Wednesday, August 5, 2009

Wang zakat tidak boleh masuk akaun negeri

Peruntukan wang zakat tidak boleh dimasukkan dalam akaun kerajaan negeri, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Katanya, ini kerana wang zakat itu disumbangkan oleh orang Islam sahaja dan ia sepatutnya disalurkan kepada lapan asnaf seperti yang telah ditetapkan.

''Kita tahu ke mana sepatutnya dibelanjakan wang zakat ini. Jadi pada pandangan Pas kalau ada elemen wang zakat nak dimasukkan dalam akaun kerajaan negeri itu tidak boleh.

''Tapi kalau ada pandangan yang lain kita mahu mendengar pandangan itu," kata beliau ketika diminta mengulas rancangan kerajaan negeri menggunakan hasil pungutan wang zakat yang disalurkan ke Baitulmal bagi menampung kos pentadbiran dan pembangunan di Selangor.

Rancangan yang ditimbulkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dibuat kerana kerajaan negeri ketika ini tidak menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM300 hingga RM500 juta setahun.

Mengulas lanjut Hassan berkata, cadangan itu sebenarnya masih belum dirundingkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti negeri sejak ia ditimbulkan Menteri Besar pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Jelas beliau, Abdul Khalid juga ada menyebut supaya Mufti negeri melakukan kajian terlebih dahulu.

''Jadi Pas bercadang untuk memanggil mesyuarat khas bagi membincangkannya dan kita juga akan panggil pakar-pakarnya untuk memberi nasihat supaya lebih memantapkan lagi pandangan kita terhadap perkara ini sebab perkara ini amat besar.

''Jumlah wang zakat di Selangor juga bukan kecil jumlahnya," ujarnya.

Bagaimanapun kata Hassan, beliau yakin Menteri Besar membuat kenyataan itu dalam konteks ia perlu dikaji dan kajian pasti akan dilakukan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

No comments:

Search This Blog