Masjid Babri yang kini terbiar selepas serangan
Mereka  sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan  mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun  orang-orang kafir tidak menyukainya.Dialah yang telah mengutus RasulNya  (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama  Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama  yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
BERAPA  ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku pada  tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri di Ayodhya, India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Lokasi Masjid Babri di Ayodhya, India
Seramai  150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang memusnahkan  masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu dan Muslim  di India.
Salah  seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan  memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive  Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid  itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal  yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir  4,000 penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu  akhirnya runtuh.
Tindakan  melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik  oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada  para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu  berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.
Sedangkan  masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar  Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31 juta  orang.
Pada  hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya  memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut yang lain  mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira apabila  mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid  tersebut.
Mereka  melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai tanda kemenangan  kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Suasana tegang ketika Masjid Babri diserang
Prasad  puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya  masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati  tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun  tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian  runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada  Allah atas ‘kejahatan’ beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau  berpuasa dan menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah  mengampuninya yang tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita  pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya  iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab News  Publications di Arab Saudi.
Berita  itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang Prasad,  terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut  pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui  perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada  tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan  kedamaian berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat  besar.
Mungkin  dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu  oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah  pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan seorang diri  di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar  suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu  disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu  dengan jelas.
Prasad  berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda  ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas  segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai  kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus  mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu perasaan yang tenang  menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut satu  beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu  serabut.
Segala  puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan  membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang  lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.
Namun  berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan  keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya  dibuang oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula  ke India, kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita  pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan  pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau  meruntuhkan Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya  tanpa mengira masa dan tempat.
Namun  apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam  menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran  sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya  menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah  beliau bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.
“Tetapi  sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping  perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya  mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya  membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.



 
 
1 comment:
ALLAHU AKHBAR ,ALLAH MAHA MENGETAHUI DAN MAHA PENGAMPUN,TIADA KUASA YANG LEBIH BESAR MELAINKAN KUASA ALLAH SWT, WALAU SEBESAR MANA ATAU ANGKUHNYA SESIAPA ATAU PARTI PANDI KUTTY JIKA ALLAH SWT TIDAK MENGIZINKAN SESUATU MAKA TIDAK AKAN BERLAKU INSYALLAH, MOGA ISLAM AKAN MENYINAR DENGAN KEMENANGAN DI BUMI MALAYSIA !
Post a Comment