MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba.  Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.
Allah  berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan  Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan  kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35) Tahukah kita bahawa  malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70  kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka  tidak lalai mengingati mati.
Oleh  kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat  kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan  malaikat Izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Bahawa  malaikat maut memerhati wajah manusia dimuka bumi ini 70 kali dalam  sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang  itu ada yang gelak-ketawa.
Maka berkata Izrail:
‘Alangkah  hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk  mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak  ketawa.’”Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu  lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah  yang perlu difikirkan dalam hidup.
Takdirnya  esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas  di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua  fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada  seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan  pengalaman mereka menghadapi saat kematian.Ajal tidak mengenal sesiapa  sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya ataumiskin.
Rasulullah  s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir  mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti  dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.
Bayangkanlah  betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak  diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yangamat  menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Perhatikanlah  tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh  pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang  hidungnya kembang kempis.
“Manakala  jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh  dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa  dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.
Bagi  orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan  menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang  disembelih.
Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Bahawa  roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan  perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap  dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Allah  juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran  ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah  dosanya.
Mungkin  ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika  hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana  setiap kebajikan pasti akan dibalas.
Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila  telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan  malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka  menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke  lutut.
“Setelah  itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari  lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi  satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut  hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.
“Dan  akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh  dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat  nazak orang itu.”
Malaikat  Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak  diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang  yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.
Kematian  mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir,  kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang  penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.
Seorang  yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana  Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang  mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka  waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan.  Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia  memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya  berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.
Justeru,  bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa  mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab  kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.
Saidina  Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat  Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.
Ini  kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri  daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.
Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam
a.s.Dia  mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang  berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.
Justeru,  jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting  perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai  sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke  arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, 
tutupkan  jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan  kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah  di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat,  letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting  dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.
Umat  Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda  tertentu. Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana  terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.
Jika  ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya  kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum  kematiannya.Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah  dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.
Apabila  sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada  keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.
Islam  menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian.  Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki  keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.
Tiada  daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada  kematian.Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah  dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita  bertemu Allah.
 
 
No comments:
Post a Comment