Friday, May 7, 2010

Wahai Mufti Perak, halalkah lesen judi kerajaan BN?

Kerajaan BN memang tidak pernah memandang halal atau haram sesuatu perkara yang dilakukan yang penting duit 'masyuk'. Sebab itulah lesen judi terus dikeluarkan walaupun yang sedia ada sudah melimpah ruah.


Sehari dua ini kemungkinan besar satu lagi lesen judi akan diluluskan.

Kerajaan Umno-Barisan Nasioal sedang mempertimbang mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan atas kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal bulan depan dalam satu lagi langkah yang dikhuatiri akan membawa kepada pelbagai masalah social dan keselamatan kepada negara.

Alasan untuk pertimbangan itu, menurut Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussein, ialah bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Kalau dilihat kepada jawapan Awang Adek ('Menteri Besar' Kelantan yang kempunan ini) kita dapat simpulkan bahawa judi yang diberi lesen oleh kerajaan BN HALAL dan judi yang tiada lesen HARAM. Kitab mana dan hadis mana yang Umno BN pakai ini. Ada judi HALAL dan ada yang HARAM.

Minta tolong Mufti Perak, Sahibus Samahah Harussani Zakaria keluarkan fatwa adakah judi yang dilesenkan oleh kerajaan BN HALAL di sisi ISLAM?

Thursday, May 6, 2010

KJ Gelabah Ezam Jeling Jawatan Ketua Pemuda Umno

Setelah dilantik secara rasmi sebagai anggota Dewan Negara 3 Mei lalu, bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Mohamad Ezam Mohd Nor kini didakwa 'berminat' serta mengalihkan pandangan mata politiknya kepada jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang disandang oleh Khairy Jamaluddin.

Pemerhati politik berpendapat dengan kuasa politik baru yang ada pada tangan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Beliau berpeluang untuk merebut jawatan yang kini disandang Khairy.

Sehingga berita ini ditulis Khairy masih lagi Ketua Pemuda Umno yang dinafikan sebarang jawatan kabinet.

Bekas Exco Pemuda Umno, Tamrin Ghafar tidak menolak jawatan Khairy akan dicabar Senator Ezam dalam pemilihan parti akan datang.

"Ezam baru saja terima 'hadiah' dari Najib(Perdana Menteri) dalam bentuk lantikan sebagai Senator dan tidak mustahil akan dapat hadiah yang lebih besar kalau dilantik timbalan menteri.

"Saya tidak menolak kemungkinan Ezam akan cuba membina kekuatan beliau mulai sekarang dan seterusnya bertanding melawan Khairy. Lagi pun dia masih muda dan mempunyai cita-cita politik yang besar," kata anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Malah Naib beliau, Datuk Razali Ibrahim diberikan jawatan empuk sebagai timbalan menteri, seolah-olah meletak garam ke luka yang sudah parah terhadap Khairy.

Kini dengan kemunculan Senator Ezam yang popular dengan "enam kotak rahsianya', nasib Khairy lagi terumbang-ambing.

Walaupun kalah kepada Khairy, Datuk Mukhriz Mahathir, anak mantan Perdana Menteri ,Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai 'lembik' dan tidak berkarismatik seperti Senator Ezam yang dikenali sebagai orator yang hebat dan mampu mengkagumkan penonton seperti juga Anwar, bos lama beliau.

Sekiranya Senator Ezam pandai mengambil hati Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak seperti mana yang dibuktikan pada kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, laluan beliau menuju ke puncak kuasa dalam Umno melalui jawatan Ketua Pemuda Umno dianggap cerah.

Apatah lagi sekiranya Najib melantik Senator Ezam sebagai timbalan menteri maka berputih matalah Khairy dan kuncu rapatnya di parlimen dan didalam Umno.

Wednesday, May 5, 2010

PAC-MCA-MB, Lakonan Berkesan di Perak

"Konon-kononnya MB Perak menunggu laporan terperinci daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) sebelum mengambil tindakan berhubung laporan agensi dan jabatan kerajaan membelanjakan lebih RM1 juta untuk beberapa perasmian majlis.

Kerajaan negeri Perak juga bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM 50,000 pada tahun ini kepada setiap bahagian MCA di negeri Perak. Ia meliputi 24 Bahagian MCA di Perak, bererti sebanyak RM 1.2 juta duit rakyat diperlukan untuk dibangsatkan kepada parti.

Dah alang-alang PAC menyiasat perkara tersebut, cubalah siasat juga wang rakyat yang digunakan untuk diberikan kepada parti politik MCA. Eh...eh... PAC tak perlu siasat, tak perlu siasat juga perbelanjaan perasmian majlis tersebut. Siasat pun sama juga. Dah MB boleh berbelanja lebih RM1.2 juta untuk diberikan kepada parti politik. Majlis-majlis rasmi orang-orang besar datang, berbelanja besar pun tak mengapa. Kan bapak-bapak dia orang punya duit. PAC tak payah bising-bising...eh...eh...silap, PAC kena riuh-riuhkan, tanda anda membuat kerja, nanti apa pula kata rakyat. Selepas itu diam-diamlah, jangan bising-bising, nanti PR dengar.

Mana-mana pun, mereka semua pandai menyapu, sapu-sapulah kerjanya. Membujur lalu, melintang patah, duit lalu, duit diratah. Rakyat riuh-riuh, mulut ternganga juga.

Brehem : Kita Ada Bukti Kukuh Siasat Skandal Scorpene

Peguam Perancis, Joseph Breham berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengerakkan siasatan keatas skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Beliau berkata isu utama yang mengundang syak sekitar perolehan kapal selam ini adalah pembayaran RM534.8 juta ringgit kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, sebagai upah kepada 'kerja-kerja sokongan'.

"Kita mempunyai laporan akaun Perimekar pada tahun 2001 dan 2002," kata Joseph Breham dalam satu temubual bersama portal Malaysiakini, dan menambah "bagaimanapun syarikat ini dengan tiba-tiba mendapat 114 juta euro dalam akaun bank mereka. Ini mengundang syak. Lebih-lebih lagi apabila pemegang saham utama syarikat ini adalah isteri kepada rakan karib Menteri Pertahanan pada masa itu,"

Joseph merujuk kepada isteri Abdul Razak Baginda, Maslinda.

"Jika kita lihat fakta bahawa Altantuya Shaariibuu dibunuh oleh pengiring Perdana Menteri, serta pemadaman rekod-rekod imigresen Altantuya ke negara ini, lantas menunjukkan ada pegawai tertinggi tertentu yang mahu menghilangkan bukti Altantuya berada di negara ini.

Istilah yang paling tepat ialah ‘Bangang’!

Cuba pembaca teliti dengan sebaik-baiknya dua soalan berikut:
a) Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini (Kedah) dihormati oleh kerajaan Pusat?

b) Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?

Jika kurang jelas juga maksudnya, bacalah berkali-kali sehingga faham. Tiada seorang pun yang mempunyai akal fikiran yang waras atau sekurang-kurangnya yang ‘sederhana’ tahap pemikirannya akan memahami bahawa soalan tersebut bertujuan mempertikaikan kuasa Sultan atau menghina Sultan.

Anehnya, itu pula yang difahami oleh Yang Dipertua sebuah persatuan yang mendakwa kononnya ada kaitan dengan raja-raja. Pemimpin persatuan tersebut, Dato’ Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya dalam kenyataannya di hadapan media mengecam ADUN PAS Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang membawa soalan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini kerana ‘menghina’ Sultan.

“Kami mencela perbuatan sombong dan angkuh itu dan menggesa YB Kubang Rotan memohon ampun kepada Sultan,” ujarnya.

Yang betulnya, YDP persatuan yang mengaku ada kaitan dengan istana itu langsung tidak membaca soalan asal yang dibawa ADUN Kubang Rotan. Jika dia membaca masakan dia tidak faham sehingga terpancul perkataan ‘sombong dan angkuh’.

Begitu juga media talibarut BN dan pemimpin-pemimpin Umno yang mengangggap soalan tersebut sebagai mempertikaikan kuasa Sultan. Pening juga kita dibuatnya, ayat yang begitu mudah pun sukar difahami. Maka istilah paling tepat untuk golongan seperti ini ialah ‘bangang’!

“Tidak wujud walau sepatah perkataan yang mempertikai kuasa KDYMM Sultan dalam soalan tersebut. “Sama ada secara tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Apatah lagi kata-kata yang bermaksud menghina Sultan,” tegas Mohd Nasir dalam satu media yang diadakan di pejabatnya.

Dua dari empat soalan lisan Mohd Nasir telah menjadi kontroversi di Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini apabila ketua pembangkang Dato’ Seri Mahdzir Khalid bangun mendesak speaker supaya soalan tersebut ditarik balik dengan alasan ianya menyentuh ‘bidang kuasa Sultan.’

Setengah-setengah soalan ditanya bukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan kerana penyoal tidak tahu. Ada soalan dibuat, macam kata pepatah ‘sudah gaharu cendaca pula’.

Dalam soalan (a) yang dipertikaikan itu, Mohd Nasir mahu dijelaskan, bahawa Kerajaan Pusat sebenarnya tidak menghormati bidang kuasa Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam.

Sebagai contoh, Kerajaan Pusat melalui JAKIM telah memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah di SP Inn pada 4 April 2010. Program itu dirasmikan oleh Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kerajaan Pusat.

Tidak salah untuk mereka anjurkan program di negeri, tetapi apa salahnya meminta izin terlebih dulu dari ketua agama negeri iaitu Sultan Kedah. Mengapa tidak tahu menghormati bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam?

Dalam soalan (b) pula, Mohd Nasir mahu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid hanya kerana sebab politik kepartian, seperti tuduhan yang dibuat oleh ADUN Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

ADUN Bakar Bata dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 6 April 2010 bertajuk ‘Pegawai Masjid Dipaksa Bersara’ telah menghasut pegawai-pegawai masjid tertentu supaya tidak mengisi borang M4 seperti yang diminta oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Tindakan ini terang-terangan telah mencampuri bidang kuasa KDYMM Sultan.

Tuduhan bahawa pelantikan dan pemecatan imam adalah kerana ‘arahan politik’ Kerajaan Negeri adalah tidak benar dan berniat jahat.

Pertikaian Ketua Pembangkang terhadap soalan tersebut bukan kerana Mohd Nasir ‘mempertikaikan kuasa Sultan’ tetapi kerana menyedari bahawa hasil dari soalan ini akan mendedahkan tindakan-tindakan mereka selama ini yang mencampuri dan tidak menghormati bidang kuasa Sultan. Ia merbahaya di saat Umno kini hanya bergantung harap kepada undi Melayu semata-mata untuk berkuasa.

Tidak dapat dipastikan sama ada Umno telah memperkudakan Tengku Zainol Abidin untuk mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap ADUN Kubang Rotan. Tetapi melihatkan kepada kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘lebih Umno dari Umno’ maka tidak syak lagi bahawa kenyataan itu adalah dari kilang propaganda pihak pembangkang, iaitu BN. Ia disokong dengan sikap Tengku Zainol Abidin dan gerombolannya yang membisu seribu bahasa, apabila Dato’ Ahmad Bashah mempertikaikan bidang kuasa Sultan apabila menuduh pihak pentadbir agama (di bawah kuasa Sultan) memaksa imam tertentu supaya bersara. Jika dia ikhlas, mengapa tidak kecam Ahmad Bashah sebelum ini?

Terbaru, dalam sidang media yang diadakan oleh Menteri Besar, wartawan dikejutkan dengan status persatuan yang dikepalai oleh Dato’ Tengku Zainal Abidin itu sebenarnya tidak lagi dinaungi oleh Tuanku Sultan. Persatuan mereka juga khabarnya telah ‘diusir’ dari Istana Kuning yang mereka tumpang selama ini.

Ada logiknya jika tindakan diambil terhadap persatuan tersebut, kerana sewajarnya sebagai persatuan yang dikaitkan dengan pihak istana ketuanya mestilah menjaga adab dan susila setanding dengan kedudukan mereka yang dihormati masyarakat. Apakah ‘berdemo tepi jalan’ macam budak-budak Umno layak dilakukan oleh sebuah persatuan yang mahu dikaitkan dengan istana?

Tuesday, May 4, 2010

MCA hanya menang 1 kerusi, dapat peruntukan RM50 ribu tiap bahagian?

Ustaz Misbahul Munir

Sewaktu PR memerintah Perak, UMNO menjaja merata kampung kononnya Hj Nizar boneka DAP, kuda tunggangan Cina, gadai tanah orang Melayu bagi kat Cina, mengabaikan Sekolah Agama Rakyat sebaliknya membantu Sekolah-sekolah Cina, bagi peruntukan kepada kuil, tokong dan gereja dan macam-macam lagi tohmahan dan fitnah.

Hari ini Kerajaan BN Negeri umum peruntukan RM 50 ribu kepada setiap MCA Bahagian seluruh Perak untuk tujuan pembangunan.

Saya percaya rakyat Perak mempertikai tindakan Kerajaan Negeri memberi peruntukkan RM 50 ribu kepada setiap MCA Bahagian bagi tujuan pembangunan. MCA adalah sebuah parti politik yang telah dikecundangkan oleh DAP Perak. MCA hanya menang satu kerusi di Perak.

Apa kewajaran MCA diberi keistimewaan begitu sekali oleh Kerajaan Negeri Perak. Projek-projek pembangunan kecil biasanya diperuntukan melalui wakil-wakil rakyat dan pejabat daerah.

Sewaktu PR memerintah Perak, PAS, PKR dan DAP tidak pernah diberi peruntukan untuk tujuan pembangunan. Kerajaan PR memberi peruntukan RM 200 ribu setahun kepada wakil-wakil rakyat, manakala di setiap DUN yang tidak diwakili oleh wakil rakyat PR, kerajaan melantik Penyelia DUN untuk menyalurkan peruntukan tersebut.

Peruntukan RM 200 ribu itu pula tidak diberi secara tunai, mesti dipohon melalui projek-projek kecil pembangunan di Dun masing-masing. Walau bagaimanapun peruntukan tersebut masih boleh digunakan untuk tujuan sumbangan kebajikan kepada wakil rakyat, JKKK, persatuan-persatuan, Ngo, belia dan yang seumpamanya.

Pihak yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan memproses peruntukan ini ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) dan Pejabat Daerah dan diluluskan oleh MB. Walaupun peruntukan sebanyak itu adalah kepada wakil rakyat, bukan bermakna wakil rakyat boleh sewenang menggunakan peruntukan tersebut untuk tujuan tertentu.

Inilah bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa Kerajaan BN terhadap harta rakyat. Kalau MCA yang menang satu kerusi di Perak pun diberi peruntukan RM 50 ribu setiap bahagian, bagaimana pula dengan UMNO yang memenangi banyak kerusi di Perak ? MCA hanya sebuah parti politik, MCA bukan jentera kerajaan, tidak ada sebab yang munasabah sebuah parti politik diberi peruntukan untuk tujuan pembangunan.

Sebenarnya itulah cara BN mengurus dana kerajaan, parti politik diberi peruntukan semata-mata untuk menjaga kepentingan pengundi Cina yang semakin merosot sokongan mereka kepada BN.

Tindakan ini juga mengambarkan bahawa Zambrylah boneka MCA, semua kemahuan dan tuntutan MCA dipenuhi. Berbeza dengan Hj Nizar yang tidak memberi peruntukan kepada parti-parti politik sekalipun PAS, apatah lagi DAP dan PKR. Peruntukan kerajaan disalurkan mengikut peraturan dan prosedur yang betul.

Kita tidak pertikai kalau peruntukan untuk rakyat diberi melalui saluran yang betul, bukan sahaja RM 50 ribu bahkan ratusan ribu sekalipun, rakyat tidak pertikai

Cuba bayangkan kalau Hj Nizar sebagai MB Perak dulu umumkan peruntukan kepada setiap DAP Bahagian hanya RM 10 ribu sahaja, saya percaya setiap hari media arus perdana akan jadikan isu utama akhbar, UMNO dan wakil-wakil rakyat mereka sudah pasti akan gunakan isu ini untuk bangkitkan sentimen perkauman. Inilah UMNO BN.

RM50,000: Satu penyelewengan, harta negeri dibahagi-bahagikan!

Tahniah Zamry,buat harta kerajaan Perak macam harta mak bapak Barisan Nasional. Demi meraih sokongan Cina, Zamry yang dulu menuduh DS Nizar sebagai alat Cina menjelaskan sebenarnya dialah yang menjadi kuda tunggangan MCA.


Kenyataan Presiden MCA bahawa kerajaan Perak telah meperuntukan RM 50 ribu untuk setiap bahagian MCA adalah suatu pendedahan tindakan korup kerajaan Haram Zamry.

Saya yakin selepas ini MIC pun mahu peruntukan seperti itu. PPP yang dipimpin oleh Kaveyas tentunya lebih mahu lagi. Apakah ini budaya baru Barisan Nasional dalam membahagikan harta kerajaan Perak macam harta mak bapak mereka. Sudahlah kerajaan pun dirampas, kini harta pulak nak dirampas.

Kenyataan ini jelas satu penyelewengan harta kerajaan untuk kegunaan parti. Jika begitu, maka wajar penyokong Pakatan Rakyat tidak membayar cukai termasuk zakat kepada kerajaan negeri. Isu penyalahgunaan harta zakat pernah timbul semasa BN memerintah Perak dulu. Kini harta kerajaan Perak diselewengkan dengan terbuka tanpa berselindung lagi.

Tindakan berani kerajaan haram Zamry ini mungkin hasil keyakinan bahawa tiada siapa dapat mengatasi kuasa mereka termasuk undang undang. Mereka merampas kerajaan secara di luar undang- undang , maka apa perlu ditakut lagi pada undang-undang!

Inilah kesan bahaya dari rampasan kuasa di Perak. Institusi kehakiman perlu mengambil kira apa yang terjadi ini sebagai satu penilaian semula terhadap rentetan krisis undang undang di Perak.

Apakah selepas ini ada kuasa yang mampu menyekat kerakusan kuasa kerajaan Haram Zamri dalam melaksanakan apa sahaja cita cita rakus politik mereka? Rakyat sedang menanti dan memerhati tindakan rakus mereka.

Kesabaran rakyat terpaksa ditingkatkan kerana telah hilang kepercayaan terhadap semua institusi yang dirasakan boleh bernaung selama ini. Namun pilihan raya ke-13 tentunya akan menjadi detik ngeri pengajaran berpanjangan buat kerakusan kerajaan Haram Zamry dan semua yang bersekongkol dengan mereka,biar siapa dan apa pun kedudukan mereka.

Dalam negara demokrasi rakyatlah raja segala raja, sekalipun ternyata pincangnya proses demokrasi pilihanraya yang diuruskan oleh SPR!

BN layak dipanggil penderhaka

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menganggap tindakan kerajaan BN menyerahkan dua telaga minyak di medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei secara percuma sebagai satu penderhakaan yang nyata kepada rakyat dan kedaulatan perlembagaan negara negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, keputusan itu hanya boleh dibuat melalui keputusan kabinet tanpa melalui Parlimen dan perkenan Yang DiPertuan Agong (YDPA).

“Di sini rakyat boleh mempersoalkan sikap BN terhadap YDPA, kerana Najib Razak jelas membelakangkan kuasa yang dipertua agong dan hak rakyat melalui wakil mereka di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan kepada erapakatan.com di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun mantan Perdana Menteri (PM), Abdullah Ahmad Badawi memulakan perjanjian itu pada 11 Februari 2009, namun Najib secara rasminya menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) selepas mengambil alih jawatan PM pada 16 Mac 2009.

“Siapa pun yang jadi Perdana Menteri yang jelas, BN jugalah parti yang khianati rakyat dan layak dipanggil penderhaka.

Ini bukan soal bagi kambing atau lembu kepada negara jiran. Ini soal bagi khazanah bernilai RM 320 bilion.

Dalam keadaan dunia berebut pemilikan telaga minyak, Kerajaan BN senang-senang memberikannya kepada negara jiran,” katanya.

Idris turut memberitahu bahwa ketika kerajaan dan rakyat di Kelantan (sejak PAS memerintah negeri itu pada tahun 1990) serta Terengganu (semasa PAS menawannya pada tahun 1999) menuntut royalti, macam-macam alasan yang diberikan oleh BN termasuklah menukarkan wang royalty kepada istilah wang ehsan.

Beliau menjelaskan, kerajaan BN menganggap rakyat Malaysia sebagai peminta sedekah dan pada masa yang sama menggap negara luar sebagai 'anak kandung' apabila sewenang-wenangnya menggadaikan bahagian tanah atau khazanah dalam negara secara percuma kepada negara lain.

“Kekecewaan rakyat terhadap insiden kegagalan Malaysia merampas kembali Pulau Batu Putih belum sembuh, kini Najib tandatangani pula surat penyerahan dua blok kawasan telaga minyak untuk negara lain.

Rakyat juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja Kerajaan BN enggan membawa kes ini Mahkamah Antarabangsa.

Seolah-olah Perdana Menteri telah diberikan 'ubat tidur' atau kena pukau dengan sesuatu yang rakyat tidak tahu,” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, Pas menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini yang disifatkannya ‘ada sesuatu yang tidak kena’ apabila perkara itu dilakukan secara senyap tanpa melalui Parlimen dan Yang DiPertuan Agong

Jenayah Bertambah Teruk Jika Musa Terus Jadi KPN

Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan dengan segera berikutan kelemahan serta kegagalan beliau menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara terutama sekali apabila peningkatan kadar jenayah semakin berleluasa.

Tunku Abdul Aziz berkata desakan itu juga dibuat berhubung kenyataan Musa yang mengugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada 26 April lalu.

Katanya, reaksi Musa itu sekaligus melambangkan sikapnya yang tidak boleh menerima kritikan orang lain apabila sesuatu isu berhubung keselamatan awam mahupun kelemahan institusi Polis DiRaja Malaysia dibangkitkan.

"Dia ni memang tak boleh terima kritikan langsung. Kalau kita buat apa-apa kritik, dia terus mengugut untuk menarik balik anggotanya daripada menjalankan tugas. Ini jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang tak boleh menerima kritikan orang lain sedangkan tugas utama beliau adalah menjaga keselamatan negara. Dia ingat institusi polis dia yang punya," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini selepas sidang Dewan Negara.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz turut mengkritik peranan PDRM yang sebelum ini memaklumkan bahawa kadar jenayah di Malaysia berjaya diturunkan sedangkan hakikat sebenar berlaku sebaliknya.

"Apa yang dia cakapkan bahawa kadar jenayah telahpun menurun adalah tidak betul. Jika kita tengok masa sekarang di tempat dan kawasan yang kita tinggal baik di bandar mahupun di kampung jenayah semakin bertambah.

"Saya baru balik dari Tawau dan Tawau paling banyak berlaku jenayah di Malaysia dan sekarang banyak bandar dan kampung di Semenanjung dah jadi macam Tawau juga," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara meletakkan jawatan dan posisinya digantikan oleh orang lain yang lebih layak.

"Dah nak bersara lagi enam bulan bagi jadi KPN, lepas itu apa dia (kementerian) buat sambung balik lagi setahun dua tahun, tak guna. Kita mahukan orang lain yang lebih bagus daripadanya. Kalau dia mudapun sekalipun kita tak peduli, sekurang-kurangnya bagi dia peluang dalam jangka lima tahun untuk merubah dan memperbaiki sistem polis yang sememangnya dah teruk.

"Kalau kita masih lagi mempertahankan KPN yang bersikap sebegini, saya ingat negara kita akan jadi lebih teruk daripada sekarang," katanya lagi.

Terdahulu bercakap dalam sidang media yang sama, Senator S Ramakrishnan menggesa PDRM mengemukakan satu sistem prosedur yang berkesan bagi menangani kes tembakan oleh anggota polis.

"Walaupun KPN telah bersetuju untuk menubuhkan satu inkues tetapi perkara ini mestilah dibincangkan juga memandangkan pada tahun 2008 juga 2009 ada kes yang langsung tidak disiasat.

"Berapa banyak kes orang awam mati ditembak polis sebelum ini dan sehingga sekarang kejadian seperti ini masih berterusan sehingga melibatkan remaja berusia 14 tahun.

"Ini bukan kejadian pertama kali berlaku. Sudah banyak kali dan sehingga sekarang tiada apa-apa siasatan. Ini menunjukkan polis tidak cekap. Sepatutnya sebaik sahaja selepas tembakan berlaku, siasatan segera hendaklah dijalankan," katanya.

Ramakrishnan bakal membentangkan usul tergempar berhubung kes kematian Aminulrasyid di Dewan Negara esok.

Menurutnya, tujuan usul berkenaan adalah bagi menyegerakan kes tersebut supaya disiasat secara profesional dan telus serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

SELAGI UMNO-BN BERKUASA BANYAK LAGI BAKAL TERGADAI DAN TERLEPAS

Lepas satu-satu maruah, kedaulatan dan hak milik negara tergadai dan terlepas sepanjang Umno-BN diberi kuasa mentadbir negara.

Belum hilang kejutan kerjasama yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia dengan APCO Worldwide syarikat milik yahudi membabitkan wang rakyat sebanyak RM 77 juta sekali lagi kita digemparkan dengan kehilangan dua telaga minyak yang dianggarkan mempunyai simpanan minyak bernilai ratusan bilion ringgit di perairan tuntutan bersama Malaysia-Brunei.

Berapa banyak lagi maruah,wilayah, kedaulatan dan tanah milik negara ini bakal terjual dan tergadai? Tidak cukupkah dengan beribu ekar tanah negara ini yang kini menjadi milik rakyat Singapura? Begitu juga dengan penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar atas nama pembangunan negara yang menyebabkan maruah dan kedaulatan negara ini kini dalam bahaya.

Apakah kita juga sudah lupa bagaimana pulau Batu Putih yang cukup strategik dan bernilai telah hilang dalam peta negara? Semua ini gara-gara kecerdikan dan kepandaian pemimpin Umno-BN yang mendabik dada pandai memerintah dan membangunkan negara.

Kalau soal maruah kita tidak perlu berselindung lagi. Kadar jenayah rasuah negara ini antara yang tertinggi di rantau Asia. Isu liwat meliwat yang dikaitkan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim. Bertambah memalukan dengan isu-isu yang menjadi buah mulut dan diperkatakan serta ditertawakan oleh masyarakat dunia.Antaranya lagi, isu pembelian kapal selam yang tidak boleh menyelam dan kini menyelam semula, kehilangan enjin jet pesawat pejuang, pembunuhan Altantuya, pusat transit dadah dan terbaru kematian menyayat hati adik Aminurashid ditembak polis.

Pada zaman siapa semua ini berlaku? Sudah pasti ia berlaku sepanjang Umno-BN memerintah negara. Selagi Umno-BN dibiarkan terus berkuasa kita atau generasi akan datang dapat menyaksikan lebih banyak isu berkaitan maruah dan kedaulatan akan terlucut dari genggaman negara ini. Sekiranya kita ingin melihat generasi akan datang terpaksa merempat dan mengemis di negara sendiri maka undilah Umno- BN lagi dulu kini dan selamanya menjadi juara menipu rakyat.

Nor Mohamed, Khazanah perlu jelaskan

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Tan Sri Azman Mokhtar menjelaskan mengenai kerugian sebanyak RM546 juta yang ditanggung Pos Malaysia Berhad.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, kedua-dua pihak tersebut perlu memberikan penjelasan itu kerana Pos Malaysia telah dipindahkan daripada Kementerian Kewangan kepada Khazanah pada 2006.

Pada masa itu, jelas beliau, Nor Mohamed merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Azman pula adalah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

"Nor Mohamed dan Khazanah perlu memberikan penjelasan yang benar dan tepat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kerugian sebanyak RM546 juta yang ditanggung Pos Malaysia.

"Mereka berdua juga perlu mendedahkan siapakah individu atau perkumpulan yang telah mendapat manfaat hasil daripada kerugian tersebut kerana ia juga penting untuk rakyat Malaysia mengetahuinya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azwanddin mengulas kenyataan akhbar Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir semalam yang menggesa Khazanah menjelaskan mengenai kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia.

Sementara itu, JMM juga meminta penjelasan kerajaan berhubung kriteria pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi mengetuai syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ia berdasarkan merit pengalaman dan kejayaan individu terbabit atau kronisme semata-mata.

Beliau menimbulkan persoalan itu memandangkan majoriti CEO yang dilantik mengetuai GLC kebanyakannya berasal daripada Dana Harta Berhad.

"Sekiranya pelantikan jawatan penting di dalam GLC seperti CEO ini mengambil kira pelantikan yang dibuat atas dasar sahabat atau kawan sekerja atau kenalan maka ia tidak telus dan menggambarkan ketidakadilan.

"Keadaan ini akhirnya akan memberikan tafsiran negatif terhadap kerajaan mengenai pelantikan CEO tersebut," katanya yang menyebut beberapa nama individu yang menjawat jawatan tertinggi itu.

Dalam perkara berasingan, Azwanddin juga meminta Nor Mohamed menjelaskan hubungan beliau dengan seorang ahli perniagaan, Shaikh Akmal Shaikh Alaudin iaitu Pengarah Syarikat E-Efficient Solution Bhd.

JMM mendakwa syarikat berkenaan telah mendapat kontrak daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebanyak RM900 juta.

"Seperti yang pernah didedahkan oleh JMM sebelum ini bahawa Shaikh Akmal mempunyai hubungan dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan Pengerusi Eksekutif ECM Libra Financial Group Bhd., Datuk Seri Kalimullah Hassan," dakwanya.

Monday, May 3, 2010

Keluar BN bersama rakan parti, Pemuda MCA

Ketua Pemuda MCA Selangor, Kow Cheong Wei mencadangkan agar MCA keluar Barisan Nasional bersama-sama parti komponen yang lain, termasuk Gerakan dan MIC.

"Kami tidak mahu dipandang ringan. Jadi, apakah kita perlu meninggalkan BN, berdikari dan kemudiannya kembali ke BN semula?" Kow Cheong Wei dipetik oleh Sinchew Daily untuk berkata sedemikian dalam satu dialog politik bersama Pemuda MCA di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 30 April.

Beliau mendakwa dirinya menerima banyak sms yang mencadangkan agar MCA keluar dari BN. Jadi, Kow Cheong Wei melontarkan persoalannya, dalam keadaan di mana matlamat BN tidak selari dengan dirinya, apakah MCA yang mendahulukan masyarakat Cina perlu keluar dari BN, membina kewibawaan dirinya di kalangan komuniti Cina, dan kembali ke BN selepas itu (cukup berwibawa)?

Menurut laporan Sinchew Daily, isu yang dibincangkan dalam dialog politik itu termasuklah "bangsa atau negara yang harus didahulukan?". Malah, mereka mempertikaikan sama ada sistem dua parti itu adalah check and balance, ataupun isu yang dilontarkan oleh pembangkang untuk mengaburi fokus, dalam konteks politik yang berorientasikan isu?

Pembangkang melontarkan "gas racun"

Selain itu, Kow Cheong Wei juga menyelar pembangkang, yang kononnya hanya membincangkan isu sistem dua parti di kawasan pengundi Cina, dan tidak menyentuh isu tersebut di kawasan pengundi Melayu. Ahli Pemuda MCA yang lain turut membidas pembangkang kerana melontarkan "gas racun" kepada rakyat, supaya rakyat hilang yakin terhadap kerajaan.

Malah, pemuda MCA mengkritik bahawa tindakan membangkitkan isu sistem dua parti ini ibarat "bermain api".

Di samping itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng juga mencadangkan agar UMNO memberi kata putus dalam hubungannya dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Ka Siong: Tiba masanya menyerang balik

Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong juga memberi amaran kepada Pemuda UMNO, bahawa kesabaran MCA mempunyai batasnya. Sudah tiba masanya Pemuda MCA bangkit untuk menyanggah tuduhan bahawa MCA adalah liabiliti kepada BN, kata Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Wee Ka Siong menganggap Pemuda UMNO tidak harus menyimpulkan bahawa MCA patut keluar dari BN hanya berdasarkan keputusan PRK Hulu Selangor, yang memperlihatkan kehilangan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA.

"Sesungguhnya kenyataan sedemikian keluar dari sebahagian ahli UMNO, namun hujah sedemikian cukup untuk membakar jambatan yang terjalin antara parti komponen BN, seoalah-olah memusnahkan asas kerjasama antara Melayu, Cina dan India dalam sekelip mata," kata Wee Ka Siong.

Cadangan keluar BN bukannya sesuatu yang baru di kalangan parti komponen BN selain UMNO. Sebelum ini, Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin juga meluahkan pandangannya untuk "keluar BN demi mengembalikan maruah", pada awal bulan Mac, 2010

Apabila rasuah tidak jijik lagi


Ya, kita tewas di Hulu Selangor. pelbagai bentuk analisa mengenai kekalahan Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor, namun tiada satu analisa yang betul-betul dapat menjawab mengapa kita tewas.

Rata-rata analisa terlalu memokuskan kepada pengundian berdasarkan kaum, ada yang terlalu tua dan cepat untuk memuji kemenangan Hulu Selangor adalah kerana PERKASA, dan ada yang menuding jari terhadap tindakan sabotaj dalam Parti Keadilan Rakyat dan yang paling melucukan ada katak yang terus menuding jari kepada kaum Cina kerana ramalan majoriti kemenangannya jauh tersasar.

Namun hakikat tetap hakikat, Pakatan Rakyat tewas di Hulu Selangor dengan majoriti 1725 undi. Persoalannya adakah kita tewas di tangan Barisan Nasional atau kita tewas di tangan sendiri ataupun rakyat sendiri yang tertewas dalam pertarungan Hulu Selangor? Siapakah pemenang sebenar di Hulu Selangor?

Pemenang sebenar Hulu Selangor


Pemenang sebenar di Hulu Selangor ialah rasuah. Rasuah telah berjaya mendapat pengiktirafan halal secara senyap di PRK Hulu Selangor. Rasuah telah menjadi satu elemen penting dalam menentukan siapa yang berkuasa di dalam demokrasi negara ala 1Malaysia.

Rasuah sudah menjadi bahan penting dalam sistem barter moden untuk mendapatkan undi rakyat. Rasuah telah menggantikan suara rakyat sebagai suara keramat semata-mata kerana majoriti rakyat Malaysia sanggup melacurkan undi mereka demi habuan sementara.

Setelah 51 tahun minda rakyat diracun oleh kerajaan yang sinonim dengan rasuah, amalan sogok-menyogok diterima sebagai satu budaya yang sebati dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Akibatnya, rasuah diberikan nadi yang terus berkekalan kerana terjadinya sistem “supply and demand” untuk rasuah.

Kerana ada permintaan untuk dirasuah daripada rakyat, maka sudah tentunya akan wujud pembekal rasuah untuk memenuhi permintaan rakyat. Tanpa segan-silu, kerajaan Barisan Nasional yang ingin menjadi juara rakyat telah sudi memikul tanggungjawab sebagai pembekal rasuah rasmi di Malaysia menjelang setiap pilihanraya.

Di Hulu Selangor, secara tersiratnya kedua-dua parti, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tewas di tangan rasuah.

Dengan perbelanjaan sebanyak RM167 juta untuk mendapatkan majoriti 1725 undi, ternyata BN digigit sendiri oleh permintaan rakyat yang dimanjakannya sekian lama. Namun, oleh kerana taktik menabur pelbagai janji menjadi di Hulu Selangor, percayalah BN dengan slogannya “BN Mampu Berubah” tidak akan berganjak daripada terus menjadi pembekal rasuah terbesar negara semata-mata untuk memenangi pilihanraya. PR pula tewas di tangan rasuah apabila majoriti rakyat Hulu Selangor berpendapat janji-janji yang ditaburkan BN lebih menarik daripada janji-janji yang ditaburkannya.

Apa yang harus dilakukan?


Rakyat harus disedarkan bahawa bukan sahaja status kehidupan mereka, malah status kehidupan anak-anak dan cucu-cucu mereka sengaja dikekalkan pada tahap tertentu (cucu peneroka akan jadi kekal jadi peneroka) supaya permintaan untuk dirasuah bagi mendapatkan undi senantiasa wujud supaya bisnes pembekal rasuah negara dapat diteruskan seperti sedia kala.

Masyarakat luar bandar juga harus dididik bahawa status mereka dikekalkan supaya mereka senantiasa tidak berkemampuan untuk menjadi “informed” rakyat seperti masyarakat kota, yang rata-ratanya telah menolak kerajaan Barisan Nasional dan mula menuntut pembaharuan untuk satu sistem kerajaan yang lebih efisyen dan bebas rasuah.

Selain misi menjijikkan rasuah di hati rakyat, PR juga harus memulakan kempen untuk menobatkan betapa tidak ternilai harganya satu undi di hati rakyat. Rakyat harus diingatkan bahawa setiap undi akan membawa kesan yang mendalam kepada generasi-generasi akan datang. Rakyat perlu dididik untuk memahami tanggungjawab sebagai pengundi di mana undi mereka tidak boleh dijual, ditukar mahupun dirosakkan kerana ia boleh menjejaskan masa depan rakyat, bangsa dan sistem demokrasi negara.

Untuk mengurangkan amalan rasuah dalam pilihanraya, permintaan untuk dirasuah daripada rakyat perlu dihapuskan terlebih dahulu melalui kempen kesedaran dan pendekatan keagamaan. Sekiranya bermula dari sekarang, tiada usaha yang cukup dari pihak Pakatan Rakyat untuk mendidik rakyat dalam menjijikan rasuah dan menobatkan nilai undi dalam hati rakyat, percayalah lambat-laun, PR juga akan secara tidak langsung terjerumus dalam permainan rasuah-merasuah ini semata-mata untuk memenangi setiap pilihanraya.

‘nik aziz-Saya tak ambil peduli’



Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan yang menyentuh isu peribadinya termasuk ugutan membunuh dilaporkan dalam laman sosial Facebook.

Mursyidul Am PAS itu juga tidak mempedulikan apa sahaja kenyataan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu termasuk kenyataan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz yang juga penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella.

Ketika ditanya pemberita Nik Aziz hanya menyifatkan apa yang diperkatakan mengenainya berhubung kesemua isu itu tidak ada dalam pengetahuannya sama sekali.

"Saya tak ambil peduli (hal itu), saya anggap tak ada langsung (dalam kepala saya)," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 50 anggota rombongan Koperasi Takaful Ibnu Al-'Asr dari Thailand di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, pada hari Ahad.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan terhadap Nik Aziz itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur.

Medan minyak tergadai: Ya dalam nafi

Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.

Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?


Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kanan Kerajaan Kelantan.

Mantan Ketua Menteri Sabah Saran Ketua Polis Negara Letak Jawatan

Mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan memandangkan beliau tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.

Gesaan itu dibuat berhubung kenyataan Musa yang menggugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Yong yang juga merupakan Presiden Parti Progresif Rakyat Sabah (SAPP) turut menyelar kenyataan Musa yang dianggap sebagai tidak bertangungjawab.

Menurut laman portal berita freemalaysiatoday, Yong dipetik sebagai berkata sikap angkuh Musa akan memberikan nama buruk erhadap pasukan polis.

"Ianya selepas beliau mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan beliau itu boleh menyebabkan rakyat akan hilang keyakinan terhadap keseluruhan pasukan polis,

"Beliau harus meletak jawatan dengan secepat mungkin dan jika beliau masih kekal di dalam pejabat, ini akan menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat,

"Kenyataan beliau itu telah menyakitkan hati rakyat dan telah merosakkan reputasi pasukan polis," kata Yong dalam kenyataannya kepada media.

Dalam pada itu Yong juga turut menambah, kenyataan Musa itu tidak adil kepada anggota polis yang lain yang telah bekerja keras dan menggadai nyawa dalam menjalankan tugas mereka.

Search This Blog