Saturday, July 3, 2010

PAS TINGGALKAN DAP DAN BERKAWAN DENGAN UMNO ?

Oleh: WFAUZDIN NS

BERNAMA memetik kenyataan Mukhriz anak Tun Mahathir , PAS lebih baik berkawan dengan Umno daripada berkawan dengan DAP. Jika dibaca pada ayat itu, saya pun amat bersetuju PAS berkawan dengan Umno walaupun saya tidak bersetuju jika PAS pula bermusuh dengan DAP. Masalahnya, siapa yang sering bermusuh dengan PAS dan siapa pula yang telah menunjukkan kebaikan mereka kepada PAS? Persoalan utama sekarang, sejauh mana Umno boleh beri jaminan bahawa Umno tidak akan menentang perjuangan Islam yang ingin dibawa oleh PAS?

Memang benar bahawa kebanyakan ahli-ahli Umno itu adalah berbangsa Melayu dan berugama Islam, tidak jauh bezanya dengan ahli-ahli PAS sendiri. Jika Umno boleh dikatakan sebuah parti yang memperjuangkan Melayu, lebihnya PAS pula adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan tidak akan menganiayai mana-mana bangsa dan agama lain. Di dalam Islam, mencintai bangsa dan keturunan itu amat baik dan terpuji tetapi tidak sampai kepada bersifat `Assobiyah' yang dilarang oleh Islam.

Memperjuangkan syariat Islam seterusnya mendaulatkan Islam di negara ini adalah asas perjuangan PAS. Sebab itulah PAS meletakkan perjuangan menegakkan Islam itu di dalam perlembagaan partinya. Di dalam sejarah, PAS pernah bersatu dengan Umno dan pernah bersama-sama memerintah. Namun, sikap Umno yang tidak pernah komited untuk menegakkan Islam di negara ini maka hubungan PAS dengan Umno tidak boleh lagi dipertahankan. Apabila konsep `Islam Hadhari' cuba diperkenalkan di zaman Pak Lah, PAS cuba bersangka baik dengan Umno dan serangan terhadap Umno ketika itu diperlahankan dan terdapat usaha untuk PAS berbaik dengan Umno. Ketika itu, Umno berjaya dengan cemerlang di dalam Pilihanraya Umum Tahun 2004.

Malang sekali, Pak Lah gagal mengimplimentasikan `Islam Hadahari'nya dengan tidak menunjukkan sebarang kemajuan untuk memartabatkan Islam secara syumul. Kezaliman ISA terus berleluasa, rasuah gagal dibendung, kenaikan harga barang lebih-lebih lagi harga petrol tidak dapat dikawal malah meningkat secara mendadak dalam tempoh setahun. PAS berterusan dijadikan musuh oleh Umno dan pihak media yang sekutu dengannya. Akhirnya, PAS tidak lagi boleh bersangka baik dengan Umno setelah Umno sendiri menzahirkan sikap dan pendiriannya terhadap Islam.

PAS kini lebih selesa dan beruntung berkawan dengan PKR dan juga DAP. Walaupun pemimpin DAP, Karpal Singh pernah menyuarakan bantahannya terhadap penubuhan Negara Islam yang ingin dibawa oleh PAS, namun suara Karpal Singh yang `Non Muslim' itu tidak memberi kesan besar terhadap perjuangan PAS. Pada PAS, jika pemimpin Umno yang mengaku Melayu dan Islam itu pun menolak hukum Islam, pelik apanya jika Karpal Singh menentangnya? Penentangan Umno terhadap Islam tentu lebih besar mudharatnya kepada perjuangan PAS jika dibandingkan dengan Karpal Singh kerana Umno parti yang berkuasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan sekarang. Penentangan Karpal Singh tidak memberi kesan kepada PAS kerana tanpa persetujuan Karpal Singh atau DAP sekalipun, jika semua umat Islam menyokong perjuangan PAS maka Islam pasti tertegak di negara ini.

PAS berkawan dengan DAP dan PKR adalah berdasarkan konsep kerjasama menentang kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah negara ini sekarang. Konsep kerjasama ini juga bertepatan dengan Islam. Usaha untuk mewujudkan Negara Islam bukan kewajipan PAS sahaja, lebih-lebih lagi DAP atau PKR. Kewajipan ini merupakan kewajipan semua umat Islam. Jika Umno benar-benar berminat dan yakin dengan sebuah Negara Islam, apa masalahnya jika Umno turut sama berjuang dengan PAS? Hakikatnya Umno tidak berminat dengan Islam, justeru itu jangan sibuk dengan apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh.

Friday, July 2, 2010

Pemuda MCA selar PERKASA: Ektremis celaka ini patut ditahan ISA!

"Jikalau PERKASA mahu Wee Ka Siong dipenjarakan kerana kenyataan Pemuda MCA yang membela keadilan, maka ekstremis yang celaka ini lebih patut dipenjarakan di bawah ISA," kata Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng.

Demikianlah kemarahan daripada Pemuda MCA, berikutan laporan utama edisi sulung Suara PERKASA yang bertajuk "Tahan Ka Siong bawah ISA". Beberapa orang pemimpin Pemuda MCA tampil mempertahankan Ketua-nya, masing-masing menyasarkan serangan terhadap Presiden PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia), Ibrahim Ali.

Antaranya, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng menganggap Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran tidak bersalah, malah memberi amaran bahawa "jangan hina maruah Pemuda MCA!", kerana Pemuda MCA tidak akan bertolak ansur dengan provokasi yang biadap ini.

Malah, Pemuda Wilayah Persekutuan MCA mendesak agar kerajaan menyatakan sikapnya untuk mengasingkan diri daripada tindakan Ibrahim Ali yang biadap, mencelarukan sentimen perkauman, dan mencungkil saraf sensitif. Untuk Pemuda Wilayah Persekutuan MCA yang sanggup jadi benteng Wee Ka Siong, seandainya kerajaan berdiam diri dalam isu ini, maka ia adalah penghinaan terhadap MCA sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.

Oleh itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA (gambar kanan) mahu Kementerian Dalam Negeri melucutkan permit penerbitan PERKASA, sebagai amaran kepada kenyataannya yang ekstrem, malah berharap agar penjual akhbar mengambil inisiatif untuk memboikot akhbar ini, demi menjaga keamanan negara.

Akta Hasutan terhadap PERKASA dan Ibrahim Ali

Selain itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen turut menggesa agar polis menangkap Ibrahim Ali dan mengambil tindakan terhadap Suara Perkasa, dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.

"Artikel dalam Suara PERKASA yang menggesa untuk menangkap Wee Ka Siong dengan ISA ini telah mencungkil kemarahan Pemuda MCA. Seandainya kerajaan berpeluk tubuh dalam isu ini, Pemuda MCA akan menyerang balik sehabis-habisnya. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA," kata Chai Kim Sen (gambar kiri) dalam kenyataannya.

Malah, Setiausaha Agung Pemuda MCA ini menambah, "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"

Pemimpin Pemuda MCA bangkit menyerang

Di samping itu, terdapat beberapa orang pemimpin Pemuda MCA lain yang turut mengeluarkan kenyataan media untuk menyelar Ibrahim Ali, hari ini. Ketua Pasukan Pemuda Kebangsaan MCA, Yap Tian Hoi membidas Suara PERKASA kerana menggunakan propaganda "kelas rendah" untuk mencungkil sentimen perkauman.

Ketua Biro Kajian Strategik dan Perancangan Pemuda MCA, Foo Seck Chyn (gambar kanan) pula membidas bahawa kesabaran kerajaan untuk membenarkan hujah perkauman ini berleluasa telah mencungkil kemarahan rakyat.

Naib Setiausaha Agung Pemuda MCA, Loh Chew June pula mendesak agar kerajaan memisahkan diri dari PERKASA, untuk membuktikan bahawa kerajaan mendukung semangat 1Malaysia, dan tidak bersekutu dengan pertubuhan yang ekstrem dan berkelas rendah ini.

Tukar Sekali Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri

Pakatan Rakyat bukan sahaja disaran menggantikan Penasihat Undang-Undang dengan peguam sendiri, sebaliknya gagasan itu turut dicadang melantik Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri pilihan mereka.Hal ini disuarakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari

Ini kerana, beliau menyifatkan ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan Persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat
"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," katanya.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan Persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh Peguam Negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari Pejabat Peguam Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan Pusat.

"Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aziz, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur Perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Beliau bagaimanapun mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana.

"Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Artikel Menghasut: KJ Minta Suara Perkasa Disiasat

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa berhubung penyiaran berita muka depan akhbar itu yang mahu Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Hari ini saya dengar Suara Perkasa keluarkan berita muka depan kata tahan Ka Siong bawah ISA, saya tidak setuju kerana benda macam itu menghasut dan salah.

"Saya lakukan ini bukan sebab saya nak pertahan Ka Siong tetapi kerana artikel ini salah dan harus disiasat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Suara Perkasa, yang merupakan akhbar Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa)dalam edisi sulungnya menyiarkan berita muka depan yang berunsur provokatif menerusi artikel "Tahan Ka Siong di Bawah ISA".

Konflik antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Khairy berkata memperjuangkan hak orang Melayu bukanlah satu masalah, tetapi kepentingan kaum lain tidak diketepikan.

"Bagi saya BN (Barisan Nasional), Umno kita nak melihat inklusif untuk semua, tidak mengapa Perkasa berjuang untuk orang Melayu, tetapi cara dia buat, saya tidak setuju," katanya.

Sementara itu, Wee ketika ditemui berkata beliau akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung penyiaran artikel tersebut.

Katanya, beliau hairan kenapa perkara itu tersebut masih dibangkitkan sedangkan penjelasan berhubung isu biasiswa telah diberikannya.

Saman Felda, lalu rakyat diam?


Saya seronok membaca kenyataan Ahmad Maslan. Felda menyaman PKR dan Suara Keadilan.

Tajuk berita Suara Keadilan ' Felda Bangkrap' dikira memfitnah Felda.

Ternyata Felda terdesak menutup perbincangan bagaimana rizab tunai susut lebih cepat dari paip bocor.

Felda memang belum bangkrap. Bangkrap yang dipakai sebagai tajuk oleh Suara Keadilan juga bukan bermaksud begitu.

Saman satu cara. Jika ada pihak yang takut lalu membisu, seronoklah Felda. Cerita ia berbelanja besar akan tertutup.

Tidak semudah itu. Saya yakin ramai pihak akan membantu Suara Keadlan merangka afidavit mendetailkan pemborosan-pemborosan dan pebelanjaan yang mengeringkan kantong Felda. Afidavit ini boleh dipetik pula oleh apa saja media. Mungkin, kesan tidak memihak kepada Felda.

Itu sebab saya seronok. Ini 'launching pad' untuk gerakan membongkar Felda mendapat tempat terhormat.

Jika Felda benar dan perbelanjaannya prudent, tidak ada salah menjemput MP ke satu taklimat Felda. Buka untuk pertanyaan. Ajak media ikut sama. Bentangkan penyata yang diodit. Jelaskan rasional tiap perbelanjaan dan pelaburan.

Rakyat rasa puas. Keraguan hilang. Keyakinan terbina. Maruah Felda memuncak.

Ahmad Maslan menekankan nilai saman RM 200 juta. Sekalipun Suara Keadilan ditakdirkan membayar semua saman itu, ia tidak cukup untuk menampung akaun Felda yang kekeringan.

Pada waktu Felda hauskan 200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda. Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi.
Posted by faqir putih at 4:20 AM 0 comments
Tuesday, June 29, 2010
UMNO Putera keringkan wang Felda
Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.


Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kerajaan Kelantan.

Thursday, July 1, 2010

SAMADA AZMIN ATAU KHALID, KEDUA-DUANYA UMNO TAKUT

Oleh: WFAUZDIN NS

APA yang dikecohkan oleh media pencacai pro Umno sekarang adalah berkenaan kepimpinan kerajaan Negeri Selangor di bawah PKR. Kununnya YB Azmin mahu merampas kuasa MB Selangor dari YB Khalid. Apabila YB Azmin dilantik pula menerajui PKR di Selangor menggantikan YB Khalid, maka bertambah seronok pula segala jenis pencacai di dalam Umno.

Paling melucukan juga, yang berada di luar Umno kununnya Bebas pun terikut dengan komen-komen dungu dari puak-puak Umno. Mereka beranggapan tanpa kuasa sebagai pemimpin politik di Selangor, maka YB Khalid tidak layak menduduki kerusi MB Selangor. Oleh kerana masing-masing berebut untuk mengampu Najib, maka mereka terlupa beberapa negeri di bawah BN juga serupa. Di Terengganu contohnya, siapa jadi MB dan siapa pula mengetuai Umno Terengganu? Di Perlis pula bagaimana? Usah diceritalah negeri-negeri lain yang mereka tidak kuasai seperti di Kedah dan Selangor. Di Kedah, orang seberang laut mengetuai Umno Kedah. Dengar loghat bahasa pun sudah macam itik dengan ayam. Di Selangor, tiba-tiba anak jati Pahang pula mengetuai Umno Selangor. Pencacai lupa semua itu, termasuklah TPM sendiri yang mengulas isu Selangor seperti ulasan budak tidak mengaji.

Sebenarnya, Umno amat takut jika YB Azmin menjadi MB Selangor. Ini adalah kerana YB Azmin mempunyai kekuatan dan strategi politik yang bijak serta mampu memperkuatkan PKR khususnya di Selangor. Umno memang takut jika YB Azmin menjadi MB Selangor, tapi mereka juga bimbang dengan kekuatan dan kebijaksanaan YB Khalid sebagai MB Selangor. Ini adalah kerana YB Khalid terkenal dengan sikap tegas, telus dan bijak selaku pentadbir. Buktinya, sudah banyak kali Selangor cuba diganggu dengan berbagai cerita, persepsi dan fitnah buruk, namun YB Khalid yang terkenal dengan sikap `cool'nya berjaya mengatasi mainan kotor puak mereka. Selaku penyokong PR, kita juga mungkin merasa `rambang mata' dengan ketokohan kedua-dua mereka ini.

Samada YB Khalid dikekalkan atau YB Azmin dilantik, Selangor tidak rugi sedikit pun. Dasar PR tetap tidak berubah dan sesiapa pun menjadi MB Selangor tetap akan mendahulukan rakyat. Dasar merakyatkan Selangor pada waktu ini amat baik dikekalkan. Mungkin jika berlaku perubahan di kerusi MB Selangor, yang berbeza cuma pendekatan untuk memantapkan lagi Selangor. Secara peribadi, saya berharap YB Khalid terus diberi peluang untuk menunjukkan kebolehannya. YB Azmin lebih layak berada di peringkat lebih tinggi dari MB memandangkan pengalamannya di arena politik.

Penjelasan YB Azmin secara terbuka bersedia untuk mengosongkan kerusi Dun sekiranya parti membenarkannya bagi membuktikan bahawa beliau bukan gila kepada kerusi MB Selangor wajar dipuji. Manakala, pengakuan YB Khalid juga secara terbuka meminta agar YB Azmin dilantik mengetuai PKR Selangor juga patut diberi penghargaan. Sokongan terbuka YB Azmin terhadap YB Khalid selaku MB Selangor tentunya memedihkan hati dan jiwa Umno. Hasrat mereka untuk melihat kedua-dua pemimpin ini terus bertelagah hancur jua.

Nampaknya hasrat Umno di Selangor untuk menguburkan PKR khususnya dan PR amnya tidak mungkin kesampaian. Meskipun mereka diketuai oleh PM sebagai pemimpin di Selangor ditambah pula dengan adanya Senatak Ezam sesumpah, Umno akan terus gagal kerana rakyat di Selangor tahu membezakan antara mana satu parti yang suka menghisap darah rakyat.

Peguam Bala: Kami kecewa tapi tetap tunggu SPRM di London

Katanya, Balasubramaniam dengan mudah boleh berada dalam buangan kendiri bersama wang RM5 juta yang ditawarkan demi menikmati kehidupan lebih baik lagi selesa.

Pun begitu kata Americk, Balasubramaniam sanggup tampil untuk mendedahkan tindakan pihak-pihak yang memiliki kuasa dan anggota keluarga mereka, yang menawarkan ganjaran lumayan yang didakwanya sebagai “rasuah” dalam kes ini.

“Jika SPRM memerlukan dokumen-dokumen yang ditandatangani Balasubramaniam untuk merumuskan siasatan mereka, saya mahu mencadangkan agar mereka boleh mendapatkan dokumen-dokumen yang terdapat di ruang siber dalam bentuk akuan bersumpah pertama Julai 2007 dan tiga bahagian dokumen soal jawab yang dikeluarkan November 2009.M/Insider

“Kesemua dokumen ini membutirkan isu-isu yang wujud dalam konspirasi dan ia sudah lama terdapat (di internet).

“Jika ini yang diperlukan oleh SPRM, mengapa tidak siasatan mereka diteruskan tanpa kerjasama Balasubramaniam?

“Mengapa Nazri (Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri) memaklumkan di Parlimen bahawa SPRM tidak boleh meneruskan siasatan kerana Balasubramaniam tidak boleh dikesan?” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata pada sidang media petang tadi berkata pihaknya memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam.

Sebaliknya Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemuka menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

“Kami telah merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan berhubung implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara dan kami dinasihatkan agar tidak meneruskan pendekatan itu,” katanya .

Shukri berkata tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM akan mengemukakan soalan kepada penyiasat persendirian itu melalui peguamnya bersama surat iringan menyatakan keputusan yang telah diambil, katanya.

Americk menambah, Balasubramaniam sebenarnya boleh dihubungi SPRM bila-bila masa dan mereka juga sedar tentang perkara ini.

“Kami ada dokumen untuk membuktikan yang kami memaklumkan mereka tentang kesediaan kami untuk bekerjasama sejak Disember lalu,” kata beliau sambil menambah, mengapa mengambil tindakan ini saat-saat akhir ini.

Kata beliau, keputusan saat-saat akhir SPRM, yang diumumkan petang ini, dengan sendiri memusnahkan “sedikit kredibiliti” yang ada pada agensi tersebut.

The Malaysian Insider difahamkan SPRM dinasihatkan agar tidak pergi ke London untuk mengambil keterangan Balasubramiam pagi ini.

Keputusan itu kemudian diumumkan petang ini kepada media.

“Ini juga mengesahkan kesangsian yang dimiliki sebahagian besar rakyat yang waras bahawa mereka (SPRM) adalah badan yang hanya melindungi kepentingan mereka yang ada kuasa dan untuk memastikan bangkangan terhadap kerajaan ditangani dengan tegas dan keras, menggunakan cara-cara tidak munasabah dengan tujuan mahu memusnahkan apa juga persoalan sahih terhadap rejim yang memerintah agar kuasa yang ada kekal di tangan mereka,” kata Americk lagi.

Sehubungan itu Americk berkata, barisan peguam yang mewakili Balasubramiam akan berada di hotel Holiday Villas, Bayswater pada pukul 10 pagi 5 Julai ini, menanti kehadiran tiga pegawai SPRM sebagaimana telah diatur dan dijanjikan.

Katanya, apa jua nasihat yang SPRM peroleh daripada Jabatan Peguam Negara sangat dikhuatiri dan bertujuan mengalihkan lunas perundangan.

Malah Americk juga mendakwa SPRM tidak menunjukkan keseriusan untuk menemui Balasubramaniam memandangkan pihak berkenaan masih belum membuat sebarang tempahan ruang untuk mengadakan sesi mengambil keterangannya.

“Mereka memang tidak berhasrat untuk menemu bual Balasubramaniam dan menghabiskan beberapa minggu lalu hanya untuk mencari alasan-alasan untuk tidak datang,” katanya lagi.

Wednesday, June 30, 2010

Malaysia punya Menteri Kabinet Cap Ayam?


Komandan Maktab Tentera Diraja(MTD) ditukarkan atas alasan mesti bertanggungjawab atas peristiwa yang berlaku di MTD baru-baru ini yang membabitkan kematian pelajar.

Menteri Pertahanan Zahid Hamidi ketika memberi arahan menyatakan Komandan itu mesti bertanggungjawab dan patut menerima hukuman.

Kenyataan Zahid adalah suatu yang biasa dikeluarkan oleh mana-mana Menteri Kabinet Kerajaan Malaysia apabila berlaku peristiwa yang tidak diingini. Yang mesti bertanggungjawab adalah "ikan-ikan bilis" sahaja. Sang Jerung pasti terlepas. Segala kejahatan, kelemahan dan kesalahan adalah tanggungjawab rakyat bawahan.

Sememangnya Menteri Kabinet Malaysia jenis "kebal" dari pendakwaan. Setiap kesalahan ditudingkan kepada rakyat marhein semata.

Semuanya yang salah adalah rakyat. Yang buat jahat orang atasan tetapi yang kena golongan rakyat,golongan yang lemah dan tiada wang!

Lihat kes Altahtunya. Yang kena orang berpangkat rendah. Lihat kecurian enjin Jet. Yang jadi mangsa yang berpangkat rendah.

Selamanya para Menteri dan atasan bebas dari pendakwaan. Mengapa ? Mereka ada kuasa. Mereka ada wang. Dan mereka tiada maruah!

Jenis spesis Menteri Kabinet Malaysia jika tinggal di Jepun bakal diketawakan oleh Doremon. Mungkin juga bakal diberi pedang Samurai oleh rakyat Jepun untuk mereka pakat "pancung" kepala sendiri!

Malangnya Malaysia punya Menteri Kabinet Cap Ayam.

Maruah Najib Tun Razak dicalar puak-puak Umno

Lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kelantan pada 16 Jun lepas telah melakar sejarah tersendiri kepada maruah politik beberapa pihak. Lakaran sejarah itu dilihat lebih bersifat maruah politik kerana di sebaliknya ada sesuatu yang tidak kena telah dilakukan oleh Umno Kelantan selaku tuan rumah kepada lawatan tersebut. Antaranya, tindakan Umno Kelantan membelakangkan Kerajaan Negeri, terutama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sesuatu yang mencalar maruah politik di depan rakyat Kelantan.Berikut adalah catatan diari Perdana Menteri sepanjang sehari membuat lawatan rasmi ke Kelantan. Diari ini boleh dicapai menerusi lama web rasmi Perdana Menteri di alamat http://www.pmo.gov.my/index.php?menu=event&page=1855.

Masa dan acara pada 16 Jun 2010:
9:30 pagi - Perjumpaan bersama Bandan Perhubungan Umno Kelantan di Hotel Renaissance, Kota Bharu.
10:30 pagi - Majlis Pelancaran Ar0Rahnu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersebelahan Komnpleks MARA Kota Bharu.
10:50 pagi - Tinjauan mesra bersama pemandu teksi, kereta sewa dan penarik beca di Tapak Bomba Lama & Stesen Pohon Pinang, Kota Bharu.
1:10 petang - Mengadap KDYMM Al-Sutan Kelantan di Istana Mahkota.
3:30 petang - Program bersama rakyat di Wat Machimaran, Jubakar Tumpat.
6:15 petang - Mengadap YMM Pemangku Sultan Kelantan di Istana Telipot.
9:00 petang - Majlis Perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan MUhamad Kota BHaru.

Analisis mudah lawatan Perdana Menteri

Berdasarkan acara ketat daripada catatan diari Perdana Menteri di Kelantan itu, ternyata sifat lawatannya berstrategi serampang dua mata. Maksudnya adalah bermotif politik dalaman Umno Kelantan dan Barisan Nasional amnya, dan acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik.

Acara politik dalaman melibatkan perjumpaan Badan Perhubungan Umno (bukan BN) diikuti perjumpaan masyarakat Siam di Tumpat sebagai langkah pemerkasaan politik BN di akar umbi. Sementara acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik ialah melibatkan BIMB untuk merasmikan pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan syarikat Red Carpet untuk merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010. Pun begitu ada juga program sampingan yang bersifat kosmetik iaitu melibatkan penerimaan memorandum pemandu teksi dan minum-minum di restoran bersama pemimpin Umno dan MCA Kelantan.

Lawatan politik

Sumber berita (Berita Harian, 17 Jun 2010) melaporkan, Ar-Rahnu Bank Islam adalah pajak gadai Islam pertama Kota Bharu. Pembabitan Bank Islam dalam perkhidmatan pajak gadai Islam merupakan agensi kewangan keempat berlaku di Kelantan. Sebelum ini telah ada Ar-Rahn Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Ar-Rahnu Bank Rakyat dan Pajak Gadai Islam Farihan Corporation. Di samping telah ada juga pajak gadai Islam anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) dan koperasi serta pajak gadai konvensional (riba) yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Namun, pembabitan BIMB dengan pajak gadai di Kelantan adalah hasil pengambil-alihan dan usaha sama strategik dengan Farihan Corporation Sdn Bhd (FCSB) yang dimiliki oleh mantan Pengurus Besar PKB, Haji Aziz Nawi. Sekadar catatan, Aziz yang mengasaskan Farihan telah mendapat lesen Kementerian Kewangan bagi membuka pajak gadai Islam sebaik beliau berundur dari PKB.

Melalui Ar-Rahnu Bank Islam ini, BIMB menguasai 80 peratus kepentingan dalam FCSB dan 20 peratus lagi dimiliki oleh Pengarah FCSB, Haji Aziz Nawi dan keluarganya. Maka, kemunculan Ar-Rahnu Bank Islam ini sudah tentu bakal bersaing dengan pajak gadai Islam yang sedia ada. Sekali gus, menjadikan pasaran pajak gadai Islam di Kelantan adalah antara pemacu ekonomi Islam di negeri ini.

Namun, apa yang menjadi isu di sebalik pembukaan Ar-Rahnu Bank Islam adalah terserlah nilai politik tersendiri. Ia mencatat maruah politik berikutan kehadiran Perdana Menteri merasmikan pajak gadai tersebut tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sedangkan Menteri Besar Kelantan adalah pencetus dan pendorong serta faktor pertumbuhan kepada sistem kewangan Islam di Kelantan. Hatta, Aziz sendiri pun ketika di PKB dulu adalah penggerak asal yang berjaya merealisasikan cetusan dan dorongan kewangan Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tiba-tiba, kejayaan itu telah tidak dikongsi bersama Perdana Menteri semasa majlis perasmian premis kewangan Islam tersebut. Maka, ia sudah dilihat sebagai isu politik Kelantan dan lawatan Perdana Menteri merasmikan pajak gadai itu adalah lawatan politik.

Di manakah silapnya?

Ada khabar mengatakan berlaku demikian bukan atas kehendak pihak Bank Islam, tetapi disebabkan tekanan politik Umno Kelantan yang tidak ingin Menteri Besar Kelantan hadir bersama-sama Perdana Menteri. Mungkin ada hubungannya dengan isu fitnah membabitkan penggunaan masjid semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor (25 April 2010) apabila Najib menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai mengengkari Sultan Selangor. Mungkin logik dan benar, kerana Umno Kelantan sekarang sudah lemas dan tercungap-cungap. Oleh itu, tidak bolehlah dipersalahkan kepada pihak Bank Islam dan jangan nanti Bank Islam dipulau pula oleh rakyat Kelantan.

Memperkukuhkan lagi perkara yang berlaku di sebalik perasmian pajak gadai Islam itu, adalah jadual lawatan Perdana Menteri seperti dalam diari, menunjukkan keutamaan acara adalah nilai politik. Antaranya, permulaaan acara lawatan itu sebaik tiba dari jet khas di Pengkalan Chepa adalah perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan di hotel penginapan (tidak di bangunan Umno – sudah menggambarkan naifnya Umno Kelantan kerana melayan Perdana Menteri selaku Presiden Umno di hotel bukan di bangunan sendiri).

Pada perjumpaan itu, sudah tentu Perdana Menteri telah mendengar beberapa asakan politik berkaitan program sehari lawatan ke Kelantan (sebenarnya lawatan hanya berlaku di Kota Bharu dan Tumpat sahaja). Oleh itu, wajarlah semua program lawatan Perdana Menteri tidak disertai sama pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan. Atas rasional tersebut, semasa lawatan ke Wat Budhha bertemu masyarakat Siam di Tumpat maka tiada seorang pun pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dijemput.

Perdana Menteri menabur janji

Justeru, ia mendorong Perdana Menteri mengumumkan banyak janji dan umpan bagi memperkasakan sokongan akar umbi kepada politik BN. Ia dipekukuhkan lagi dengan seruan memujuk masyarakat Siam supaya memberi kerjasama kepada BN untuk bersama menegakkan 'dacing' supaya 'seimbang' tidak senget seperti yang disindirkan oleh wakil masyarakat Siam yang berucap.

Mengukuhkan lagi seruan memujuk itu ialah janji untuk meluluskan peruntukan RM200 ribu bagi membiayai pengajian bahasa Siam. Janji tersebut diungkapkan di depan pemimpin Umno Kelantan dalam keadaan rakyat mempersoalkan di mana janji untuk mendaulatkan bahasa Melayu tanpa diketahui berapa kos yang diluluskan. Semua janji itu, telah disiar langsung pihak RTM Kelantan dan didengari oleh majoriti orang Melayu, termasuk ahli Umno.

Maka, ucapan politik Perdana Menteri bersama masyarakat Siam nampaknya cukup janggal. Ia kelihatan janggal bukan sahaja berpolitik dalam wat (tempat ibadat), tetapi juga kerana masyarakat Siam yang minoriti itu sudah nampak majoriti. Lebih-lebih lagi, tindakan Perdana Menteri itu turut mempromosikan jenama perniagaan politik Umno bertemakan "1Malaysia" sebenarnya berniat memujuk sentimen masyarakat bukan Melayu kembali menyokong BN.

Sedangkan majoriti rakyat Kelantan adalah majoriti orang Melayu yang tertunggu-tunggu sekian lama akan pengumuman Perdana Menteri bagi merungkaikan kemelut pembangunan Melayu Kelantan, khususnya bagi pemimpin Umno Kelantan yang sentiasa tak puas hati dengan pencapaian pembangunan negeri Kelantan sepanjang 20 tahun di bawah PAS.

Namun, kehadiran Perdana Menteri kali ini tidak memenuhi harapan majoriti rakyat Kelantan yang masih mempersoalkan kewibawaan Dato' Mustapa Mohamad selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di dalam menguruskan projek besar yang kesemuanya tergendala. Tiada jawapan daripada Perdana Menteri kenapa tergendalanya projek-projek pembinaan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jabatan Sultan Yahya Petra, Jalan Pasir Puteh-Tok Bali, Jalan Jeli-Jelawang dan Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang serta perlebaran lapangan terbang.

Malah lebih dari itu, majoriti rakyat ingin kepastian kenapa judi bola diluluskan dan bila wang royalti petroleum akan diberikan kepada kerajaan negeri? Realitinya, Perdana Menteri datang dengan alunan sumbang, maka kekecewaan terluah di kalangan majoriti rakyat Kelantan.

Maruah Perdana Menteri tercalar teruk

Demikian juga pemimpin dan ahli Umno begitu kecewa, kerana lawatan yang merangkumi agenda ketat lagi besar termasuk menghadap Sultan dan Pemangku Raja serta kemuncaknya adalah perasmian Karnival Kelantan Festa 2010 dianggap gagal mencapai matlamat. Paling kecewa kerana Karnival Kelantan Fiesta 2010 dengan misi pelancongan, perdagangan dan pemaklumatan telah bertukar kepada pesta menjatuhkan maruah Perdana Menteri.

Apa yang terjadi ialah sirami hujan dan cakap tanpa suara gembira Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan karnival yang sudah tidak bertaraf sukaneka Umno cawangan. Kekecewaan itu jelas tergambar melalui kenyataan penganjur (Red Carpet) yang mengaitkan kepulangan Perdana Menteri tanpa hadir merasmikan karnivalnya sebagai berpunca daripada sabotaj oleh Kerajaan Negeri (Sinar Harian, 21 Jun 2010).

Secara tidak langsung juga kenyataan Red Carpet (dilihat selaku proksi kepada Umno Kelantan) itu turut mengaitkan maruah Pemangku Raja dan Menteri Besar Kelantan. Layaklah dikatakan penganjur karnival itu adalah agen besar yang sudah kecewa (desprate). Kekecewaan itu telah terpalit sama Umno Kelantan yang diluahkan oleh olak fikiran di luar rasional.

Sepatutnya, ketidak hadiran Pemangku Raja Kelantan dan Perdana Menteri merasmikan karnival tersebut tidak boleh dipersalahkan kepada kerajaan negeri. Sebaliknya yang bersalah adalah pihak penganjur sendiri yang tidak mengamalkan sikap hormat menghormati. Apa yang tersebar luas, pihak penganjur telah menolak penglibatan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, sedangkan penganjuran majlis telah menggunakan nama negeri, premis dan prasarana serta perundingan awal dengan wakil kerajaan negeri.

Apakah motif sebenar pihak penganjur?

Jawapan kepada persoalan tersebut adalah apa yang tersirat di sebalik realiti. Di sana telah ada politicking sesama pemimpin Umno Kelantan. Akibatnya, perjumpaan sesama pemimpin Umno didahulukan, kunjungan hormat menghadap Pemangku Raja dikemudiankan serta menafikan kebersamaan Menteri Besar di semua majlis yang dihadiri Perdana Menteri. Nampak sangat ia adalah acara lawatan politik seorang Presiden Umno untuk Umno Kelantan.

Demikian lagi, berlaku secara halus gerakan anti-Mustapa sehingga menjatuhkan maruahnya yang terpaksa merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010 dalam cahaya 'blackout' di padang bola stadium yang muatnya 30 ribu tetapi dihadiri hanya tiga ratus orang. Natijahnya, Perdana Menteri sudah diaibkan dan maruahnya sudah dicalar kerana penganjur gagal mempromosikan karnival itu ke taraf nasional akibat daripada otak sempit yang turut menafikan pengaruh Menteri Besar Kelantan di dada rakyat.

Maka, tugas Mustapa selepas ini adalah menjawab secara logik untuk memujuk dan menyapu calaran di muka Perdana Menteri. Di samping terpaksa membersihkan syak wasangka pemimpin Umno akar umbi akibat kegagalannya memantau dan menjamin lawatan Perdana Menteri pada sehari 16 Jun mencapai matlamat.

Berdasarkan apa yang berlaku, sebenarnya majoriti rakyat Kelantan sudah tahu ceritanya kenapa semua itu terjadi. Apa yang pasti takdir Ilahi, Tuhan Yang Maha Esa telah mengarahkan aparatusnya, berupa hujan dan ribut serta 'blackout' sebagai pengiring mengakhiri lawatan Perdana Menteri ke Kelantan.

Sudah pasti tercatat rasa kekecewaan pemimpin Umno, tetapi janganlah sampai Tuhan dipersalahkan. Ingatlah manusia sekadar merancang, Tuhan pun merancang dan segala-galanya adalah Tuhan yangmenentukan. Rumusannya, Umno Kelantan sudah mengalami kecelaruan akibat kekecewaan yang turut mencalar maruah seorang Perdana Menteri.-

Empat ADUN PKR Selangor letak jawatan?

Saya dengan ini melahirkan rasa terkilan kerana nama saya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat ADUN KEADILAN Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Selain saya (gambar kiri), Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia), Amirudin Shari (ADUN Batu Caves), dan Shuhaimi Hj Shafiei (ADUN Sri Muda) juga turut dikaitkan dengan isu ini.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini. Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya meyokong penuh kepimpinan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Negeri Selangor. Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor. Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Khalid Ibrahim memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri.

Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong. Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini.

*Kenyataan media oleh Haniza bt. Mohamed Talha selaku ADUN Taman Medan Negeri Selangor.

Pakatan lantik penasihat undang-undang sendiri

Negeri-negeri Pakatan Rakyat akan melantik penasihat undang-undang mereka sendiri dan memberhentikan amalan sekarang yang mana jawatan berkenaan diisi oleh perwakilan daripada Pejabat Peguam Negara.

Pada sidang media oleh pemimpin Pakatan di parlimen, hari ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu perlu berikutan 'kecuaian' oleh penasihat undang-undang yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

"Kita akan mencadangkan negeri-negeri Pakatan supaya melantik sendiri peguam mereka sebagai penasihat undang-undang,” kata Anwar.

"Ini kerana pejabat peguam negara tidak berkecuali. Mereka mewakili kepentingan kerajaan Umno-BN. Ini menyebabkan banyak masalah kepada pentadbiran negeri-negeri, sebagai contoh di Kelantan seperti yang dijelaskan oleh exconya hari ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar tidak mengulas lanjut masalah yang dihadapi di Kelantan itu.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsei perjanjian air sebagai dokumen awam.

Mengulas laporan Berita Harian semalam yang memetik kenyataan Pemuda Umno bahawa nisbah kaum Melayu yang mendaftar sebagai pengundi berbanding Cina adalah 40:1, Anwar berkata, Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) seharusnya mengeluarkan angka tepat dan tidak menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, dalam keghairahan SPR menyokong kenyataan Pemuda Umno, SPR seakan-akan lupa bahawa laporan sebegini hanya memperlihatkan kegagalan badan itu dalam menarik minat rakyat yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi.

"Ini memperlihatkan kegagalan SPR dalam menjalankan tugas mereka dengan berkesan," kata Anwar.

Anwar sebulat suara menyokong pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan SPR supaya melaksanakan daftar pengundi secara automatik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencabar SPR untuk memberikan angka yang sebenar bagi membuktikan apa yang diperkatakan Umno adalah benar.

“Saya simpati dengan mereka”


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam nada sinis, bersimpati dengan segelintir golongan ulama yang masih berminat menyertai UMNO, walaupun mereka tahu perlakuan pemimpin UMNO tidak sehaluan dengan ajaran al-Quran.

“Pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran. Jika masih ada golongan ulama yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu bersimpati,” katanya dipetik dalam blognya www.blogtokguru.com.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian sebagai merujuk tindakan 40 ulama muda, terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelulusan akademik, menyertai UMNO dan menyerah borang permohonan keahlian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Nik Aziz turut mengulas isu lesen judi yang menjadi polemik kepada negara sebelum Najib umumkan ia tidah diluluskan dalam sidang medianya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Kekayaan yang diperoleh negara tidak setimpal sekiranya kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat teruk serta tidak mendapat keberkatan.

“Di Kelantan kami percaya keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT. Atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan,” kata Nik Aziz.

Sebelum Najib mengumumkan ia tidak diluluskan, beberapa pemimpin Barisan Nasional dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju agar kerajaan memberi lesen judi bagi mengawal kegiatan perjudian, selain untuk memberi hak kepada orang bukan Islam.

Dr Asri jelas kedudukan sebenar di Kota Bharu

Setelah ura-ura Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno bersama kelompok ulama muda tidak menjadi kenyataan, bekas Mufti Perlis itu akan dibawa ke Kelantan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Orang ramai di sini dijangka berpeluang mendengar sendiri penjelasan Dr Asri, sejauh mana dakwaan terhadapnya konon berminat menyertai Umno.

Beliau diundang pada siri wacana perdana yang akan dianjurkan kerajaan negeri pada 10 Julai ini bertempat di Balai Islam, Lundang bermula jam 9 malam.

Wacana itu bertajuk ‘Bolehkah Melayu Bersatu?’ turut mengundang dua Exco Pemuda Umno Malaysia, Ustaz Afandi Yusof dan Lokman Noor Adam. Selain itu anggota parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Manakala Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof akan bertindak sebagai moderator.

Pengarah program berkenaan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, pemilihan tajuk tersebut sesuai dengan pelbagai tafsiran dibuat berkaitan kedudukan orang Melayu di negara ini sekarang.

”Ada tafsiran yang optimis, dan ada pula yang pesismistik, namun begitu negara ini telah melalui pelbagai bentuk perubahan politik, ekonomi, dan sosial yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu,” katanya di sini.

Wacana tersebut merupakan beberapa siri forum diadakan di Kelantan sejak 2008. Wacana itu pernah mempertemukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Bekas pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad juga pernah diundang ke wacana berkenaan sebelum ini.

Wacana itu dianjur dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Air Kelantan Sdn. Bhd. Selain itu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Kelantan TV (KTV) dan Galeri Al-Mizan.

Sebelum ini Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh mendakwa kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi akan menyertai Umno termasuk Dr Asri.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu hanya 40 sahaja sahaja ulama muda dilaporkan menyertai Umno tanpa kehadiran Asri pada majlis yang dihadiri presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasar kepada jumlah itu hanya seorang sahaja iaitu Dr Fadlan Mohd Othman berkelulusan sehingga PhD.

Tuesday, June 29, 2010

Torpedo Kita Bayar 36.465 Juta Euro lebih Tinggi, Kepala Keretapi pula Kita Bayar RM500 Juta lebih tinggi....

Pemurah betul Pemimpin negara kita ini ya....


Kalau Ahli Parlimen Tian Chua (PKR-Batu) berkata kerajaan telah terlebih bayar dalam pembelian 40 buah peluru berpandu Exocet dan 30 buah torpedo Black Shark

Menurutnya Malaysia membayar 20% atau 36.465 Juta Euro dari harga pasaran jika dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh Portugal dan Pakistan- berita sepenuhnya sila baca di SINI.

Sekarang mari kita baca pula pendedahan oleh YB Dr Dzulkefly Ahmad mengenai RM500 juta yang dibayar lebih dari tender asal untuk membeli kepala keretapi elektrik..

DIRGAHAYU MALAYSIA!!!

Bacalah....


Apakah K’jaan akan kerugian RM500 juta dalam pembelian 38 EMU 6 gerabak?



Mengapa Kementerian Pengangkutan membeli 38 tren elektrik enam gerabak (EMU) dari syarikat Zhu Zhou Electric Locomotive Co. Ltd (China) dengan harga RM1,824 bilion secara runding langsung atau RM500 juta lebih mahal dari asal tender sebelumnya.

Saya gagal untuk mendapatkan soalan tambahan kedua dari Speaker, setelah YB Parit Sulong diberikan laluan tersebut. Saya ingin mempertikaikan jawapan kementerian, sekaligus mendedahkan bagaimana dengan pembelian rundingan langsung ini, kerajaan akan membayar pembelian ini dengan bayaran sehingga RM500 juta lebih tinggi dari sepatutnya.

Ringkasan cerita:

1. Perkara ini, ingin ditegaskan adalah berbeza dengan isu ‘refurbishment’ atau naiktaraf taraf koc lama. Pada 3 Januari 2009, Presiden KTMB menyebutkan tentang hasrat pihak mereka untuk membuka tender bagi pembelian 38 set tren 6 gerabak (EMU). Dikatakan bahawa penawaran tender akan dibuat secepat mungkin kerana EMU perlu siap pada 2012. Kepentingan pengangkutan adalah sebahagian dari penambahbaikan perkhidmatan KTM Komuter dalam NKRA PM Najib menjelang 2012.

2. Terdahulu tender bagi membekalkan 8 set tren 3 gerabak (EMU) telah dipanggil pada 7 Mei 2008, sebelum NKRA diperkenalkan lagi pada 11 Julai 2009. Tender tutup pada 3 September 2008 tetapi tempoh sahlaku tender (tender validity) diperbaharui 5 kali sehingga terakhir pada 26 Mei 2010.

3. Membaca dari laporan terdahulu (cnth 2 Jun, UM), sumber industri telah pun melaporkan bahawa syarikat pengeluar Zhu Zhou dari China (yang dilantik menjadi pembekal EMU enam gerabak kini), telah pun dahulunya berjaya memenangi satu tender membekalkan 8 EMU 3 gerabak namun LOA tidak dikeluarkan atas sebab yang tidak diketahui.

4. Syarikat Zhu Zhou adalah merupakan antara 3 syarikat dari China yang menawarkan harga yang rendah dari 8 pembida. Zhu Zhou menawarkan harga Euro 2.745 juta setiap set EMU 3 gerabak atau RM13.725 juta. Zhu Zhou juga menawarkan penguruangan harga bagi opsyen 5 set EMU tambahan ketika itu.

5. Jelasnya tender lama berbeda dengan tender keperluan NKRA di segi set EMU 3 gerabak ditukar kepada set EMU 6 gerabak. Dengan kata lain, keperluan KTMB melalui ’Satements of Needs’ atau ’Pernyataan Keperluan’ mereka ialah konfigurasinya. Namum hakikatnya set 6 gerabak sebenarnya adalah mengandungi dua (2) set EMU 3 gerabak.

6. Mengambil kira perbezaan spesifikasi khususnya keperluan permasangan CCTV dan Slide Destination Panel, maka adalah menasabah mengandaikan ketika satu set EMU 3 gerabak bernilai RM13,725 juta, maka satu set EMU 6 gerabak ialah RM27,450 juta.

7. Berdasarkan keperluan untuk memenuhi ketetapan NKRA dengan kadar segera, Kementerian telah mendapat kelulusan untuk mengadakan rundingan terus kerana dikatakan juga akan mendapat penjimatan sekiranya membeli dengan kuantiti yang banyak atas faktor ’economy of scales’.

8. Amat malang bagi rakyat dan negara, apa yang diperolehi oleh Kerajaan ialah ’Harga Tawaran” yang jauh lebih mahal dari harga yang dipersetujui Kementerian ketika memulakan tender terbuka membekal 8 set EMU 3 gerabak dahulu. Sementara itu tender membekal 8 set EMU 3 gerabak telah dibatalkan padaa 27 April 2010.

9. Rakyat kini ingin tahu, mengapa ketika berlaku rundingan terus, syarikat ZhuZhou yang dulu menawarkan harga RM13.725 juta satu unit EMU 3 gerabak dan RM30 juta untuk satu set EMU 6 gerabak bagi membekalkan 5 set EMU 6 gerabak pada November 2007, telah mengambil kesempatan menawarkan harga setinggi RM48 juta satu unit EMU 6 gerabak atau RM1.824 bilion bagi 38 unit EMU 6 gerabak (tawaran Mei 2010). Harga ini, untuk pengetahuan umum, tidak termasuk maintenance, repair dan overhaul.

* Sehubungan dengan perkembangan ini, kerajaan digesa membatalkan segera LOA yang dikeluarkan kepada Zhu Zhou dan menyenaraikanhitamkan syarikat Zhu Zhou tersebut. Negara bakal kerugian sehingga RM500 juta sekiranya meneruskan pembelian 38 set EMU 6 gerabak dari syarikat Zhu Zhou ini.

* Saya juga ingin menyarankan supaya pihak Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mengambil tindakan supaya Menteri, Kementerian dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dipertanggungjawabkan atas perolehan ini kerana jelas akan melibatkan lebihan bayaran kepada kerajaan sehingga RM500 juta.

Kerajaan boleh sahaja meneruskan pembelian EMU 6 gerabak ini dari pembida China yang lain bagi mempastikan hubungan baik antara negara serta mempastikan memenuhi tuntutan NKRA lain yang telah ditetapkan oleh YAB PM.

Tanah KTMB di Singapura: Menang Sorak Sampai Tergadai


Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura adalah milik republik itu. Kenyataan ini tidak dinafikan, tetapi apa yang perlu disebutkan ialah selagi tanah itu digunakan untuk perkhidmatan keretapi, maka pihak berkuasa Singapura tidak boleh ganggu-gugat sama sekali.

Perlu disebutkan di sini bahawa perjanjian penggunaan tanah dan stesen keretapi dibuat pada tahun 1918 dengan kerajaan atau pentadbiran Negeri-negeri Selat atau Straits Settlements yang termasuk Pulau Pinang dan Singapura.

Dalam perjanjian tersebut, tanah berkenaan dipajak untuk tempoh 999 tahun, ini bermakna tempoh pajakan hanya akan tamat pada tahun 2917. Oleh itu, KTMB berhak ke atas tanah itu selagi ia mengendalikan perkhidmatan tren atau rel ke Tanjong Pagar.

Seperti yang kita sedia maklum, nilai tanah di Tanjong Pagar, Bukit Timah dan Keranji telah berpuluh kali berlipat ganda dan kini bernilai bukan dalam jutaan dolar Singapura (SD) tetapi berbilion SD. Sebab itulah Singapura, yang mewarisi hartanah pentadbiran Negeri-negeri Selat, mahukan sangat tanah KTMB.

Dalam penjelasan di Dewan Rakyat hari ini oleh seorang tiimbalan menteri, Dewan diberitahu bahawa sekiranya perkhidmatan rel tidak dijalankan, maka tanah tersebut akan dikembalikan kepada pihak Singapura tanpa apa-apa pampasan. Dewan tidak diberitahu bahawa selagi KTMB mengendalikan perkhidmatan rel, Singapura tiada hak untuk meminta KTMB berpindah ke Woodlands atau ke mana-mana dari Tanjong Pagar.

Ada pihak di Malaysia yang berkata persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Najib dan Lee Hsien Loong, di republik itu sebagai 'menang-menang' atau 'win-win situation' bagi kedua-dua pihak.

Siapa yang menang dalam erti kata sebenar?

Jawapannya sama seperti kes Batu Putih yang juga disifatkan oleh Menteri Luar ketika itu, Dr Rais Yatim sebagai 'menang-menang', dan kes dua blok telaga minyak di luar pantai Limbang, Sarawak yang diserahkan kepada Negara Brunei Darussalam.

Malaysia Boleh!

AKUAN BERSUMPAH BALA - MUNGKINKAH PEGAWAI SPRM DI TAHAN DI LONDON ?

Raja Petra Kamarudin

SPRM dijangka akan merekodkan kenyataan Penyiasat Peribadi P Balasubramaniam pada Isnin 5hb dan Selasa 6hb Julai 2010. Bertempat di Holiday Villa, London. Menurut Berita Harian dan The Star, ianya telah disahkan dan Bala bersama tiga orang peguamnya dijadualkan berada di London sepanjang tempoh itu.

Terkini, bagaimanapun, SPRM telah menulis kepada peguam-peguam Bala memberitahu mereka tidak akan dibenarkan hadir ketika kenyataan Bala direkodkan. Peguam-peguamnya berkeras bahawa mereka tetap akan hadir dan tidak akan menyerah berkenaan isu ini. SPRM juga tidak mengalah dengan mengugut yang keseluruhan sesi itu akan digugurkan.

Mungkin ini yang mereka mahu. Mereka bukannya benar-benar hendak mengambil kenyataan Bala kerana risau tentang apa yang akan dia perkatakan. Bala juga akan membawa bersama pelbagai dokumen-dokumen, termasuk bukti wang yang dia telah dibayar untuk mengubah Akuan Berkanunnya dan keluar bersama Kenyataan Bersumpah 2 untuk menarik balik apa yang dikatakannya dalam Akuan Bersumpah 1.

Saya telah bercakap bersama sekumpulan peguam-peguam British tentang perihal ini dan mereka merancang untuk turut berada di Holiday Villa pada pagi Isnin 5hb Julai untuk mencabar SPRM terhadap perkara undang-undang.

SPRM tidak boleh merujuk Akta Antirasuah Malaysia atau Akta Rahsia Rasmi dan menggunakan hukum-hukum ini di British, peguam-peguam British memberitahu saya. Di Britain, setiap orang, malah seorang saksi, mempunyai hak untuk diwakili secara sah. Ia melanggar undang-undang British sekiranya SPRM melarang peguam-peguam Bala daripada hadir ketika kenyataannya sedang dirakamkan.

Lagipun, Bala memberi kenyataannya sukarela. Tiada saman atau waran dikeluarkan terhadapnya. Bala tidak akan memberi sebarang kenyataannya jika dia tidak mahu dan tiada apa-apa yang SPRM boleh lakukan. “So why play hard ball?” kata peguam-peguam British.

Tambahan pula, Britain mempunyai Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act). Jadi SPRM tidak boleh menggunakan Akta Rahsia Rasmi Malaysia untuk mencabar Akta Kebebasan Maklumat Britain, tambah peguam-peguam British.

Jika SPRM hendak menjalankan satu operasi haram di London kami terpaksa membawa perkara ini untuk perhatian pihak polis British dan pegawai-pegawai SPRM akan ditahan dan didakwa, kata peguam-peguam British lagi.

Ini Britain dan bukannya Malaysia, yang mengamalkan undang-undang hutan, tambah peguam-peguam itu lagi. Pegawai-pegawai SPRM tidak boleh tidak mempedulikan undang-undang dan menolaknya di Britain seperti mana mereka buat di Malaysia. Mereka akan dapati diri mereka berhadapan dengan masalah undang-undang jika mereka cuba melakukannya.

Sekarang anda dapati di sana. Pegawai SPRM, PI Bala, dan tiga orang peguam Bala akan berada di London minggu depan. Tetapi selain daripada kenyataan Bala diambil adakah kita akan melihat pegawai-pegawai SPRM diheret ke penjara?

Saya rasa saya akan menanti di Holiday Villa pada hari Isnin depan dengan kamera saya untuk menyaksikan keseronokan ini. Dan saya pasti juga ramai pegawai-pegawai Special Branch dari Bukit Aman akan turut berada di sana dengan kamera-kamera untuk mengambil gambar saya juga. Untuk makluman, saya akan memakai topi Perancis, jeans Amerika, kemeja Polo, memegang sebuah kamera Jepun, dan dengan satu cerut Cuba di mulut saya.

Perebutan kuasa sesuatu yang lumrah

Kemelut PKR Selangor:

Menjelang pemilihan parti PKR pada akhir tahun ini, Naib Presiden Azmin Ali mula mengatur langkah serangannya terhadap Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim. Apakah asakan demi asakan yang berlangsung sekian lama ini bakal menggulingkan Khalid Ibrahim, atau sekadar berakhir dengan lebih sumber dilepaskan oleh Menteri Besar ini?

Pertembungan antara Azmin Ali dengan Khalid Ibrahim bukanlah sesuatu yang baru. Pada 9 Julai 2009, Azmin Ali selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Selangor telah mencadangkan agar MB merombak barisan EXCO-nya, tetapi cadangan ini tidak diterima.

Namun, pergelutan semakin meruncing, menyaksikan bagaimana Khalid Ibrahim menjadi sasaran kritikan dalam Kongres tahunan PKR yang berlangsung pada hujung Mei tahun ini. Keadaaan bertambah ketara, apabila Azmin Ali meletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan kemudian digemparkan pula dengan laporan akhbar Star bahawa 15 orang ahli parlimen menyokong desakan agar Khalid Ibrahim berundur dari jawatan Menteri Besar.

Rakyat harus memantau apa yang berlaku

Sudah lebih dua tahun Pakatan Rakyat memerintah di negeri yang terkaya di Malaysia, memasuki pertengahan tempoh sepenggal. Biarpun bekas tokoh korporat ini dipuji dari segi pengurusan ekonominya, namun sikapnya dalam pengagihan projek mencungkil ketidakpuasan pimpinan dan akar umbi partinya. Rata-rata wakil rakyat PKR berkongsi kekhuatiran bahawa PKR-PR bakal kehilangan kuasa di kubu mereka yang terpenting ini.

Ketidakpuasan ini memuncak apabila PKR kecundang di PRK Hulu Selangor, dan dilepaskan dalam Kongres Tahunan PKR yang bertempat di Kota Bahru, Kelantan. Perlantikan Naib Presiden Sivarasa Rasiah dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Kamarul Bahrin Abbas sebagai Pengarah bebas dan bukan eksekutif dalam Kumpulan Perangsang Berhad kemudiannya gagal meredakan keadaan, dan Khalid Ibrahim terus didesak oleh sesetengah pemimpin.

Penganalisa politik, Josh Hong ketika ditemuramah berkata, adalah sesuatu yang boleh difahami apabila sesebuah parti politik takut kehilangan kuasa. Jikalau dilihat beberapa negeri yang dikuasai PR, Pulau Pinang dimiliki DAP, Kedah dan Kelantan pula dalam genggaman PAS. Apa yang ada untuk PKR hanyalah Selangor.

"Sekiranya kita melihat keadaan Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan), yang tidak diendahkan sesiapapun selepas Gerakan kehilangan Pulau Pinang, kita akan memahami realiti ini. Malah, MCA yang dipandang rendah sehingga hari ini (sejak PRU ke-12), antara faktornya adalah kerana parti ini tidak menguasai mana-mana negeri, yang boleh digunakan sebagai gelanggang untuk mengembalikan sokongan," jelas Josh Hong.

Oleh yang demikian, Josh Hong menganggap bahawa kita tidak perlu terlalu bimbang dengan pergelutan kuasa yang berlaku dalam PKR. Beliau menganggap perebutan semestinya berlaku dalam tahun pemilihan. Malah, beliau menganggap rakyat seharusnya mengambil kesempatan untuk mengamati dan meneliti apa yang berlaku dalam parti ini, dan memilih mereka yang berkebolehan dalam PRU yang akan datang, memastikan penggerak reformasi mampu untuk menempah tempat dalam parti ini.

Perbezaan latar belakang

Selain itu, tindak tanduk Azmin Ali kali ini dibaca umum sebagai bertujuan untuk merebut lebih sumber, agar diagihkan kepada sektanya, supaya membuka jalan dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung. Sebagaimana yang diketahui, Timbalan Presiden, Syed Husin Ali dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan, dan Azmin Ali yang dilihat berpeluang untuk mara selangkah ke depan, mungkin sedang mencaturkan orangnya ke dalam Majlis Pimpinan Pusat.

Sumber bisa mengekalkan kesetiaan penyokong. Demikianlah andaian yang digunakan untuk menjelaskan motif Azmin Ali. Namun demikian, penyaluran sumber dari kerajaan ke dalam parti adalah amalan yang dikritik sekian lama ini, dan kini, PKR dilihat bakal mengulangi amalan ini.

Memandang kepada realiti politik di Malaysia, Josh Hong menganggap parti politik tempatan telah membiasakan diri dengan model pengagihan sumber sedemikian, iaitu terbelenggu dengan mentaliti bahawa "siapa perintah dialah yang menguasai sumber".

Josh Hong cuba mengulas isu pergelutan kuasa ini dengan mengimbas sejarah parti ini, bahawa ramai yang berjuang sejak zaman reformasi, yang sudah tentunya melalui keadaan yang paling menderita. Tidak kurang yang berdepan dengan keganasan polis, sementara ramai pula yang dikurung dalam penjara kerana perjuangan parti ini.

Jadi, timbul pandangan bahawa sudah tiba masanya pejuang-pejuang ini mendapat sedikit pampasan, setelah PKR memerintah di Selangor. Namun demikian, tiada perbincangan secara terbuka dalam isu pengendalian sumber, misalnya garis yang harus diletakkan antara parti dengan kerajaan, kata Josh Hong.

"Oleh yang demikian, Khalid yang menyertai PKR beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin tidak memahami apa yang difikirkan golongan seperti Azmin Ali, kerana tidak melalui proses yang dialami Azmin Ali dan penyokongnya sejak zaman reformasi. Khalid mentadbir seolah-olah seorang CEO (Ketua Pengawai Eksekutif), ini perbezaan budaya pengurusan," jelas Josh Hong.

Lapisan generasi baru

Pergelutan PKR kali ini mungkin menimbulkan ketidaksenangan di kalangan penyokong PR, yang memberi persepsi bahawa tiada bezanya antara UMNO dengan PKR. Josh Hong mencadangkan agar tumpuan rakyat dipanjangkan ke masa depan, meletakkan harapan ke atas bahu lapisan pimpinan generasi muda PKR seperti Nurul Izzah, Nik Nazmi, Yusmadi Yusoff dan sebagainya.

Josh Hong menganggap fokus kini terlalu ditumpukan kepada Azmin Ali, yang dulunya berasal dari UMNO, sehingga mengabaikan sesetengah penggerak perubahan dalam parti, misalnya Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh yang berdepan dengan rintangan dalam parti apabila beliau cuba mereka mekanisme perlantikan calon pilihan raya.

Untuk Josh Hong, perebutan kuasa adalah sesuatu yang lumrah dalam parti menjelang pemilihan, tetapi beliau masih sempat melihat sesuatu yang positif daripada pergelutan ini, iaitu kritikan terhadap Khalid berasaskan kemampuan pentadbirannya, dan bukan bertitik tolak daripada "siapa lebih mempertahankan kepentingan kaum atau agama".

"Ini merupakan satu anjakan paradigma (dalam politik)," kata Josh Hong.

Monday, June 28, 2010

Bertasbih Tapi Menghalal Yang Haram?

Tok Guru Nik Aziz

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan UMNO yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga DUN Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan UMNO/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan UMNO, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya...

Sudikah kiranya pemimpin UMNO yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Bala Tolak Syarat SPRM Tidak Benarkan Peguam Pada Sesi Soal Siasat

Americk Sidhu, peguam kepada penyiasat persendirian, P Subramaniam berkata beliau menolak syarat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak membenarkan kehadiran peguam semasa sesi soal siasat yang dicadangkan SPRM di London bulan depan.

Dalam satu emel yang dihantar kepada Suara Keadilan, Americk berkata pegawai penyiasat SPRM, Abdul Rahman Bachok memberitahu beliau melalui surat bertarikh 21 Jun 2010 bahawa agensi tersebut tidak membenarkan kliennya membawa peguam ketika memberi keterangan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Ini kerana klien saya mempunyai hak seperti mana yang ditetapkan Perlembagaan untuk mempunyai peguam ketika disoal siasat dan hak ini mengatasai mana-mana protokol yang dirumus oleh pihak SPRM.

"Walau bagaimanapun Pengarah Penyiasatan SPRM, Mustafar Ali akhirnya telah berbesar hati untuk membenarkan kehadiran peguam semasa soal siasat seperti yang dilaporkan dalam artikelThe Star bertarikh 26 Jun 2010," kata Americk.

Menurut Americk Bala dijadualkan memberi keterangan pasukan penyiasat SPRM di Holiday Villas, Leinster Gardens, Bayswater, London pada 5 Julai depan pukul 10.00 pagi.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa Bala akan membawa bersama beliau semua dokumen berkaitan yang kena mengena dengan kes siasatan," jelas beliau lagi dalam emel.

Ku Li sedia jadi saksi tuntutan royalti minyak

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.

“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.

Bagaimanapun, katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi.

Geng 40 Para Ustaz Muda Dalam Umno

Sebelum ini Hishamuddin keris mengarahkan Musa Hasan mengeluar kenyataan bahawa di malaysia wujud penganas Jemaah Islamiah (JI). Kemudian Najib dan menteri-menteri hanggok lain pun mengiyakan memang ada kumpulan JI yang melibatkan ustaz-ustaz dan pelajar IPT.

Dalam dok kalut isu pengganas JI yang akan dikenakan tindakan yang keras dari kerajaan. Muncul pula geng 40 ustaz muda ini menyertai umno. Apakah geng 40 para ustaz muda ini ada yang terlibat dengan gerakan JI? Tindakan mereka semacam ada tekanan dari seseorang yang berkuasa.

Bila geng 40 ini dah hantar borang untuk masuk Umno karat, Hishamuddin keris terus mengarahkan musa hasan supaya merahsiakan risikan kegiatan JI ini supaya tidak bocor ke khalayak. Apakah lakonan mereka ini sebenarnya?. Dan apakah geng 40 para ustaz muda ini akan dibersihkan oleh Umno?.

Apa pun tindakan geng 40 ini yang sujud memohon ampun kepada Parti karat yang kuat buat propaganda itu, tidak semua dari mereka yang ikhlas hati menyertai umno apabila mengeluarkan kenyataan kami masuk Umno bukan untuk berpolitik walaupun Umno adalah sebuah parti politik. Ini jelas mereka hanya mahu melepaskan diri dari tekanan dan propaganda JI.

Ustaz muda tak mungkin dapat mengubah Umno yang sudah tua itu. Sedangkan ulama dan mufti yang lebih otai pun gagal mengubahnya. Sebab apa? sebab umno tak pernah berubah kerana memisahkan politik dan agama.

‘Saya tidak hebat dalam politik’ - MB Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang berhadapan dengan tekanan dari dalam PKR sejak beberapa bulan lalu dengan rendah diri hari ini berkata, beliau tidak “hebat” dalam politik. Sehubungan itu ketua kerajaan negeri Selangor ini memberitahu, beliau mahu memberi tumpuan terhadap soal pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.


“Oleh kerana Selangor sangat penting, jadi saya harus memberikan tumpuan kepada pentadbiran negeri terutamanya terhadap aspek pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

“Dengan ini, saya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri termasuk di Kampung Baru yang mana saya akan menyumbang pemikiran dan idea agar ia dapat dilaksanakan.

“Saya mahu melihat pembangunan di Selangor bergerak seiring dengan Kuala Lumpur,” kata beliau yang dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Perubahan kepimpinan ini diumumkan lima bulan menjelang pemilihan parti.

Khalid, bekas tokoh korporat, disebut-sebut akan digugurkan selepas PKR yang mewakili Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

Azmin, Ahli Parlimen dan Adun Selangor pula berkata, rombakan yang dibuat hari ini bertujuan memastikan strategi mempertahankan Selangor dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa membebankan Khalid.

“Saya akan menguruskan hal-hal berkaitan parti manakala Khalid akan memberikan tumpuan kepada pembangunan negeri.

“Jadi kami berdua akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan untuk mempertahankan Selangor.

“Ini kerana kerusi yang dimenangi ini harus dipertahankan jadi parti dan kepimpinan negeri perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin dalam satu pasukan,” katanya.

Dalam rombakan kecil diumumkan petang ini, Khalid digantiken oleh Azmin sebagai pengerusi negeri Selangor berkuat kuasa hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim pula mengambil alih kepimpinan PKR Wilayah Persekutuan menggantikan Azmin.

Rombakan diumumkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan perhatian terhadap soal pentadbiran kerajaan negeri.

TIDAK SAMPAI 40 RUPANYA `USTAZ' MASUK UMNO

Walaupun begitu gah Umno mencanangkan di media massa bahawa seramai 40 orang ulama muda telah menyertai parti itu kelmarin, namun maklumat yang diperolehi hanya sebahagian sahaja yang benar-benar berbuat demikian.

Sebaliknya pula, ada sebahagian daripada mereka yang berada di dalam majlis tersebut telah terpedaya dengan mainan politik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman, ada beberapa orang yang datang dari Perlis untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan yang lain, sebaliknya telah terperangkap dengan sandiwara politik mainan Shahidan.

"Shahidan telah mengambil kesempatan dengan kehadiran mereka untuk tujuan politiknya. Mereka mewakili Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

"Salah seorang mereka adalah tenaga pengajar di sekolah kita di Jejawi, Ustaz Wahab Abdullah. Dia bukan pergi serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Maklumat yang kita dapat bukan sampai 40 orang pun yang menyertai Umno," jelasnya dalam majlis ceramah di Markas Tarbiah PAS Padang Besar di Santan dekat sini malam tadi.

Ustaz Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (MADI), salah sebuah sekolah kelolaan PAS Perlis.

PAS ADA BERPULUH RIBU ULAMA

Tak habis-habis lagi Umno menjaja cerita tentang penyertaan 40 'ulama' muda yang masuk ke parti itu. Sebenarnya tak sampai 40 pun, ada yang datang kerana tertipu dengan helah Dato Shahidan Kassim kononnya untuk membersihkan nama mereka dari senarai golongan militan. Digelar pun 'ulama muda',masih mentah dengan sepak terajang politik.

Ada pemimpin Umno kata, Umno kini terbukti perjuangkan Islam. Ada yang kata dasar Umno betul. Paling tak masuk akal ada yang kata penyertaan itu satu tamparan kepada Pas. Pas tergugat ke? Untuk makluman pemimpin Umno, dalam Pas penyertaan Ulama muda atau ulama tua tidak pernah surut. Bukan hanya di peringkat kawasan, malah di peringkat cawangan tidak pernah ketandusan Ulama. Di cawangan tertentu seperti di Kedah, Kelantan dan Terangganu ada cawangan memiliki limpahan ulama yang silih berganti. Tak bising-bising pun!

Kalau nak dikira jumlah mereka yang bertaraf 'ulama' sama ada dari aliran pendidikan pondok, para huffaz, graduan IPTA dan IPTS aliran agama dari dalam atau luar negara saya jangka bukan berpuluh tetapi berpuluh ribu. Mereka memainkan peranan tertentu sama ada secara tidak langsung dengan menjawat jawatan penting di masjid dan surau atau secara langsung bergiat aktif dalam Pas.

Penyertaan ulama dalam Pas menyebabkan tertubuhnya sayap parti yang memainkan peranan penting iaitu Dewan Ulama Pas. Mampukah Umno menubuhkan Dewan Ulama Umno? Masalah yang timbul siapa pulak akan jadi Mursyidul am Dewan Ulama Umno? Dato Hamid Othman atau Dato Yusof Noor? Mungkin juga ustaz yang tendang tong sampah dalam pilihanraya umum di Permatang Pauh dulu boleh dipertimbangkan.Mungkin Dato Jamil Khir yang senyap membisu dalam isu lesen judi bola boleh jadi timbalannya.

Jika era Pak Lah yang dianggap keturunan ulama Umno dikatakan mendapat sokongan 'ulama' mampukah zaman 1Malaysia yang diselubungi pelbagai isu dan skandal untuk membawa imej kepimpinan Islam?

Search This Blog