Friday, October 30, 2009

Bukti Laporan Audit, Pakatan Rakyat mampu perintah Malaysia

PENDEDAHAN demi pendedahan berkenaan ketirisan kerajaan menguruskan perbelanjaan terus dilaporkan melalui Laporan Audit Negara saban tahun. Namun, teguran-teguran itu nampaknya tidak mengubah apa-apa, apabila ketirisan dan kebocoran terus berleluasa. Bersama Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, wartawan ANIS NAZRI meminta cadangan-cadangan yang boleh diterima pakai bagi memastikan soal ketirisan dan kebocoran ini tidak akan berulang pada tahun-tahun berikutnya.
Baru-baru ini, Laporan Audit Negara mendedahkan lagi ketirisan-ketirisan dalam perbelanjaan Kerajaan Pusat seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Biarpun berkali-kali teguran dan pendedahan dibuat, kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengawal perbelanjaan mengelakkan ketirisan berulang. Pada pandangan Dato', apa perlunya laporan tersebut?

MAHFUZ OMAR: Sudah beberapa tahun laporan audit ini dijalankan. Saban tahun didedahkan soal ketirisan, kebocoran yang boleh dikaitkan dengan amalan rasuah dalam urusan perbelanjaan di peringkat agensi dan kementerian.
Sepatutnya apabila audit dilaporkan, perlu ada proses pemulihan dalam sektor awam dan kerajaan, tapi malangnya walaupun sudah lama pembentangan ini dijalankan, saya lihat kerajaan tidak berasa apa-apa. Mereka tidak rasa terbeban, tidak rasa tanggungjawab untuk mengambil iktibar dengan laporan audit, sekaligus saya lihat ianya banyak menghabiskan wang rakyat.
Wang rakyat sudah banyak hilang akibat ketirisan berlaku, sekali lagi ia akan hilang lagi akibat daripada kerajaan terpaksa peruntukkan wang untuk membuat audit. Tapi apabila kerajaan tidak ambil teguran dari audit, berlakulah dua kali tiris wang negara.

Bagi pendapat Dato' apa langkah sewajarnya yang boleh kerajaan lakukan jika mereka benar-benar ingin mengelakkan ketirisan ini terus berlaku?

Isunya sekarang, kerajaan tidak serius. Sepatutnya, kerajaan perlu tengok teguran semua pihak. Perlu ada pembaikan tapi sampai sekarang tiada apa-apa. Kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang kononnya tidak akan bertolak-ansur, akan mengambil tindakan, semuanya hanyalah sebagai 'lipstik'. Jika ada tindakan diambil pun, ianya di peringkat 'ikan bilis' sahaja.

Maknanya, diperingkat pemimpin atasan dibiarkan...

Kita lihat begini, kerajaan perlu bertindak agresif. Selain mengambil tindakan, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pemantauan untuk melaksanakan sesuatu projek. Mesti ada satu badan pemantau untuk melihat bagaimana satu pelaksanaan itu dikeluarkan, bagaimana proses rundingan itu dibuat, sama ada dibuat secara terus atau terbuka. Mekasnisme ini yang perlu dijaga, jika mekanisme ini tidak jelas ia akan berulang lagi pada tahun-tahun akan datang.
Saya percaya tidak ada satu tindakan serius, khususnya pemantauan seperti yang saya katakan tadi. Kalau kerajaan buat itu (pemantauan), ia akan menutup ruang untuk kroni-kroni mereka mengambil kesempatan. Sebab itu pemimpin kerajaan tidak mengambil langkah tersebut. Kalau ambil juga, habislah kerana kaedah kroni yang digunapakai sekarang dianggap rezeki.

Di sinilah kita lihat kerajaan tidak serius kerana ada kepentingan...

Sekali tengok macam mereka tidak bimbang. Mungkin mereka fikir rakyat tidak akan persoalkan, dan dalam masa sama mereka rasa rakyat boleh dibeli, khususnya ketika pilihan raya. Itu merupakan satu penghinaan kepada rakyat jika mereka berfikiran begitu.
Tapi saya yakin, rakyat hari ini sudah berbeza dari 20 tahun, 10 tahun dahulu. Rakyat sekarang berpolitik dalam abad ke-21 yang terdedah dengan pelbagai maklumat, dan saya yakin rakyat akan buat penghakiman atas kegagalan kerajaan menguruskan dana negara ini.

Maknanya, ketirisan yang berlaku ini terus meningkat setiap tahun, atau ada sedikit penambahbaikan bagi pandangan Dato'?

Secara umumnya pendedahan itu menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hal ketirisan. Sudah teruk, dan ketirisan ini atau kita panggil rasuah ini sudah berakar umbi dari atas sampai ke peringkat rendah, sehinggakan melibatkan jabatan agensi kerajaan.
Sebab itu saya ingin mencadangkan supaya harus dipinda akta atau undang-undang berkaitan audit. Bagi saya, baguslah audit ini, cuma saya lihat ada kelemahan sedikit apabila audit ini bidangnya hanya menyiasat semata-mata.

Apa cadangan Dato' supaya keadaan ini (ketirisan dan kebocoran) tidak berulang lagi pada tahun-tahun berikutnya?

Saya mencadangkan supaya ada satu peruntukan khas bahawa setiap laporan yang dibuat audit ini terus membawa kepada pendakwaan. Audit ini bukan sahaja dari sudut akaun, tetapi juga satu penyiasatan sehingga sampai tahap mengenalpasti siapa yang terlibat.
Kalau tunggu pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat, ia akan makan masa. Sudahlah makan masa, selepas itu mereka kata tiada kes, tiada bukti. Maka, terlepaslah sedangkan duit sudah hilang.
Sebab itu harus ada timbalan pendakwaraya, contohnya diletakkan di Jabatan Audit bagi membolehkan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat. Letakkan seorang wakil seperti yang dilakukan di SPRM. Apabila jabatan audit melihat ada ketirisan, terus boleh dibawa ke pihak pendakwaan.

Selain mendedahkan banyaknya lebihan perbelanjaan, Jabatan Audit Negara turut memuji negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan. Apakah signal yang boleh dilihat kerajaan pusat berhubung perkara ini?

Bagi saya kerajaan Barisan Nasional (BN) harus ada keinsafan. Kalau Pakatan Rakyat boleh membuat perbelanjaan berhemah, kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh? Ini bertolak kepada sikap amanah yang ada di kalangan pemimpin.
Patutnya, kerajaan kena rasa malulah. Kalau di Pulau Pinang, pemimpinnya yang bukan Islam boleh dapat pujian, malulah Umno yang beragama Islam ini. Begitu juga dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain. Kerajaan perlu mengambil contoh dan belajar bagaimana proses belanjawan berhemah dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Umpamanya di Kedah. Kita amalkan 'open tender' untuk menambahkan pulangan pendapatan kepada kerajaan. Balak di Kedah, kalau dahulu satu ekar dalam RM 1000 lebih. Tapi sekarang sudah beri hasil pulangan sebanyak RM19 000 untuk satu ekar. Berapa banyak ganda yang dapat kita dapatkan hasil dari rundingan terbuka yang dijalankan.

Tidakkah ini patut disedari oleh BN?

Bukan sahaja kerajaan harus melihat pencapaian Pakatan Rakyat, tapi rakyat sendiri juga harus melihat secara serius bahawa negara kita perlukan satu corak, gaya pengurusan ekonomi yang dibuat Pakatan Rakyat yang bertitik-tolak dari sikap amanah. Kalau rakyat mahu suasana seperti itu, mahu tidak mahu mereka kena pilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang untuk mentadbir negara ini.

Adakah ini boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat memang mampu dan diberi peluang untuk mentadbir negara?

Pakatan Rakyat memang mampu. Cuma sebelum ini tidak pernah diuji, diberi peluang untuk membuktikan kebolehan. Selama ini orang sangka Umno sahaja boleh perintah. Tetapi apabila diberi peluang di beberapa negeri, termasuk di Kelantan yang masuk 19 tahun, Alhamdulillah ia dapat dibuktikan pengurusan yang lebih baik dan berhemah.

Penyokong BN Minta Datuk Seri Ong Tee Keat Dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berundur

Seorang penyokong kerajaan Khamis secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.


Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.

"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya

Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat di dahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu....jalan, jangan tunggu...get out you!," katanya.

Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.

"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.

"Saya kasihan pada kawan saya (bekas Anggota Parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang Anggota Parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas Presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.

Beliau juga menyifatkan Koh sebagai 'suka mengampu' kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang...ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.

Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.

"Kata orang tua kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak. Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam Anggota Parlimen, hari ini Anggota Parlimen, esok dan selama-lamanya Anggota Parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.

Kenyataannya itu membuatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mencelah dan bertanya adakah itu bermakna beliau tidak berminat untuk menjadi menteri.

Menjawab soalan itu Mohamad berkata: "Saya sudah pernah pengalaman menjadi exco. Setahun 241 mesyuarat, susah hendak jumpa bini, timang anak tak dapat, timang bini pun tak dapat, cukuplah. Tanyalah menteri yang betul bekerja, tak sempat dia timang anak tak sempat...wakil rakyat beginipun alhamdulillah," katanya sekali lagi disambut tepukan mereka yang hadir.

Mohamad turut membangkitkan beberapa isu semasa termasuk program XChange Proton yang didakwa satu polisi yang menyusahkan rakyat terutama masyarakat kampung dan boleh menjatuhkan BN.

Justeru beliau mahu polisi itu dipinda.

Menerusi skim itu, pemilik boleh menukar beli kereta lama mereka dengan minimum jangka hayat 10 tahun bagi diskaun RM5,000 apabila mereka membeli mana-mana kereta Proton.

Semua model kereta layak berada di bawah program itu tetapi ia perlu terlebih dahulu diuji dan disahkan oleh Puspakom Sdn Bhd bagi memastikan ia tidak diubah suai secara haram.

Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk tindakan menghalang peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) ke luar negara yang beliau harap dapat dikaji semula manakala Kementerian Kesihatan diminta memberi penjelasan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia.

Wednesday, October 28, 2009

PAS tak akan berpecah dan PR belum tentu jadi macam BN .. Aziz Bari


Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia.

Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan.


Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku.


Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO.


Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang.


Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu.


Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan datang.

Tuesday, October 27, 2009

Tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!

Apakah persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional, yang selama ini gagal menguruskan ekonomi negara, boleh dipulihkan hanya dengan pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak?

Bagaimana rakyat boleh mempercayai ketulusan dan ketelusan semua janji yang dikemukakan dalam Bajet 2010, jika kerajaan tidak mempunyai asas bagaimana hendak menjana pendapatan negara?

Jika kita melihat kepada laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan yang 2008, hampir kesemua negeri-negeri yang ditadbir oleh BN hasil gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya, dipertikaikan dengan begitu teruk sekali.

Asas yang paling besar akibat daripada kelemahan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN ialah, kegagalan menambahkan hasil negeri, sebaliknya membuat perbelanjaan luar jangka dan pembaziran, sehingga melebihi pendapatan.

Di kebanyakan negeri di bawah pentadbiran BN, semuanya menanggung hutang yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, di samping mempunyai belanjawan atau bajet yang tidak seimbang atau defisit.

Akibatnya, BN yang mencanang kehebatan pemerintahan selama 50 tahun, semakin tidak dipercayai rakyat, kerana sebagai besar daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri mereka, gagal menguruskan negeri dengan baik.

Perkara ini sama seperti di peringkat Pusat, jika kerajaan PM Najib tidak mampu menjana pendapatan, bagaimana kerajaan mahu melunaskan janji-janji pelbagai peruntukan dan insentif kepada rakyat?

Yang paling jelas data-data menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil sebenarnya.

Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia.

Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah.

Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Data-data menunjukkan pelabur asing masih tidak mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan BN walaupun PM sudah bertukar.

Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2 peratus.

Situasi ini sebenarnya, harus diperhatikan kerana ia amat membimbangkan. Jika pendapatan negara merosot, belanjawan tidak meningkat, ini bermakna kerajaan tidak dapat mempertahankan pertumbuhan pembangunan.

Justeru janji-janji pembangunan koridor, insentif dan sebagainya, masih lagi bersifat kosmetik, yang digunakan hanya untuk mencetuskan persepsi baik rakyat terhadap pemerintahan Kerajaan BN.

Salah satu aspek yang dicurigai rakyat ialah, bagaimana pemimpin-pemimpin Umno-BN, menggunakan kesempatan hasil daripada bajet yang memberi peruntukan kepada projek pembangunan, digunakan untuk diagihkan kepada kroni dan anak-beranak mereka.

Itulah yang berlaku sebenarnya. Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, anak beranak beliau mempunyai beratus-ratus syarikat seperti yang tertera pada rekod Pendaftar Syarikat.

Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, syarikat milik anak menantunya dan adik beradiknya, mendapat laba yang cukup besar daripada hasil kekayaan negara, sehingga anaknya Kamaludin Abdullah tersenarai antara bumiputera yang kaya di Malaysia.

Juga sekarang ini Najib memerintah, rakyat melihat syarikat yang dimiliki adik beradik dan sanak saudara beliau, sedang mengulangi apa yang berlaku di zaman Mahathir dan Abdullah.

Pada waktu ini, agak mustahil bagi Najib, untuk memastikan slogan 1Malaysia dapat terlaksana dengan baik, jika kerajaan pimpinannya masih bergelamang dengan elemen rasuah, mengekalkan perasuah sebagai pemimpin parti dan negara serta menyalahgunakan jentera kerajaan untuk pendakwaan terpilih?

Oleh itu jika pelabur enggan memasuki pasaran negara kerana tidak yakin ekonomi Malaysia akan dipulihkan oleh kepimpinan yang korup, maka rakyat juga harus berfikir banyak kali sama ada hendak mempercayai BN atau tidak.

Jawapannya, tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!_

Bubar Dun Perak, Pakatan Rakyat jangan tersalah langkah

Difahamkan dari senarai terbaru yang dipamerkan SPR, lebih kurang 50 ribu pengundi baru telah di daftar. Hebat!!!

One Malaysia dilancarkan di Perak. Negeri bergelora sejak Mac 2008. Gelora di Perak dirasai tempiasnya seluruh dunia.

Pemerhati politik dan wartawan antarabangsa menjadikan Perak sebagai destinasi persinggahan hinggakan pokok yang dah lama bertapa di Medan istana disiar ke seluruh dunia gara gara sidang bawah pokok.

PR telah lama mendesak agar DUN Perak dibubar susulan rampasan kuasa kerajaan Kudeta BN . Kuasa rakyat dirogol dengan ganas tanpa simpati terhadap rakyat.

Kerajaan kudeta yang berslogan Rakyat diutamakan itu tahu sengsara rakyat Perak angkara perbuatan rakus mereka namun nafsu serakah gila kuasa telah menguasai mereka. Slogan rakyat diutamakan adalah topeng puaka yang dipakai najib bagi menutup wajah hodoh kerajaan pimpinannya.

Ketika One Malaysia dilancarkan di Ipoh, rakyat keliru adakah ianya anjuran kerajaan atau umNO kerana lambang umNo tertera jelas.

Namun wang yang digunakan mustahil milik umNO. 1500 buah bas disewa khas ke pelusuk kampung untuk mengangkut warga Perak. Ketika melalui Tol Ampang saya tersekat gara gara bas yang bersusun walaupun ketika itu maghrib telah masuk. Saya terlepas takbir awal gara gara bas sewa.

Di fahamkan setiap pelajar yang diangkut akan dibayar rm 10 setiap seorang. Saya terlepas detik malam tadi kerana ada dua program yang terpaksa dihadiri. Kalau tidak tentu himpunan raksasa robot upahan akan saya kongsi bersama. itulah yang difahami sebagai gelombang pilihanraya Perak yang akan berlangsung bila bila masa.

Ada yang meramalkan melalui mangkuk putih tarikhnya ialah 28 November... Saya juga cuba meramal, namun belalang yang saya cari di padang tidak saya temui...

Mengikut maklumat yang diterima umNo negeri telah bersedia menghadapi pilihanraya yang dituntut. Ketika PR melalak menuntut pilihanraya negeri, umNo buat perangai lembu kenyang. Kita menyangka mereka tak peduli, rupa rupanya mereka merancang dan bekerja. Sebahagian kita sibuk melalak mencabar tanpa kerja namun mereka membina kekuatan.

Difahamkan dari senarai terbaru yang dipamerkan SPR, lebih kurang 50 ribu pengundi baru telah di daftar. Hebat!!! Maklumat PR menyatakan kita hanya mendaftar sekitar beberapa ratus orang melalui agen yang dilantik. Siapa yang mendaftar mereka... itulah kerja licik umNO dengan tangan SPR.

Apapun perkembangan ini semakin menarik perhatian. umNO telah mencurah projek dari kerajaan pusat. Belanjawan negeri akan dibentang 28 Oktober ini. PR mesti waspada dengan perangkap 28 oktober.

Saya sangat yakin peristiwa 28 oktober akan dicatur dengan pengarahan terbaik bagi memberi gambaran buruk PR di Perak.

Di harapkan PR memberi perhatian persidangan kali ini bukan hanya untuk tunjuk kita berani, tetapi MESTI WASPADA dengan perangkap yang telah sedia di pasang begitu rupa... Percayalah... 28 Oktober akan menjadi detik bersejarah permulaan pembubaran DUN Perak...jika PR tersalah langkah menangani situAsi di hari tersebut.

Search This Blog