Katanya, apa yang lebih membimbangkan ialah kerajaan asyik bercakap untuk memajukan ekonomi dengan melibatkan sektor swasta tetapi dalam pembinaan mega seperti ini ia hanya melibatkan kerajaan.
"Di sini terdapat perbezaan dengan apa yang diuar-uarkan dengan tindakan yang dilakukan kerajaan. Bagi saya kalau kita benar-benar mahu sektor swasta memacu ekonomi negara tidak perlu menggunakan dana kerajaan kerana ini adalah duit rakyat untuk membina projek mega seperti bangunan 100 tingkat yang saya tak pasti sama ada ia perlu ataupun tidak," ujarnya sambil menambah jika ada permintaan untuk ruang-ruang bagi pejabat baru dan sebagainya akan ada syarikat swasta yang akan membina bangunan-bangunan ini.
Soalnya lagi, berkenaan pembinaan ini bukan soal praktikal atau pun tidak. Putrajaya yang hutan dulupun kini dipenuhi bangunan. Tetapi persoalan yang sebenarnya ialah apakah ia benar-benar diperlukan. Adakah kita benar-benar memerlukan pembinaan bangunan 100 tingkat ini. Secara umumnya kata Wan Saiful, bajet pada kali ini ada kontradiksi sedikit dengan agenda kerajaan yang sebelum ini cuba mengalakkan sektor swasta mendepani ekonomi negara.
"Bajet kali ini lebih besar berbanding tahun lalu tetapi ia melibatkan kos yang besar dalam aspek pengurusan. Bermaksud dalam kos dalam membiayai kerja-kerja kerajaan adalah tinggi.
Pada saya tidak ada usaha untuk memperkecilkan saiz kerajaan supaya sektor swasta dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam merancakkan ekonomi di negara ini," tegasnya.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abd Hadi Awang berkata, kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM5 bilion sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja.
“Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta iaitu dalam lingkungan 3.6 peratus dari projek Warisan Merdeka.
“Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 bilion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Hadi menambah, agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini kerana pimpinan Umno-BN sebenarnya “bermimpikan projek” lantas “memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat.”
No comments:
Post a Comment