Wednesday, September 21, 2011

Mat Sabu Terus Dikagumi Rakyat

Ketika hebat dikecam pelbagai pihak sejak kebelakangan ini, namun masih terdapat sejumlah besar penduduk luar bandar yang masih menyokong dan mengagumi kenyataan berani Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berhubung isu Mat Indera, komunis serta pejuang kemerdekaan.

Seorang pekerja swasta, Abdul Hamid Zainal Abiddin, 52, berkata, kenyataan Mat Sabu itu ada kebenarannya dan ia berjaya ‘membuka mata’ pihak terbabit.

Menurutnya, nama-nama yang dibangkit Mat Sabu adalah pejuang kemerdekaan namun nama mereka tidak disenaraikan kerana menentang penjajahan British.

“Sejarah tingkatan tiga tercatat bahawa British mengharamkan pertubuhan yang bangkit memperjuangkan kemerdekaan seperti PKMM, Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Angkatan Pemuda Insaf (Api).

“Pertubuhan ini yang berjuang ke arah kemerdekaan negara dari penjajahan. Tetapi Umno ketika itu bersekongkol dengan British dan hanya membawa slogan ‘Hidup Umno’ bukan bergerak sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya dan Perasmian Pejabat Pas Maran, di sini.

Seorang peniaga, Abu Hanafiah Mohammad, 42, berkata, dia bersetuju dengan cadangan agar sejarah negara ditulis semula kerana terdapat beberapa pengkaji sejarah yang mengiktiraf pejuang berhaluan kiri dalam membebaskan tanah air ini dari cengkaman penjajah.

Menurutnya, pemimpin pertubuhan yang enggan bersekongkol dengan penjajah tidak diiktiraf oleh kerajaan namun kini, rakyat semakin bijak menilai sesuatu isu berbangkit.

“Saya rasa, sebab ini ramai yang tidak berpatriotik menyambut Hari Kemerdekaan malah ramai tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

“Ini kerana, sambutan kemerdekaan adalah sambutan Umno dan bukan sambutan rakyat sepenuhnya,” katanya

No comments:

Search This Blog