk berdepan dengan keluhan rakyat.

Tetapi Pemuda UMNO hari ini gagal melakukan perubahan dalam struktur mereka. Kalau Datuk Najib membicarakan reformasi dalam UMNO – Pemuda UMNO nampaknya hanya mengangguk tanpa mahu mengambil inisiatif melakukan reformasi dalam pergerakan mereka. Hakikat tidak perlu disorokkan lagi.

Penerimaan terhadap UMNO khususnya Pemuda UMNO semakin lemah. Program-program riadah sahaja yang nampak berjaya tetapi program-program ini gagal memberi impak kepada senario politik negara.

Kenapa tidak ada program yang lebih menunjukkan kekuatan – Pemuda berdepan dengan kepimpinan – Pemuda UMNO mempersoalkan isu-isu hangat – mendesak penyelesaian segera beberapa perkara yang perlu penjelasan – masalah rakyat, masalah kemiskinan bandar – menegur demi kepentingan rakyat. Hairan benar – kalau program-program pembangkang sering mendapat sambutan kenapa program Pemuda UMNO lesu.

Adakah Pemuda UMNO terpaksa menempel diri dengan program sure heboh untuk menunjukkan ada sokongan – atau Pemuda UMNO perlu membicarakan semula kekurangan dan kelemahan. Adakah dengan Khairy letak jawatan Pemuda UMNO maka Pemuda UMNO akan dapat bergerak dengan lebih agresif lagi?

Asri : Masuk Umno atau PAS

Yusri Mohamad

Hari ni heboh kononnya Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan masuk Umno Jumaat ini bersama 100 orang ulama termasuk yang berkelulusan Phd. Berita Harian memetik kata-kata Setiausaha Kerja Umno dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang sebagai berkata bahawa kemasukan Asri dan kumpulannya ini akan menyemarakkan sokongan orang Melayu kepada Umno. Beliau ini dilaporkan sebagai turut terlibat untuk membawa masuk Asri. Asri sendiri dalam kenyataan ringkas dalam laman webnya menafikan telah membuat keputusan untuk masuk mana-mana parti politik.

Sebelum timbulnya berita ini, akhir-akhir ini, Asri nampaknya lebih mesra dengan PAS. Ketika panas isu beliau ditahan, beliau membuat kunjungan strategik melawat Mursyidul ‘Am PAS di Kelantan. Gambarnya menghadiri Muktamar Pemuda PAS baru-baru ini tersiar di akhbar perdana. Beberapa kali beliau dijemput mengisi forum anjuran kerajaan Kelantan. Jadi berita terbaru ini mungkin mengejutkan dan menggusarkan peminat beliau di dalam PAS atau Pakatan Rakyat.

Mengenali beliau, saya tidaklah terlalu terkejut dengan semua gerak-geri Asri dengan orang-orang politik seperti di atas. Cuma saya simpati kepada mereka yang terlalu lurus dalam membaca gerak-geri politik Asri. Izinkan saya buat komen ringkas untuk bagi membantu menjelaskan letak duduk perkaranya...

1. Tentang benar atau tidak berita ini, saya rasa kalaupun tidak benar tetapi mesti ada asasnya. Kalau tak ada angin takkan pokok bergoyang. Yang bercakap ini bukan sebarang orang. Dalam majlis yang sama ada Datuk Seri Shahidan Kassim, gandingan utama dan penyokong kuat Asri.

2. Bagi mereka yang cenderung kepada PR, sukakan Asri dan marah dengan berita ini saya katakan: Takkanlah tak tahu lagi hubungan rapat selama ini antara Asri dengan beberapa tokoh Umno terutama Shahidan Kassim yang merupakan “promoter” dan pendokong Asri yang sangat komited dan aggresif. Dari dulu saya agak hairan dengan bacaan politik pemimpin dan pendokong PR yang terlalu “berminat” dengan Asri.

3. Tentang dakwaan bahawa kemasukan Asri akan membawa keuntungan, seperti yang saya tegaskan dan jelaskan dalam beberapa tulisan saya sebelum ini ialah, Asri, aliran dan kumpulannya adalah merupakan suara minoriti dan janggal (syaz) dikalangan para ulama dan ilmuwan Islam di negara kita dan dalam peta aliran Islam global amnya. Cuma tak semua ulama dan ilmuwan arus perdana itu mahu bersuara secara terbuka. Jadi hakikatnya, mana-mana parti yang memberi ruang kepada Asri dan mereka yang seumpamanya sebenarnya telah tidak peka dan sensitif kepada pandangan dan perasaan sebegitu ramai ulama dan ilmuwan Islam yang lain. Para ulama dan ilmuwan ini bersikap demikian terhadap Asri berasaskan ilmu dan iman yang ada pada mereka. Mereka ini pula semuanya ada ruang pengaruh mereka masing-masing dan tidak hanya berdiam diri melihat sesuatu yang pada ilmu dan Iman mereka diyakini salah. Oleh itu, dalam realiti politik Malaysia, mana-mana parti politik yang memberikan ruang dan tempat kepada Asri dan mereka yang seumpamanya adalah sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada risiko kehilangan sokongan dan bahkan tentangan daripada suatu kelompok yang begitu penting — baik dari segi prinsip agama mahupun perkiraan politik.

Maka, eloklah parti-parti politik yang berminat sangat untuk memberi ruang kepada Asri lebih banyak mengkaji, meneliti dan mengambil pandangan-pandangan yang patut diambil.

(Dalam konteks PAS, saya teringat Subki Latiff, tokoh veteran PAS yang luas pengalamannya, telah menulis dalam kolumnya di Harakah tentang Asri ketika hangat isu penangkapannya dulu. Secara halus dan berlapik, Subki menyatakan pandangannya bahawa PAS tidak sesuai bagi seseorang yang seperti dan mempunyai agenda seperti Asri.)

4. Tentang dakwaan bahawa ada 100 orang ulama berkelulusan tinggi yang akan bersama-sama Asri menyertai Umno, saya agak sangsi dengan maklumat ini. Tak semua maklumat yang berkaitan Asri mestinya benar seperti dalam kes “minum air ludah ustaz” yang beliau timbulkan baru-baru ini. Kalau dihitung-hitung rasanya tak cukup 100 orang ulama yang benar-benar ulama yang bersama dengan Asri. Memang ada mereka yang berkelulusan agama yang bersama Asri, tetapi hatta mereka ini belum tentu akan mengikuti langkah Asri jika betulpun beliau akan masuk Umno atau PAS. Saya ketahui dengan pasti bahawa hatta mereka yang berkongsi beberapa fahaman agama dengan Asri tidaklah sentiasa bulat menyokongnya.

Begitulah komen ringkas saya. Moga-moga ada manfaatnya dalam membentuk persepsi yang lebih betul. WaLlahu a’lam.

* Dr Yusri Mohamad ialah Bekas Presiden ABIM, Naib Presiden Majlis Amal Islami Malaysia, dan pensyarah UIAM.

Monday, June 21, 2010

Umno Nak Jadi Tuhan

Islam, Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Taoisme, dan macam - macam lagi agama yang wujud di dunia ini tidak pernah mengiktiraf dan menghalalkan judi.

Siapa Umno yang mahu menghalalkan judi. Siapa Mahathir ingin menentukan hukum - hakam agama selain dari Islam. Siapa Nazri yang ingin menghalalkan judi di dalam agama selain dari Islam.

Sudahlah definisi kalimah Allah di Umno kan, sekarang agama lain juga mahu diUmnokan. Umno perosak perpaduan kaum. Umno cuba menjadi Tuhan. Tanya kepada penganut agama lain apakah benar agama mereka membenarkan judi?

Apa bodoh sungguh Nazri dan Mahathir. Saya ada kawan yang beragama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh. Semuanya mengharamkan judi. Mereka tidak pernah menjumpai ayat - ayat dalam kitab agama mereka yang mengharamkan judi. Hebat sungguh Nazri dan Mahathir kerana dapat mencari satu ayat dalam kitab - kitab mereka yang menghalalkan judi.

Umno tidak dapat memerintah dengan baik. Duit dalam Bank Negara sudah hampir habis. Cara untuk mendapatkan wang dengan lebih pantas adalah membuat aktiviti perjudian dan menggesa rakyat untuk berjudi. Satu teori ekonomi kapitalis yang teramat jahat.

Umno dan BN akan tumbang kerana telah cuba membodohkan penganut agama lain. Mereka punca kepada kekalahan besar BN kelak. Sesungguhnya kekalahan besar BN sedang tiba dan akan dicepatkan lagi oleh Mahathir dan Nazri.

Parlimen Atau Kerajaan Runtuh Dulu

Parlimen Malaysia dilaporkan semakin nazak akhir akhir ini. Bermula dengan kebocoran beberapa tahun lalu, bangunan bersejarah itu kini semakin tidak berdaya. Ia seakan tidak mampu dipulihkan lagi. Kerajaan dalam dilema antara memilih menukar bangunan parlimen atau sekadar membaik pulih.
Membaik pulih adalah antara pilihan utama setakat ini. Seakan umNO bimbang jika bangunan ditukar mungkin ia petanda buruk untuk mereka. Walaupun ianya bukan hukum alam, tetapi bagi parti yang kuat kepercayaan dengan benda tahyul sangat mempercayai kemungkinan dan kaitan perkara perkara seumpama ini.

Apakah jika bangunan bertukar , maka kuasa di bangunan juga akan bertukar? Riak dan gelombang ke arah itu telah jelas dilihat. Petunjuk paling jelas ialah PRU 12. Secara teorinya, umNO yang beriman dengan teori RAHMAN juga mungkin tercari cari teori baru untuk menyambung nyawa mereka. Teori RAHMAn telah sempurna dengan tertabalnya Najib walaupun dengan penuh kesukaran hingga terpaksa meruntun Abdullah untuk turun awal.

Bagi yang menggikuti sejarah Islam masih jelas peristiwa umar menangis tatkala turunnya ayat tentang kesempurnaan Isla. Apabila ditanya, Umar berkata... apabila sempurna sesuatu perkara maka akan berlaku perkara yang mengurangkannya.

umNO telah sampai ke kemuncaknya. Teori RAHMAN telah sempurna. Bangunan Parlimen mengisyarat terlalunya BN berkuasa sebagai penerusan kuasa penjajahan di Tanah Melayu. Rakyat pelbagai kaum yang dulunya sering bergaduh telah terpaut padu bersama Pakatan Rakyat. Parti yang mengimbangi perkauman Barisan Nasional kian hancur satu persatu dengan segala macam masalah dalaman. kini tinggal umNO ingin menjuarai pelbagai kaum tanpa memperdulikan rakan sebantalnya selama ini.

umNO yang berlidah melayu selama ini telah mula bersuara satu Malaysia. Tiada lagi isu Melayu selain isu memperkasakan bahasa Cina dan India... kesaksamaan antar kaum yang menjadi musuh umNO selama ini. Hilangnya identiti umNo menggambarkan umNO kehilangan rentak dalam berpolitik dalam wajah Malaysia baru yang diterokai oleh Pakatan Rakyat...

Jika dalam tempoh terdekat bangunan parlimen rebah menyembah bumi, ia mungkin petanda parti kerajaan selama ini kian menghampiri penghujung hayatnya... Mampukah bangunan bersejarah itu dibaiki jika asas binaannya kian raapuh??? dan mampukah umNO dipulihkan jika asasnya hanya kuasa???? kita menanti siapa rebah dulu antara Kerajaan Barisan Nasional atau Bangunan Parlimen....

Baik juga jika Kerajaan Pakatan Rakyat memulakan pemerintahannya dengan bangunan parlimen baru... biarlah segalanya baru dengan harapan rakyat terhadap masa depan yang baru

ISU JI DAN MILITAN ITU TANDANYA PILIHANRAYA DAH DEKAT

pelik dan keliru dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan perdana Menteri tentang kewujudan anasir Jemaah Islamiah JI dan militan di IPT dalam negara dan di Timur Tengah.

Pertama, mengapa kerajaan beria-ia mengumumkan dan mempertahankan ada pelajar dan pensyarah terlibat dengan JI? Sepatutnya kerajaan melalui pihak keselamatan bertindak dengan menangkap pihak yang terlibat. Bukankah Malaysia ada pihak polis yang cepat dan pantas bertindak? Bukankah Kerajaan 1Malaysia ada ISA yang sering digunakan kononnya dalam menangani kegiatan pengganas?

Mengapa kena dedahkan pada media tentang anasir JI yang didakwa wujud? Bukankah jika dakwaan tersebut benar maka pihak yang terlibat akan bertindak untuk menutup aktiviti yang dilakukan ataupun menghapuskan bukti. Jika ada bom c4 misalnya pastinya bom itu telah disorok atau dibuang.Jika tidak pun seolah-olah memberi ruang kepada pihak yang mungkin terlibat untuk melarikan diri.Maka sekarang menjadi tanggungjawab Menteri Dalam Negeri untuk membuktikan dan mengheret mereka yang terlibat dengan JI seperti yang didakwa.

Sekaligus pendedahan anasir JI yang didakwa satu tindakan tidak bijak dan menimbulkan 1001 persoalan. Maka kerajaan 1Malaysia tidak boleh melenting seperti reaksi yang ditunjukkan Dato Hishamudin yang marah-marah apabila Dato Seri Anwar berkata isu JI adalah usaha Umno-BN untuk mengalih isu dalam negara. Spekulasi bahawa isu JI ada motif tertentu semakin hangat apabila Perdana Menteri 1Malaysia terpaksa berusaha meyakinkan rakyat di negara ini bahawa anasir JI memang wujud. Umpama cerita Panglima Bujang Lapuk...Ini betul-betul...bukan cubaan...

Maka saya turut berspekulasi adakah pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir? Skrip dan dialog yang macam sama. Apabila ada isu militan seperti Tragedi Bukit Jenalek tidak lama dahulu maka tak lama kemudian parlimen dibubarkan....Lebih-lebih lagi kajian Merdeka Centre yang sering menjadi alat Umno-BN mengumumkan populariti Najib meningkat 70 %....Jika betul itu angkanya maka istiharkan pilihanraya kecil di Parlimen Batu dan Kota Siputeh..Kita ltunggu ihat nanti siapa yang dapat 70% sokongan rakyat.Setakat ini saya melihat Umno-BN cukup bermadah dan berhelah untuk menghadapi pilihanraya kecil. Tetapi saya menjangkakan selewat-lewatnya selepas perbicaraan Liwat 2 DSAI berakhir. Kenapa dan mengapa....anda pasti ada jawapannya.

Sunday, June 20, 2010

Khairy Terlibat Dalam Penawaran Lompat Parti?

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa keghairahan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang memberikan tempoh 48 jam kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan bukti video RM2 juta untuk lompat parti menimbulkan kesangsian samada beliau turut terlibat dalam penawaran kepada bekas ahli parlimen KEADILAN.

"Kita yakin respons Khairy menunjukkan bahawa kemungkinan beliau terlibat dalam penawaran dalam usaha lompat parti sebelum ini.

"Apa yang menghairankan adalah kenapa beliau bertindak seperti 'lebih sudu daripada kuah', sedangkan tidak ada seorang pun ahli parlimen Umno-Barisan Nasional yang bersuara.

"Daripada 'track record' Ketua Pembangkang, Anwar tidak pernah berbohong contohnya dalam isu video VK Lingam yang sebelum ini didedahkan," kata Shamsul Iskandar kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Katanya lagi, daripada 4 ahli parlimen KEADILAN yang melompat itu, tidak ada seorang pun yang menafikan perkara tersebut.

Malahan semasa Anwar mendedahkan tentang kereta dan rumah baru yang dibeli oleh ahli parlimen yang melompat parti dalam Dewan Rakyat baru-baru ini tidak ada seorang pun daripada mereka yang terbabit bangun membantah kenyataan beliau itu.

"Kesemua mereka sememangnya sudah dibeli dan kita ada video untuk membuktikannya.

"Khairy juga perlu memberikan jawapan sama ada apakah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan mengambil tindakan selepas kita melaporkannya?," soal Shamsul Iskandar.

Tambahnya lagi, mengikut rekod sebelum ini, banyak pendedahan yang telah dibuat oleh Anwar dan satu pun tidak diambil tindakan oleh SPRM yang seolah-olah bersengkokol dengan pemimpin Umno-BN.

Pengarah Strategik KEADILAN Tian Chua pula berkata Anwar telah pun membuat pendedahan dan mempunyai bukti kukuh malahan ahli parlimen yang melompat seperti Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Hashim dan ahli parlimen lain yang turut melompat juga tidak membuat penafian.

"Seperti yang dikatakan Ketua Umum, kita akan dedahkan pada masa yang sesuai, tidak perlulah Khairy menjadi jurucakap bagi pihak mereka.

"Konsensus Bebas ini adakah mereka ini mempunyai maruah dan jika kita dedahkan sekarang, adakah mereka ini akan meletak jawatan?," soal Tian.

"Tidak ada maknanya kita sahut cabaran Ketua Pemuda Umno ini sedangkan sebelum ini apabila kita serahkan video berhubung VK Lingam, tidak ada tindakan pun yang diambil.

"SPRM sepatutnya menghubungi Anwar dan meminta beliau mengemukakan bukti tersebut dan jika benar tindakan terhadap mereka harus diambil dengan melucutkan jawatan mereka sebagai ahli parlimen," kata Tian Chua.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu itu turut berkata kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak serius dalam menangani isu lompat parti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Sebelum itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang membuat beberapa siri pendedahan berhubung ahli parlimen Bebas yang berpaling tadah menerima imbuhan sebanyak RM2 juta serta janji kontrak daripada agen Umno.

Isnin lepas, beliau sekali lagi membuat pendedahan tersebut di dalam parlimen semasa perbahasan ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10.

Search This Blog