Monday, May 31, 2010

Atasi rasuah, projek lambat


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa supaya mengatasi masalah rasuah dan kelambatan projek pembangunan di negeri itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor berkata, Selangor perlu mempercepatkan projek bagi menjana pembangunan ekonomi.

“Ada pihak yang mengatakan projek lambat mendapat kelulusan dan muka yang sama dapat projek. Jadi segala masalah ini perlu tindakan segera,” katanya kepada media selepas menutup Kongres Nasional Keenam PKR di sini, semalam.

Anwar berkata, beliau menerima beberapa aduan mengenai isu itu dan perkara itu perlu dipandang serius oleh Khalid, dan perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi menjamin rakyat terus kekal memberikan mandat kepada PKR.

Pada kongres itu, pentadbiran kerajaan Selangor dikritik hebat oleh perwakilan PKR, dan antara gesaan utama yang ditimbulkan ialah usaha ‘memutihkan’ jentera kerajaan negeri dan juga kegiatan rasuah.

Anwar berkata Selangor memerlukan pembangunan ekonomi yang lebih rancak dalam tempoh dua tahun untuk mendapat kepercayaan rakyat bagi terus memerintah di negeri itu.

Terdahulu, pada sesi penggulungan, Anwar berkata, Selangor mesti agresif untuk memastikan projek bergerak dengan pantas, terutama meluluskan projek.

Katanya kerajaan Selangor perlu meneliti serta menghapuskan undang-undang dan birokrasi yang didapati melambatkan kelulusan projek.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan PKR mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pentadbiran Khalid dalam memastikan tadbir urus kerajaan negeri yang baik dan telus daripada sebarang rasuah.

No comments:

Search This Blog